Sabtu, 29 Ogos 2015

17 Gerak Gantri

Manaf menguatkan suara radio apabila lagu berjudul “Ranap” nyanyian Bandi dari kumpulan rock Amuk disiarkan oleh stesen radio. Sambil memandu kereta syarikat ke tempat kerja, dia menghayati maksud senikata lagu tulisan Sani Sudin yang diiringi irama muzik yang bingit dengan ritma tersusun gubahan Khadiz. Senikatanya sungguh menikam jantung hati Manaf manakala muzik yang pada mulanya berentak perlahan, sedikit demi sedikit meningkat laju dan semakin kencang penuh semangat seolah-olah ingin memulihkan sanubarinya yang luka apabila mengenangkan permintaan Rahayu yang ingin memutuskan pertunangan mereka berdua.


Segala harapannya gugur, terhempas memijar. Pada penglihatannya, pada pemikirannya, pada sanubarinya – menjadi rabun, penasaran, longlai – malah dibius lagi warna-warna kehidupan bertona kecewa, sedih, pilu dan haru.

Dia seolah-olah menjadi seorang perindu malang berpuing di awang-awangan, melayang pasrah ke mana sahaja dikehendaki Tuhan dan apabila dapat berdiri menjejak tanah, dia menggigil tersinis rindu – rindu yang hampa. Kasih yang dibina sejak zaman berzaman luput bagai debu, sirna bergentayangan dipuput angin lalu, sisa-sisanya tenggelam bersama pusar keringat arus songsang, lenyap entah ke mana.

Gema hentam dentum pukulan dram dan simbal, serta ngilu petikan gitar lead dan gitar bass menyentap jiwa raga agar bangkit daripada puing runtuhan rindu yang sendu.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau, Manaf menukar geligi neutral kepada geligi satu, menekan pedal minyak dengan perlahan dan meningkatkan revolusi enjin sebelum dia menukar kepada geligi yang lebih tinggi, memecut ke tempat kerja, memotong kereta-kereta di lorong perlahan dan meninggalkan asap yang meruap ke udara yang menghilang di angkasa.

Ada kerja di pelabuhan yang perlu dibereskan.

Malam tadi, Juti, juruteknik syarikat yang ambil giliran tunggusedia melaporkan kepadanya melalui radio perhubungan saluran empat bahawa RTG 04 tidak boleh gantri semasa operasi kapal “Maersk Orlando” pada pukul 2.20 pagi. Juti kata bila dia sentuh pelindung motor gantri pada sistem gantri Nombor 01, dia boleh rasa yang motor gantri sebelah dalam berpusing laju seolah-olah syaf tidak mengunci geligi untuk menarik rantai gantri. Manaf syak bahawa syaf sebelah dalam telah patah dan perlu dibukacerai seluruh komponen sistem gantri untuk memeriksa dengan teliti keadaan syaf tersebut. Kerja-kerja baikpulih tidak boleh dijalankan serta-merta. Perlu satu tim juruteknik untuk melakukannya. Juti, berserta Bakri, juruteknik pelabuhan yang turut tunggusedia tidak boleh membuat kerja-kerja baikpulih berdua kerana kerja itu jatuh kepada kategori kerja berat.

Juti telah mencadang kepada Bakri supaya menunda RTG 04 dengan RTG 02 yang bekerja sebelah-menyebelah dan memakirnya di blok kosong yang tiada kontena. Tim penyelenggaraan Dermaga Sanubari akan memeriksa dengan terperinci punca kerosakan sistem gantri Nombor 01 RTG 04 dan akan menunjukkan punca kerosakan kepada ketua Bakri yang bernama Suhaili, seorang Penyelia Teknikal, untuk mendapat izin sebelum boleh meneruskan kerja-kerja baikpulih.

Sebaik habis bicara dengan Rahayu sampai tengah malam, meminta agar dia mempertimbangkan semula keputusannya memutuskan pertunangan mereka yang sampai merobek-robek hatinya, Juti pula panggil seraya memberitahu kren rosak. Selesai melayan masalah hati, kena hadap pula masalah kerja.

‘Ah, siapkanlah dulu kerja yang ini sampai sempurna. Nanti baru fikir bagaimana nak sembuhkan hati yang telah luka ini,’ bisik hati Manaf.

*****

Manaf telah mengagih-agihkan tugasan kepada orang-orang bawahannya. Matnor mengetuai kerja-kerja baikpulih sistem gantri yang rosak, dibantu oleh Mawi dan Harry. Iskandar pula disuruh tunggusedia radio untuk menyokong operasi tiga buah kren RTG yang sedang beroperasi. Juti diberi cuti satu hari supaya cukup rehat dan ada masa menguruskan hal keluarga sebab dia sudah ambil giliran tunggusedia sebelah malam.

Setiap awal pagi, Suhaili akan memanggil semua wakil kontraktor di dalam mesyuarat kotak perkakas yang ringkas di Bengkel Kren Gantri. Segala maklumat yang diterima daripada pihak kontraktor akan dipanjangkannya kepada Penyelia Operasi di dalam Mesyuarat Pagi Antara Jabatan.

Terdapat empat kontraktor Jabatan Teknikal yang bekerja di bawah seliaan Suhaili yang menyelenggara empat jenis peralatan mekanikal pengendali kontena – tiga buah Quay Crane Impsa atau ringkasnya QC (kren bagan), empat buah Rubber Tyred Gantry Crane Hyundai atau ringkasnya RTG Crane (kren gantri bertayar getah atau kren RTG), sebuah Mobile Harbor Crane Gottwald atau ringkasnya MHC (kren dermaga bolehgerak) dan dua buah Container Reachstacker Kalmar (pencapaisusun kontena).

Manaf dan kumpulannya bekerja dengan syarikat kontraktor yang menyelenggara empat buah kren RTG. Aset-aset itu masih dalam tempoh penyelenggaraan waranti dua tahun. Riduan dan kumpulannya menjadi wakil syarikat yang menyelenggara kren bagan Impsa. Dorhat dan kumpulannya menjaga kren Gottwald. Manakala Gerard Yap dan kumpulannya menjaga pencapaisusun Kalmar.

Di dalam mesyuarat kotak perkakas kontraktor, Suhaili memberitahu bahawa Jabatan Teknikal telah didesak oleh Pengurus Besar Operasi agar mempercepatkan kerja-kerja baikpulih RTG 04 kerana operasi kapal Maersk memerlukan tiga buah kren RTG beroperasi sepenuhnya dan sebuah kren RTG tunggusedia. Jika kren RTG tunggusedia yang sebuah itu rosak, Jabatan Operasi khuatir kalau salah sebuah daripada tiga buah kren RTG yang sedang beroperasi penuh tiba-tiba rosak, akan mengakibatkan operasi kontena terpaksa menggunakan dua buah kren RTG dan sebuah kren RTG tunggusedia. Keadaan itu akan melambatkan operasi kapal Maersk dan kapal itu tidak akan sempat mengejar jadual singgah di Pelabuhan Kaohsiong, Taiwan, dalam masa tiga hari.

Untuk operasi kontena “Maersk Orlando” yang singgah di Pelabuhan Tanjung Langsat itu, memerlukan masa maksimum empat hari bagi operasi memunggah keluar 400 kontena dan memuat masuk 380 kontena. Hari itu ialah hari ketiga. Tekanan komersial memaksa pihak pelabuhan menyegerakan kerja-kerja baikpulih asetnya yang pincang untuk mengelakkan pelanggan mereka tersadai lama di pelabuhan mereka. Di pelabuhan-pelabuhan lain, jika berlaku kelewatan operasi pada pihak pelabuhan, operator pelabuhan kena bayar penalti kepada pelanggan mereka untuk setiap hari yang terlewat, atau pelanggan tidak perlu bayar apa-apa cas sepanjang kapal mereka tersadai hingga lajak di luar jadual dengan kos operasi ditanggung oleh pihak operator pelabuhan.

Dorhat memaklumkan bahawa krennya boleh dikerah untuk operasi “Maersk Orlando” jika perlu. Namun, menurut Suhaili, Jabatan Operasi telah menentukan yang kren Gottwald kena tunggusedia untuk operasi kontena sebuah kapal Johan Shipping, iaitu “Johan III”, yang akan tiba pada tengah hari nanti. “Johan III” akan memuat keluar 35 kontena dan memuat masuk 48 kontena. Kren Gottwald akan disokong oleh dua buah pencapaisusun Kalmar.

Jika kren Gottwald selesai kerja awal, barulah Jabatan Operasi akan mempertimbangkan untuk mengerah kren itu membantu operasi “Maersk Orlando”, bergantung kepada ketiadaan notis kapal singgah yang diterima oleh Jabatan Komersial. Kalau Jabatan Komersial ada terima notis kapal singgah, kren Gottwald akan tunggusedia untuk kapal itu.

Dorhat dan Gerard Yap akur dengan makluman yang disampaikan oleh Suhaili.

Manaf memberi perakuan yang kumpulannya akan berusaha mempercepatkan kerja-kerja baikpulih RTG 04 dengan menekankan bahawa mereka akan mematuhi segala langkah-langkah keselamatan bekerja di dalam kawasan pelabuhan dan akan mengikut prosedur baikpulih yang digariskan di dalam manual prinsipal. Manaf juga memberitahu, jika mereka memerlukan alatganti yang hanya boleh diambil dari Gudang Kren Gantri, dia akan memaklumkan Suhaili dan akan berhubung dengan pihak penjaga gudang itu untuk mengeluarkan alatganti yang diperlukan.

Riduan akan menghantar juruteknik-jurutekniknya tunggusedia di dalam Bilik Kawalan Elektrikal setiap kren Impsa supaya ada orang yang boleh mengulangtetap sistem elektrik dari bilik itu kalau berlaku pincangtugas yang perlu diulangtetap dari panel elektrik bilik kawalan.

Sebenarnya, apabila berlaku kerosakan aset-aset pelabuhan, segala tekanan komersial ditanggung seluruhnya oleh pihak kontraktor. Manaf dan wakil-wakil kontraktor lain sedia maklum bahawa mereka mesti berhempas pulas untuk mempercepatkan kerja-kerja baikpulih seberapa segera dengan mengerah segala sumber yang mereka ada, selagi mengikut prosedur kerja yang betul dan tidak menyimpang daripada garis panduan kerja-kerja baikpulih seperti yang terdapat di dalam manual pihak prinsipal atau pihak yang membuat komponen aset-aset pelabuhan itu.

Dia dan wakil-wakil kontraktor lain bersepakat tidak akan bertolak-ansur untuk melonggarkan peraturan keselamatan kerja-kerja pelabuhan dan tidak akan membuat kerja baikpulih di luar skop kerja penyelenggaraan yang tidak termaktub di dalam manual untuk menjaga keselamatan pekerja-pekerja mereka dan menjaga hayat aset-aset pelabuhan jagaan mereka.

*****

Kren RTG ialah sebuah jentera kendalian manusia, biasanya ditempatkan di terminal kontena pelabuhan-pelabuhan utama. Bentuknya seperti gerbang berkembar yang memiliki dua struktur gantri, dengan punca elektrik tempatan dijana oleh enjin diesel dan pergerakan fungsi-fungsinya dipacu oleh pemacu-pemacu sama ada jenis arus terus atau arus ulang-alik, bergantung kepada rekabentuk yang diinginkan oleh pelanggan atau yang disyorkan oleh pembuat. Pergerakan fungsinya dikawal oleh seorang pengendali atau operator dari dalam sebuah kabin operator yang tergantung di bawah bahagian himpunan troli supaya mudah memerhatikan keadaan kontena yang diangkat menggunakan penebar.

Biasanya terdapat tiga jenis pergerakan fungsi kren RTG – gerak gantri, gerak troli dan gerak angkat. Gantri ialah pergerakan untuk mengalih keseluruhan badan kren dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Gerak troli ialah pergerakan untuk mengalih kabin operator dari hadapan ke belakang yang bertujuan untuk memindahkan kontena dari suatu kedudukan ke kedudukan yang lain. Gerak angkat ialah pergerakan menaik atau menurun kontena yang dicengkam oleh penebar supaya mudah dialih menggunakan gerak troli ke hadapan atau belakang. Kren RTG 04 tidak boleh membuat gerak gantri untuk berpindah ke lokasi lain kerana mengalami pincangtugas tertentu yang perlu disiasat oleh tim penyelenggara diketuai Manaf.

Setelah membukacerai sistem gantri, barulah Matnor nampak keadaan pengganding yang menghubungkan komponen motor dan geligi rantai yang telah barai, manakala syaf motor didapati tidak patah. Sebab itulah Manaf berasa hairan bagaimana syaf gantri boleh patah sedangkan syaf itu pendek dan tebal, tidak seperti syaf motor sistem troli yang panjang dan berpengganding getah komposit yang sesuai dengan gerakan bergolek sistem troli.

Syaf motor sistem gantri direkabentuk dengan pendek dan tebal, sesuai dengan gerakan sistem gantri yang menarik rantai untuk membolehkan tayar berputar di atas trek dan membawa keseluruhan badan kren RTG ke tempat yang dituju oleh Operator Kren. Ketika gerakan gantri sedang berlaku, beban badan kren RTG ditanggung oleh sistem gantri. Oleh itu, jika semasa pergerakan gantri terdapat halangan di tengah jalan berupa trek yang berlubang atau ada sebatang kayu merentang trek, dan momentum gerakan gantri tidak berupaya menujah badan kren ke hadapan, akan ada bahagian tertentu dalam sistem gantri yang akan mengalami pincangtugas.

Manaf rasa ada faktor luaran yang menjadi punca kegagalan gerakan gantri, bukan faktor dalaman seperti material pengganding yang telah pecah kerana pengganding itu dibuat daripada acuan besi mengikut piawai kegunaan industri berat.

Manaf sedang memeriksa lokasi kren RTG 04 beroperasi semalam. Tiada trek yang berlekuk. Dia ternampak sebatang kayu berukuran dua meter panjang dan berdiameter lima inci yang terbaring kira-kira dua meter dari lokasi kren RTG 04 terhenti akibat kerosakan gantri. Dia mengambil kayu itu dan melihat kesan gelekan tayar gantri di atas badan kayu.

Dia yakin bahawa kayu itu telah tersadai merentang trek dan digolek oleh tayar RTG 04. Setelah menggolek kayu itu, seluruh badan kren seolah-olah telah terhempas, bergegar dan tidak boleh meneruskan gerakan gantri. Kayu itu pula terpelanting keluar trek.

Manaf teringat bahawa pada petang semalam ada operasi memindahkan kayu beruti di kawasan berdekatan RTG 04 beroperasi menggunakan foklif. Mungkin salah satu kayu telah jatuh ke atas trek kren RTG dan tidak disedari oleh Operator dan Penyelia Foklif. Manaf akan masukkan penemuan itu di dalam laporannya. Dia tidak akan menyebut perihal kecuaian petugas-petugas pelabuhan. Biar Pengurus Teknikal Pelabuhan yang membuat rumusan sendiri berdasarkan laporan yang akan dimajukannya.

“RTG 04, Maintenance. Manaf Dermaga, masuk!” tiba-tiba Matnor memanggilnya melalui radio perhubungan saluran 4.

“Manaf Dermaga, masuk, Matnor. Teruskan!” balas Manaf.

“Manaf, coupling bahagian female yang kita panaskan dah kembang. Coupling bahagian male yang baru, yang kita ambil dari gudang, kita dapat masukkan ke dalam bahagian female. Sambungannya betul-betul ikut yang asal. Aku dah enable litar brek gantri. Brek gantri tak ada yang rosak. Dalam monitor, sistem gantri dah tukar warna daripada merah kepada hijau. Isyarat ‘FAULT’ masih belum hilang. Bila aku buka drawing litar PLC, ada satu suis yang kita kena toggle untuk pulihkan semula litar PLC kepada asal. Untuk toggle litar PLC tu, kena masukkan password tahap tiga. Hanya manager yang boleh simpan password tu. Kau ada password tu?”

Matnor melapor dengan ringkas. PLC yang dimaksudkan Matnor ialah Programmable Logic Controller atau pengawalatur logik bolehprogram. Matnor telah berjaya memperbolehkan litar PLC untuk brek gantri.

Manaf faham bahawa Matnor telah ikut semua prosedur yang dia telah gariskan semasa mesyuarat kotak perkakas pagi tadi.

“Aku akan pergi ke RTG 04 sekarang,” balas Manaf tanpa menyebut kata laluan yang diminta oleh Matnor kerana enggan mendedahkannya di dalam saluran radio terbuka pelabuhan. Kata laluan itu adalah rahsia dagang yang tidak boleh dikongsi dengan pengguna akhir, iaitu pihak pelabuhan, selagi tempoh waranti belum tamat.

Bila tiba di RTG 04, sistem gantri Nombor 01 telah siap dihimpunpasang oleh tim selenggaranya dan keseluruhan sistem kren sedia untuk diuji. Manaf terus naik ke Bilik Elektrikal RTG 04. Matnor dan Mawi sedang menunggu di hadapan panel kawalan. Harry telah bersedia di dalam Kabin Operator yang tergantung pada sistem troli, menunggu arahan untuk menggerakkan kren.

Manaf menerangkan kepada Matnor dan Mawi cara-cara untuk nyahkekang litar PLC sistem gantri menggunakan kata laluan Tahap Tiga. Selama itu, dia hanya membenarkan kumpulannya memintas sistem kren menggunakan kata laluan Tahap Empat. Manakala kata laluan Tahap Dua disimpan oleh wakil servis pemasang kren yang berpejabat di Kuala Lumpur dan kata laluan Tahap Satu disimpan oleh ibu pejabat syarikat pemasang kren itu di Korea.

Matnor dan Mawi menekuni penerangan Manaf. Apabila Manaf menyuruh Matnor cuba melaksanakan apa yang diterangkannya, tiba-tiba isyarat ‘FAULT’ hilang dan isyarat ‘OK’ muncul. Satu baris ayat berbunyi ‘Gantry System 01 returns to original normal condition’ muncul di kolum notis senarai pincangtugas terkini. Notis itu bermaksud bahawa Sistem Gantri Nombor 01 telah kembali kepada keadaan bekerja biasa yang asal.

Harry yang duduk di Kabin Operator memanggil Matnor menggunakan interkom.

“Matnor, lampu panel gantri semua menyala. Lampu suis ‘ON’ dah tak berkelip lagi,” kata Harry.

“Harry, kau boleh gantri sekarang,” kata Matnor.

Serentak dengan itu, siren gantri melaung, motor gantri berpusing, rantai gantri ditarik oleh geligi tayar dan tayar gantri berputar. Seluruh badan kren bergerak ke arah darat sejauh 10 meter dengan kelajuan rendah. Wajah kusut ahli-ahli tim selenggara berubah ceria.

“Laju sikit lagi, Harry,” arah Matnor.

Gantri bergerak dengan kelajuan sederhana sejauh 10 meter lagi.

“Okay, full speed sampai hujung sebelah darat!”

Harry terus menolak tuas kawalan ke kedudukan kelajuan penuh menyebabkan seluruh badan kren RTG 04 bergerak dengan kelajuan tinggi ke arah darat blok selenggara sambil tangan kirinya memainkan suis sistem auto gantri supaya kren kekal bergerak di atas trek tidak terbabas keluar landasan.

*****

Hidup ini umpama gerak gantri. Ada kala lancar, tidak akan lancar selama-lamanya. Ada kala sangkut, tidak akan sangkut memanjang. Jika operasi gerak gantri tersangkut disebabkan oleh pincangtugas, kita boleh ulangtetap dengan menekan butang ulangtetap hingga keseluruhan sistem menjadi normal semula. Jika ada pincangtugas yang bila ditekan butang ulangtetap berkali-kali dan sistem tidak menjadi normal, bermaksud ada kerosakan yang perlu dibaiki. Tidak kira kerosakan itu kecil atau besar, pasti ada kaedah dan cara untuk memulihkan keadaan rosak kepada keadaan baik.

Pertunangan adalah sebahagian daripada proses hidup. Ia adalah proses untuk mengenal hati budi pasangan masing-masing. Semakin seseorang itu berusaha untuk mengenal hati budi pasangannya, akan semakin mendalamlah rasa sayang kepada bakal pasangan hidupnya itu. Jika semakin seseorang itu berusaha mengenal hati budi pasangannya, dan didapati dia semakin tidak mengenali pasangannya, lebih baik tidak meneruskan pertunangan dan jangan berkahwin dengannya.

Memanglah pertunangan yang diakhiri dengan pernikahan, bermaksud urusan perkahwinan itu telah sempurna. Manakala jika pertunangan yang putus di tengah jalan dan tidak diakhiri dengan sebuah perkahwinan, bukan bermaksud pertunangan itu telah gagal.

Pasangan itu mungkin tidak serasi untuk hidup bersama dan jika diteruskan juga dengan perkahwinan, dikhuatiri rumahtangga akan hambar, porak-peranda dan akhirnya bercerai jua kerana tidak mengenali diri pasangan hidup masing-masing luar dan dalam. Pasangan hidup sejati ialah pasangan hidup yang serasi, tiada misteri diri sendiri yang disembunyikan daripada pasangannya, boleh berlapang dada dan sering bersangka baik di atas segala urusan hidup pasangannya.

Kalau suatu pertunangan itu tidak menjadi, tidak perlu berdendam-dendaman sampai ke mahkamah menuntut ganti rugi teladan berjuta-juta ringgit atau sihir-menyihir atau berbunuh-bunuhan kerana itu perbuatan orang angkuh yang hilang akal yang enggan terima qadha dan qadar Allah. Allah hendak memberi pengajaran bahawa bukan semua urusan hidup itu, dikawal sepenuhnya oleh kita.

Bahkan kalau sesuatu rezeki yang sudah berada di dalam mulut kita yang telah dikunyah sempurna dan sedia untuk ditelan, jika itu bukan rezeki kita, Allah akan membatukkan atau mentersedakkan kita sehingga makanan itu terhambur keluar dan tidak masuk ke dalam perut untuk mengenyangkan kita. Mungkin Allah hendak menyelamatkan kita kerana di dalam makanan itu ada racun yang membahayakan kesihatan kita atau ada unsur tidak berkat yang Dia tidak ingin unsur itu menjadi darah daging kita.

Apabila suatu pertunangan itu tidak menjadi, bermakna Allah hendak menguji tahap iman seseorang, hendak melihat reaksinya, apa yang akan dilakukannya dan apa yang diharapkannya. Itu juga bermakna bahawa ada seseorang yang lebih baik yang Allah simpan di sebalik hijab jodoh yang memang telah ditaqdirkan untuk dirinya, yang dia sendiri tidak tahu siapakah jodoh dia yang sebenar dan bilakah hijab jodoh itu akan disingkap untuk ditatap dan dimiliki olehnya.

Apabila difikirkan dengan mendalam, Manaf mendapati bahawa pertunangannya dengan Rahayu tidak boleh diselamatkan lagi. Sesungguhnya, Rahayulah yang ingin memutuskan pertunangan mereka. Manaf sangka mungkin disebabkan oleh sikap dirinya sendiri yang lebih percaya kepada konsep cinta bisu sepanjang pertunangan. Dia jarang berhubung dengan Rahayu melalui telefon untuk berbicara soal cinta, hati dan perasaan. Sebaliknya hanya mengirim madah-madah cinta melalui khidmat pesanan ringkas atau e-mel. Manakala Rahayu pula suka kalau Manaf selalu menelefonnya untuk melepaskan rindu mendengar suara lelakinya sambil saling bertukar isi hati supaya dia yakin bahawa lelaki yang bakal ditaatinya sebagai seorang suami adalah sebaik-baik lelaki impiannya.

Rahayu seorang gadis yang mudah merajuk dan suka kalau dipujuk rayu, walhal Manaf pula seorang jejaka yang tetap pendirian dan tidak berapa suka memujuk rayu seorang wanita yang bukan isterinya kerana dia rasa itu perbuatan yang sia-sia. Lainlah kalau sudah bernikah. Oleh kerana mereka berdua jarang berbicara secara bersemuka (dia bekerja di Johor, sedangkan Rahayu mengajar di Perlis), menyebabkan wujud sisi misteri yang tidak diketahui oleh diri pasangan masing-masing. Manaf rasa hubungan cinta jarak jauhlah menjadi punca Rahayu ingin putus tunang, sedangkan dia ingin pegang kukuh tali pertunangan mereka. Apakah Rahayu tewas kepada pujuk rayu salah seorang lelaki yang dekat di sekelilingnya tempat dia mengajar?

Pertunangan itu diatur oleh ibu bapa mereka yang turut berasa kecewa di atas keputusan Rahayu. Ibu bapa Rahayu akur dengan kehendak anak mereka dan berharap agar Manaf memaafkan Rahayu. Manaf telah memaafkan Rahayu di dalam perbualan mereka semalam.

Allah mencipta hati Manaf. Dia juga mencipta hati Rahayu. Allah boleh membolak-balikkan hati Manaf. Dia juga boleh membolak-balikkan hati Rahayu. Manaf ingin berpegang kukuh kepada hubungan pertunangan mereka. Manakala Rahayu pula ingin melepaskan diri daripada hubungan itu, supaya dia boleh bebas menentukan dengan siapa yang ingin dikahwininya. Manaf berusaha untuk berlapang dada dan menyingkir buruk sangka di atas keputusan Rahayu.

Sebelum tidur, Manaf meneruskan kelaziman membaca Surah Al-Waqi’ah pada setiap malam. Orang-orang yang beramal dengan surah itu, insya Allah tidak akan papa kedana dan akan dicukupkan rezeki sepanjang hayat di dunia. Urusan jodoh termasuk di dalam perkara rezeki kurniaan Allah. Manaf berdoa, semoga Allah mendatangkan pengganti yang lebih baik daripada Rahayu. Semoga hidupnya yang pincangtugas sekejap boleh diulangtetap supaya kembali normal. Amin.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2012


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di Bintulu menyelenggara aset-aset mudah alih pengendali kontena. Saya dedikasikan cerpen ini kepada rakan-rakan yang pernah bekerja di dalam tim penyelenggaraan saya. Segala kebaikan dan jasa mereka amat saya hargai, semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan.
  2. Saya pernah hantar teks ini untuk menyertai Sayembara Menulis Cerpen Negeri Johor 2012 anjuran DBP Wilayah Selatan, namun tidak menang sebarang hadiah. Kemudian saya memuatnaik di laman web www.eSastera.com versi lama tetapi laman web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting. E-Sastera telah mencipta laman web versi baru, tetapi saya belum menghantar sebarang cerpen baru saya ke sana walaupun sudah lebih dua tahun saya membuka akaun untuk berkarya di situ. E-Sastera kini sudah buka laman Facebook Bahagian Cerpen. Saya juga belum memuatnaik sebarang karya baru saya di situ.
  3. Kredit akaun Youtube 'Md Jaeez' untuk klip lagu "Ranap" oleh Amuk. Baru anda boleh rasa apa yang Manaf rasa bila tunangnya minta batalkan pertunangan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan