“Apa yang
dimenungkan, tu,” Abu Bakar atau nama glamournya,
Burn, menegurku. Dia baru pulang dari kuliah histologi.
Aku sedang duduk
termenung, menghidu harum sekuntum seroja pemberian Juhana, sambil memerhatikan
sepohon pokok ceri di tepi jalan yang sedang berbuah lebat. Anak-anak jiran
keturunan Eropah dan Asia begitu girang memetik buah-buah ceri yang masak ranum.
“Aku tak faham
melihat perubahan sikapnya, Burn,” kataku sambil memasukkan setangkai bunga
seroja itu ke dalam vas di tepi tingkap.
“Siapa yang kau
maksudkan?”
“Juhana.”
Burn merebahkan
badan di atas katil setelah bersalin kain pelekat. Dia berlengging sahaja
kerana cuaca musim panas Adelaide terlalu gagah untuk diimbangi oleh penghawa
dingin bilik sewa kami.
“Apa
masalahnya?”
“Sejak berkawan
dengan student Algeria tu, dia jarang
bercakap denganku.”
“Lelaki atau
perempuan?”
“Lelaki.”
“Oh, ho. Kau
cemburu!”
“Tak. Tapi
curiga.”
“Curiga?” Burn
bangkit seraya duduk di birai katil menghadapku. “Curiga apa?”
“Kau tak ikuti
perkembangan dia?” Burn memandangku penuh persoalan. “Apa beza Ju dulu, semasa
kita sama-sama belajar di tahun pertama dan kedua, dengan Ju sekarang, semasa
kita sama-sama bertungkus-lumus di dalam peperiksaan tahun akhir?” Burn
terdiam.
“Betul juga kata
kau. Dulu dia rajin bercampur dengan kita, ambil tahu hal kita. Sekarang dia
tak macam tu. Kau ada penjelasan? Apa kaitan Ju dengan budak Algeria tu? Siapa
namanya?”
“Namanya Abdul
Rashad. Student psikologi. Ju ada berjumpa aku supaya tidak lagi bersusah-payah
mencari dia kalau aku ada masalah dalam subject
yang aku study. Sebaliknya, dia minta
aku supaya rujuk dengan Rashad kerana Rashad mampu beri penerangan jelas.”
“Itu tak
menjelaskan kenapa dia semakin renggang dengan kita!”
“Aku sudah jumpa
Rashad. Dia memang bijak pengaruh orang supaya percaya cakapnya. Dia memang ada
karisma sebagai psikiatris. Tapi, taukah kau siapa Rashad?”
“Tak tau. Kenapa
kau tanya begitu?”
“Dia seorang
pemimpin belia sebuah pertubuhan Islam radikal yang berpusat di sini. Aku
curiga dengan gagasan pertubuhannya. Bagaimana sebuah pertubuhan Islam seperti
itu boleh menggalakkan orang-orang Islam supaya tidak payah rajin berusaha
merebut rezeki yang dianugerahkan Tuhan di dunia dan menumpukan hidup beribadat
semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Tuhan? Kita di sini, datang untuk
belajar, memajukan diri kita dan memperbaiki keadaan hidup kita. Tapi si Rashad
tu, bila berkawan dengan Ju, dipujuknya Ju supaya meninggalkan pelajaran dan
masuk pertubuhannya. Kononnya kedudukan wanita di dalam agama semata-mata
berbakti untuk rumahtangga dan keluarga.”
“Juhana ada
cakap dengan kau macam tu?”
“Dia ada tulis
nota untukku. Dalam nota tu, dia mempersoalkan pula tentang masa depannya dan
bagaimana dia boleh berbakti kepada agama kalau tiada ilmu dan kemahiran.
Rashad bertegas bahawa tugas wanita hanya mentaati keluarga dan suami. Tak
payah susah-susah nak bekerja menyara hidup. Ju tak setuju dengan Rashad. Dia
menjauhkan diri dari Rashad.”
“Tentang dia
menjauhkan diri dari Rashad tu, aku rasa betul. Tapi tentang dia menjauhkan
diri dari kita, aku rasa ada penjelasan lain. Sekarang aku nampak logik rasa
curiga kau.”
Aku memasang earplug di telinga semula dan memainkan
lagi sambungan lagu “Seroja” sambil mencium kuntum-kuntum seroja di dalam vas
di tepi tingkap.
Mari menyusun seroja, bunga seroja,
Hiasan sanggul remaja, puteri remaja.
Menurut cerita
Shasha yang menjadi teman serumah Juhana, aku mendapat tahu yang Juhana telah
kematian bapanya akibat barah hati sebulan sebelum peperiksaan akhir bermula.
Berita kematian telah diterimanya seminggu kemudian. Mungkinkah itu punca
Juhana cuba menjauhi kami?
Aku telah
berusaha untuk berjumpa dengan Juhana. Akhirnya aku berjaya setelah terserempak
dengannya di perpustakaan. Aku terus mengucapkan takziah di atas kematian
bapanya sambil memberi perangsang supaya dia menumpukan sepenuh perhatian untuk
peperiksaan akhir.
“Taqdir Tuhan.
Kita yang hidup hendaklah terima dengan redha,” katanya tabah.
Kemudian kami ke
kantin untuk bersarapan sambil bersembang-sembang.
“Kau ada character tersendiri yang tak mudah
terikut-ikut dengan trend orang-orang di sekeliling kau,” ucap Juhana apabila
kami duduk setelah mengambil makanan di kaunter. Kami menikmati hidangan sambil
meneruskan perbualan.
“Aku lebih
percaya kepada flexibility dalam
berkawan. Aku percaya, dalam berkawan, kita tidak boleh membuatkan kawan kita
berasa oblige dengan kita. Yang
penting, kita mesti setia dan tidak khianat terhadap kawan kita itu.”
“Apa rancangan
kau bila kembali ke tanahair?”
“Berkhidmat
kepada masyarakat, berjasa kepada negara. Itulah cita-citaku.”
“Sungguh murni
cita-citamu.”
“Ju, …,” aku
ingin menyatakan sesuatu yang aku rasa amat sukar untuk dilafazkan.
Kami saling
berpandangan mata. Saat-saat itu terus berlalu bersama pengertian tersendiri
yang mengalir di antara kami. Dia menanti kata-kata yang akan kuluahkan.
Tiba-tiba aku berasa malu sendiri. Kurasakan kedua-dua pipiku kemerah-merahan
kerana menahan sipu.
Aku terus
meneguk air kopi yang semakin sejuk.
“Tak ada
apa-apa, Ju. Aku dah terlambat. Aku pergi dulu.”
Selepas
pertemuan itu aku terus ke dewan pembedahan untuk menghadiri peperiksaan akhir.
*****
Aku baru pulang
dari sessi disertasi di dewan pembedahan. Tiba-tiba Burn menerpa keluar dari
rumah sambil memberitahu sesuatu.
“Apa? Bila?”
Hatiku bergetar.
“Pagi tadi.
Shasha baru saja telefon aku.”
“Bagaimana
keadaannya sekarang?”
“Tak tahu. Mari
kita ke hospital. Kawan-kawan kita dan pegawai-pegawai JPM dah ada di sana.”
Rupa yang elok, dimanja, jangan dimanja,
Pujalah ia, oh saja, sekadar saja.
Aku rasa hidup
ini benar-benar kosong. Kenangan bersama Juhana telah menyemarakkan zaman
remajaku. Hati ini berasa meriah bila berada di sisinya. Adakah dia rasa
seperti yang aku rasa?
Aku tidak dapat
lagi menikmati keharuman kuntum-kuntum bunga seroja yang selalu dikirimnya
kepadaku pada setiap hujung minggu dalam musim bunga. Bila aku bertanya tentang
logik di sebalik pemberian bunga seroja itu, dia menjawab bahawa dia ingin aku
menganggapnya seperti bunga seroja itu. Alangkah syahdunya.
Kini dia sudah
tiada. Tuhan lebih menyayanginya. Dia telah meninggal dunia di dalam satu
kemalangan jalan raya yang dikelaskan oleh polis Adelaide sebagai kes langgar
lari semasa berjalan pulang dari membeli-belah bersama teman serumah setelah
menduduki peperiksaan terakhir.
Tiba-tiba pintu
rumah sewaku diketuk bertalu-talu. Aku membuka pintu. Seorang lelaki yang aku
kenal tercegat di ambang pintu.
“Assalamualaikum.
Boleh saya masuk?”
“Waalaikumussalam.
Silakan.”
Setelah berada
di dalam, dia lekas-lekas menutup pintu. Kemudian dia menjenguk ke luar tingkap
seperti memerhati seseorang. Kenapa Rashad berkelakuan seperti melarikan diri
dari sesuatu?
“Saudara tiada
usrah pada hari minggu ini?” Soalku sambil mempelawanya duduk di sofa.
“Persetan dengan
usrah dan kuliah. Saudara harus menolong saya. Nyawa saya dalam bahaya, tapi
saya tak takut mati.”
Kata-katanya
mengejutkan aku.
“Saya ada satu
rahsia besar yang hendak disampaikan kepada saudara. Harap saudara dapat simpan
rahsia ini dengan baik. Jangan sampai orang lain tahu yang saudara tahu rahsia
ini kerana akan membahayakan nyawa saudara.”
Kecurigaanku
terhadap Rashad sejak sekian lama memang berasas. Kecurigaanku kepadanya
semakin besar kini bila dia berbicara denganku tentang rahsia dan maut. Siapa
sebenarnya Rashad?
“Untuk membasmi green menace setelah komunis berkubur,
pertubuhan kami telah menggunakan agama Islam itu sendiri untuk melemahkan
kekuatan umat Islam. Ajaran Islam itu benar, tetapi umat Islam boleh
dipengaruhi dengan dakyah sesat ajaran Islam yang diselewengkan, khususnya oleh
tokoh-tokoh agama yang kami latih secara profesional.”
Tuhan, aku harap
dia berkata benar bila dia menceritakan tentang identiti dirinya yang sebenar.
“Saya telah cuba
mempengaruhi Juhana, tapi dia menolak ajaran saya, berbanding kawan-kawannya
yang lain. Lama-kelamaan, saya sedar yang saya telah mula mencintainya. Rasa
cinta saya kepada Juhana telah meneguhkan kepercayaan saya terhadap Islam. Saya
mula membenci pekerjaan asasi saya. Saya ingin lari dari dunia pura-pura ini.”
“Kenapa saudara
mencari saya?”
“Kerana dia
pernah memberitahu saya bahawa saudara adalah teman karibnya yang boleh
dipercayai. Kenapa tidak saya letakkan kepercayaan saya kepada saudara,
sebagaimana Juhana meletakkan kepercayaannya kepada saudara?”
“Apa kaitan
semua ini dengan Juhana dan saya?”
“Kemalangan
Juhana memang telah dirancang oleh pertubuhan kami. Orang atasan saya di Sydney
mula mengesyaki kegagalan saya mempengaruhi Juhana. Mereka sangka saya telah
memberitahu Juhana tentang rahsia pertubuhan kami. Saya sangat menyesal Juhana
mati kerana berkawan dengan saya. Saya ingin membela kematiannya. Tapi saya
tahu, saya tidak boleh berbuat begitu. Saya percaya, hanya saudara yang boleh.
Mungkin barang ini boleh membantu saudara.”
Rashad
mengeluarkan sebuah envelop berwarna oren yang kelihatan lusuh dari dalam
jaketnya. Envelop itu terpateri kemas.
“Di dalamnya
terkandung rahsia pergerakan pertubuhan kami. Saya sertakan pita rakaman yang
mengandungi minit mesyuarat orang atasan kami yang merumuskan bahawa Juhana dan
saya mesti dibunuh kerana kami telah dianggap sebagai ancaman kepada mereka.”
Aku mengambil
envelop itu dengan rasa hairan.
“Saya kesuntukan
masa. Saya minta diri. Jika keadaan terdesak, nyawa saya menjadi galang ganti
keselamatan saudara. Assalamualaikum.”
Belum sempat aku
bangkit untuk mengiringinya ke pintu, dia telah keluar melesapkan diri di
celah-celah orang ramai yang lalu-lalang di kaki lima.
“Waalaikumussalam,”
ucapku dengan perasaan berbaur.
Dua hari
kemudian, mayat Rashad dengan kesan tembakan di antara dua keningnya, telah
ditemui oleh seorang pengemis tua di dalam longgokan sampah-sarap di belakang
sebuah kondominium lama di pinggir bandar.
Aku mengetahui
berita itu melalui berita televisyen waktu perdana. Rakan-rakan serumahku tidak
menghiraukan berita tersebut kerana mereka sedang sibuk berkemas untuk pulang
ke tanahair.
Mereka telah
menjadi korban sebuah konspirasi antarabangsa untuk melemahkan Islam dan umat
Islam. Aku tidak berkongsi rahsia itu dengan Burn, rakan-rakan lain atau JPM.
Akibatnya, aku
telah menjadi seorang yang sangat curiga terhadap orang-orang di sekelilingku.
Wajah-wajah di negeri asing itu, boleh jadi sahabat yang mengambil berat
tentang diri kita, atau musuh yang ingin menamatkan nyawa kita.
Aku paranoid!
Aku tahu aku
tidak boleh berasa curiga tanpa sebab. Aku juga tidak boleh berasa lemah.
Mengapa kau bermenung, oh adik berhati bingung,
Janganlah percaya asmara, dengan asmara.
Suara Sharifah
Aini terus berkumandang di dalam telingaku menyanyikan lagu “Seroja” yang
keluar dari walkman yang ada di dalam
saku bajuku.
Seorang
pramugari manis melintas di sebelah tempat dudukku sambil menyorong sebuah
troli berisi hidangan makan malam. Sejambak bunga seroja kelihatan segar
menghiasi sebuah vas.
Seorang
penumpang lelaki berpakaian sut bisnes selang lima kerusi di hadapanku bangun
dan berjalan ke belakang. Mungkin dia ingin melepaskan hajat di bilik kecil.
Dia tidak
perasan bahawa pramugari tadi sedang menyorong sebuah troli hidangan makan
malam. Dia terlanggar troli itu. Pramugari dan penumpang itu saling memohon
maaf di atas kecuaian masing-masing.
Sejambak bunga
seroja yang segar terjatuh di atas lantai kapal terbang. Kelopak-kelopaknya
bertaburan. Namun, keharuman semulajadinya yang menusuk hidung terus
menyegarkan azam dan semangatku untuk berbakti kepada agama dan tanahair
tercinta setelah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di seberang
laut.
Mereka yang
terkorban tidak terkorban dengan sia-sia.
Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung,
Marilah kita bersama memetik bunga.
TAMAT.
Berita Harian, 11 Oktober 2000
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2000
Nota kaki:
- Cerpen ini ditulis semula daripada cerpen asal saya yang lain
berjudul “Ayuwati Serojaku” yang merupakan sebuah naskhah kerja kursus
bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas
elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada
lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen itu adalah
cerpen keempat yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang
mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Keempat menulis sebuah cerpen dan
dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan. Malangnya, semasa
hendak mengambil transkrip yang telah disemak dan diberi markah di loker
hadapan pejabat Shahnon Ahmad, saya tak jumpa transkrip saya dan berasa hairan
siapa yang telah ambil kerja kursus saya itu. Saya tanya pensyarah, beliau
kata semua telah diletakkan di loker untuk diambil kembali oleh para
pelajar. Hingga hari terakhir di kampus, saya masih tidak tahu siapa yang
ambil transkrip kerja kursus saya itu.
- Cerpen “Ayuwati Serojaku” sangat sentimental bagi saya. Ia diinspirasikan daripada novel Shaari Isa berjudul “Projek PL5”. Oleh kerana saya tidak buat salinan cerpen itu dan disket yang simpan cerpen itu telah punah, saya tidak dapat siarkan cerpen “Ayuwati Serojaku” di blog ini. Tema, plot, jalan cerita, struktur, latar masa dan peristiwa kedua-dua cerpen “Ayuwati Serojaku” dan “Harum Seroja Yang Gugur” adalah serupa kecuali “Harum Seroja Yang Gugur” adalah kependekan kepada cerpen “Ayuwati Serojaku”. Menulis semula naskhah yang hilang adalah pengalaman yang sakit. Kita hanya dapat coret balik setakat yang kita mampu ingat saja sebab kita memang tidak akan mampu untuk ingat semua setiap perkataan dan tanda baca yang telah kita coret dalam tulisan asal.
- Asas daripada cerpen ini telah menerbitkan dua lagi cerpen sambungan
iaitu “Kemboja Wangi di Kali” dan “Aroma Anggerik Rimba Dara” yang saya
belum pernah hantar ke mana-mana untuk diterbitkan.
- Diselitkan video foto pegun lagu "Seroja" dendangan Allahyarhamah Sharifah Aini yang dirakam daripada siaran Radio Klasik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan