Khamis, 15 Oktober 2015

29 Ballasan


Aku telah meletakkan raksasa jalanan ini di atas puncak sebuah tebing tinggi yang menganjur ke gigi pantai. Dari sini, aku boleh melihat setiap objek yang perlu aku awasi sepanjang penantian ini.

Dari sebalik kaca tebal, aku boleh melihat dengan jelas pemandangan sebuah kota pelabuhan di bawah sana. Pandangan mataku menafsirkan suasana kota itu amat lengang. Tiada sebuah pun kapal laut yang berlabuh dan berurusan dengan pihak berkuasa pelabuhan. Tidak kelihatan cahaya lampu yang keluar dari jendela menara-menara pencakar langit. Gelap dan sepi.

Keadaan seperti itu amat menghairankan aku kerana daripada maklumat yang disampaikan kepadaku, Ballasan merupakan sebuah kota pelabuhan yang terbesar dan tersibuk di rantau timur jauh ini. Kemasyhurannya telah digambarkan melalui sebuah mercu tanda yang dibina di tepi pantai sebuah teluk yang terletak berhampiran pelabuhan. Mercu tanda tersebut merupakan sebuah ukiran menara ombak yang menjulang sebuah kapal perdagangan terbesar di Misteroid ketika itu. Aku boleh melihatnya dari sini.

Kini Ballasan telah berubah menjadi sebuah pangkalan tentera utama bagi android-android Saibatirran semenjak seratus kurun yang lalu. Aku berasa curiga terhadap perkembangan terbaru kota itu.

Objek lain yang perlu aku awasi ialah kehadiran Blushiannoah di Laut Kazaristan. Blushiannoah ialah sebuah kapal selam mega dwifungsi buatan bangsa Aggnar yang telah dibina di Pulau Navigor, sebuah pulau yang terletak di kepulauan Nusa Tenggara. Kemunculannya di perairan Ballasan menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara Qomulian dan Empayar Galaktos.

Malam menghadirkan dirinya setelah siang bersemadi di ufuk barat. Aku cuba meninjau perairan Ballasan dengan menggunakan teropong sinar lembayung. Tiada tanda yang ia telah muncul.

Tiba-tiba videofon yang dipasang di atas kaca tebal membunyikan isyarat. Aku menyentuh beberapa butang yang ada di situ. Kemudian layarnya memaparkan wajah Diktorian Katta, pemerintah angkatan bersenjata Torosorium. Dia sedang memimpin tenteranya di Lembah Izkurai yang terletak di sebalik Banjaran Startika, tidak jauh dari Ballasan.

“Salam sejahtera ke atas Tarius!” Wajah itu mengeluarkan suara.

“Salam sejahtera ke atasmu kembali, Paduka Katta.”

Aku membahasakan dirinya Paduka Katta kerana dia bakal menggantikan Jaka Irwana, pemerintah Torosorium ketika ini.

“Apakah Blushiannoah sudah tiba? Sepatutnya ia sudah muncul sekarang.”

“Saya rasa ia tidak akan muncul sekarang disebabkan oleh bahaya yang sedang menanti di hadapannya.”

“Apakah bahaya itu?”

“Melalui kamera ultra, saya telah mengesan beberapa objek yang diletakkan di permukaan laut. Objek-objek itu adalah periuk api. Analisa yang telah saya lakukan menyatakan bahawa seribu buah periuk api telah diletakkan di perairan Ballasan.”

Aku melihat air muka Diktorian Katta berkocak sedikit.

“Ini adalah ancaman terhadap Armada Navigorus. Mereka tidak akan dapat menghantar konvoi rahsia di tempat-tempat yang telah ditentukan.”

“Saya mencurigai sesuatu.”

“Apa yang Tarius curigakan?”

“Besar kemungkinan Batara telah mengetahui rencana ini.”

“Mustahil. Apa alasan Tarius?”

“Aktiviti di pelabuhan tidak berjalan seperti biasa. Keadaan kota gelap-gelita. Mungkin suasana itu menggambarkan sesuatu?”

“Adakah Armada Laut Timur dari Saibatirran dikirim ke Ballasan?”

“Tidak. Akan tetapi, kita perlu berwaspada. Bukankah bionikoid yang tidak kenal ampun dihasilkan di Ballasan? Bukan perkara ganjil jika Batara telah meletakkan mereka sebagai benteng pertama.”

Diktorian Katta terdiam. Amat lama dia memikirkan sesuatu sebelum menyambung bicara.

“Kita harus meminda sedikit rencana ini.”

“Pada saat-saat genting begini?”

“Ya. Tarius tetap berfungsi menghancurkan reaktor tenaga mereka, tetapi bukan sebagai pukulan pertama. Skuadron pertama Torosorium akan menyerbu ke tengah kota untuk menerjunkan askar-askar apabila Blushiannoah muncul. Skuadron kedua akan menyusul. Sewaktu perang sedang berkecamuk, Tarius akan memusnahkan reaktor tersebut. Skuadron ketiga akan bergabung dengan skuadron pertama dari Blushiannoah yang berhasil bergabung dengan kedua-dua skuadron terawal. Rancangan seterusnya berjalan seperti biasa.”

“Sudah tentu Navigorus akan terkejut melihat tindakan ini.”

“Untuk memperoleh kemenangan, kita mesti menggunakan semua peluang yang ada. Jika pintu peluang yang pertama telah tertutup, pintu peluang yang kedua masih terbuka untuk kita. Ini akan mengelirukan musuh.”

Tiba-tiba isyarat dari teleskop sinar lembayung berbunyi.

“Sesuatu telah muncul di perairan Ballasan.”

Aku meminta izin untuk memastikan objek tersebut. Kemudian aku menghadap videofon semula.

“Blushiannoah telah muncul. Jaraknya terlalu jauh dari kedudukan yang telah ditentukan. Ia belum mengubahkan bentuknya kepada armada perang. Mereka wajar diberitahu tentang pindaan ini.”

“Pada saat genting, perhubungan dengan setiap kapal nelayan di laut akan dapat dikesan oleh musuh. Salam sejahtera ke atasmu, Tarius. Pastikan kemenangan menjadi milik kita.”

“Salam sejahtera kembali, Paduka Katta. Dengan izin Tuhan, kemenangan akan menjadi milik kita.”

Wajah Diktorian Katta lenyap di sebalik skrin kelabu. Setelah mematikan fungsi teropong sinar lembayung, aku menghadap skrin kamera ultra. Sebuah kapal selam terapung-apung di permukaan air. Objek itu terlalu kecil. Aku menekan beberapa butang di bawah skrin. Saiznya dibesarkan perlahan-lahan. Kini aku dapat melihat Blushiannoah dalam jarak yang hampir.

Aku menghidupkan semua sistem trailer dan menanti detik-detik yang mendebarkan. Siasah perang yang telah diubah oleh Diktorian Katta akan menyebabkan kekeliruan di pihak Panglima Thaqafik yang memimpin Armada Navigorus. Menurut rencana asal, Habrul Prisma akan membuat pukulan pertama setelah Blushiannoah muncul di Laut Kazaristan. Kemudian Torosorium akan menyerbu dari sebelah darat, manakalan Navigorus akan menyerang dari sebelah laut. Blushiannoah akan membedil Ballasan sehingga Panglima Batara yang memerintah Ballasan bertindak mengibarkan bendera putih.

Tiba-tiba satu skuadron musuh keluar dari dalam kota menuju ke Laut Kazaristan. Aku tidak menduga sama sekali bahawa pihak Ballasanlah yang melancarkan pukulan pertama. Di atas layar kamera ultra, Blushiannoah baru selesai mengubahkan bentuknya kepada sebuah armada laut. Ia belum melancarkan sebarang pesawat pejuang. Arus fikiranku dikejutkan oleh pandangan yang dijangkau mata. Perairan Ballasan telah terbakar. Periuk-periuk api telah dibedil oleh kapal selam mega itu. Ternyata Panglima Thaqafik telah pun menjangkakan sesuatu yang di luar dugaan yang sedang berlaku.

Kemudian sebuah skuadron muncul dari sebalik Banjaran Startika dan menyerbu ke arah Ballasan. Aku sangat terkejut kerana beberapa buah bionikoid sedang menanti serangan pejuang Torosorium. Mereka berlegar-legar di langit Ballasan. Pasti Qomulian sedang memasuki perangkap maut Batara! Aku akan mencari pengkhianat yang menyampaikan rencana perang ini kepada panglima durjana itu. Masa untukku bertindak telah tiba.

Aku menyentuh butang-butang yang ada di atas konsul kawalan dan mencapai suis-suis yang melekat di dinding dan siling ruang pemandu. Tubuhku dibelit oleh talian-talian keselamatan yang keluar secara automatik dari dalam sofa pemandu. Peringkat demi peringkat telah berlalu. Beberapa komponen di kepala peninjau berubah secara mekanikal, mempamerkan wajah sebuah aerobish. Komponen-komponen di beberapa bahagian tubuh peninjau turut berubah. Beberapa ketika yang berlalu, mengizinkan peninjau ini berubah sepenuhnya dan memiliki sesusuk tubuh sebuah aerobish.

Selama beberapa saat, aku dapat merasai gegaran di dalam trailer. Kini raksasa jalanan ini telah berubah menjadi sebuah aerobish gergasi yang perkasa.

Dengan satu pergerakan yang perlahan, Habrul Prisma bangkit dari pembaringannya secara elektrikal dan energetik. Ia berdiri tegak untuk menghadapi serangan yang bakal tiba. Matanya bersinar, memancarkan cahaya kuning yang menyuluh jalan.

Buat beberapa detik, ia mengenali alam sekeliling dan mengetahui siapakah dirinya. Ia mengerti tujuan wujud dirinya. Aku cuba menyatukan jiwaku dengan arus memorinya. Aku bermeditasi di dalam suasana yang bening. Aku membayangkan bahawa setiap aksinya adalah aksiku, setiap keputusannya adalah keputusanku. Aku dapat merasakan satu semangat baru yang meresap ke dalam jiwa. Kini aku adalah Habrul Prisma!

Aku adalah harapan Misteroid. Namun aku perlu memusnahkan musuhnya iaitu Empayar Galaktos. Kini aku sedang berhadapan dengan soldadu mereka. Aku tidak gentar menghadapi android-android dan bionikoid-bionikoid Maharaja Galaktos.

Aku berlari ke pintu Ballasan. Beberapa buah bionikoid sedang menantiku dengan senjata yang terhunus. Aku menujahkan tumit ke atas. Roket pengimbang yang dipasang di pinggang dan buku lali membenarkan aku berada di udara. Tanpa memberi peluang untuk bertindak, aku menyerang mereka. Beberapa buah peluru berpandu keluar dari pelancarnya yang diletakkan di atas kedua-dua bahuku. Jasad mereka berkecai.

Pertempuran di langit Ballasan semakin sengit. Bom demi bom digugurkan dan peluru berpandu mengenai sasaran. Menara-menara pencakar langit mulai runtuh. Semakin banyak pesawat pejuang Saibatirran muncul di langit Ballasan. Mercu tanda kemasyhuran Ballasan runtuh terkena bedilan Blushiannoah.

Aku segera mencari reaktor tenaga binaan android-android Saibatirran. Beberapa buah tangki besar seolah-olah sedang menanti diriku untuk membinasakannya. Setelah mendarat di kawasan itu, aku memusnahkan tangki-tangki tersebut. Aku mengeluarkan senjata yang tersimpan di dalam peha kanan, lalu menembak beberapa buah tangki berisi bahan organik. Letupan-letupan besar bergema apabila tembakan-tembakanku mengenai sasaran.

Tiba-tiba satu pukulan yang kuat menghentam belakangku. Aku kehilangan imbangan badan dan tubuhku jatuh di atas tanah. Aku sangat terkejut. Sebuah aerobish berdiri di hadapanku. Siapakah dia yang berani menghalang tugasku yang belum selesai?

Dia menyerangku. Sebuah buku lima nyaris hinggap di wajahku, apabila aku mengelak pukulan keduanya dengan pantas. Peluang telah terbuka dan aku menghentak rusuk kirinya dengan siku kananku. Dia menetak belakangku dengan kedua-dua tangannya. Aku jatuh tersungkur di hujung kakinya. Dia menyepak wajahku dengan kaki kanannya dan aku berguling di atas tanah.

Aku tertiarap berhampiran sebuah kerangka yang sedang terbakar. Aku menongkat bahu dengan kedua belah tangan. Aerobish itu menghampiriku. Dia bersedia untuk melakukan serangan ketiga. Perasaan marahku meruap kerana dihina sedemikian rupa. Aku adalah harapan Misteroid. Aku tidak boleh tewas!

Dia menyentuh bahuku. Aku merempuh tubuh itu untuk menjatuhkannya. Percubaanku tidak berjaya. Dia terdorong beberapa langkah ke belakang. Aku berdiri tegak untuk menyusun serangan baru. Dia juga berdiri tegak dengan tujuan yang sama sepertiku. Aerobish ini cukup gagah kerana aku tidak berhasil menumbangkannya.

Dia menghunus pedang. Aku menyahut cabarannya. Tangan kananku mencabut hulu pedang dari pinggang kiriku. Kemudian mata pedang yang berwarna putih keluar dari hulu pedang yang kugenggam.

Dia melancarkan serangan keempat. Aku menepis serangannya. Kemudian aku melancarkan serangan dan dia menahan tetakan pedangku.

Pertarungan pedang telah membawa kami ke pinggir kawasan reaktor. Sebuah bangunan janakuasa terletak di situ. Aku mesti memusnahkannya kerana di situlah tenaga kepada bionikoid yang telah siap direka disalurkan. Aerobish di hadapanku cuba menghalang usahaku. Kami terus beradu pedang untuk mempertahankan diri dan membinasakan lawan.

Kemudian kami bersilang pedang. Pertarungan terhenti buat beberapa lama. Kami saling bertentang mata. Cahaya merah menyala terpancar dari mata musuhku, mempamerkan perasaan bencinya terhadapku. Wajahnya kaku tanpa emosi.

Dia cuba berbicara denganku. Aku menyedari bahawa arus fikiranku sedang cuba menafsirkan butir-butir bicaranya. Engkaukah Habrul Prisma yang disebut oleh mereka?

Aku berasa hairan bagaimanakah dia boleh mengenaliku kerana sebelum ini aku tidak pernah bertembung mata dengannya. Inilah kali pertama dan mungkin yang terakhir aku melihat kewujudannya di Misteroid. Aku cuba berbicara dengannya. Pengertian mengalir di antara kami melalui mata yang menafsirkan butir-butir bicara.

Akulah Habrul Prisma!

Engkau harus tunduk kepada Globator, Aurtitanikus Agung yang memerintah seluruh Misteroid dan isinya.

Engkau adalah pengikut kepada Kaus Aurtitanikus!

Kewujudanku adalah ilham daripada pemikiran mereka.

Jika demikian, aku tunduk kepada Al-Malik, Tuhan Yang Maha Agung, dan pencipta segala kaus, dan aku tidak akan tunduk kepada Globator Penzalim. Akulah Tarius, Wira Putih Kaus Aurian. Jangan cuba menghina martabat seorang Kaus!

Ternyata Habrul Prisma adalah jelmaan Kaus Aurian. Kehadiran Kaus Aurian menggugat kekuasaan Kaus Aurtitanikus di bumi Misteroid. Tunduklah kepada Globator atau kau akan menyesal bila berhadapan dengannya!

Kaus Aurian tidak pernah gentar menghadapi siasah Globator dan kuncu-kuncunya. Aku tidak mengenalimu.  

Akulah Batara, utusan Globator untuk umat Misteroid di wilayah timur.

Jangan mengangkat martabatmu setinggi itu, Batara. Al-Malik akan murka kerana engkau menyekutukannya!

Engkau akan menerima padah bila berhadapan dengan Globator, Tarius. Puaka Globator akan memakanmu!

Kaus Aurian tidak pernah gentar menghadapi Kaus Aurtitanikus. Batara, kembalilah kepada tuanmu. Umat Misteroid tidak dapat menerima ajaranmu. Tinggalkan mereka di sini. Biarkan mereka membangunkan semula aqidah mereka.

Tidak! Aku tidak akan kembali melainkan umat Misteroid menerima ajaranku, dan selagi engkau tidak tumpas di tanganku, Batara yang bergelar Pemusnah Qomulian.

Akulah Tarius, lagenda hidup yang diramalkan oleh Kitab Qomul. Kini aku menjelma sebagai Habrul Prisma, Pendekar Qomulian. Jangan cuba memesongkan kebenaran di hadapan Qomulian. Kau pasti menyesal!

Tarius, mengaku kalah atau Habrul Prisma binasa!

Jangan cuba menggugat hati seorang kaus, Batara. Tarafmu tidak akan sama dengan tarafku. Lihatlah pengikut-pengikut setiamu. Mereka sedang menghadapi kesulitan.

Android Galaktos tidak pernah kenal erti kalah.

Bionikoidmu telah hancur!

Bionikoid Galaktos tidak pernah kenal erti kecewa!

Dia melepaskan silangan pedang dan cuba memutuskan leherku. Aku merendahkan badan. Pedangnya memotong angin di atas kepalaku. Aku menerjahkan tumit dan menolak tubuhku ke belakang untuk menyusun serangan baru. Aku tersilap langkah. Kakiku tersangkut di celah-celah talian kabel yang menghubungkan pencawang-pencawang elektrik. Tubuhku jatuh di atas tanah.

Dua buah menara pencawang elektrik yang dihubungkan dengan talia-talian kabel telah tumbang. Aku merasai kebocoran arus elektrik. Aku mengalami kesulitan kerana arus elektrik yang bocor itu telah melumpuhkan sistem sarafku. Tubuhku terbaring di atas bumi Ballasan. Aku semakin lemah untuk meneruskan perjuangan. Pedangku terlepas dari genggaman.

Aku hanya mampu melihat Batara menghambur ke arahku. Dia menghayunkan pedangnya ke udara dan bersedia untuk membelah dua tubuhku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku tidak akan dapat melupakan detik-detik bagaimana Batara cuba melenyapkan kewujudanku apabila dengan tiba-tiba sahaja bahuku bergegar. Peluru-peluru berpandu keluar dari pelancarnya dan berebut-rebut mencari sasaran. Saat-saat terakhir aku tidak sedarkan diri, aku dapat melihat wajah Batara yang terkejut.

Tubuhnya merempuh peluru-peluru berpandu yang liar mencari sasaran. Seterusnya aku tidak mengetahui nasib yang menimpa dirinya.

Setelah selesai menukarkan Habrul Prisma kepada bentuk asalnya, aku segera memandunya keluar dari kawasan reaktor tenaga. Saat-saat keruntuhan kerajaan tentera Ballasan semakin hampir. Semasa memandu trailer, aku seolah-olah dapat menyaksikan tubuh gergasi aerobish Batara menghempas talian-talian kabel yang telah ditindih oleh Habrul Prisma tadi.

Aku memberhentikan Habrul Prisma di tepi sebuah pantai. Ombak memukul pasir pantai yang hitam. Aku dapat merasakan suatu kedamaian yang luar biasa di dalam perang yang semakin berkecamuk. Di belakangku reaktor tenaga Ballasan masih dijilat api.

Tugasku telah selesai. Namun aku perlu membantu Qomulian lagi.

TAMAT.


Mutiara Generasi, Bilangan 5, Matrikulasi USM Sessi 92/93
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1993


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis semula daripada naskhah asal cerita panjang yang saya tulis berjudul “Pertarungan di Lembangan Kazaristan” menggunakan pensil 2B di dalam buku tulis ‘fullscap’ berkulit tebal yang turut memuatkan lagi 4 cerita panjang – “Kisah di Hutan Darat”, “Bermulanya Sebuah Prolog”, “Tragedi Bukit Soga” dan “Penaklukan Belalang Raksasa”.
  2. Idea cerita panjang itu ialah usaha sekumpulan pejuang pembebasan yang berusaha menawan semula sebuah ibu kota kerajaan baik yang telah dijajah oleh suatu kuasa jahat. Dalam masa yang sama, mereka telah menghantar sebuah robot gergasi untuk bertarung dengan sebuah robot gergasi kuasa jahat yang menjaga ibu kota tersebut. Asalnya, kata nama Kazaristan ialah nama bagi sebuah sungai yang membentuk Lembangan Kazaristan di bahagian timur Misteroid. Apabila semakin meningkat remaja dan semakin banyak buku cerita fantasi dan sains fiksyen yang saya baca, dan semakin banyak siri kartun animasi dan siri marionet yang saya tonton, saya mendapat inspirasi-inspirasi baru dan saya perbaharui naskhah ini berulangkali hingga jadi seperti sekarang ini. Lembangan Sungai Kazaristan telah saya ubah jadi Rantau Laut Kazaristan. Anda akan berfikiran kusut setelah habis baca cerita ini sebab banyak idea yang saya ingin kongsi dalam satu cerita. Sila tunggu versi yang telah saya sunting dalam terbitan blog yang seterusnya.
  3. Ini ialah cerpen peringatan atau komemoratif yang saya sumbangkan untuk penerbitan majalah Mutiara Generasi Bilangan 5 terbitan Matrikulasi USM Sessi 92/93.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan