Cahaya suria pagi yang memancar terik meninggikan suhu permukaan
gurun. Langit biru amat bersih daripada gumpalan awan.
Khalid merenung jauh ke arah horizon dari atas kudanya. Tidak
kelihatan tanda-tanda askar Romawi muncul di situ.
Herkules, Maharaja Romawi Timur Bizantium, akan turut serta
mengiringi tenteranya di dalam kempen perang terhadap bangsa Arab dan penghuni
daerah Hijaz.
Seorang musafir dari Damsyik telah menceritakan bahawa Maharaja
Herkules telah menghantar sebuah legion lengkap dengan peralatan perang sebagai
persediaan peperangan berskala besar terhadap kuasa Arab. Legion Romawi itu
akan dipimpin oleh seorang senturion Armenia , Panglima Mahan.
Tambah musafir itu lagi, rakyat di kawasan taklukan Bizantium sudah
ada yang bangkit memberontak. Kuasa kuku besi Maharaja Herkules telah menindas
kehidupan seharian mereka. Kata musafir itu, jika bangsa Arab tidak memiliki
kelengkapan yang cukup dan tentera yang ramai, lebih baik berundur dari
perbatasan kerana askar-askar Romawi terkenal dengan tindakan perang yang ganas
dan tidak mengenal belas terhadap musuh-musuh mereka.
“Kami baru datang dari Parsi. Mahligai Putih milik Kisra Parsi telah
kami tawan dan seluruh keluarga baginda telah menerima Islam dengan aman. Kalau
kaum Majusi itu boleh kami tewaskan, tidak ada sebab kenapa kaum Romawi tidak
boleh tunduk kepada kami. Kami yakin bahawa Allah selalu bersama kami. Allah
akan mengirim bantuan kepada kaum yang ingin dibantuNya. Selagi Allah bersama
kami, tentera Bizantium bukanlah tandingan kami,” kata Khalid.
Khalid mengucapkan terima kasih kepada musafir itu di atas maklumat
yang telah disampaikannya. Sebagai balasan, Khalid menghadiahkan tiga guni
gandum, tujuh tandan tamar dan sepasang kibas jantan betina yang sihat
kepadanya.
“Ambillah hadiah kami untuk keperluan Tuan dan kaum Tuan.”
Musafir itu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas
pemberian Khalid.
“Kami mendoakan kejayaan Tuan. Semoga kuasa Hijaz akan memakmurkan
bumi Sham.”
“Insya Allah.”
Angin pagi terus berpuput mengutip pasir-pasir halus dan membaling
ke arah tubuh Khalid.
Selepas kejayaan kempen di Basrah, Khalifah Abu Bakar memerintahkan
Khalid supaya memimpin sepasukan tentera ke Sham. Pasukan Khalid dikehendaki
bergabung dengan pasukan Abu Ubaidah. Sebelum bertolak, pemerintahan Basrah
telah diserahkan kepada Al-Muthanna.
Setelah tiba di tebing Sungai Yarmuk, tentera dari Basrah terus
bergabung dengan tentera perbatasan Sham. Di Yarmuk, Abu Ubaidah dan
panglima-panglima kanan yang lain telah bermuafakat untuk melantik Khalid
sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Islam. Reputasi Khalid sebagai penumpas
Panglima Hormuz, panglima perang Parsi terbilang, akan meninggikan moral
pasukan tentera. Khalifah Abu Bakar memperkenankan perlantikan itu.
Di dalam satu khutbah Jumaat, Khalid telah menyeru tentera Islam
supaya bersatu hati menentang musuh-musuh Allah dan mentaati perintah medan
daripada satu arahan sahaja, iaitu daripada Khalid sendiri. Seramai 36,000
orang askar akan tetap dihantar ke medan perang untuk menggalang pencerobohan
tentera Romawi ke dalam daerah Hijaz.
Khalid menarik tali kekang kuda. Dia membuat rondaan ke seluruh
pelusuk kawasan perkhemahan. Dia ingin meninjau sendiri persiapan askar-askar
pada saat-saat akhir perang yang semakin dekat.
Dengan persetujuan panglima-panglima kanan, pasukan tentera Islam
telah dipecahkan kepada empat bahagian dan 36 pasukan. Strategi dan taktik
perang yang dirangka berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, akan
diberitahu oleh panglima-panglima bahagian kepada ketua-ketua pasukan.
Dia melihat Abu Ubaidah sedang menyiapkan pelana kudanya sendiri.
Khalid menunggang kuda menghampiri Abu Ubaidah.
“Assalamualaikum,” Khalid memberi salam.
“Waalaikumussalamu warahmatullah,” balas Abu Ubaidah. “Apakah
tentera Romawi telah tiba, Saifullah?”
Abu Ubaidah memanggil Khalid dengan gelaran Saifullah kerana
panggilan itu telah diberikan sendiri oleh Rasulullah SAW kepada Khalid sewaktu
baginda masih hidup dahulu.
“Belum.”
“Kau tau Khalid, perkara yang paling aku tak sabar ialah menunggu
kedatangan musuh di medan perang. Aku sudah lama merindu untuk mati syahid
sebagai orang perjuangan yang menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Aku
ingin menurut jejak Zaid, Abdullah dan Jaafar semasa kita berperang di Muktah
dulu. Tidakkah kau ingin ikut jejak mereka?”
Khalid mendiamkan diri. Nama-nama itu telah mengingatkannya tentang medan Muktah. Ketiga-tiga
sahabat yang dinamakan Rasulullah SAW itu telah gugur di hujung senjata tentera
Ghassan yang disokong oleh kerajaan Romawi Bizantium. Setelah mereka terbunuh
seorang demi seorang, tentera Islam telah bersepakat untuk melantik Khalid
mengetuai tindakan perang di Muktah.
Mereka kembali ke Madinah dari Muktah dengan tidak membawa
kemenangan atau kekalahan. Sebaliknya, sekumpulan kecil dari tentera Islam itu
dengan rela hati telah menetap di perbatasan untuk meneruskan misi dakwah
Islamiah di kalangan penduduk perbatasan utara Hijaz.
“Tiada siapa yang akan menolak mati syahid. Aku pun ingin mati
syahid. Tetapi aku inginkan kemenangan sebelum aku mati menghadap Allah. Dengan
menangnya Islam di muka bumi, barulah jiwaku akan berasa aman untuk
meninggalkan dunia fana ini yang akan diwarisi oleh mereka yang masih hidup.”
“Aku rasa begitu bersemangat sekali bila mendengar kata-katamu,
Khalid,” kata Abu Ubaidah.
“Aku harap, sekalian tentera Islam yang menyertai kita turut
bersemangat,” kata Khalid.
“Demi Allah, Khalid, demi Allah, sudah tentu tentera kita adalah
sebaik-baik tentera.”
Dengan kata-kata itu, Khalid tahu bahawa pasukan Abu Ubaidah
sentiasa mengekalkan diri mereka dalam keadaan taat kepada Allah dan Rasul.
“Kau telah menjaga ketumbukan ini dengan baik, Abu Ubaidah. Semoga
Allah akan mengirim bantuan kepada pasukanmu dan pasukan-pasukan lain.”
“Insya Allah.”
“Aku ingin kembali ke khemah. Jika ada berita tentang askar Romawi,
cari aku di khemah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalamu warahmatullah.”
Tentera Romawi Bizantium tiba di medan Yarmuk. Ikrimah yang bertugas
sebagai pengintip di hujung medan
menyampaikan berita itu kepada Khalid. Khalid
memerintahkan Ikrimah supaya memanggil panglima-panglima kanan datang
bermesyuarat di khemahnya.
Di dalam taklimat medan terakhir itu, Khalid menerangkan bahawa
tindakan perang terpaksa diambil untuk menjaga keselamatan Semenanjung Arab dan
warganya daripada pencerobohan dan penindasan kuasa-kuasa asing. Setelah
beberapa sessi perundingan untuk berdamai dibuat di antara wakil-wakil
kedua-dua belah pihak, wakil Maharaja Herkules mengambil keputusan untuk berperang.
Kemaraan tentera Bizantium di dalam kawasan Hijaz mesti dihalang. Jika Allah
menghendaki tentera Islam menang, umat Islam akan berpeluang menjadi penjaga
dua buah kota
suci, Baitul Haram dan Baitul Muqaddis.
“Kita hendaklah menjaga adab-adab berperang seperti yang digariskan
oleh Khalifah Abu Bakar. Saya berdoa agar kita tidak akan kalah. Kita hanya ada
dua pilihan. Menang, dengan penuh kemuliaan dan keberkatan, atau mati syahid,
dengan kehendak Allah. Insya Allah, Allah akan bersama kita.”
Setelah menyampaikan taklimat medan tersebut, panglima-panglima itu
kembali ke pasukan masing-masing dan mengeluarkan arahan kepada tentera Islam
supaya menyusun barisan.
Pasukan Khalid berada di pinggir medan Yarmuk. Mereka memerhatikan
kemaraan pasukan tentera Romawi Bizantium pimpinan Panglima Mahan. Maharaja
Herkules telah menghantar 240,000 askar untuk menghancurkan tentera dari Hijaz.
Dari tepi medan, kelihatan dengan jelas Panglima Mahan mengatur dan
memecahkan barisan tentera kepada beberapa bahagian. Pasukan infantri berjalan
dahulu memasuki medan .
Pasukan pemanah berjalan di belakang pasukan infantri dan mengambil kedudukan
jarak anak panah yang sesuai. Pasukan kavalri mengapit kiri dan kanan pasukan
infantri. Pasukan pelentik bertungkus-lumus menarik unit-unit pelentik masuk ke
dalam medan
supaya berada di kedudukan jarak bom api yang sesuai.
Pasukan gendang perang berterusan memukul gendang untuk
membangkitkan rasa gagah berani di dalam jiwa askar-askar Maharaja Bizantium.
Panji-panji Romawi Timur berkibar megah diarak oleh pasukan panji-panji.
Musuh kelihatan terlalu hebat dan kuat!
Khalid memandang Syurahbil dan memberi isyarat mara.
Syurahbil yang memimpin pasukan infantri memberi perintah maju ke
medan. Serentak dengan itu, pasukan pemanah pimpinan Yazid terus mengambil
kedudukan di lereng-lereng bukit yang melindungi kedudukan tentera Islam.
Pasukan kavalri pimpinan Abu Ubaidah menunggu penuh sabar di pinggir medan . Pasukan pelentik
pimpinan Amru telah pun bersedia dengan peluru-peluru batu. Pasukan Ikrimah
bersedia melepaskan roda-roda kayu gergasi dari lereng-lereng bukit untuk
memecahkan barisan musuh.
Kedua-dua pasukan infantri berada di tengah-tengah medan Yarmuk.
Mereka saling berhadapan. Panglima Mahan memberi perintah menyerang. Pasukan
Romawi terus menyerbu ke tengah medan .
Syurahbil turut memberi arahan menyerang. Pasukan tentera Islam terus menyerbu
membalas pukulan tentera Romawi.
Beribu-ribu anak panah berapi dari kedudukan pemanah tentera Romawi
berterbangan di udara. Pemanah tentera Islam pula membalas serangan panah dari
lereng-lereng bukit. Bom-bom berapi Romawi menghujani medan perang, membakar lawan dan kawan.
Pelentik-pelentik tentera Islam turut menghujankan bom-bom batu ke arah
kedudukan musuh.
Khalid bersama pasukan kavalri Abu Ubaidah menggempur kedudukan
musuh. Panglima Mahan turut berjuang bersama pasukan kavalri menghimpit pasukan
yang sedang bertempur di tengah-tengah padang
Yarmuk.
Ketika pertempuran sedang meletus, roda-roda kayu gergasi pasukan
Ikrimah dilepaskan dari lereng-lereng bukit. Barisan pertahanan musuh pecah.
Ketinggian roda-roda kayu telah menghalang pandangan musuh untuk menerima
arahan medan
daripada para senturion. Pasukan Ikrimah terus bergabung dengan pasukan pemanah
Yazid.
Bunyi pedang dan perisai yang berlaga menggamatkan suasana perang.
Seorang demi seorang perwira handalan dari kedua-dua pihak gugur ke bumi. Jerit
sakit dan raung perit mengisi ruang udara Yarmuk. Mata-mata pedang ghairah
menghiris daging-daging musuh. Darah memancut-mancut dan keluar membuak-buak
membasahi bumi dari tubuh perajurit-perajurit yang tewas.
Tidak jauh dari medan perang, di atas sebuah bukit pasir, Maharaja
Herkules menyaksikan perang yang seru dari bawah sebuah tenda di-raja bersama
sekumpulan pretoriat pengiring.
Di dalam perang itu, Maharaja Herkules telah mengumpulkan seluruh
legion di Yarmuk untuk menghapuskan pengaruh kerajaan Hijaz pimpinan Khalifah
Abu Bakar. Dia telah menjadikan Yarmuk sebagai medan penentu masa hadapan Romawi Timur di
tanah Hijaz. Seluruh harapan telah diletakkan di pundak Panglima Mahan untuk
memimpin askar-askar Bizantium ke arah kemenangan.
Pasukan Arab akan dihalau balik ke padang pasir Hijaz. Bizantium
mesti menang di Yarmuk!
Di dalam pusingan pertama perang, tentera Hijaz seolah-olah akan
menerima kekalahan yang amat teruk kerana bilangan mereka yang terlalu sedikit.
Namun, detik-detik akhir di dalam pusingan pertama itu telah menyaksikan jumlah
korban yang amat besar di pihak tentera Romawi.
Ketika perang sedang memuncak, perkhemahan tentera Islam dikunjungi
utusan dari Madinah. Utusan itu ingin berjumpa Khalid dengan segera. Seorang
perajurit mengiringi utusan itu ke khemah Khalid dan meminta utusan itu
menunggu di situ. Perajurit itu kemudian menaiki kuda menuju ke tengah medan perang mencari
Khalid.
Tidak berapa lama kemudian, perajurit itu kembali bersama Khalid.
Apabila tiba di khemah, Khalid dan perajurit itu turun dari kuda masing-masing.
Khalid mempersilakan utusan itu masuk ke dalam khemahnya.
“Saya membawa warkah dari Khalifah Umar Al-Faruq untuk Tuan Panglima
Khalid.”
Khalid dan perajurit di sisinya terkejut mendengar kata-kata utusan
tersebut.
“Apa yang telah terjadi kepada Khalifah Abu Bakar?” Soal Khalid.
“Khalifah Abu Bakar telah meninggal dunia setelah sakit demam selama
beberapa hari. Sebelum meninggal dunia, beliau telah melantik Umar menggantikan
tempatnya. Para sahabat tidak membantah dan
seluruh warga Madinah bersetuju dengan pilihan Abu Bakar.”
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.”
“Ini perintah Khalifah Umar yang pertama sebaik sahaja beliau
menggantikan Abu Bakar.”
Khalid menerima warkah itu. Dia membaca dengan teliti kandungan
warkah tersebut. Kemudian dia memandang utusan itu lalu berkata dengan tenang,
“Beritahu Khalifah, Khalid berperang di Yarmuk bukan kerana Umar,
Abu Bakar atau sesiapa. Perintah Umar akan dilaksanakan segera.”
“Kalau begitu, izinkan saya kembali ke Madinah.”
“Silakan. Sampaikan salam kami di Yarmuk kepada warga Madinah. Kami
berharap, seluruh umat Islam mendoakan kemenangan kami.”
“Insya Allah.”
Khalid dan perajuritnya memerhatikan utusan itu meninggalkan
perkhemahan tentera Islam.
“Mari kita teruskan perjuangan,” kata Khalid.
Di tengah-tengah medan perang, Khalid terlihat Abu Ubaidah sedang
berada di dalam kesusahan. Dia dikepung oleh sekumpulan musuh. Khalid segera
menyerbu ke arah musuh-musuh itu untuk membantu Abu Ubaidah. Seorang demi
seorang askar Romawi itu tewas di hujung pedang Khalid.
Maharaja Herkules terkejut melihat perubahan imbangan kekuatan
tentera. Lebih tiga suku kekuatan tenteranya telah lenyap.
“Pretoriat!”
Seorang pretoriat pengiring berdalkin putih datang menyembah daulat.
“Beritahu Panglima Mahan, undurkan semua tentera!”
Pretoriat pengiring itu akur seraya menunggang seekor kuda menuju ke
medan Yarmuk.
Ketika legion Romawi semakin terdesak akibat asakan pasukan Hijaz,
Panglima Mahan terbunuh di hujung pedang Abu Ubaidah. Panji-panji Romawi Timur
Bizantium tumbang dan koyak-rabak diinjak kuda-kuda perang yang semakin
mengganas.
Kekalahan kian berpihak kepada Romawi. Setelah bertahan beberapa
lama menanggung derita perang, tentera Bizantium yang kehilangan ketua itu
meletakkan senjata dan menyerah diri.
Kemenangan berpihak kepada tentera dari Hijaz yang telah beralih
pimpinan di bawah Abu Ubaidah sebagai panglima baru.
“Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!”
Abu Ubaidah bertakbir meraikan kemenangan, diikuti pasukan
tenteranya.
Maharaja Herkules hilang segala pertaruhan. Legionnya kecundang. Dia
meninggalkan bukit pasir itu dengan hati yang amat kecewa. Mahkota Kaisar di
Konstantinople mula bergoncang.
“Selamat tinggal, Sham, daripada seorang yang tidak berharap akan
kembali lagi,” kata hatinya.
Senja melabuhkan sauh di hujung dunia. Malam meninggalkan siang yang
penuh dengan sejarah pahit perjuangan.
TAMAT.
www.melayu.com, 25
Julai 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001
Nota kaki:
- Naskhah ini telah ditulis setelah saya tamat Sekolah Agama Negeri
Johor Darjah 6 dan tunggu masa untuk masuk Darjah Khas. Masa itu saya
sedang habiskan cuti penggal ketiga setelah habis Tingkatan 2 dan tunggu
masa untuk masuk Tingkatan 3. Saya hanya merujuk kepada Kitab Tarikh
Khulafa Ar-Rasyidin rujukan untuk matapelajaran Tawarikh Darjah 6 pada bab
Perang Yarmuk semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar.
Jadi naskhah asal kelihatan longgar kerana kurang input. Apabila saya
semakin berpeluang membaca kitab-kitab sirah para sahabat Nabi SAW,
barulah saya olah naskhah asal hingga jadi seperti naskhah ini.
- Teks ini telah disiarkan buat kali
pertama di www.melayu.com pada
2001.
- Kredit kepada akaun Youtube ‘MBC Group’
untuk paparan gambaran semula babak-babak Perang Yarmuk dalam Episod 23 drama
bersiri terbitan mereka berjudul “Umar” arahan Hatim Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan