Isnin, 12 Oktober 2015

26 Musang Perak

Malam semakin larut apabila Draman meninggalkan rumah Adipatria. Dia mengambil jalan yang biasa dilalui untuk kembali ke rumahnya yang terletak di tepi bendang. Sebelum tiba di bendang, dia perlu melalui satu kawasan belukar yang memisahkan kawasan darat dan kawasan baruh desanya.

Kawasan darat Desa Kra terletak berhampiran lebuh raya utama yang menghubungkan Marcha dengan Ambra. Manakala kawasan baruh pula terletak berhampiran Sungai Marcha dan Pantai Lantera. Rumahnya terletak di kawasan baruh.

Draman pasti bahawa keluarganya sedang tidur sekarang. Dia sudah berpesan kepada anaknya supaya jangan menunggu kepulangannya dari rumah Adipatria.

Semenjak kebelakangan ini, dia telah banyak mendengar cerita yang disampaikan oleh penduduk-penduduk desanya tentang amukan lembaga-lembaga hitam yang berlaku di desa-desa berjiran.

Kata orang-orang desanya, lembaga-lembaga hitam itu sering mengacau orang-orang yang berjalan pada waktu malam dan binatang ternakan di kandang.

Perkara yang paling menakutkan ialah apabila berlaku peristiwa-peristiwa pembunuhan ngeri ke atas penduduk-penduduk desa yang tidak berdoasa. Mayat mereka sering ditemui dalam keadaan yang menggerunkan. Kulit mereka disiat. Daging, tulang-belulang dan organ-organ dalaman mangsa terburai dan dibiarkan bersepah di tempat kejadian.

Kebanyakan penduduk amat yakin bahawa perbuatan itu adalah angkara lembaga-lembaga hitam yang berkeliaran pada waktu malam.

Seorang wardaris Qomulian terkenal bernama Tuan Rasdan yang berdiam di Desa Suga, selang dua desa dari Desa Kra, mengatakan bahawa lembaga-lembaga hitam itu ialah globulin-globulin pelapah daging.

Globulin ialah sejenis makhluk jin yang jelmaannya diseru daripada api yang dijampiserapah oleh pendita Missiah dengan menggunakan sihir Globator. Ia bersifat halimunan. Makanannya ialah wasap yang panas dan pekat. Pada ketika tertentu, ia boleh menampakkan dirinya pada pandangan mata kasar manusia biasa. Apabila dilihat oleh manusia, ia akan muncul sebagai satu lembaga hitam yang datang membawa bersama perasaan gerun. Ia boleh membunuh manusia hanya apabila diarahkan oleh sesuatu yang sangat berkuasa ke atasnya.

Nasib malang telah menimpa Tuan Rasdan apabila dia telah menjadi mangsa serangan lembaga-lembaga hitam pembunuh.

Draman amat khuatir jika amukan globulin akan sampai ke Desa Kra. Ketenteraman desa akan tergugat. Pihak berkuasa polis tidak dapat mengawal keadaan kerana mereka tidak mampu menyekat amukan globulin.

Pada peringkat awal, polis percaya bahawa siri pembunuhan yang berlaku di Lembangangan Sungai Marcha itu telah dilakukan oleh pembunuh psikotik. Akan tetapi, bukti-bukti yang ada tidak pernah menjelaskan yang perbuatan itu dilakukan oleh seseorang manusia.

Polis percaya bahawa perbuatan itu telah dilakukan oleh binatang buas. Malangnya, mereka tidak dapat menjelaskan jenis binatang yang sedang mengamuk itu kerana di Lembangan Sungai Marcha tiada spesies binatang buas yang boleh mengancam nyawa manusia.

Kes-kes pembunuhan itu masih dibuka dan polis masih meneruskan siasatan.

Walau apa pun andaian yang telah dibuat oleh pihak berkuasa, Draman tetap yakin bahawa perbuatan itu telah dilakukan oleh globulin. Draman berfirasat bahawa kedatangan globulin itu pasti ada kaitan dengan kemunculan Kaus Aurian.

Semenjak kecil, dia telah mendengar kisah globulin daripada seorang wardaris tua yang mengajar di desanya.

Globulin dikatakan akan muncul pada akhir zaman untuk menimbulkan huru-hara di kalangan manusia. Wardaris tua itu memberitahu bahawa kemunculan globulin, empat buah bintang Kaus Aurian di kaki langit empat penjuru mata angin, Kaus Aurian dan Pembantu Suci, Kaus Aurtitanikus dan Penguasa Mulia, keangkuhan kuasa Murtadian, kebangkitan Empayar Galaktos, kelemahan golongan Qomulian; merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kematian dunia.

Draman berasa musykil kerana kemunculan globulin hanya heboh di Lembangan Sungai Marcha. Apakah globulin tidak muncul di tempat-tempat lain di seluruh dunia? Persoalan tentang globulin yang telah dibincangkan dengan Adipatria tidak akan dibiarkan bersarang lama di dalam kepala. Jika ada globulin yang mengamuk di Desa Kra, dia sendiri yang akan menentang makhluk-makhluk ghaib itu.

Pada malam itu, bulan segan menunjukkan wajah. Awan nipis berarak kencang menuju ke kawasan pergunungan Partagon. Sekali-sekala kelihatan bintang-bintang berlabuh di pinggir-pinggir awan.

Udara semakin sejuk. Draman membiarkan kedinginan membalut tubuhnya. Dia melangkah pantas. Da mahu cepat sampai ke rumah untuk berehat kerana pada awal pagi esok dia ingin turun ke bendang untuk menuai rai.

Belukar di kiri dan kanannya bergerak-gerak kerana ditiup oleh angin. Daun-daun pokok bergeseran, menghasilkan irama malam yang penuh sendu.

Hati Draman berasa amat berat untuk meneruskan langkah. Dia mula berasa tidak enak apabila melalui belukar itu. Bayu yang bertiup lembut menjadi semakin keras. Draman memerhatikan alam sekitar yang gelap-gelita. Bayang-bayang pokok bergerak-gerak seperti melambainya.

Tiba-tiba ekor matanya melihat kelibat bayang-bayang hitam yang bermain-main di sebelah kiri belukar.

Draman menghentikan langkah. Matanya terus memerhati kelibat bayang-bayang hitam itu. Bayang-bayang itu keluar dari sebalik belukar dan menerpa ke tengah jalan untuk menghadang perjalanan Draman.

Tiga lembaga hitam sedang berdiri di hadapannya sambil menghunus senjata yang berupa sebilah pedang.

‘Globulin!’ Teriak hati Draman.

Draman mendapati bahawa dia sedang berhadapan dengan tiga globulin pelapah daging yang tidak kenal makna maut. Globulin tidak memahami makna kematian yang sedang dirasai oleh mangsa-mangsa mereka.

Draman segera menghunus sebilah pisau.

Globulin-globulin itu menyerang tanpa memberi sebarang isyarat. Pergerakan mereka sangat pantas. Draman menangkis serangan pedang makhluk ghaib dengan pisaunya.

Kemudian mereka menangguh serangan dan mengepung Draman. Draman tahu bahawa globulin boleh berbicara dengan mangsa mereka secara ghaib. Dengan bantuan ilmunya, Draman cuba berbicara dengan lembaga-lembaga maut itu.

Mengapa aku diserang?

Mereka mendiamkan diri.

Cakap, mengapa aku diserang? Siapa yang suruh kamu datang?

Mereka terus mendiamkan diri.

Jangan membohongi aku. Aku tahu bahawa kamu semua boleh berbicara denganku. Ayuh, cakap!

Draman.

Seru salah satu lembaga itu.

Kami juga tahu bahawa seorang ‘kalimati syahdan’ boleh berbicara dengan makhluk ghaib. Malang sekali, Globator amat berhajat dengan nyawamu.

Globator!?

Tidakkah kau berasa gerun apabila mendengar nama itu?

Globator makhluk terkutuk. Tempat yang paling layak untuknya ialah neraka yang paling jahanam. Kamu semua akan menurut jejaknya!

Bersiaplah untuk berjumpa Globator!

Nanti!

Globulin-globulin itu menangguh serangan.

Mengapa Globator mahu aku mati?

Kau akan membawa Rubah Putih menemui Arius Kaus Aurian. Globator tidak mengizinkan peristiwa itu berlaku.

Rubah Putih?

Draman tahu bahawa Rubah Putih adalah salah seorang Pembantu Suci yang diramal akan membantu Kaus Aurian bernama Arius. Namun, dia tidak tahu siapakah di kalangan Qomulian yang akan muncul sebagai Rubah Putih. Apakah pula kaitan Rubah Putih dengan dirinya?

Aku tidak kenal Rubah Putih. Mengapa aku dikaitkan dengan watak yang belum muncul itu?

Dia sudah muncul. Dia mesti dibunuh sebelum Kaus Aurian Timur mengisytiharkan dirinya. Dia mesti dibunuh sebelum sempat berjumpa Arius. Orang-orang yang akan membawa Rubah Putih kepada Arius mesti mati! Termasuk kau…

Akukah yang akan membawa Rubah Putih kepada Arius? Jangan bergurau denganku. Aku tidak kenal Rubah Putih. Arius pula belum muncul. Apakah jenaka yang Globator hendak mainkan denganku?

Globator pasti akan memusnahkan sesiapa sahaja yang menentangnya. Draman, mati, dan nyawamu akan kami persembahkan kepada Globator dengan aman.

Hanya Tuhan yang berkuasa ke atas diriku. Jika ajal telah tiba, aku lebih rela mati sebagai seorang pejuang.

Draman terus menyerang salah satu daripada globulin itu. Serangannya ditangkis dengan sebilah pedang. Satu tikaman maut dari arah belakang menuju ke arahnya. Draman mengelak pantas dengan membuat satu putaran lawan arah jam di atas tumit kiri. Pisaunya terus mencantas tangan yang memegang pedang itu. Dia dapat melihat pedang globulin itu jatuh ke tanah. Tangan globulin itu telah putus. Globulin itu mengundurkan diri dan lenyap dari alam malam.

Globulin yang diserangnya tadi segera membalas serangan. Ia menikam tubuh Draman bertubi-tubi. Draman menangkis serangan-serangan berbahaya itu. Draman tahu bahawa masih ada satu lagi globulin yang tidak terlibat di dalam pertarungan. Mereka mempunyai muslihat untuk menewaskannya.

Draman memperolehi satu peluang. Dia segera menikam dan meradak dada globulin lawan tarungnya. Dia dapat mendengar satu raungan ngeri jauh di sudut hatinya. Globulin yang tewas terus lenyap dari pandangan.

Tiba-tiba Draman berasa satu benda tajam menembusi jantungnya. Dia dapat melihat satu hujung mata pedang yang tersembul keluar dari dadanya. Darah Draman tumpah ke bumi.

Globulin yang menikam Draman segera mencabut pedang. Tubuh Draman jatuh ke tanah. Draman telah menghembuskan nafas terakhir. Dia sempat memejamkan mata setelah menyahut panggilan maut yang datang dengan wajah yang manis berseri.

Globulin itu tidak sempat membungkus nyawa Draman dengan sihir yang telah dibekalkan oleh Globator. Ia segera meninggalkan tubuh kaku mangsanya.

Keluarga Draman masih tidak tahu tentang kematiannya. Sayup-sayup kedengaran seekor burung hantu menyanyikan lagu kematian di penjuru atap sebuah rumah.

*****

Ia menyaksikan kejadian pembunuhan yang berlaku itu dengan penuh kesal. Ia hanya layak diberi gantinama ‘ia’ dan bukan ‘dia’ kerana ia bukan seorang manusia.


Ia adalah suatu bentuk hidup yang tidak mempunyai bentuk yang tetap yang menjelma daripada himpunan molekul yang boleh berubah rupa menjadi berbagai-bagai bentuk hidup.

Ia dipanggil mandroid – gabungan unsur manusia dan android.

Mandroid ialah suatu bentuk hidup yang telah dicipta di Saibatirran oleh Kadankazam, seorang bistarian Masihin tersohor, daripada bahan termaju berasaskan teknologi nano mutakhir.

Ia terdiri daripada molekul-molekul etilinilfenil ultra, sejenis polimer sintetik berkeupayaan kebijaksanaan tiruan boleh berpadu sendiri yang saling berangkaian untuk menyampaikan isyarat maklumat sesama sendiri melalui denyut kuasa foton yang terkandung di dalam atom-atomnya. Ia tidak serupa android yang memiliki bentuk fizikal kekal dan mengandungi komponen-komponen halus penderia elektronik sensitif dipacu nanocip-nanocip rumit.

Molekul-molekul itulah yang berperanan sebagai penderia sensitif.

Walaupun mandroid tidak berjiwa, tetapi ia memiliki ‘niat’. ‘Niat’ sesuatu mandroid diambil daripada memori yang tersimpan di dalam serebrum korteks otak manusia yang telah mati. Semasa mandroid dihidupkan melalui proses ‘kemasukan niat’, memori itu digarap oleh meolekul-molekul tersebut dan disimpan kukuh di dalam petala orbital elektron.

‘Niat’ yang tersimpan itulah yang mendorong mandroid untuk mencapai tujuan hidupnya.

Mandroid yang sedang bersembunyi di sebalik pohon kayu besar tidak jauh dari tempat kejadian pembunuhan Draman, menukarkan bentuk asal kepada bentuk seorang manusia yang menjadi sumber ambilan ‘niat’nya. Semasa masih hidup, manusia itu bernama Razennostok, seorang perajurit Batalion Risik Gempur Musang Perak Empayar Galaktos terhandal yang telah terbunuh di dalam serangan bom Qomulian semasa membantu menegakkan kerajaan boneka di Nirwan. Lalu, mandroid itu memakai semula nama Razennostok dan memiliki ‘niat’ seperti Razennostok.

‘Razennostok’ berasa kesal kerana Draman mati awal. Globulin yang menjadi anjing perang Globator itu terlalu gelojoh. Ia tahu bahawa kumpulan globulin tersebut telah dihantar oleh pendita-pendita Missiah dari Saibatirran.

Pendita-pendita Missiah tidak sabar untuk mengetahui rahsia tentang Pembantu Suci bergelar Rubah Putih daripada Draman. Mereka sangka dengan membunuh Draman yang juga seorang kalimati syahdan, dan mengurung nyawanya akan membolehkan rahsia Rubah Putih dikorek dengan cara sedemkian rupa. Cara mereka salah.

Mereka gagal menangkap dan mengurung nyawa Draman.

‘Razennostok’ tahu bahawa pendita-pendita Missiah adalah satu golongan angkuh di Saibatirran yang sukar menerima saranan rasional bistarian-bistarian empayar. Kewujudan dirinya dalam bentuk baru tidak terhasil daripada permainan sihir pendita Missiah, sebaliknya ia tercipta hasil daripada kemajuan ilmu dan kebijaksanaan golongan bistarian.

‘Razennostok’ mencongak tindakan lanjut yang mungkin akan diambil oleh Adipatria sebaik sahaja dia mendapat berita kematian Draman.

Adiventor dan Nutrosonan akan tetap dihantar ke utara. Di antara kedua-dua pemuda itu, ia tidak pasti yang mana satu akan memakai gelaran Rubah Putih untuk seumur hidup. Penjejakan Rubah Putih yang dirintisnya sendiri terbit daripada rasa naluri ‘niat’ apabila Globator berbisik kepadanya supaya mengawasi dua orang pemuda lepasan Akademi Solaroid pengambilan terakhir yang mengembara ke sebelah timur.

Melalui maklumat perisikan, ‘Razennostok’ mendapati bahawa hanya Nutrosonan dan Adiventor yang mengembara ke sebelah timur setelah tamat pengajian mereka. ‘Niat’nya telah diyakinkan oleh Globator bahawa salah seorang daripada pemuda-pemuda itu akan memakai nama Rubah Putih dan bakal menjadi seterunya yang paling sengit.

Ia percaya bahawa masanya akan tiba untuk ia melihat cahaya Rubah Putih terpancar keluar dari tubuh salah seorang daripada mereka berdua.

Pada ketika itu, ia akan meneruskan hasrat untuk memanjangkan pertarungan dengan Rubah Putih kerana semasa hidup dengan memiliki bentuk tubuh manusia dahulu, Globator telah membisikkan kepada ‘niat’nya bahawa ia telah terpilih sebagai Penguasa Mulia bergelar Musang Perak untuk bertarung dengan wira lagenda Qomulian tersebut.

TAMAT.


www.melayu.com, 4 September 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001


Nota kaki:
  1. Teks ini adalah sebahagian daripada kumpulan fragmen sebuah novel genre fantasi yang saya sedang tulis.
  2. Saya pernah menerjemah naskhah ini ke Bahasa Inggeris dengan judul “The Silver Fox” dan menghantar ke webzine “Aphelion” di http://www.aphelion-webzine.com tetapi telah ditolak oleh editornya, Dan Hollifield, melalui sebuah email balas beliau kepada saya. Nanti saya cari kertas email beliau yang saya pernah cetak dan kongsikan di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan