Selasa, 13 Oktober 2015

27 Pendekar Matahari

Institut Penyelidikan Robotik, Irlidium.

Mereka sedang berada di Institut Penyelidikan Robotik (Insper) di Irlidium. Insper bertempat di dalam sebuah kompleks penyelidikan yang amat besar yang dibina di dalam sebuah gua bawah tanah.

Ia tersembunyi di celah-celah bukit-bukau berbatu-batan dan hanya boleh dimasuki melalui salah satu jurang yang amat dalam yang sukar dikesan. Satu-satunya cara pengangkutan untuk ke Insper ialah dengan jalan udara. Sebuah lapangan pendaratan telah dibina di dalam sebuah gua yang menjadi pintu masuknya.

Rombongan di-raja dari Istana Kota Singa telah tiba di situ sejam yang lalu. Mereka menaiki gundamotor, sebuah pesawat terbang yang bergerak menggunakan enjin tenaga anti graviti terkuantum berkuasa tinggi. Mereka ingin menyaksikan Habrul Prisma yang diselia oleh kerajaan Irlium.

Moo Soffiye, Pengarah Insper, sedang menanti kedatangan para tetamu di-raja di Balai Ketibaan. Dia dapat melihat mereka yang sedang melalui proses pemeriksaan ketat. Proses itu amat perlu sebelum seseorang boleh memasuki kompleks institut untuk mengelakkan perbuatan sabotaj.

Insper telah dibina oleh Raja Osrak, bapa Raja Arnan. Ia merupakan sebuah aset yang sangat berharga bagi rakyat Irlium. Pembinaannya dibuat secara rahsia untuk mengelakkan pengintipan musuh-musuh negara.

Asas pembinaan Insper ialah untuk mengembang dan memajukan industri robotik dan automasi. Irlium ingin bersaing dengan negara-negara maju yang telah jauh ke hadapan dalam bidang automasi dan kecerdikan tiruan. Raja Osrak telah menegaskan bahawa jika Irlium ingin menang di dalam persaingan dengan negara-negara maju, ia mesti membina asas bidang robotik dan kecerdikan tiruan.

Setengah kurun telah berlalu semenjak tertubuhnya Insper. Berbagai projek telah dilaksanakan yang meliputi berbagai bidang seperti pembuatan, pertanian, pertahanan, pembinaan, perubatan, pendidikan dan bidang-bidang lain untuk faedah rakyat Irlium sendiri. Sudah tentu projek tersebut digerak dengan berselindung di sebalik nama agensi-agensi kerajaan, badan-badan swasta atau konsortium-konsortium persyarikatan negara. Malah, nama Insper sendiri tidak pernah didengar oleh rakyat biasa untuk memelihara rahsia tunjang keutuhan negara dalam bidang sains dan teknologi.

Kakitangan yang bertugas di situ terdiri daripada mereka yang mempunyai kesetiaan kepada negara yang tidak berbelah bahagi. Mereka amat berkelayakan dan terpilih untuk melaksanakan projek-projek penyelidikan yang berkaitan di dalam bidang robotik dan sibernetik.

Kini mereka telah berjaya menyiapkan sebuah projek rahsia raksasa mutakhir yang menelan belanja yang amat besar.

Projek Habrul Prisma telah dikategorikan sebagai projek pertahanan negara. Ia dikelaskan sebagai Rahsia Besar. Hanya individu yang terlibat secara langsung dengan Projek Habrul Prisma yang mengetahui kewujudan projek tersebut. Perjalanan Projek Habrul Prisma amat dirahsiakan. Ia dibiayai penuh oleh tiga buah negara Qomulian Benua Timur yang masih merdeka, iaitu Irlium, Traulum dan Torus. Kakitangan-kakitangannya dipilih khas oleh sebuah jawatankuasa rahsia dan didatangkan dari ketiga-tiga negara berkenaan. Mereka telah dikehendaki bersumpah untuk mengaku bahawa mereka tidak pernah terlibat dengan sebarang projek seumpama itu apabila tugas mereka selesai.

Habrul Prisma ialah nama yang diberikan kepada sebuah aerobish yang telah dibina oleh Insper. Perkataan Habrul Prisma diambil daripada satu petikan yang ada di dalam Kitab Qomul yang bermakna “Pendekar Matahari”.

Aerobish ialah sebuah kompleks jentera elektromekanikal raksasa berkecerdikan tiruan tahap tinggi yang pada masa itu dibina untuk tujuan peperangan. Ia sering digunakan oleh kuasa-kuasa besar sebagai pukulan maut terakhir untuk memastikan kekalahan pihak musuh di medan perang.

Sebuah aerobish sanggup memusnahkan 10 batalion kereta kebal, 100 bateri artileri, 40 skuadron pesawat pejuang tempur, sebuah kapal selam peluru berpandu balistik dan satu skuadron bionikoid.

Kebanyakan kisah perang zaman moden sering diserikan dengan kemunculan aerobish. Aerobish-aerobish pihak yang bertentangan akan dibiar bertarung sehingga salah sebuah daripada mereka tumpas. Kemenangan sesebuah aerobish di medan laga akan meniup semangat perajurit-perajurit yang sedang bertempur dan lazimnya menghadiahkan kemenangan pasti.

Sebuah aerobish juga ialah sebuah robot raksasa yang tidak gentar menghadapi serangan maut berbagai jenis dan bentuk senjata. Ia tidak berperasaan. Setelah misinya ditetapkan, ia akan terus berfungsi sehingga misinya sempurna. Sebuah aerobish selalu menyebabkan kemusnahan yang besar apabila bergerak di medan juang.

Memikirkan faedah yang amat besar jika kuasa Qomulian memiliki sebuah aerobish, negara-negara Qomulian merdeka Benua Timur telah bersepakat dan memutuskan untuk membina sebuah aerobish yang lebih ampuh daripada segala aerobish yang pernah dibina.

Aerobish bernama Habrul Prisma telah dibina menggunakan teknologi multi fungsi dan dilengkapkan dengan berbagai jenis sistem persenjataan dan pertahanan yang rumit dan termaju. Pada masa aman, ia akan muncul sebagai kenderaan biasa, manakala pada masa perang, ia akan berdiri sebagai sebuah aerobish perkasa yang tidak tercabar oleh mana-mana aerobish musuh.

Irlium telah diberi penghormatan untuk menyelia pembinaan Habrul Prisma kerana mempunyai Insper yang lengkap dengan kemudahan teknologi terkini.

Moo Soffiye berbangga kerana Habrul Prisma dilaksanakan semasa Insper berada di bawah pimpinannya. Lebih bermakna lagi apabila buat pertama kali, Insper dikunjungi seorang Pemimpin Agung Qomulian. Hanya dia yang layak memandu Habrul Prisma.

Tetamu-tetamunya telah selesai menjalani pemeriksaan. Moo Soffiye segera menyambut mereka dengan hati yang gembira. Kemudian dia memandu mereka menuju ke Dewan Persidangan.

*****

“Selamat datang ke Insper. Saya, Ardis, bagi pihak Insper berbangga dengan kehadiran anda semua. Kebanggaan kami lebih bererti dengan kehadiran seorang Pemimpin Agung kita yang kemunculannya telah dinantikan semenjak berabad lama, Arius Perdana Aurian.”

Ardis ialah Timbalan Pengarah Insper. Dia telah dimaklumkan oleh Moo Soffiye bahawa mesyuarat Projek Habrul Prisma akan datang bakal dihadiri tetamu dari Istana Kota Singa yang akan membawa seorang Kaus Aurian.

Oleh itu, dia telah memohon kepada Moo Soffiye agar membenarkannya bertugas sebagai pemberi taklimat tentang Projek Habrul Prisma. Dia amat berterima kasih kepada Moo Soffiye kerana meluluskan permohonannya.

Ardis berdiri di atas pentas. Di hadapannya ialah sebuah podium yang dilengkapi sistem pembesar suara. Di sebelah mikrofon ialah papan kekunci yang litarnya bersambung dengan layar perak yang terbentang memenuhi dinding latarbelakang pentas.

Di bawah pentas ialah sekumpulan tetamu di-raja dari Istana Kota Singa yang terdiri daripada Arius, Raja Arnan, Tuan Danji, Tuan Karmak, Adimahan, Panglima Waziri, Laksamana Iliyas, Marsyal Hawtarn dan Moo Soffiye.

“Projek Habrul Prisma berkelas Rahsia Besar telah dimulakan semenjak sepuluh tahun lalu. Kini ia di dalam fasa terakhir. Pembinaan aerobish Habrul Prisma perkasa telah selesai. Komponen terakhir telah berjaya dipasang kepada tubuhnya tiga bulan lalu. Ia sudah boleh berfungsi dengan sempurna.”

Ardis menyentuh beberapa butang di atas papan kekunci.

Tiba-tiba layar perak di atas pentas terpapar rajah sekujur tubuh sebuah aerobish, lengkap dengan profil.

Dengan serta-merta perasaan kagum menyirap di wajah Arius. Teknologi Misteroid sungguh maju sehingga mampu mencipta sebuah tubuh tiruan raksasa yang boleh dioperasikan sebagai jentera perang.

“Habrul Prisma dibina berdasarkan konsep jentera multi fungsi yang telah dirintis oleh bangsa Aggnar yang menguasai Navigor ketika ini. Kita menggunakan konsep cetusan bangsa Aggnar kerana berasa yakin bahawa teknologi Qomulian tidak kurang hebat berbanding teknologi non-Qomulian. Rekabentuk tubuh aerobish ini ialah hasil ilham individu-individu berbagai bangsa dari berbagai disiplin ilmu yang menduduki Jawatankuasa Rekabentuk Projek. Keistimewaan Habrul Prisma ialah boleh dioperasikan pada masa aman dan pada masa perang.”

Rajah di layar perak berubah kepada rajah-rajah sebuah trailer, kapal peronda dan pesawat terbang.

“Pada masa aman, ia boleh menyamar sebagai sebuah trailer di lebuh raya, kapal peronda di pesisir pantai atau pesawat terbang. Ketiga-tiga bentuk Habrul Prisma pada masa aman boleh melaksanakan tugas-tugas pertahanan seperti pengintipan, penyelamat dan pengangkutan. Pada masa perang, ia boleh menjelma sebagai sebuah aerobish, sebuah senjata perang yang kebal. Pada tubuh Habrul Prisma telah dipasang berbagai jenis sistem pertahanan dan persenjataan mutakhir. Ia telah dilengkapkan dengan berbagai jenis meriam dan perisai yang semuanya berfungsi dengan kuasa cahaya berat.”
Lakaran tangan saya ini telah berusia
25 tahun.

Layar perak memaparkan profil persenjataan Habrul Prisma.

“Habrul Prisma tidak perlu bahan bakar hidrokarbon atau irradiasium seperti aerobish-aerobish lain. Sumber tenaganya diperolehi daripada sejenis galian berharga yang sukar ditemui di Misteroid, iaitu energit.”

Ardis menayangkan profil galian energit pula.

“Komposisi bahan ini belum diketahui penuh kerana tiada instrumen yang mampu menghuraikan ciri-cirinya dengan lengkap. Elektronnya didapati tidak pernah stabil di atas orbit elektron. Nukleusnya boleh memancarkan sinaran radioaktif yang boleh menembusi dinding besi waja tumpat setebal dua panjang lengan. Sinaran ini boleh menyebabkan mutasi serta-merta kepada jujukan asid nukleik. Quark dan meson di dalam nukleus sentiasa berlaga sesama sendiri untuk menghasilkan tenaga nuklear terkuantum yang terpancar ke sekeliling. Tenaga nuklear terkuantum ini boleh menjana tenaga cahaya berat. Cahaya berat inilah yang digunakan sebagai senjata dan perisai. Ringkasnya, energit berperanan sebagai jantung yang mengepam tenaga untuk menghidupkan tubuh aerobish Habrul Prisma.”

Ardis menekan lagi beberapa butang di atas papan kekunci.

“Mari kita lihat metamorfosis sebuah kenderaan biasa kepada sebuah aerobish perkasa.”

Layar perak menayangkan gambar sebuah trailer. Beberapa perubahan berlaku kepada komponen-komponen trailer. Apabila perubahan itu selesai, tiba-tiba ia bangun. Sebuah aerobish berdiri gagah menggantikan sebuah trailer. Proses yang serupa ditunjukkan apabila Habrul Prisma menyamar sebagai kapal peronda dan pesawat terbang. Proses berbalik juga diperlihatkan iaitu bagaimana sebuah aerobish boleh menjelma semula sebagai kenderaan-kenderaan tersebut.

“Metamorfosis berlaku dengan menerapkan konsep logik fusi di dalam litar-litar yang menghubungkan seluruh komponen aerobish. Konsep logik fusi ialah suatu konsep yang menggabungkan maklumat-maklumat kabur di dalam suatu acuan memori untuk menghasilkan suatu resolusi muktamad yang memacukan proses membuat keputusan dan mendorong tindakan upaya motor. Maklumat-maklumat kabur diperolehi melalui penderia-penderia yang dipasang di seluruh tubuh aerobish. Sistem pengawalatur boleh program telah sedia diterapkan dengan konsep ini untuk menghasilkan pergerakan elektromekanikal yang berharmoni dengan keinginan derianya. Aerobish ini boleh berfikir dan menaakul sendiri. Ia boleh merasai sentuhan fizikal dan emosional. Dalam erti kata lain, ia adalah sebuah jentera yang berkeupayaan untuk hidup sendiri.”

Ardis menangguhkan bicara. Layar perak kembali menunjukkan rajah asal sekujur tubuh sebuah aerobish.

Dia memandang hadirin di atas lantai.

“Habrul Prisma bukan sebuah mesin yang unggul. Teknologi kecerdikan tiruan berdasarkan logik fusi tidak akan dapat diwujudkan kepada bentuk nyata jika tidak digabungkan dengan komponen minda dan emosi manusia. Bukan sebarang manusia yang boleh menggabungkan mindanya dengan sistem kecerdikan tiruan serumit ini. Tiada manusia yang boleh menyatukan emosinya dengan denyutan memori nanocip-nanocip kompleks. Manusia biasa akan akan hilang akal atau mati selepas memandu Habrul Prisma. Insper bersetuju bahawa Habrul Prisma hanya layak dipandu oleh manusia berkeupayaan luar biasa. Sebagaimana yang telah dipersetujui oleh wakil-wakil dari negara-negara Qomulian merdeka, kami akur bahawa sistem Habrul Prisma hanya layak dikendalikan oleh Pemimpin Agung kita, Arius Kaus Aurian.”

Semua mata di dalam Dewan persidangan memandang Arius.

Arius sedar bahawa Qomulian telah menyandarkan seribu harapan kepadanya. Dia tidak dapat mengabaikan harapan mereka. Arius amat menghargai persembahan yang telah diberikan oleh Qomulian itu.

“Aku sangat menghargai usaha Qomulian. Aku menerima Habrul Prisma sebagai pendekar yang akan membela manusia dan seluruh makna kemanusiaan,” katanya dengan tegas.

TAMAT.


www.melayu.com, 1 September 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001


Nota kaki:
  1. Teks ini adalah sebahagian daripada kumpulan fragmen sebuah novel genre fantasi yang saya sedang tulis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan