Jumaat, 28 Ogos 2015

16 Bisikan Pemuda Resah

Pada petang itu, saya pergi ke Pejabat Kastam yang terletak di dalam kawasan Jeti Kastam untuk bertanya Encik Saad, seorang pegawai kastam, tentang permohonan kerja pemunggahan dan kerja lembur yang diajukan oleh agensi-agensi yang menggunakan perkhidmatan betau atau tapak pendaratan, tempat saya bekerja.

Encik Saad memaklumkan bahawa Ah Tai, pemilik Liong Tai Agency sudah membayar duit jeti dan mencadangkan agar saya mendapatkan resit tersebut daripadanya. Permohonan kerja lembur atau lebih masa pula telah diluluskan sehingga pukul 7 malam.

Ada sebuah kapal dari Tanjung Balai, Riau, membawa kopra dan arang, dan sebuah kapal dari Dumai, Sumatera, membawa muatan bakau dan kayu bergergaji, telah bertambat ke jeti kami sejak awal pagi tadi. Nakhoda kedua-dua kapal itu menginginkan kerja-kerja punggah-memunggah disiapkan pada hari itu juga. Saya telah memberitahu dua orang Operator Kren betau tempat saya bekerja agar cuba siapkan kerja discharge dalam masa satu hari pada hari itu juga kerana saya lihat tidak banyak jumlah kargo yang kedua-dua kapal itu bawa. Kedua-dua buah kren mobil betau berada dalam keadaan baik dan sedia untuk dioperasikan. Pada keesokan hari, kedua-dua kapal itu dijangka akan dimuatkan dengan barang dagangan tertentu seperti makanan dan tekstil hasil keluaran kilang-kilang dari kawasan perindustrian daerah saya dan akan belayar pulang ke pelabuhan asal setelah kerja-kerja loading selesai.

Saya kembali ke motorsikal yang saya letak di tempat letak kenderaan. Saya terlihat Encik Saman, dengan seragam birunya, sedang berjalan dari arah tongkang. Dia tidak nampak saya. Sebagai orang awam yang bekerja di dalam bidang yang ada kaitan dengan Jabatan Laut, saya rasa perlu untuk menunjukkan rasa hormat kepada beliau. Lantas saya pun menegurnya,

“Encik Saman,” saya menyeru namanya sambil mengangkat tangan.

Dia terpandang saya lalu membalas lambaian saya. Dia datang menghampiri saya dan kami bersalaman.

“Buat apa?” Tanya saya. Kemudian saya faham sendiri yang dia mungkin sedang menjalankan tugasnya.

“Oh, tengah buat kerja, ya,” saya memberikan sendiri jawapan kepada soalan saya itu.

Dia tersenyum. Kemudian dia menyoal saya.

“Kau ada lima ringgit?”

Saya tergamam dengan soalan tersebut dan tidak tahu tujuan soalannya.

“Duit aku terjatuh ke dalam air masa aku berada di atas bot tadi,” dia menjelaskan maksud tujuan soalannya.

Saya membuat andaian bahawa mungkin dia sedang membuat kutipan di atas bot untuk kerja-kerja rasminya dan kemudian sejumlah RM5.00 daripada duit kutipan itu telah jatuh ke dalam air, mungkin semasa dia sedang melompat ke atas bot.

“Oh, Encik Saman nak gantikan duit cukai rumah api, ke? Saya boleh pinjamkan dulu.”

“Esok kalau dapat gaji, aku bayar balik.”

“Okey, Encik Saman, saya balik ofis dulu.”

Kami pun berpisah dan saya meninggalkan Jeti Kastam.

Saya pergi ke pejabat Liong Tai Agency yang terletak di seberang jalan bersetentang dengan Jeti Kastam untuk berjumpa Ah Tai. Setelah mendapat bayaran servis betau dan resit kastam daripada Ah Tai, saya kembali ke pejabat. Saya bercadang hendak ke rumah Haji Usop pada malam nanti untuk menyerahkan wang kutipan pada hari itu.

Tiba-tiba telefon berdering. Saya mengangkat gagang telefon.

“Hello,” kata saya.

“Hello,” suara itu perlahan sahaja bunyinya. “Kau boleh jumpa aku tak sekarang?”

“Siapa bercakap ni?”

“Akulah, Saman.”

“Ya, ada apa hal, Encik Saman?”

Apabila orang kerajaan berkata begitu, saya faham bahawa ada sesuatu perkara penting yang ingin dibincangkannya dengan saya. Dengan penuh rasa takzim dan rendah diri, saya terus bertanya lagi,

“Jumpa di mana, Encik Saman?”

“Jumpa aku di Jeti Kastam.”

“Jeti Kastam? Okey, okey, saya datang sekarang. Tapi ada hal apa, Encik Saman?”

“Datang sajalah. Nanti aku cerita.”

Tanpa berasa ragu, saya keluar pejabat dan datang semula ke Jeti Kastam. Saya yakin bahawa mungkin ada suatu perkara berkaitan betau yang dia hendak bincangkan dengan saya. Apabila tiba di situ, saya mendapati yang dia sedang berdiri menanti saya. Saya menyapanya dan terus meletakkan motorsikal di tempat letak kenderaan.

Tiba-tiba dia memegang hujung lengan baju saya dan menarik saya perlahan ke satu penjuru yang agak terlindung daripada pemerhatian orang ramai di belakang sebuah bangunan stor lama dalam kawasan Jeti Kastam. Dia duduk dahulu dan mengajak saya duduk di sisinya.

Saya berasa hairan kerana dia hendak membincangkan sesuatu perkara yang saya sangkakan penting di sudut tersorok. Kenapa tidak di dalam Pejabat Kastam, atau di Pejabat Jabatan Laut? Namun saya pendamkan rasa hairan saya.

Ada hal apa, Encik Saman?”

“Aku nak cakap dengan kau pun seganlah sebab taukeh kau tu seorang Haji. Tapi betau seberang sungai sana tempat kau tu memang ada masalah.”

Pada ketika itu rasa curiga saya mula memuncak. Saya mula mengesyaki yang dia ingin mengadakan suatu ‘permainan’ dengan saya. Saya tidak pasti apa ‘permainan’ tersebut. Namun saya terus menyampuk kata-katanya.

“Pasal masalah lesen ke, Encik Saman? Tapi betau kami ada lesen punggah-memunggah dari Jabatan Laut, jabatan Encik Saman sendiri.”

Saya cuba mengingati semula dokumen-dokumen Jabatan Laut yang pernah saya periksa sehelai demi sehelai di dalam fail di pejabat tempat kerja saya. Kemudian saya teringat bahawa betau itu tiada lesen jeti dari Jabatan Laut, tetapi hanya ada lesen jeti dari Jabatan Kastam.

Berdasarkan pemahaman saya, jeti persendirian di tempat saya bekerja itu bukanlah jeti dalam ertikata sebenar. Ia hanya sebuah tempat pendaratan, pemunggahan dan pemuatan barang-barang dagangan yang membantu melicinkan urusan perniagaan tukar barang atau barter trading di dalam daerah saya.

Jeti sebenar mempunyai struktur fizikal kekal yang mengunjur ke dalam gigi air. Betau saya itu pula tiada struktur sedemikian. Malah ia juga tidak boleh dipanggil dermaga kerana tiada struktur fizikal kekal yang dibina untuk menembok tebing sungai.

Jabatan Kastam ada mengeluarkan lesen jeti persendirian kepada syarikat tempat saya bekerja untuk memunggah dan memuat barang-barang dagangan tukar barang yang tertakluk di bawah Seksyen 33 Akta Kastam 1967. Pembinaan jeti itu pula telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri, tertakluk di bawah Akta Air yang saya tidak ingat di bawah syeksen berapa. Jabatan Laut pula mengeluarkan lesen kebenaran kerja punggah-memunggah barang-barang dari bot ke jeti dan jeti ke bot.

Ada surat dari ibu pejabat kepada Pejabat Tanah di sini meminta supaya semua jeti persendirian yang sedia ada dihentikan kegiatannya sebab akan mengecilkan sungai sebagai laluan jalan air. Jeti Kastam ini nanti nak dipanjangkan lagi. Tapi Pejabat Tanah di sini minta tangguhkan dulu arahan penutupan jeti-jeti persendirian. Jadi, sekarang ni perkara tu ditangguhkan dulu buat sementara waktu.”

“Ibu pejabat jabatan mana, Encik Saman? Jabatan Tanah dan Galian Negeri atau Jabatan Laut Wilayah Selatan?” Saya bertanya untuk menduga arah tuju perbualan.

“Jabatan mana, itu tak penting. Yang penting ada arahan daripada ibu pejabat yang mesti dipatuhi oleh pejabat-pejabat peringkat daerah dan pihak-pihak yang berurusan tentang hal betau, termasuk betau kau,” dia menjawab seakan-akan menyelindungkan fakta sebenar yang dia seolah-olah tidak ingin kongsikan dengan saya.

“Jadi, apa akibatnya kalau semua aktiviti jeti persendirian itu akan dihentikan? Kenapa pula ibu pejabat akur dengan permintaan Pejabat Tanah tu?” Saya bertanya lanjut.

Encik Saman terdiam tidak meneruskan kata-katanya. Saya dapat merasakan yang perasaannya mula gelisah bila saya soal bertalu-talu begitu. Sebagai seorang penjawat awam yang ada pangkat, saya tahu ada perkara yang sungguh pun dia boleh mendapat akses tentang sesuatu perkara, namun dia mempunyai pengetahuan yang terhad untuk memahami kenapa sesuatu perkara itu diperintahkan sedemikian rupa.

“Kau ni banyak soal pulak. Aku panggil kau bukannya nak jawab soalan kau. Tapi ada perkara yang aku nak bincang dengan kau.”

Saya pasti sekarang bahawa memang ada suatu ‘permainan’ yang ingin dia mainkan dengan saya. Saya cuba memahami arah tuju perbualan kami, namun masih tidak boleh menarik apa-apa kesimpulan lagi.

Tiba-tiba terlintas di dalam hati saya satu perkataan yang amat saya gerunkan.

Rasuah.

Apakah Encik Saman ingin mendapatkan rasuah daripada saya? Dengan serta-merta rasa takzim saya kepadanya sebagai seorang pegawai kerajaan terus lenyap. Saya mengawal raut wajah, berpura-pura tidak nampak arah tuju perbualan kami. Saya memandang tepat mukanya, cuba membaca makna tersirat di sebalik kerlingan matanya, seraya berkata,

“Apa sebenarnya yang Encik Saman nak bincang ni. Kalau pun penting, kenapa tidak kita bincang dalam Pejabat Syahbandar ke? Tak pun, boleh juga di dalam Pejabat Kastam, ada aircond lagi.”

“Benda ni mana boleh bincang dalam Pejabat Kastam. Bukan bawah bidang kuasa dia orang. Pejabat aku pun tak boleh. Bos aku tengah pakai bilik mesyuarat, ada meeting dengan kapten kapal. Macam nilah, yang sebenarnya betau kau tu ada masalah,” katanya sambil mengerling saya.

Rasa curiga saya semakin besar apabila dia enggan setuju dengan gesaan saya supaya berpindah tempat perbincangan. Apabila dia kata yang jeti tempat saya bekerja ada masalah, berbagai andaian liar semakin berleluasa di dalam benak saya. Apakah sebenarnya yang Encik Saman mahu daripada saya?

“Masalah apa Encik Saman? Pasal lesen ke? Setahu saya Jabatan Laut memang ada keluarkan lesen kebenaran punggah-memunggah kepada syarikat kami, dan masih sah lagi, lama lagi nak mati. Surat kebenaran pembinaan jeti pun kami ada terima daripada Pejabat Tanah Daerah. Lesen Jeti pun kami ada, Jabatan Kastam yang keluarkan. Setiap kali ada bot yang gunakan kemudahan jeti kami, ada bayaran yang ditetapkan oleh Kastam yang kami kena bayar dan Kastam kena isu resit rasmi kerajaan di atas setiap bayaran yang kami buat kepada mereka. Apakah kami perlu buat permohonan Lesen Jeti kepada Jabatan Laut?”

Saya mengujar panjang menjelaskan lesen dan permit yang syarikat majikan saya miliki untuk membolehkan suatu perniagaan jeti tukar barang dijalankan. Sebenarnya, saya memahami bidang kuasa setiap jabatan yang mengeluarkan lesen dan permit kepada betau tempat saya bekerja itu. Menurut Haji Usop, majikan saya, agihan bidang kuasa seperti itu diputuskan untuk mengelakkan sesuatu jabatan terlalu memonopoli kutipan hasil daripada rakyat jelata yang menjalankan atau terlibat dengan perniagaan jeti tukar barang, serta untuk mengelakkan salahguna kuasa jabatan-jabatan kerajaan terbabit.

Jabatan Tanah dan Galian Negeri diberi kuasa mengeluarkan permit kebenaran membina jeti. Jabatan Laut diberi kuasa mengeluarkan permit kerja punggah-memunggah kepada jeti yang menjadi tapak punggah-memunggah, di samping mengutip cukai rumah api dan cukai dermaga. Jabatan Kastam diberi kuasa mengeluarkan lesen jeti kepada tapak punggah-memunggah barang-barang dagangan. Setiap kapal yang membawa barang dagangan untuk diniagakan dengan cara tukar barang mesti membayar kepada Kastam sejumlah wang yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Jika barang dagangan itu melibatkan hasil kayu-kayan, peniaga yang menguruskan pengimportan atau pengeksportan kayu-kayan wajib mematuhi peraturan Jabatan Hutan. Pada masa yang sama, usahawan jeti atau betau, perlu mematuhi syarat-syarat Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran serta bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis jika diperlukan. Jeti persendirian seperti itu juga tidak terkecuali daripada pematuhan syarat-syarat kuarantin tumbuhan dan haiwan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Jabatan Perikanan.

Sebab itulah saya berasa sangat curiga apabila Encik Saman meninggikan suara dengan berkata,

“Siapa punya kuasa lebih besar? Aku boleh keluarkan surat arahan menutup betau kau dalam tempoh 24 jam pada bila-bila masa saja kalau aku nak. Tapi aku tak buat macam tu.”

Saya berkata dalam hati, dalam hal betau, kuasa yang lebih besar ialah kerajaan negeri. Kerajaan negerilah yang menjadi pemudahcara menyelaraskan organisasi perjalanan sesuatu aktiviti perekonomian. Tiada jabatan yang boleh mendakwa bidang kuasanya lebih besar daripada jabatan-jabatan lain.

“Encik Saman, maaf cakap. Saya tak bermaksud nak perkecilkan kuasa Encik Saman. Tapi jika Encik Saman ingin keluarkan arahan macam tu, silakan. Kami akan patuh. Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi pasti akan tertanya-tanya mengapa tidak banyak hasil yang Kastam boleh kutip daripada pemegang lesen betau berbanding masa lalu sedangkan menurut carta Jabatan Laut banyak kapal barter trading yang masuk ke daerah kita ini. Jabatan Encik Saman juga yang akan menjawab nanti dalam mesyuarat bulanan antara jabatan di Bukit Timbalan sana. Malah ketua Encik Saman di sini yang akan pening kepala sebab dia tidak pernah keluarkan surat arahan penutupan, tapi kami terpaksa tutup betau kerana menerima surat arahan tutup dari Jabatan Laut yang asal-usul surat itu tidak diketahui daripada siapa yang keluarkan.”

Encik Saman terkebil-kebil matanya bila saya berkata begitu. Tanpa tangguh, saya meneruskan kata-kata saya,

“Kalau isu yang Encik Saman nak bincangkan ialah pasal kami tidak ada lesen betau yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut, saya ingin beritau Encik Saman bahawa kami dah semak Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan-peraturan Perkapalan Saudagar dan Peraturan Pelabuhan Johor 1953. Tiada satu klausa pun yang boleh ditemui yang mewajibkan usahawan betau mesti dapatkan lesen jeti daripada Jabatan Laut. Macam mana kami nak buat permohonan lesen jeti dengan Pejabat Syahbandar?”

Encik Saman kelihatan gugup dan terpukul mendengar kata-kata saya itu. Bila saya sedar yang dia terdiam agak lama, saya pula menegurnya,

“Yang sebenarnya, apa hal yang penting sangat Encik Saman nak bincang ni?” Tanya saya dalam nada lembut.

Dia seakan tersedar bila saya bertanya begitu setelah terpukau mendengar kata-kata saya tentang hal ehwal pengurusan betau.

“Itulah, aku nak cakap pun segan sebab taukeh kau tu seorang Haji. Macam nilah, pinjamkan aku dua ratus ringgit, boleh?”

Saya tergamam. Banyaknya!

Saya nak bagi duit itu sebagai apa? Atas budi bicara saya ingin menolong dia? Apakah dia hendak pinjam duit saya untuk melunaskan bayaran tertentu? Apakah dia benar-benar terdesak dari segi kewangan?

“Tapi orang Ah Tai gentle. Dia sanggup bagi aku seribu sebulan. Aku ingat bisnes yang macam kau jalankan tu, mungkin boleh bagi aku banyak tu.”

Dengan tiba-tiba rasa benci di dalam hati saya terhadapnya meluap-luap. Dia boleh berkata seperti itu dengan air muka yang selamba, tanpa rasa malu. Saya selindungkan rasa benci itu dengan riak wajah yang terkawal dan turut berlagak selamba.

“Ah Tai boleh bagi direct kepada Encik Saman sebab dia sendiri taukeh. Saya pulak tak boleh nak pandai-pandai sendiri bagi duit kepada Encik Saman sebab saya bukan taukeh. Saya kena beritau taukeh saya dan minta izin dia untuk merasuah Encik Saman suatu jumlah yang tetap pada setiap bulan ikut kemampuan syarikat.”

Dia meletakkan jari telunjuk di bibirnya sambil menjegilkan mata dan berkata,

“Syyy… Jangan cakap terang-terang, nanti orang dengar, jatuh reputasi aku…”

Pada ketika itu barulah saya sedar bahawa Encik Saman sememangnya seorang kaki rasuah. Dia tahu bahawa rasuah itu haram. Namun, dia tetap ingin duit hasil rasuah, asalkan tiada orang lain tahu yang dia makan duit rasuah. Saya mengukir senyum di bibir. Bila melihat saya tersenyum, hatinya berasa senang, lalu mengajukan pertanyaan,

“Macam mana? Boleh bagi aku dua ratus?”

“Boleh. Saya boleh pinjamkan Encik Saman duit saya dulu. Tapi bila dapat gaji nanti, bayar balik dengan saya sebab saya nak bagi duit tu kepada adik saya yang masih belajar di UTM. Dia pun terdesak nak pakai duit. Katanya, dia keputusan duit belanja makan.”

“Habis, kalau kau bagi duit sekarang, adik kau tak ada duit makanlah. Dia tak ada biasiswa ke?”

Selahap-lahap Encik Saman, saya kagum dengannya kerana masih ada simpati dengan orang yang tiada kemampuan hendak beli makan minum. Biasanya pemakan rasuah bersifat rakus, haloba, pelahap dan tidak peduli nasib orang lain yang susah.

“Dia tak layak dapat biasiswa atau pinjaman pelajaran sebab dia ada waris yang boleh tanggung pelajarannya. Sayalah waris tunggalnya.”

“Berapa orang adik-beradik kau?”

“Kami berdua je. Orang tua kami, ibu dan ayah kami, dah lama meninggal dunia. Hanya dia saja harapan saya untuk mengubah nasib keluarga.”

Encik Saman menghela nafas. Apakah itu nafas insaf?

“Tak apalah. Lain kali saja kau bagi duit tu. Aku tak nak makan harta anak yatim. Tapi ingat, jangan beritau sesiapa tentang perjumpaan kita ini, terutamanya orang-orang di ofis aku.”

“Baiklah.”

Saya terus bangun dan menaiki motorsikal saya menuju ke pejabat. Setibanya saya di pejabat, saya terus menutup pintu dan duduk di atas sofa.

Buat sementara saya berasa lega kerana helah saya menjadi. Saya tahu bahawa orang seperti itu tidak akan meninggalkan saya sehingga dia dapat apa yang dia inginkan daripada saya. Ini kerja pemeras ugut! Bagaimanakah seorang penjawat awam seperti itu boleh menyalahgunakan kuasanya?

Nada suaranya semasa bertukar bicara dengan saya sepanjang pertemuan itu kedengaran seperti orang tengah high. Suaranya amat perlahan dan keluar dari dalam tenggorok.

Apakah dia berada dalam keadaan khayal. Apakah dia sedang berada di dalam pengaruh ketagihan sesuatu? Ganja, umpamanya, kerana saya mendapat tahu daripada orang-orang kapal bahawa bekalan daun ganja mentah yang siap dikeringkan boleh diperolehi dengan mudah daripada mereka. Haji Usop telah memberi amaran kepada saya agar berhati-hati dengan orang-orang kapal yang menawarkan ganja mentah. Malah seorang perisik Polis dari cawangan narkotik telah berjumpa saya di pejabat betau memohon jasa baik saya agar sudi menjadi informer berkaitan aktiviti pengedaran bahan dadah di betau.

Sungguh berani Encik Saman minta duit rasuah daripada saya.

Saya percaya bahawa perkara ini tidak akan selesai setakat ini. Bagaimanakah jika pada masa lain dia memanggil saya dan minta duit lagi daripada saya? Apakah alasan lain yang boleh saya beri? Saya pasti akan berurusan dengan dia lagi pada hari-hari seterusnya.

Sesungguhnya orang seperti itu telah menyusahkan hidup saya. Saya tidak halalkan dunia akhirat apa sahaja wang yang akan saya terpaksa beri kepadanya atas dasar rasuah, duit kopi, wang perlindungan, sagu hati dan seumpamanya. Saya hanya percaya bahawa BPR adalah perunding saya yang terbaik dalam masalah ini. Saya akan mengadukan hal ini kepada mereka selepas mendapatkan nasihat Haji Usop pada malam nanti.

Semoga Tuhan menunjukkan kepada saya jalan untuk membendung gejala rasuah dan salahguna kuasa. Semoga Tuhan memberikan saya keperkasaan untuk menghadapi kenyataan hidup. Semoga Tuhan melindungi orang yang baik-baik.


TAMAT.


www.eSasterawan.net, 17 Ogos 2007
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2006 & 2007


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis semasa saya bekerja di Bintulu berdasarkan pengalaman sebenar saya semasa bekerja di Batu Pahat sebagai seorang Tally Clerk di sebuah jeti persendirian yang menjadi lokasi barter trading barang-barang dagangan seperti kelapa, kopra, pinang, kayu bergergaji, kayu balak, kayu bakau, arang, makanan segera, tekstil, barangan kulit, permainan kanak-kanak dan barang-barang lain dari Tanjung Balai, Riau dan Dumai, Sumatera, untuk ditukar dengan barangan hasil bumi Batu Pahat/Muar yang akan dipasarkan di sana mengikut kontrak yang telah dipersetujui oleh para peniaga. Teks di atas disaring daripada laporan bertulis saya kepada BPR Batu Pahat terhadap salahlaku seorang anggota penguatkuasa penjawat awam yang hendak mendapatkan wang rasuah bulanan daripada saya. Oleh kerana terlalu panjang seperti sebuah cerpen (komen seorang pegawai), pegawai kanan yang telah membaca laporan itu meminta saya meringkaskan laporan dengan cara menjawab soalan spesifik daripadanya dengan ringkas dan tepat tetapi mencapai maksud laporan. Setelah selesai membuat laporan, saya nekad meninggalkan Batu Pahat mencari kerja di tempat lain.
  2. Semasa bekerja di Bintulu, saya menulis semula sebuah cerpen berdasarkan pengalaman anti rasuah saya dengan tidak memperincikan lokasi serta mengubah nama watak / entiti perniagaan. Namun saya terpaksa mengekalkan nama jabatan supaya para pembaca boleh memahami dengan mudah latar belakang cerita dan leraian daripada kekusutan yang saya bentangkan kepada para pembaca. Teks ini telah saya sunting banyak kali dengan membuang perenggan-perenggan tertentu yang tidak menyokong jalan cerita dan mengubah beberapa kali subjek dan prediket ayat-ayat tertentu.
  3. Setelah peram selama 4 tahun, pada tahun 2006, saya terbaca iklan Sayembara Menulis Cerpen Negeri Johor 2006 anjuran DBP Wilayah Selatan. Saya membuat keputusan untuk menghantar naskhah ini untuk masuk sayembara tersebut. Tidak lama selepas itu, saya terima surat makluman daripada penganjur bahawa cerpen itu menang hadiah saguhati dan saya dijemput untuk terima hadiah di dalam sebuah majlis yang diadakan di Johor Bahru. Oleh kerana sudah berkahwin, saya pergi bersama isteri yang menjadi pengiring saya. Berita tentang majlis tersebut telah dilaporkan oleh Rusdi Abd Rahman di dalam majalah Dewan Sastera edisi November 2006. Namun sehingga kini saya tidak melihat sebuah antologi pemenang sayembara itu sama ada yang diterbitkan oleh DBP. Saya meletak tahun 2006 pada tanda hakcipta kerana pada tahun itu, cerpen ini telah dibaca oleh panel hakim dan diperakui sebagai pemenang saguhati sebuah sayembara penulisan cerpen, dan tahun 2007 kerana pada tahun itu saya memuatnaik di laman web www.eSasterawan.net tetapi laman web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting.    
  4. Asas daripada cerpen ini telah menerbitkan dua lagi cerpen dengan tema industri sokongan marin iaitu “Gerak Gantri”, dengan latar kerja penyelenggaraan aset mudah alih pengendali kontena di pelabuhan, dan “Transisi” dengan latar kerja mengurus kapal-kapal pesisir pantai AHTS yang menyokong kerja carigali minyak dan gas di laut. Cerpen “Gerak Gantri” pernah saya siarkan secara online di laman web e-Sastera yang lama, manakala “Transisi” belum pernah tersiar di mana-mana.
  5. Saya benci rasuah kerana hukum haramnya telah jelas dalam agama Islam. Saya percaya anda turut membenci rasuah. Tetapi kalau anda ditaqdirkan berdepan dengan situasi rasuah, apakah pilihan anda dan apakah yang anda akan buat?
  6. Kredit akaun Youtube 'Md Jaeez' untuk lagu "Akar dan Bumi" dendangan Amuk. Lagu ini ditujukan kepada kita semua para pendosa, masih ada peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan