Isnin, 13 Julai 2015

10 Mentari Merah di Hujung Tanah

Selepas sembahyang Subuh pada hari Jumaat, Maryani pergi ke pasar untuk membeli rempah ratus ramuan masakan nasi beriani gam jamuan makan tengah hari di Istana Besar. Tepat pukul 8.00 pagi, dia tiba di dapur istana membawa bahan-bahan masakan dan mula menyelia kerja-kerja memasak.

Pada hari itu, dia memilih untuk menghidangkan beriani ayam. Ketul-ketul ayam telah siap dipotong dan diperap dalam ramuan kari kurma dan rempah beriani pada petang semalam selepas disembelih dengan bantuan kawan-kawan sepasukannya setelah mendapat izin Sultan. Sultan Ibrahim gemar makan nasi beriani gam masakan Maryani. Resepi Maryani amat istimewa kerana kurang kandungan lemak dan kaya dengan rempah ratus yang baik untuk kesihatan tubuh badan.

Maryani ada cara tersendiri menanak beras nasi beriani. Setelah lauk kuah ayam beriani yang ditunu di dalam periuk tembaga bersaiz besar dan bertelinga empat itu masak separuh, dia meletak sebuah tungku di dalam perut periuk. Dia membasuh beras sebanyak tiga kali, membungkus beras yang basah itu dengan sehelai kain kapas putih yang besar dan dipunjut kemas-kemas supaya tidak terburai ke dalam lauk. Punjutan beras itu diletak di atas pelantar tungku, periuk tembaga itu ditutup kemas berlapik daun pisang di bawah penutup dan beras itu dibiarkan masak menjadi nasi dengan menggunakan wap panas kuah beriani yang mengitar di dalam periuk dan menembus punjutan beras. Dia menggunakan bara api sekata.

Setelah separuh bacaan surah Yasin sehingga ayat, ‘Salamun qaulan min rabbir rahim’, barulah daun pisang menjadi layu sebagai tanda nasi telah masak. Ketika itulah, ayam rempah beriani telah masak penuh serentak dengan masaknya nasi. Nasi beriani yang telah masak dikeluarkan dan diasingkan ke dalam belanga besar diperbuat daripada tanah untuk mengekalkan perisa kuah beriani yang menyerap ke dalam nasi.

Pada pukul 12.00 tengah hari, Maryani dan tukang-tukang masak istana selesai memasak. Mereka membuat persiapan untuk hidangan pula. Hidangan dibahagikan kepada 3 bahagian; penghuni istana, askar Sultan dan rakyat jelata jemaah Jumaat. Untuk bahagian askar Sultan, dihantar terus ke Dewan Makan Kem Timbalan Setia Negeri, manakala untuk bahagian rakyat jelata, dihantar terus ke Balai Makan Masjid Sultan Abu Bakar di atas bukit.

Selepas sembahyang Jumaat, Sultan Ibrahim menjamu rakyat jelata dengan hidangan nasi beriani ayam. Semasa makan itulah, Sultan mengambil peluang beramah mesra dengan rakyat jelata sambil mendengar aduan mereka yang berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran negeri dan kehidupan mereka sehari-hari. Sultan juga berpeluang mendengar pandangan rakyat jelata berkaitan dengan suasana perang dan keselamatan dalam negeri pada ketika itu.

Pada sebelah petang, latihan kawad perang diadakan di Kem Timbalan Setia Negeri, berikutan ancaman perang pasukan tentera Jepun yang telah mula melancarkan kempen perang di Asia Tenggara setelah berjaya menawan negara China. Latihan kawad perang itu berterusan sehingga tengah malam. Setelah latihan itu selesai, anggota-anggota pengawal yang bertugas segera melapor diri di kubu pengawal yang terletak di setiap penjuru kem. Anggota-anggota lain turut dikerah berkawal di tempat-tempat strategik lain seperti stesyen janakuasa elektrik, kolam bekalan air, hospital, gudang beras, istana dan bangunan pentadbiran.

Pada malam itu, kumpulan Maryani bertugas di kubu yang menghadap Tambak Johor.

Bandar Johor Bahru pada waktu malam kelihatan lengang dan gelap-gelita. Stesyen janakuasa elektrik di Setulang hanya beroperasi sehingga pukul 10.00 malam. Anggota-anggota polis meronda setiap penjuru bandar untuk mencegah perbuatan jenayah.

Kubu itu dikawal oleh tiga orang anggota, Maryani sebagai ketua, manakala Kasdani dan Unos sebagai anggota bertugas. Kasdani dan Unos setiap seorang dilengkapkan dengan sepucuk senapang. Maryani pula mempunyai sepucuk revolver di pinggangnya. Sekiranya pecah perang di Johor, kubu mereka akan dilengkapkan dengan machine gun yang akan dibekalkan oleh tentera Inggeris yang berpangkalan di Singapura. Itulah yang difikirkan oleh Maryani, namun dia tidak tahu bahawa Sultannya telah mempunyai perkiraan lain dengan Inggeris.

Tiba-tiba kelihatan dua susuk tubuh bergerak di dalam gelap mendekati tempat mereka berkawal.

“Siapa?” Cabar Prebet Unos.

“Kami!” Jawab satu suara. Pemilik suara itu mengangkat kedua-dua tangan sambil terus berjalan menghampiri mereka. Tubuh yang di belakang tidak mengikut perbuatannya.

Wajah Mejar Engku Abdul Aziz dan Mejar Jeneral Sir Sultan Ibrahim semakin jelas disinari lampu karbaid kubu. Mereka lengkap berpakaian seragam pegawai Timbalan Setia.

Sarjan Maryani segera memberi tabik hormat sambil memohon maaf.

“Maafkan kami, Tuanku!”

Pengawal-pengawal bertiga itu berdiri tegak menyambut kedatangan tetamu kehormat yang tidak disangka sudi menjenguk ke kubu mereka.

“Tak mengapa, Sarjan. Kami cuma nak tengok kawalan. Senang diri. Duduklah,” kata Mejar Engku Abdul Aziz yang turut menjawat jawatan Menteri Besar Johor.

Mereka berlima duduk di ambin kubu pengawal. Maryani menyerahkan binokular kepada Prebet Kasdani dan mengarahkannya menjadi pemerhati kubu.

“Bagaimana kawalan pada malam ini, Sarjan?” Tanya Sultan Ibrahim.

“Kawalan pada malam ini baik, tiada apa-apa yang mencurigakan, Tuanku,” lapor Maryani. Kemudian Maryani bertanya,

“Bagaimana perkembangan terbaru serangan Jepun, Tuanku? Berita radio melaporkan yang mereka telah pun mendarat di Kota Baru, Kelantan.”

“Nampaknya, perang pada kali ini tidak dapat dielakkan, Sarjan. Inggeris tetap akan berlawan dengan Jepun.”

“Bolehkah Inggeris melawan Jepun?”

“Entahlah, Sarjan,” jawab Engku Abdul Aziz pula. “Inggeris kata, mereka dah hantar dua buah kapal perang ke Laut China Selatan. Kita tak tau sejauh mana keupayaan kapal-kapal itu boleh mematahkan serangan udara kapal-kapal pejuang Jepun.”

“Kalau Jepun tiba di Johor, apa yang akan berlaku kepada Timbalan Setia, Tuanku?”

Sultan Ibrahim terdiam memikirkan jawapan soalan itu.

“Askar Jepun tak boleh mengapa-apakan askar Timbalan Setia kita. Mereka mesti menghormati kita kerana kita adalah satu-satunya raja Melayu yang menerima darjah kebesaran peringkat tertinggi daripada Maharaja Hirohito semasa kita berkunjung ke negara mereka bersama kawan-kawan perniagaan kita berbangsa Jepun dulu.”

“Tapi askar Tuanku bersekutu dengan askar Inggeris dan Inggeris adalah musuh Jepun.”

“Perang menyebabkan kita berasa serba salah. Kedua-dua Inggeris dan Jepun adalah negara sahabat kita. Bezanya, kita mempunyai perjanjian persefahaman politik dan pertahanan dengan Inggeris, manakala dengan Jepun pula, kita mempunyai business interest untuk memasarkan hasil-mahsul negeri kita.”

Sultan Ibrahim mengambil kesempatan menjelaskan pendirian kerajaan Johor kepada askar-askarnya yang sedang berkawal itu.

“Kalau Inggeris menganggap Jepun sebagai musuh mereka, kita tak boleh beranggapan seperti mereka kerana kita sebenarnya berada di pihak yang berkecuali. Kita tak pernah menjadi sebuah negeri yang tertakluk kepada Inggeris sehingga kita mesti bersetuju dan mengikut segala dasar Inggeris. Kita juga tahu yang kita tak mampu melawan Jepun kerana askar mereka lebih kuat. Jepun adalah satu-satunya bangsa Asia yang menang perang dengan bangsa Eropah sewaktu merebut Manchuria dari Empayar Rusia. Walau bagaimanapun, kita akan memikirkan strategi yang sesuai untuk menghadapi kemaraan askar Jepun.”

Angin malam Selat Tebrau menghembus tubuh-tubuh mereka, mengirim sensasi dingin di dalam kalbu. Tambak Johor kelihatan berbalam pada waktu malam. Anggota-anggota polis dan kastam turut berkawal di pintu masuk sempadan memantau pergerakan orang awam yang pergi dan datang dari arah Pulau Singapura.

“Baiklah, Sarjan. Teruskan berkawal.”

“Tuanku!”

Sarjan Maryani memberi tabik hormat.

Sebelum beredar, Sultan Ibrahim berkata sesuatu kepada Maryani,

“Bila perang pecah di Johor, kita akan turun di Bandar Muar untuk melihat keadaan rakyat di sana. Kemudian kita akan datang ke Bandar Batu Pahat untuk bersemayam sepanjang Jepun menguasai Tanah Melayu. Putera Mahkota Tengku Ismail akan memangku tugas kita di Johor Bahru. Kita harap, semasa kita berada di Batu Pahat nanti, Sarjan sudi datang ke Istana Hinggap memasakkan untuk kita nasi beriani seperti yang hari ini. Bukan untuk kita saja, malah untuk penduduk kampung jemaah masjid di sana.”

“Tuanku!”

Sarjan Maryani memberi tabik sekali lagi dan mengiring pemergian mereka dengan pandangan matanya.

Semua orang risau memikirkan persoalan perang. Bagaimanakah keadaan keselamatan negeri dan rakyat jelata? Sarjan Maryani turut risau memikirkan keselamatan keluarganya yang duduk di Batu Pahat. Tentera Jepun pasti akan datang dari utara dan Batu Pahat akan menerima rempuhan mereka sebelum mereka mara ke Johor Bahru.

*****

Situasi perang semakin genting. Mejar Jeneral Sir Sultan Ibrahim terpaksa memikirkan strategi terbaik untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Inggeris terpaksa mengundurkan semua ketumbukan askarnya ke selatan untuk membuat benteng terakhir di Singapura. Johor akan menjadi perbatasan utara Inggeris dalam menghadapi kemaraan Jepun.

Keselamatan askar Timbalan Setia tetap menjadi keutamaan Sultan Ibrahim. Semua unit yang berjuang bersama pasukan Inggeris telah dipanggil pulang melapor diri di Kem Timbalan Setia Negeri. Askar Timbalan Setia dikehendaki menyerahkan semua senjata kepada markas. Semua aset senjata yang dimiliki pasukan Timbalan Setia akan diserah kepada tentera Inggeris.

Mejar Engku Abdul Aziz menyelia proses penyerahan senjata-senjata itu dengan dibantu oleh pegawai-pegawainya seperti Kapten Mohd Amin, Leftenan Suradi dan Sarjan Maryani. Mejar Jeneral Sir Sultan Ibrahim berdiri di sebelah Brigadier Jeneral Percival, Ketua Pemerintah Tentera Inggeris Tanah Melayu, sambil menyaksikan upacara penyerahan senjata itu supaya berjalan lancar.

“Jeneral Percival, kita bercadang hendak menyerahkan semua aset senjata kita kepada pasukan Tuan supaya Tuan boleh mengatur pertahanan yang sewajarnya di Singapura,” kata Sultan Ibrahim kepada Jeneral Percival semasa mereka bermesyuarat pada malam sebelumnya.

“Bagaimanakah Tuanku akan mempertahankan Johor Bahru, nanti?” Tanya Jeneral Percival.

“Kita akan membubarkan pasukan kita buat sementara waktu. Dalam situasi pada kali ini, kita melihat, Jepun telah menang bila Prince of Wales dan Repulse tenggelam di perairan Kuantan. Infantri mereka telah berjaya memasuki negeri-negeri utara semenanjung. Kita bukan tidak percaya yang pasukan Tuan akan mampu mempertahankan Johor Bahru, tetapi kita faham bahawa penentangan akan menyebabkan kemusnahan dan kesengsaraan kepada rakyat kita. Kita tidak mahu melihat bandar kita dimusnahkan oleh bom Jepun bila mereka tahu yang kita masih menyimpan senjata yang dibekalkan oleh pasukan Tuan. Kita fikir, menyerahkan semua senjata kita kepada Inggeris adalah jalan terbaik dan perbuatan ini tidak bercanggah dengan semangat perjanjian pertahanan antara kerajaan negeri kita dengan kerajaan King George.”

Pada mulanya Jeneral Percival begitu emosional apabila mendengar penjelasan Sultan Ibrahim. Baginda seolah-olah tidak percaya yang tentera Inggeris mampu mengekang serangan tentera Jepun di Tanah Melayu. Kemudian, setelah memikirkan semula rasional di sebalik kata-kata sahabatnya itu, Jeneral Percival dapat menenangkan dirinya.

“Sesungguhnya perang membuatkan ramai orang hilang sabar, Tuanku. Saya faham bahawa Tuanku tiada pilihan lain kecuali terpaksa memilih cara ini semata-mata untuk menyelamatkan rakyat Tuanku. Saya percaya, kalau pada ketika ini Baginda King berada di pihak Tuanku, mungkin baginda akan turut memilih cara yang sama apabila menghadapi kemaraan tentera Jerman di tanah England. Tetapi, perwira Inggeris tidak akan menyerah kepada musuh. Kami rela mati daripada menanggung kekalahan.”

“Kita menghormati pendirian Jeneral. Tetapi Jeneral mesti ingat, dalam perang, ada pusingan kalah menang. Dalam pusingan awal ini, kita melihat Jepun telah menang, manakala Inggeris telah kalah. Kita percaya, akan tiba pusingan kemenangan untuk Inggeris pada ketika yang lain. Pada masa itu, kita tidak akan ragu untuk bersama Inggeris merebut kemenangan daripada Jepun.”

“Tuanku berjanji akan membantu Inggeris pada masa depan untuk menawan semula Tanah Melayu daripada Jepun?”

“Kita tidak gemar istilah menawan semula, Jeneral. Mungkin istilah yang paling tepat ialah menghalau tentera Jepun dari Tanah Melayu. Kita tidak pasti apakah sikap Jepun terhadap Tanah Melayu dalam kancah perang ini. Kalau mereka boleh membunuh dan memperkosa rakyat China di Nanking, tidak mustahil mereka boleh membunuh dan memperkosa rakyat Tanah Melayu, dan rakyat Johor juga. Masa depan Tanah Melayu selepas kekalahan Jepun nanti, kita akan fikirkan kemudian,” kata Sultan Ibrahim ketika malam semakin larut.

Brigadier Jeneral Percival menyaksikan senjata terakhir dipunggah ke dalam trak oleh anggota-anggota pasukan Timbalan Setia. Askar-askar Inggeris turut memberi kerjasama yang sewajarnya.

“Tuanku telah berfikir untuk masa depan negeri Tuanku. Saya sebagai rakyat Inggeris yang menerima watikah pemerintahan tentera Baginda King George, akan menyampaikan pendirian Tuanku kepada baginda apabila saya kembali ke England nanti.”

“Kita berdoa semoga Jeneral dapat kembali ke England sebelum keadaan terlambat.”

Akhirnya urusan penyerahan senjata itu selesai. Semua aset senjata itu akan dihantar ke Singapura oleh sepasukan tentera Inggeris yang akan berundur mengikut Tambak Johor.

“Selepas kami meletupkan Tambak Johor, hubungan Inggeris dan Johor terputus dalam pusingan pertama kancah perang ini, Tuanku,” kata Jeneral Percival semasa mereka berjabat tangan sebelum berpisah.

“Kita mengikut rancangan yang telah diatur dalam mesyuarat malam tadi. Kita berdoa semoga tentera Inggeris akan kembali membantu kita menghalau tentera Jepun.”

Jeneral Percival memimpin pasukannya berundur ke Singapura dengan menyeberangi Tambak Johor. Setelah melepasi Tambak Johor, pasukan Leftenan Kolonal Steward meletupkan Tambak Johor di bahagian negeri Johor untuk menghalang kemaraan pasukan infantri dan kereta kebal tentera Jepun daripada memasuki Singapura.

Mejar Jeneral Sir Sultan Ibrahim bertitah kepada pasukan Timbalan Setia yang sedang berhimpun di padang kawad. Di dalam titahnya, baginda memberitahu bahawa pasukan Timbalan Setia dibubarkan dan anggota-anggotanya dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka dikehandaki membantu hal ehwal keselamatan di tempat masing-masing dan melaporkan kepada baginda akan hal ehwal pergerakan tentera Jepun dan sekutu-sekutunya yang berkuasa di tempat mereka.

Maklumat yang dikumpul akan digunakan untuk mengatur strategi pertahanan negeri Johor pada masa hadapan jika tentera Jepun menyerah kalah kepada Pasukan Berikat di dalam peperangan Rantau Pasifik.

Sebelum pulang, mereka dikehendaki membantu orang awam berundur tujuh batu dari kawasan pantai Johor Bahru untuk mengelakkan serangan bom ke atas bandar itu yang mungkin akan digugurkan oleh kapal terbang pejuang tentera Jepun. Sultan Ibrahim sendiri akan menunggu Jeneral Yamamoto di Istana Besar untuk merundingkan syarat-syarat keamanan dan keselamatan negeri Johor. Seluruh kerabat istana telah baginda pindahkan ke Istana Pasir Pelangi.

Setelah melaksanakan arahan terakhir Pegawai Memerintah Pasukan Timbalan Setia itu, Sarjan Maryani pun bergegas pulang berjalan kaki ke arah utara bersama rakan-rakan sekampung. Dia berdoa semoga keluarganya berada dalam keadaan selamat kerana tentera Jepun telah berjaya menawan Bandar Penggaram.

TAMAT.


www.pustakamaya.net
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2002


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis oleh saya untuk memperingati allahyarham datuk saya, Hj Maryani bin Hj Sarlan, yang pernah berkhidmat di dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dan bersara dengan pangkat Sarjan. Semasa zaman kanak-kanak dan awal remaja dulu, saya rajin balik ke rumah datuk saya di Kg Parit Besar, Jalan Kluang, Batu Pahat. Ketika di kampung, saya rajin mendengar cerita-cerita datuk, nenek dan orang tua-tua yang bertandang ke rumah mereka. Melalui perbualan mereka, ada berbagai kisah kehidupan yang sering mereka bualkan, tentang harga kopi, atap rumbia, membaiki sampan, batang pokok sagu, hasil buah-buahan, persiapan kenduri kahwin, perihal keluarga masing-masing, hal-hal orang kampung dan orang bandar, peristiwa semasa dan kisah silam zaman mereka muda-muda. Daripada situlah saya dapat tahu yang allahyarham datuk saya pernah berkhidmat sebagai askar Sultan Johor, yang lebih dikenali sebagai Pasukan Timbalan Setia Negeri. Namun sehingga kini, saya tidak berpeluang melihat kad pengenalan tentera atau kad pesara tentera miliknya, dan tidak pernah melihat gambar beliau yang menyarungkan pakaian seragam tentera berpangkat Sarjan.
  2. Saya berharap, saya akan berpeluang melihat arkib Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor untuk menjejak jasa-jasa yang telah beliau tinggalkan di sana. Ketika zaman budak-budak itu, saya tidak berani bertanya lebih-lebih pasal pengalaman beliau semasa bertugas sebagai askar Sultan kerana beliau seorang datuk yang mempunyai aura yang garang bila didekati tetapi mempunyai hati yang penyayang kepada semua cucunya. Saya tidak sempat mengorek lebih lanjut pengalaman beliau kerana beliau telah meninggal dunia ketika saya di Tingkatan Satu. Jika 20 tahun dulu beliau masih hidup dan kuat ingatan, saya pasti akan selalu duduk di sisinya untuk bertanya tentang pengalaman hidupnya dan akan menghasilkan sebuah biografi tentang hidupnya sebagai askar Sultan Johor.
  3. Naskhah ini pertama kali terbit pada tahun 2002 di laman web Pustamaya Online di URL www.pustakamaya.net, tetapi tidak dicatat tarikh penerbitannya. Pustakamaya Online pada masa itu menjadi wadah penerbitan alternatif bagi ahli-ahli Persatuan Penulis Johor. Kini laman web itu tidak aktif dan ditutup kerana PPJ tidak berhasrat hendak mengekalkan kos sewa dan penyelenggaraan tahunan domainnya.
  4. Saya tidak sempat mencetak naskhah ini daripada laman web Pustakamaya Online. Oleh itu, setelah laman itu ditutup, saya terbitkan semula di laman web www.melayu.com.      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan