Jelas. Kewujudannya tidak dapat
disangkal lagi.
Nutrosonan memandang Adiventor.
Adiventor mengunci bicara di dalam sinaran api unggun yang semakin malap.
Tangannya sibuk menambah ranting-ranting kering ke dalam api.
“Jadi, benarlah lelaki yang
tinggal dengan Tuan Danji itu seorang kaus.”
Adiventor memandang wajah
Nutrosonan. Sinar mata Adiventor semakin layu. Mungkin dia terlalu letih
setelah sehari suntuk menunggang kuda dalam perjalanan ke Desa Kra.
Mereka membawa pesanan Tuan Danji
untuk disampaikan kepada Adipatria, Ketua Desa Kra.
“Apa yang hendak diragukan lagi,
Sonan. Memang benar. Dialah Arius. Avisina sendiri yang memberitahuku semasa di
pasar. Dialah yang menjumpai Arius di Dataran Tinggi Partagon pada musim dingin
yang lalu sewaktu menggembala yink orang-orang kampungnya. Tambahan lagi, kita
berdua telah melihat dengan mata kepala kita sendiri akan tanda-tanda seorang
kaus yang ada pada tubuhnya. Mutan dan jin tidak akan mampu meniru tanda-tanda
kekausan itu. Tahukah kau, Qomulian di Irlium telah berjaya mengesan bintang
Arius kira-kira tujuh bulan yang lalu?”
Arius, wira suci berhati putih
untuk umat manusia di sebelah timur. Arius, pemimpin Qomulian yang terbilang.
Arius, ketua Kaus Aurian yang memakai gelaran Perdana Aurian. Dia yang akan
memimpin Qomulian sebelum alam semesta menemui makna kematian.
Semasa hidupnya, melalui
riwayat-riwayat yang sahih, Alpherutz telah memberitahu sahabat-sahabatnya
bahawa selepas kematiannya nanti, Qomulian akan ditimpa fitnah yang amat besar
selama beberapa kurun sehingga muncul sekumpulan empat orang manusia lelaki
bergelar Kaus Aurian yang terdiri daripada Arius, Tarius, Aqurrus dan Qornus.
Pada zaman fitnah itu juga, musibah terbesar akan menimpa
seluruh umat manusia, iaitu sekumpulan empat jin bergelar Kaus Aurtitan yang
terdiri daripada Globator, Vargan, Sagtar dan Genin, akan bangkit memimpin
golongan Qomulian yang telah sesat dan berusaha memerangi Qomulian. Alpherutz
telah memberitahu sahabat-sahabatnya, jika Qomulian ingin selamat dari musibah
Kaus Aurtitan, mereka wajib menerima kepimpinan Kaus Aurian.
Di dalam riwayat yang lain pula,
Alpherutz telah menyatakan bahawa kebangkitan Kaus Aurtitan akan diiringi
dengan kelahiran sekumpulan makhluk puaka bergelar Penguasa Mulia yang bersifat
kejam dan tidak memahami makna belas ihsan. Penguasa Mulia itu akan membantu
Kaus Aurtitan untuk membantai Qomulian supaya pengaruh Kaus Aurtitan dapat
disebarluaskan di kalangan umat manusia.
Seluruh dunia pula akan berada di
dalam suasana sedih dan takut.
Untuk mengimbangi pengaruh dan
kekuasaan Kaus Aurtitan, Kaus Aurian dianugerahkan kepada umat manusia.
Kebangkitan Kaus Aurian pula akan diiringi dengan kelahiran sekumpulan makhluk
sakti yang bergelar Pembantu Suci. Pembantu Suci akan membantu Kaus Aurian
untuk menggalang serangan-serangan hebat yang dilancarkan oleh Penguasa Mulia
ke atas Qomulian.
Pembantu Suci itu akan tampil
untuk menawarkan diri dan khidmat mereka kepada Kaus Aurian. Hanya Kaus Aurian
yang akan mengenali siapa daripada kalangan Qomulian yang layak menjadi
Pembantu Suci.
Alpherutz telah menekankan bahawa
jika ada di kalangan Qomulian yang layak, mereka hendaklah lekas-lekas
menawarkan diri untuk menjadi Pembantu Suci. Hanya setelah Kaus Aurian
bergandingan dengan Pembantu Suci, barulah keselamatan dan ketenteraman hidup
seluruh umat manusia akan terjamin.
Kini Arius telah muncul. Tanda
kewujudannya telah nyata. Nutrosonan sering melihat Bintang Mirfak yang
berwarna hijau bergantungan di ufuk timur pada waktu fajar. Baru minggu lepas
mereka berbual mesra dengan Arius sewaktu menziarahi Tuan Danji untuk
menyampaikan pesanan Adipatria. Akhlaknya sangat terpuji.
Namun, Nutrosonan berasa hairan
dengan sikap Tuan Danji yang enggan memperkenalkan kepada mereka lelaki bernama
Arius itu sebagai Kaus Aurian.
“Jika Arius telah menampakkan
dirinya, aku yakin, sudah tentu Kaus Aurian yang lain juga telah pun
menampakkan diri masing-masing di tempat-tempat lain di dunia ini.”
“Mungkin. Cuma buat masa ini,
kita tidak mendengar berita tentang mereka daripada saudara-saudara Qomulian
yang lain.”
“Misteroid ini luas, Ventor.”
“Sonan, kemunculan Arius bermakna
Kaus Aurian yang lain juga telah muncul. Aku yakin, mereka telah pun
menampakkan diri masing-masing dan menerima janji setia secara rahsia daripada
pemimpin-pemimpin Qomulian tempatan yang ingin merahsiakan kehadiran mereka.
Mungkin pada masa ini, masih terlalu awal untuk mereka bergabung sebagai Kaus
Aurian yang akan memimpin kita untuk mengusung panji-panji Qomulian.”
“Kata-katamu benar, Ventor. Kita
baru saja mengetahui kemunculan Arius. Masih terlalu awal untuk mereka
bersatu.”
“Aku terlalu mengantuk, Sonan.
Izinkan aku tidur.”
“Tidurlah. Tunggu apa lagi.”
Sebaik sahaja Adiventor
merebahkan kepalanya di atas rumput tidak jauh dari unggun api, dia terus
terlena. Sebentar kemudian, kedengaran dengkuran Adiventor yang menyatu dengan
bunyi cengkerik, menghasilkan irama malam.
Malam semakin larut. Bulan di
hujung pucuk telah bersembunyi di sebalik bukit. Angin yang berhembus
menggoyangkan dahan-dahan yang menampung daun-daun malam. Nutrosonan terus
duduk di atas kayu mati sambil menghitung bintang-bintang di langit.
Dunia sedang berada di hujung
zaman.
Di dalam Kitab Qomul yang selalu
dibaca oleh Nutrosonan, ada mengisahkan bahawa pada hujung zaman, manusia akan
bernaung di bawah payung kesesatan yang membutakan mata hati dan menumpulkan
mata akal. Sekumpulan wali kejam berhati hitam menjadi pemimpin-pemimpin yang
zalim dan rakus. Beberapa orang wira suci berhati putih pula akan bangkit untuk
menerangkan mata hati dan menyuluh mata fikir dengan membawa satu kandil yang
bercahaya.
Wali-wali kejam itu muncul dengan
iringan pedang dan perisai, manakala wira-wira suci itu bangkit dengan iringan
air mata dan darah. Pergerakan wali-wali kejam dan wira-wira suci itu akan
dibantu oleh beberapa makhluk yang terpilih.
Kisah itu terbukti benar apabila
pada zaman itu, hampir seluruh dunia bernaung di bawah kekuasaan Empayar Ep
yang mendewakan Globator serta menjadikan Missiah sebagai agama rasmi empayar.
Globator ialah ketua Kaus Aurtitan yang bergelar Aurtitan Agung. Empayar Ep
yang dirajai Maharaja Zagarkash merupakan sebuah kuasa yang berusaha untuk
memerintah dan memperhambakan seluruh umat manusia yang tidak mendewakan Globator.
Usaha empayar itu tidak dapat
dapat diterima oleh Qomulian. Apabila Maharaja Zagarkash berkeras untuk memaksa
seluruh umat manusia non-Missiah menjadi hamba empayarnya, Qomulian tidak dapat
berdiam diri dan bangkit menentang kerana usaha empayar itu bertujuan untuk
memusnahkan makna kemerdekaan dan harga diri seseorang insan.
Apabila mengetahui sikap
Qomulian, Maharaja Zagarkash terus mengisytiharkan perang ke atas Qomulian.
Maharaja Zagarkash amat yakin bahawa dia boleh memenangi perang itu kerana Qomulian
tidak memiliki pemimpin agung yang boleh mematahkan segala usahanya.
Akan tetapi, Nutrosonan percaya
bahawa keyakinan Maharaja Zagarkash akan lebur apabila pemimpin agung Qomulian
mengisytiharkan kemunculannya di tengah-tengah umat manusia yang dirundung
mendung zulmat.
Benar kata Alpherutz. Qomulian kini
dilanda fitnah besar. Mereka sedang diperangi semata-mata kerana ingin
mengekalkan makna kemerdekaan dan kemuliaan insaniah.
Kitab Qomul juga ada menyebut
tentang Pembantu Suci. Ia tidak menyatakan asal-usul Pembantu Suci dengan
tepat. Ia hanya menyatakan nama-nama gelaran untuk dijadikan bahan kajian oleh
orang-orang yang rajin menyelidik kebenaran Qomul.
Nama-nama gelaran itu ialah Rubah
Putih, Serigala Tunggal, Musafir Sepi dan Paus Hitam. Rubah Putih akan menjadi
pembantu Arius, Serigala Tunggal akan menjadi pembantu Tarius, Musafir Sepi
akan menjadi pembantu Qornus dan Paus Hitam akan menjadi pembantu Aqurrus.
Apa yang menyedihkan Nutrosonan,
watak-watak tersebut telah menjadi legenda untuk tatapan anak-anak kecil yang
rajin membaca dongeng zaman silam. Peranan mereka sebagai pembantu Kaus Aurian
tidak diambil berat oleh generasi baru Qomulian.
Dahulu, sebelum meninggalkan
Akademi Solaroid, Tuan Erdani yang menjadi mahaguru di situ, pernah memberitahu
Nutrosonan bahawa menurut firasatnya, Rubah Putih telah pun lahir di bumi
Misteroid.
Akan tetapi, siapakah yang akan
memakai gelaran itu?
Bukan sebarangan orang yang boleh
mengaku bahawa sesungguhnya dialah Rubah Putih yang dimaksudkan oleh Qomul. Dan
bukan sebarangan orang yang boleh berfirasat bahawa Rubah Putih telah lahir ke
alam dunia dari rahim seorang perempuan yang baik.
Jika benar firasat Tuan Erdani,
orang yang memakai gelaran Rubah Putih akan mempunyai tanggungjawab yang amat
besar dan menjadi pertaruhan Qomulian untuk membantu Kaus Aurian menyelamatkan
seluruh umat manusia dan makna kemanusiaan.
Tiba-tiba telinga Nutrosonan
menangkap bunyi satu desiran yang ganjil. Mata Nutrosonan meliar ke seluruh
kawasan di sekelilingnya. Daun-daun pokok berbalam-balam di dalam malam.
Batang-batang kayu mati tidak menunjukkan sebarang tanda kehidupan.
Degupan jantungnya bertambah
kencang. Bulu romanya merinding, memanggil geruh yang mengundang keberanian
yang tidak kenal makna gementar.
Pasti.
Keganjilan yang tersirat di
sebalik desiran itu mengundang bahaya. Nutrosonan segera mengejutkan Adiventor
yang masih enak dibuai mimpi. Adiventor menggeliat malas.
“Bahaya!” Nutrosonan berbisik
keras sambil menggenggam kemas ulu Solzolar. Dengan serta-merta mata Adiventor
bersinar segar. Dia segera mencapai sarung pedang dan berdiri di sisi
Nutrosonan yang sedang mengawasi keadaan.
“Bahaya apa?”
“Aku terdengar bunyi desiran yang
ganjil. Sukar diteka sama ada bunyi angin yang sedang menyanyi atau daun-daun
yang bergeseran.”
Desiran tersebut bertukar menjadi
satu keluhan. Kemudian ia berubah menjadi satu raungan yang semakin keras.
Bunyinya keras di dalam sepi yang gelap. Nyaring di dalam malam yang semakin
sayup.
“Aku kenal siapa yang datang,”
kata Nutrosonan, “Musuh. Padam api!”
Adiventor segera mengambus unggun
api sehingga padam bara.
“Siapa yang datang. Kenapa kita
mesti padamkan api?” Soal Adiventor di dalam gelap. Nutrosonan dapat melihat
riak cemas yang timbul di atas muka Adiventor.
“Globulin.”
Darah Adiventor menyirap ke muka.
Perasaan gemuruh tiba-tiba melanda hatinya. Kesedarannya kini lebih daripada
sempurna. Sisa-sisa tidur dan kantuk lupus dengan tiba-tiba apabila Nutrosonan
menyebut nama itu.
Globulin termasuk di dalam
golongan jin. Di dalam alam jin, mereka ialah pendekar-pendekar terbilang dan
perwira-perwira yang hebat. Mereka amat ditakuti oleh manusia dan haiwan kerana
mereka gemar melapah daging mangsa mereka hidup-hidup. Tidak sedikit Qomulian
yang menjadi mangsa pembantaian globulin.
“Globulin tidak boleh ditentang
dalam sinaran cahaya. Mata kasar kita tidak dapat melihat kewujudan mereka.
Kita akan tewas kalau bertarung di dalam terang,” kata Nutrosonan lagi.
Mereka saling membelakangi dalam
keadaan berjaga-jaga. Solzolar menari di dalam genggaman Nutrosonan. Adiventor
menghunuskan senjatanya ke arah malam.
Globator.
Tiba-tiba nama itu menerpa di
dalam hati Nutrosonan. Sebentar kemudian, mata hatinya dapat melihat kemunculan
bayang-bayang hitam yang keluar dari sebalik kegelapan.
Kehitaman bayang-bayang itu lebih
pekat daripada malam yang gelap. Bayang-bayang hitam itu mengelilingi mereka
berdua. Sepuluh bayang-bayang hitam berbentuk manusia dan berkelengkapan perang
segera menghunuskan senjata ke arah bakal-bakal mangsa mereka.
“Sonan, aku dapat melihat
mereka.”
“Bagus.”
Kami
mahu nyawamu.
Tiba-tiba salah satu lembaga itu
bersuara di dalam hati Nutrosonan. Nutrosonan berasa terkejut dan hairan.
Globulin mahu nyawa mereka! Akan tetapi, kenapa?
Untuk
dipersembahkan kepada Globator.
Darah Nutrosonan berderau. Denyut
nadinya semakin kuat. Debaran jantungnya semakin kencang. Keinginan untuk
berasa gerun memuncak. Namun, keinginan itu dengan pantas dicantas oleh satu
keberanian luar biasa yang berlari deras di dalam darahnya.
Huh,
Globator mahu nyawa kami?
Kami
akan bayar harganya dengan pertarungan.
Kami tak
gentar bertarung. Terutama sekali dengan puaka-puaka berhati keji seperti kamu!
Rubah
Putih! Jangan kau angkuh. Puaka Globator akan memakanmu!
Kesedaran Nutrosonan tersentak.
Globulin-globulin itu memanggil mereka dengan gelaran Rubah Putih!
Rubah Putih ialah gelaran untuk
dipakai oleh seorang manusia sahaja. Tiada dua orang manusia yang akan membawa
gelaran Rubah Putih dalam dunia ini. Jadi, salah seorang daripada mereka ialah
Rubah Putih.
Siapakah di antara mereka berdua
ialah Rubah Putih yang dimaksudkan oleh puaka-puaka itu?
Tuhan
berserta orang-orang yang benar.
Ha! Ha!
Ha! Ha!…
Ketawa mereka amat membingitkan
telinga.
Rubah
Putih, kau tidak boleh berjumpa Arius. Kau mesti dihapuskan.
“Sonan, mereka mahu menyerang
kita.”
Suara Adiventor mengejutkan
Nutrosonan yang terperangkap di dalam dialog dengan globulin. Nutrosonan berasa
hairan. Tidakkah Adiventor mendengar perbualan mereka?
Tanpa mengeluarkan sebarang
isyarat, globulin menyerang. Sebentar kemudian, pedang globulin berlaga dengan
pedang mereka. Solzolar menerangi pertarungan dengan percikan api setiap kali
ia bertembung dengan lawannya.
Solzolar ditempa daripada logam
cirit bintang yang jatuh ke permukaan Misteroid di puncak Gunung Nablu di
sebelah tenggara Benua Timur. Ia ditempa oleh Nutrosianus, seorang pandai besi
bertaraf arifi yang berstatus seorang sunan, menggunakan api dingin tidak
berwarna di Gua Osipital yang bersifat hampagas, disepuh dengan asid berharkat
petala satu dan dipatri dengan hulu yang diukir ayat-ayat kitab Qomul yang
menceritakan tentang rahsia besi dan disiplin pedang.
Semasa hayatnya, Nutrosianus
sendiri pernah membunuh makhluk-makhluk ghaib yang jahat menggunakan pedang tersebut.
Namanya lebih digeruni di alam jin daripada ditakuti oleh para bomoh yang
menggunakan khidmat makhluk halus. Bahkan para bomoh itu sendiri sering
mengelak untuk berurusan dengan Nutrosianus. Selepas kematiannya, pedang itu
disimpan di Akademi Solaroid oleh golongan wardaris Qomulian. Apabila Tuan
Erdani memimpin Akademi Solaroid, dia telah mengurniakan pedang Solzolar kepada
Nutrosonan, iaitu zuriat Nutrosianus daripada generasi yang ketujuh.
Serangan globulin sangat pantas.
Mereka berdua menepis dan mengelak serangan-serangan tersebut dengan gerakan
perlahan yang seragam, kemas dan berseni. Irama perang memainkan lagu di dalam
telinga mereka berdua. Mereka berdua bermain tarian Ajian Gerak Pedang
Halimunan Petala Kelima ajaran Tuan Hirqal yang sesuai digunakan untuk
berhadapan dengan musuh-musuh alam ghaib.
Nutrosonan memperolehi dua ruang
kosong. Dalam sehembus nafas, Solzolar merobek sasarannya. Bayang-bayang
tersebut meraung di dalam hati Nutrosonan. Mata hatinya dapat melihat
kelenyapan globulin yang terbunuh dari alam malam. Adiventor pula berjaya
menumpaskan tiga globulin.
Tiba-tiba globulin yang tinggal
segera berhimpun dan mengatur satu serangan baru.
“Sonan, aku terhidu bau yang amat
busuk.”
“Mereka menggunakan sihir hitam.
Mari kita satukan tenaga dalaman dengan Ajian Gerak Tumbuk Halilintar Petala
Keempat.”
Setelah meletakkan pedang, mereka
duduk bersila menghadap globulin. Perhatian ditumpukan sepenuhnya untuk
memusnahkan lawan. Tapak tangan kanan didirikan di atas tapak tangan kiri.
Baris-baris mentera dari Kitab Qomul dibaca lancar penuh yakin. Hati dan
fikiran dipusatkan ke arah kedua-dua tapak tangan. Setelah titik koordinasi
saraf tenaga berjaya diselaraskan, mereka dapat merasakan tenaga dalaman yang
mengalir di dalam jasad mereka.
Tiba-tiba tapak-tapak tangan
mereka mengeluarkan asap putih yang tebal. Tenaga dalaman yang dikerah hampir
tiba ke puncak. Mereka mengangkat kedua-dua tapak tangan separas bahu yang
dihalakan ke arah globulin.
Gabungan bayang-bayang hitam
globulin menyerang di dalam satu pergerakan yang tidak dapat ditangkap oleh
mata. Pada ketika yang sama, mereka tidak mampu menyimpan tenaga dalaman lebih
lama, lantas menolak kedua-dua tapak tangan ke arah datangnya serangan
bayang-bayang globulin.
Satu gumpalan cahaya putih keluar
dari tapak-tapak tangan mereka dan bercantum untuk mencari sasaran. Perhitungan
mereka tidak silap. Apabila gumpalan cahaya itu bertembung dengan gumpalan
kegelapan yang sangat pekat, satu letupan yang menggegarkan suasana malam
terhasil.
Raungan-raungan yang sangat
mengerikan terngiang-ngiang di dalam hati mereka. Mereka dapat melihat
imej-imej dahsyat yang berkecai yang mencetuskan kegerunan di dalam kalbu.
Sebentar kemudian, raungan itu hilang dan imej itu pun terpadam.
Mereka menghening fikiran sambil
memejamkan mata untuk memulihkan diri masing-masing yang keletihan.
Kemudian Nutrosonan membuka mata
dan memandang wajah Adiventor. Adiventor membalas pandangannya.
“Siapakah yang mengirim mereka?”
“Globator.”
“Globator!”
“Mereka sangka kita ialah Kaus
Aurian. Sangkaan mereka silap.”
Nutrosonan yakin bahawa Adiventor
tidak mampu berbicara dengan globulin-globulin tadi. Nutrosonan juga tahu
bahawa hanya pembantu-pembantu Kaus Aurian yang mampu berbicara dengan
musuh-musuh yang ghaib.
Akukah Rubah Putih?
Jauh di sudut hatinya, Nutrosonan
mula berasa sebak apabila mengingatkan takdir dirinya yang akan bertarung
dengan musuh ketatnya yang akan memakai gelaran Musang Perak. Musang Perak
ialah abang kembarnya yang hilang dua puluh tahun dahulu diculik oleh
sekumpulan penyamun semasa Tuan Erdani menyelamatkan mereka berdua daripada
serangan askar-askar Empayar Ep di Kota Haijren. Tuan Erdani memberitahu bahawa
Nutrosino, abangnya yang hilang itu, akan datang kepadanya sebagai Musang Perak
dan mencabarnya di dalam sebuah pertarungan seru yang akan menentukan jatuh
bangun kebangkitan golongan Qomulian pada akhir zaman.
Adiventor masih terpinga-pinga
tidak memahami penjelasan Nutrosonan.
“Kita harus berpatah balik. Aku
ingin berjumpa Arius Perdana Aurian!”
TAMAT.
TAMAT.
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2015
Nota kaki:
- Ini adalah suntingan terbaru yang saya buat khusus untuk
disumbangkan di dalam satu projek antologi cerpen fantasi yang sedang
diusahakan oleh beberapa orang penulis karya fantasi / fiksyen sains
Malaysia.
- Tiada grafik atau bahan multimedia
yang saya dapat lampirkan di dalam cerpen ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan