Selasa, 11 Ogos 2015

12 Saya Budak Palapes


“Oh, majulah Palapes Laut
Universiti yang maju jaya
Ikrar kami, Ikrar Kesatria
Kepada Tuhan kami beriman.

Kami setia kepada negara
Sedia berkorban tidak menyerah
Berdisiplin sikap perwira
Jujur ikhlas menjalankan tugas.

Kami simpan rahsia negara
Galang ganti jiwa raga
Oh, majulah Palapes Laut
Pasukan simpanan yang berjasa.”

Kami terus berlari sambil menyanyikan lagu ‘Ikrar Kesatria Palapes’ gubahan seorang Pegawai Kadet Kanan (PKK) kami dalam rentak march itu. Rakan-rakan siswa-siswi menoleh melihat pasukan kami berlari anak dalam keadaan berbaris empat lajur mengelilingi kampus sambil mendendangkan lagu yang penuh semangat. Palapes adalah singkatan untuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan.

Suara kami berpadu memotong udara hangat kampus pada petang yang semakin senja. Letih sungguh berlari anak keliling kampus. Kalau berlari beramai-ramai begitu, hilang segala lesu. Kalau berlari sambil menyanyi lagu semangat, semakin berkobar rasa jiwa perwira di dalam dada.

Larian kami berakhir di Padang Kawad sebelah Stadium Utama.

“Bariiisss…!” Pekik Rosdi yang menjadi Pegawai Kadet Bertugas (PKB) pada minggu itu.

Empat orang rakan siswi di barisan hadapan serentak berlari setempat tidak memajukan langkah ke hadapan untuk mendengar arahan ‘Henti’ jatuh pada ketika hentakan kaki kiri. Pegawai Kadet (PK) dan PKK rakan-rakan sepasukan siswa-siswi di belakang mengikut perbuatan mereka.

Kami sepasukan berlari setempat sambil berawas mendengar arahan Rosdi.

“Henti!” Pekik Rosdi memberi arahan tepat pada ketika hentakan kaki kiri.

Dalam hati, kami mengira ‘Satu, Dua, Satu’ sambil menghentakkan kaki kiri dan kanan berturut-turut hingga kiraan satu yang terakhir jatuh pada hentakan kaki kanan.

Sempurna. Tidak kedengaran hentakan kaki tambahan pada hujung hentakan kaki yang terakhir di dalam larian kampus pada petang itu. Kalau terdengar satu bunyi hentakan kaki tambahan seperti yang sekali-sekala berlaku pada petang-petang sebelum itu, pasti CO (Commanding Officer – Pegawai Memerintah) kami akan mendera kami ‘Satu Set’ sebagai hukuman kerana masih tidak sempurna dalam hal-hal berkawad kaki. Terangkum di dalam ‘Satu Set’ ialah gabungan tiga pergerakan bersenam berturut-turut tikam bumi, lompat katak segi empat dan lompat bintang yang setiap satu dilakukan sebanyak 20 kali. Sungguh menjerihkan fizikal dan memeritkan ketahanan mental.

PK Rosdi yang berada di rusuk kiri pasukan segera berpusing ke kanan menghadap pasukan kami.

“Bergerak ke kiri, dalam satu barisan, ke kiriii…, Pusing!”

Kami serentak berpusing ke kiri mengikut arahan Rosdi.

“Selepas saya mengeluarkan arahan keluar baris, saya hendak kamu semua buat satu bulatan besar mengelilingi saya. Kita akan buat senaman turun suhu badan mengikut pergerakan dan kiraan saya,” kata Rosdi.

“Keluaaarrr…, Baris!” Pekik Rosdi lagi. Suara Rosdi apabila memberi arahan kawad boleh meluruhkan jantung orang yang tidak kuat semangat.

Setelah keluar baris, kami berpecah, seraya membuat satu bulatan cincin mengelilingi Rosdi yang berdiri di tengah. Kami meneruskan aktiviti dengan senaman menurunkan suhu badan mengikut pergerakan Rosdi.

Setelah sesi senaman bersama Rosdi selesai, PKK Maran, XO (Executive Officer – Pegawai Laksana) kami, mengeluarkan perintah supaya semua anggota Palapes berbaris semula dalam pecahan mengikut divisyen kerana CO PKK Saharudin hendak menyampaikan pesanan sebelum berpisah pada petang itu.

Divisyen Zain dan Divisyen Thanna segera berbaris. PKK Albert Lui mengetuai Divisyen Zain, manakala PKK Aminah Wong mengetuai Divisyen Thanna.

“Minggu depan ialah Acara Merempuh Halangan seperti yang telah dijadualkan di dalam kalendar Sukan Palapes pada tahun ini. KPS (Ketua Pegawai Staf) Lt Kdr Baharom akan turun ke kampus menjadi Ketua Hakim dan PTI (Physical Training Instructor) Azlan menjadi Ketua Koordinator. Staf-staf KD Sri Mutiara akan turut datang untuk memberi sokongan logistik. Saya harap semua anggota Palapes sihat-sihat belaka pada hari itu. Kalau ada yang sakit, pergilah jumpa doktor, dapatkan kerjasama rakan-rakan sepasukan anda. Sehingga kini Divisyen Zain telah mendahului Divisyen Thanna dari segi mata terkumpul dalam Kejohanan Sukan Palapes pada kali ini. Saya pasti Thanna akan memberi cabaran sengit untuk mengatasi Zain. Apa yang penting, bukan menang yang menjadi keutamaan, tetapi semangat bekerjasama di kalangan kamu yang akan kamu tonjolkan pada hari acara itu.”

Tiba-tiba Albert Lui berpusing ke belakang menghadap pasukannya.

“Divisyen Zaiiinnn…, Sedia!” Semua anggota Divisyen Zain merapatkan kaki.

“Hidup Zain! Hidup Zain! Hidup Zain!” Pekik Albert Lui sambil menjulang buku lima tangan kanan ke udara. Perkataan dan perbuatannya diikuti oleh anak-anak buahnya.

“Divisyen Zain, Senaaannnggg… Diri!” Lantas Albert Lui berpusing ke hadapan menghadap Saharudin dan Maran.

Melihat perbuatan Albert Lui, Aminah Wong berasa tercabar. Dia turut berpusing ke belakang, memberi arahan sedia dan bersorak,

“Thanna Gagah! Thanna Gagah! Thanna Gagah!”

Semua anggota Divisyen Thanna turut bersorak semangat. Setelah mengeluarkan arahan senang diri, Aminah Wong berpusing ke hadapan.

Semua anggota Divisyen Thanna berazam untuk menebus kekalahan mereka di dalam Acara Kawad Senyap atau Silent Drill yang telah diadakan pada bulan lepas. Divisyen Thanna yang memilih Formasi Charlie menggunakan senjata pedang tewas kepada Divisyen Zain yang memilih Formasi Alpha menggunakan senjata rifel M16 kerana salah seorang PK Thanna Tahun Satu tumbang pitam di tengah persembahan di Padang Kawad dalam cuaca pagi yang panas terik.

Saharudin dan Maran tersenyum melihat gelagat rakan-rakan sepasukan di bawah arahan mereka. Acara sukan menggalakkan persaingan yang sihat dan sengit.

“Saya tiada komen. Setiap divisyen ada integriti dan kemegahan masing-masing,” kata Saharudin. “Baiklah, selepas ini kita bersurai dan berjumpa lagi di dalam Latihan Mingguan di KD Sri Mutiara pada hari Sabtu ini. Sekian.”

Saharudin menoleh sedikit ke arah Maran dan memanggil nama XO dalam keadaan separuh berbisik, “Maran.”

Maran yang berdiri di sebelah kiri Saharudin keluar dari garisan XO, berjalan ke arah CO dan berhenti dua langkah di hadapan Pegawai Memerintahnya. Dalam keadaan berdiri lurus, dia mohon besurai.

“Kebenaran menjalankan tugas, Tuan!” kata Maran.

“Lakukan!” Balas Saharudin.

“Tuan!” Sahut Maran lagi.

Maran melangkah selangkah ke kiri. Kemudian dia berpusing ke belakang menghadap rakan-rakan sepasukan lalu memberi arahan terakhir,

“Bariiisss…, Bersurai!”

Kedua-dua divisyen membuat pergerakan keluar baris. Setelah genap tiga langkah, mereka kembali menjadi siswa-siswi biasa. Setiap orang membawa haluan masing-masing untuk menyempurnakan tanggungjawab menuntut ilmu.

Saya, PK Ingpiu, berasa bangga menjadi anggota Palapes. Saya sedar bahawa saya mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang wajib menuntut ilmu di dalam jurusan yang saya pilih. Menganggotai Palapes pula mendedahkan saya kepada ilmu pertahanan dan peperangan, di samping memperbaiki sahsiah dan meninggikan tahap disiplin diri.

Saya percaya, gandingan kekuatan intelek seorang siswa dan disiplin ketenteraan Palapes akan dapat memandu saya untuk mengharungi kehidupan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Saya suka cabaran. Saya suka berhempas pulas membuat persediaan menghadapi cabaran.

*****



Saya sedar bahawa para PKK kami yang bakal menerima tauliah watikah Lt Muda daripada Yang Di Pertuan Agong pada penghujung tahun itu sedang menghadapi dilema yang sangat sukar untuk mereka terima.

Saya melihat mereka berkumpul bersama di ceruk sebuah kafetria kampus. Apabila lalu di sisi mereka, setelah memberi ucap selamat sebagai tanda takzim kepada pegawai kanan, dan setelah saya berlalu, saya terdengar mereka membincangkan hal pentauliahan. Saya bersama Rosdi dan dua orang rakan sepengajian mengambil meja tidak jauh dari meja perbincangan mereka. Kami terus menikmati hidangan yang kami beli di kaunter tadi.

“Kenapa mereka buat begini kepada kita?” Nasir, siswa tahun tiga kejuruteraan mekatronik bersuara kepada rakan-rakannya. Mereka tidak ramai, sebelas orang semuanya, tujuh siswa dan empat siswi.

Maran (bioteknologi), Albert Lui (sains masyarakat), Radzi (pengurusan), Mohan Singh (sains senibina), Low Er Chin (matematik gunaan), Aminah Wong (sains pendidikan), Helena Pereira (komunikasi massa), Ratnadevi (kejuruteraan kimia) dan Maimunah (fizik tulen), berwajah sugul apabila ketua mereka yang juga CO kami, Saharudin, seorang siswa teknologi polimer, menyampaikan maklumat terbaru tentang perkara pentauliahan Palapes Tentera Laut.

“Aku rasa mungkin ada Old Man nyanyuk di Kementah yang tak suka kita bertauliah bersama Regular di Lumut atas alasan kononnya nak jimat budget,” Mohan menuduh melulu. Old Man ialah istilah kami untuk senior yang telah berpuluh tahun berkhidmat di dalam TLDM. Kementah merujuk kepada Markas Tentera Laut atau MTL di Kementerian Pertahanan. Regular pula merujuk kepada pegawai-pegawai kadet penuh masa yang menjalani latihan sebelum pentauliahan di Markas TLDM Lumut.

“Kita mesti beritahu KPS yang kita tak boleh terima arrangement MTL,” kata Helena.

“Mana kelebihan dan kemegahan kita jika kita dipaksa juga bertauliah bersama Palapes Army dan Airforce di UUM?” Kata Low Er Chin.

“Apakah kita hendak dahagi, memberontak terhadap keputusan MTL?” Soal Aminah Wong.

“Itu suatu hasutan,” kata Radzi.

“Aku serba salah. Tak tau nak ikut yang mana satu. Kata hati, atau arahan MTL,” kata Maimunah.

“Baiklah, bertenang semua. Sekurang-kurangnya saya dah tau respond intake saya. Saya bercadang kita semua berbincang dengan KPS pada hari Sabtu ni di KD Sri Mutiara,” kata Saharudin. Kemudian dia menyambung,

“Saya tau kita semua tak akan dapat menerima berita ini pada kali pertama KPS memaklumkan hal ini kepada saya petang tadi melalui telefon. Walaupun hati saya berat, tetapi saya terpaksa sampaikan juga kepada kamu semua. Saya rasa KPS hanyalah messenger. Saya pun messenger juga. So don’t shoot the messenger. Kita dah pun tau bahawa seolah-olah kita tiada pilihan. At least, kita minta KPS terangkan kepada kita sebab-sebab MTL hendak memecahkan tradisi pentauliahan Palapes Navy pada kali ini berasing daripada Regular bermula daripada intake kita.”

Mereka terdiam mendengar kata-kata Saharudin.

“CO,” kata Albert Lui. Saharudin memandang Albert Lui.

“Aku setuju dengan pandangan kau yang kita perlu bertanya dulu kepada KPS. Sebenarnya, kita pun boleh agak sebab-sebab MTL buat begini yang akan dijelaskan oleh KPS. Kita semua maklum, sudah sepuluh kali pengambilan Palapes dibuat, dan sepuluh kali jugalah senior-senior kita dapat bertauliah bersama Regular di Lumut. Itu adalah privilege yang sangat membanggakan. Kemudian, bila MTL membuat keputusan untuk mengembangkan Palapes Navy di IPT selatan tanah air dan didapati program itu berjaya, mereka pun fikir dah tiba masanya untuk semua unit Palapes tiga perkhidmatan tentera bersatu di dalam satu majlis pentauliahan. Aku mengaku, kita Palapes Navy, hilang rasa elit dan megah bila berdepan dengan rakan-rakan Palapes Army dan Airforce jika kehendak MTL menjadi kenyataan.”

“Awak sokong MTL?” Tanya Aminah Wong.

“Aku tak kata begitu. Aku menjelaskan apa yang aku boleh tafsirkan daripada arahan MTL,” kata Albert Lui.

“CO,” kata Maran. Saharudin berpaling kepada Maran.

“Aku cadang kita jadikan pertemuan dengan KPS pada hari Sabtu nanti sebagai Plan A.”

“Kalau begitu awak ada Plan B, Maran,” kata Helena.

“Apa Plan B engkau?” Tanya Ratnadevi yang diam sejak mula.

“Kita hantar wakil untuk bertemu PTL (Panglima Tentera Laut) dan mendesak agar dia bersetuju dengan cadangan kita untuk mengekalkan pentauliahan kita dengan Regular. Wakil Palapes yang akan bertemu PTL mestilah datang dari kampus kita dan kampus rakan kita dari Johor tu. Aku akan atur pertemuan dengan CO dan XO mereka,” kata Maran.

Saya, junior mereka yang duduk tidak jauh dari meja mereka dapat melihat wajah rakan-rakan Maran yang terkejut kagum dengan cadangannya. Saharudin pula saya lihat mengerutkan dahi.

*****

Kami semua siap berpakaian biru Delta lengkap dengan sut tempur (battle gear). Setiap orang memakai helmet kevlar, memikul ruck sack berisi batu bata seberat 50 kg, membawa selaras M16 tanpa magazin dan dibekalkan sebotol air minuman. Kami telah bersedia untuk Acara Merempuh Halangan sejauh 20 km, bermula dari kampus dan berakhir di KD Sri Mutiara.

PTI Azlan, GI (Gunnery Instructor – Jurulatih Kawad/Persenjataan) Yazid, Bintara Kanan Kalam, Bintara Muda Malik, Laskar Kanan Daud dan Laskar Kanan Nazri siap-sedia di posisi tertentu untuk mengesahkan unit-unit yang bertanding selamat tiba dan selamat berlepas di check point jagaan mereka. Empat orang wakil dari PSSTLDM (Pasukan Simpanan Sukarela TLDM), 2 Lt Muda dan 2 PKK turut hadir.

Divisyen Zain dilepaskan dahulu. Setengah jam kemudian barulah giliran Divisyen Thanna. Semua anggota Palapes terlibat. CO Saharudin menyertai Thanna, manakala XO Maran masuk ke dalam Zain. Setiap divisyen kena melantik seorang Radioman yang akan berperanan membawa kelengkapan radio perhubungan untuk berkomunikasi dengan Head Quarter di KD Sri Mutiara. Setiap divisyen turut disertai oleh wakil-wakil PSSTLDM, seorang Lt Muda dan seorang PKK yang hanya berperanan sebagai saksi, tidak boleh memberi bantuan atau tunjuk ajar kerana semua anggota Palapes telah diberikan kursus orienteering berterusan sejak 3 bulan lalu.

Acara Merempuh Halangan dibuat dalam 2 peringkat.

Peringkat pertama, Halangan Kampus yang terdiri daripada larian di atas bar konkrit ketinggian 1 meter, 1.5 meter dan 2 meter; gayutan menyeberang kolam lumpur sejauh 5 meter; leopard crawl atau monkey crawl di atas bar bulat besi waja menyeberang kolam lumpur sejauh 10 meter; abseiling menuruni tembok tanah setinggi 15 meter; merangkak di bawah kawat mata punai sejauh 20 meter dan melepasi tembok konkrit setinggi 3 meter. Halangan Kampus berjarak 500 meter.

Peringkat kedua, Merentas Desa – Kompas dan Peta (orienteering) sejauh 19.5 km. Jalan dan haluan kompas yang ditentukan oleh KPS menyebabkan kami terpaksa masuk kampung, taman perumahan, setinggan, kediaman golongan elit, kawasan perkilangan, merentas kompleks membeli-belah, menempuh kawasan perkuburan (Islam, Hindu dan jirat Cina), merentas halaman tempat ibadat (masjid, kuil Siam, gudwara Sikh dan gereja), menyelinap semak samun hutan belukar, menyusur lebuhraya pesisir pantai, mengharung muara sungai dan menyusur pantai – sebelum masuk ke jalan kecil yang membawa kami terus ke dalam Padang Kawad KD Sri Mutiara.

Orang ramai yang berpapasan dengan kami berasa hairan apabila melihat sepasukan satu platun Tentera Laut berseragam biru berjalan kaki lengkap memakai sut battle gear. Mereka sangka TLDM sedang membuat latihan di kawasan mereka.

Kanak-kanak kecil pula berlari-lari mengekor langkah kami sambil berteriak, “Ada askar nak tembak musuh! Ada askar nak tembak musuh! Peng, peng, peng!”

Beberapa orang rakan kami mengacukan muncung rifel kepada mereka lalu melakonkan aksi seorang perajurit di dalam cerita perang sedang melepaskan tembakan sambil membalas bunyi tembakan kanak-kanak itu, “Peng, peng, peng!”

Satu, dua orang daripada kanak-kanak itu melakonkan seolah-olah telah terkena tembakan senjata musuh dan berbaring di atas tanah. Rakan-rakan mereka di belakang bersorak, “Yeah…, musuh mati, musuh mati!”

Seketika kemudian, rakan-rakan mereka yang berbaring itu bangun semula dan mengibas baju mereka dengan tangan untuk membuang tanah yang melekat. Mereka melambai-lambai ke arah kami sambil berteriak, “Selamat pergi berperang abang-abang dan kakak-kakak askar!”

Kami rasa terhibur melihat gelagat budak-budak kecil itu dan membalas lambaian mereka kegirangan.

Acara pada hari itu diputuskan berdasarkan kiraan masa paling pendek dengan rujukan kepada orang pertama keluar dari kampus dan orang terakhir masuk ke dalam KD Sri Mutiara. Keputusannya, Thanna menang Acara Merempuh Halangan.

Divisyen Thanna bersorak “Thanna Gagah! Thanna Gagah! Thanna Gagah!” dipimpin oleh Aminah Wong.

*****

Pada suatu malam, saya datang ke bilik sea brother saya, PKK Radzi. Dia hendak berbincang dengan saya perihal Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Rekreasi Palapes Tentera Laut yang dijangka akan diadakan pada bulan hadapan. Radzi yang menjadi Setiausaha Kelab, ingin mendapatkan bantuan saya untuk mendrafkan minit mesyuarat tahun lalu yang akan dibentangkan. Saya mengetuk pintu biliknya dan berteriak,

“Minta kebenaran masuk, Tuan!”

“Masuk!” Terdengar jeritan suaranya dari dalam.

Saya membuka pintu, masuk ke dalam dan menutup semula pintu. Radzi sedang menghadap monitor komputer menaip sesuatu.

Relax, Ingpiu. Sekarang bukan waktu training. Dah siap assignment kau?”

“Sudah, Radzi,” saya membahasakan diri Radzi dengan panggilan namanya kerana itu kehendaknya apabila kami berbincang tentang perkara-perkara di luar latihan Palapes.

“Ini draf minit tahun lepas. Kau semak apa yang aku tulis. Mungkin ada perkara yang aku tak catat yang kau ada catat masa mesyuarat tahun lepas. Kau tambah kalau kau rasa ada yang kurang. Notis panggilan mesyuarat dah aku edarkan kepada semua ahli kelab. HEP (Hal Ehwal Pelajar) pun aku dah bagi tau. Dewan Kuliah dah aku tempah. Albert akan serah laporan kewangan minggu depan.”

Ujar Radzi sambil menghulurkan beberapa keping kertas siap bertaip kepada saya. Saya duduk di kerusi sebelah meja dan membaca draf itu. Radzi berbaring di atas katil sambil merenung kipas angin siling yang berputar lesu.

Intake (Pengambilan) aku mungkin akan jadi intake pertama jadi Subby (Lt Muda) memecah tradisi bertauliah bersama Palapes Army dan Airforce di UUM nanti. MTL tetap dengan keputusannya,” kata Radzi.

“Apa jadi dengan rancangan nak jumpa Panglima?”

“Aku, CO dan XO kita, sekali dengan CO dan XO mereka, dah pergi ke Kementah berjumpa Panglima. Pegawai-pegawai kanan MTL ikut serta dalam pertemuan itu. KPS kita dan KPS mereka pun ada. Panglima mengambil jalan tengah menasihatkan kami agar akur dengan keputusan MTL. Panglima sendiri yang beritau bahawa idea untuk menggabungkan pentauliahan kami dengan Palapes Army dan Airforce di UUM datang daripada beliau sendiri. Kami rasa terpukul dengan kata-katanya sebab selama ini kami sangka pegawai-pegawai MTL yang ikut suka hati mereka membuat keputusan sendiri. Malang sungguh nasib intake aku dan intake-intake selepas aku.”

“Sabarlah, Radzi. Saya rasa ada hikmah di sebalik keputusan begitu. Apa lagi yang Panglima cakap?”

“Dia memberi taklimat kepada kami tentang rancangan Bahagian Simpanan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) untuk membesarkan pasukan simpanan dengan merekrut lebih ramai civilian (orang awam) melalui saluran-saluran Askar Wataniah, PSSTLDM dan PSSTUDM di samping melalui unit-unit Palapes IPT seluruh negara. Sasaran mereka ialah untuk mencapai empat orang anggota simpanan bagi setiap seorang perajurit Regular penuh masa sebagai persiapan program Total Defense atau Hanruh (Pertahanan Menyeluruh) Kementah.”

Jiwa perwira saya berkobar dan bulu roma saya meremang semangat bila Radzi berkata begitu.

“Panglima menjelaskan bahawa Palapes Navy akan dikembangkan ke IPT seluruh negara setelah sepuluh tahun kejayaannya di kampus kita dan tiga tahun di kampus rakan kita itu. Sebab itu TLDM hendak selaraskan aktiviti Palapes Navy di bawah Bahagian Simpanan ATM dan tidak lagi di bawah MTL. Latiba (Latihan Bahagian) di Lumut dan Latihan Pelayaran tetap berjalan seperti biasa. MTL akan memberi sokongan logistik kepada unit-unit Palapes Navy melalui markas-markas latihan simpanan seluruh negara. Pentauliahan pegawai Palapes Navy akan dibuat serentak dengan unit-unit Palapes perkhidmatan lain yang akan diselaraskan oleh Bahagian Simpanan ATM.

Kata Panglima lagi, ATM akan melaksanakan proses peningkatan tahap profesionalisma di kalangan para pegawai melalui penubuhan ATMA, iaitu Akademi Tentera Malaysia yang akan dimasuki oleh para pegawai tentera sepenuh masa tiga cabang perkhidmatan. Apabila ATMA semakin berkembang, matlamat utama yang ingin dicapai ialah penubuhan sebuah universiti pertahanan peringkat nasional. Panglima turut menunjukkan kami pelan sebidang tanah di sekitar Sungai Besi yang akan menjadi tapak universiti itu.

CO kita pula komen bahawa semua yang Panglima kata tu sebenarnya bertujuan untuk memukat calon-calon pegawai terbaik untuk TLDM daripada berbagai sumber – program kadet regular, skim graduan, conversion rating kepada officer, PSS dan Palapes. Bagi mereka yang ada dalam perkhidmatan tetap, bila perang meletus, mereka tiada pilihan, kena pergi ke barisan depan bertempur dengan musuh negara. Bagi mereka yang di dalam pasukan simpanan, mereka sentiasa ada pilihan sama ada report duty ke markas terdekat atau bersama civilian melarikan diri ke khemah pelarian perang.

CO kita berharap agar Panglima dan MTL dapat memikirkan satu prosedur cara-cara atau formula untuk bekas-bekas Palapes boleh memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada negara dalam keadaan perang dan aman. Jika tak aktif dan tak report duty ke mana-mana markas terdekat pada masa aman, bekas-bekas Palapes akan larut dalam dunia civilian - bekerja, berniaga, meraih faedah komersial dan membayar cukai kepada negara, di mana cukai itu akan diguna untuk bayar gaji anggota tentera dan beli kapal-kapal perang baru. Kalau perang meletus, bagaimanakah cara bekas-bekas Palapes ini boleh diseru untuk berkhidmat kepada negara. Umumnya, mereka yang pernah menjalani latihan Palapes, semangat untuk mempertahankan negara tak pernah luput dalam hati mereka. Mereka ditauliahkan oleh YDP Agong, hanya YDP Agong boleh mencabut tauliah mereka.

Bila Panglima dengar kata-kata CO kita, Panglima kata dia akan ambil ingatan serius terhadap komen CO dan akan membincangkannya di dalam mesyuarat MTL.”

“Kalau macam tu, saya tak melihat keputusan MTL supaya Palapes Navy untuk POP dengan Palapes Army dan Airforce bukan sebagai perkara malang, Radzi.”

“Kenapa?”

“Dari sudut pengurusan yang lebih cekap, keputusan itu sebenarnya lebih kepada suatu tindakan penstrukturan semula organisasi TLDM untuk memperkemas, melicin dan memantapkan jentera pentadbiran. Ini akan memberi kebaikan dan kelebihan bukan saja kepada anggota Palapes dan unit-unit simpanan lain, bahkan seluruh warga pertahanan negara.”

Radzi terdiam merenung maksud kata-kata saya.

“Mungkin betul kata kau. Ini bukan perkara malang. Tapi kebaikan untuk semua pihak, pada masa sekarang dan masa-masa akan datang.”

Dia berdiam diri lagi seperti memikirkan sesuatu. Kemudian dia berkata lagi,

“Kau jadi nak ikut sailing masa cuti semester akan datang ni?”

“Jadi, Radzi. Saya cadang, bila habis Latiba yang lagi satu, saya nak request sambung belayar atas mana-mana kapal, nak cari pengalaman sikit. Lagi pun nak balik Sarawak sana, jauh, tiket belon pulak mahal. Lebih baik saya guna masa cuti untuk belayar atas kapal Navy. Dapat juga duit elaun sikit untuk cover belanja yuran semester depan.”

Radzi faham bahawa ‘belon’ yang dimaksudkan saya ialah kapal terbang mengikut dialek tempatan Sarawak.

“Bagus macam tu, Ingpiu. Untuk cuti semester akan datang ni, aku akan masukkan sekali nama kau dalam senarai budak-budak yang nak ikut sailing. Aku akan bagi senarai tu kepada CO untuk diserah kepada KPS masa training Sabtu minggu ni. Aku dengar dari KPS, ada kapal yang akan buat latihan mine sweeper di Sabah. Kalau dapat naik mine sweeper macam KD Jerai pun okay. Ladies aku ada request nak belayar, tapi tak ada kapal yang sesuai, jadi KPS cadang supaya ladies buat attachment dua minggu di Bahagian Pentadbiran MTL. KPS kata, dia akan request slot sailing Tunas Samudera khas untuk Palapes, masa tu semua orang boleh ikut belayar.”

Saya pulang dari bilik Radzi dengan perasaan berbaur. Saya berjalan ke asrama saya dengan semangat baru. Sekurang-kurangnya pengorbanan kami di kampus ini telah mendapat perhatian orang-orang atasan Kementah.

Lagu ‘Sumpah Palapes’ gubahan Radzi dalam rentak ballad berdendang di telinga saya,

“Kami Palapes Laut, berikrar sama-sama
Bersedia berkorban, untuk tanah air tercinta
Kami perwira laut, berlatih setiap masa
Tak kenal penat dan bosan, untuk ibu pertiwi kita.

Di tengah samudera raya, mengharung ombak dan badai
Mengganyang, menggempur, murka angkatan musuh
Pasukan Palapes Laut, siap sedia dikerah
Itulah sumpahan kami, anak watan negara jaya…!!!”


TAMAT.


SENIOR 1986-2011: Sejarah 25 tahun penubuhan Palapes Laut Universiti Sains Malaysia
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2011


Nota kaki:

  1. Ini ialah cerpen peringatan atau komemoratif yang saya sunting daripada cerpen “Anak-anak Palapes” dan diberi judul baru oleh Sidang Editor iaitu “Saya Budak Palapes”. Cerpen ini disunting semula dengan memuatkan perkembangan terkini yang sedang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia khususnya Bahagian Simpanan, untuk disiar di dalam sebuah buku peringatan sempena 25 tahun penubuhan Palapes Laut USM.
  2. Ini ialah buah tangan daripada intake saya sebagai menghargai segala pengorbanan dan jerih perih kami yang pernah menganggotai Palapes Laut USM dari awal penubuhan sehingga kini. 

1 ulasan:

  1. assalamualaikum tuan...sy intake 28 PALAPES-laut usm...boleh sy dptkn mklumat mengenai intake 1?

    BalasPadam