Khamis, 8 Oktober 2015

22 Sinar Anatolia Baru

Muqaddimah


Nama saya Stephano Gonzalez, seorang rahib kesatria dari Kesatria Order Hospitaller cawangan Kota Konstantinopel. Di kota ini, saya dilantik oleh Maharaja Konstantin mengetuai pertahanan kota di Menara Selatan. Saya berasa bangga kerana dapat berkhidmat untuk Maharaja Empayar Suci dan agama Kristian. Saya selalu berdoa kepada Tuhan agar menerima bakti saya supaya saya diredhai di dalam kehidupan yang abadi kelak.

Namun, peristiwa perang pada kali ini benar-benar mencabar iman dan ketabahan saya. Saya berharap catatan ringkas ini dapat dijadikan iktibar oleh keturunan kita yang akan datang.

Apabila telah datang kebenaran, hendaklah kita terima dengan penuh rasa penyerahan. Hanya kepada Tuhan saya kembalikan urusan dunia saya. Biarlah Dia yang menentukan baik buruk di atas pekerjaan yang telah saya lakukan di alam dunia yang serba fana ini.

April 1, 1453.

Hari ini ialah Hari Easter bagi penganut Kristian mazhab Ortodoks warga empayar ini. Seluruh warga Konstantinopel berlutut tafakur di dalam dan di luar Gereja Agung. Kami menyanyikan ‘gospel’ dan ‘carol’ merayu penjelmaan Tuhan Jesus, memohon menyelamatkan ibu kota Empayar Bizantium daripada pencerobohan dan penaklukan bala tentera musuh.

Pada keesokan hari, seluruh warga kota berasa gusar apabila peninjau pertama dari penjuru timur kota menghantar laporan kepada Maharaja Konstantin menyatakan bahawa kontinjen pertama musuh telah kelihatan di ufuk timur. Saya segera memanjat bumbung Menara Timur. Saya melihat panji-panji Daulah Uthmaniah berkibar megah mengiring ancaman perang ke atas kota ini.

Melalui teropong jauh, saya dapat melihat dengan jelas sepasukan kontinjen yang kelihatan elit berbanding kontinjen-kontinjen lain. Di tengah-tengah kontinjen elit itu, saya dapat melihat Sultan Muhammad menaiki seekor kuda lengkap dengan alat-alat perang. Dia dikelilingi satu platun Janissari. Salah seorang Janissari itu ialah Van Bartholomeo.

Saya mengenali perajurit itu 10 tahun lalu semasa ke tanah suci Palestin untuk beribadat di Gereja Agung Baitul Muqaddis. Nama sebenarnya ialah Wan Belitung, berbangsa Melayu, seorang ahli rombongan Laksamana Abdul Hakim dari Kerajaan Melaka. Saya berkenalan dengan dia di sebuah pasar apabila melihat cara berpakaiannya amat berbeza dengan bangsa-bangsa asing yang pernah saya temui di bumi Palestin.

Wan Belitung menceritakan bahawa rombongan Laksamana Abdul Hakim datang ke Palestin kerana dititahkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah untuk bertemu Sultan Murad yang memerintah Daulah Uthmaniah pada ketika itu. Tujuan pertemuan itu ialah untuk menjalin hubungan diplomasi mengukuhkan silaturahim dengan kerajaan Islam yang menjaga 3 tanah suci Makkah, Madinah dan Palestin. Rombongan mereka turut menunaikan fardu haji di Makkah apabila kapal mereka berlabuh di Jeddah.

Tujuan lain ialah untuk mendapatkan khidmat nasihat pertahanan membina meriam-meriam berkuasa tinggi dan pembuatan sejumlah istinggar untuk menangani ancaman perang kuasa-kuasa barat Feringgi dan Sepanyol yang telah menghantar gali-gali peninjau membuat kartografi wilayah-wilayah timur jauh.

Saya mengagumi kebesaran jiwa dan ketinggian semangat anak Melayu itu kerana sanggup merantau sehingga ke Palestin mewakili kerajaannya untuk menjalin hubungan dengan kerajaan-kerajaan wilayah timur tengah.

Daripada dia, saya mendapat tahu bahawa Melaka meliputi sebahagian besar wilayah kepulauan Nusantara diperintah oleh seorang Sultan beragama Islam. Selain kuat berpegang kepada ajaran Islam, warga Melaka juga berpegang kepada adat budaya murni yang selari dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad.

Wan Belitung saya panggil Van Bartholomeo kerana susah untuk saya menyebut nama Melayunya. Bartholomeo menceritakan bahawa pada masa dia berkhidmat dengan kerajaannya sebagai Penjurit Nakhoda di dalam armada tentera laut, Melaka mempunyai lima orang pahlawan terbilang. Yang terkemuka ialah Laksamana Abdul Hakim, ketua angkatan tentera laut dan duta peribadi Sultan.

Beliau dibantu oleh empat orang rakan karib iaitu Panglima Abdul Jabbar, ketua pasukan marin Syahbandar; Adipenjurit Abdul Karim, ketua divisyen pembuatan kapal perang; Adipenjurit Abdul Latif, ketua divisyen pembuatan senjata perang; dan Adipenjurit Luqman Al-Faqih, ketua divisyen kanun angkatan tentera kerajaan. Kelima-lima tokoh militari Melayu itu amat berjasa besar mengukuhkan angkatan tentera dan pertahanan empayar Melayu tersebut.

Saya amat kagum mendengar cerita Bartholomeo tentang kebesaran kerajaan dan kekuatan tentera Melaka. Saya bertanya dia bagaimana boleh berada di Palestin dan di mana ahli rombongannya yang lain. Dia menjawab bahawa Laksamana Abdul Hakim dan ahli rombongan yang lain telah kembali ke Melaka setelah Sultan Murad berikrar akan menghantar duta peribadinya ke Melaka untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua kerajaan. Sultan Murad memberi jaminan akan menghantar pakar membina senjata perang dan mengirim bekalan ubat bedil kepada kerajaan Melaka.


Bartholomeo diarahkan oleh Laksamana Abdul Hakim agar tinggal di Palestin untuk menjadi duta Melaka di dalam wilayah Daulah Uthmaniah. Dia akan mengiring duta peribadi Sultan Murad bersama pakar persenjataan yang akan dihantar ke Melaka dan membawa ubat bedil yang dijanjikan.

Itu kisah Bartholomeo 10 tahun lalu. Namun, pada masa kini, saya berasa hairan kerana dia telah menjadi seorang Janissari kor pengawal peribadi Sultan Muhammad. Apakah dia tidak jadi kembali ke Melaka setelah Sultan Murad menyerahkan takhta kerajaan kepada anaknya, Sultan Muhammad?

Rupa-rupanya Sultan Muhammad sendiri yang mengetuai tindakan perang terhadap Konstantinopel. Selama tiga hari berturut-turut saya menyaksikan kebanjiran tentera Uthmaniah memenuhi medan timur dan perairan selatan ibu kota ini. Pada hari keempat, tiada lagi pergerakan masuk yang dilihat. Saya meneropong seluruh angkatan perang mereka.

Saya menganggarkan mereka berkekuatan seramai 80 ribu orang atau lebih. Armada laut mereka berkekuatan 70 buah friget, 50 pembinasa dan 30 buah gali bekalan. Angkatan darat mereka membawa satu kontinjen 70 buah meriam mortar yang setiap satu ditarik oleh sekumpulan seladang. Saya dapat melihat kemunculan sebuah meriam terbesar yang belum pernah saya saksikan sebelum itu di mana-mana medan perang. Saya anggarkan meriam itu seberat 20 tan, dengan laras sepanjang 25 kaki. Meriam seperti itu boleh memuntahkan peluru granit seberat 700 paun sejauh 1 batu. Saya terlopong.

Konstantinopel tidak memiliki meriam sehebat itu. Bagaimanakah kami boleh menjaga pertahanan ibu kota ini. Oh, Jesus, muncullah kau sekarang juga untuk menyelamatkan umat Kristian dengan mukjizatmu!

Keputusan berperang telah muktamad. Maharaja Konstantin menolak tawaran Sultan Muhammad agar menyerahkan Konstantinopel kepada Daulah Uthmaniah, sungguhpun Sultan Muhammad sendiri menjamin keselamatan Maharaja dan seluruh isi kota dengan nama Allah, Jesus dan Nabi Muhammad.

Tawaran Sultan tidak boleh ditunaikan oleh Maharaja kerana dengan berbuat begitu, akan lenyaplah Empayar Rom Timur Bizantium dari peta dunia dan akan terkuburlah kemegahan agama Kristian di bumi Anatolia. Maharaja berazam bahawa Empayar Rom Timur tidak akan dibiarkan menerima nasib malang yang sama seperti Empayar Rom Barat sepuluh kurun lalu yang telah lenyap dirempuh kaum gasar bangsa Visigoth beragama pagan.

Wilayah yang pernah menjadi Empayar Rom Barat kini bernaung di bawah kerajaan Papal beribukota di Rom yang diperintah oleh seorang Pope Kristian mazhab Katolik. Bantuan dari Rom telah diminta. Pope Callistus menghantar armada tentera laut Genoa dan pasukan marin Venice di bawah pimpinan Laksamana Giustiniani untuk menguatkan pertahanan laut.

Konstantinopel dibangunkan di atas sebuah tanjung bercabang tiga. Di sebelah barat yang manghala ke daratan, sebuah parit dan tembok batu tiga lapis membentengi pertahanan kota. Kawasan darat yang mengunjur ke selatan pula dibatasi Laut Marmara. Temboknya dikawal oleh pasukan pimpinan saya yang terdiri daripada pelaut Venice, rahib Greek dan petualang Turki.

Tanah tanjung kawasan utara yang terkenal dengan gelaran Tanduk Emas, menghadap Laut Hitam, dibentengi bum besi yang terentang sepanjang sempadan air menghalang kapal-kapal penceroboh. Tentera laut Genoa mengawal perairan sekitar kota. Sesungguhnya pertahanan kota amat kebal. Namun, tidak diimbangi dengan kekuatan meriam.

Bolehkah kami menang?

April 6, 1453.

Pasukan musuh melancarkan serangan pertama. Meriam-meriam jarak jauh musuh membedil pertahanan kota dengan serangan yang sengit. Kontinjen-kontinjen jurutera musuh ada yang telah melepasi parit sempadan barat. Mereka menggali beberapa alur untuk dijadikan kubu meriam mortar jarak dekat. Mereka ingin memecahkan tembok dengan peluru-peluru mortar!

Musuh meneruskan pengeboman besar-besaran setiap hari. Warga kota berusaha mengurangkan tahap kerosakan dengan meletakkan karung-karung kain bulu di merata tempat. Pada setiap malam, mereka menimbus kayu dan tanah ke dalam lubang-lubang sasaran bom, serta membersihkan sampah sarap serpihan puing struktur bangunan. Mangsa yang tercedera dirawat serta-merta.

April 18, 1453.

Saya melihat Sultan mengarahkan serangan bom mortar ke atas Tembok Mesoteichion, suatu unjuran struktur kota merentasi Sungai Lycus di sebahagian tanjung Tanduk Emas. Di situlah tempat Maharaja bersemayam, dikawal oleh satu briged soldadu Greek terhandal. Setelah empat jam berlalu, serangan dibatalkan kerana tembok itu kekal utuh.

Di laut sebelah utara, serangan musuh yang bertubi-tubi ke atas parameter bum besi turut menemui kegagalan. Benteng utara tidak dapat ditembusi. Tentera laut Genoa menggandakan kekuatan di situ.

Konstantinopel memang kebal!

April 22, 1453.

Pada hari ini, saya menyaksikan suatu kejutan yang luar biasa di pihak tentera musuh.

Musuh mungkin telah menganggap bahawa kemenangan mesti dicapai dengan cara menumpaskan kuasa tentera laut terlebih dahulu sebelum menghantar tentera darat memasuki kota. Tentera laut Uthmaniah mesti bertempur dengan berkesan dengan tentera laut Genoa.

Namun, pertempuran dengan tentera laut Genoa pada ketika itu tidak berkesan kerana dihalang bum besi. Di dalam mana-mana pertempuran laut terbuka, tentera laut Genoa kerap menggunakan semburan api untuk membakar kapal-kapal musuh yang terkenal dengan jolokan ‘naga berapi Greek’.

Manakala tentera laut Uthmaniah suka menggunakan roket pembawa bom yang meluncur di atas air yang dipanggil torpedo untuk melubangkan dinding garis air kapal-kapal musuh. Bum besi menghalang serangan torpedo. Serangan torpedo hanya berkesan tanpa bum.

Sultan dan para penasihat tenteranya mungkin telah mengkaji topografi kawasan yang menghubungkan kawasan tanjung dengan tanah besar – selebar 7 batu dan ada suatu rabung setinggi 50 kaki dari paras air. Kawasan leher tanjung itu berada di luar parameter kota dan tidak dikawal oleh askar Maharaja.

Saya melihat Sultan mengerah sepasukan perajurit membawa beberapa kumpulan seladang menarik sejumlah 60 buah friget dan 15 pembinasa bergelek di atas gandar kayu bulat dari pantai tanjung selatan ke pantai tanjung utara di bahagian sebelah dalam parameter bum besi. Proses pemindahan kapal-kapal itu dikawal oleh sekumpulan pasukan meriam untuk menahan serangan kapal berapi Genoa.

Dengan pemindahan kapal-kapal perang itu melalui jalan darat, tentera laut Genoa terbuka kepada pukulan maut tentera laut musuh. Tembok Mesoteichion pula terdedah kepada serangan meriam kapal pembinasa dari arah laut.

Perajurit pengawal kota menyaksikan usaha tentera musuh dengan rasa kagum dan gerun. Nasib tentera laut Genoa telah putus. Torpedo-torpedo musuh telah melubangkan garis air dinding kapal-kapal lautnya. Berpuluh-puluh buah kapal Genoa tenggelam. Laksamana Guistiniani terbunuh apabila perutnya tertusuk puing tiang layar setelah kapalnya dibedil bertalu-talu oleh meriam tentera laut musuh. Pertahanan laut telah binasa!

Rempuhan bom-bom granit ke atas tembok kota tidak putus-putus. Bekalan makanan, ubat dan peluru berkurangan. Semakin ramai warga kota yang cedera. Pembesar-pembesar kerajaan menasihatkan Maharaja agar lari dari kota untuk mendapatkan bantuan tambahan daripada negara-negara sahabat. Namun, Maharaja berkeras ingin kekal di dalam kota untuk menjaga moral warganya. Dia sendiri ingin mati syahid bersama perajurit-perajurit kota mempertahankan tanah air mereka.

Pada suatu malam, hujan ribut petir dan angin kencang melanda perairan Selat Bosforus. Sebuah patung Tuhan Mary di luar Gereja Agung runtuh hancur berkecai dipukul ribut. Saya menafsirkan insiden itu sebagai petanda kemusnahan kerajaan kami. Oh, Tuhan, apakah ini balasan keimanan kami yang tinggi terhadapMu di dalam usaha kami mempertahankan empayar suci agamaMu!

Kami masih bertahan. Serangan musuh pada setiap hari semakin hebat. Namun, masih tiada seorang pun askar musuh yang dapat masuk ke dalam kota. Saya berdoa agar Tuhan mengirim rasa putus asa ke dalam hati Sultan yang masih muda remaja itu daripada meneruskan azamnya untuk menguasai kota ini. Hanya putus asa musuh yang akan menyelamatkan kami.

Selama sebulan kami bertahan di dalam kota. Kami hampir kehabisan makanan, ubat dan peluru.

Mei 28, 1453.

Pada subuh hening itu, kami gempar apabila melihat kemunculan beberapa kontinjen musuh tanpa pakaian seragam mengepung kota kami dari segala penjuru. Mereka ialah askar upahan Bashibazuk terdiri daripada bangsa-bangsa Itali, Slav, Jerman, Greek dan Turki, yang mungkin telah dijanjikan oleh Sultan dengan upah harta rampasan perang isi kota kami.

Alur yang digali oleh pasukan jurutera semakin dekat dengan tembok. Meriam-meriam mortar jarak dekat ditarik betul-betul menghadap tembok pada jarak 300 kaki. Pengawal-pengawal tembok menghujankan anak panah berapi dan peluru istinggar ke atas pasukan meriam. Pasukan pemanah dan istinggar musuh membalas serangan kami untuk melindungi pasukan meriam mereka.

Kontinjen Bashibazuk membawa tangga-tangga kayu dan menyandarkan tangga-tangga itu ke dinding tembok. Kami mencurah minyak panas dan membakar askar-askar upahan yang berusaha memanjat tembok. Ramai yang maut.

Kontinjen meriam mortar musuh tidak berhenti-henti membedil tembok pertahanan. Tentera laut musuh turut membedil tembok-tembok utara, timur dan selatan kota yang menghadap laut.

Serangan Bashibazuk semakin lemah. Saya melihat beberapa rejimen infantri musuh diiringi pasukan pancaragam mara ke hadapan menggantikan lapis pertama serangan Bashibazuk. Beberapa bahagian tembok telah rompong. Kami cemas!

Askar-askar di bahagian tembok yang rompong telah digandakan. Beberapa pasukan infantri musuh berhasil memasuki kota. Maharaja sendiri memimpin serangan balas menghalau musuh keluar dari kota. Namun, kejayaan itu hanya sementara.

Saya melihat Sultan melancarkan serangan tanpa tangguh. Kontinjen elit Janissari terdiri daripada anak-anak Eropah yang terkenal setia kepada Sultan dan Islam, di bawah pimpinan Bartholomeo, segera mengatur barisan serangan. Saya tidak menyangka bahawa Bartholomeo telah menjadi Panglima Janissari!

Pergerakan taktikal mereka diiringi permainan pancaragam perang. Barisan mereka tetap mara ke hadapan menghampiri tembok meskipun beberapa orang maut dimamah peluru, tombak dan anak panah kami. Kami berasa gerun melihat kemaraan penuh berani Janissari meskipun rakan-rakan sebelah-menyebelah tumbang. Mereka tidak takut mati!

Maharaja dan pasukan elitnya segera berkejar ke bahagian tembok yang rompong. Semasa mengatur pertahanan, Maharaja telah mengarahkan kaum wanita, kanak-kanak, orang tua dan berpenyakit agar berlindung di dalam Gereja Agung. Maharaja berpesan kepada kami agar Konstantinopel mesti dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir, demi kemuliaan Tuhan dan Kristian. Biarlah Jesus Messiah tidak menjelma. Perwira-perwira Kristian lebih sanggup mati syahid di atas jalan agama Tuhan.

Kami melihat Janissari berhenti mara. Pasukan pancaragam mengubah rentak muzik. Janissari mengeluarkan istinggar dan mengisi peluru. Bartholomeo mengeluarkan arahan tembak. Semua anggota pasukan elit itu melepaskan tembakan serentak ke arah kami, mengakibatkan ada di kalangan kami yang cedera. Setelah itu Bartholomeo berteriak memberi arahan menyerbu kota.

Janissari menghunus pedang dan menyerbu tembok kota yang rompong. Mereka berjaya menceroboh masuk ke dalam kota. Kami memberi tentangan sengit. Ketika sedang bertarung dengan Janissari, tiba-tiba pintu utama kota telah terbuka. Seluruh pasukan infantri dan tentera berkuda musuh menyerbu masuk. Kekalahan kami telah diputuskan oleh taqdir Tuhan!

Julai 1, 1453.

Daulah Uthmaniah berjaya menawan Konstantinopel. Panji-panjinya telah berkibar megah di seluruh menara kota. Setelah menawan ibu kota ini, Sultan menitahkan bahawa seluruh warga kota aman daripada hukuman jenayah perang. Mereka bebas untuk meneruskan kehidupan rutin mencari nafkah sara diri.

Kanun Rom Timur dimansuhkan. Kanun berasaskan ajaran Islam dikuatkuasakan. Nama Konstantinopel diubah menjadi Islambul yang bermaksud ‘Ibukota Islam’. Sebutan Islambul berubah menjadi Istanbul apabila diucapkan oleh manusia dari berbagai bangsa.

Gereja Agung telah diubah menjadi Masjid Hagia Sophia. Masyarakat Kristian telah diberikan sebuah gereja baru. Nasib Maharaja Konstantin sungguh malang. Tubuhnya ditemui tanpa kepala, mungkin terpenggal semasa menahan asakan musuh. Kepalanya telah ditemui di celah mayat pengawal-pengawal peribadinya. Dia dimakamkan di perkuburan Kristian dengan penuh istiadat kebesaran maharaja. Sultan amat mengagumi keberanian dan keperkasaan Maharaja mempertahankan kotanya.

Sultan Muhammad pula telah digelar sebagai Al-Fatih.

Bartholomeo masih mengenali saya. Apabila berjumpa saya, dia terus memeluk saya seolah-olah saya ini saudaranya yang baru kembali setelah lama berpergian jauh. Dia telah menawarkan saya menyertai Janissari.

Saya bertanya dia mengapa masih tidak pulang ke Melaka. Dia menjawab bahawa sebelum turun dari takhta untuk bersuluk, Sultan Murad telah memohon pertolongannya membimbing anak-anak Eropah dengan ajaran Islam. Bartholomeo turut diminta untuk memimpin mereka di dalam pasukan elit Janissari untuk menawan Konstantinopel yang akan dilaksanakan oleh Sultan Muhammad.

Sebagai balasan, setelah kota itu berjaya ditawan, barulah Bartholomeo akan dilepaskan belayar pulang ke timur membawa duta, pakar senjata dan ubat bedil Daulah Uthmaniah untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Bartholomeo boleh melantik sesiapa sahaja dari kalangan bangsa Eropah untuk menggantikan tempatnya sebagai Panglima Janissari. Sebab itulah dia menggesa saya agar menyertai Janissari dan menjadi panglima.

Saya menolak tawarannya. Saya berkata bahawa saya berhasrat untuk mengembara mengikutnya ke timur dan beruzlah menghisab diri di Melaka. Saya ingin membuang segala kemegahan dunia yang saya miliki. Saya telah membuang senjata, baju perisai dan panji-panji order saya ke dalam Laut Marmara kerana saya gagal mempertahankan Konstantinopel.

Beliau akur dengan permintaan saya. Setelah mendapatkan pengganti seorang bangsa Eropah keturunan Slav yang pernah dia bimbing, Bartholomeo dan saya belayar ke timur membawa janji Daulah Uthmaniah untuk Istana Melaka.

Khulasah

Kepada seluruh umat agama langit, inilah catatan ringkas saya untuk pedoman anda. Saya telah mengasingkan diri daripada urusan dunia. Sesungguhnya, apabila saya telah menemui kebenaran hakiki, izinkanlah saya untuk berhijrah. Saya ingin memperoleh kemerdekaan iman sejati berpaksikan kepercayaan murni kepada Tuhan. Sesungguhnya, saya tidak pernah mengkhianati agama langit, bahkan saya pernah berusaha mempertahankannya dengan seluruh jiwa raga, dalam keadaan penuh derita dan seksa.

Sesungguhnya, saya adalah hamba Tuhan yang berusaha mencari keredhaanNya. Biarlah Tuhan menentukan keputusan nasib saya di alam akhirat.

Inilah saya si faqir yang lara,
Stephano Gonzalez @ Abu Yusuf As-Sufi,
Teratak Wan Belitung, Tengkera, Melaka
31 Ogos 1453


TAMAT.


www.esasterawan.net, 17 Ogos 2007
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2007


Nota kaki:
  1. Naskhah ini telah disunting daripada naskhah versi asal yang telah disiarkan sebelum ini dengan judul yang sama. Bezanya, setelah saya khatam “Hikayat Hang Tuah”, saya dapati telah ada rombongan lawatan dari Istana Melaka yang berkunjung menghadap Sultan Daulat Uthmaniah. Dalam hikayat itu, Daulat Uthmaniah dirujuk sebagai Benua Rom, manakala Istanbul dirujuk sebagai Setambul. Versi suntingan ini telah dimasukkan elemen Melayu yang digambarkan telah turut menyertai perjuangan pembebasan Kota Konstantinopel.
   

  1. Teks ini pernah dihantar ke Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera namun tidak tersiar. Saya telah siarkan buat kali pertama di www.esasterawan.net pada 2007.
  2. Kredit kepada akaun Youtube ‘740108yard’ untuk filem “Fetih 1453” arahan Faruk Aksoy yang bersari kata Bahasa Melayu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan