Jumaat, 16 Oktober 2015

30 Habrul Prisma


Arius telah meletakkan raksasa jalanan itu di atas sebuah tebing tinggi yang menganjur ke gigi pantai. Dari situ, dia boleh melihat setiap objek yang perlu diawasinya sepanjang penantian tersebut.

Dari sebalik kaca tebal, dia boleh melihat dengan jelas pemandangan sebuah kota pelabuhan di bawah sana. Pandangan matanya menafsirkan bahawa suasana kota itu amat lengang. Tiada sebuah pun kapal laut yang berlabuh dan berurusan dengan pihak berkuasa pelabuhan. Tidak kelihatan cahaya lampu yang keluar dari jendela menara-menara pencakar langit. Gelap dan sepi.

Keadaan seperti itu amat menghairankannya kerana daripada maklumat perisikan yang telah disampaikan kepada Pengurusan Japtan (Jawatankuasa Pertahanan Tiga Negara) menyatakan bahawa Ballasan merupakan sebuah kota pelabuhan yang terbesar dan tersibuk di kawasan Laut Kazaristan itu. Kemasyhurannya telah digambarkan melalui sebuah mercu tanda yang telah dibina oleh pemerintahnya di tepi pantai sebuah teluk yang terletak berhampiran pelabuhan. Mercu tanda itu merupakan sebuah ukiran menara ombak yang menjulang sebuah kapal perdagangan terbesar di Misteroid seratus tahun yang lalu. Arius boleh melihat mercu tanda Ballasan dari tempatnya menunggu.

Seratus tahun kemudian, iaitu pada masa kini, Ballasan telah berubah menjadi sebuah pangkalan tentera utama bagi android-android Saibatirran.

Dan pada senja itu, Arius berasa curiga melihat keadaan kota itu kerana tidak menepati laporan perisik-perisik Japtan.

Objek lain yang perlu Arius awasi ialah kemunculan Blushiannoah di permukaan perairan Laut Kazaristan. Blushiannoah ialah sebuah kapal selam mega dwifungsi buatan bangsa Aggnar yang telah dibina di Pulau Navigor, sebuah pulau yang terletak di negara kepulauan Nusantara.

Kemunculannya di perairan Ballasan menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara Qomulian dan Empayar Galaktos.

Malam menghadirkan dirinya setelah siang bersemadi di ufuk barat. Arius meninjau perairan Ballasan dengan menggunakan teropong sinar lembayung. Tiada tanda yang menunjukkan bahawa Blushiannoah telah muncul.

Tiba-tiba videofon yang dipasang di atas kaca tebal membunyikan isyarat.

Arius menyentuh beberapa butang yang ada di atas konsul kawalan di hadapannya.

Layar perak memaparkan wajah Katta, Panglima Ketumbukan Republik Traulum, yang memimpin angkatan dari negara Traulum. Panglima Katta sedang menunggu bersama bala tenteranya di Lembah Izkurai yang terletak di sebalik Banjaran Startika, tidak jauh dari Kota Ballasan.

“Salam sejahtera ke atas Arius,” Panglima Katta memberi salam.

“Salam sejahtera kembali, Panglima Katta.”

“Saya menunggu laporan Arius seperti yang telah diatur,” kata Panglima Katta.

Arius memeriksa frekuensi komunikasi yang sedang digunakan oleh Panglima Katta. Dia berpuas hati kerana frekuensi itu tidak dipintas oleh frekuensi komunikasi musuh.

“Blushiannoah belum timbul. Akan tetapi, saya amat yakin bahawa Nakhoda Armada Nusantara akan menepati janjinya. Laksamana Nuhh telah melepasi Selat Tabruz. Punca perhubungan kita di Pulau Sparro mengesahkan bahawa angkatan Blushiannoah akan tiba, menurut jangkaan mereka, beberapa minit lagi. Cuma, mereka mungkin tidak akan timbul di titik koordinat yang telah ditentukan.”

“Saya terasa seperti ada halangan yang akan menghambat Blushiannoah, Arius.”

“Memang benar, Panglima. Melalui teleskop ultra, saya telah mengesan dua puluh ribu periuk api di seluruh permukaan Teluk Saddiq'.”

Air muka Panglima Katta kelihatan berkocak sedikit.

“Ini adalah ancaman terhadap armada Nusantara. Mereka tidak akan dapat menghantar Paskhal mereka.”

Arius tahu bahawa Paskhal ialah Pasukan Khas Laut, unit komando Tentera Laut Republik Nusantara.

“Panglima, saya mencurigai sesuatu.”

“Apa yang Arius curigakan?”

“Barangkali Batara telah mengetahui rencana ini.”

“Mustahil. Kami Qomulian telah meletakkan sepenuh kesetiaan terhadap Arius dan Kaus Aurian. Kami percaya bahawa Kaus Aurian akan memimpin kami ke arah kemenangan. Kami tidak akan mengkhianati perjuangan suci ini kerana kami telah lama menunggu ketibaan Kaus Aurian di kalangan kami.”

“Panglima, sebagai Perdana Aurian, saya tidak melemparkan tuduhan terhadap orang-orang yang saya pimpin. Kesetiaan dan kepercayaan Qomulian terhadap saya, adalah sama dengan kesetiaan dan kepercayaan saya terhadap Qomulian. Tetapi inilah yang boleh saya laporkan tentang keadaan Kota Ballasan sekarang. Aktiviti di pelabuhan tidak berjalan seperti biasa. Seluruh kota gelap-gelita. Apa yang ingin Batara gambarkan kepada kita, jika dia telah tahu rancangan ini, selain daripada memberitahu kita bahwa mereka telah bersiap-sedia menerima kunjungan askar-askar kita?”

“Sepanjang pengetahuan kami, Armada Timur Empayar Galaktos belum menerima bekalan dan bantuan ketenteraan tambahan dari Saibatirran.”

“Kita perlu berwaspada. Saya khuatir tentang skuadron bionikoid Batara yang mungkin sedang berlegar-legar di angkasa Ballasan sekarang. Radar saya belum dapat mengesan kehadiran mereka.”

Panglima Katta terdiam.

“Apa pandangan Arius?”

“Apa yang ada di dalam fikiran Panglima sekarang?”

“Saya mencadangkan penyisihan misi.”

“Cadangan itu amat bahaya. Bagaimana Panglima ingin membuat penyisihan misi?”

“Begini cadangan saya. Arius mengekalkan tugas sebagai penghancur reaktor tenaga Ballasan, yang tidak dijadikan sebagai pukulan pertama. Skuadron pertama Traulum akan menyerbu ke tengah kota untuk menerjunkan Pahndura kami. Sebelum kembali ke markas, skuadron kedua akan menyerbu dan membinasakan pertahanan udara. Ini pukulan pertama. Semasa perang sedang berkecamuk, Arius menyerbu dan mendapatkan sasaran. Skuadron ketiga akan menyusul setelah skuadron kedua kami berjaya bergabung dengan skuadron dari Blushiannoah. Misi seterusnya, berjalan seperti yang telah dirancang.”

Menerjunkan Pahndura atau Pasukan Handalan Udara adalah tindakan yang amat merbahaya. Namun, mereka tiada pilihan lain.

“Cadangan Panglima bernas tetapi bahaya. Nusantara akan terkejut melihat perubahan yang berlaku.”

“Arius, saya mencadangkan supaya kita mengelirukan perhatian musuh.”

“Saya faham cadangan dan akibatnya yang diajukan Panglima. Saya faham bahawa ada banyak pintu peluang kemenangan yang kita boleh cuba masuk. Kita boleh cuba pintu-pintu lain jika pintu yang ingin kita masuk tertutup untuk kita.”

Tiba-tiba isyarat teleskop sinar lembayung mengeluarkan bunyi.

“Blushiannoah sedang timbul.”

Kelegaan meraup wajah Panglima Katta.

“Titik koordinat yang dipilihnya terlalu jauh daripada titik koordinat yang telah ditentukan. Saya yakin bahawa Laksamana Nuhh akan mengubah kapal selamnya menjadi sebuah kapal pengangkut pesawat udara sebentar lagi.”

“Arius, perang tidak dapat dielakkan lagi. Sama ada Batara sudah bersedia atau belum, izinkan saya bertindak mengikut intuisi saya. Saya berdoa semoga Tuhan memimpin kita ke arah kemenangan.”

“Panglima Katta, saya turut berharap agar Laksamana Nuhh mempunyai pendirian yang sama seperti Panglima. Saya turut berdoa, semoga Tuhan memimpin kita ke jalan kemenangan.”

Perhubungan mereka putus. Wajah Panglima Katta lenyap di dalam skrin.

Arius menumpukan perhatian kepada teleskop sinar lembayung.

Di dalam skrin teleskop itu, sebuah kapal selam sedang timbul di permukaan air. Kemunculan Blushiannoah ibarat ribut taufan yang melanda pesisiran pantai kawasan Kazaristan. Gemuruh bunyi Blushiannoah ketika mengosongkan tangki-tangki balastnya telah mengejutkan penghuni laut malam yang segera bertempiaran lari menjauhi struktur mekanikal raksasa air tersebut. Penghuni-penghuni laut malam dapat merasakan ancaman yang dibawa oleh Blushiannoah terhadap kerajaan yang memerintah Ballasan pimpinan Batara.

Pelepasan air laut dari tangki-tangki balast Blushiannoah telah menghasilkan alun gelombang yang besar di sekelilingnya. Alun gelombang itu terus melanda pantai Ballasan membawa bersama cabaran perang terhadap bala tentera Saibatirran. Pergerakan ombak yang maha dahsyat telah menghidupkan suis unit-unit periuk api yang ditabur di perairan Ballasan dan mengakibatkan berlakunya letupan demi letupan di tengah laut.

Perairan Teluk Saddiq' terbakar.

Laut Kazaristan telah terbakar!

Hati Arius turut dibakar oleh api perang.


Arius memerhatikan proses perubahan Blushiannoah daripada sebuah kapal selam kepada sebuah kapal pengangkut pesawat pejuang. Transformasi Blushiannoah telah mendedahkan taring dan segala kekuatan yang telah dibungkus sekian lama sepanjang perjalanannya di bawah permukaan air dari Nusantara ke Ballasan.

Laksamana Nuhh tidak bertangguh lagi melancarkan beberapa buah skuadron pesawat pejuang untuk menggempur Ballasan.

Arius tersentak.

Laksamana Nuhh telah melancarkan pukulan pertama bagi pihak Qomulian. Dia telah melakukan penyisihan misi yang pertama. Mungkin intuisinya telah memimpin tindakan tersebut. Mungkin unit perisikan di Pulau Sparro yang diperintah oleh Traulum telah menyampaikan maklumat periuk api Ballasan.

Ballasan segera membalas serangan Blushiannoah dengan muntahan peluru-peluru dari meriam-meriam darat ke laut yang paling hebat yang dimilikinya. Perairan di sekeliling Blushiannoah berkocak hebat akibat hujan peluru meriam Ballasan. Blushiannoah melancarkan serangan meriamnya ke atas Ballasan.

Arius dapat melihat beberapa buah skuadron pesawat pejuang menyerbu keluar dari Ballasan untuk menyambut serangan pesawat-pesawat pejuang Nusantara.

Arius terkejut apabila radarnya mengeluarkan beberapa isyarat.

Bionikoid!


Arius dapat melihat berpuluh-puluh buah bionikoid sedang terbang berlegar-legar di atas udara Ballasan. Kemunculan skuadron tersebut bagaikan halimunan. Bahagian belakang tubuh bionikoid-bionikoid tersebut terlukis jata Batalion Naga Hitam. Batalion Naga Hitam ialah sebuah ketumbukan terkuat di dalam angkatan tentera Empayar Galaktos. Perisik-perisik Qomulian di Saibatirran telah menyampaikan maklumat kepada Japtan bahawa Maharaja Galaktos telah mengerahkan ketumbukannya yang terkuat itu untuk memimpin peperangan terhadap Qomulian yang diketuai oleh Kaus Aurian.

Itulah kejutan yang sangat tidak diingini oleh Arius. Kini dia percaya bahawa Batara telah mengetahui rencana perang Qomulian. Seseorang telah membisikkan berita tersebut ke telinga Batara.

Tiba-tiba beberapa buah skuadron pesawat pejuang bala tentera Traulum muncul dari sebalik Banjaran Startika dan menyerbu ke arah Ballasan. Mereka segera menerjunkan anggota-anggota Pahndura. Bionikoid-bionikoid yang berlegar-legar di udara sedar tentang serangan tersebut. Mereka segera terbang ke arah Pahndura dan menangkap tubuh-tubuh komando udara itu lalu mengoyakkan tubuh-tubuh tersebut seperti helang mengoyak tubuh mangsanya. Bionikoid-bionikoid lain terus menghentam angkatan udara Traulum.

Kebinasaan untuk bala tentera Traulum jika Arius lambat bertindak.

Arius tidak dapat bersabar melihat peristiwa perang yang sedang berlaku di hadapan matanya. Qomulian telah berjanji setia untuk menerima kepimpinan Kaus Aurian dengan darah dan air mata. Dengan darah dan air mata juga akan dia menggalang pembantaian askar-askar Empayar Galaktos ke atas Qomulian.

‘Giliranku,’ bisik hati Arius.

Arius menyentuh butang-butang yang ada di atas konsul kawalan dan mencapai suis-suis yang melekat di dinding dan siling ruang pemandu. Tubuhnya dibelit oleh talian-talian keselamatan yang keluar secara automatik dari dalam sofa pemandu.

Bermula proses metamorfosis trailer raksasa yang dipandunya.

Beberapa komponen di kepala trailer berubah secara mekanikal, mendedahkan wajah sebuah aerobish. Komponen-komponen lain di beberapa bahagian tubuh trailer turut berubah. Beberapa ketika yang berlalu, telah mengizinkan trailer raksasa itu berubah sepenuhnya dan memiliki sesusuk tubuh sempurna sebuah aerobish.

Selama beberapa saat, Arius dapat merasai gegaran di seluruh tubuh aerobish perkasa.

Dengan satu pergerakan yang perlahan, aerobish itu bangkit dari pembaringan, penuh bertenaga. Ia berdiri tegak untuk menghadapi serangan yang bakal tiba. Matanya bersinar, memancarkan cahaya kuning yang menyuluh jalan.

Buat beberapa detik, ia mengenali alam sekeliling dan mengetahui siapa dirinya. Ia memahami tujuan wujud dirinya.


Arius cuba menyatukan jiwanya dengan denyutan memori aerobish itu. Bermeditasi di dalam suasana yang hening, Arius membayangkan bahawa setiap tindakannya adalah tindakan aerobish itu, setiap keputusannya adalah keputusan aerobish itu. Arius dapat merasai satu semangat baru yang meresap ke dalam jiwanya.

Akulah Habrul Prisma!

Habrul Prisma berlari ke pintu Ballasan. Beberapa buah bionikoid sedang menantinya dengan senjata yang terhunus. Ia menujahkan tumit ke udara. Roket pengimbang yang dipasang di pinggang dan buku lali membenarkannya berada di udara. Tanpa memberi peluang bertindak, Habrul Prisma menyerang musuh-musuhnya. Beberapa buah peluru berpandu keluar dari pelancar yang diletakkan di atas kedua-dua bahunya. Jasad mereka berkecai.

Pertempuran di langit Ballasan semakin sengit. Bom demi bom digugurkan dan banyak peluru berpandu yang mengena sasaran. Menara-menara pencakar langit mula runtuh. Semakin banyak pesawat pejuang Saibatirran muncul di langit Ballasan. Mercu tanda kemasyhuran Ballasan runtuh terkena bedilan Blushiannoah.

Langit malam Ballasan diterangi bunga api peperangan.

Habrul Prisma segera mencari reaktor tenaga binaan android-android Saibatirran. Beberapa buah tangki besar seolah-olah sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman kemusnahan.

Setelah mendarat di kawasan itu, ia bersedia memusnahkan tangki-tangki tersebut. Habrul Prisma mengeluarkan sepucuk senjata yang tersimpan di dalam peha kanan, lalu menembak tangki-tangki berisi bahan organik. Letupan besar demi letupan besar meraung dan bergema apabila tembakan-tembakan Habrul Prisma mengena sasaran.

Tiba-tiba sebuah pukulan yang kuat menghentam belakangnya. Habrul Prisma kehilangan imbangan badan. Tubuhnya jatuh di atas tanah. Ia cuba menggagahkan diri untuk bangkit, dan berjaya.

Ia sangat terkejut. Sebuah aerobish berdiri di hadapannya.

Siapakah dia yang berani menghalang tugasku yang belum selesai?

Aerobish itu menyerang Habrul Prisma. Sebuah buku lima nyaris hinggap di wajahnya, sebelum dia mengelak dengan pantas ke bawah. Peluang telah terbuka. Habrul Prisma menghentak rusuk kiri aerobish itu dengan siku kanannya. Aerobish itu pula menghentak belakang Habrul Prisma dengan pancungan kedua-dua tangannya. Habrul Prisma jatuh tersungkur di hujung kaki aerobish itu.

Aerobish itu menyepak wajah Habrul Prisma dengan kaki kanannya. Habrul Prisma berguling di atas tanah dan tertiarap berhampiran sebuah kerangka yang sedang marak terbakar. Ia menongkat bahu dengan kedua belah tangan. Aerobish itu menghampirinya dan bersedia untuk melakukan serangan lanjut. Perasaan marah Habrul Prisma meruap kerana ditewaskan dengan begitu mudah sekali.

Aku harapan Qomulian. Aku tidak boleh tewas!

Aerobish itu menyentuh bahu Habrul Prisma.

Habrul Prisma mengumpul tenaga seraya merempuh tubuh musuhnya. Percubaannya berhasil. Aerobish itu terdorong beberapa langkah ke belakang.

Habrul Prisma berdiri tegak untuk menyusun serangan baru. Aerobish itu turut berdiri tegak dengan tujuan yang sama seperti Habrul Prisma. Ia menghunus pedang bercahaya berat.

Habrul Prisma menyahut cabaran musuhnya. Tangan kanannya mencabut hulu pedang dari pinggang kiri. Ia menghunus hulu pedang ke arah lawannya. Sebilah mata pedang cahaya berat berwarna putih keluar dari hulu pedang yang digenggam erat.

Aerobish itu melancarkan serangan. Pedangnya dihayun ke udara dan bersedia menetak Habrul Prisma. Habrul Prisma menepis serangan tersebut. Kemudian Habrul Prisma pula yang melancarkan serangan. Aerobish itu menahan tetakan pedang musuhnya. Pertarungan pedang telah membawa mereka ke pinggir kawasan reaktor. Sebuah bangunan janakuasa terletak di situ. Habrul Prisma ingin membinasakan bangunan itu kerana ia menjadi lokasi punca tenaga kepada bionikoid-bionikoid Batalion Naga Hitam Empayar Galaktos.

Kemudian mereka bersilang pedang. Pertarungan terhenti buat beberapa ketika.

Mereka saling bertentang mata. Cahaya merah mata aerobish musuh tidak menyembunyikan kebenciannya terhadap Habrul Prisma.

Engkaukah Habrul Prisma?

Akulah Habrul Prisma.

Akulah Batara.


Dengan penuh rasa benci dan marah, Batara melepaskan silangan pedang dan cuba memutuskan leher Habrul Prisma. Habrul Prisma segera merendahkan badan. Pedang Batara memotong angin di atas kepala Habrul Prisma.

Habrul Prisma menerjahkan tumit dan menolak tubuhnya ke belakang untuk menyusun serangan baru. Ia tersilap langkah. Kakinya tersangkut di celah-celah talian kabel voltan tinggi yang menghubungkan pencawang-pencawang elektrik. Tubuhnya jatuh di atas tanah. Pedangnya terlepas dari genggaman.

Dua buah menara pencawang elektrik yang dihubungkan dengan kabel-kabel voltan tinggi itu tumbang. Habrul Prisma merasai kebocoran arus elektrik. Ia mengalami kesulitan kerana arus elektrik yang bocor itu telah melumpuhkan sistem elektrosarafnya. Tubuhnya terbaring kaku di atas bumi Ballasan. Ia semakin lemah untuk meneruskan perjuangan. Habrul Prisma hanya mampu melihat Batara menghambur ke arahnya. Batara menghayunkan pedangnya ke udara, bersedia untuk membelah dua tubuh Habrul Prisma.

Akan tetapi, Habrul Prisma tidak akan dapat melupakan detik-detik percubaan Batara untuk melenyapkan kewujudannya dari bumi Misteroid apabila dengan tiba-tiba sahaja, bahunya bergegar. Peluru-peluru berpandu keluar dari meriam-meriam yang dipasang di bahunya dan berebut-rebut mencari sasaran masing-masing.

Saat-saat terakhir Habrul Prisma tidak sedarkan diri, ia dapat melihat wajah Batara yang terkejut. Tubuh Batara merempuh peluru-peluru berpandu tersebut.

Setelah selesai menukarkan Habrul Prisma kepada bentuk asal, Arius segera memandu trailer raksasa itu keluar dari kawasan reaktor tenaga. Semasa memandu trailernya, Arius seolah-olah dapat menyaksikan tubuh gergasi aerobish Batara yang menghempas talian-talian kabel voltan tinggi yang telah ditindih oleh Habrul Prisma.

Arius memberhentikan Habrul Prisma di tepi sebuah pantai. Ombak memukul pasir pantai yang hitam. Perairan Teluk Saddiq' masih terbakar.

*****

“Tiun…! Tiun, tiun, tiun, tiun…!”

Permainan realiti maya interaktif itu telah tamat. Rafiq menanggalkan helmet permainan itu.

“Yeah, aku menang kali ini!” Teriak Rafiq sambil menuruni pentas permainan dan memulangkan peralatan itu kepada kakitangan yang menjaga seksyen permainan tersebut.

“Tahniah. Aku kalah bertaruh dengan kau. Mari aku belanja kau Happy Meal,” kata Shaman sambil menepuk bahu Rafiq.

Mereka berdua keluar dari kedai permainan realiti maya interaktif itu untuk menjamu selera di Restoran McDonald.

TAMAT.


Dewan Siswa, Jun 2000
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2000


Nota kaki:
  1. Naskhah ini saya sunting daripada cerpen yang berjudul “Ballasan” yang telah disiarkan di dalam majalah Mutiara Generasi Bilangan 5 terbitan Matrikulasi USM Sessi 92/93.
  2. Saya telah hantar cerpen ini ke Dewan Siswa untuk disiarkan di dalam ruangan ‘Cerpen Untuk Siswa’ dan telah tersiar di dalam Dewan Siswa edisi Jun 2000.
  3. Setelah habis peperiksaan SRP dahulu, dan sementara tunggu masuk Tingkatan 4, saya habiskan masa cuti dengan mengarang sebuah cerita panjang yang saya beri judul “Habrul Prisma”. Teks itu bertulis tangan menggunakan pen dakwat biru Kilometrico di atas kertas kajang 40 baris yang ditulis depan belakang dan bila siap, saya dapati ia telah menjadi sebuah manuskrip setebal satu per tiga inci terdiri daripada 24 bab. Saya masukkan elemen-elemen siri kartun “Transformers”, “G.I. Joe”, “Voltron”, “Tosho Daimos” dan “Blue Noah: Thundersub”, siri marionet “Star Fleet X Bomber”, “Stingray”, “Captain Scarlet” dan “Thunderbirds”, dan siri drama sains fiksyen "Captain Power". Namun manuskrip itu telah lunyai, kertas warna putihnya berubah jadi kuning, bertebuk di sana sini dimakan bubuk kertas dan akhirnya hilang apabila semasa kerap berpindah-randah tempat kerja dan tempat tinggal, saya tidak dapat kesan di mana kali terakhir manuskrip itu telah tertinggal. Saya gunakan semula tajuk “Habrul Prisma” untuk naskhah “Ballasan” yang saya sunting semula yang telah dihantar ke Dewan Siswa.
  4. Kredit akaun Youtube 'Temenes' untuk klip video "Space Carrier Blue Noah OP" inspirasi kapal selam Blushiannoah, akaun Youtube 'SaintJaycee' untuk klip video "Captain Power Intro" inspirasi android dan bionikoid, akaun Youtube 'salim abd' untuk klip video "Daimos Japanese Opening" inspirasi aerobish Habrul Prisma dan akaun Youtube 'superrobttoOP&EDch' untuk klip video "X Bomber OP (Stereo)" inspirasi pertarungan dua buah robot gergasi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan