Jumaat, 21 Ogos 2015

13 Wawasan Anak Rantau

1

Batu Pahat, 1991.

Rafe'e tidak dapat membendung rasa kecewa akibat putus cinta dengan Rafeah. Rasa kasih, sayang dan cinta yang amat mendalam terhadap Rafeah semenjak di Tingkatan Tiga lagi menjadi sia-sia seperti debu-debu yang berterbangan apabila Rafeah terpaksa akur dengan keputusan ibu bapanya yang menghendakinya berkahwin dengan pemuda pilihan mereka. Hati Rafe'e semakin remuk apabila ibu bapa Rafeah mencemuh dirinya yang miskin dan serba tidak berada semasa menziarahi Rafeah. Rafeah tidak terkata apa pun, membiarkan Rafe'e pergi meninggalkan halaman rumahnya.

Rafe'e ingin lari dari daerah kelahiran. Keputusan SPM yang cemerlang tidak dihiraukan. Sebaliknya dia ingin merantau untuk mengubat hati yang luka. Puas ibu bapanya memujuk dan mencadangkan supaya dia melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk menebus malu dan cemuhan orang terhadap keluarga mereka yang miskin. Keluarga mereka memang miskin. Bapanya hanya seorang buruh kasar. Ibunya menjual kuih di warung orang. Dia anak sulung dan menjadi harapan keluarga untuk merintis jalan membina kehidupan yang lebih baik.

“Abah, mak. Rafe'e ingin bekerja mencari rezeki. Biarlah pada kali ini Rafe'e berdikari. Sudah lama abah dan mak berjasa kepada Rafe'e. Rafe'e juga ingin berjasa kepada abah, mak dan adik-adik. Rafe'e bukan pergi untuk mati, tapi untuk mengubah nasib. Jika ada rezeki, Rafe'e akan kirim setiap bulan seberapa banyak duit belanja yang Rafe'e mampu. Bolehlah nanti digunakan untuk belanja sekolah Hamdan, Hani, Izah dan Uya. Rafe'e pergi dulu abah, mak, adik-adik semua.”

Ketika bersalaman dengan ibu bapanya, air mata Rafe'e tumpah. Seluruh keluarga Rafe'e mengiringi langkahnya menaiki bas dengan pandangan yang sayu.

Semasa bas sedang mengukur jalan ke utara melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, Rafe'e merenungi bulan yang sedang menghiasi dada langit. Bintang-bintang yang berlabuh di pinggir awan yang berwarna perak mengindahkan wajah malam. Mei Lan, seorang promoter di sebuah pasar raya, menjadi teman perjalanan di kerusi sebelahnya. Gadis yang baru dikenalinya itu tertidur dan melentukkan kepalanya di bahu Rafe'e. Rafe'e tidak sampai hati hendak menggerakkan bahunya yang menjadi alas kepala Mei Lan. Dia hanya mampu membiarkan supaya Mei Lan terus berasa selesa begitu.

Hatinya berbisik.

“Siapakah aku sepuluh tahun lagi. Di manakah aku pada ketika itu?”

2

Pulau Pinang.

Menurut kelaziman, anak-anak muda kelahiran daerahnya akan merantau ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru untuk mencuba nasib. Akan tetapi, Rafe'e memilih untuk mencuba nasib di Pulau Pinang.

Rafe'e memilih Pulau Pinang bukan kerana dia telah merancang untuk mencuba nasib di situ. Dia memilih Pulau Pinang kerana mengikut gerak hatinya, setelah banyak kali melakukan sembahyang hajat memohon petunjuk daripada Tuhan. Rafe'e sendiri tidak tahu sebab hatinya kuat untuk berada di Pulau Pinang. Rafe'e percaya bahawa Tuhan tahu. Setelah beberapa ketika menjejakkan kaki di bumi pulau mutiara, barulah Rafe'e faham maksud gerak hatinya itu.

Rafe'e bernasib baik kerana setelah tiba di Pulau Pinang, setelah puas mengelilingi Bandaraya Georgetown, dan setelah penat meronda Bangunan KOMTAR beberapa kali, akhirnya dia bertemu dengan Redzuan, seorang lelaki separuh umur.

“Anak nak ke mana?” Tanya Redzuan apabila dia melihat Rafe'e duduk sahaja mendiamkan diri melihat orang lalu-lalang di bawah Bangunan KOMTAR. “Pak cik perhatikan anak lalu kawasan ini ulang-alik lebih daripada sepuluh kali sambil bawa beg besar. Anak muda yang ada perancangan tidak akan buat seperti apa yang anak lakukan ini.”

“Saya pun tak tahu nak ke mana, Pak cik,” jawab Rafe'e.
...setelah penat meronda
Bangunan KOMTAR
beberapa kali, akhirnya dia
bertemu dengan Redzuan...

“Datang dari mana?” Tanya Redzuan lagi.

“Batu Pahat, Johor.”

“Jauhnya! Apa tujuan sebenar, anak ni?”

“Saya merantau. Ingin berdikari. Saya ingin bekerja mencari duit untuk menyara diri sendiri dan mengirim ke kampung buat belanja adik-adik sekolah.”

Perbualan yang seterusnya telah mendedahkan hati budi masing-masing. Rafe'e mula mengenali Redzuan sebagai seorang usahawan yang menjalankan perniagaan perkhidmatan pengangkutan. Redzuan ialah pengurus dan salah seorang pemegang saham Syarikat Pengangkutan Redzuan Sdn Bhd. Syarikatnya kecil sahaja dan memberi perkhidmatan pengangkutan kepada syarikat-syarikat lain yang memerlukan lori dan trailer untuk menghantar barang-barang keluaran mereka kepada pembeli-pembeli di seluruh Semenanjung Malaysia. Pak Wan, panggilan mesra Redzuan, mempelawa Rafe'e bekerja dengan syarikatnya. Tempat tinggal disediakan dengan percuma. Elaun makan diberi. Rafe'e menerima pelawaan Redzuan.

Senja semakin gelap. Redzuan membawa Rafe'e ke rumah pekerja-pekerjanya di Gelugor. Rafe'e mengikut sahaja.

3

Setelah beberapa lama Rafe'e telah dapat membiasakan diri dengan rutin harian yang dilaluinya. Pada setiap awal pagi, selepas sembahyang Subuh dan bersarapan, Rafe'e dan rakan-rakan sekerja bertolak ke pejabat tempat kerja di Changkat Minden. Selepas merakam waktu kehadiran, mereka menunggu Redzuan untuk memberi taklimat pada hari itu. Dua buah trailer sepuluh tayar dan tiga buah lori enam tan telah siap menunggu di halaman pejabat. Lima belas minit kemudian, Redzuan turun dari pejabat di tingkat atas. Dia memberi taklimat kepada mereka tentang syarikat, firma dan kilang yang telah menempah kenderaan-kenderaan mereka, jenis barang yang hendak diangkut, destinasi dan tempat-tempat yang perlu disinggah dalam perjalanan pulang untuk membawa barang-barang ke Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Redzuan mempunyai pekerja seramai enam belas orang. Sepuluh orang pemandu lori, empat orang mekanik dan dua orang jurujual. Jawatan-jawatan ini sebenarnya tidak tetap kerana setiap pekerja Redzuan diberi peluang untuk melakukan ketiga-tiga kerja di atas mengikut sistem giliran kerja. Wawasan Redzuan ialah ingin melahirkan satu pasukan kerja yang memiliki individu-individu multidisipilin.

Wawasan Redzuan ialah ingin melahirkan satu pasukan
kerja yang memiliki individu-individu multidisiplin.
Oleh kerana Rafe'e pekerja baru, dia diberikan tugas sebagai kelendan lori yang akan mengikut trip-trip perjalanan lori sehingga diberikan peluang untuk memandu semua kenderaan-kenderaan milik syarikat Redzuan.

Pada hari itu semua kenderaan beroperasi penuh. Sepuluh orang termasuk Rafe'e ditugaskan untuk membawa kenderaan-kenderaan syarikat ke destinasi yang tertentu dan membawa barang-barang tertentu. Setiap kenderaan akan dikendalikan oleh dua orang pekerja. Mereka boleh bergilir-gilir memandu jika orang yang bertugas sebagai pemandu tidak larat lagi memegang setereng kenderaan. Sebelum bertolak, Redzuan memberi setiap pasukan sejumlah wang yang mencukupi untuk membayar duit minyak, tol lebuh raya, makan minum dan belanja-belanja lain. Kira-kira pukul tujuh pagi, kelima-lima buah kenderaan itu pun bertolak meninggalkan pejabat untuk pergi ke destinasi yang telah ditentukan. Setiap kenderaan dibekalkan dengan telefon bimbit untuk memudahkan perhubungan jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.

Lazimnya, destinasi dan laluan perjalanan adalah di sekitar kawasan utara semenanjung, meliputi Perlis, Kedah dan Perak. Kadang-kadang Redzuan ada menjadualkan perjalanan ke negeri-negeri lain meliputi seluruh semenanjung. Jika kenderaan yang dinaiki Rafe'e dijadualkan ke negeri Johor, dia akan mengambil peluang itu untuk menemui keluarganya di Batu Pahat buat seketika.

Sekembali dari perjalanan menghantar barang, kenderaan-kenderaan itu dibawa ke bengkel syarikat di tingkat bawah pejabat untuk diselenggara. Kerja-kerja itu dilaksanakan oleh pekerja-pekerja yang mengambil giliran bertugas sebagai mekanik untuk memeriksa enjin dan membaikpulih segala kerosakan yang berlaku ke atas kenderaan-kenderaan semasa di dalam perjalanan. Setelah selesai kerja-kerja penyelenggaraan, kenderaan-kenderaan itu dipindahkan ke garaj untuk diambil-alih oleh pekerja-pekerja yang mengambil giliran sebagai pemandu.

Barang-barang yang dibawa biasanya terdiri daripada produk kilang-kilang di kawasan perindustrian untuk dihantar ke pelabuhan atau gudang-gudang berlesen untuk dieksport, atau barang-barang import dari pelabuhan ke gudang-gudang berlesen dan pasar raya.

Rafe'e mendapati bahawa transaksi yang berlaku di dalam dunia perniagaan agak rumit. Namun, tidak sukar untuk Rafe'e faham kerana setiap transaksi sering diperjelaskan oleh Redzuan apabila Rafe'e bertanya tentangnya. Peranan syarikat seperti syarikat milik Redzuan hanyalah kecil dalam dunia perniagaan. Akan tetapi, peranan syarikat seperti itu tidak boleh diabaikan. Jika tiada syarikat pengangkutan seperti yang diusahakan oleh Redzuan, banyak barang yang tidak dapat diedarkan kepada pemborong, peruncit dan pengguna. Menyedari kepentingan syarikat tempatnya bekerja, Rafe'e tidak melaksanakan sesuatu tugas sambil lewa. Dia bekerja bersungguh-sungguh. Hati Rafe'e puas dan gembira. Sekurang-kurangnya dia sedar bahawa dia turut menyumbang ke arah perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara.

4

Jika melakukan perjalanan jauh, Rafe'e memerlukan masa kira-kira dua hingga tiga hari untuk menghantar barang. Jika melakukan perjalanan dekat, terutama di sekitar Pulau Pinang, Rafe'e memerlukan masa satu hari. Dalam sebulan, lebih kurang sepuluh hari Rafe'e dan kawan-kawannya melakukan perjalanan jauh. Hari-hari lain, mereka melakukan perjalanan untuk destinasi tempatan.

Jadi, Rafe'e sering mempunyai masa terluang pada waktu malam dan hujung minggu. Teman-teman serumahnya sering keluar, meninggalkan Rafe'e seorang diri di rumah. Rafe'e kesunyian dan sering teringat keluarga di rumah. Berita yang menggembirakan hati ialah adik-adiknya telah menunjukkan kemajuan di dalam persekolahan mereka. Hamdan telah diterima masuk ke ITM Shah Alam dan menjurus di dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Hani akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun itu. Izah berjaya dengan cemerlang di dalam UPSR. Uya akan masuk Tahun Empat. Rafe'e berasa bahawa pengorbanannya untuk membantu persekolahan adik-adiknya tidak sia-sia.

Kadang-kadang dia teringat kepada Rafeah, cinta pertamanya. Perasaannya kepada Rafeah kini kosong. Dia yakin bahawa Rafeah kini sedang berbahagia bersama suaminya yang bekerja sebagai Pegawai Perancang Bandar. Mereka kini menetap di Kuala Lumpur. Rafe'e tidak akan mengusik kebahagiaan Rafeah.

Rafe'e berasa bahawa hidupnya yang sunyi perlu diisi dengan sesuatu. Sesungguhnya dia tidak tahan menanggung sunyi. Dia mesti menyibukkan diri dengan sesuatu yang dapat membantu memantapkan keperibadiannya.

Pada suatu petang, ketika sedang berjogging di tepi pantai di bawah Jambatan Pulau Pinang, dia terlihat sebidang kain iklan yang menyatakan bahawa Persatuan Seni Silat Gerak Malaysia Cawangan Pulau Pinang sedang giat mencari ahli baru. Satu ilham terlintas di dalam fikiran Rafe'e.

‘Kenapa aku tidak cuba belajar silat? Sekurang-kurangnya aku akan faham kenapa orang-orang Melayu belajar silat. Dan lagi aku akan dapat memahami jati diriku melalui jalan silat,’ bisik hatinya.

Dia meminta pandangan Redzuan tentang hasratnya untuk belajar silat.

“Bagus tu, Rafe'e. Pak Wan sokong. Anak-anak muda zaman sekarang tidak ramai yang memahami jati diri mereka. Terutama sekali anak-anak bangsa kita. Tidak ramai yang faham kenapa mereka dilahirkan sebagai orang Melayu dan beragama Islam. Kalau kau masuk silat, kau akan meramaikan bilangan anak-anak muda yang ada kesedaran seperti kau. Pak Wan sudah menganggap kau seperti anak sendiri. Kalau kau masuk silat ini, kau akan dapat meneruskan hasrat Pak Wan juga.”

“Hasrat apa, Pak Wan?”

“Masa muda-muda dulu, Pak Wan ada juga belajar silat ini. Ramai kawan-kawan Pak Wan turut masuk kerana bahang rusuhan kaum amat hangat sekali di Pulau Pinang apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Mereka belajar silat kerana hendak mempertahankan kedaulatan dan hak bangsa Melayu dan agama Islam, bukan untuk menyerang hak kaum dan agama lain seperti yang sering dilaporkan oleh media asing pada waktu itu. Sekarang keadaan sudah aman. Perpaduan dapat dibentuk di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Kita boleh bersatu dalam perbezaan berasaskan kaum untuk menghasilkan satu budaya kerja yang bermutu.”

Redzuan meneguk kopi ‘O’. “Eh! Minumlah air kau tu. Nanti sejuk pula.”

Rafe'e meneguk tehnya.

Gerai makan Astaka di Jalan Akuarium memang sibuk pada malam minggu.

“Kalaulah Pak Wan tidak sibuk dengan perniagaan, ingin sekali Pak Wan bersama kawan-kawan lama berlatih silat pada waktu malam. Pak Wan ingin memberi nasihat kepada anak-anak muda kita dan mengongsikan pengalaman Pak Wan dengan mereka.”

Rafe'e bertanya lagi tentang pengalaman orang lama itu semasa zaman mudanya. Redzuan tidak segan-silu menceritakan kisah-kisah lamanya kepada Rafe'e kerana dia telah menganggap Rafe'e seperti anaknya sendiri. Rafe'e tidak jemu mendengar cerita Redzuan.

Malam semakin larut.

Esok hari Ahad. Hari minggu bagi negeri Pulau Pinang.

5

Semenjak belajar Silat Gerak, Rafe'e dapat merasakan perubahan dalam dirinya.

Dia tidak lagi kekok menggerakkan seluruh urat saraf, sendi-sendi dan tulang-belulangnya untuk menghasilkan satu pergerakan silat yang ringkas dan mudah yang boleh mengakibatkan kesan yang amat mudarat. Gerak-geri silat yang dipelajarinya tidak mementingkan bunga. Rafe'e mendapati bahawa sembilan puluh sembilan peratus gerak silat itu lebih tertumpu kepada usaha untuk mempertahankan diri. Hanya satu cara menyerang yang diajar kepada penuntut-penuntut. Gerak silat yang Rafe'e pelajari mempunyai sukatan pelajaran yang tersusun.

Ia bermula dengan pelajaran kaedah asas. Disusuli dengan pelajaran buah asas. Kemudian pelajaran buah jatuh, buah potong, pelari pisau, enam tolak enam dan diakhiri dengan tumbuk serang. Sebelum mengikuti setiap peringkat pelajaran asas, jatuh dan potong, penuntut-penuntut silat diijazahkan terlebih dahulu di dalam majlis pengijazahan ilmu silat oleh Guru Utama. Setelah berjaya menamatkan sukatan pelajaran Silat Gerak, majlis kesyukuran diadakan untuk meraikan penuntut-penuntut silat tersebut.

Setamatnya sukatan pelajaran Silat Gerak, tidak bermakna bahawa penuntut-penuntut silat telah lengkap dengan ilmu persilatan. Mereka masih belum cekap untuk menggunakan buah-buah silat yang dipelajari apabila berhadapan dengan ilmu seni bela diri lain yang mempunyai berbagai variasi gaya serangan yang sering mengelirukan. Jika berminat, mereka boleh meneruskan lagi sukatan pelajaran silat pada peringkat lanjutan yang dinamakan buah umum.

Pada peringkat buah umum, penuntut silat akan didedahkan dengan berbagai variasi serangan daripada ilmu seni bela diri lain yang ditunjukkan oleh jurulatih-jurulatih. Kebanyakan buah-buah serangan ilmu seni bela diri lain yang ditunjukkan merupakan buah-buah keputusan guru. Mereka akan ditunjukkan cara bagaimana mematahkan serangan-serangan tersebut yang meliputi serangan tangan kosong, serangan kaki dan berbagai jenis senjata kecuali senjata api, dengan menggunakan buah-buah silat gerak.

Belajar silat untuk membela diri sendiri. Akan tetapi,
diri sendiri itu milik siapa?
Rafe'e mendapati bahawa peringkat buah umum sebenarnya tidak bertujuan untuk mengalahkan ilmu seni bela diri lain. Sebaliknya, ia bertujuan untuk menunjukkan bagaimana cara supaya diri sendiri tidak kalah apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan. Mengalahkan orang lain bukan tujuan utama bersilat. Tujuan yang lebih utama ialah untuk tidak meletakkan diri sendiri di pihak yang kalah meskipun tidak mencapai apa-apa kemenangan.

Rafe'e berjaya menamatkan peringkat buah umum.

Seterusnya, jika penuntut silat berminat untuk menguji pencapaian diri sendiri, mereka boleh mengambil ujian sijil rendah, ujian sijil menengah dan ujian sijil tinggi. Rafe'e hanya berdaya mencapai peringkat buah umum. Dia belum ada keyakinan untuk mengambil ujian sijil rendah. Namun, dia ada menyimpan hasrat untuk mengambil ujian tersebut pada masa hadapan. Untuk membiasakan diri dengan buah-buah silat yang telah dipelajari, Rafe'e telah bergerak aktif di dalam pasukan demonstrasi yang sering mengadakan persembahan seni silat gerak di dalam majlis-majlis rasmi.

Belajar silat untuk membela diri sendiri. Akan tetapi, diri sendiri itu milik siapa?

6

Rafe'e dan Subra mengambil giliran sebagai mekanik pada hari itu. Rafe'e telah dipertanggungjawabkan untuk mengajar Subra untuk melakukan kerja sebagai mekanik kenderaan syarikat mereka. Subra sudah tiga bulan bersama pasukan kerja mereka. Sudah tiba masanya Subra diserap untuk menjadi sebahagian daripada pasukan mekanik pula. Redzuan berpendapat bahawa pekerja-pekerja syarikatnya harus mengambil peluang untuk mengembangkan bakat mereka semasa bekerja dengannya. Pada masa akan datang, jika mereka ingin berdikari, Redzuan tidak akan menghalang kerana dia percaya bahawa pekerja-pekerjanya telah dilatih untuk menjadi seorang yang berbakat dalam berbagai disiplin.

Dia bersama Subra telah bertungkus-lumus membuat kerja-kerja overhaul enjin trailer kerana berdasarkan jam penggunaan trailer itu, sudah tiba waktu untuk menyelenggara dan membaikpulih bahagian enjin dan komponen-komponen yang bermasalah. Kerja mereka hampir selesai. Rafe'e sedang mengikat kompresor pada kaki penyangga enjin.

“Alamak!” Rafe'e mengeluh. “Tak masuk pulak kepala skru dalam spanar ni. Subra, tolong ambil spanar nombor enam belas.”

Subra segera mencapai alat yang Rafe'e kehendaki di dalam kotak peralatan. Dia menghulurkan alat itu kepada Rafe'e. Rafe'e mengambil alat itu dan menyambung kerjanya.

Tidak berapa lama kemudian, kerja mereka selesai. Rafe'e mengajak Subra keluar makan di gerai nasi kandar Sharif di Gelugor. Subra mengikut sahaja.

Ketika sedang makan, radio dari gerai nasi kandar Sharif sedang mengumandangkan siaran radio tiga Pulau Pinang. Tiba-tiba juruhebah radio mengumumkan bahawa Pasukan Simpanan Sukarela TLDM yang berpangkalan di KD Sri Pinang, Gelugor, sedang giat berusaha menambahkan bilangan anggota simpanan. Untuk menjadi pegawai, sekurang-kurangnya lulus SPM dengan baik, manakala untuk menjadi anggota lain-lain pangkat, lulus SRP dengan baik. Mereka yang berminat diminta datang ke KD Sri Pinang untuk temuduga dengan membawa butir-butir peribadi dan sijil-sijil tertentu.

“Wah, mereka sedang giat menambah anggota simpananlah, Subra,” kata Rafe'e.

“Kau tak berminat ke nak masuk?”

“Ah, aku malaslah. Tak ada masa. Bagi aku, cukuplah bekerja dengan Pak Wan.”

“Tapi, ini bukan askar betul. Cuma jadi askar simpanan saja. Waktu biasa kita boleh bekerja seperti biasa. Mungkin waktu latihan kita boleh sama-sama pergi latihan.” Rafe'e cuba memujuk Subra untuk menyertai pasukan tersebut bersamanya.

“Kalau setakat jadi askar simpanan, aku pun asakar simpanan juga. Aku sudah lama masuk Askar Wataniah. Kalau kau perhatikan, setiap hujung minggu aku tiada di rumah. Itu kerana aku pergi latihan.”

“Kau tak cakap dengan aku pun.”

“Bagi aku, perkara seperti ini tak perlu heboh. Kalau kita berniat hendak masuk, masuk sahajalah. Kita saja yang tahu apa yang baik untuk diri kita. Kalau kau ada hati nak menyertai mereka, apa salahnya kau mencuba. Aku ada pengalaman sebagai anggota simpanan Tentera Darat. Kalau kau masuk pasukan simpanan Tentera Laut, sekurang-kurangnya kau ada pengalaman sebagai seorang anggota Tentera Laut meskipun cuma anggota simpanan. Bolehlah kita bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Aku sokong kalau kau nak masuk, sebab kau jenis orang yang ada semangat.”

Rafe'e terdiam memikirkan kata-kata Subra.

“Eh, jomlah kita balik. Dah nak malam ni,” kata Subra.

Mereka meninggalkan gerai nasi kandar Sharif.

Semasa motorsikal mereka sedang menyusuri lebuh raya tepi pantai, Rafe'e terlihat kawasan KD Sri Pinang yang terdiri daripada beberapa buah bangunan dan sebuah padang kawad. Sebatang tiang di hujung padang kawad itu sedang mengibarkan panji-panji TLDM dengan megahnya apabila angin senja dari laut bertiup kencang.

Rafe'e memasang niat untuk menyertai pasukan simpanan Tentera Laut pula.
Rafe'e diberikan pakaian seragam putih dan biru
lengkap dengan aksesori.

7

Setelah mengangkat sumpah dan menurunkan cap jari sepuluh, rasmilah Rafe'e menjadi anggota PSSTLDM dengan pangkat Pegawai Kadet Kanan. Rafe'e diberikan pakaian seragam putih dan biru lengkap dengan aksesori. Rafe'e dikehendaki datang latihan pada setiap hari Selasa dan Jumaat bermula pukul lima petang sehingga pukul lapan malam. Sukatan pelajaran Pegawai Kadet Kanan diajar di dalam kelas dan di padang kawad. Kerap juga mereka dikehendaki menghadiri aktiviti luar seperti latihan berenang, latihan menembak, merentas desa, merakit sungai, pandu arah berkompas, berkhemah dan lawatan ke markas-markas tentera dan institusi-institusi pertahanan. Rafe'e dikehendaki mengikut Latihan Bahagian (Latiba) sebanyak empat kali. Setiap Latiba mengambil masa selama dua minggu dan diadakan di KD Pelandok, Lumut atau di atas kapal-kapal TLDM. Rafe'e diberikan elaun latihan bagi setiap latihan yang diikuti.

Setelah berunding dengan Redzuan, Rafe'e mula mengambil cuti tanpa gaji untuk mengikuti latihan pelayaran yang dikendalikan oleh TLDM. Semasa di dalam PSSTLDM, Rafe'e telah berpeluang belayar menaiki berbagai jenis kapal perang TLDM. Dari sekecil kapal ronda seperti KD Sri Selangor hinggalah sebesar-besar kapal induk seperti KD Mahawangsa. Satu-satunya pengalaman pelayaran yang tidak dapat Rafe'e lupakan ialah apabila dia berpeluang mengikuti pelayaran di atas kapal layar KLD Tunas Samudera selama sepuluh hari dari Lumut ke Kuantan.

Sekian lama dia belayar menaiki kapal yang digerakkan dengan kuasa enjin. Apabila menaiki KLD Tunas Samudera yang digerakkan dengan kuasa angin, dia merasai pengalaman yang berbeza.
Pada setiap petang pula, rutinnya ialah menarik
dan menggulung layar.

Rafe'e didedahkan dengan hakikat sebenar ikhtiar hidup di tengah laut sebagai seorang kelasi sejati semasa mengikuti pelayaran KLD Tunas Samudera. Pada setiap pagi, rutinnya ialah mencuci geladak. Pada setiap petang pula, rutinnya ialah menarik dan menggulung layar. Kadang-kadang dia menjadi jurumudi yang membawa haluan kapal. Pada sebelah malam, di bawah cahaya bintang dan ditemani desiran angin laut dan bunyi ombak yang memukul badan kapal, dia menjadi pemerhati kapal yang melaporkan kepada pegawai bertugas anjungan segala cahaya hijau, merah dan putih, dan objek gelap yang kelihatan. Sering juga diadakan latihan melawan kebakaran dan banjir di atas kapal. Satu-satunya perkara yang sukar dilakukannya di dalam pelayaran KLD Tunas Samudera ialah memandu arah kapal pada waktu malam dengan hanya menggunakan radar. Rafe'e kurang cekap menafsirkan bintik-bintik putih yang tertera di atas skrin radar dan sering lewat memberikan laporan kepada pegawai bertugas anjungan. Sehingga pelayaran selesai, Rafe'e masih belum dapat memahirkan diri dengan seni pandu arah gelap.

Untuk mengubat rasa bosan semasa belayar, pegawai latihan menganjurkan pertandingan di antara kumpulan-kumpulan. Setiap kelasi di atas KLD Tunas Samudera berlumba-lumba mengumpul mata untuk memastikan kemenangan kumpulan mereka. Pegawai Laksana melalui arahan yang disampaikan oleh juragan, memastikan disiplin kelasi kapal sentiasa kekal di tahap yang terbaik. Dua puluh empat jam sebelum pelayaran tiba di destinasi, kumpulan pelayaran mereka telah diberi peluang untuk mengambil-alih seluruh kapal. Setiap seorang daripada kelasi telah ditentukan peranan yang harus mereka cuba laksanakan. Rafe'e telah ditentukan peranan sebagai juragan yang akan menjaga disiplin kelasi-kelasinya. Semasa di bawah penguasaan kumpulan pelayaran tersebut, KLD Tunas Samudera berada di bawah tanggungjawab mereka. Terpulang kepada mereka melalui pegawai memerintah yang telah mereka lantik untuk memandu arah kapal mereka ke arah mana dan aktiviti yang ingin mereka anjurkan.

Rafe'e berasa puas kerana berpeluang belayar dengan KLD Tunas Samudera. Melalui pelayaran itu, Rafe'e mula mengerti betapa pentingnya rakyat Malaysia diberikan kesedaran tentang perlunya mempelajari ilmu pelayaran dan kelautan. Malaysia ialah sebuah negara yang dikelilingi laut. Rakyat Malaysia wajar melazimkan diri mereka dengan aktiviti pelayaran. Amat malang dan rugi jika rakyat Malaysia buta tentang ilmu pelayaran dan kelautan.
Setelah dua tahun menyertai PSSTLDM, Rafe'e ditauliahkan
dengan pangkat Leftenan Muda PSSTLDM di dalam upacara
perbarisan tamat latihan yang diadakan di KD Pelandok.

Setelah dua tahun menyertai PSSTLDM, Rafe'e ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda PSSTLDM di dalam upacara perbarisan tamat latihan yang diadakan di KD Pelandok. Pada tahun itu, pegawai-pegawai kadet PSSTLDM berpeluang ditauliahkan bersama anggota-anggota tetap dan Palapes TLDM dari institusi pengajian tinggi tempatan seluruh negara. Sebak hati Rafe'e apabila menerima watikah daripada Yang Di Pertuan Agong Malaysia dengan disaksikan oleh seluruh ahli keluarganya.

8

Rafe'e sedar bahawa usianya semakin meningkat. Dia tidak berpuas hati dengan pencapaian hidupnya. Di KD Sri Pinang, pada suatu petang, Rafe'e sempat berbual-bual dengan beberapa anggota Palapes TLDM dari Universiti Sains Malaysia yang sedang mengikuti latihan mingguan mereka.

“Bolehkah kalau sekarang ini saya cuba memohon masuk USM, Osman?”

“Saya fikir mungkin susah, tuan,” Osman yang berpangkat Pegawai Kadet Kanan membahasakan diri Rafe'e dengan panggilan Tuan kerana di dalam perkhidmatan dan latihan, pangkat Rafe'e lebih senior daripada pangkat Osman, dan juga kerana Rafe'e telah menerima pentauliahan pangkat daripada Yang Di Pertuan Agong.

“Tuan sudah lama habis SPM, kira-kira lima tahun dulu. Kalau Tuan nak masuk melalui tiket SPM, Tuan harus mengikuti kursus matrikulasi selama dua tahun. Kemudian baru Tuan dapat disahkan untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama selama empat atau lima tahun lagi. Jika Tuan cuba masuk melalui tiket STPM, Tuan boleh terus memohon untuk mengikuti kursus ijazah pertama tanpa perlu melalui peringkat matrikulasi,” jelas Osman.

“Jadi, saya perlu ambil STPM terlebih dahulu sebagai tiket untuk menempah ijazah. Tak perlulah saya ambil diploma lagi.”

“Mungkin boleh, Tuan,” kata Jaimohan. “Tuan akan ambil masa yang lama. Kenapa Tuan tidak cuba ambil STPM dahulu dan kemudian mohon untuk ikuti kursus ijazah pertama? Kalau Tuan sukar untuk mengikuti pengajian sepenuh masa, Tuan boleh ikuti kursus pengajian luar kampus,” sambung Jaimohan.

Tiba-tiba tercetus satu ilham dalam fikiran Rafe'e.

“Betul kata kau, Mohan. Mungkin saya boleh cuba dengan pengajian luar kampus.”

Mulai hari itu, Rafe'e memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran.

9

Redzuan mendapati bahawa semakin banyak syarikat pengangkutan yang bercambah di serata Pulau Pinang. Kenderaan-kenderaan mereka lebih moden dan laju. Persaingan menjadi semakin sengit.

Tiba-tiba ekonomi negara menjadi gawat disebabkan oleh serangan spekulator asing terhadap matawang negara. Modal asing yang dilaburkan untuk membeli saham-saham tempatan dan keuntungan yang diperolehi oleh mereka telah dibawa keluar dalam masa yang singkat dengan jumlah yang amat banyak. Nilai matawang kemudian diturunkan mengikut kuasa pasaran. Negara hampir muflis. Zaman makmur telah berlalu, manakala zaman meleset pula semakin hampir. Kerajaan segera mengambil tindakan untuk menangani serangan spekulator-spekulator matawang.

Ekonomi serantau turut mengalami keadaan yang sama. Negara-negara Asia Timur yang pernah menjadi harimau ekonomi yang kuat, kini menjadi harimau ekonomi yang sedang sakit.

Keadaan ekonomi semasa turut menjejaskan perniagaan Redzuan. Pinjaman bank semakin sukar diperolehi untuk mendapatkan kecairan modal. Pinjaman bank yang sedia ada pula sukar untuk dibayar balik. Peluang untuk meraih keuntungan semakin menipis. Graf keuntungan syarikatnya semakin merosot. Akhirnya Redzuan tidak mampu bertahan lagi. Dia berunding dengan pemegang-pemegang saham untuk melepaskan ekuitinya kepada orang lain. Dia sendiri akan melepaskan jawatannya sebagai pengurus syarikat. Dalam masa yang sama, bank telah menghantar notis untuk menarik aset syarikat mereka di atas kegagalan membayar ansuran bulanan. Redzuan dan rakan-rakannya bersepakat untuk membiarkan bank menarik aset syarikat mereka.

Mereka bersetuju untuk menutup perniagaan. Pekerja-pekerja terpaksa diberhentikan dengan diberikan pampasan tiga bulan gaji.

Keputusan Redzuan untuk menutup perniagaan amat mengejutkan Rafe'e dan rakan-rakan sekerja. Mereka terpaksa akur dengan kesulitan yang sedang dihadapi oleh majikan. Dengan berbekalkan wang pampasan, mereka kembali ke kampung halaman masing-masing untuk mencari pekerjaan baru.

10

Rafe'e terpaksa kembali ke kampung halaman. Kepulangannya disambut dengan gembira oleh keluarganya. Hamdan tiada di rumah kerana masih menuntut di ITM Shah Alam. Kini Hamdan berada di tahun akhir pegajian. Hani pula akan masuk ITM Shah Alam pada tahun hadapan di dalam bidang Kesetiausahaan. Izah akan menduduki PMR. Uya pula akan menduduki UPSR. Rafe'e bersyukur kepada Tuhan di atas kemajuan pelajaran adik-adiknya dan dia hanya mampu berdoa semoga Tuhan akan mengurniakan rezeki yang baik untuk adik-adiknya. Rafe'e memberitahu ibu bapanya bahawa dia baru sahaja berhenti kerja kerana syarikat tempatnya bekerja telah ditutup berikutan masalah kemelesetan ekonomi yang sedang melanda seluruh negara. Dia bercadang hendak mencari kerja di Batu Pahat sahaja.

Hani memberitahu bahawa bandar Batu Pahat semakin makmur. Penduduk semakin ramai kerana semakin banyak kawasan perindustrian dan pusat perdagangan komersial yang dibuka. Banyak peluang kerja dan berniaga yang boleh dicari dan dicuba asalkan rajin berusaha.

Rafe'e tidak biasa menganggur lama-lama. Dia cuba mencari pekerjaan di bandar dan kerap terjumpa semula kawan-kawan lama yang telah lama tidak bertemu. Mereka bertukar khabar dan cerita. Kawan-kawannya bersimpati dengan nasib Rafe'e yang sedang menganggur akibat keadaan ekonomi semasa. Mereka kerap mencadangkan Rafe'e supaya berjumpa kawan-kawan mereka yang kini sedang berusaha membuka perusahaan sendiri yang mungkin boleh menolongnya. Rafe'e berterima kasih dengan cadangan kawan-kawannya dan membuat tindakan susulan dengan menghubungi kawan-kawan mereka yang dimaksudkan itu.

Rafe'e berminat di dalam perusahaan automotif. Dia mempunyai lesen sebagai operator beberapa jenis jentera berat, berpengalaman sebagai mekanik yang boleh menyelenggara dan membaikpulih berbagai jenis kenderaan dan berkebolehan sebagai seorang jurujual peralatan alat-alat ganti dan hardware kenderaan-kenderaan itu. Oleh sebab itu, dia menghubungi Razif Yan, seorang kawan lamanya semasa di bangku sekolah rendah dahulu.

Semasa di sekolah menengah, Razif Yan telah membuat satu kejutan. Pada suatu hari setelah tamat peperiksaan SPM, dia telah memberitahu Rafe'e bahawa namanya telah berubah daripada Yan Yoke Meng kepada Ahmad Razif bin Abdullah. Dia memberitahu hal itu kepada Rafe'e kerana Rafe'e ialah sahabat karibnya dan meminta Rafe'e agar merahsiakannya daripada pengetahuan kedua ibu bapanya. Rafe'e menerima berita itu dengan perasaan berbaur serta berjanji akan menunaikan permintaannya.
Kini Razip telah menjadi seorang usahawan muda yang
menjalankan perniagaan bengkel menyelenggara
dan membaikpulih kenderaan dan jentera berat.

Kini Razip telah menjadi seorang usahawan muda yang menjalankan perniagaan bengkel menyelenggara dan membaikpulih kenderaan dan jentera berat. Dia amat gembira apabila bertemu Rafe'e. Setelah bertukar cerita dan pengalaman hidup, Razif Yan bersimpati dengan nasib yang menimpa Rafe'e. Dia menawarkan Rafe'e agar bekerja dengannya. Dia turut mencadangkan Rafe'e supaya menjadi salah seorang pemegang saham syarikatnya dengan cara membeli sebahagian sahamnya. Razif Yan yakin bahawa jika diberikan dorongan seperti itu, Rafe'e akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Rafe'e tidak berupaya menolak pelawaan Razif Yan.

Pada keesokan hari, Rafe'e memulakan kerja di tempat baru.

11

Razif Yan menyokong cadangan Rafe'e untuk mengambil peperiksaan STPM dan LCCI sebagai calon persendirian. Dia turut memajukan pengesahan dan sokongan di dalam surat yang Rafe'e majukan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor. Rafe'e dapat mengaturkan masanya dengan baik. Siang dia bekerja. Malam dia belajar. Ibu bapanya memberikan dorongan dan galakan. Mereka hanya mampu berdoa untuk kesejahteraan hidup anak-anak mereka. Usaha gigih Rafe'e telah memberikan dorongan dan semangat belajar di dalam jiwa adik-adiknya. Usia tidak menjadi penghalang untuk memajukan diri. Asalkan ada azam yang teguh, kuat menjaga disiplin diri dan berusaha bersungguh-sungguh, apa yang ingin dicapai, Tuhan akan sampaikan.

Bapa Rafeah kerap menghantar keretanya di bengkel Razif Yan kerana dia amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disampaikan. Pada suatu hari, kereta yang dihantarnya diselenggara oleh Rafe'e. Apabila dia datang kembali untuk mengambil keretanya, dia mengambil kesempatan berbual-bual dengan Razif Yan.

“Maju sungguh perniagaan kau, Razif. Dalam keadaan ekonomi tengah gawat ini pun, tak putus-putus orang hantar kereta rosak ke bengkel kau,” kata Hj Dahalan.

“Alhamdulillah. Itu semua rezeki dari Tuhan, Pak Haji. Kita sebagai manusia tak boleh duduk diam menunggu orang datang ke kedai kita. Kita kena keluar cari pasaran dan buat sedikit promosi untuk meyakinkan orang tentang perkhidmatan kita. Dulu saya tiada masa nak buat semua itu. Kini sudah ada pembantu, mudah sikit kerja saya,” kata Razif Yan.

“Eh, Pak Haji, bagaimana dengan permohonan tanah kurnia yang bapa mertua saya majukan dulu? Dah lima tahun dia menunggu,” tanya Razif Yan pula.

“Pak Haji fikir, permohonan itu akan dirujuk semula oleh Hj Zaimi, Pentadbir Tanah yang baru. Pejabat Tanah sekarang ini nak kejar status ISO 9001 untuk membuktikan bahawa pengurusannya mengikut piawai kualiti pengurusan antarabangsa. Salah satu usaha yang sedang dibuat sekarang ialah memperbaiki semula urusan permohonan tanah kurnia. Hj Zaimi telah melantik Pak Haji untuk uruskan perkara ni. Pak Haji fikir, Pak Haji boleh membantu menyelesaikan masalah permohonan-permohonan lama termasuk permohonan bapa mertua kau,” jelas Hj Dahalan.

“Kalau begitu, saya akan sampaikan kepada bapa mertua saya tentang perkara ini,” kata Razif Yan.

“Jangan lupa tolong sampaikan salam aku kepada Wak Jamian tu. Dah lama aku tak berjumpa dia. Entah bagaimana dengan keadaannya,” kata Hj Dahalan.

“Insya Allah, Pak Haji. Bapa mertua saya tu sihat-sihat saja. Dia pun ingin berjumpa dengan Pak Haji.”

“Eh, mana pembantu kau yang kau kata baru ambil bekerja tu?” Tanya Hj Dahalan.

Tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira warna biru air masuk ke halaman bengkel. Pemandunya keluar dan berjalan melangkah masuk ke pintu bengkel.

“Itu pun dia dah balik, Pak Haji. Rafe'e namanya, kawan lama saya masa sekolah dulu. Dia baru balik dari bank untuk uruskan pinjaman syarikat kami. Kami bercadang hendak kembangkan lagi perniagaan kami,” kata Razif Yan.

Hj Dahalan memandang Rafe'e yang sedang menghampiri mereka. Rafe'e memberi salam. Mereka menjawab salam Rafe'e. Rafe'e bersalaman dengan Hj Dahalan.

“Pak Haji rasa macam kenal kau,” kata Hj Dahalan.

“Saya pula memang kenal Pak Haji. Pak Haji, saya sudah lupakan perkara lalu. Saya anggap itu semua sebagai pengalaman hidup yang pernah saya lalui. Bagaimana dengan Mak Haji dan Rafeah?” Kata Rafe'e pula.

“Oh, kau rupanya, Rafe'e. Pak Haji hampir tak kenal. Dah berubah rupa kau. Mak Haji sihat-sihat saja di rumah. Rafeah kini sedang mengandung anak ketiga. Sekarang dia di KL. Nanti bila hari nak bersalin, dia kata nak balik kampung. Jemputlah datang ke rumah bila senang nanti,” kata Hj Dahalan. Rasa hati Rafe'e dapat mengesan nada menyesal di dalam kata-kata Hj Dahalan. Mungkin dia masih mengingati peristiwa lama.

“Insya Allah. Eh, kereta Pak Haji sudah siap saya bikin semalam. Pak Haji nak ambil sekarang, ke?” Tanya Rafe'e.

“Ah, memang hajat datang ni nak ambil kereta. Eh, Razif, berapa semua sekali?”

Razif Yan menyebut jumlah harga servis. Hj Dahalan membayar dengan wang tunai. Razif Yan mengeluarkan bil tunai untuk Hj Dahalan.

Kemudian Hj Dahalan mengajak mereka keluar minum. Razif Yan terpaksa menolak pelawaan Hj Dahalan kerana pada hari itu ialah gilirannya menjaga bengkel untuk mengawasi pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja-pekerja mereka. Rafe'e mengikut Hj Dahalan menaiki keretanya yang telah siap diselenggara. Hj Dahalan memandu keretanya membawa Rafe'e bersama ke arah bandar Batu Pahat untuk mencari gerai makan.

Dia ingin berborak panjang dengan Rafe'e.

12

Setelah menekuni pelajaran dan menduduki kedua-dua peperiksaan tersebut, keputuan peperiksaan pun dikeluarkan. Rafe'e amat gembira kerana dia telah lulus dengan cemerlang di dalam kedua-dua peperiksaan itu. Dia berjumpa Razif Yan dan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran.

“Kau nak sambung pelajaran di USM? Apa bidang yang kau nak ambil?” Tanya Razif Yan.

“Aku fikir, aku nak ambil bidang kejuruteraan mekanikal,” jawab Rafe'e.

“Bagus tu, Rafe'e. Ada kaitan dengan bidang kerja kau sekarang. Aku sokong seratus peratus.”

“Terima kasih, Jip.”

“Cuma, aku harap kau jangan lupa yang kau masih ada kepentingan di dalam syarikat ini bila dah habis belajar nanti.”

“Insya Allah, aku tak akan lupa. Bila cuti semester nanti, aku akan balik tolong jaga bengkel. Kau sudah banyak menolong aku. Bagaimana aku boleh lupakan jasa-jasa kau?”

“Aku tolong ikhlas, tidak mengharapkan apa-apa balasan. Aku hanya ingin menolong kau.”

“Jip, apa yang aku buat ni, ialah sebahagian daripada strategi masa depan perniagaan kita. Aku yakin dengan prospek perniagaan ini. Sebab itu aku nak melanjutkan lagi pelajaran kerana aku ingin nak kembangkan perniagaan kita. Kita mesti pergi jauh kerana kita ada potensi untuk melangkah lebih jauh.”

“Aku percaya dengan kata-kata, kau.”

13

USM, 2001.

Angin petang dari selat berpuput lembut menyapa tubuh Rafe'e. Matahari senja masih ingin bersinar garang di ufuk barat.

Rafe'e duduk di bangku konkrit di atas sebuah tebing curam yang menghadap Jambatan Pulau Pinang. Kenderan bertali arus di jalan raya, menghambat urusan demi urusan yang hendak diselesaikan oleh para pemandu.

Padang bola sepak di bawah sana di penuhi oleh mahasiswa-mahasiswa yang sedang bermain bola sepak dengan penuh riang. Rafe'e yang sedang duduk mebelakangi Rumah Pemimpin dan Rumah Naib Canselor hanya mampu menonton perlawanan percuma itu. Tiba-tiba dia tersenyum sendirian mengenangkan nasib dirinya.

Kini, dia seorang mahasiswa di dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Kampus kejuruteran USM tidak terletak di pulau ini. Ia terletak di Seberang Perai, berhampiran kawasan perindustrian. Dia kerap berkunjung ke kampus induk untuk melaksanakan tanggungjawabnya di dalam bidang ko-kurikulum. Pada setiap petang Selasa dan Jumaat, jika tiada kuliah, dia akan mengikuti latihan di KD Sri Pinang. Pada setiap hari Sabtu, dia akan membantu staf-staf KD Sri Pinang mengajar unit Palapes TLDM. Kadang-kadang dia turut membantu staf-staf teknikal unit itu membaiki kenderaan-kenderaan tentera yang rosak. Pada setiap malam Isnin dan Jumaat, dia membantu jurulatih-jurulatih Seni Silat Gerak mengajar silat kepada mahasiswa-mahasiswi yang ingin belajar silat. Dia telah memakai tali pinggang merah setelah lulus ujian sijil rendah dan layak menjadi pembantu jurulatih.


Kredit foto kepada Laman Web Rasmi Pusat Pengajian
Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM.
Bila ada masa terluang, dia menziarahi Redzuan. Orang tua itu berasa gembira melihat perubahan Rafe'e. Dia kini membuka perniagaan agensi penghantaran dan import/eksport barang-barang di kawasan perindustrian. Redzuan mempelawa Rafe'e supaya sering berkunjung ke rumahnya.

Sekali-sekala bila cuti semester, dia akan pulang ke Batu Pahat untuk menolong Razif Yan menguruskan perniagaan mereka.

Rafe'e berasa puas dengan pencapaiannya. Masa hadapannya semakin jelas cerahnya. Dia yakin dan optimis bila memikirkan masa hadapan.

“Rafe'e!”

Rafe'e tersentak, seraya menoleh ke arah suara yang memanggil namanya.

Dia mendapati bahawa rakan sekuliahnya, Juliana Yong Abdullah, sedang berjalan menuju ke arahnya sambil membawa sebuah kamera. Roslina mengiringi Juliana.

Rafe'e tersenyum bila mengenangkan kali pertama berjumpa Juliana di kampus USM. Dia tidak mengenali Yong Mei Lan apabila gadis Cina itu menyapanya sewaktu dia berada di perpustakaan kerana dia sudah memakai tudung kepala dan berbaju kurung labuh. Gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Juliana itu rupa-rupanya ialah Mei Lan yang dikenalinya di dalam bas semasa perjalanan ke Pulau Pinang kira-kira sepuluh tahun dahulu. Mei Lan sudah banyak berubah.

“Oh, Ju dan Ina rupanya.”

“Sudah lama menunggu?” Tanya Juliana sambil tersenyum.

“Lama juga. Dalam sepuluh minit.”

“Ha, Ju. Bagi aku kamera kau. Biar aku yang ambil gambar kau berdua dulu,” kata Roslina.

Juliana memberikan kameranya kepada Roslina.

“Rafe'e, apa yang kau tunggu atas bangku tu. Pergilah dekat Ju,” arah Roslina.

Rafe'e bangun dan berjalan menghampiri Juliana. Dia berdiri di sisi Juliana. Juliana merapatkan dirinya ke tubuh Rafe'e.

Intim.

“Klik!”

‘Rupa-rupanya, pada sepuluh tahun dulu, aku tidak menyangka yang aku akan berdiri di sini,’ bisik hati Rafe'e.


TAMAT.


www.melayu.com, 16 Mei 2003
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1998 & 2003


Nota kaki:
  1. Ini ialah naskhah kerja kursus bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Ini adalah cerpen ketiga yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Ketiga menulis sebuah cerpen dan dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan. Cerpen di atas dengan versi dan judul asal turut tersiar di dalam laman web www.melayu.com pada 16 Mei 2003.Saya meletakkan tahun 1998 pada tanda hakcipta kerana cerpen ini telah ditulis pada tahun itu, manakala tahun 2003 adalah tarikh disiarkan buat pertama kali di internet.
  2. Cerpen ini tidak pernah disunting dan tidak pernah dihantar ke mana-mana akhbar atau majalah. Ia menyimpan banyak rahsia hidup saya yang saya zahirkan semula dalam bentuk sebuah karya kreatif berdasarkan pengalaman hidup dan gagasan masa depan saya sendiri semasa cerpen ini ditulis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan