Seorang lelaki
sedang berjalan terbongkok-bongkok menuju ke rumah Penghulu Abdul Majid pada
suatu malam dalam hujan lebat dan ribut kencang. Berpakaian daun nipah yang
dijalin dengan urat halus rotan segara dan berterendak mengkuang paya sebagai
baju hujan, lelaki itu mengatur langkah bongkok penuh yakin sehingga tiba di
kaki tangga rumah Penghulu Kampung Batu Sawar itu. Kemudian dia mengetuk pintu
bertalu-talu.
“Siapa itu?”
“Saya musafir
yang ingin tumpang berteduh, Tuk Penghulu.”
Daun pintu
terkuak. Penghulu Abdul Majid muncul di muka pintu. Wajahnya yang tenang
berubah serta-merta.
“Ishak? Kaukah
Tun Ishak?”
“Ya, saya Tun
Ishak. Assalamualaikum, bapak,” jawab lelaki itu sambil menanggalkan
terendaknya. Wajah tampannya menghadiahkan sebuah senyuman.
“Waalaikumussalam.
Masuklah, Ishak. Hujan semakin lebat. Nanti kau demam.”
Tun Ishak masuk
ke dalam rumah bapa mertuanya itu.
“Kenapa kau
datang dalam keadaan cuaca begini?”
“Sahabat saya,
Temenggung Daeng Abdul Rahman telah mengisytiharkan perang terhadap pasukan
saya. Dia menghantar Daeng Ibrahim agar memburu kepala saya untuk
dipersembahkan kepada Raffles yang sedang beraja di Singapura sekarang. Pasukan
saya telah diserang hendap di Ulu Sedili setelah berpindah dari Tanjung
Penawar. Mereka bergabung dengan askar-askar Pahang. Kami tidak mampu bertahan
lama. Saya arahkan orang-orang saya supaya berundur ke tempat baru yang akan
menjadi markas kami.”
Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia. |
“Bagaimana
keadaan Kesumawati?” Tanya Ibu Kuntum, risau akan nasib anak perempuannya.
“Kesuma sedang
hamil dua purnama. Saya minta dia pergi ke Kota Lingga untuk mengambil anak
saya, Tun Mamat, daripada Syed Zainal dan membawanya balik ke kampung asal
saya, Kampung Makam Duyong di Karimun Kecil. Ibu jangan risau. Kesuma ditemani
Wan Belitung , Jaka Pirani, Ratna Ayu dan
Hartini. Saya telah minta mereka agar berkampung di sana dan tunggu sehingga saya pulang.”
Ibu Kuntum
menarik nafas lega.
“Ke mana tujuan
kau selepas ini, Ishak?”
“Ampun maaf,
bapak. Saya tidak boleh beritahu kerana ia melibatkan siasah saya. Tujuan saya
singgah sebentar di Batu Sawar bukan untuk membincangkan siasah perang dengan
bapak, tetapi untuk memberitahu bapak dan ibu akan hal keadaan Kesumawati. Saya
ingin dia berkampung di Makam Duyong dan beranak cucu di sana . Jika berlaku sesuatu kejadian ke atas
diri saya, moga zuriat bapak daripada titisan saya akan berkunjung ke Batu
Sawar untuk mencari sanak saudaranya.”
“Kau bercakap
seolah-olah akan pergi ke perang yang penghabisan, Ishak.”
“Saya tidak
berperang dengan Temenggung. Saya berperang dengan Inggeris dan Belanda yang
begitu bersungguh untuk merampas kuasa politik dan ekonomi peribumi alam Melayu
ini. Temenggung hanya menjadi alat Inggeris bila dia sedar yang Sultan Abdul
Rahman di Lingga semakin lemah dan mula menyerah kepada Belanda. Sultan Husain
yang beraja di Singapura pula bukan sultan yang sebenar kerana dia dilantik
oleh Inggeris dan bukan dimasyhurkan oleh pembesar yang mewakili rakyat jelata.
Bapak, jangankan Temenggung, Sultan pun akan saya pancung jika dia sanggup
menjadi alat kuasa asing yang ingin melemahkan kuasa Melayu di alamnya
sendiri.”
“Awas mulutmu,
Ishak. Nanti ada telinga yang mendengar.”
“Penyuluh
Inggeris dan Temenggung berada di mana-mana, bapak. Saya tidak takut dengan
mereka. Bapak, kita sekarang berada di hujung zaman pemerintahan raja berdarah
Bendahara Tun Habib Saujana. Kerajaan Lingga pula sudah terbelah dua. Sultan
Abdul Rahman telah mengizinkan Belanda menaikkan benderanya di Tanjung Pinang . Abangnya, Sultan Husain telah membenarkan
Inggeris mengibarkan benderanya di Singapura. Apa makna semua ini, bapak? Saya
sebagai rakyat jajahan Johor ini tidak tergamak melihat orang-orang asing
merampas tanah air milik kita. Sebab itu saya bangkit memimpin sahabat-sahabat
saya dan sekutu-sekutu perniagaan saya supaya maju memerangi kuasa-kuasa asing
itu. Ini negeri kita, ini tanah kita, ini laut kita. Saya tidak berniat untuk
menjadi raja. Saya hanya ingin rakyat negeri ini insaf bahawa raja telah tidak
berdaya dan pemimpin baru mesti diangkat untuk membela nasib mereka.”
“Engkau
bercita-cita tinggi, Ishak. Bapak tidak mampu menyokong perjuanganmu dengan
kudrat bapak sekarang. Namun, bapak akan membakar semangat pemuda-pemudi
kampung ini supaya bercita-cita untuk membela nasib bangsa seperti yang kau
selalu ceritakan kepada mereka semasa mula-mula kau sampai di kampung ini
dulu.”
“Kata-kata bapak
akan meneguhkan jiwa dan pendirian saya. Bapaklah bapa saya dan Ibu Kuntumlah
ibu saya. Saya mohon restu bapak dan ibu untuk ke medan perang pada pagi esok sebelum matahari
terbit.”
“Pergilah Ishak,
bapak dan Ibu Kuntum merestui perjuanganmu.”
Pada
keesokannya, setelah mengimamkan solat subuh berjemaah dan memohon izin, Tun
Ishak meninggalkan Batu Sawar untuk menyertai pengikut-pengikutnya yang sedang
berkubu di Tanjung Puteri.
Tun Ishak
berjalan menyusuri tebing Sungai Johor.
Dia terkenang
peristiwa Kampung Makam Duyong yang telah dibedil oleh Belanda pada zaman
pemerintahan Sultan Mahmud III kerana baginda enggan bekerjasama dengan Belanda
untuk memerangi lanun-lanun yang bermaharajalela merompak kapal-kapal dagang
negara Barat di Kepulauan Melayu khususnya di Selat Melaka.
Di dalam
serangan itu, isterinya terbunuh, manakala anak lelaki tunggalnya terselamat.
Dia sendiri telah ditangkap oleh askar-askar Belanda dan dibawa ke atas kapal
untuk disoalsiasat oleh Kapten Anton Van Breock. Dia tidak dapat menjawab
pertanyaan Kapten Van Breock kerana tidak faham Bahasa Belanda, menyebabkan
pegawai Belanda itu marah dan menikam tulang belikatnya dengan kerisnya
sendiri. Dia jatuh pengsan dan dicampak ke dalam laut.
Dia terdampar di
pantai Kampung Makam Duyong dan diselamatkan oleh orang-orang kampung. Bila
terjaga dari pengsan, dia tidak dapat berdiri tegak kerana masin air laut telah
memakan urat daging belikatnya yang luka. Dia terpaksa berjalan
terbongkok-bongkok. Mulai detik itu, dia dikenali sebagai Si Bongkok Makam
Duyong.
Tun Ishak telah
menyimpan dendam dan bersumpah untuk memusnahkan seluruh angkatan Belanda,
menghalau kuasa-kuasa asing dari Kepulauan Melayu dan berusaha memulihkan
kedaulatan raja-raja Melayu.
Dia berasa puas
kini kerana dendamnya terhadap Van Breock telah berbalas. Pegawai Belanda itu
telah dibunuhnya di dalam sebuah pertempuran laut terbuka berhampiran Pulau
Tioman. Kumpulan flotilla Belanda yang dipimpin oleh Kapten Van Breock semasa
dalam pelayaran ke Makasar itu telah ditenggelamkan.
Perbuatan Tun
Ishak itu telah mengundang murka Belanda. Belanda telah menuntut agar Sultan
Abdul Rahman dan Yam Tuan Muda Raja Jaafar mengerahkan askar Lingga memerangi
pasukan Tun Ishak. Sultan dan Yam Tuan Muda berasa serba salah kerana Tun Ishak
adalah sahabat mereka semenjak kecil dan pernah menjadi panglima di dalam
pasukan askar Lingga. Banyak jasanya yang telah dicurahkan kepada Istana Kota
Lingga yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja semata-mata untuk mengabulkan
kehendak Belanda.
Tun Ishak
berhenti berjalan apabila tiba di sebuah tanjung. Di gigi air, sebuah rakit dan
sebuah perahu sedang berlabuh. Dua orang pengikutnya sedang menunggu di bawah
sepohon ara yang rendang. Tun Ishak menghampiri mereka. Mereka berdiri
menyambut kedatangannya. Tun Ishak menyerahkan segulung kertas berikat benang
sutera cina kepada salah seorang daripada mereka.
“Beritahu
Nagesh, tunggu saya di Pasir Pelangi. Pesan kepada Huang Pui Nam , saya menyuruh dia mengambil
bekalan istinggar dan ubat bedil dari kolek Belanda yang ditawan di Kukup dan
simpan dulu di kedai kopinya di Setulang. Kolek itu sedang dikawal oleh orang
kita di Pulau Pisang. Raja Mustafa, semua kelengkapan mesti dikumpulkan di
Tanjung Puteri. Warkah ini mengandungi perintah dan rajah. Ikut arahan yang
saya nyatakan di dalamnya. Saya mewakilkan kuasa saya kepada tuan di dalam
perkara ini sehingga saya tiba di Tanjung Puteri.”
Setelah bertukar
salam, Raja Mustafa meninggalkan Tun Ishak dan rakannya. Raja Mustafa ialah
sepupu Raja Jaafar, Yam Tuan Muda Kerajaan Lingga, yang kini sudah tiada kuasa
menasihatkan Sultan kerana Sultan telah tunduk kepada Belanda yang berkuasa di
Betawi. Dia telah mengambil keputusan meninggalkan istana dan menyertai
perjuangan Tun Ishak serta bercita-cita untuk mengembalikan kegemilangan
raja-raja Melayu.
KemudianTun
Ishak menggesa rakannya supaya meninggalkan tanjung itu.
“Saya suka
berjuang di sisi tuan kerana tuan telah mengingatkan saya kepada Sultan
Iskandar Muda Mahkota Alam yang pernah menggempur Belanda di Melaka.”
“Usah diungkit
sejarah silam, Tawi. Walaupun tuan berhak berasa bangga dengan Sultan Iskandar
kerana tuan berasal dari Aceh, tetapi kebanggaan tuan tidak boleh menebus
kesilapan baginda yang pernah membakar seluruh armada Johor di perairan Sungai
Johor ini. Namun, saya akui bahawa kita harus mengambil iktibar dari sejarah
nenek moyang kita dan kita hendaklah tidak mengulangi kesilapan tersebut. Ayuh
Tawi, mari kita bergerak.”
Teuku Tawi
berperahu ke Senibong, manakala Tun Ishak berakit ke Pasir Pelangi.
Semasa berakit,
Tun Ishak teringat pertemuannya dengan Temenggung Daeng Abdul Rahman di Teluk
Belanga dahulu. Dia ingin meminta penjelasan di atas tindakan Temenggung yang
telah bersekongkol dengan Tengku Husain untuk mendapatkan sokongan Inggeris
memasyhurkan Tengku Husain sebagai Sultan bagi jajahan Singapura dan Johor.
“Tun Ishak,
setiap anak Melayu yang sedar tentang nasib bangsanya pada zaman ini mesti
memiliki sikap sendiri yang tidak perlu lagi tunduk setia kepada raja-raja
Melayu. Raja semakin lemah bila berhadapan dengan kuasa asing. Kita sebagai
anak Melayu tidak suka melihat raja kita tunduk kepada kuasa luar. Sebaliknya,
jika raja kita dapat berfikir, merancang dan melaksanakan satu kaedah yang
boleh memajukan bangsa melalui hubungan baik dengan kuasa asing itu, kita rasa,
bangsa Melayu wajib bangun membantu raja-raja mereka.”
Tun Ishak
mengagumi wawasan Temenggung.
Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia. |
“Datuk
Temenggung, Raffles sama sekali tidak akan mematuhi perjanjian yang telah
dimeterai dengan Datuk dan Sultan Husain.”
“Kita tahu hal
itu, tetapi kita tidak pernah bawa berbincang dengan Sultan.”
Tun Ishak
terkejut dengan sikap Temenggung. Pada ketika itu, Tun Ishak mula sedar bahawa
Temenggung sedang merangka satu rencana agung yang tidak ingin dikongsi
bersamanya.
“Datuk, walaupun
Datuk telah bersahabat baik dengan Inggeris, saya bertegas bahawa saya tetap
akan menentang sebarang kuasa asing yang ingin merampas negeri-negeri Melayu
daripada peribuminya, tidak kira Feringgi, Belanda, Inggeris atau Sepanyol.”
“Kita
menghormati pendirian Tuan Panglima.”
Malam terang
disinari bulan purnama penuh. Purnama yang merindu tidak putus-putus merintih
meminta cinta, merayu kasih dan terus merindu kepada malam yang kusam.
Dari lereng
Bukit Puteri, Tun Ishak dapat meninjau keadaan kubu pertahanan yang dibina oleh
pengikut-pengikutnya. Kubu batang seligi empat lapis telah dinaikkan di
sekeliling kaki Bukit Puteri. Sebanyak lima
belas buah meriam Belanda, dua puluh satu buah meriam Inggeris dan empat buah
meriam Feringgi telah dihalakan ke perairan Selat Tebrau. Meriam-meriam itu
telah dirampas dalam satu siri kempen perang terhadap Belanda dan Inggeris yang
dilancarkan oleh Tun Ishak semenjak dia bersara dari perkhidmatan pasukan askar
Lingga. Meriam-meriam itu akan digunakan untuk mematahkan serangan armada
Inggeris.
Di bawah sana,
tebing timur dan barat muara Sungai Air Putih telah dipagari kubu batang bakau.
Pasukan pemanah dan istinggar sedang berkubu di situ untuk mematahkan serangan
darat angkatan Daeng Ibrahim.
Cahaya api dari
rumah orang-orang kampung di seberang sana Pulau Singapura kelihatan
berbalam-balam. Angkatan Daeng Ibrahim mungkin akan berlepas dari Kampung
Keranji untuk mendarat di Tanjung Puteri. Kapal-kapal perang Inggeris pimpinan
Kapten Ian Blight yang sarat dengan muatan alat-alat perang akan muncul dari
timur dan barat Selat Tebrau untuk memberi sokongan tembakan meriam kepada
pasukan Daeng Ibrahim.
Taktik perang
seperti itu dapat dibaca oleh Tun Ishak berdasarkan ilmu peperangan negara
Barat yang diperolehi semasa dia menjadi askar Lingga yang menerapkan
organisasi dan taktik ketenteraan Belanda.
Angin malam bertiup
lunak mengirimkan perasaan dingin di dalam kalbu. Perasaan dingin itu diimbangi
rasa puas hati setelah dia berjaya menikahkan sepasang kekasih di dalam
pasukannya dua malam lalu. Dia menjadi wali hakim kepada pengantin perempuan
yang yatim piatu. Pengantin perempuan itu rajin menjaga dan memenuhi keperluan
pasukannya. Pengantin lelaki pula adalah seorang pengikut setia yang sering
menjadi penyuluh untuk misi-misi berbahaya.
Tun Ishak
kembali ke pusat arahan medan di puncak Bukit Puteri.
Seorang penyuluh
telah lama menunggu ketibaannya. Penyuluh yang baru menjadi raja sehari itu
melaporkan bahawa Inggeris telah bekerjasama dengan Belanda untuk menghancurkan
pasukan mereka. Armada Inggeris yang bantuannya diminta oleh Daeng Ibrahim akan
disertai sebuah ghali Belanda yang berperanan sebagai kapal bekalan.
Belanda tidak
dibenarkan terlibat secara aktif dalam pemburuan Tun Ishak di dalam kawasan
pengaruh Inggeris seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak di dalam
perjanjian penyerahan Melaka oleh Belanda kepada Inggeris.
“Api dendam
Belanda kepada saya tidak pernah padam selagi saya masih hidup. Esok kita akan
padam api dendam mereka.”
Daeng Ibrahim
tahu bahawa dia telah ditipu oleh Tun Ishak, guru silatnya sendiri.
Penyuluh-penyuluh Temenggung di Pasir Panjang melaporkan bahawa Tun Ishak
sedang dalam perjalanan berperahu ke Senibong. Mereka segera memasang perangkap
di Senibong. Malangnya, Tun Ishak tidak muncul di Senibong pada masa yang
dijangkakan.
Orang yang
mereka sangkakan Tun Ishak sebenarnya ialah Teuku Tawi, seorang bekas pejuang
Aceh yang berkampung di Kampung Perigi Aceh.
Pada masa yang
sama mereka menemui Teuku Tawi, Tun Ishak telah selamat tiba dengan berakit di
Pasir Pelangi. Nagesh menyambut ketibaannya. Dari situ, mereka berjalan kaki ke
Setulang untuk mengambil bekalan istinggar dan ubat bedil di kedai kopi Huang
Pui Nam .
Dari Setulang, Tun Ishak dan beberapa orang pengikut mengusung bekalan senjata
mereka dengan berkereta lembu ke Tanjung Puteri.
Bila tiba di
Tanjung Puteri, Tun Ishak berasa kagum melihat kubu batang bakau teratur kemas
memagari muara Sungai Air Putih. Dari kawasan pantai, dia boleh melihat kubu
batang seligi membentengi Bukit Puteri.
Raja Mustafa
telah melaksanakan perintahnya dengan cemerlang.
Tun Ishak tidak peduli
jika Daeng Ibrahim berasa tertipu dan diperbodohkan dengan helahnya. Dia
percaya bahawa anak muridnya itu akan mengatur strategi baru untuk melancarkan
serangan berskala besar dengan bantuan Inggeris.
Perang meletus
juga.
Daeng Ibrahim
melancarkan pasukan perahunya dari Kampung Keranji. Tiga buah friget Inggeris
dan sebuah ghali bekalan Belanda terapung di perairan Selat Tebrau. Kapal-kapal
Inggeris melancarkan serangan meriam membedil kubu Tanjung Puteri.
Meriam-meriam di atas Bukit Puteri berdentum tidak putus-putus membalas
serangan kapal-kapal Inggeris.
Pasukan Daeng
Ibrahim berjaya mendarat di pantai Tanjung Puteri. Peluru-peluru istinggar dan
anak-anak panah menyambut ketibaan pasukan mereka. Mereka segera mengeluarkan
perisai dan merapatkan barisan untuk membentuk kubu perisai. Pasukan istinggar
Daeng Ibrahim membalas serangan pasukan pantai Tun Ishak dari sebalik kubu
perisai.
Setelah peluru
habis, kedua-dua pihak bertempur amuk secara bersemuka dan bertarung silat.
Keris, badik, kelewang, parang, pedang, tombak, belantan, menjadi senjata
membunuh musuh.
Di dalam sebuah
pertempuran yang seru, kubu Tanjung Puteri runtuh. Tun Ishak dapat merasakan
kekalahan yang bakal diterimanya. Dia segera memerintahkan orang-orangnya
supaya berundur dan berlindung di Ulu Danga, Ulu Sekudai atau Ulu Pulai. Mereka
dihambat oleh askar-askar Temenggung dan Inggeris.
Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia. |
Tun Ishak tidak
mengikut orang-orangnya berundur. Dia terlibat di dalam pertarungan satu lawan
satu dengan Daeng Ibrahim di puncak Bukit Puteri. Pertarungan mereka disaksikan
oleh Raja Mustafa dan beberapa orang perajurit kanan Daeng Ibrahim.
Akhirnya, Tun
Ishak tewas kepada muslihat ilmu persilatan Daeng Ibrahim yang dia sendiri
ajarkan. Dia terbunuh di tangan anak muridnya itu. Daeng Ibrahim segera
memangku kepala gurunya.
“Ampunkan saya,
Tuan Panglima. Saya terpaksa melaksanakan perintah Datuk Temenggung.”
“Inggeris
meminta Temenggung menghabiskan kerja ini kerana Sultan telah hilang wibawa,”
kata Tun Ishak lemah. Sebelum meninggal dunia, Tun Ishak telah berwasiat kepada
Daeng Ibrahim supaya mengikut rencana agung yang telah ditetapkan oleh
Temenggung Daeng Abdul Rahman. Jajahan Johor memerlukan satu kepimpinan baru
yang lebih kuat daripada kuasa raja-raja. Tun Ishak menggenggam kukuh tangan
Daeng Ibrahim.
“Merdeka!”
Ucapnya lemah
sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kepalanya terkulai layu di lengan Daeng
Ibrahim. Jenazah Tun Ishak telah disemadikan di lereng Bukit Puteri yang
menghadap Pulau Singapura mengikut istiadat ketenteraan askar Lingga di atas
permintaan Raja Mustafa.
Daeng Ibrahim
membawa pulang kemenangan untuk dihadiahkan kepada Temenggung Daeng Abdul
Rahman. Raffles memuji-muji Daeng Ibrahim. Tidak berapa lama kemudian,
Temenggung Daeng Abdul Rahman meninggal dunia. Daeng Ibrahim menggantikan
bapanya dengan memakai gelaran Temenggung Seri Maharaja Johor Daeng Ibrahim.
Ratu Victoria
yang bersemayam di Kota London berkenan mengiktiraf jasa Temenggung Ibrahim. Di
dalam satu istiadat kebesaran yang gilang-gemilang, Temenggung Ibrahim telah
dianugerahkan oleh Gabenor Butterworth sebilah pedang keemasan di atas jasanya
yang telah menolong Inggeris menumpaskan lanun-lanun di perairan Kepulauan
Melayu.
Temenggung
Ibrahim mendapati bahawa di atas mata pedang itu tertulis sepotong ayat yang
bermaksud,
‘Inilah hadiah
Baginda Ratu yang disampaikan oleh Gabenor Butterworth yang memerintah Pulau
Pinang, Melaka dan Singapura, kepada Temenggung Seri Maharaja Johor, sebagai
satu tanda hidup di atas jasanya membinasakan lanun dan perompak, adanya.’
TAMAT.
TAMAT.
Mingguan Malaysia, 8
Oktober 2000
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2000
Nota kaki:
- Semasa menulis cerpen ini, saya
menulis dengan penuh ghairah dan sangat bertenaga. Pada ketika itu, saya
masih bekerja di Johor. Jika berada di Johor Bahru, saya akan luangkan
masa untuk melawat tugu peringatan Si Bongkok di belakang Balai Polis
Sentral yang lama. Sekarang balai polis dan tugu itu telah diranapkan
untuk projek pembesaran jalan.
- Di dalam laman web www.melayu.com, saya telah siarkan buat
kali kedua versi online dan telah menulis komentar panjang lebar berkenaan
cerpen ini. Saya tidak akan akan ulang tulis komentar tersebut.
Ringkasnya, cerpen ini ialah sebuah fiksyen sejarah yang mengadaptasi aura
tokoh suatu watak yang digelar Si Bongkok Tanjung Puteri mengikut fahaman
penulis terkenal, Allahyarham Shaharom Hussain berdasarkan cerita lisan
yang dipertuturkan oleh orang tua-tua di sekitar bahagian selatan Johor.
- Berdasarkan pembacaan dan kajian saya
sendiri, Perang Tanjung Puteri tidak pernah ditemui dirakam di dalam
mana-mana catatan sejarah Johor. Saya menulis cerpen ini daripada citra
dan cita saya sebagai seorang pesilat dan memandang watak Si Bongkok dan
auranya daripada kaca mata dunia persilatan dan kependekaran Melayu dalam konteks hubungan guru-murid. Latar
cerita yang saya pilih ialah latar masa selepas termeterinya Perjanjian
Pangkor 1874 yang membelah Empayar Johor-Riau kepada dua wilayah di bawah
kuasa Inggeris dan Belanda, dan usaha Stamford Raffles yang berusaha
mendapatkan Pulau Singapura daripada Sultan Hussain Shah dengan cara
merajakan beliau sebagai Sultan Singapura dan Johor, serta mendapatkan
kerjasama Temenggung Daeng Abdul Rahman. Selebihnya adalah fakta sejarah.
- Namun diakui, sejarah ditulis oleh
pihak yang menang, manakala pihak yang kalah, sekalipun ada fakta yang
benar di kalangan mereka, pihak yang menang selalunya akan memanipulasi
fakta itu dan memberi maklumbalas seolah-olah fakta itu tidak wujud sama
sekali.
- Saya pernah terlintas untuk
mengembangkan cerpen ini menjadi sebuah novel yang berjudul “Daulat Yang
Terbelah”, namun perlukan masa dan perhatian yang mendalam untuk
menjadikan novel itu sebagai sebuah naskhah yang berwibawa. Saya
membayangkan yang saya perlu duduk berlama-lamaan di Yayasan Warisan Johor
atau Universiti Nasional Singapura yang menyimpan banyak dokumen JMBRAS.
- Membaca cerpen ini, lebih asyik kalau
membaca sambil mendengar lagu ‘Tajuk Johor’ atau judul lainnya yang lebih
popular ‘Tanjung Puteri’. Sila klik pautan URL berikut:
a. https://www.youtube.com/watch?v=GCo_Rofq-cw,
oleh Aziz Ahmad, kredit kepada akaun Youtube ‘Amat Alihasan’.
b. https://www.youtube.com/watch?v=NI_FfTa2IHs, oleh Rosiah Chik, kredit kepada akaun Youtube ‘katalis77’.
c. https://www.youtube.com/watch?v=cZyK1GfJwWQ,
versi slow rock oleh kumpulan Loving Born, kredit kepada akaun Youtube
‘hackerkl’.
d. https://www.youtube.com/watch?v=Xcd0p15EI-I,
versi heavy metal oleh kumpulan As-Sahar, kredit kepada akaun Youtube
‘rockemeyan’.
e. https://www.youtube.com/watch?v=1qy-GPzHATI,
versi orkestra oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan, kredit kepada akaun Youtube
‘Pengurusan Konsert & Orkestra’.
f. https://www.youtube.com/watch?v=YZVKxdhBJPk,
versi koir oleh Mahasiswa UTM, kredit kepada akaun Youtube ‘leybra’.
- Dalam dunia filem Melayu, ada 2 buah
filem yang menjadikan insan bongkok sebagai teraju utamanya iaitu filem
“Satria” (1973) di Malaysia yang dilakonkan oleh Hussein Abu Hasan dan “Si
Bongkok” (1972) di Indonesia yang dilakonkan oleh Sophan Sophiaan. Kalau nanti ada lagi
filem yang akan mengangkat insan bongkok sebagai hero filem, saya harap
pembikin filem akan mengangkat kisah Si Bongkok Tanjung Puteri ke layar
perak. Siapa hero masa kini di Malaysia yang boleh dibayangkan melakonkan watak Si Bongkok? Saya membayangkan untuk mendengar suara penyanyi Siti Nurhaliza menyanyikan
lagu ‘Tajuk Johor’ pada bahagian kredit di hujung filem tersebut. Mungkin baris tanda (tagline) yang sesuai untuk ditulis pada poster filem dan untuk diungkap dalam klip video trailer promosi - "Bila raja telah gagal, rakyat yang menjuarai sebuah perjuangan" atau dalam Bahasa Inggeris "When the king fails, the commoner shall champion the cause".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan