Matahari
semakin condong ke barat. Mega merah mula kelihatan di langit. Cahaya matahari
petang yang suram menembusi daun-daun pokok yang meliang-liuk dibelai angin
senja. Lantai hutan agak basah. Pohon-pohon hutan tumbuh rapat-rapat dan saling
bertautan di antara satu sama lain. Panorama itu amat unik.
Di celah remang
senja, kelihatan dua susuk tubuh manusia bergerak di antara pohon-pohon hutan.
Rashid dan
Azman belum menjumpai kumpulan mereka. Mereka berdua terpisah daripada kumpulan
pencari rotan yang terdiri daripada anak-anak muda kampung mereka. Kedua-duanya
berhenti rehat di celah banir sepohon keruing. Kepenatan mula mencengkam
otot-otot mereka setelah begitu lama berusaha mencari jalan pulang.
Azman
bersandar di perdu keruing. Rashid duduk di hujung banir.
Banir
tempat mereka berehat itu besar dan sesuai dijadikan tempat menginap buat
sementara waktu. Walaupun lapang dan selesa, tetapi perlindungan perlu dibina
untuk mengelakkan bahaya hutan seperti harimau dan ular sawa.
Suasana
senja di dalam hutan kian gelap. Tidak kelihatan burung petang pulang ke
sarang. Tidak kedengaran suara lutung dan cikah menjerit bermain sesama
sendiri. Nyamuk-nyamuk hutan lahap sekali menghurungi tubuh mereka. Mereka
tidak berupaya lagi menampar dan menghalau nyamuk-nyamuk itu. Detik-detik waktu
yang merangkak telah menjemput cengkerik untuk menjadi penghibur pada waktu
peralihan malam.
“Dah tiga
hari kita sesat, Man. Puas kita cari jalan pulang. Tak jumpa juga,” kata
Rashid.
“Sabar,
Shid. Malam ni kita berehat. Esok kita cuba lagi,” kata Azman.
“Aku rasa,
kawan-kawan kita mungkin sudah kembali ke kampung dan beritahu Tok Ketua
tentang kehilangan kita,” kata Rashid.
“Aku harap
begitu.”
Kemudian
Azman bangun.
“Mari,
Shid. Kita cari kayu dan daun untuk buat tempat tidur.”
Rashid
bangun mengikut langkah Azman.
Tidak
berapa lama selepas itu, mereka kembali ke perdu keruing untuk membina khemah
di celah banir. Rashid membuat unggun bara api untuk menghalau nyamuk dengan
asap unggun.
Malam gelap
pekat. Mereka berlindung di dalam khemah yang serba ringkas. Asap unggun
menyelubungi mereka. Nyamuk tidak tahan dengan asap unggun dan lari menjauhi
mereka. Mereka berasa lega apabila tidak dihurungi nyamuk lagi.
Malam hadir
mengundang bahaya tersendiri. Ketakutan berhadapan bahaya merajai perasaan.
Bermacam-macam bentuk bahaya terlintas di dalam hati.
Hantu?
Sudah dua malam tidur di rimba dan mereka tidak diganggu hantu. Sememangnya
hantu tidak wujud?
Binatang
liar? Mungkin. Mereka kerap terjumpa jejak kaki babi hutan, harimau akar dan
gajah liar.
Sejuk dan
lapar? Mungkin bahaya itu yang paling mengancam ketahanan fizikal mereka. Waktu
malam sangat dingin. Lapar menyebabkan mereka tidak bermaya.
Malam turut
hadir bersama bunyi-bunyian alam semula jadi yang diterbitkan oleh penghuni
rimba nokturnal. Bunyi cengkerik, katak, keluang, sekali-sekala lutung dan
ngauman harimau menjadi halwa telinga.
Malam
semakin larut. Udara semakin dingin. Mata semakin layu. Akhirnya mereka
tertidur keletihan.
*****
Jam biologi
Azman berdetik di dalam bahagian otak yang mengawal rasa ingin tidur. Di dalam
mata yang bertutup rapat, dia dapat melihat tanda-tanda cerah di sebalik
kelopak matanya. Rasa sedar mengusir rasa lena. Deria rasanya hidup. Dia
mencelikkan mata.
Azman
terpinga-pinga. Di manakah mereka berada? Apakah nama tempat itu?
Azman
terlihat Rashid di sebelahnya. Dia segera mengejutkan Rashid. Rashid membuka
mata. Tiba-tiba Rashid terduduk dengan mata terbeliak sambil memandang
sekeliling.
“Di mana
kita, Man. Apa nama tempat ni?” Tanya Rashid.
“Aku tak
tau.”
Rashid
menampar pipinya beberapa kali. Sakit. Benar. Mereka tidak bermimpi.
“Kita tak
bermimpi. Ini bukan mimpi!”
Azman memerhatikan
keadaan bilik tempat mereka berada. Bilik itu kecil. Luasnya kira-kira lima kali lima
meter. Tingginya kira-kira dua meter. Siling dan dinding bercat putih. Lantai
kelihatan seperti simen berkilat. Sebiji lampu yang mengeluarkan cahaya putih
terpasang di dalam siling. Sebuah pintu terletak bertentangan dengan tempat
mereka duduk berlunjur. Di atas pintu itu, sebuah alat seperti kamera terhala
ke arah mereka.
Bagaimanakah
mereka boleh berada di situ?
“Bila kita
sampai di sini? Bagaimana kita boleh berada di sini? Siapa yang bawa kita?”
“Aku tak
tau, Shid. Kalau kita sudah dijumpai orang-orang kampung, kita sepatutnya sudah
berada di hospital untuk rawatan sekarang. Tapi tempat ni bukan hoospital dan
bukan tempat rawatan.”
“Kita
seperti dikurung, Man. Ada orang sedang memerhatikan kita melalui kamera di
atas pintu tu.”
Mereka
saling bertukar pandang.
“Kita
dikurung!”
Mereka
berdua bangun dan menerpa ke arah pintu. Pintu itu tidak bertombol atau
berengsel. Ia seolah-olah diperbuat daripada sejenis logam keras.
Kemudian
mereka terdengar bunyi desiran seperti sesuatu disemburkan keluar. Rashid
ternampak asap putih keluar dari liang di tepi lampu.
“Asap!”
Kata Rashid. Dia panik.
“Tolong!”
Jerit Azman sambil mengetuk pintu logam supaya ada seseorang yang datang
membuka pintu itu.
“Tolong!”
Jerit Rashid.
Asap putih
itu semakin tebal memenuhi ruang bilik. Mereka terbatuk-batuk apabila asap itu
masuk ke dalam rongga tenggorok. Sebentar kemudian mereka rebah. Dunia
gelap-gelita.
*****
Renjatan
elektrik menyebabkan Azman terjaga. Dia tercungap-cungap mengawal rasa berdebar
yang menguasai hati. Jantungnya dirasakan seperti hendak luruh. Kesakitan tubuh
akibat dilanda arus elektrik kian berkurang. Perlahan-lahan dia mendongakkan
kepala.
Azman
mendapati bahawa dia sedang duduk di atas sebuah kerusi di dalam sebuah bilik
kecil yang disinari cahaya suram berwarna biru. Dia ingin bangun. Dia tidak
dapat menggerakkan badan. Baru dia sedar yang tangan, kaki dan badannya
dipasung pada kerusi itu. Dia mencari Rashid. Dia tidak menjumpai Rashid di
sekelilingnya.
“Rashid!”
Jeritnya.
Dinding di
sekelilingnya ghaib. Azman mendapati bahawa dia sedang berada di atas pentas di
dalam sebuah dewan. Matanya terbeliak besar apabila dia mendapati bahawa dewan
itu dipenuhi beratus-ratus makhluk ganjil yang tidak pernah disaksikan seumur
hidup. Azman tidak dapat menghuraikan rupa fizikal makhluk-makhluk itu. Dia
sedar yang dia kini sedang menjadi bahan tontonan mereka.
“Siapa
kamu? Apa yang kamu mahu? Mengapa aku dipasung begini?”
Suara-suara
berbisik memenuhi ruang dewan. Tiba- tiba dewan itu senyap sunyi.
Bertentangan
dengan Azman, sebuah pintu dewan terbuka. Beberapa makhluk ganjil muncul dari
sebalik pintu dan berjalan menghampiri sebuah podium yang tersedia. Salah satu
makhluk itu duduk di atas sebuah kerusi. Makhluk-makhluk lain di belakangnya
hanya berdiri. Mungkin mereka ialah pengiring.
Makhluk
yang duduk itu seolah-olah memerhati dan meneliti Azman. Azman terdengar suara
makhluk itu yang seolah-olah sedang berbisik kepadanya. Dia tidak faham apa
yang dituturkan oleh makhluk itu.
Sebidang
layar muncul di hadapan Azman. Layar itu menunjukkan gambar gugusan
bintang-bintang di angkasa lepas. Gambar itu bergerak. Gugusan bintang-bintang
itu semakin besar. Ia memfokus kepada sebuah bintang yang dikelilingi beberapa
buah planet. Akhir sekali gambar itu memfokus pula kepada sebuah planet yang
indah berwarna merah kirmizi.
Azman dapat
melihat beribu-ribu buah kapal angkasa keluar dari planet itu. Tiba-tiba
kapal-kapal angkasa itu ghaib. Azman dipertontonkan pula gambar sebuah sistem
bintang yang lain. Gambar itu memfokus kepada sebuah planet yang berwarna
kebiru-biruan. Azman tersentak.
Itu Bumi!
Tiba-tiba
beribu-ribu buah kapal angkasa yang ghaib tadi, muncul tidak jauh dari planet
yang berwarna biru. Kapal-kapal angkasa itu terbang menuju ke Bumi. Penglihatan
Azman disajikan pula dengan peta permukaan Bumi. Beribu-ribu bintik merah yang
dia tidak tahu maknanya terdapat di atas peta tersebut.
Layar itu
ghaib. Tayangan selesai.
Azman sedar
semasa tayangan itu sedang berlangsung, dia tidak putus-putus mendengar suara
berbisik daripada makhluk yang sedang duduk di atas podium. Dia seolah-olah
sedang diberi taklimat berkenaan sesuatu yang ingin dicapai oleh
makhluk-makhluk ganjil tersebut. Azman memandang makhluk di atas podium untuk
mencari pengertian di atas peristiwa yang sedang dialami dan tayangan yang
dipersembahkan kepadanya. Lama dia berfikir untuk mencari kesimpulan daripada
perkara-perkara itu.
Beribu-ribu
buah kapal angkasa yang terbang keluar dari sebuah planet merah kirmizi telah
ghaib. Kemudian muncul di tempat lain di angkasa lepas dan terbang menuju ke
Bumi. Peta permukaan Bumi dipenuhi bintik-bintik berwarna merah. Satu perkataan
terlintas di dalam fikiran Azman.
Penaklukan.
Makhluk-makhluk
ganjil di sekelilingnya berasal dari sebuah planet berwarna merah kirmizi yang
datang menaiki kapal angkasa untuk menakluk planet Bumi. Mereka telah membina
koloni-koloni di seluruh dunia. Azman mendapati bahawa dia dan Rashid telah
menjadi tawanan mereka.
“Tidak!”
Pekik Azman kepada hadirin di dalam dewan.
“Kamu tidak
boleh menakluk Bumi!”
Suara-suara
berbisik memenuhi ruang dewan itu semula.
Tiba-tiba
Azman mendapati yang dia dikepung di dalam sebuah bilik kecil berlampu biru
suram seperti pada mula-mula dia tersedar daripada terkena renjatan elektrik
tadi. Dewan dan makhluk-makhluk ganjil itu hilang dari pandangan. Asap putih
keluar dari liang-liang yang ada di celah-celah kerusi pasungnya. Azman terhidu
asap itu. Ingatannya hilang sekali lagi.
*****
Deria
rasanya tidak dapat menentukan sama ada dia masih berada di alam nyata atau
alam khayalan.
Gelap
menjadi dunianya kini. Gelap menghilangkan panduan arah perjalanan. Gelap
membutakan pandangan mata. Akan tetapi, gelap tidak mesti membutakan pandangan
hati dan fikir.
Dia
mengerahkan deria rasanya menumpu ke arah kekuatan fikir supaya dia dapat
melihat apa yang ada di sebalik hijab kegelapan. Jauh di sudut hati, dia amat
yakin bahawa di sebalik gelap mesti ada terang. Dia ingin melihat alam terang
yang mungkin wujud di sebalik alam gelap. Usahanya berhasil.
Telinganya
terdengar bunyi suara yang amat dikenali. Suara itu bercakap dengan bahasa yang
amat biasa didengari semenjak dia mula bertutur. Itu bahasa ibundanya.
Hidungnya terhidu bau yang harum semerbak. Fikirannya terus memberitahu bahawa
itu bau kemenyan. Lantas dia tidak dapat bersabar lagi, seraya membuka kelopak
matanya.
Dia dapat
melihat ibu, bapa, adik-beradik, keluarga terdekat dan jiran tetangga yang
duduk mengelilinginya. Dia mendapati bahawa dia kini sedang berbaring di atas
katil di dalam rumahnya sendiri.
“Syukurlah
kau dah selamat,” kata bapanya.
Dia
memandang bapanya.
“Di mana
kawan saya?” Tanya dia dalam keadaan lemah.
“Kami tak
jumpa kawan kau. Kami jumpa kau di dalam hutan di atas bukit di belakang rumah
Tok Ketua,” jawab bapanya.
“Dia ada
dengan saya semasa kami dikurung di dalam sebuah bilik.”
“Dikurung
dalam bilik?! Bilik Apa?” Tanya Tok Ketua yang berada di sebelah bapanya.
Dia
memandang lemah wajah Tok Ketua. Dia tidak tahu jawapan yang hendak diberikan
kepada Tok Ketua.
“Mungkin
kau lemah sekarang. Minum air glukos ini. Berehatlah. Yang penting kau dah
selamat sekarang,” kata Tok Ketua sambil menghulur segelas air.
Dia minum
air itu perlahan-lahan. Setelah habis, Tok Ketua meletakkan gelas itu di tepi
katil.
Kemudian
dia tertidur lagi dalam keadaan tidak dapat menentukan yang mana satu realiti
dan yang mana satu fantasi.
“Mungkin
dia dan kawannya telah disembunyikan orang bunian. Dia dibebaskan, manakala
kawannya masih ditahan. Kita akan minta pertolongan Tok Bomoh Andak dari
kampung seberang,” kata Tok Ketua kepada bapanya.
TAMAT.
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2012
Nota kaki:
- Naskhah ini ditulis semula daripada naskhah asal cerita panjang
yang saya tulis tangan berjudul “Kisah Di Hutan Darat” menggunakan
pensil 2B di dalam buku tulis ‘fullscap’ berkulit tebal yang turut memuatkan
lagi 4 cerita panjang – “Bermulanya Sebuah Prolog”, “Pertarungan di
Lembangan Kazaristan”, “Tragedi Bukit Soga” dan “Penaklukan Belalang
Raksasa”. Masa itu saya dah habis Darjah 6 dan sedang menghabiskan cuti
penggal ketiga sebelum naik Tingkatan 1. Jadi saya ada banyak masa lapang.
Tema dan plot cerita “Kisah di Hutan Darat” serupa dengan cerpen “Suatu Abduksi”,
kecuali imaginasi saya dalam “Kisah di Hutan Darat” menerawang lebih luas –
ada tembak-tembak, letup-letup, kejar-kejar, cari-cari, gambaran markas
tentera makhuk asing lengkap dengan pesawat pejuang dan dialog di antara
watak utama dengan panglima makhluk asing.
- Buku ‘fullscap’ itu dah lama hilang. Saya berusaha menulis semula tetapi
tidak boleh sama dengan naskhah asal yang pernah saya tulis pada masa itu.
Apabila masa berlalu dan semakin luas pembacaan saya tentang makhluk asing
dan dunia alam ghaib, baru saya menemui pengertian lain tentang makhluk
asing dan dunia alam ghaib.
- Teks ini telah saya memuatnaik di
laman web www.eSastera.com versi lama tetapi laman web itu sekarang sudah
tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos
penyelenggaraan domain name dan hosting. E-Sastera telah mencipta
laman web versi baru, tetapi saya belum menghantar sebarang cerpen baru
saya ke sana walaupun sudah lebih dua tahun saya membuka akaun untuk
berkarya di situ. E-Sastera kini sudah buka laman Facebook Bahagian
Cerpen. Saya juga belum memuatnaik sebarang karya baru saya di situ.
- Kredit akaun YouTube ‘iwillspreadrealmusic’
untuk klip video lagu tema siri drama “The X-Files” oleh Mark Snow. Saya
ada ‘box set’ siri drama “The X-Files” Musim 1 hingga Musim 9 dan telah
menonton semua episod. Semasa belajar di USM dulu, TV2 ada siarkan siri
ini. Setiap kali disiarkan, bilik rehat desasiswa pasti penuh dengan
penghuni asrama dan mereka akan menonton dengan lampu dipadamkan untuk
merasa aura spooky siri
televisyen itu.
- Saya turut membeli dua buah buku berkaitan
siri drama “The X-Files” iaitu “The X-Files: Book of the Unexplained,
Volume One” dan “The X-Files: Book of the Unexplained, Volume Two” tulisan
Jane Goldman untuk memahami apa dan bagaimana manusia zaman sekarang
menanggap dan memahami kemisterian dunia yang kita huni ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan