Jumaat, 9 Oktober 2015

23 Rubah Putih


Jelas. Kewujudannya tidak dapat disangkal lagi.

Aku memandang Adi Ventor. Dia mengunci bicara dalam sinaran api unggun yang semakin malap.

“Jadi, benarlah lelaki yang tinggal dengan Tuan Danji itu ialah Tarius, wira suci berhati putih untuk umat manusia di sebelah timur?”

Adi Ventor memandang wajahku. Sinar matanya semakin layu. Mungkin dia terlalu letih setelah sehari suntuk kami menunggang kuda dalam perjalanan dari Kota Irlium ke Kota Traulum. Kami membawa pesanan Tuan Danji untuk disampaikan kepada Ketua Desa Kra, Adi Patria, iaitu bapa Adi Ventor.

“Apa yang mahu kita ragukan lagi? Memang benar dia Tarius. Avi Naghib sendiri yang memberitahuku semasa di pasar. Dialah yang menjumpai Tarius sewaktu menggembala yink di Dataran Partagon.”

Tarius, wira harapan umat manusia yang mendiami Misteroid. Tarius, pahlawan Qomulian yang terbilang. Tarius, pemilik beberapa kesaktian terhebat yang hidup pada hujung zaman. Tarius, lawan sebenar bagi Sansarius, salah seorang petapa berhati hitam yang membentuk barisan Kaus Aurtitanikus dan penguasa Pusaran Anztrak yang berpuaka di Laut Kreua. Dia ialah lagenda yang menjadi cerita untuk anak-anak di dalam buaian.

Kini dia hidup. Kewujudannya tidak dapat disangkal lagi. Baru minggu lepas aku berbual mesra dengannya di kediaman Tuan Danji. Akan tetapi, kenapakah Tuan Danji tidak mahu memperkenalkan pemuda itu sebagai Tarius kepada kami?

“Jika Tarius wujud, sudah tentu Arius, Aqurrus dan Qornus telah pun turun di melata Misteroid.”

“Mungkin juga. Cuma buat masa ini, kita tidak mendengar berita mengenai mereka daripada saudara-saudara Qomulian yang lain.”

“Misteroid ini luas, Ventor. Setiap perkhabaran yang disampaikan dari satu tanah besar ke satu tanah besar yang lain mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari tujuh malam perjalanan menunggang kuda.”

“Nutro Sonan, aku terlalu mengantuk. Izinkanlah aku tidur sekarang.”

“Tidurlah sekarang kalau terlalu mengantuk. Tunggu apa lagi?”

Sebaik sahaja dia merebahkan kepalanya di atas rumput tidak jauh dari unggun api, dia terus terlena. Kasihan aku melihatnya. Beginilah nasib kami. Sendirian di dalam pengembaraan yang telah ditaqdirkan. Tiada teman hidup untuk menguruskan makan, pakaian dan tempat tidur. Segala-galanya yang dilakukan sendiri dengan ala kadar sahaja.

Tuan Erdani, Mahaguru Akademi Solaroid, sering mengingatkan kami supaya sentiasa bersedia untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang ‘syahdan’. Untuk mencapainya bukan mudah. ‘Syahdan’ menghendaki orang-orang yang rela dan berani mati di dalam perjuangan menegakkan kalimah Tuhan. Hanya orang-orang yang suci rohaninya sahaja yang akan memiliki ‘syahdan’. Untuk memperolehi kesucian rohani, kami berdua telah mengambil keputusan untuk melakukan pengembaraan mencari Kaus Aurian. Kami ingin membuktikan kebenaran Kitab Qomul yang sering menyebut bahawa Kaus Aurian akan muncul pada akhir zaman untuk memimpin Qomulian memerangi kebatilan dan kejahilan.

Tuan Erdani telah menyatakan bahawa orang-orang yang berjiwa pengembara akan mudah memperolehi kesucian rohani. Menurutnya, pengembaraan bermaksud liku-liku yang amat sukar selain daripada memperolehi ilmu dan pengalaman. Kesukaran, ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan meneguhkan hati dan menguatkan jiwa untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman.

Sebelum bertolak dari Akademi Solaroid yang terletak di Kota Fulussus kira-kira lima musim yang lalu, kami telah berikrar di hadapan Tuan Erdani bahawa pengembaraan kami adalah kerana Tuhan dan untuk Tuhan.Demi kemuliaan Kalam sebagai iktikad dan cara hidup yang terunggul untuk seluruh makna kemanusiaan, kami telah bersumpah untuk mengorbankan seluruh jiwa dan raga kami di atas jalan Tuhan. Kitab Qomul menjadi saksi atas sumpahan kami.

Aku dan Adi Ventor telah berjanji setia bahawa setiap diri kami akan membela sahabatnya sepanjang pengembaraan ini. Kini, ikatan tersebut mempunyai makna yang lebih mendalam daripada persahabatan. Sesungguhnya dia adalah satu-satunya saudara yang masih hidup meskipun di antara kami tiada hubungan darah sama sekali.

Aku menganalisa semula pengembaraan kami yang semakin hampir ke penghujungnya.

Menurut perkiraanku, jika benar kami telah menemui Kaus Aurian, bermakna Empayar Galaktusiad sedang menempah detik-detik kehancurannya. Di dalam Kitab Qomul yang selalu kubaca, menceritakan bahawa di penghujung zaman, manusia akan bernaung di bawah kesesatan yang membutakan mata hati dan menumpulkan mata akal. Sekumpulan wali kejam berhati hitam menjadi pemimpin-pemimpin dengan bantuan beberapa orang manusia yang zalim dan rakus.

Seterusnya, beberapa orang wira suci berhati putih akan bangkit untuk menerangkan mata hati dan menajamkan mata fikiran dengan membawa satu kandil yang bercahaya. Mereka bangkit dengan iringan air mata dan darah bagi satu pihak dan dengan iringan pedang dan perisai bagi satu pihak yang lain. Pergerakan wira-wira tersebut dibantu oleh beberapa orang yang terpilih dari kalangan manusia dan jin.

Tafsiran yang boleh kulakukan adalah seperti berikut:

Sebelum alam dunia menemui makna maut, umat manusia yang sebelumnya beriman kepada Tuhan Yang Maha Tunggal, kembali kepada keadaan jahiliyyah. Ini adalah kenyataan apabila mereka bernaung di bawah kekuasaan Empayar Galaktusiad yang menganut ajaran Missiah. Missiah ialah ajaran yang mempertuhankan Maharaja Galaktos yang memerintah Empayar Galaktusiad buat masa kini dan orang-orang Missiah disebut Masihin. Satu lagi ajaran sesat lagi menyesatkan ialah ajaran Murtadha iaitu ajaran yang mempertuhankan nafsu syahwat yang menyebabkan manusia hilang makna kemanusiaan di dalam dirinya. Mereka bergelar Murtadian. Masihin dan Murtadian sering bekerjasama untuk melenyapkan ajaran Kalam, iaitu ajaran yang mempertuhankan Al-Malik, Tuhan Yang Maha Tunggal, yang memiliki segala kebesaran, keagungan, kemuliaan dan kesempurnaan. Hanya segelintir sahaja manusia yang sudi hidup di bawah payung kebenaran yang hakiki. Mereka digelar Mukallimin atau Qomulian.

Kitab Qomul telah mengisyaratkan bahawa penguasaan Masihin dan Murtadian yang dipimpin oleh Kaus Aurtitanikus, iaitu sekumpulan wali kejam berhati hitam, akan tamat apabila perjuangan Qomulian dibantu oleh Kaus Aurian, iaitu beberapa orang wira suci berhati putih. Di bawah pimpinan Kaus Aurian, Kitab Qomul atau kandil bercahaya yang dimaksudkan olehNya, akan menjadi petunjuk untuk seluruh makna kemanusiaan.

Mereka akan memimpin Qomulian dengan semangat perjuangan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Manakala Masihin dan Murtadian akan menentang mereka di bawah pimpinan Kaus Aurtitanikus dengan muslihat yang amat licik dan strategi peperangan yang tidak mengenal belas. Kaus Aurian akan dibantu oleh beberapa makhluk terpilih dari kalangan manusia dan jin.

Tuan Erdani pernah memberitahu kami bahawa tanpa bantuan daripada makhluk-makhluk terpilih itu, Kaus Aurian masih mampu memimpin Qomulian bersendirian. Ini kerana mereka memiliki sakti yang setanding dengan sihir yang dipunyai oleh petapa-petapa berhati hitam yang membentuk barisan Kaus Aurtitanikus. Akan tetapi, Tuhan tidak mahu melihat manusia yang akan hidup selepas zaman kebangkitan Kalam yang kedua itu, memandang mereka sebagai konsep ketuhanan yang baru. Oleh itu, beberapa orang makhluk telah dipilih untuk membantu perjuangan mereka menegakkan kalimah Ilahi dengan tujuan mereka akan dianggap lemah kerana memerlukan bantuan makhluk-makhluk lain.

Siapakah nama dan dari mana asal-usul pembantu-pembantu Kaus Aurian itu tidak diceritakan secara terperinci oleh Kitab Qomul. Hanya nama-nama gelaran sahaja yang disebut olehNya untuk dijadikan bahan kajian oleh orang-orang yang rajin menyelidik akan kebenaran Qomul. Di antara nama-nama gelaran itu ialah Serigala Tunggal, Rubah Putih, Pari Suci, Monoserus Hitam, Musafir Sepi, Kelana Satria dan Helang Buana. Itu sahaja yang aku ingat. Ada lapan nama lagi yang termaktub. Nama-nama itu telah menjadi lagenda untuk tatapan anak-anak kecil yang rajin membaca cerita dongeng zaman silam. Peranan mereka sebagai pembantu Kaus Aurian tidak diambil berat oleh generasi baru Mukallimin.

Sebelum meninggalkan akademi, Tuan Erdani pernah memberitahuku, bahawa menurut firasatnya, salah seorang daripada kami adalah pembantu Kaus Aurian yang bergelar Rubah Putih. Aku tidak tahu sama ada dia pernah memberitahu hal yang sama kepada Adi Ventor. Aku tidak pernah bertanyakan Adi Ventor mengenai hal ini. Dia juga tidak pernah bertanya kepadaku. Biarlah ia menjadi rahsia diriku atau dirinya sendiri jika Tuan Erdani pernah memberitahunya.

Rubah Putih, adalah lambang kemurnian dan kedamaian. Ia juga menggambarkan seseorang yang memiliki ciri-ciri pergerakan yang licik bermuslihat dan tindakan-tindakan yang pantas sewaktu menghadapi detik-detik yang amat genting. Apakah Rubah Putih telah wujud di alam nyata dan siapakah makhluk yang akan memakai gelaran tersebut? Bukan sebarangan orang yang boleh mengaku dia ialah Rubah Putih dan bukan sebarangan orang yang boleh menunjuk bahawa seseorang itu ialah pembantu Kaus Aurian yang dimaksudkan oleh Kitab Qomul. Jika benar firasat Tuan Erdani, obligasi yang selama ini menjadi mainan kami, akan menjadi suatu tanggungjawab yang kami tidak tahu sama ada sanggup kami memikulnya atau sebaliknya.

Tiba-tiba telingaku menangkap satu desiran yang ganjil. Mataku meliar ke seluruh kawasan perhentian kami. Daun-daun pokok berbalam-balam di dalam malam. Batang-batang kayu mati tidak menunjukkan sebarang tanda benar-benar hidup. Degupan jantungku bertambah kencang. Bulu romaku meremang, mengundang keberanian yang tidak pernah mengenal makna gementar. Kuda-kuda kami yang ditambat di sebatang pohon, masih tidur dengan lenanya.

Pasti. Keganjilan yang tersirat di sebalik desiran tersebut mengundang bahaya. Aku segera mengejutkan Adi Ventor yang sedang dibuai mimpi. Dia menggeliat malas untuk bangkit dari pembaringannya walaupun sudah terjaga daripada tidur yang sebentar cuma.

“Bahaya!” Bisikku keras sambil menggenggam ulu Solzolar, pedang kembar warisan keluargaku. Serta-merta Adi Ventor bingkas bangkit. Matanya bersinar segar. Dia segera mencapai sarung pedang dan berdiri di sisiku yang sedang mengawasi keadaan.

“Bahaya apa?” Bisiknya pula.

“Aku terdengar bunyi desiran yang ganjil. Sukar diteka sama ada bunyi angin yang menyanyi atau daun-daun yang bergeseran.”

Jelasku yang sekaligus mendedahkan sedikit ketakutanku.

Desiran tersebut bertukar menjadi keluhan. Kemudian ia berubah menjadi satu raungan yang sangat keras. Bunyinya keras di dalam sepi yang gelap. Nyaring di dalam malam yang semakin sayup.

“Aku kenal siapa yang datang. Bukan sahabat, tapi musuh. Padam api!”

Adi Ventor segera mengambus api unggun yang semakin malap. Nyalaannya terpadam.

“Siapa yang datang? Kenapa kita mesti padamkan api?” Soal Adi Ventor di dalam gelap. Aku dapat melihat riak-riak kecemasan yang timbul di wajahnya. Kuda-kuda kami masih tidak menyedari akan bahaya yang sedang dihadapi oleh tuan-tuan mereka. Jangan diganggu Bhoraq dan Akhbar, aku berdoa di dalam hati.

“Pendekar-pendekar Globulin yang terbilang. Mereka tidak boleh ditentang dalam sinaran cahaya. Mata kasar kita tidak dapat melihat kewujudan mereka. Kita akan tewas kalau bertarung dalam suasana terang.”

“Globulin makhluk pelapah daging yang tidak mengenal makna maut?”

“Mereka tidak mengerti makna maut yang sedang dihadapi oleh mangsa mereka.”

Kami saling membelakangi dalam keadaan berjaga-jaga. Solzolar sudah pun menari di dalam genggamanku. Adi Ventor menghunuskan senjatanya ke arah malam.

Aurtitanikus Agung.

Tiba-tiba nama itu menerpa di dalam arus fikiranku. Pasti. Mereka adalah hamba-hamba Aurtitanikus dan pemilik puaka terhebat. Sebentar kemudian, mata hatiku dapat melihat kemunculan bayang-bayang hitam yang keluar dari kegelapan. Kehitaman bayang-bayang tersebut lebih pekat daripada malam yang gelap. Mereka mengelilingi kami. Terdapat sepuluh bayang-bayang hitam berbentuk manusia dan berpakaian perang yang menghunuskan senjata ke arah kami.

Aku kurang pasti akan tujuan kedatangan mereka yang sebenar.

“Sonan, aku dapat melihat mereka.”

“Bagus. Perhatikan gerakan mereka dengan mata akal yang tajam dan awasi dirimu dengan mata hati yang bersih.”

“Aku cuba.”

Apa mahumu? Tiba-tiba hatiku bertanya.

Kami mahu nyawamu. Jawab salah seorang daripada mereka. Lembaga itu kelihatan lebih besar dan lebih gagah daripada lembaga-lembaga hitam yang lain. Mungkin makhluk itu memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua.

Untuk dipersembahkan kepada siapa? Soalku lagi.

Kepada dia, 'Tuhan' yang menguasai dunia dan segala isinya.

Aku memahami maksudnya kini. Mereka mahu nyawa kami untuk Aurtitanikus Agung. Dia, pemilik puaka sihir hitam yang tiada tandingannya, mahukan nyawa kami!

Aku tidak akan memberikan nyawaku dengan percuma.

Kami akan bayar harganya dengan pertarungan.

Kami tidak gentar dengan pertarungan.

Hei, Rubah Putih! Jangan terlalu angkuh. Puaka Aurtitanikus Agung akan memakanmu!

Aku tidak percaya bahawa dia memanggil aku dengan gelaran itu. Dia memburu kami atas nama pemimpin Kaus Aurtitanikus dan hasrat pemimpin itu bermaksud segala pembantu Kaus Aurian wajib dibinasakan. Apakah aku ini Rubah Putih dan bagaimanakah dia mengetahuinya?

Al-Malik berserta orang-orang yang benar.

Persetan dengan Al-Malik. Dia telah menyingkir moyangku daripada jawatan kemuliaan. Moyangmu yang bertanggungjawab dan kau akan menerima padahnya.

Jadi, kau adalah syaitan terkutuk, wahai Globulin, pendekar terbilang dari alam jin.

Ha! Ha! Ha! Ha!

Ketawanya sangat membingitkan telinga.

Dan kau adalah insan yang lemah, wahai Rubah Putih, lagenda yang akan terkubur sebentar lagi.

“Sonan, mereka mahu menyerang kita.”

Suara Adi Ventor mengejutkan aku yang hampir terperangkap di dalam dialog dengan Ketua Globulin. Tidakkah dia mendengar perbualan kami?

Tanpa mengeluarkan sebarang isyarat, mereka menyerang kami.

Genggaman Solzolar aku kemaskan. Sebentar kemudian, pedang kami menghasilkan percikan api setiap kali bertembung dengan lawannya. Serangan mereka sangat pantas. Kami menepis dan mengelak serangan tersebut dengan gerakan perlahan yang seragam.

Seni perlawanan pedang yang kami pelajari daripada Tuan Astakim, salah seorang pembantu Tuan Erdani di Akademi Solaroid, sangat berkesan. Setiap serangan yang pantas, ditepis atau dielak dengan pergerakan yang lembut dan berseni.

Irama perang memainkan lagunya di dalam telingaku.

Aku memperolehi dua ruang kosong. Dalam sehembus nafas, Solzolar mencarik sasarannya. Bayang-bayang tersebut meraung di dalam hatiku. Mata hatiku dapat melihat kelenyapannya dari alam malam. Adi Ventor berjaya menumpaskan tiga lagi daripada mereka. Kini tinggal lima.

Tiba-tiba mereka berhimpun dan mengatur satu pergerakan yang lembut dan serba berseni.

“Sonan, aku terhidu bau yang amat busuk.”

Bahaya besar.

“Mereka menggunakan sihir hitam. Mari kita satukan tenaga dalaman kita.”

Bau itu terlalu busuk. Aku seperti hendak termuntah.

Setelah meletakkan pedang, kami duduk bersila menghadapi mereka. Aku menumpukan sepenuh perhatian untuk memusnahkan pergerakan lawan. Adi Ventor menurut perbuatanku yang mendirikan tapak tangan kanan di atas tapak tangan kiri. Aku membaca beberapa ayat yang dipetik dari Kitab Qomul. Kami memusatkan hati dan pemikiran ke arah kedua-dua tapak tangan. Kami mengangkat kedua-dua tapak tangan separas bahu dan merapatkannya ke dada. Gabungan bayang-bayang tersebut menyerang kami dengan satu pergerakan yang tidak dapat ditangkap oleh mata. Kami tidak mampu menyimpan tenaga dalaman lebih lama, lantas menolak kedua-dua tapak tangan ke hadapan. Satu gumpalan cahaya putih keluar dari tapak tangan kami dan bercantum mencari sasarannya. Perhitungan kami tidak silap. Apabila gumpalan cahaya tersebut bertembung dengan gumpalan kegelapan yang sangat pekat, satu ledakan yang menggegarkan terhasil. Raungan-raungan yang sangat mengerikan terngiang-ngiang di dalam hatiku. Imej-imej yang dahsyat mencetuskan kegerunan di dalam pandangan hatiku.

Kami bertafakur sejenak sambil memejamkan mata untuk memulihkan diri kami yang sedang keletihan. Seni kerahan tenaga dalaman yang diajarkan oleh Tuan Astakim tidak sia-sia. Syukur kepada Tuhan. Kemudian aku membuka mata dan memandang wajah Adi Ventor. Adi Ventor membalas pandanganku.

“Siapakah yang mengirim mereka? Globulin tidak akan memburu mangsanya jika tidak diarahkan oleh seseorang”

“Penghulu mutlak segala wali kejam berhati hitam.”

“Apakah kepentingan kita sehingga menjadi orang buruan Kaus Aurtitanikus?”

“Mereka sangka kita ialah Kaus Aurian. Akan tetapi, perhitungan mereka tersilap.”

Aku yakin Adi Ventor tidak mampu berbicara dengan globulin-globulin tadi, meskipun mata hatinya dapat melihat kewujudan mereka. Hanya pembantu-pembantu Kaus Aurian yang mampu melihat dan berbicara dengan musuh-musuh yang ghaib.

Akukah Rubah Putih yang dimaksudkan olehNya?

Satu obligasi telah menjadi satu tugas yang wajib ditunaikan.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1992


Nota kaki:
  1. Naskhah ini telah ditulis semasa cuti panjang setelah habis peperiksaan SPM 1990. Setelah siap, saya telah hantar kepada Editor Dewan Siswa untuk mempertimbangkan saya sebagai salah seorang peserta Minggu Penulis Remaja 1991. Dalam Dewan Siswa Mei atau Jun 1991, saya lihat cerpen ini termasuk dalam senarai awal peserta penulisan cerpen yang layak dipertimbangkan. Namun, saya tidak terpilih dalam saringan akhir dan tidak menerima jemputan untuk menjadi peserta MPR 1991.
  2. Anda akan berfikiran kusut bila cuba nak faham apa idea yang saya nak sampaikan melalui cerpen ini. Ada banyak idea yang saya cuba satukan di dalam sebuah cerpen tetapi ini adalah percubaan saya yang tidak berjaya. Pada tahun 2001, saya telah rombak cerpen ini menjadi versi yang lebih mudah difahami yang akan saya siarkan dalam blog yang seterusnya.
  3. Ini ialah cerpen peringatan atau komemoratif yang saya sumbangkan untuk penerbitan majalah Karisma terbitan Matrikulasi USM Sessi 91/92.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan