Arkpenjurit Muda
Faqrak memerhati pergerakan kumpulan peluncur-peluncur aqua yang sedang
mengharung laut bergelora di dalam perairan Traulum melalui peta oseonografik
tiga dimensi.
Peluncur aqua
ialah kelengkapan pakai-pandu-sendiri yang digunakan untuk meluncur di bawah
permukaan air tanpa batas kedalaman dan tekanan. Peluncur-peluncur aqua yang
sedang diperhatikan oleh Arkpenjurit Muda Faqrak itu dipakaipandu oleh
sekumpulan batalion android perintis penaklukan.
Satu rejimen 100
android telah dilancarkan oleh Arkpenjurit Muda Faqrak yang memimpin operasi
perintis dari dalam bilik kawalan kecerdikan tiruan kapal induk ‘Kurita Hijau’
setelah mendapat restu Laksamana Norist. Misi setiap android telah diprogramkan
untuk mencapai matlamat misi penaklukan. Askar-askar android tidak berasa
gentar untuk melaksanakan misi berbahaya seperti berenang di bawah permukaan
laut dalam keadaan ribut taufan itu.
Perajurit-perajurit
sintetik itu telah diprogramkan untuk membunuh askar-askar musuh serta-merta
pada pandangan mata pertama. Dengan membunuh semua askar musuh, Pulau Sparro
akan bebas daripada kawalan kebijaksanaan elemen manusia murni. Setelah itu,
barulah ketumbukan infantri empayar boleh mendarat dengan selesa dan mengatur
kedudukan pertahanan pulau.
Imej maya tiga
dimensi yang membentuk permukaan geografi dan lanskap kepulauan Sparro
dikelilingi laut bergelora di dalam cuaca ribut taufan kelihatan terawang-awang
di atas meja peta oseonografik tiga dimensi.
Imej-imej tiga
dimensi yang membentuk kumpulan peluncur aqua kelihatan meluncur bebas di dalam
imej tiga dimensi laut perairan Pulau Sparro. Kedudukan pasukan tentera
sintetik Arkpenjurit Muda Faqrak semakin hampir dengan gigi air Pulau Sparro.
Imej tiga dimensi rumah api tersergam gagah di puncak bukit memancarkan imej
tiga dimensi cahaya berkeamatan tinggi ke arah sekeliling pulau.
Arkpenjurit Muda
Faqrak menyaksikan beberapa imej tiga dimensi unit peluncur aqua gugur ke atas
imej tiga dimensi dasar laut pentas benua. Beberapa buah askar android telah
mengalami litar pintas di dalam sirkit elektronik apabila sistem mereka
dimasuki air laut.
Beberapa
personel yang bertugas di bilik itu melaporkan tentang unit-unit android yang
gagal apabila isyarat di atas konsul masing-masing lenyap.
Setelah beberapa
lama meluncur di dalam air, rejimen perintis telah tiba di gigi air. Sebuah
demi sebuah android kelihatan muncul dari dalam laut dan berjalan menuju ke
arah pantai. Peluncur aqua yang dipakai telah bertukar sendiri menjadi baju
perisai tempur untuk menahan tembakan musuh supaya tidak merosakkan sistem
mereka.
Rejimen android
itu berjaya mendarat di Pulau Sparro di dalam keadaan cuaca ribut taufan.
Mereka terus mengatur formasi mengepung kedudukan pangkalan kecil Tentera Laut
Traulum. Perajurit-perajurit sintetik itu terus berjalan meredah semak belukar,
mendaki tebing-tebing batu dan mengharung paya tanah jerlus. Kedudukan mereka
semakin rapat dengan pagar parameter pangkalan.
Penderia-penderia
hadapan pangkalan telah mengesan kehadiran pasukan penceroboh tersebut apabila
beberapa suis automatik pagar cahaya berat yang dipasang di celah-celah
belukar, terpetik sendiri akibat pergerakan mekanikal pohon-pohon rendang yang
bergoncang hebat dirempuh kaki-kaki jasad sintetik. Sebaik sahaja suis itu
terpetik sendiri, satu pancaran cahaya berat keluar dari unit-unit pagar dan
menembak kaki-kaki penceroboh.
Tembakan cahaya
berat berkeamatan rendah itu tidak menyebabkan kerosakan kepada sistem android.
Sebaliknya, isyarat pergerakan yang dapat dikesan, terus dipancarkan kepada
penerima sistem pagar maya yang kemudiannya menjana isyarat pencerobohan di
dalam sistem kawalan parameter pangkalan.
Android-android
itu tahu bahawa kehadiran mereka telah disedari oleh musuh. Mereka tidak
menghiraukan hal itu kerana misi utama mereka ialah untuk menawan pangkalan dan
menghapuskan setiap elemen manusia.
*****
Pusat kawalan
parameter pangkalan menerima banyak isyarat pencerobohan.
Penjurit Muda
Larkhan yang bertugas di situ tersentak. Dia terus memfokuskan pandangan
unit-unit video kamera litar tertutup yang dipasang di seluruh pelusuk pulau.
Dia dapat melihat pergerakan beberapa kumpulan infantri yang sedang meredah
hujan lebat ribut taufan di seluruh bahagian pulau.
Penjurit Muda
Larkhan menganalisa sistem peta geografik tiga dimensi Pulau Sparro. Sebaik
sahaja selesai menganalisa peta itu, benaknya menjerit.
Satu rejimen
infantri android sedang mengepung pangkalan mereka di dalam formasi halimunan!
Penjurit Muda
Larkhan terus menghubungi pegawai memerintahnya yang sedang berada di bilik
kawalan taktikal dengan menggunakan interkom.
“Tuan, Penjurit
Muda Larkhan bercakap dari pusat kawalan parameter pangkalan. Satu rejimen 83
infantri android sedang mengepung pangkalan dengan formasi halimunan. Mohon
status kawalan pertahanan penuh seluruh pangkalan.”
Penjurit Madya
Shiraq terpempan bila mendengar laporan pegawainya.
Wilayah Traulum
telah diceroboh oleh askar-askar robot Empayar Galaktos!
Penjurit Muda
Shiraq menghidupkan siren kecemasan sambil membuat pengumuman.
“Di sini Pegawai
Memerintah Penjurit Madya Shiraq. Semua anggota merapat ke stesyen tempur
masing-masing sekarang. Satu rejimen 83 android sedang menghampiri pangkalan di
dalam formasi halimunan.”
Perwira-perwira
Traulum yang mendengar pengumuman tersebut segera mencapai senjata
masing-masing. Mereka terus merapat ke tempat tugasan. Setiap anggota membidik
senjata dan meninjau pergerakan musuh di luar kawasan pangkalan.
Penjurit Madya
Shiraq bergegas ke bilik komunikasi. Dia memerintah operator radio supaya
mengirim isyarat yang menjelaskan bahawa Pulau Sparro telah diceroboh dan
bantuan diminta untuk menguatkan pertahanan pulau. Dalam keadaan cuaca begitu,
dia tahu bahawa bantuan yang dimintanya tidak akan tiba dalam masa singkat.
Markas Besar perlu menunggu sehingga ribut reda sebelum boleh mengirim bantuan
tambahan.
Ribut taufan
hanya akan reda dalam masa enam jam lagi apabila waktu subuh menjelang.
Bermakna pasukan pengawalnya terpaksa berjuang bermati-matian untuk mempertahankan
Pulau Sparro dalam tempoh itu. Dengan kelengkapan dan bekalan persenjataan yang
ada, dia tahu bahawa mereka tidak boleh menang. Kekalahan mereka seperti sudah
ditaqdirkan. Namun mereka mesti berjuang sehingga ke titisan darah yang
terakhir.
“Operator radio,
jangan pergi ke mana-mana. Hantar isyarat yang sama berterusan walau apa pun
yang terjadi selagi radio masih boleh dipakai,” perintahnya kepada operator
radio lalu kembali ke bilik kawalan taktikal.
Pegawai-pegawai
lain telah berkumpul di situ untuk melaporkan kedudukan unit masing-masing.
“Musnahkan semua
musuh. Kita mesti memenangi pertempuran ini!” Perintahnya kepada
pegawai-pegawai tersebut setelah mereka selesai menyampaikan laporan. Kemudian
mereka keluar dari bilik kawalan taktikal untuk bersama unit-unit kawalan yang
mereka pimpin.
Penjurit Madya
Shiraq dan tiga nakhoda kapal saling berpandangan apabila pegawai-pegawai
mereka meninggalkan bilik kawalan taktikal. Salah seorang daripada mereka
berkata kepada pegawai memerintah itu,
“Kita memang
tidak boleh menang, Shiraq. Pelan kontinjensi mesti dilaksanakan sekarang
sebelum terlambat.”
*****
Laskar Kanan
Chawi sedang memantau sudut-sudut strategik kawasan jeti limbungan tertutup.
Pengawasan di kawasan itu telah dipertingkatkan kepada kekuatan penuh satu
platun dua belas anggota. Platun pengawal itu menunggu di lokasi
stesyen-stesyen tempur yang telah ditetapkan.
Pangkalan itu
dan tiga buah kapal peronda mesti dipertahankan daripada jatuh ke tangan musuh.
Tiba-tiba pintu
konkrit yang menutup mulut gua itu meletup. Serpihan konkrit dan puing letupan
melayang ke bahagian dalam kawasan jeti, menghentam struktur-struktur yang ada.
Ketiga-tiga buah kapal peronda rosak teruk. Satu puing konkrit telah menghentam
bilik kawalan dan menghentak tubuh Laskar Kanan Chawi. Perajurit itu mati
serta-merta di bawah tindihan puing konkrit.
Bahana letupan
telah merosakkan kelengkapan elektronik yang sensitif dengan kehadiran arus
denyut yang muncul secara tiba-tiba di dalam litar-litar elektrik. Kabel-kabel
bekalan elektrik putus. Hujung yang putus itu terbuai bebas memuntahkan tenaga
elektrik ke seluruh ruang bilik kawalan. Asap berkepul-kepul memenuhi bilik
kawalan yang berpunca daripada kebakaran kelengkapan elektrik.
Platun pengawal
yang berlindung di stesyen masing-masing mengalami trauma fizikal sejenak.
Mereka segera menenangkan diri dan menyelaraskan fokus fikiran sambil membidik
ke arah mulut gua yang ternganga. Musuh telah membuat pukulan pertama secara
mengejut dengan menyerang jeti limbungan tertutup.
Tempias angin
ribut menyerbu masuk ke dalam ruang jeti, mengiringi pencerobohan sepasukan
askar android yang memakai kelengkapan peluncur aqua.
Anggota-anggota
pangkalan yang terus melepaskan tembakan cahaya berat ke arah askar-askar
android yang masih berada di dalam air. Sistem android-android itu lumpuh
serta-merta dan jasad mereka tenggelam ke dasar air.
Kegagalan
tentera penceroboh lapis pertama itu tidak menghalang pasukan lapis kedua untuk
merapat ke jeti. Semasa lapis pertama diserang, lapis kedua membalas serangan.
Lapis ketiga, keempat dan kelima mengikut rapat dari belakang untuk memberi
sokongan tembakan.
Beberapa buah
android berjaya menaiki bot-bot peronda dan tebing jeti. Sebaik sahaja keluar
dari permukaan air, peluncur aqua terus bertukar menjadi baju perisai tempur.
Mereka membalas tembakan cahaya berat platun pengawal.
Tiga buah
android melancarkan serangan bom motar cahaya berat ke arah kedudukan
stesyen-stesyen tempur platun pengawal. Tiga buah stesyen tempur telah disimbahi
bom-bom motar cahaya. Silau cahaya membutakan penglihatan anggota-anggota
platun pengawal. Ketika mereka teraba-raba membidik sasaran, mereka dimamah
peluru-peluru cahaya berat yang menghancurkan anggota tubuh badan. Mereka mati
serta-merta.
Sebuah stesyen
tempur platun pengawal masih mampu bertahan. Tiga anggota platun yang masih
tinggal melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kedudukan musuh. Salah seorang
daripada mereka memberi arahan berundur. Kemudian mereka menghilangkan diri ke
dalam sebuah terowong gua semulajadi.
Jeti limbungan
tertutup berjaya ditawan oleh musuh.
*****
Satu platun
android yang mengepung rumah api sedang berbalas tembakan dengan platun
pengawal rumah api. Pintu besar rumah api telah berjaya diletupkan. Platun
android itu menyerbu masuk ke dalam rumah api dan menaiki tangga mengejar
anggota-anggota platun pengawal yang berundur untuk berlindung di bilik lampu
rumah api di tingkat teratas.
Pasukan pengawal
rumah api gagal mempertahankan aset negara mereka apabila bilik lampu rumah api
tempat mereka berlindung diserbu askar-askar android. Mereka dibunuh
serta-merta dengan tembakan-tembakan peluru cahaya berat yang muntah dari
muncung senjata penceroboh.
Pasukan
penceroboh berjaya mengambil alih kawalan rumah api.
*****
Bangunan utama
pangkalan yang menempatkan bilik kawalan taktikal, bilik komunikasi, bilik
radar dan berek penginapan telah dikepung dan diserang oleh satu rejimen
pasukan penceroboh.
Menara
komunikasi dan radar telah dimusnahkan oleh bom-bom elektron yang meranapkan
kad-kad kawalan elektronik dengan arus denyut yang menerjah aliran arus
elektrik di dalam kabel-kabel bekalan dan isyarat. Menara telekomunikasi
tumbang dipukul ribut taufan apabila asasnya terbungkas akibat letupan bom
penceroboh.
Menyedari perhubungan
elektronik telah gagal, operator radio beralih menggunakan kemudahan kod binari
sebagai komunikasi alternatif untuk mengirim perutusan melalui kabel kod binari
dasar laut yang menyambungkan Pulau Sparro dan Markas Besar.
Platun-platun
pasukan pengawal pangkalan memberi tentangan sengit terhadap serangan pasukan
penceroboh.
Bintara Kazin
yang sedang berbalas tembakan di sebuah kubu pertahanan telah dipanggil oleh
Penjurit Madya Shiraq melalui radio frekuensi rendah yang dipasang pada helmet
supaya datang ke bilik kawalan taktikal. Dia meninggalkan kubu sambil menepuk
bahu rakan seperjuangan di sebelah dan mendoakan keselamatannya.
“Pergilah, aku
boleh bertahan di sini,” kata rakannya.
“Kazin!” Rakan
Bintara Kazin itu memanggil namanya.
Bintara Kazin
menoleh ke arah rakannya. Rakannya itu menanggalkan kalung pengenalan perajurit
dari lehernya dan meletakkan kalung itu di dalam tangan Bintara Kazin.
“Kalau kau masih
hidup nanti, tolong hadiahkan kalung ini kepada anak tunggalku yang masih
menyusu ibu. Sampaikan salam kepada isteriku dan beritahu dia yang aku sangat
mencintai mereka berdua.”
Bintara Kazin
terharu dengan perbuatan rakannya.
“Pergilah, Tuan
Shiraq perlukan kau.”
Bintara Kazin
meninggalkan rakannya. Tanpa menoleh ke belakang, dia bergegas menuju ke bilik
kawalan taktikal.
*****
“Bintara Kazin
melapor diri, Tuan,” kata Bintara Kazin sambil memberi tabik hormat.
Penjurit Madya
Shiraq dan nakhoda-nakhoda kapal peronda sedang menilai kedudukan pasukan mereka
di dalam pertempuran itu.
“Masuk, Kazin.
Duduk di sini,” kata Penjurit Madya Shiraq.
Bintara Kazin
meletakkan senjata di tepi pintu dan duduk di kerusi yang ditunjukkan oleh
pegawai memerintahnya.
“Berapa lama
masa yang diambil untuk berenang dari Pulau Sparro ke tanah besar, Kazin?”
Tanya Shiraq.
Bintara Kazin
terkebil-kebil mendengar soalan pegawainya. Dia tidak faham maksud soalan itu
yang diajukan kepadanya dalam suasana perang yang sedang memuncak.
“28 jam gaya
renang biasa atau lima jam menggunakan peluncur bawah air. Lebih cepat kalau
menunggang julung-julung kerana mereka lebih pantas berenang. Julung-julung
mengambil masa kurang dua jam untuk renangan sejauh itu.”
“Bagaimana
keadaan julung-julung peliharaan kau di gua bawah air?” Tanya seorang nakhoda.
“Sepasang dalam
keadaan sihat, manakala seekor lagi sedang dirawat kerana menghidap penyakit
kulat teritip.”
“Baiklah, Kazin.
Ini perintah saya,” kata Penjurit Madya Shiraq.
Bintara Kazin
duduk sedia untuk mendengar arahan ketuanya.
“Lepaskan semua
binatang itu. Tapi, lengkapkan binatang yang sihat dengan pelana dan tali. Kau
pun mesti pakai kelengkapan pelana air. Pergi ke tanah besar untuk mendapatkan
bantuan. Ini buku Log Nakhoda yang saya tulis tentang keadaan Sparro semasa di
bawah perintah saya sehingga pada saat ini. Kau mesti mengelakkan diri daripada
pengesanan radar dan sonar supaya kau boleh melaporkan diri terus kepada
Presiden Abidi dan menyerahkan buku ini kepadanya.”
Bintara Kazin
terkejut setelah mendengar arahan pegawainya.
“Tuan, bagaimana
dengan pangkalan ini? Kita akan kekurangan anggota nanti.”
“Kami sudah
fikirkan masalah itu. Kita sudah pohon bantuan dari Markas Besar. Malangnya,
bantuan tak akan tiba dengan serta-merta kecuali setelah ribut taufan di luar sana reda dalam masa lima
jam dari sekarang. Dalam tempoh itu, kita akan kehabisan peluru dan bekalan.
Seseorang mesti pergi ke tanah besar untuk menyampaikan berita penaklukan
Sparro. Orang itu ialah kau kerana hanya kau seorang yang arif dengan
biodiversiti dan lanskap bawah air perairan kita.”
“Bagaimana pula
dengan Tuan?”
“Kami berpegang
kepada Ikrar Nakhoda. Apabila kapalnya karam, dia harus karam bersama kapalnya
yang akan menjadi kerandanya di dasar laut.”
“Tapi saya yakin
kita boleh menang!”
“Keyakinan kau
tak boleh menenggelamkan flotilla musuh yang sedang menunggu di luar perairan
kita.”
“Tuan….”
“Cukuplah
Bintara Kazin. Kami yang tinggal akan bertahan di sini. Pergilah dapatkan
bantuan untuk kami. Berikan kerjasama kepada unit yang akan datang untuk
mengambil semula pulau ini,” kata seorang nakhoda.
“Baiklah, Tuan!”
“Mari,” kata
nakhoda itu. “Bawakan saya ke tempat julung-julung awak.”
Bintara Kazin
terus bangun memimpin jalan nakhoda tersebut. Penjurit Madya Shiraq dan
nakhoda-nakhoda yang tinggal mengiringi pemergian Bintara Kazin dengan perasaan
berbaur.
*****
Pasukan android
terus mengasak pangkalan kecil Tentera Laut Traulum Pulau Sparro. Hujan lebat
dan ribut taufan tidak menghalang mereka untuk mengekalkan objektif misi yang
telah diprogramkan dari awal.
Hujan bom dari kedua-dua
pihak disambut bunyi letupan yang cuba melawan bunyi guruh dan dentuman petir.
Letupan-letupan itu memusnahkan sasaran yang dibidik.
Kubu-kubu
stesyen tempur di luar bangunan telah ditawan. Perajurit-perajurit handalan
Traulum telah dibunuh. Pasukan android maju ke arah pintu masuk bangunan
pangkalan. Anggota-anggota pengawal yang masih hidup berundur masuk ke dalam
bangunan sambil membalas tembakan cahaya berat musuh. Setelah berada di dalam,
mereka cuba
berlindung di sela-sela tembok.
Android-android
terus maju dan menembak mati musuh-musuh yang dilihat di hadapan mata mereka.
Operator radio
terkejut apabila bilik komunikasi diserbu oleh satu platun android. Tanpa
bicara, mereka menembak bertubi-tubi ruang bilik komunikasi, memusnahkan
sekaligus kelengkapan perhubungan dan elemen manusia yang mengendalikannya.
Di dalam bilik
kawalan taktikal, nakhoda yang mengiring Bintara Kazin muncul di pintu.
“Dia sudah pergi
dari sini,” kata rakan mereka buat kali terakhir.
Tiba-tiba satu
jalur cahaya berat menembus dada dan mengoyak jantungnya. Penjurit Madya Shiraq
dan rakan-rakannya mencapai senjata dan membalas tembakan android-android
penceroboh.
Satu platun
android menyerbu bilik kawalan taktikal dan menembak bertalu-talu musuh yang
menjadi sasaran misi mereka. Setelah pasti elemen manusia di dalam bilik itu
lenyap, barulah mereka keluar dan mencari bilik lain yang mungkin masih
meninggalkan sisa-sisa elemen manusia yang masih hidup.
*****
Bintara Kazin
mengawal sepasang julung-julung yang sedang berenang di dalam terowong bawah
air. Seekor julung-julung mengekori mereka dari belakang. Apabila keluar dari
pintu terowong yang terletak di dasar laut, julung-julung itu terus berenang
berlegar-legar terlebih dahulu meraikan pembebasan mereka dari kurungan.
Bintara Kazin
mengawal pergerakan julung-julung dengan konsul pelana air. Dia memberi isyarat
kepada pasangan julung-julung tunggangan supaya membawanya berenang di bawah
permukaan air menuju ke tanah besar.
Seketika
kemudian, sekumpulan julung-julung bergerak meninggalkan dasar laut kepulauan
terumbu karang Sparro menuju ke arah timur. Kumpulan julung-julung itu dikawal
oleh Bintara Kazin yang mengenakan kelengkapan pelana air.
TAMAT.
TAMAT.
www.melayu.com, 29
April 2003
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2003
Nota kaki:
- Teks ini adalah sebahagian daripada kumpulan fragmen sebuah novel
genre fantasi yang saya sedang tulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan