Kredit kertas dinding Portal Rasmi Agensi Angkasa Negara, Malaysia |
Dia membiarkan
NAUTILUS terapung di angkasa. Memang itu arahannya kepada Mokota yang bertindak
sebagai Jurumudi. Wahid sedang memikirkan arahan lanjut kepada Jurumudi.
Anak-anak kapal sabar menunggu arahan Wahid. Karim dan Masrojo menanti dengan
tenang di dalam suasana yang bakal mengundang seribu ketegangan.
“Di manakah
kedudukan NAUTILUS sekarang, Jurumudi?”
Soal Wahid.
Mokota
teragak-agak untuk memberikan jawapan yang pasti kerana dia tidak berupaya
mengesan kapal angkasa itu di atas peta cakerawala.
“Ada masalah,
Jurumudi?” Soal Wahid lagi.
Karim dan
Masrojo semakin gusar.
“NAUTILUS tidak
dapat dikesan di atas peta cakerawala, Nakhoda,” jawab Mokota.
Jawapan Mokota
menghairankan Wahid. Bagaimanakah NAUTILUS boleh tidak dapat dikesan di atas
peta cakerawala? Dia sangat pasti bahawa seluruh sistem berada dalam keadaan
baik. Sistem Radar dan Sensor di Unit Kawalan berada pada tahap yang paling
baik setelah mereka meninggalkan Marikh dua minggu lalu.
Kini haluan NAUTILUS
ialah Musytari. Sebelum tiba di
Musytari , ia terpaksa
melepasi halangan berupa Gelang Asteroid. Gelang Asteroid ialah suatu kawasan
di angkasa lepas dalam Sistem Solar yang terdiri daripada batu-batu angkasa
yang bebas bergerak dengan kelajuan lampau yang mempunyai orbit sendiri.
Terdapat berjuta-juta batu angkasa di dalam Gelang Asteroid yang bergerak di
atas orbit masing-masing mengitari matahari. Bagi Wahid, batu-batu angkasa itu
merupakan ancaman kepada misi NAUTILUS.
Walaupun sebelum
itu banyak misi proba satelit yang berjaya melepasi Gelang Asteroid dan
mengirimkan banyak gambar foto planet-planet Jovian yang terdiri daripada
Musytari, Zuhal dan Uranus, tetapi dia tidak yakin yang kapal angkasa sebesar
NAUTILUS boleh mengelak batu-batu angkasa yang melayang tanpa kawalan. Jika
tidak berhati-hati, harus NAUTILUS dihentam oleh batu-batu angkasa yang tidak
bermata dan itu bermakna kemusnahan bagi misi agung itu. Dia bertanggungjawab
terhadap NAUTILUS dan dia tidak mahu NAUTILUS mengalami kemusnahan.
“Bintara,
hubungi Kawalan Bumi dan beritahu mereka bahawa NAUTILUS tidak dapat dikesan di
atas peta cakerawala,” arah Wahid.
“Baik, Nakhoda,”
sahut Masrojo.
“Jurukaji,
selidik apa yang sedang berlaku di sekeliling atmosfera NAUTILUS dan cari
jawapan bagaimana keadaan itu boleh berlaku,” arah Wahid lagi.
“Baik, Nakhoda,”
sahut Karim.
Karim bangkit
dari tempat duduk dan berjalan keluar meninggalkan Anjungan. Dia pergi ke Balai
Cerap Eridanus kerana segala peralatan dan kelengkapan penyelidikan berada di
situ. Masrojo cuba menghubungi Kawalan Bumi. Kelihatan sedikit riak ketegangan
di wajah Masrojo setiap kali percubaannya menemui kegagalan. Dia cuba
mengesan sebarang kerosakan yang dialami Sistem Komunikasi. Sebarang kerosakan
sistem itu merupakan musibah besar terhadap misi tersebut. Jika sahih sistem
itu mengalami kerosakan, ia perlu diperbaiki segera.
“Jurumudi,
apakah kedudukan NAUTILUS sebelum ia hilang dari peta cakerawala?” Soal Wahid.
“36 darjah
positif longitud universal dan 18.5 darjah negatif latitud universal,” jawab
Mokota.
“Hmm, lebih
kurang 0.3 unit astronomi setelah kita meninggalkan Marikh,” ulas Wahid.
“Betul, Nakhoda.
Berdasarkan jangkaan perjalanan, sekarang ini kita sepatutnya berada 0.8 u.a.
dari Marikh.”
“Bererti
NAUTILUS tidak mengetahui di mana ia berada sepanjang perjalanan sejauh 0.5
u.a.,” Wahid membuat kesimpulannya sendiri.
Mokota juga
berasa hairan di atas apa yang sedang berlaku. Dia tidak menduga bahawa
kejadian itu akan berlaku ke atas mereka.
Dia melihat ke
luar angkasa lepas. Pandangannya membatasi bidang kaca. Jika dilihat dari Bumi,
angkasa lepas sangat indah apabila ditatap pada waktu malam kerana dihiasi
bintang-bintang bertaburan. Pada suatu ketika dahulu dari dalam kapal angkasa,
dia boleh melihat dengan jelas bintang-bintang berbagai warna yang diselubungi
nebula berwarna-warni. Setelah menatap pemandangan angkasa lepas di luar kapal
angkasa selama beberapa ketika, dia berasa hairan.
Ke manakah
perginya bintang-bintang penghias angkasa raya? Di manakah batu-batu angkasa
yang bebas melayang yang sepatutnya kelihatan dengan jelas dari jendela kapal
angkasa pada masa kini? Ke manakah perginya semua objek angkasa lepas itu?
Atmosfera sekeliling NAUTILUS gelap-gelita. Segelap lubang kubur? Tiada sedikit
pun cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Di manakah NAUTILUS sebenarnya
sedang berada?
Pada ketika itu
barulah Mokota sedar bahawa NAUTILUS sedang dibungkus kegelapan yang abadi.
Kegelapan yang abadi? Apakah semuanya akan berakhir di sini? Ya Tuhan, kenapalah
ini yang Kau taqdirkan ke atas kami?
NAUTILUS
terpencil di tengah-tengah angkasa lepas yang hitam, jauh dari segala bintang,
planet, malah dari sebarang bentuk kehidupan yang boleh dikesan. NAUTILUS telah
lama bersendirian di dalam alamnya sendiri. Tiada siapa yang tahu di mana
NAUTILUS sedang berada.
Kredit kepada Adrian Tiba untuk model kapal angkasa yang beliau reka yang dimuatnaik di laman web beliau di www.adriantiba.com. |
Wahid
turut melihat kegelapan abadi yang telah dilihat oleh Mokota. Dia juga sedar
bahawa NAUTILUS sedang bersendirian di angkasa raya tanpa ditemani sinaran
bintang, kepulan nebula, asteroid, curahan meteor atau larian komet. Malahan
lebih daripada itu, dia telah melihat sesuatu yang tidak dilihat oleh Mokota.
Jauh di dalam kegelapan, dia melihat suatu imej yang dahsyat.
Pada mulanya,
imej itu kabur. Setelah mengawasi sekian lama, dia dapat melihat imej itu
dengan jelas. Dia berasa terkejut. Tiba-tiba dadanya berdebar kencang. Imej
seperti suatu makhluk perkasa berjubah hitam sedang merenung tajam ke arahnya
dengan mata yang merah menyala. Pandangan makhluk itu mengandung kemarahan.
Makhluk berwajah bengis bertanduk dua itu melemparkan kemarahan abadi
kepadanya! Kemarahan abadi di dalam kegelapan abadi terhadap seorang insan
kerdil yang terpencil di tengah-tengah angkasa raya yang hitam. Fikirannya cuba
menafsirkan maksud kehadiran makhluk itu di sisi NAUTILUS. Tiba-tiba imej itu
hilang dari pandangannya. Kemudian dia terdengar suara memanggilnya. Dia
kembali ke alam sedar.
“Nakhoda!
Nakhoda!”
Suara Karim
kedengaran memanggilnya. Karim sudah berada di Anjungan dan duduk di tempatnya.
“Apa yang kau
dapat di Balai Cerap Eridanus?” Tanya Wahid.
“Pencerap-pencerap
kita tidak mampu mengesan sebarang objek di sekeliling NAUTILUS. Bagaimanakah
objek-objek itu boleh dikesan kalau semua itu tidak wujud? Aku berani bertaruh
bahawa NAUTILUS tidak lagi berada di dalam Sistem Solar.”
Kata-kata Karim
memeranjatkan anak-anak kapal yang berada di Anjungan.
“Kata-kata
Jurukaji mungkin benar, Nakhoda. Kawalan Bumi tidak dapat dihubungi. Sistem
Komunikasi tidak menerima sebarang isyarat gelombang radio semenjak tiga hari
lalu.”
Kini Wahid sedar
bahawa NAUTILUS sedang berada di suatu dimensi asing. Dia percaya bahawa
anak-anak kapalnya telah faham akan hal itu. Mereka berkongsi kesedaran yang
sama.
“Karim,”
katanya. “Terangkan apa yang telah kau buat di balai cerap?”
“Perkara pertama
yang aku lakukan ialah mencerap sinar gamma kerana sinar radioaktif itu amat
peka untuk dikesan oleh radas-radas pencerap. Apa yang aku perolehi di atas
paparan bacaan ialah paparan yang kosong. Tiada sebarang bacaan meskipun radas
Sistem Cerapan berada dalam keadaan yang baik. Kemudian aku cuba mengesan gelombang mikro yang
mungkin melintasi NAUTILUS. Osiloskop juga tidak menunjukkan sebarang bacaan.
Aku berasa hairan kenapa Sistem Cerapan tidak mampu mengesan sebarang sinar dan
gelombang yang wujud dalam alam semesta ini. Akhirnya aku cuba memerhatikan bintang-bintang
melalui teleskop. Apa yang memeranjatkan aku ialah tiada sebutir bintang pun
yang boleh dilihat melalui teleskop meskipun aku menggunakan resolusi yang
paling tinggi. NAUTILUS seolah-olah berada di dalam vakum.”
“Apakah kita
dibungkus jasad gelap?” Tanya Mokota.
“Tidak. Analisis
pencerap membuktikan yang kita tidak berada di dalam jasad gelap,” jawab Karim.
“Apakah kita
sedang menghampiri lohong hitam?” Tanya Masrojo.
“Tidak. Keadaan
fizikal NAUTILUS yang normal tidak membuktikan yang ia sedang berada di bawah
pengaruh lohong hitam,” jawab Karim penuh yakin. “Nakhoda, aku khuatir jika
keadaan ini menyebabkan misi NAUTILUS gagal,” tambah Karim lagi.
Tiada sebarang
ulasan terhadap pandangan Karim. Mereka sedar bahawa misi NAUTILUS merupakan
satu-satunya misi teragung di antara misi-misi yang pernah dilancarkan sebelum
itu. Belum pernah ada misi angkasa lepas yang dikawalkendali sepenuhnya oleh
manusia selain daripada misi NAUTILUS. Objektif misi NAUTILUS ialah untuk
membuat penyelidikan tentang kemungkinan manusia boleh berumahtangga atau
membina tamadun di luar biosfera.
Bumi semakin
sempit kerana manusia semakin ramai. Kemajuan industri telah mencapai kemuncak
sehingga alam sekitar tidak mampu lagi menampung sisa-sisa industri. Barang
pengguna semakin banyak dihasilkan, sisa-sisa pengguna dan industri semakin
banyak yang dibuang. Keseimbangan ekosistem terjejas dengan teruk. Manusia
semakin tidak sabar hidup di bawah pendedahan sinar lampau ungu dari langit.
Barah menjadi pembunuh nombor satu. Sel-sel tumor benign yang tidak terkawal lebih ganas daripada virus-virus HIV
atau Ebola. Masalah-masalah lain yang menyentuh keperluan hidup manusia menjadi
meruncing.
Untuk mengatasi
masalah-masalah itu, perbadanan-perbadanan antarabangsa dan
konsortium-konsortium terkemuka telah berbincang untuk menganjur dan membiayai
sebuah penjelajahan teragung dalam sejarah tamadun manusia pada abad itu.
Mereka telah bersetuju untuk melahirkan Projek NAUTILUS. Untuk menjayakan
projek itu, sebuah kapal angkasa telah dibina di Stesyen Angkasa Lepas Alma
XXI, milik sebuah perbadanan angkasa lepas antarabangsa. Kapal angkasa itu
dinamakan NAUTILUS, sempena nama kapal selam Dr Nemo di dalam novel “20,000
Liga di Bawah Laut” karya Jules Verne. Dengan terbinanya NAUTILUS, dunia telah
menyaksikan bertrilion laksa ringgit dilaburkan. Tidak sedikit kepakaran dan
tenaga manusia yang dikorbankan semata-mata untuk menjayakan projek tersebut.
Masa yang
ditunggu pun tiba. Empat orang angkasawan telah dipilih oleh masyarakat
antarabangsa untuk memandu NAUTILUS ke seluruh jagat raya. Mereka ialah Kapten
Abdul Wahid bin Abu Zain TLDM dari Malaysia, Leftenan Kolonel (U) Mokota Kazuya
Takoshi JRAF dari Jepun, Mejar Dr Masrojo bin Abdul Rahman ABRI dari Indonesia
dan Profesor Abdul Karim ibni Abdullah As-Saqib dari Libya. Setiap angkasawan
mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing.
Wahid
berpengalaman luas dalam hal ehwal pemerintahan kapal-kapal bersifat taktikal
dan strategik seperti kapal pengangkut pesawat, kapal pembinasa dan kapal
selam nuklear milik Tentera Laut Di-Raja
Malaysia. Di dalam misi NAUTILUS, dia bertindak sebagai Nakhoda.
Mokota, seorang
pegawai tinggi tentera dalam Japanese Royal Air Force, pernah bertugas sebagai
Pengarah Kejuruteraan Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Teluk Chiba, Tokyo. Dia
diberikan tugas sebagai Jurumudi.
Masrojo yang
bertugas di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia sering mengikuti
misi-misi penjelajahan ke Bulan dengan tujuan untuk mengkaji kesan-kesan
pertumbuhan mikroorganisma Bumi yang mempunyai potensi berguna kepada kehidupan
manusia di angkasa lepas. Di dalam misi itu, dia berperanan sebagai Bintara.
Karim ialah
bekas Rektor Universiti Antarabangsa Muammar Gaddafi, Tripoli, yang mendaki
tangga kerjaya sebagai pakar astronomi dan kosmologi tersohor. Dia merupakan
seorang cendikiawan ulung dalam bidangnya. Dia bertugas sebagai Jurukaji di
dalam misi tersebut.
Wahid mengambil
masa yang lama untuk berfikir. Dia tidak menduga bahawa NAUTILUS akan
berhadapan dengan saat-saat genting seperti itu. Terperangkap di dalam
bungkusan kegelapan di tengah-tengah angkasa raya, perhubungan yang terputus
dengan Kawalan Bumi, bersendirian di ruang angkasa yang tidak bertepi umpama
sebutir debu yang terawang-awang di udara, dan yang paling menggusarkannya
ialah apabila dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Sebagai Nakhoda, dia mesti
melakukan sesuatu.
“Jurumudi,” kata
Wahid kepada Mokota.
Mokota bersiap
siaga mendengar arahan Wahid.
“Buat persiapan
untuk berlepas. NAUTILUS akan meneruskan pengembaraan. Anak-anak kapal, ambil
tempat masing-masing!” Perintah Wahid lagi.
Karim dan
Masrojo telah berada di kedudukan mereka. Anjungan telah diletakkan dalam
keadaan bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan.
“Laraskan
kelajuan kepada paras ketiga kelajuan cahaya. Kita akan menuju ke suatu arah
yang akan dimaklumkan.”
“NAUTILUS sedia
untuk berlepas!” Seru Mokota.
“Kemudikan
haluan kepada sifar, satu, dua, timur. Tempoh perjalanan selama dua jam.
Berlepas dalam tempoh sepuluh minit!”
Jurumudi membuat
persiapan terakhir.
“Tempoh berlepas
semakin hampir. Dengan kiraan, tujuh, enam, lima , empat, tiga, dua, satu, sifar!”
“Berlepas!”
Arahan itu
merupakan arahan terakhir Nakhoda NAUTILUS. Tiba-tiba alam sekeliling menjadi
terang-benderang. Mereka tidak dapat mengenalpasti arah punca cahaya itu kerana
keamatannya sangat melampau. Wahid dapat merasai suasana tegang dalam Anjungan.
Sesuatu yang memusuhinya… bukan, tetapi yang memusuhi seluruh angkawasan
NAUTILUS sedang berusaha memusnahkan mereka. Suasana dalam Anjungan bertukar
menjadi serba putih. Udara semakin panas menggelegak.
“Wahid, aku
tidak dapat melihat!” Seru Mokota.
“Tubuhku
terbakar!” Teriak Karim.
“Masrojo!
Masrojo! Di mana kau?” Wahid sedar bahawa Masrojo telah sirna dari Anjungan.
Tiba-tiba
sinaran cahaya putih bertukar menjadi simbahan api yang membakar seluruh ruang
Anjungan.
“Aaarrrggghhh…!!!”
Jeritan
anak-anak kapal semakin sayup pada pendengaran Nakhoda.
TAMAT.
TAMAT.
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2012
Nota kaki:
- Cerpen ini merupakan sebuah naskhah kerja kursus bagi kursus
Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada
semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan
yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen ini adalah cerpen kelima
dan terakhir yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang
mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Kelima menulis sebuah cerpen dan
dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan.
- Naskhah ini ditulis semula daripada naskhah asal cerita panjang
yang saya tulis berjudul “Bermulanya Sebuah Prolog” menggunakan pensil 2B
di dalam buku tulis ‘fullscap’ berkulit tebal yang turut memuatkan lagi 4
cerita panjang – “Kisah di Hutan Darat”, “Pertarungan di Lembangan
Kazaristan”, “Tragedi Bukit Soga” dan “Penaklukan Belalang Raksasa”.
- Sumber inspirasi naskhah “Bermulanya Sebuah Prolog” ialah sebuah novel tulisan Abdul Ahmad berjudul “Pelarian ke Angkasa”.
- Idea cerita panjang itu ialah sekumpulan angkasawan yang dihantar
ke angkasa lepas untuk menyiasat kemungkinan manusia boleh menghuni planet
lain, kemudian mereka telah menempuh suatu pengalaman misteri yang tidak dapat
dihuraikan sama sekali, sekalipun oleh tukang tulis cerita. Teks asal “Bermulanya
Sebuah Prolog” mempunyai naratif yang tidak teratur, sukar difahami dan
banyak idea liar seorang kanak-kanak (iaitu peringkat usia saya semasa
menulis cerita itu) yang membayangkan apa dan bagaimana kehidupan manusia
di dalam sebuah kapal angkasa di angkasa lepas. Apabila semakin dewasa dan
semakin luas pembacaan dan pemahaman tentang teknologi angkasa lepas, barulah saya perbaharui
naskhah ini berulangkali hingga jadi seperti sekarang.
- Teks ini telah saya memuatnaik di
laman web www.eSastera.com versi lama dengan judul “NAUTILUS” tetapi laman
web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak
berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting.
E-Sastera telah mencipta laman web versi baru, tetapi saya belum
menghantar sebarang cerpen baru saya ke sana walaupun sudah lebih dua
tahun saya membuka akaun untuk berkarya di situ. E-Sastera kini sudah buka
laman Facebook Bahagian Cerpen. Saya juga belum memuatnaik sebarang karya
baru saya di situ.
- Saya sedang berkira-kira untuk menjadikan
“NAUTILUS” sebagai “Bab 1” sebuah novel fantasi yang saya sedang tulis
sekarang. Dengan demikian barulah para pembaca dapat jawapan nasib 4 angkasawan
tersebut setelah bertembung dengan suatu kuasa ghaib di dalam lohong hitam
di angkasa lepas.