Jumaat, 7 Ogos 2015

11 Anak-anak Palapes

“Oh, majulah Palapes Laut
Universiti yang maju jaya
Ikrar kami, Ikrar Kesatria
Kepada Tuhan kami beriman.

Kami setia kepada negara
Sedia berkorban tidak menyerah
Berdisiplin sikap perwira
Jujur ikhlas menjalankan tugas.

Kami simpan rahsia Negara
Galang ganti jiwa raga
Oh, majulah Palapes Laut
Pasukan simpanan yang berjasa.”

Kami terus berlari sambil menyanyikan lagu ‘Ikrar Kestaria Palapes’ gubahan seorang PKK kami. Rakan-rakan siswa-siswi menoleh melihat pasukan kami berlari anak dalam keadaan berbaris empat lajur mengelilingi kampus sambil mengumandangkan lagu bersemangat itu.

Suara kami berpadu memotong udara hangat kampus pada petang yang semakin menghampiri senja. Memang letih berlari anak keliling kampus. Akan tetapi, kalau berlari anak beramai-ramai begitu, hilang segala rasa letih. Kalau berlari sambil menyanyi lagu bersemangat, semakin berkobar rasa jiwa perwira di dalam dada. Larian kami berakhir di Padang Kawad bersebelahan Stadium Utama.

“Bariiisss…!” Pekik Rosdi yang menjadi PK Bertugas pada minggu itu.

Empat orang rakan siswi di barisan hadapan serentak berlari anak setempat tidak memajukan langkah ke hadapan untuk mendengar arahan ‘Henti’ jatuh pada ketika hentakan kaki kiri. PK dan PKK rakan-rakan sepasukan siswa-siswi di belakang mengikut perbuatan mereka. Kami sepasukan berlari anak setempat sambil berjaga-jaga mendengar arahan Rosdi.

“Henti!” Pekik Rosdi memberi arahan terakhir tepat pada ketika hentakan kaki kiri. Dalam hati, kami mengira ‘Satu, Dua, Satu’ sambil menghentakkan kaki kiri dan kanan berturut-turut sehingga kiraan satu yang terakhir jatuh pada hentakan kaki kanan.

Sempurna. Tidak kedengaran hentakan kaki tambahan pada hujung hentakan kaki yang terakhir di dalam larian kampus pada petang itu. Kalau ada kedengaran satu bunyi hentakan kaki tambahan seperti yang sekali-sekala berlaku pada petang-petang sebelumnya, pasti CO kami akan mendera kami ‘Satu Set’ sebagai hukuman kerana masih tidak sempurna dalam hal-hal berkawad. Terangkum di dalam ‘Satu Set’ ialah gabungan tiga pergerakan bersenam berturut-turut tikam bumi, lompat katak petak segi empat dan lompat bintang yang setiap satunya dilakukan sebanyak 20 kali. Sungguh menjerihkan fizikal dan memeritkan ketahanan mental.

PK Rosdi yang berada di rusuk kiri pasukan segera berpusing menghadap pasukan kami.

“Bergerak ke kiri, dalam satu barisan, ke kiriii…, pusing!”

Kami serentak berpusing ke kiri mengikut arahan Rosdi.

“Selepas saya mengeluarkan arahan keluar baris, saya hendak kamu semua buat satu bulatan besar mengelilingi saya. Kita akan buat senaman turun suhu badan mengikut pergerakan saya,” kata Rosdi.

“Keluaaarrr…, baris!” Pekik Rosdi lagi. Suara Rosdi apabila memberi arahan kawad boleh meluruhkan jantung orang yang tidak kuat semangat.

Setelah keluar baris, kami berpecah, seraya membuat satu bulatan cincin mengelilingi Rosdi yang berada di tengah-tengah. Kami meneruskan aktiviti dengan senaman menurunkan suhu badan mengikut pergerakan Rosdi.

Setelah sesi senaman bersama Rosdi selesai, PKK Maran, XO kami, mengeluarkan perintah supaya semua anggota Palapes berbaris semula dalam pecahan mengikut divisyen kerana CO PKK Saharudin hendak menyampaikan pesanan sebelum berpisah pada petang itu.

Divisyen Zain dan Divisyen Thanna segera berbaris. PKK Albert mengetuai Divisyen Zain, manakala PKK Aminah Wong Lay Yan mengetuai Divisyen Thanna.

“Pada minggu depan ialah Acara Merempuh Halangan seperti yang dijadualkan di dalam kalendar Sukan Palapes pada tahun ini. KPS akan turun ke kampus menjadi Ketua Hakim dan PTI Azlan menjadi Ketua Koordinator. Staf-staf Markas Simpanan TLDM KD Sri Mutiara akan turut datang untuk memberi sokongan moral dan logistik. Saya harap semua anggota Palapes sihat-sihat belaka pada hari itu. Kalau ada yang sakit, pergilah jumpa doktor, dapatkan kerjasama rakan-rakan sepasukan anda. Sehingga kini Divisyen Zain telah mendahului Divisyen Thanna dari segi mata terkumpul dalam Kejohanan Sukan Palapes pada kali ini. Saya pasti Thanna akan memberi cabaran sengit untuk mengatasi Zain. Apa yang penting, bukan menang yang menjadi matlamat utama, tetapi semangat bekerjasama di kalangan kamu yang akan kamu tonjolkan pada hari acara itu.”

Tiba-tiba PKK Albert berpusing ke belakang menghadap pasukannya.

“Divisyen Zaiiinnn…, sedia!” Semua anggota Divisyen Zain merapatkan kaki.

“Hidup Zain! Hidup Zain! Hidup Zain!” Pekik Albert sambil menjulang buku lima tangan kanan ke udara.

Perkataan dan perbuatannya diikuti oleh anak-anak buahnya.

“Divisyen Zain, senaaannnggg…, diri!” Lantas PKK Albert berpusing ke hadapan menghadap PKK Saharudin dan PKK Maran.

Melihat perbuatan PKK Albert, PKK Aminah Wong berasa tercabar. Dia turut berpusing ke belakang, memberi arahan sedia dan bersorak,

“Thanna Gagah! Thanna Gagah! Thanna Gagah!”

Semua anggota Divisyen Thanna turut bersorak semangat. Setelah mengeluarkan arahan senang diri, PKK Aminah Wong berpusing ke hadapan.

Semua anggota Divisyen Thanna berazam untuk menebus kekalahan mereka di dalam Acara Kawad Senyap atau Silent Drill yang telah diadakan pada bulan lepas. Divisyen Thanna yang memilih Formasi Charlie menggunakan senjata pedang tewas kepada Divisyen Zain yang memilih Formasi Alpha menggunakan senjata rifel M-16 kerana salah seorang PK Thanna tahun satu tumbang pitam di tengah persembahan di Padang Kawad dalam cuaca pagi yang panas terik.

PKK Saharudin dan PKK Maran tersenyum melihat gelagat rakan-rakan sepasukan di bawah arahan mereka. Acara sukan menggalakkan persaingan yang sihat dan sengit.

“Saya tiada komen. Setiap divisyen ada integriti dan kemegahan masing-masing,” kata PKK Saharudin. “Baiklah, selepas ini kita bersurai dan berjumpa lagi di dalam Latihan Mingguan di KD Sri Mutiara pada hari Sabtu ini. Sekian. Maran.”

PKK Maran yang berdiri di sebelah kirinya keluar dari garisan XO dan berjalan ke arah PKK Saharudin. Dia berhenti dua langkah di hadapan COnya.

“Kebenaran menjalankan tugas, Tuan!” Kata Maran dengan tegas.

“Lakukan,” balas Saharudin.

“Tuan!” Balas Maran lagi.

Maran melangkah selangkah ke kiri. Kemudian dia berpusing ke belakang menghadap rakan-rakan sepasukan lalu memberi arahan terakhir,

“Bariiisss…, bersurai!”

Kedua-dua divisyen membuat pergerakan keluar baris. Setelah tiga langkah, mereka kembali menjadi siswa-siswi biasa. Setiap orang membawa haluan masing-masing untuk menyempurnakan tanggungjawab menuntut ilmu.

Saya, PK Ingpiu, berasa bangga menjadi anggota Palapes. Saya sedar baahwa kami mempunyai tanggungjawab sebagai pelajar yang wajib menuntut ilmu di dalam jurusan yang kami pilih. Menganggotai Palapes mendedahkan saya kepada ilmu pertahanan dan peperangan, di samping memperbaiki sahsiah dan meninggikan tahap disiplin diri. Saya percaya, gandingan kekuatan intelek seorang siswa dann disiplin ketenteraan Palapes akan dapat memandu saya untuk mengharungi kehidupan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Saya suka cabaran. Saya suka berhempas pulas membuat persediaan menghadapi cabaran.

*****

Saya sedar bahawa para PKK kami yang bakal menerima tauliah watikah Leftenan Muda daripada Yang Di-Pertuan Agong pada penghujung tahun itu sedang menghadapi dilema yang sangat sukar untuk diterima.

Saya melihat mereka berkumpul sesama sendiri di ceruk kafeteria kampus. Apabila saya lalu di sisi mereka, setelah memberi ucap selamat sebagai tanda takzim kepada pegawai senior, dan setelah saya berlalu, saya terdengar mereka membincangkan hal pentauliahan. Saya bersama PK Rosdi dan dua orang rakan sepengajian komunikasi massa mengambil meja tidak jauh dari meja perbincangan mereka. Kami terus menikmati hidangan yang kami beli di kaunter tadi.

“Kenapa mereka buat begini kepada kita?” PKK Nasir, siswa tahun tiga pengajian kejuruteraan mekatronik bersuara kepada rakan-rakannya. Mereka tidak ramai, sebelas orang semuanya, tujuh siswa dan empat siswi.

PKK Maran, PKK Albert, PKK Radzi, PKK Mohan, PKK Edmund Low Er Chin, PKK Aminah Wong Lay Yan, PKK Helen, PKK Ratnadevi dan PKK Maimunah berwajah sugul apabila ketua mereka yang juga CO kami, PKK Saharudin, seorang siswa teknologi polimer, menyampaikan maklumat terbaru tentang perkara pentauliahan Palapes Tentera Laut.

“Aku fikir mungkin ada ‘Old Man’ nyanyuk di Mindef yang tak suka kita bertauliah bersama Regular di Lumut atas alasan kononnya nak menjimatkan budget,” Mohan, siswa pengajian senibina, menuduh melulu. Mohan merujuk Mindef kepada Markas Tentera Laut atau MTL di Kementerian Pertahanan.

“Kita mesti beritahu KPS yang kita tak boleh terima arrangement MTL,” kata Helen, siswi pengurusan.

“Di manakah integriti dan kemegahan kita jika kita dipaksa juga bertauliah bersama Palapes Tentera Darat dan Tentera Udara di UUM? Malu kita, malu!” Kata Ratnadevi, rakan siswi satu pengajian dengan Helen.

“Apakah kita hendak dahagi, memberontak terhadap keputusan MTL?” Soal Edmund, siswa matematik.

“Itu satu hasutan,” kata Radzi, siswa bioteknologi. Dia memandang Maimunah, rakan siswi sepengajiannya.

“Aku serba salah. Tak tau nak ikut yang mana. Kata hati, atau arahan MTL,” kata Maimunah.

“Baiklah, baiklah. Sekurang-kurangnya saya dah tau respon intake saya. Saya bercadang kita semua berbincang dengan KPS pada hari Sabtu ni di KD Sri Mutiara,” kata Saharudin. “Saya tau kita semua tak akan dapat menerima berita ini pada kali pertama KPS maklumkan kepada saya hal ini pada petang tadi melalui telefon. Walaupun hati saya berat, tetapi saya terpaksa sampaikan juga kepada kamu semua. Kita dah pun tahu bahawa seolah-olah kita tiada pilihan. Sekurang-kurangnya, kita minta KPS terangkan kepada kita alasan-alasan MTL hendak memecahkan tradisi pentauliahan Palapes berasing daripada Regular bermula daripada intake kita.”

Mereka terdiam mendengar kata-kata Saharudin.

“CO,” kata Albert, siswa undang-undang. Saharudin memandang Albert. “Aku setuju dengan pandangan kau yang kita perlu berbincang dulu dengan KPS. Kita pun sebenarnya boleh menjangka alasan MTL yang akan dijelaskan oleh KPS. Maklumlah, sepuluh tahun pengambilan Palapes, dan sepuluh kali senior-senior kita dapat bertauliah bersama Regular. Kemudian bila MTL putuskan untuk mengembangkan Palapes Tentera Laut di IPT selatan tanah air dan berjaya, mereka pun fikir dah tiba masanya untuk semua unit Palapes tiga cawangan perkhidmatan tentera bersatu di dalam satu majlis pentauliahan. Aku akui, kita Palapes Navy, kehilangan rasa elit dan megah bila berdepan dengan rakan-rakan Palapes Army dan Airforce jika kehendak MTL menjadi kenyataan.”

“Awak sokong MTL?” Tanya Aminah Wong, siswi pendidikan.

“Saya tak kata begitu. Saya menjelaskan apa yang saya boleh tafsirkan daripada arahan MTL,” kata Albert.

“CO,” kata Maran, rakan siswa sepengajian dengan Radzi dan Maimunah. Saharudin berpaling kepada Maran. “Aku cadang kita jadikan perbincangan dengan KPS pada hari Sabtu nanti sebagai Plan A.”

“Kalau begitu awak ada Plan B,” kata Helen.

“Apa Plan B engkau?” Tanya Albert.

“Kita hantar wakil untuk berbincang dengan PTL sendiri supaya dia bersetuju dengan cadangan kita untuk mengekalkan pentauliahan kita bersama Regular. Wakil Palapes yang akan bertemu PTL mestilah terdiri daripada universiti kita dan universiti rakan kita di selatan tanah air itu. Aku akan atur pertemuan dengan CO, XO dan Pegawai-pegawai Divisyen mereka,” kata Maran.

Saya, junior mereka yang duduk tidak jauh dari meja mereka dapat melihat wajah rakan-rakan PKK Maran yang terkejut kagum dengan cadangannya. CO Saharudin pula saya lihat mengerutkan dahinya.

*****

Kami semua siap berpakaian biru delta lengkap dengan sut tempur battle gear. Setiap orang memakai helmet Kevlar, memikul rack sack berbeban 50 kilogram, membawa selaras senjata M-16 tanpa kelongsong peluru dan dibekalkan sebotol air minuman. Kami telah bersedia untuk Acara Merempuh Halangan yang mengambil jarak sejauh 10 kilometer, bermula dari kampus dan berakhir di KD Sri Mutiara.

PTI Azlan, GI Yazid, Chief Kalam, PO Malik, Leading Daud dan Leading Nazri telah bersiap-sedia di posisi tertentu untuk mengesahkan unit-unit yang bertanding selamat tiba dan berlepas di check point jagaan mereka.

Divisyen Zain dilepaskan dahulu. Setengah jam kemudian barulah giliran Divisyen Thanna. Semua anggota Palapes terlibat. CO Saharudin menyertai Divisyen Thanna, manakala XO Maran masuk ke dalam Divisyen Zain.

Acara Merempuh Halangan dibuat dalam dua peringkat.

Peringkat pertama, Halangan Kampus, yang terdiri daripada larian di atas bar konkrit ketinggian 1 meter, 1.5 meter dan 2 meter; gayutan menyeberang kolam lumpur sejauh 5 meter; leopard crawl atau monkey crawl di atas bar bulat besi waja menyeberang kolam lumpur sejauh 10 meter; abseiling menuruni tembok tanah setinggi 15 meter; merangkak di bawah kawad mata punai sejauh 20 meter dan melepasi tembok konkrit setinggi 3 meter. Halangan Kampus mengambil jarak sejauh 500 meter.

Peringkat kedua, Merentas Desa sejauh 9.5 kilometer. Jalan yang ditentukan oleh KPS menyebabkan kami terpaksa masuk kampung orang, taman perumahan, kawasan perkuburan, hutan belukar, melintas lebuh raya, mengharung muara sungai dan menyusur pantai; sebelum mengambil jalan kecil yang membawa kami terus masuk melepasi parameter KD Sri Mutiara.

Orang-orang dewasa yang berpapasan dengan kami berasa hairan apabila melihat sepasukan satu platun Tentera Laut berseragam biru berjalan kaki lengkap memakai sut battle gear. Mereka sangka Tentera Laut sedang membuat latihan di kawasan mereka.

Beberapa orang kanak-kanak kecil pula berlari-lari anak mengekor langkah kami sambil berteriak, “Ada askar nak tembak musuh! Ada askar nak tembak musuh! Peng, peng, peng!”

Beberapa orang rakan kami mengacukan muncung rifel kepada mereka lalu melakonkan aksi perajurit-perajurit di dalam cerita perang sedang melepaskan tembakan sambil membalas bunyi tembakan mulut kumpulan kanak-kanak itu, “Peng, peng, peng!”

Satu dua orang daripada kanak-kanak itu melakonkan seolah-olah telah kena tembakan senjata musuh dan berbaring di atas tanah. Rakan-rakan mereka di belakang bersorak, “Yeah…, musuh mati, musuh mati!” Seketika kemudian rakan-rakan mereka yang berbaring itu bangun semula dan mengibas baju mereka dengan tangan untuk membuang tanah yang melekat di baju. Mereka melambai-lambai tangan ke arah kami sambil berteriak, “Selamat pergi berperang abang-abang dan kakak-kakak askar.”

Kami rasa terhibur melihat gelagat budak-budak kecil itu.

Acara pada hari itu diputuskan mengikut kiraan masa paling pendek dengan rujukan kepada orang pertama keluar dari parameter kampus dan orang terakhir masuk ke dalam parameter KD Sri Mutiara. Keputusannya, Divisyen Thanna menang Acara Merempuh Halangan.

Divisyen Thanna bersorak “Thanna Gagah! Thanna Gagah! Thanna Gagah!” dengan dipimpin oleh PKK Aminah Wong.

*****

Pada suatu malam, saya datang ke bilik sea brother saya, PKK Radzi. Dia hendak berbincang dengan saya perihal mesyuarat Agung Tahunan Kelab Rekreasi Palapes Tentera Laut yang dijangka akan diadakan pada bulan hadapan. PKK Radzi yang menjadi Setiausaha Kelab, ingin mendapatkan bantuan saya untuk mendrafkan minit mesyuarat tahun lalu yang akan dibentangkan. Saya mengetuk pintu biliknya dan berteriak,

“Minta kebenaran masuk, Tuan!”

“Masuk!” Terdengar jeritan suaranya dari dalam bilik.

Saya membuka pintu, masuk ke dalam dan menutup semula pintu. Radzi sedang menghadap monitor komputer menaip sesuatu.

“Relaks, Ingpiu. Sekarang bukan waktu training.”

Saya bersenang diri dan melupakan sikap bersiap siaga.

“Dah siap assignment kau, Ingpiu?”

“Sudah, Radzi,” saya membahasakan dirinya dengan panggilan namanya dan tidak panggilan ‘Tuan’ kerana itu kehendaknya apabila kami berbincang tentang perkara-perkara di luar latihan Palapes.

“OK, ini draf minit mesyuarat tahun lepas. Kau semak apa yang aku tulis. Mungkin ada perkara yang aku tak catat yang kau ada catat masa AGM lepas. Kau tambah kalau kau rasa ada yang kurang. Notis panggil AGM sudah aku edarkan kepada semua ahli kelab. HEP dah aku bagi tau. Dewan Kuliah aku dah tempah. Edmund akan serahkan laporan kewangan minggu depan,” kata Radzi sambil menghulurkan beberapa keping kertas siap bertaip kepada saya. Saya mengambil kerusi bersebelahan mejanya dan membaca draf itu.

Radzi berbaring di atas katil sambil merenung kipas angin siling yang berputar lesu.

Intake aku kemungkinan besar akan jadi intake pertama menjadi Subby memecah tradisi bertauliah bersama Palapes Army dan Palapes Airforce di UUM nanti. Susah nak ubah keputusan MTL,” kata Radzi.

“Apa jadi dengan rancangan nak jumpa Panglima?” Tanya saya.

“Aku, CO, XO, Albert, Aminah, bersekali dengan CO, XO dan Pegawai-pegawai Bahagian rakan-rakan Palapes Navy universiti selatan tanah air itu dah turun ke Mindef berjumpa Panglima. Pegawai-pegawai MTL turut ada di dalam pertemuan itu. Panglima mengambil jalan tengah dengan menasihati kami supaya akur dengan keputusan MTL. Panglima sendiri yang beritahu kami bahawa keputusan MTL itu datang daripada idea dia sendiri. Kami rasa terpukul apabila dia berkata begitu kerana sebelum itu kami sangka pegawai-pegawai MTL yang memandai sendiri membuat keputusan itu. Malang sungguh nasib intake aku dan nasib intake selepas aku.”

“Sabarlah, Radzi. Saya rasa ada hikmah di sebalik aturan begitu,” kata saya. “Apa lagi yang Panglima cakap?”

“Selepas itu dia memberi taklimat ringkas kepada kami tentang rancangan Bahagian Simpanan ATM untuk membesarkan pasukan simpanan dengan merekrut lebih ramai lagi orang awam melalui saluran-saluran Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, Pasukan Simpanan Sukarela TUDM, di samping unit-unit Palapes IPT seluruh negara. Mereka ada sasaran untuk menetapkan empat orang anggota simpanan bagi setiap seorang perajurit regular sebagai persiapan dalam program Total Defense atau Hanruh Kementerian Pertahanan.”

Jiwa perwira saya berkobar-kobar dan bulu roma saya meremang bila Radzi berkata begitu.

“Panglima menjelaskan bahawa Palapes Navy akan dikembangkan ke IPT seluruh negara setelah sepuluh tahun kejayaannya di universiti kita dan tiga tahun di universiti selatan tanah air. Sebab itu TLDM hendak menyelaraskan aktiviti Palapes Tentera Laut di bawah Bahagian Simpanan ATM dan tidak lagi di bawah MTL. Latihan Bahagian di Lumut dan Latihan Pelayaran di atas kapal-kapal TLDM tetap berjalan seperti biasa. MTL akan memberi sokongan logistik kepada unit-unit Palapes Tentera Laut melalui Markas-markas Simpanan seluruh negara. Hanya pentauliahan akan dibuat serentak dengan unit-unit Palapes cawangan perkhidmatan lain.”

“Kalau begitu, saya tidak melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang malang, Radzi.”

“Kenapa kau berkata begitu?”

“Saya melihat pekara ini dari sudut pengurusan sebagai satu tindakan penstrukturan semula organisasi Navy untuk memperkemas, melicin dan memantapkan jentera pentadbiran. MTL akan dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap hal ehwal perajurit regular, manakala hal ehwal kita sebagai perajurit simpanan akan dijaga dengan teliti oleh Bahagian Simpanan ATM sendiri. Dengan cara ini, mutu latihan dan perkhidmatan perajurit regular akan dapat dikawal dan ditingkatkan di mana sesuai. Namun, kita sebagai perajurit simpanan tetap diberi peluang menjalani latihan di premis-premis TLDM bersama anggota regular dan dapat belajar secara praktikal ilmu yang kita perolehi di markas-markas simpanan. Dengan cara ini juga, akan memberi kebaikan dan kemudahan bukan sahaja kepada anggota Palapes Navy dan unit-unit simpanan, malah seluruh warga pertahanan negara.”

Radzi terdiam merenung maksud kata-kata saya.

“Betul kata kau, Ingpiu. Panglima juga ada cakap yang tindakan MTL hendak menggabungkan pentauliahan Palapes tiga cawangan perkhidmatan tidak sekali-kali bertujuan untuk demoralize Palapes Navy, tetapi untuk meningkatkan kesedaran bahawa kita sebagai perajurit simpanan, tetap akan dikerah apabila markas-markas darat Tentera Laut kosong kerana semua personel Navy dipanggil beroperasi di atas kapal-kapal perang bila perang sebenar meletus. Ini bukan perkara malang. Tetapi untuk kebaikan semua orang, pada masa sekarang, dan pada msa-masa akan datang.”

Saya pulang dari bilik PKK Radzi dengan perasaan berbaur. Saya melangkah berjalan kaki ke asrama saya dengan semangat baru. Sekurang-kurangnya pengorbanan kami di universiti ini telah mendapat perhatian orang-orang atasan di Kementah.

Lagu ‘Sumpah Palapes’ gubahan PKK Radzi berdendang di telinga saya,

“Kami Palapes Laut
Berikrar sama-sama
Bersedia berkorban
Untuk tanah air tercinta.

Kami perwira laut
Berlatih setiap masa
Tak kenal penat dan bosan
Untuk ibu pertiwi kita.

Di tengah samudera raya
Mengharung ombak dan badai
Mengganyang, menggempur
Murka angkatan musuh.

Pasukan Palapes Laut
Siap sedia dikerah
Itulah sumpahan kami
Anak watan negara jaya
Anak watan negara jayaaa…!!!”

Makna singkatan:

Palapes            : Pasukan Latihan Pegawai Simpanan
PK                   : Pegawai Kadet
PKK                : Pegawai Kadet Kanan
Subby              : Sub-Lieutenant (Leftenan Muda)
CO                   : Commanding Officer (Pegawai Memerintah)
XO                   : Executive Officer (Pegawai Laksana)
KPS                 : Ketua Pegawai Staf
PTL                 : Panglima Tentera Laut
PTI                  : Physical Training Instructor (Jurulatih Latihan Jasmani)
GI                    : Gunnery Instructor (Jurulatih Kawad/Persenjataan)
Chief               : Chief Petty Officer (Bintara Kanan)
PO                   : Petty Officer (Bintara)
Leading           : Laskar Kanan


TAMAT.


www.pustakamaya.net, 25 Januari 2003
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2003


Nota kaki:

  1. Ini ialah cerpen kedua saya yang telah terbit di dalam laman web Pustaka Maya Online. Judul asal yang saya guna ialah “Aku Budak Palapes”. Editor telah ubah judul itu menjadi “Anak-anak Palapes”. Saya sempat mencetak cerpen ini daripada laman web tersebut. Laman web ini telah ditutup kerana penganjurnya tidak berhasrat untuk mengekalkan penyelenggaraan domainnya.
  2. Naskhah ini dengan judul “Aku Budak Palapes” pernah dihantar ke Berita Minggu sebelum saya membuat keputusan untuk menghantarnya ke Pustaka Maya Online, tetapi tidak pernah tersiar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan