Di
tingkat kelima sebuah pangsapuri sembilan tingkat yang terletak di kawasan
perumahan untuk warga veteran, seorang datuk dan seorang cucu sedang menonton
sebuah rancangan televisyen di ruang rehat sebuah kediaman milik seorang
jeneral bersara. Mereka sedang menonton sebuah rancangan dokumentari tentang
sejarah Istana Malackanank, kediaman rasmi Maharaja Zagarkash, pemerintah
Lazon, yang terletak di sempadan barat daya negara mereka, Malayasa. Kaca
televisyen sedang memaparkan tiang-tiang seri istana itu yang menjadi pasak
utama strukturnya.
“Wah! Datuk,
cantiknya tiang istana itu, ya?” Sofoyan yang baru mencecah usia lapan tahun
bersuara penuh kagum.
Borhon yang
sedang duduk di kerusi rehat tersenyum mendengar pujian cucunya. Cucu sulung
daripada anak perempuannya itu gemar menemaninya pada setiap hujung minggu.
Semenjak neneknya meninggal dunia setahun lalu, Sofoyanlah yang mengisi
kekosongan hidup datuknya.
Borhon turut
menikmati keindahan Istana Malackanank di atas layar perak. Dengan serta-merta
dia terkenang peristiwa tiga dekad lalu yang berlaku di dalam istana tersebut
yang membabitkan dirinya secara langsung. Sehingga kini, tiada seorang pun
warga Malaysa yang mengetahui peristiwa itu kecuali beberapa individu yang
sekarang menunggu giliran untuk bertemu ajal. Generasi baru hanya mengerti
bahawa Malayasa wujud sebagaimana kewujudannya sekarang yang terdiri daripada
sembilan buah negeri. Mereka tidak tahu bahawa negeri yang kesembilan menyertai
Republik Persekutuan Malayasa Raya dengan menebus nyawa beberapa orang perwira
negara yang cekal dan setia.
Mengenangkan
teman-teman seperjuangan, Borhon bertafakur menghening cipta dan berdoa semoga
Tuhan menempatkan mereka di dalam golongan hambaNya yang taat yang pernah hidup
sebagai pejuang yang setia.
“Sofoyan,”
Borhon memanggil cucunya.
“Ya, datuk,”
sahut Sofoyan.
“Mahukah kau
mendengar cerita tentang Malackanank yang lebih menarik daripada cerita dalam
televisyen itu?”
Sofoyan yang
sedang duduk di lantai segera menoleh kepada datuknya.
“Cerita tentang
apa, datuk?” Tanya Sofoyan pula yang mula tertarik dengan kata-kata datuknya.
Sofoyan sangat suka mendengar datuknya bercerita tentang pengalamannnya semasa
muda-muda dahulu. Sebab itu dia rajin mengunjungi datuknya pada hari sekolah
ditutup.
“Tutup
televisyen dan mari duduk dekat dengan datuk.”
Sofoyan menurut
arahan Borhon dan duduk di sisi datuknya.
*****
Malayasa
memperolehi kemerdekaan daripada penjajah Bartan melalui jalan perundingan
kira-kira lima dekad yang lalu. Pemerintah Bartan pada ketika itu, Ratu
Miriyam, berkenan melepaskan Malayasa kepada peribuminya sendiri kerana suasana
selepas zaman perang yang melanda seluruh dunia telah membuatkan empayarnya
hampir muflis. Baginda ingin menumpukan perhatian untuk memulihkan negaranya
dan mula mempertimbangkan untuk melepaskan jajahan takluk supaya kos pengurusan
pemerintahan dapat dijimatkan. Ratu Bartan berpendapat bahawa memerdekakan
Malayasa yang telah dijajah selama dua abad merupakan satu langkah yang akan
memberikan pulangan yang baik kepada empayarnya pada masa yang akan datang.
Jika diperintah dan ditadbir oleh pemimpin yang baik, Malayasa akan maju dan
makmur. Mungkin Malayasa akan menjalin hubungan dagang dengan Empayar Bartan.
Melalui perdagangan dua hala di antara dua buah kuasa itu, baginda yakin bahawa
Bartan akan memperolehi faedahnya.
Republik
Malayasa yang diperintah oleh seorang Presiden, merdeka dengan lapan buah
negeri. Pusat pemerintahannya terletak di Kota Raya Andaram yang menempatkan
Istana Presiden. Lima
belas tahun selepas merdeka, wilayah yang berjiran dengan sempadan barat daya
Malayasa mula bergolak.
Wilayah Borno
yang ditadbir oleh Empayar Bartan telah dituntut oleh negara kepulauan Lazon
untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Lazon baru sahaja
merdeka setelah menghalau penjajah Espana dengan buluh runcing dan panah
berapi. Pemerintah Lazon yang pertama selepas merdeka, Maharaja Ramon, telah
menuntut agar Empayar Bartan memulangkan Borno kepada negaranya atau baginda
akan menghalakan muncung meriam ke arah selatan untuk memerangi Bartan pula.
Maharaja Ramon berpendapat bahawa telah tiba masanya Bartan menamatkan pajakan
ke atas Borno selama seratus tahun.
Perjanjian
pemajakan yang telah dimeterai di antara nenek moyang baginda dengan Empayar Bartan
sebelum penaklukan Empayar Espana ke atas negara kepulauannya, menyebabkan
Borno telah terlepas daripada Lazon. Maharaja Ramon mengutuk tindakan nenek
moyangnya yang telah melepaskan Borno ke tangan orang asing. Moyangnya, Putera
Solmon, berhati kecil, mudah mengalah kepada pujuk rayu dan rela diperdaya
dengan tipu helah Empayar Bartan yang menginginkan Borno, sebuah wilayah yang
kaya dengan sumber alam. Tidak lama kemudian, Empayar Espana pula menakluk
Lazon dan Putera Solmon diturunkan takhta secara paksa oleh pemerintah Espana
pada ketika itu yang bernama Wizurai Setabian. Hampir satu kurun Lazon dijajah
dan peribumi kehilangan hak untuk menentukan pemerintahan sendiri.
Salah seorang
keturunan Putera Solmon yang bernama Ramon, berazam untuk mengambil semula
Lazon daripada Espana. Dia bersumpah akan memimpin seluruh rakyat Lazon
berjuang mengusir penakluk. Usahanya berhasil dan Lazon berjaya mendapatkan
kebebasannya semula setelah mengorbankan ribuan jiwa. Tumpuan yang seterusnya
ialah untuk mendapatkan balik Borno daripada tangan Bartan. Temoh pemajakan
Borno hampir tamat. Empayar Bartan pula tidak berminat untuk melayan tuntutan
Maharaja Ramon selagi baginda tidak menunjukkan bukti bahawa Bartan pernah
mengadakan perjanjian pemajakan Borno dengan Lazon. Maharaja Ramon mendakwa
bahawa dokumen perjanjian tersebut berada di dalam simpanannya. Baginda berazam
akan melaksanakan penamatan perjanjian pemajakan Bartan ke atas Lazon.
Pemerintah
Malayasa yang kedua, Presiden Zunid, berasa bahawa Lazon tidak akan berjaya di
dalam tuntutannya ke atas Borno. Empayar Bartan tidak akan melepaskan Borno
dengan mudah kepada Lazon. Kedudukan Borno sangat strategik di tengah-tengah
jalan perdagangan antarabangsa – laut dan udara. Lokasi Borno sangat sensitif
dan sentiasa menjadi idaman empayar dan kuasa besar. Sebab itu, Presiden Zunid
telah merangka satu rancangan yang akibatnya akan mengubah senario politik di
rantau tenggara benua timur itu.
*****
Lapan bulan
kemudian.
Di Pejabat
Presiden Malayasa, Presiden Zunid ditemani oleh Komodor Sorofan, Pengarah Unit
Khas Angkatan Tentera Malayasa (Unkas ATM) yang juga merupakan Ketua Jabatan
Perisikan Malayasa. Presiden Zunid sedang duduk di kerusinya. Di hadapan beliau
ialah sebuah meja kayu yang permukaannya dilapik dengan sekeping kaca lutsinar.
Di bawah kaca itu ialah peta rantau tenggara benua timur yang menempatkan
Malayasa dan negara-negara jiran. Komodor Sorofan duduk di kerusi bersebelahan
meja kerja presiden sambil menghadap tiga orang perajurit terpilih yang sedang
berdiri tegak di tengah ruang pejabat menanti arahan.
“Senang diri,
Takiya, Changto dan Borhon. Duduklah. Ambil kerusi masing-masing.” Presiden
Zunid mempelawa Penjurit Takiya, Bintara (U) Changto dan Laskar (L) Borhon
duduk di atas tiga buah kerusi yang sedia tersusun di hadapan meja presiden.
Mereka duduk di kerusi masing-masing dan menunggu arahan seterusnya. Kemudian
Presiden Zunid terus menceritakan tujuan mereka bertiga dipanggil menghadapnya.
Pergolakan di
sebelah utara Malayasa, jika dibiarkan berlarutan, akan memberi kesan buruk
kepada rantau tenggara benua timur. Punca pergolakan ialah tempoh pemajakan
Bartan ke atas Borno yang hampir tamat dan tuntutan Lazon agar Bartan
memulangkan Borno kepadanya. Jika Bartan enggan, Lazon akan menyerang Borno dan
mengusir Bartan dari wilayah yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi
miliknya.
Baginda Ratu
Miriyam tidak bercadang hendak memulangkan Borno kepada Maharaja Ramon. Kuasa
besar seperti Empayar Bartan tidak gentar sedikit pun untuk berhadapan dengan
kuasa baru seperti Lazon. Baginda ratu boleh memerintahkan seluruh armada
timurnya mengepung Lazon dan mempertahankan Borno. Ratu Miriyam berasa sayang
hendak mengembalikan Borno kepada Lazon kerana Borno memberikan hasil ekonomi
yang cukup tinggi dan mampu menampung operasi empayarnya di sebelah timur dunia.
Tambahan lagi, Borno mempunyai nilai sentimental di sisinya. Di situlah dia
lahir, dibesarkan, bertemu jodoh, menjalin hubungan erat dengan rakyat
peribumi, dan tempat bersemadi jenazah suami baginda yang tercinta, mendiang
Putera Aduardi.
Ratu Miriyam tidak
ingin kehilangan Borno.
Ratu Miriyam ada
menyimpan dokumen perjanjian pemajakan Borno di dalam istananya. Akan tetapi,
kini, dokumen yang berada di dalam simpanannya telah digantikan dengan dokumen
yang palsu. Dokumen asal telah diambil oleh perisik Malayasa untuk disimpan di
Istana Kota Raya Andaram.
Apabila
menyedari bahawa baginda menyimpan dokumen palsu, baginda telah hilang
keinginan untuk memikirkan soal pemajakan Borno. Sebaliknya, baginda bercadang
untuk terus menduduki Borno buat selama-lamanya. Pegawai-pegawai kerajaan
Bartan pula berasa hairan di atas kehilangan dokumen perjanjian yang asal.
Sebuah suruhanjaya rahsia diraja telah dibentuk untuk menyiasat misteri
kehilangan harta baginda ratu itu. Perisik-perisik Empayar Bartan di seluruh dunia
telah dikerah untuk mendapatkan kembali harta empayar yang hilang itu.
“Sewaktu anda
semua sedang menjalani latihan khas di bawah seliaan Komodor Sorofan,
sahabat-sahabat anda sedang bekerja mendapatkan harta istana Ratu Miriyam. Anda
sedia maklum bahawa amat sukar untuk menembusi parameter pertahanan dan
perisikan Empayar Bartan. Tetapi seorang sahabat anda telah pulang untuk
memberikan harta itu kepada saya. Kita sedang memegang insurans yang akan
menjamin penyatuan Borno ke dalam Malayasa. Malangnya, insurans yang kita
pegang belum lengkap. Jadi, anda bertiga telah dipilih khusus untuk
melengkapkan insurans kerajaan Malayasa. Pada kali ini, sasaran anda bukan
istana baginda Ratu Miriyam. Sasaran anda ialah Istana Malackanank yang didiami
oleh Maharaja Ramon, pemerintah Lazon sekarang.”
Presiden Zunid
memandang tepat-tepat satu demi satu wajah perajurit terpilih di hadapannya.
Wajah Penjurit Takiya serius. Bintara Changto diam terpaku. Laskar Borhon
membalas renungan presidennya. Jiwa patriot tiba-tiba membara.
“Bawakan harta
Istana Malackanank ke Malayasa dan berikan kepada Presiden anda di dalam bilik
ini.”
*****
Penjurit Takiya,
seorang pegawai Pagras (Pasukan Gerak Khas), yang mengetuai Platun Malackanank,
memasuki Lazon melalui jalan udara sebagai seorang ahli perniagaan yang
mempunyai urus niaga dengan sebuah firma perisian komputer di kota metropolitan
Davao Baru, sebuah kota yang terletak di Pulau Seboo, pulau terbesar di negara
kepulauan Lazon yang turut menempatkan ibu kotanya, Malackanank Raya.
Dia akan
bertolak dari hotel penginapannya pada keesokan hari dengan menyewa sebuah
kereta dan menuju ke Malackanank Raya melalui lebuh raya baru. Di Malackanank
Raya, dia akan menyewa sebuah motel tepi pantai di Teluk Bayano dan menanti
ketibaan seorang anak buahnya.
Bagi Bintara (U)
Changto, seorang anggota Pahndura (Pasukan Handalan Udara), dia akan
diterbangkan ke sempadan barat Vannam, sebuah negara jiran yang bersempadan di
timur Lazon. Dia akan digugurkan dengan payung terjun dan dijangka mendarat di
pantai selatan Tanjung Maikonk yang menempatkan Chiusan, sebuah kota pelabuhan utama di
selatan negara Vannam.
Dari situ,
setelah menghapuskan jejaknya, dia akan menyamar sebagai orang tempatan yang
ingin ke Pulau Seboo dengan menaiki feri untuk mencari kerja di Lazon. Seorang
agen Malayasa yang menyamar sebagai agen pekerja asing Vannam akan menguruskan
kemasukan Changto ke Lazon.
Setelah tiba di
Kota Magalag, kota pelabuhan Pulau Seboo, dia akan disambut oleh seorang lagi
agen Malayasa yang menyamar sebagai agen pekerja asing Lazon. Identitinya
diubah. Dari Magalag, dia akan dilepaskan ke Malackanank Raya bersendirian
dengan menyamar sebagai seorang pengembara bermotorsikal kuasa besar yang ingin
menghabiskan cuti tahunan di tepi pantai Malackanank Raya. Dia akan mencari
motel tempat penginapan Takiya.
Manakala Laskar
(L) Borhon, seorang anggota Paskhal (Pasukan Khas Laut), akan mengikut armada
nelayan laut dalam Malayasa yang ingin menangkap ikan di Laut Kalayan yang
terletak di utara Malayasa. Di tengah-tengah Laut Kalayan, dia akan dilepaskan
seorang diri mengharung arus kuat dan angin kencang dengan menaiki bot getah
berkuasa kuda rendah pada waktu malam tidak berbulan menghala ke timur, ke
Pulau Seboo.
Borhon
dikehendaki menceroboh perairan Pulau Seboo dan perlu berusaha mengelakkan
pertembungan dengan kapal ronda Tentera Laut Maharaja Lazon. Seratus kabel dari
Tanjung Burunon, dia akan mengenakan pakaian penyelam tempur dan menenggelamkan
bot getah ke dasar Teluk Bayano. Sebelum fajar terbit, dia perlu memastikan
yang dirinya selamat mendarat di pantai berbatu-batan yang terletak kira-kira
dua puluh batu dari Istana Malackanank.
Dari situ, dia
akan menghilangkan jejaknya dan berjalan kaki menyusur sepanjang pantai Teluk
Bayano untuk tiba di kaki cenuram batu setinggi kira-kira 670 ela yang
kemuncaknya menempatkan Istana Malackanank. Kemudian dia akan mendaki tebing
itu untuk menyembunyikan diri di dalam salah sebuah gua semula jadi setinggi
kira-kira 450 ela.
Setelah berada
di dalam gua, isyarat akan dihantar kepada Takiya dan Changto untuk memaklumkan
bahawa ‘camar telah tiba di sarang’.
Apabila mendapat
isyarat Borhon, Takiya dan Changto akan meninggalkan motel mereka. Takiya akan
memasuki Istana Malackanank sebagai pelancong biasa berserta
pelancong-pelancong lain yang ingin melawat istana maharaja itu.
Changto akan
mendaki Bukit Tudro dan mengawasi parameter istana dari sebuah tebing batu. Dia
akan menembusi parameter istana pada detik yang sesuai dan ‘menggantikan’ salah
seorang pengawal istana. Tugasnya ialah memasuki Dewan Khazanah untuk mengambil
dokumen yang dihajatkan oleh Presiden Malayasa dari sebuah peti kebal.
Pada hari
pencerobohan, kakitangan istana akan sibuk melayan beberapa rombongan pelancong
tempatan dan asing. Takiya akan menyelinap ke dalam salah satu rombongan
pelancong itu dan menghilangkan diri di dalam salah sebuah dewan. Dia akan
menyembunyikan diri di dalam sistem perparitan di bawah istana. Pada detik yang
sesuai, dia akan menentukan yang dirinya berada di sebuah pintu rahsia berupa
sebuah lubang yang ditutup dengan sekeping konkrit longgar berhampiran Dewan
Masakan.
Jika berjaya,
pintu itu akan dibuka oleh Changto. Mereka akan melarikan diri melalui sistem
pembentungan di bawah istana yang akan tembus ke gua tempat Borhon memberikan
isyarat ketibaan. Borhon sendiri akan menunggu mereka di pintu rahsia yang
menyambungkan kawasan pembentungan dengan gua yang dimasukinya.
Mereka bertiga
akan keluar melalui gua lain yang menghala ke kaki tebing batu itu. Pantai
Teluk Bayano akan ditinggalkan dengan menggunakan sejenis kelengkapan khas yang
dipanggil peluncur aqua.
Peluncur aqua
individu untuk mereka telah ditanam di dalam gua itu oleh agen Malayasa
beberapa minggu sebelum Misi Malackanank diaktifkan. Peluncur aqua akan membawa
mereka meninggalkan perairan Lazon dengan cara menyelam dan meluncur di bawah
permukaan air seperti ikan. Tiada radar atau sonar yang akan berjaya mengesan
mereka kerana pergerakan mereka akan dianggap sebagai pergerakan sekumpulan
ikan jerung putih yang biasa di temui di Laut Kalayan.
Jika berjaya
melepasi sempadan perairan Lazon dan memasuki perairan antarabangsa, mereka
akan ditemui oleh sebuah kapal serang laju Tentera Laut Republik Malayasa yang
disamarkan sebagai sebuah kapal nelayan di suatu titik koordinat yang telah
ditentukan.
Kapal itu akan
kembali segera ke perairan Malayasa. Sebuah helikopter akan mengambil mereka di
laut dan langsung ke Istana Presiden Malayasa.
*****
Begitulah bidak
catur yang telah diatur oleh Komodor Sorofan, Pengarah Unit Khas Angkatan
Tentera Malayasa (Unkas ATM), setelah mendapat restu Presiden Zunid, pemerintah
Republik Malayasa pada ketika itu. Presiden Zunid telah merangka sebuah rencana
agung yang akan mengubah peta sosiopolitik rantau Nusa Tenggara itu demi
kebaikan wilayah muda yang baru mengecap nikmat kemerdekaan sedekad yang lalu.
Komodor Sorofan
telah diamanahkan sendiri oleh Presiden Zunid untuk merealisasikan impian
pembentukan sebuah Persekutuan Malayasa Raya. Namun, dia tidak tahu merancang
sebuah misi. Dia hanya tahu menggubahnya sebagaimana hobinya menggubah hiasan
bonsai. Menggubah bonsai memerlukan fikiran yang kreatif dan jiwa yang
sensitif. Dan deria rasanya sangat sensitif dengan unsur-unsur pengkhianatan.
Penderia
elektronik mereka gagal mengesan sebarang isyarat daripada agen-agen mereka
yang menyediakan motel untuk Platun Malackanank. Medan spektrum elektromagnetik tidak
menghasilkan sebarang denyutan isyarat yang ditunggu-tunggu.
Unit Risik
Hadapan menerima isyarat dari Lazon. Takiya mengirim isyarat ‘camar ingin
meneroka gua’.
Ganjil. Agen
hadapan mereka sepatutnya menghantar isyarat preliminari sebelum Takiya
mengirim khabar itu dan mengesahkan isyarat post-mortem yang menyatakan bahawa
Takiya dan Changto telah berlepas.
Tiba-tiba Unit
Risik Balas mengirim berita yang amat menghiris hatinya. Dua orang agen telah
ditanam oleh agensi perisikan kuasa asing ke dalam unit elitnya dan kini mereka
sedang beroperasi di dalam lingkungan parameter sasaran.
Komodor Sorofan
segera menghadap Presiden Zunid dan meluahkan perasaannya. Presiden Zunid
meminta kesimpulan dan cadangan Komodor Sorofan. Komodor Sorofan menyatakan
cadangannya. Presiden Zunid sukar memberi kata putus. Tidak lama kemudian,
beliau bersetuju dengan cadangan Komodor Sorofan.
*****
Cahaya
bintang-bintang di langit menerangi pemandangan di atas awan.
Sebuah pesawat
pengangkut dua enjin berkelajuan 5 mach milik Tentera Udara Republik Malayasa
meluncur di atas awan malam. Tiba-tiba pintu pesawat terbuka. Seorang perajurit
terus meloncat ke atas awan dan jatuh tenggelam di dalamnya. Pintu pesawat itu
tertutup semula. Pesawat itu membelok dan kembali semula ke dalam ruang udara
Republik Malayasa.
Perajurit yang
meloncat tadi mengenakan kelengkapan peluncur aero kalis kilat. Semasa berada
di dalam awan guruh, dirinya menerima renjatan cas-cas elektrik berkekuatan 100
kA selama beberapa saat sebelum jatuh melepasi awan dan memasuki ruang udara
Lazon yang sedang mengalami hujan ribut petir yang hebat.
Kelengkapan
kalis kilat telah meneutralkan ancaman maut kuasa elektrik semasa dia berada di
dalam awan guruh. Kini dia berhadapan pula dengan titisan hujan lebat dan
taufan kencang yang diselangi bilah-bilah kilat. Dia tidak menghiraukan cabaran
alam semula jadi itu kerana berasa yakin bahawa dirinya selamat di sebalik
peluncur aero kalis kilat.
Destinasinya
hanya satu. Puncak Bukit Tudro yang terletak 5,000 kaki di bawah dan dia perlu
tiba di situ dalam masa kurang dari 15 minit.
*****
Malam
gelap-gelita. Hujan lebat turun diiringi kilat sabung-menyabung di dada
angkasa.
Changto sedang
mengawasi parameter Istana Malackanank. Dia tidak menyedari bahawa satu tangan
bersarung tangan hitam menjalar dari belakang dan mencekup mulutnya. Deria
rasanya bingkas bertindak.
Malangnya, dia
terlambat apabila dua jari dari tangan lain yang juga bersarung tangan hitam
menikam saraf tidur di lehernya. Dia terkulai dengan serta-merta. Tubuhnya
ditarik ke dalam semak, mengelak dari hujan. Tubuh seorang agen lain keluar
dari semak itu menggantikan tempat Changto tadi.
Tidak berapa
lama kemudian, agen itu bangkit dan bergerak menghampiri pagar istana untuk melengkapkan
misi Changto.
*****
Takiya rasa
sudah terlalu lama dia menanti. Dia telah menunggu hampir dua jam semenjak
memasuki pintu sistem perparitan di sebelah utara istana. Parit-parit di
bahagian bawah istana lebih merupakan lorong-lorong sulit yang dibina
sedemikian rupa sebagai jalan pilihan untuk Maharaja Lazon menyelamatkan diri
pada waktu kecemasan. Pada ketika itu, lorong-lorong tersebut akan digunakan
oleh platunnya sebagai jalan untuk melarikan harta Istana Malackanank.
Tiba-tiba pintu
konkrit di atas kepalanya bergerak. Dia mengambil sikap waspada. Sepucuk
revolver digenggam erat di dalam tangannya. Changto? Atau pengawal yang membuat
rondaan sambil melakukan pemeriksaan biasa? Takiya bersembunyi di sebalik
sekatan konkrit di dinding lorong.
Pintu konkrit
terbuka. Sesusuk tubuh menuruni tangga ke dalam terowong itu. Sebelum berjejak
ke lantai, dia menutup semula pintu konkrit menyebabkan ruang di dalam kolong
menjadi gelap-gelita. Tiba-tiba tubuh tersebut menyalakan lampu suluh berkuasa
tinggi di kepalanya. Dia amat yakin bahawa ketibaannya amat dinantikan oleh
seseorang seperti yang telah dirancang.
“Camar memasuki
gua,” kata pemilik tubuh itu.
Sebuah lampu
bernyala dan diikuti jawapan kepada mesej tersebut.
“Camar
dialu-alukan,” kata Takiya. “Changto, mari kita dapatkan Borhon sekarang.”
Takiya segera
bergerak dan diikuti oleh pengganti Changto.
*****
Bau busuk yang
menyengat hidungnya tidak menyebabkan Borhon berasa rimas. Takungan air
kumbahan di dasar kawasan pembentungan tertutup di bawah Istana Malackanank
kelihatan tenang. Dia terus menunggu penuh sabar. Hampir lima jam dia menunggu ahli-ahli platun yang
lain. Sekelilingnya gelap pekat dan busuk melantung.
Menghidupkan
lampu suluh di kepala akan menarik perhatian binatang yang mendiami habitat
tersebut. Dia tidak mahu dihurungi binatang melata. Dia lebih selesa begitu.
Duduk bersandar di muka terowong yang akan membawa mereka ke gua terakhir.
Dari tempat dia
duduk, matanya tetap terpaku kepada pintu terowong yang menyambungkan sistem
perparitan dengan kawasan pembentungan. Walaupun gelap pekat menghalang
penglihatannya daripada mengamati pintu terowong itu, tetapi fikirannya dapat
melihat dengan jelas lakaran seperti yang terlukis di dalam pelan istana yang
pernah mereka kaji. Dua suluhan lampu akan muncul di situ. Dan misi mereka akan
hampir sempurna.
Yang ditunggu
telah tiba. Kedengaran gema derap tapak-tapak kaki berlari. Kelihatan dua
suluhan lampu yang semakin hampir di hadapannya. Kemudian langkah tapak-tapak
kaki itu berhenti. Borhon terdengar suara orang sedang bercakap.
‘Mengapa
berhenti pula? Apa yang sedang berlaku?’ Kata Borhon di dalam hati.
Dia turun dari
pintu terowong dan merangkak di atas titi besi waja yang terentang merentasi
takungan sisa kumbahan. Apabila tiba di hujung sebelah sana titi, dia merangkak perlahan memasuki
muka terowong. Dia memasang telinga baik-baik. Sepucuk revolver digenggam erat
di dalam tangan kiri.
*****
Mereka terus
berlari. Takiya berasa hairan kerana Changto pula yang memimpin jalan.
Bagaimanakah Changto boleh tahu lorong mana yang hendak diikut? Hanya dia
seorang yang dimaklumkan tentang lorong ke tempat sisa kumbahan. Ahli-ahli
platunnya yang lain tidak tahu kerana pada peringkat tersebut, tugas itu adalah
tanggungjawabnya.
“Tunggu!”
Perintah Takiya dari belakang. Muncung revolver dihala kepada tubuh di
hadapannya. Mereka berhenti berlari dan berdiri kaku.
“Kau bukan
Changto. Siapa kau sebenarnya?”
Tubuh itu
berpaling dan membuka topeng.
“Tuan Komodor!”
Seru Takiya dengan rasa terkejut.
“Penjurit
Takiya, sebagai seorang perwira kau berhak meneruskan misi kau, tidak kira
siapa pun yang memberikan arahan. Kau tiada pilihan, perajurit. Kau boleh
habisi aku. Tapi sebelum aku mati, aku menuntut sumpah setiamu kepada Unkas,
aku menuntut hak sebagai rakan seperjuangan, sebagai perwira satu misi.”
“Apa yang Tuan
Komodor cakapkan ni? Jangan bergurau dengan kami, Tuan. Kami sedang berada di
peringkat paling genting. Di mana Changto? Kenapa Tuan berada di sini?” Kata
Takiya.
“Adipenjurit
Barthel, kami berjaya memintas isyarat Unit Risik Balas Espana semasa kau
menginap di motel tepi laut sebelum ketibaan Changto. Changto orang kami dan
dia selamat bersama kami.”
Komodor Sorofan
berdiri tenang menghadap soldadu tersebut.
Penjurit Takiya
@ Adipenjurit Barthel tidak menduga sama sekali bahawa Ketua Unkas sendiri akan
turun padang menangani Misi Malackanank. Malah Komodor Sorofan membicarakan
sesuatu yang menjadi rahsia hanya kepada dirinya. Kini rahsia itu berada di
dalam pengetahuan Komodor Sorofan. Siapakah yang telah membocorkan rahsia
dengan membenarkan isyarat unitnya dipintas dengan mudah oleh Malayasa?
Risik balas
telah dibalas dengan risik balas.
“Tuan Komodor
memang cekap dan handal. Aku berterima kasih kepada Tuan kerana telah melatih
dan membentuk aku sehingga menjadi anggota Unkas yang terbaik. Tapi kesetiaanku
tetap kepada Wizurai Gioskaney. Empayar Espana tidak akan membenarkan Borno
bersatu ke dalam Malayasa. Kalau Lazon telah terlepas dari kami akibat meriam
dan buluh runcing Maharaja Ramon keparat, Borno pun tidak akan kami lepaskan ke
tangannya!”
“Bartan dan
Espana adalah dua buah kuasa besar yang saling bermusuh. Wilayah Borno adalah
tanah Lazon yang dipajak oleh Bartan sebelum Espana menceroboh Lazon. Ratu
Bartan pula ingin melepaskan Borno ke tangan peribuminya. Rakyat Borno ingin
bersatu dengan Malayasa. Kehendak rakyat Borno tidak boleh dipaksa oleh
mana-mana pihak. Kau tetap tiada pilihan, perajurit. Salah seorang daripada
kita akan keluar dari bumi Lazon!”
“Benar. Aku
tiada pilihan, Tuan Komodor. Presiden Zunid tidak akan menerima laporan Misi
Malackanank pada pagi esok!”
Sebaik sahaja
menamatkan kata-katanya, Barthel terus menembak Komodor Sorofan sebanyak
beberapa das tembakan. Tembakan-tembakan itu tidak mengeluarkan bunyi kerana
revolvernya telah dilengkapkan dengan alat penyerap bunyi. Tubuh Komodor
Sorofan terpelanting ke belakang menghentak dinding terowong dan terus
terbaring di atas lantai kolong.
Tiba-tiba
kedengaran satu suara meraung keras.
“Tidaaakkk!!!”
Borhon muncul
sambil menembak Barthel bertalu-talu. Barthel tidak menduga bahawa Borhon akan
bertindak dengan lebih berani. Dia tidak sempat membalas tembakan Borhon.
Tubuhnya terpelanting ke belakang dan rebah terbaring di atas bumi. Borhon
menghampiri jasad Barthel. Dia berdiri di hujung kaki Barthel. Dia terus
menembak tubuh Barthel lagi sehingga kehabisan peluru. Nyawa Barthel putus,
meninggalkan jasad dalam keadaan mata terbeliak.
Borhon segera
mendapatkan Komodor Sorofan.
“Tuan Komodor!”
Serunya sambil memangku kepala Komodor Sorofan di atas lengan. Komodor Sorofan
masih bernafas. Dadanya koyak menghasilkan luka besar dan dalam akibat
ditembusi peluru-peluru Takiya @ Barthel.
“Apa erti semua
ini?” Bisik Borhon.
“Takiya adalah
perajurit Batalion Risik Gempur Tentera Espana berpangkat Adipenjurit.”
Komodor Sorofan
tercungap-cungap menghabiskan ayatnya. Dia berusaha meletakkan sesuatu di dalam
tangan Borhon. Dalam keadaan cuba
menahan kesakitan, dia berusaha memberikan arahan terakhir kepada laskarnya.
“Kalungkan rantai ini ke lehernya. Biar Lazon tahu bahawa Empayar Espana yang
punya angkara.”
Borhon mengambil
rantai pengenalan perajurit dari tangan Komodor Sorofan. Dia bangkit
mendapatkan mayat Takiya @ Barthel dan mengalungkan rantai itu ke leher
pengkhianat tersebut. Dia mendapati bahawa rantai yang dikalungkannya terlukis
jata Empayar Espana. Kemudian dia segera mendapatkan semula Komodor Sorofan.
“Borhon, nafas
aku setakat ini. Kenangkan aku di dalam ingatan generasi baru.”
Komodor Sorofan
tercungap lagi. Dia menggenggam erat bahu Borhon.
“Hidup mulia!
Mati mulia!”
Kemudian kepala
Komodor Sorofan terkulai di lengan Borhon. Kata-kata terakhir Komodor Sorofan
adalah hak yang diberikan kepada rakan perwira yang masih hidup untuk menjadi
peringatan dan rangsangan semangat supaya mereka meneruskan perjuangan dengan
penuh gigih, cekal dan tanpa rasa mengalah.
Itulah ayat yang
ingin didengar oleh Komodor Sorofan dari bibir Takiya @ Barthel pengkhianat.
Malangnya, pengkhianat itu lebih setia kepada tuannya yang asal.
Hidup mulia.
Mati mulia. Motto Unkas.
Dengan hati yang
pilu, Borhon membungkus mayat Komodor Sorofan dengan karung kafan yang
dikeluarkan dari kocek bajunya. Setiap perajurit Unkas yang menyertai sesuatu
misi memang dibekalkan dengan karung kafan untuk membawa pulang mayat rakan
perwira yang terkorban sebagai satu tradisi unit elit itu. Borhon memikul mayat
itu dan berjalan menuju ke destinasinya.
*****
“Datuk,” kata
Sofoyan. “Berani sungguh Komodor Sorofan itu, ya.”
Jeneral (B)
Borhon, bekas Panglima Angkatan Tentera Malayasa tersenyum mendengar pujian
Sofoyan terhadap Komodor Sorofan.
“Tapi, apa yang
berlaku selepas itu?” Tanya cucunya.
“Misi Malackanank
berjaya. Dokumen perjanjian pemajakan Borno kepada Empayar Bartan milik Istana
Lazon berjaya diserahkan kepada Presiden Malayasa. Lazon gagal di dalam
tuntutannya terhadap Borno. Kemudian rakyat Borno menyatakan hasrat untuk
bergabung dengan Malayasa. Ratu Bartan memperkenankan kehendak rakyat Borno.
Empayar Bartan melepaskan cengkaman penjajahan dari bumi Borno dan membantu
Borno masuk ke dalam Malayasa. Empayar Espana tidak berani mengganggu Borno dan
Malayasa kerana tindakan penyatuan itu dilakukan sendiri oleh Baginda Ratu
Bartan dan rakyat Borno dengan kerjasama Malayasa. Negara kita telah merdeka
dari Bartan dengan lapan buah negeri. Penyertaan Borno ke dalam Malayasa telah
membesarkan lagi wilayahnya menjadi sembilan buah negeri. Misi Malackanank
menjadi pemangkin mempercepatkan proses penyatuan. Arkitek di sebalik
pembentukan Persekutuan Malayasa Raya ialah Presiden Zunid sendiri. Ramai askar
yang telah menjadi korban. Walaupun tidak mengetahui identiti mereka, tetapi
rakyat jelata amat menghargai pengorbanan mereka yang rela menjadikan nyawa
sebagai galang ganti demi harga sebuah maruah negara merdeka dan berdaulat.”
Tiba-tiba mata
Sofoyan bersinar seolah-olah telah mendapat satu ilham baru.
“Datuk,”
katanya, “boleh Sofoyan tanya?”
“Apa dia, cu?”
“Betulkah watak
Borhon dalam cerita datuk tadi, sebenarnya ialah datuk sendiri?”
Borhon tersenyum
sambil mengusap kepala cucunya. Dia telah berjaya menanam semangat keperwiraan
Komodor Sorofan ke dalam jiwa cucunya.
Akan tetapi,
perwira Unkas mesti menyimpan rahsia negara sampai mati.
TAMAT.
TAMAT.
Berita Minggu, 27 Oktober 2002
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2002
Nota kaki:
- Cerpen ini ditulis pada tahun 2002 dalam bulan kemerdekaan semasa
saya bekerja di Bintulu. Bulan merdeka telah memberi inspirasi kepada saya
untuk menghasilkan sebuah karya bertema patriotisme. Saya menjadikan
peristiwa sebenar dunia nyata sebagai asas cerita dan kemudian
memparodikannya di dalam suatu latar khayalan dengan nama-nama yang tidak
wujud dalam dunia nyata tapi seolah-olah mewakili dunia nyata. Dengan
berbuat demikian, fikiran saya bebas untuk mengapungkan idea gila-gila
yang kalau dalam dunia nyata, konsep seperti itu adalah mustahil. Belum pernah
ada baju kalis kilat pernah dicipta dalam dunia ini.
- Setelah teks ini siap, saya dapati ia
sangat panjang dan kalau hantar ke akhbar mingguan, pasti tiada editor
yang akan melirik tajuknya dua kali. Benak saya berkeras agar karya ini
dikongsikan dengan para pembaca di luar sana kerana ada sesuatu di
dalamnya yang akan memberi inspirasi kepada mereka untuk menghargai nilai
kemerdekaan negara. Oleh itu saya terpaksa mencantas mana-mana bahagian
teks yang patut agar boleh muat dalam satu muka penuh halaman akhbar
bersaiz besar. Saya telah hantar manuskrip yang telah disunting ke Berita
Minggu dan 2 bulan kemudian semasa meluncur laman sesawang Berita Minggu
pada suatu pagi Ahad, saya ternampak tajuk cerpen ini. Saya terus keluar
ke bandar mencari akhbar Berita Minggu. Malangnya, tiada satu pun naskhah akhbar
itu telah tiba di Bintulu pada hari Ahad itu (pada masa itu akhbar dari
Semenanjung sukar berada di pasaran Sarawak pada waktu sepatutnya sebab
diterbangkan khas dari Semenanjung). Keesokannya bila saya singgah
Perpustakaan Bintulu, ada pula akhbar itu dan saya terus buka ruangan
cerpen. Memang ia telah tersiar dalam Berita Minggu siap dengan ilustrasi
yang bagi saya memukau jiwa. Biasanya saya akan kerat helaian akhbar /
majalah yang tersiar karya saya. Oleh kerana naskhah itu milik
perpustakaan, saya pulangkan balik akhbar itu dalam keadaan utuh. Itulah
satu-satunya cerpen saya yang saya tidak dapat kerat untuk saya arkibkan
buat rujukan masa depan.
- Saya tidak akan siar versi pendek yang
telah terbit dalam Berita Minggu. Hanya versi asal yang saya siarkan dalam
blog peribadi ini.
- Asas daripada cerpen ini telah menerbitkan dua lagi cerpen serupa
iaitu “Garuda Sandaraya” dan “Duyung Singa Penjaga Muara” yang saya belum
pernah hantar ke mana-mana untuk diterbitkan. Saya berhasrat untuk menulis
lagi beberapa cerpen pasal Komando Unkas dan mengumpulkannya untuk
dijadikan sebuah antologi yang tersendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan