Jelas.
Kewujudannya tidak dapat disangkal lagi.
Nutrosonan
memandang Adiventor. Adiventor mengunci bicara di dalam sinaran api unggun yang
semakin malap. Tangannya sibuk menambah ranting-ranting kering ke dalam api.
“Jadi, benarlah
lelaki yang tinggal dengan Tuan Danji itu seorang kaus.”
Adiventor
memandang wajah Nutrosonan. Sinar mata Adiventor semakin layu. Mungkin dia
terlalu letih setelah sehari suntuk menunggang kuda dalam perjalanan ke Desa
Kra.
Mereka membawa pesanan
Tuan Danji untuk disampaikan kepada Adipatria, Ketua Desa Kra.
“Apa yang hendak
diragukan lagi, Sonan. Memang benar. Dialah Arius. Avisina sendiri yang
memberitahuku semasa di pasar. Dialah yang menjumpai Arius di Dataran Tinggi
Partagon pada musim dingin yang lalu sewaktu menggembala yink orang-orang
kampungnya. Tambahan lagi, kita berdua telah melihat dengan mata kepala kita
sendiri akan tanda-tanda seorang kaus yang ada pada tubuhnya. Mutan dan jin
tidak akan mampu meniru tanda-tanda kekausan itu. Tahukah kau, Qomulian di
Irlium telah berjaya mengesan bintang Arius kira-kira tujuh bulan yang lalu?”
Arius, wira suci
berhati putih untuk umat manusia di sebelah timur. Arius, pemimpin Qomulian
yang terbilang. Arius, ketua Kaus Aurian yang memakai gelaran Perdana Aurian.
Dia yang akan memimpin Qomulian sebelum alam semesta menemui makna kematian.
Semasa hidupnya,
melalui riwayat-riwayat yang sahih, Alpherutz telah memberitahu
sahabat-sahabatnya bahawa selepas kematiannya nanti, Qomulian akan ditimpa fitnah
yang amat besar selama beberapa kurun sehingga muncul sekumpulan empat orang
manusia lelaki bergelar Kaus Aurian yang terdiri daripada Arius, Tarius,
Aqurrus dan Qornus.
Pada zaman
fitnah itu juga, musibah terbesar akan menimpa seluruh umat manusia, iaitu
sekumpulan empat jin bergelar Kaus Aurtitanikus yang terdiri daripada Globator,
Vargan, Sagtar dan Genin, akan bangkit memimpin golongan Qomulian yang telah
sesat dan berusaha memerangi Qomulian. Alpherutz telah memberitahu
sahabat-sahabatnya, jika Qomulian ingin selamat dari musibah Kaus Aurtitanikus,
mereka wajib menerima kepimpinan Kaus Aurian.
Di dalam riwayat
yang lain pula, Alpherutz telah menyatakan bahawa kebangkitan Kaus Aurtitanikus
akan diiringi dengan kelahiran sekumpulan makhluk puaka bergelar Penguasa Mulia
yang bersifat kejam dan tidak memahami makna belas ihsan. Penguasa Mulia itu
akan membantu Kaus Aurtitanikus untuk membantai Qomulian supaya pengaruh Kaus
Aurtitanikus dapat disebarluaskan di kalangan umat manusia.
Seluruh dunia pula
akan berada di dalam suasana sedih dan takut.
Untuk
mengimbangi pengaruh dan kekuasaan Kaus Aurtitanikus, Kaus Aurian dianugerahkan
kepada umat manusia. Kebangkitan Kaus Aurian pula akan diiringi dengan
kelahiran sekumpulan makhluk sakti yang bergelar Pembantu Suci. Pembantu Suci
akan membantu Kaus Aurian untuk menggalang serangan-serangan hebat yang
dilancarkan oleh Penguasa Mulia ke atas Qomulian.
Pembantu Suci
itu akan tampil untuk menawarkan diri dan khidmat mereka kepada Kaus Aurian.
Hanya Kaus Aurian yang akan mengenali siapa daripada kalangan Qomulian yang
layak menjadi Pembantu suci.
Alpherutz telah
menekankan bahawa jika ada di kalangan Qomulian yang layak, mereka hendaklah
lekas-lekas menawarkan diri untuk menjadi Pembantu Suci. Hanya setelah Kaus
Aurian bergandingan dengan Pembantu Suci, barulah keselamatan dan ketenteraman
hidup seluruh umat manusia akan terjamin.
Kini Arius telah
muncul. Tanda kewujudannya telah nyata. Nutrosonan sering melihat Bintang
Mirfak yang berwarna hijau bergantungan di ufuk timur pada waktu fajar. Baru
minggu lepas mereka berbual mesra dengan Arius sewaktu menziarahi Tuan Danji
untuk menyampaikan pesanan Adipatria. Akhlaknya sangat terpuji.
Namun,
Nutrosonan berasa hairan dengan sikap Tuan Danji yang enggan memperkenalkan
kepada mereka lelaki bernama Arius itu sebagai Kaus Aurian.
“Jika Arius
telah menampakkan dirinya, aku yakin, sudah tentu Kaus Aurian yang lain juga
telah pun menampakkan diri masing-masing di tempat-tempat lain di dunia ini.”
“Mungkin. Cuma
buat masa ini, kita tidak mendengar berita tentang mereka daripada
saudara-saudara Qomulian yang lain.”
“Misteroid ini
luas, Ventor.”
“Sonan,
kemunculan Arius bermakna Kaus Aurian yang lain juga telah muncul. Aku yakin,
mereka telah pun menampakkan diri masing-masing dan menerima janji setia secara
rahsia daripada pemimpin-pemimpin Qomulian tempatan yang ingin merahsiakan
kehadiran mereka. Mungkin pada masa ini, masih terlalu awal untuk mereka
bergabung sebagai Kaus Aurian yang akan memimpin kita untuk mengusung
panji-panji Qomulian.”
“Kata-katamu
benar, Ventor. Kita baru saja mengetahui kemunculan Arius. Masih terlalu awal
untuk mereka bersatu.”
“Aku terlalu
mengantuk, Sonan. Izinkan aku tidur.”
“Tidurlah.
Tunggu apa lagi.”
Sebaik sahaja
Adiventor merebahkan kepalanya di atas rumput tidak jauh dari unggun api, dia
terus terlena. Sebentar kemudian, kedengaran dengkuran Adiventor yang menyatu
dengan bunyi cengkerik, menghasilkan irama malam.
Malam semakin
larut. Bulan di hujung pucuk telah bersembunyi di sebalik bukit. Angin yang
berhembus menggoyangkan dahan-dahan yang menampung daun-daun malam. Nutrosonan
terus duduk di atas kayu mati sambil menghitung bintang-bintang di langit.
Dunia sedang
berada di hujung zaman.
Di dalam Kitab
Qomul yang selalu dibaca oleh Nutrosonan, ada mengisahkan bahawa pada hujung
zaman, manusia akan bernaung di bawah payung kesesatan yang membutakan mata
hati dan menumpulkan mata akal. Sekumpulan wali kejam berhati hitam menjadi
pemimpin-pemimpin yang zalim dan rakus. Beberapa orang wira suci berhati putih
pula akan bangkit untuk menerangkan mata hati dan menyuluh mata fikir dengan
membawa satu kandil yang bercahaya.
Wali-wali kejam
itu muncul dengan iringan pedang dan perisai, manakala wira-wira suci itu
bangkit dengan iringan air mata dan darah. Pergerakan wali-wali kejam dan
wira-wira suci itu akan dibantu oleh beberapa makhluk yang terpilih.
Kisah itu
terbukti benar apabila pada zaman itu, hampir seluruh dunia bernaung di bawah
kekuasaan Empayar Galaktos yang mendewakan Globator serta menjadikan Missiah
sebagai agama rasmi empayar. Globator ialah ketua Kaus Aurtitanikus yang
bergelar Aurtitanikus Agung. Empayar Galaktos yang dirajai Maharaja Galaktos
merupakan sebuah kuasa yang berusaha untuk memerintah dan memperhambakan seluruh
umat manusia yang tidak mendewakan Globator.
Usaha empayar
itu tidak dapat dapat diterima oleh Qomulian. Apabila Maharaja Galaktos
berkeras untuk memaksa seluruh umat manusia non-Missiah menjadi hamba
empayarnya, Qomulian tidak dapat berdiam diri dan bangkit menentang kerana
usaha empayar itu bertujuan untuk memusnahkan makna kemerdekaan dan harga diri
seseorang insan.
Apabila
mengetahui sikap Qomulian, Maharaja Galaktos terus mengisytiharkan perang ke
atas Qomulian. Maharaja Galaktos amat yakin bahawa dia boleh memenangi perang
itu kerana Qomulian tidak memiliki pemimpin agung yang boleh mematahkan segala
usahanya.
Akan tetapi,
Nutrosonan percaya bahawa keyakinan Maharaja Galaktos akan lebur apabila
pemimpin agung Qomulian mengisytiharkan kemunculannya di tengah-tengah umat
manusia yang dirundung mendung zulmat.
Benar kata
Alpherutz. Qomulian akan dilanda fitnah besar. Mereka akan diperangi
semata-mata kerana ingin mengekalkan makna kemerdekaan dan kemuliaan insaniah.
Kitab Qomul juga
ada menyebut tentang Pembantu Suci. Ia tidak menyatakan asal-usul Pembantu Suci
dengan tepat. Ia hanya menyatakan nama-nama gelaran untuk dijadikan bahan
kajian oleh orang-orang yang rajin menyelidik kebenaran Qomul.
Nama-nama
gelaran itu ialah Rubah Putih, Serigala Tunggal, Musafir Sepi dan Paus Hitam.
Rubah Putih akan menjadi pembantu Arius, Serigala Tunggal akan menjadi pembantu
Tarius, Musafir Sepi akan menjadi pembantu Qornus dan Paus Hitam akan menjadi
pembantu Aqurrus.
Apa yang
menyedihkan Nutrosonan, watak-watak tersebut telah menjadi legenda untuk
tatapan anak-anak kecil yang rajin membaca dongeng zaman silam. Peranan mereka
sebagai pembantu Kaus Aurian tidak diambil berat oleh generasi baru Qomulian.
Dahulu, sebelum
meninggalkan Akademi Solaroid, Tuan Erdani yang menjadi mahaguru di situ,
pernah memberitahu Nutrosonan bahawa menurut firasatnya, Rubah Putih telah pun
lahir di bumi Misteroid.
Akan tetapi,
siapakah yang akan memakai gelaran itu?
Bukan sebarangan
orang yang boleh mengaku bahawa sesungguhnya dialah Rubah Putih yang
dimaksudkan oleh Qomul. Dan bukan sebarangan orang yang boleh berfirasat bahawa
Rubah Putih telah lahir ke alam dunia dari rahim seorang perempuan yang baik.
Jika benar
firasat Tuan Erdani, orang yang memakai gelaran Rubah Putih akan mempunyai
tanggungjawab yang amat besar dan menjadi pertaruhan Qomulian untuk membantu
Kaus Aurian menyelamatkan seluruh umat manusia dan makna kemanusiaan.
Tiba-tiba
telinga Nutrosonan menangkap bunyi satu desiran yang ganjil. Mata Nutrosonan
meliar ke seluruh kawasan di sekelilingnya. Daun-daun pokok berbalam-balam di
dalam malam. Batang-batang kayu mati tidak menunjukkan sebarang tanda
kehidupan.
Degupan
jantungnya bertambah kencang. Bulu romanya meremang, mengundang keberanian yang
tidak kenal makna gementar.
Pasti.
Keganjilan yang
tersirat di sebalik desiran itu mengundang bahaya. Nutrosonan segera
mengejutkan Adiventor yang mash enak dibuai mimpi. Adiventor menggeliat malas.
“Bahaya!”
Nutrosonan berbisik keras sambil menggenggam kemas ulu Solzolar. Dengan
serta-merta mata Adiventor bersinar segar. Dia segera mencapai sarung pedang
dan berdiri di sisi Nutrosonan yang sedang mengawasi keadaan.
“Bahaya apa?”
“Aku terdengar
bunyi desiran yang ganjil. Sukar diteka sama ada bunyi angin yang sedang menyanyi
atau daun-daun yang bergeseran.”
Desiran tersebut
bertukar menjadi satu keluhan. Kemudian ia berubah menjadi satu raungan yang
semakin keras. Bunyinya keras di dalam sepi yang gelap. Nyaring di dalam malam
yang semakin sayup.
“Aku kenal siapa
yang datang,” kata Nutrosonan, “Musuh. Padam api!”
Adiventor segera
mengambus unggun api sehingga padam bara.
“Siapa yang
datang. Kenapa kita mesti padamkan api?” Soal Adiventor di dalam gelap.
Nutrosonan dapat melihat riak kecemasan yang timbul di atas muka Adiventor.
“Globulin.”
Darah Adiventor
menyirap ke muka. Perasaan gemuruh tiba-tiba melanda hatinya. Kesedarannya kini
lebih daripada sempurna. Sisa-sisa tidur dan kantuk lupus dengan tiba-tiba
apabila Nutrosonan menyebut nama itu.
Globulin
termasuk di dalam golongan jin. Di dalam alam jin, mereka ialah
pendekar-pendekar terbilang dan perwira-perwira yang hebat. Mereka amat
ditakuti oleh manusia dan haiwan kerana mereka gemar melapah daging mangsa
mereka hidup-hidup. Tidak sedikit Qomulian yang menjadi mangsa pembantaian
globulin.
“Globulin tidak
boleh ditentang dalam sinaran cahaya. Mata kasar kita tidak dapat melihat
kewujudan mereka. Kita akan tewas kalau bertarung di dalam terang,” kata
Nutrosonan lagi.
Mereka saling
membelakangi dalam keadaan berjaga-jaga. Solzolar menari di dalam genggaman
Nutrosonan. Adiventor menghunuskan senjatanya ke arah malam.
Globator.
Tiba-tiba nama
itu menerpa di dalam hati Nutrosonan. Sebentar kemudian, mata hatinya dapat
melihat kemunculan bayang-bayang hitam yang keluar dari sebalik kegelapan.
Kehitaman
bayang-bayang itu lebih pekat daripada malam yang gelap. Bayang-bayang hitam
itu mengelilingi mereka berdua. Sepuluh bayang-bayang hitam berbentuk manusia
dan berkelengkapan perang segera menghunuskan senjata ke arah bakal-bakal
mangsa mereka.
“Sonan, aku
dapat melihat mereka.”
“Bagus.”
Kami mahu nyawamu.
Tiba-tiba salah
satu lembaga itu bersuara di dalam hati Nutrosonan. Nutrosonan berasa terkejut
dan hairan. Globulin mahu nyawa mereka! Akan tetapi, kenapa?
Untuk dipersembahkan kepada Globator.
Darah Nutrosonan
berderau. Denyut nadinya semakin kuat. Debaran jantungnya semakin kencang.
Keinginan untuk berasa gerun memuncak. Namun, keinginan itu dengan pantas
dicantas oleh satu keberanian luar biasa yang berlari deras di dalam darahnya.
Huh, Globator mahu nyawa kami?
Kami akan bayar harganya dengan pertarungan.
Kami tak gentar bertarung. Terutama sekali dengan
puaka-puaka berhati keji seperti kamu!
Rubah Putih! Jangan kau angkuh. Puaka Globator akan
memakanmu!
Kesedaran
Nutrosonan tersentak. Globulin-globulin itu memanggil mereka dengan gelaran
Rubah Putih!
Rubah Putih
ialah gelaran untuk dipakai oleh seorang manusia sahaja. Tiada dua orang
manusia yang akan membawa gelaran Rubah Putih dalam dunia ini. Jadi, salah
seorang daripada mereka ialah Rubah Putih.
Siapakah di
antara mereka berdua ialah Rubah Putih yang dimaksudkan oleh puaka-puaka itu?
Tuhan berserta orang-orang yang benar.
Ha! Ha! Ha! Ha!…
Ketawa mereka
amat membingitkan telinga.
Rubah Putih, kau tidak boleh berjumpa Arius. Kau mesti
dihapuskan.
“Sonan, mereka
mahu menyerang kita.”
Suara Adiventor
mengejutkan Nutrosonan yang terperangkap di dalam dialog dengan globulin.
Nutrosonan berasa hairan. Tidakkah Adiventor mendengar perbualan mereka?
Tanpa
mengeluarkan sebarang isyarat, globulin menyerang. Sebentar kemudian, pedang
globulin berlaga dengan pedang mereka. Solzolar menerangi pertarungan dengan
percikan api setiap kali ia bertembung dengan lawannya.
Serangan
globulin sangat pantas. Mereka berdua menepis dan mengelak serangan-serangan
tersebut dengan gerakan perlahan yang seragam, kemas dan berseni.
Irama perang
memainkan lagu di dalam telinga mereka berdua.
Nutrosonan
memperolehi dua ruang kosong. Dalam sehembus nafas, Solzolar merobek sasarannya.
Bayamg-byang tersebut meraung di dalam hati Nutrosonan. Mata hatinya dapat
melihat kelenyapan globulin yang terbunuh dari alam malam. Adiventor pula
berjaya menumpaskan tiga globulin.
Tiba-tiba
globulin yang tinggal segera berhimpun dan mengatur satu serangan baru.
“Sonan, aku
terhidu bau yang amat busuk.”
“Mereka
menggunakan sihir hitam. Mari kita satukan tenaga dalaman.”
Setelah
meletakkan pedang, mereka duduk bersila menghadap globulin. Perhatian
ditumpukan sepenuhnya untuk memusnahkan lawan. Tapak tangan kanan didirikan di
atas tapak tangan kiri. Baris-baris mentera dari Kitab Qomul dibaca lancar
penuh yakin. Hati dan fikiran dipusatkan ke arah kedua-dua tapak tangan.
Setelah titik
koordinasi saraf tenaga berjaya diselaraskan, mereka dapat merasakan tenaga
dalaman yang mengalir di dalam jasad mereka.
Tiba-tiba
tapak-tapak tangan mereka mengeluarkan asap putih yang tebal. Tenaga dalaman
yang dikerah hampir tiba ke puncak. Mereka mengangkat kedua-dua tapak tangan
separas bahu yang dihalakan ke arah globulin.
Gabungan
bayang-bayang hitam globulin menyerang di dalam satu pergerakan yang tidak
dapat ditangkap oleh mata. Pada ketika yang sama, mereka tidak mampu menyimpan
tenaga dalaman lebih lama, lantas menolak kedua-dua tapak tangan ke arah datangnya
serangan bayang-bayang globulin.
Satu gumpalan
cahaya putih keluar dari tapak-tapak tangan mereka dan bercantum untuk mencari
sasaran. Perhitungan mereka tidak silap. Apabila gumpalan cahaya itu bertembung
dengan gumpalan kegelapan yang sangat pekat, satu letupan yang menggegarkan
suasana malam terhasil.
Raungan-raungan
yang sangat mengerikan terngiang-ngiang di dalam hati mereka. Mereka dapat
melihat imej-imej dahsyat yang berkecai yang mencetuskan kegerunan di dalam
kalbu. Sebentar kemudian, raungan itu hilang dan imej itu pun terpadam.
Mereka
menghening fikiran sambil memejamkan mata untuk memulihkan diri masing-masing
yang keletihan.
Kemudian
Nutrosonan membuka mata dan memandang wajah Adiventor. Adiventor membalas
pandangannya.
“Siapakah yang mengirim
mereka?”
“Globator.”
“Globator!”
“Mereka sangka
kita ialah Kaus Aurian. Sangkaan mereka silap.”
Nutrosonan yakin
bahawa Adiventor tidak mampu berbicara dengan globulin-globulin tadi.
Nutrosonan juga tahu bahawa hanya pembantu-pembantu Kaus Aurian yang mampu
berbicara dengan musuh-musuh yang ghaib.
Akukah Rubah
Putih?
TAMAT.
TAMAT.
www.melayu.com, 19
Julai 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001
Nota kaki:
- Naskhah ini telah saya sunting pada tahun 2001 daripada naskhah
yang pernah tersiar di dalam Karisma, iaitu majalah tahunan Matrikulasi
USM Sessi 91/92.
- Banyak idea asal yang telah saya
cantas dan tinggalkan, manakala saya memperhalusi idea-idea tertentu dan
memudahkan konsep-konsep tertentu supaya apabila dipersembahkan dalam
bentuk bacaan kepada khalayak, mereka tidak akan kusut fikiran setelah
membacanya. Daripada naskhah inilah saya mengembangkan lagi idea-idea yang
telah saya perhalusi, yang saya ceritakan di dalam sekumpulan
cerpen-cerpen yang menjadi fragmen-fragmen tertentu sebuah novel fantasi
yang saya sedang tulis.
- Saya telah siarkan teks ini buat kali
pertama di internet di www.melayu.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan