Selasa, 29 September 2015

19 NAUTILUS

Kredit kertas dinding Portal Rasmi Agensi Angkasa Negara, Malaysia
Dia membiarkan NAUTILUS terapung di angkasa. Memang itu arahannya kepada Mokota yang bertindak sebagai Jurumudi. Wahid sedang memikirkan arahan lanjut kepada Jurumudi. Anak-anak kapal sabar menunggu arahan Wahid. Karim dan Masrojo menanti dengan tenang di dalam suasana yang bakal mengundang seribu ketegangan.

“Di manakah kedudukan NAUTILUS  sekarang, Jurumudi?” Soal Wahid.

Mokota teragak-agak untuk memberikan jawapan yang pasti kerana dia tidak berupaya mengesan kapal angkasa itu di atas peta cakerawala.

“Ada masalah, Jurumudi?” Soal Wahid lagi.

Karim dan Masrojo semakin gusar.

“NAUTILUS tidak dapat dikesan di atas peta cakerawala, Nakhoda,” jawab Mokota.

Jawapan Mokota menghairankan Wahid. Bagaimanakah NAUTILUS boleh tidak dapat dikesan di atas peta cakerawala? Dia sangat pasti bahawa seluruh sistem berada dalam keadaan baik. Sistem Radar dan Sensor di Unit Kawalan berada pada tahap yang paling baik setelah mereka meninggalkan Marikh dua minggu lalu.

Kini haluan NAUTILUS ialah Musytari. Sebelum tiba di Musytari, ia terpaksa melepasi halangan berupa Gelang Asteroid. Gelang Asteroid ialah suatu kawasan di angkasa lepas dalam Sistem Solar yang terdiri daripada batu-batu angkasa yang bebas bergerak dengan kelajuan lampau yang mempunyai orbit sendiri. Terdapat berjuta-juta batu angkasa di dalam Gelang Asteroid yang bergerak di atas orbit masing-masing mengitari matahari. Bagi Wahid, batu-batu angkasa itu merupakan ancaman kepada misi NAUTILUS.

Walaupun sebelum itu banyak misi proba satelit yang berjaya melepasi Gelang Asteroid dan mengirimkan banyak gambar foto planet-planet Jovian yang terdiri daripada Musytari, Zuhal dan Uranus, tetapi dia tidak yakin yang kapal angkasa sebesar NAUTILUS boleh mengelak batu-batu angkasa yang melayang tanpa kawalan. Jika tidak berhati-hati, harus NAUTILUS dihentam oleh batu-batu angkasa yang tidak bermata dan itu bermakna kemusnahan bagi misi agung itu. Dia bertanggungjawab terhadap NAUTILUS dan dia tidak mahu NAUTILUS mengalami kemusnahan.

“Bintara, hubungi Kawalan Bumi dan beritahu mereka bahawa NAUTILUS tidak dapat dikesan di atas peta cakerawala,” arah Wahid.

“Baik, Nakhoda,” sahut Masrojo.

“Jurukaji, selidik apa yang sedang berlaku di sekeliling atmosfera NAUTILUS dan cari jawapan bagaimana keadaan itu boleh berlaku,” arah Wahid lagi.

“Baik, Nakhoda,” sahut Karim.

Karim bangkit dari tempat duduk dan berjalan keluar meninggalkan Anjungan. Dia pergi ke Balai Cerap Eridanus kerana segala peralatan dan kelengkapan penyelidikan berada di situ. Masrojo cuba menghubungi Kawalan Bumi. Kelihatan sedikit riak ketegangan di wajah Masrojo setiap kali percubaannya menemui kegagalan. Dia cuba mengesan sebarang kerosakan yang dialami Sistem Komunikasi. Sebarang kerosakan sistem itu merupakan musibah besar terhadap misi tersebut. Jika sahih sistem itu mengalami kerosakan, ia perlu diperbaiki segera.

“Jurumudi, apakah kedudukan NAUTILUS sebelum ia hilang dari peta cakerawala?” Soal Wahid.

“36 darjah positif longitud universal dan 18.5 darjah negatif latitud universal,” jawab Mokota.

“Hmm, lebih kurang 0.3 unit astronomi setelah kita meninggalkan Marikh,” ulas Wahid.

“Betul, Nakhoda. Berdasarkan jangkaan perjalanan, sekarang ini kita sepatutnya berada 0.8 u.a. dari Marikh.”

“Bererti NAUTILUS tidak mengetahui di mana ia berada sepanjang perjalanan sejauh 0.5 u.a.,” Wahid membuat kesimpulannya sendiri.

Mokota juga berasa hairan di atas apa yang sedang berlaku. Dia tidak menduga bahawa kejadian itu akan berlaku ke atas mereka.

Dia melihat ke luar angkasa lepas. Pandangannya membatasi bidang kaca. Jika dilihat dari Bumi, angkasa lepas sangat indah apabila ditatap pada waktu malam kerana dihiasi bintang-bintang bertaburan. Pada suatu ketika dahulu dari dalam kapal angkasa, dia boleh melihat dengan jelas bintang-bintang berbagai warna yang diselubungi nebula berwarna-warni. Setelah menatap pemandangan angkasa lepas di luar kapal angkasa selama beberapa ketika, dia berasa hairan.

Ke manakah perginya bintang-bintang penghias angkasa raya? Di manakah batu-batu angkasa yang bebas melayang yang sepatutnya kelihatan dengan jelas dari jendela kapal angkasa pada masa kini? Ke manakah perginya semua objek angkasa lepas itu? Atmosfera sekeliling NAUTILUS gelap-gelita. Segelap lubang kubur? Tiada sedikit pun cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Di manakah NAUTILUS sebenarnya sedang berada?

Pada ketika itu barulah Mokota sedar bahawa NAUTILUS sedang dibungkus kegelapan yang abadi. Kegelapan yang abadi? Apakah semuanya akan berakhir di sini? Ya Tuhan, kenapalah ini yang Kau taqdirkan ke atas kami?

NAUTILUS terpencil di tengah-tengah angkasa lepas yang hitam, jauh dari segala bintang, planet, malah dari sebarang bentuk kehidupan yang boleh dikesan. NAUTILUS telah lama bersendirian di dalam alamnya sendiri. Tiada siapa yang tahu di mana NAUTILUS sedang berada.

Kredit kepada Adrian Tiba untuk model kapal angkasa yang
beliau reka yang dimuatnaik di laman web beliau di
www.adriantiba.com.
 
Wahid turut melihat kegelapan abadi yang telah dilihat oleh Mokota. Dia juga sedar bahawa NAUTILUS sedang bersendirian di angkasa raya tanpa ditemani sinaran bintang, kepulan nebula, asteroid, curahan meteor atau larian komet. Malahan lebih daripada itu, dia telah melihat sesuatu yang tidak dilihat oleh Mokota. Jauh di dalam kegelapan, dia melihat suatu imej yang dahsyat.

Pada mulanya, imej itu kabur. Setelah mengawasi sekian lama, dia dapat melihat imej itu dengan jelas. Dia berasa terkejut. Tiba-tiba dadanya berdebar kencang. Imej seperti suatu makhluk perkasa berjubah hitam sedang merenung tajam ke arahnya dengan mata yang merah menyala. Pandangan makhluk itu mengandung kemarahan. Makhluk berwajah bengis bertanduk dua itu melemparkan kemarahan abadi kepadanya! Kemarahan abadi di dalam kegelapan abadi terhadap seorang insan kerdil yang terpencil di tengah-tengah angkasa raya yang hitam. Fikirannya cuba menafsirkan maksud kehadiran makhluk itu di sisi NAUTILUS. Tiba-tiba imej itu hilang dari pandangannya. Kemudian dia terdengar suara memanggilnya. Dia kembali ke alam sedar.

“Nakhoda! Nakhoda!”

Suara Karim kedengaran memanggilnya. Karim sudah berada di Anjungan dan duduk di tempatnya.

“Apa yang kau dapat di Balai Cerap Eridanus?” Tanya Wahid.

“Pencerap-pencerap kita tidak mampu mengesan sebarang objek di sekeliling NAUTILUS. Bagaimanakah objek-objek itu boleh dikesan kalau semua itu tidak wujud? Aku berani bertaruh bahawa NAUTILUS tidak lagi berada di dalam Sistem Solar.”

Kata-kata Karim memeranjatkan anak-anak kapal yang berada di Anjungan.

“Kata-kata Jurukaji mungkin benar, Nakhoda. Kawalan Bumi tidak dapat dihubungi. Sistem Komunikasi tidak menerima sebarang isyarat gelombang radio semenjak tiga hari lalu.”

Kini Wahid sedar bahawa NAUTILUS sedang berada di suatu dimensi asing. Dia percaya bahawa anak-anak kapalnya telah faham akan hal itu. Mereka berkongsi kesedaran yang sama.

“Karim,” katanya. “Terangkan apa yang telah kau buat di balai cerap?”

“Perkara pertama yang aku lakukan ialah mencerap sinar gamma kerana sinar radioaktif itu amat peka untuk dikesan oleh radas-radas pencerap. Apa yang aku perolehi di atas paparan bacaan ialah paparan yang kosong. Tiada sebarang bacaan meskipun radas Sistem Cerapan berada dalam keadaan yang baik. Kemudian aku cuba mengesan gelombang mikro yang mungkin melintasi NAUTILUS. Osiloskop juga tidak menunjukkan sebarang bacaan. Aku berasa hairan kenapa Sistem Cerapan tidak mampu mengesan sebarang sinar dan gelombang yang wujud dalam alam semesta ini. Akhirnya aku cuba memerhatikan bintang-bintang melalui teleskop. Apa yang memeranjatkan aku ialah tiada sebutir bintang pun yang boleh dilihat melalui teleskop meskipun aku menggunakan resolusi yang paling tinggi. NAUTILUS seolah-olah berada di dalam vakum.”

“Apakah kita dibungkus jasad gelap?” Tanya Mokota.

“Tidak. Analisis pencerap membuktikan yang kita tidak berada di dalam jasad gelap,” jawab Karim.

“Apakah kita sedang menghampiri lohong hitam?” Tanya Masrojo.

“Tidak. Keadaan fizikal NAUTILUS yang normal tidak membuktikan yang ia sedang berada di bawah pengaruh lohong hitam,” jawab Karim penuh yakin. “Nakhoda, aku khuatir jika keadaan ini menyebabkan misi NAUTILUS gagal,” tambah Karim lagi.

Tiada sebarang ulasan terhadap pandangan Karim. Mereka sedar bahawa misi NAUTILUS merupakan satu-satunya misi teragung di antara misi-misi yang pernah dilancarkan sebelum itu. Belum pernah ada misi angkasa lepas yang dikawalkendali sepenuhnya oleh manusia selain daripada misi NAUTILUS. Objektif misi NAUTILUS ialah untuk membuat penyelidikan tentang kemungkinan manusia boleh berumahtangga atau membina tamadun di luar biosfera.

Bumi semakin sempit kerana manusia semakin ramai. Kemajuan industri telah mencapai kemuncak sehingga alam sekitar tidak mampu lagi menampung sisa-sisa industri. Barang pengguna semakin banyak dihasilkan, sisa-sisa pengguna dan industri semakin banyak yang dibuang. Keseimbangan ekosistem terjejas dengan teruk. Manusia semakin tidak sabar hidup di bawah pendedahan sinar lampau ungu dari langit. Barah menjadi pembunuh nombor satu. Sel-sel tumor benign yang tidak terkawal lebih ganas daripada virus-virus HIV atau Ebola. Masalah-masalah lain yang menyentuh keperluan hidup manusia menjadi meruncing.

Untuk mengatasi masalah-masalah itu, perbadanan-perbadanan antarabangsa dan konsortium-konsortium terkemuka telah berbincang untuk menganjur dan membiayai sebuah penjelajahan teragung dalam sejarah tamadun manusia pada abad itu. Mereka telah bersetuju untuk melahirkan Projek NAUTILUS. Untuk menjayakan projek itu, sebuah kapal angkasa telah dibina di Stesyen Angkasa Lepas Alma XXI, milik sebuah perbadanan angkasa lepas antarabangsa. Kapal angkasa itu dinamakan NAUTILUS, sempena nama kapal selam Dr Nemo di dalam novel “20,000 Liga di Bawah Laut” karya Jules Verne. Dengan terbinanya NAUTILUS, dunia telah menyaksikan bertrilion laksa ringgit dilaburkan. Tidak sedikit kepakaran dan tenaga manusia yang dikorbankan semata-mata untuk menjayakan projek tersebut.

Masa yang ditunggu pun tiba. Empat orang angkasawan telah dipilih oleh masyarakat antarabangsa untuk memandu NAUTILUS ke seluruh jagat raya. Mereka ialah Kapten Abdul Wahid bin Abu Zain TLDM dari Malaysia, Leftenan Kolonel (U) Mokota Kazuya Takoshi JRAF dari Jepun, Mejar Dr Masrojo bin Abdul Rahman ABRI dari Indonesia dan Profesor Abdul Karim ibni Abdullah As-Saqib dari Libya. Setiap angkasawan mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing.

Wahid berpengalaman luas dalam hal ehwal pemerintahan kapal-kapal bersifat taktikal dan strategik seperti kapal pengangkut pesawat, kapal pembinasa dan kapal selam nuklear milik Tentera Laut Di-Raja Malaysia. Di dalam misi NAUTILUS, dia bertindak sebagai Nakhoda.

Mokota, seorang pegawai tinggi tentera dalam Japanese Royal Air Force, pernah bertugas sebagai Pengarah Kejuruteraan Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Teluk Chiba, Tokyo. Dia diberikan tugas sebagai Jurumudi.

Masrojo yang bertugas di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia sering mengikuti misi-misi penjelajahan ke Bulan dengan tujuan untuk mengkaji kesan-kesan pertumbuhan mikroorganisma Bumi yang mempunyai potensi berguna kepada kehidupan manusia di angkasa lepas. Di dalam misi itu, dia berperanan sebagai Bintara.

Karim ialah bekas Rektor Universiti Antarabangsa Muammar Gaddafi, Tripoli, yang mendaki tangga kerjaya sebagai pakar astronomi dan kosmologi tersohor. Dia merupakan seorang cendikiawan ulung dalam bidangnya. Dia bertugas sebagai Jurukaji di dalam misi tersebut.

Wahid mengambil masa yang lama untuk berfikir. Dia tidak menduga bahawa NAUTILUS akan berhadapan dengan saat-saat genting seperti itu. Terperangkap di dalam bungkusan kegelapan di tengah-tengah angkasa raya, perhubungan yang terputus dengan Kawalan Bumi, bersendirian di ruang angkasa yang tidak bertepi umpama sebutir debu yang terawang-awang di udara, dan yang paling menggusarkannya ialah apabila dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Sebagai Nakhoda, dia mesti melakukan sesuatu.

“Jurumudi,” kata Wahid kepada Mokota.

Mokota bersiap siaga mendengar arahan Wahid.

“Buat persiapan untuk berlepas. NAUTILUS akan meneruskan pengembaraan. Anak-anak kapal, ambil tempat masing-masing!” Perintah Wahid lagi.

Karim dan Masrojo telah berada di kedudukan mereka. Anjungan telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan.

“Laraskan kelajuan kepada paras ketiga kelajuan cahaya. Kita akan menuju ke suatu arah yang akan dimaklumkan.”

“NAUTILUS sedia untuk berlepas!” Seru Mokota.

“Kemudikan haluan kepada sifar, satu, dua, timur. Tempoh perjalanan selama dua jam. Berlepas dalam tempoh sepuluh minit!”

Jurumudi membuat persiapan terakhir.

“Tempoh berlepas semakin hampir. Dengan kiraan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satu, sifar!”

“Berlepas!”

Arahan itu merupakan arahan terakhir Nakhoda NAUTILUS. Tiba-tiba alam sekeliling menjadi terang-benderang. Mereka tidak dapat mengenalpasti arah punca cahaya itu kerana keamatannya sangat melampau. Wahid dapat merasai suasana tegang dalam Anjungan. Sesuatu yang memusuhinya… bukan, tetapi yang memusuhi seluruh angkawasan NAUTILUS sedang berusaha memusnahkan mereka. Suasana dalam Anjungan bertukar menjadi serba putih. Udara semakin panas menggelegak.

“Wahid, aku tidak dapat melihat!” Seru Mokota.

“Tubuhku terbakar!” Teriak Karim.

“Masrojo! Masrojo! Di mana kau?” Wahid sedar bahawa Masrojo telah sirna dari Anjungan.

Tiba-tiba sinaran cahaya putih bertukar menjadi simbahan api yang membakar seluruh ruang Anjungan.

“Aaarrrggghhh…!!!”

Jeritan anak-anak kapal semakin sayup pada pendengaran Nakhoda.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2012


Nota kaki:
  1. Cerpen ini merupakan sebuah naskhah kerja kursus bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen ini adalah cerpen kelima dan terakhir yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Kelima menulis sebuah cerpen dan dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan.
  2. Naskhah ini ditulis semula daripada naskhah asal cerita panjang yang saya tulis berjudul “Bermulanya Sebuah Prolog” menggunakan pensil 2B di dalam buku tulis ‘fullscap’ berkulit tebal yang turut memuatkan lagi 4 cerita panjang – “Kisah di Hutan Darat”, “Pertarungan di Lembangan Kazaristan”, “Tragedi Bukit Soga” dan “Penaklukan Belalang Raksasa”.
  3. Sumber inspirasi naskhah “Bermulanya Sebuah Prolog” ialah sebuah novel tulisan Abdul Ahmad berjudul “Pelarian ke Angkasa”. 

  1. Idea cerita panjang itu ialah sekumpulan angkasawan yang dihantar ke angkasa lepas untuk menyiasat kemungkinan manusia boleh menghuni planet lain, kemudian mereka telah menempuh suatu pengalaman misteri yang tidak dapat dihuraikan sama sekali, sekalipun oleh tukang tulis cerita. Teks asal “Bermulanya Sebuah Prolog” mempunyai naratif yang tidak teratur, sukar difahami dan banyak idea liar seorang kanak-kanak (iaitu peringkat usia saya semasa menulis cerita itu) yang membayangkan apa dan bagaimana kehidupan manusia di dalam sebuah kapal angkasa di angkasa lepas. Apabila semakin dewasa dan semakin luas pembacaan dan pemahaman tentang teknologi angkasa lepas, barulah saya perbaharui naskhah ini berulangkali hingga jadi seperti sekarang.
  2. Teks ini telah saya memuatnaik di laman web www.eSastera.com versi lama dengan judul “NAUTILUS” tetapi laman web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting. E-Sastera telah mencipta laman web versi baru, tetapi saya belum menghantar sebarang cerpen baru saya ke sana walaupun sudah lebih dua tahun saya membuka akaun untuk berkarya di situ. E-Sastera kini sudah buka laman Facebook Bahagian Cerpen. Saya juga belum memuatnaik sebarang karya baru saya di situ.
  3. Saya sedang berkira-kira untuk menjadikan “NAUTILUS” sebagai “Bab 1” sebuah novel fantasi yang saya sedang tulis sekarang. Dengan demikian barulah para pembaca dapat jawapan nasib 4 angkasawan tersebut setelah bertembung dengan suatu kuasa ghaib di dalam lohong hitam di angkasa lepas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan