Rabu, 8 Julai 2015

09 Pada Suatu Ketika di Ujong Madini III


Cuaca pada petang itu amat nyaman. Panas terik matahari diimbangi redup awan putih yang berkepul menutup dada langit. Angin Selat Tebrau menghembus longlai menyapu halaman Istana Besar yang ditumbuhi rumput hijau alfalfa yang dicantas rapi.

Mereka berlima sedang duduk santai di atas kerusi kayu mahogani bercat putih mengelilingi sebuah meja batu marmar biru buatan Venice di halaman Istana Besar menghadap Pulau Singapura.

Sultan Ibrahim duduk tegak di atas kerusinya sambil menikmati pemandangan kehijauan hutan pulau tersebut. Menteri Besar Datuk Jaafar duduk di sebelah kanan baginda. Datuk Seri Amar Di-Raja Abdul Rahman duduk di sebelah kiri. Dua orang bangsa Inggeris turut bersama mereka. Setiausaha Sulit Sultan Ibrahim, James Cerr, duduk di sebelah Datuk Abdul Rahman. Charles Buckley yang menjadi penasihat peribadi baginda duduk di sebelah James Cerr.

Mereka telah dijemput oleh Sultan Ibrahim sendiri agar datang minum petang atau high tea di Istana Besar.

Di atas meja terhidang sepinggan kuih wajik yang telah siap dipotong-potong. Sebuah teko tembikar Cina lengkap dengan lima set cawan berpiring siap dipenuhi teh halia.

“Jemput minum semua, nanti sejuk air serbat ni,” pelawa Sultan Ibrahim kepada tetamu-tetamunya sambil mengangkat cawan dan menghirup air. Tetamu-tetamunya mencapai cawan masing-masing. Kemudian mereka menikmati hidangan kuih wajik yang disediakan dari dapur istana.

Mereka berbual ringan membincangkan hal ehwal kehidupan di negeri Johor, Empayar Great Britain dan berita-berita semasa seluruh dunia. Kemudian topik perbualan bertukar kepada isu pertukaran Buckley ke Pejabat Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura untuk menggantikan seorang pegawai pejabat Gabenor yang bersara dari perkhidmatan kerajaan Inggeris dan telah kembali ke London. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Gabenor Arthur Young, telah mengarahkan penggantian tempat Charles Buckley dengan Douglas Campbell, seorang pegawai Gabenor Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Mood perbualan pada petang itu lebih santai, berbanding dengan suasana perbincangan di dalam mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Sultan Ibrahim pada pagi tadi.

Sesungguhnya Sultan Ibrahim amat menghargai jasa-jasa dua orang Inggeris itu yang telah banyak memudahkan kerja-kerja baginda dan pegawai-pegawai kerajaan negeri anak-anak Melayu dalam mentadbir dan mengatur kehidupan rakyat jelata.

James Cerr telah berjaya mendapatkan kelonggaran dan tolak ansur kerajaan Great Britain dan kreditor-kreditor di England dan Singapura supaya bersetuju memberi kelonggaran kredit kepada kerajaan Johor untuk melangsaikan segala tunggakan hutang semenjak zaman pemerintahan almarhum ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar. Sebuah jawatankuasa memantau pelunasan hutang tersebut, yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka Inggeris berpengaruh yang pernah menjadi sahabat-sahabat karib almarhum Sultan Abu Bakar, telah ditubuhkan di England untuk menjamin pinjaman tertunggak.

Charles Buckley pula telah berjaya mendapatkan kerjasama kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu di dalam projek pembinaan jalan kereta api yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur melalui Johor Bahru pada awal peralihan kurun. Berikutan perkembangan ekonomi negeri Johor yang semakin memberangsangkan, baginda yakin bahawa kerajaannya akan dapat melangsaikan segala hutang kos pembinaan jalan kereta api beberapa tahun lebih awal, tidak menggunakan hasil kereta api, tetapi hasil kemakmuran ekonomi negeri.

Sultan Ibrahim menyatakan penghargaannya di atas segala nasihat dan sokongan Buckley terhadap baginda dan kerajaan sepanjang perkhidmatan beliau di Johor. Baginda berharap  bahawa Campbell yang akan menggantikan beliau dapat memberikan khidmat yang serupa demi kemajuan dan kemakmuran isi negeri.

Sebelum berpisah, Datuk Jaafar memaklumkan baginda bahawa Datuk Muhammad dan Datuk Mustafa akan menyambut ketibaan Campbell dari Kuala Lumpur di Stesyen Kereta Api Johor Bahru pada minggu hadapan. Sultan Ibrahim berpesan kepada anggota-anggota kerajaannya agar kedatangan tetamu kerajaan itu hendaklah diraikan dengan sewajarnya.

*****

Arthur Young menyerahkan surat perlantikan jawatan sebagai Penasihat Am Johor kepada Douglas Campbell yang sedang duduk di hadapan mejanya.

Campbell menerima watikah perlantikan tersebut seraya membaca sepintas lalu. Watikah bercap mohor Pejabat Tanah Jajahan Great Britain itu dilipat semula dan dimasukkan ke dalam saku bajunya. Kemudian dia memandang wajah Arthur Young sambil menunggu kata-kata beliau,

“Misi awak di Johor nanti bukan sekadar menjadi penasihat kepada batang tubuh Sultan. Awak hendaklah memastikan bahawa segala nasihat dan buah fikiran yang diutarakan kepada baginda Sultan diikuti sepenuhnya oleh baginda dan kerajaan baginda. Status Penasihat Am yang akan awak jawat sama dengan Penasihat Am negeri-negeri Melayu lain, iaitu berkuasa memberi nasihat kepada Sultan, mengemaskini pentadbiran kerajaan dan melaksanakan arahan eksekutif, kecuali yang berkait dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam.”

Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia.
“Saya menerima tugas ini dengan penuh rasa hormat, Tuan Gabenor. Saya berterima kasih kepada Tuan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk melaksanakan kerja-kerja ini. Akan tetapi, tidakkah itu bermakna Great Britain telah meletakkan Johor di dalam peta dunia sebagai wilayah jajahannya? Bagaimana dengan status Johor Merdeka seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Persetiaan 1885 di antara Johor dengan Great Britain? Bukankah tindakan yang akan kita lakukan nanti mencabul semangat perjanjian itu dengan cara menurunkan status Johor sebagai Wilayah Merdeka kepada Wilayah Jajahan?”

“Campbell, England tidak berniat untuk mengubah status Johor seperti yang awak tanggap. Johor berhak mengekalkan statusnya sebagai Wilayah Merdeka selama mana yang ia suka. Situasi Johor adalah unik berbanding negeri-negeri Melayu lain. Saya kerap didesak oleh Parlimen Great Britain supaya melihat Johor sebagai sesuatu yang wajar dimiliki oleh Kerajaan Baginda King. Saya tidak dapat buat begitu kerana menghormati pendirian almarhum Sultan Abu Bakar dan anaknya, Sultan Ibrahim sekarang. Mereka adalah raja yang tahu memerintah, mentadbir dan melaksanakan kerja-kerja kerajaan di dalam wilayah kekuasaan mereka.”

“Kalau begitu, saya akan menghadapi situasi yang rumit,” kata Campbell.

“Sebab itulah saya telah mencadangkan nama awak kepada Pejabat Tanah Jajahan. Awak seorang pentadbir yang cekap, manakala Baginda Sultan Ibrahim dan pegawai-pegawai kerajaannya tahu bagaimana hendak memerintah dan mentadbir. Khidmat awak diperlukan untuk memperelokkan lagi perkara urustadbir Johor. Pergilah ke sana, bergaul dengan mereka, kemukakan nasihat yang baik dan pastikan nasihat itu dipatuhi, demi kebaikan Great Britain dan kerajaan Johor sendiri.”

“Saya akan melaksanakan apa yang wajar.”

*****

Sultan Ibrahim memandang Menteri Besar Datuk Jaafar dan Datuk Bentara Dalam Munshi Ibrahim di dalam satu perbincangan di Balai Istana Zaharah. Datuk Jaafar sedang mengerutkan dahi seperti sedang memikirkan penyelesaian untuk suatu masalah yang rumit.

Kalaulah Datuk Seri Amar Di-Raja Abdul Rahman masih kekal di Johor, alangkah mudahnya kerana beliau lebih faham tipu muslihat Inggeris berbanding pegawai-pegawai sedia ada. Beliau lebih pintar dan lebih berterus terang bila berinteraksi dengan pegawai-pegawai Inggeris. Namun beliau telah berasa sedikit jauh hati kerana Sultan Ibrahim seolah-olah telah membenarkan Inggeris menanam benih-benih penjajahan di dalam struktur pentadbiran kerajaan apabila bersetuju untuk menggugur terma ‘pegawai kerajaan dipinjam’ bagi semua pegawai Inggeris yang berkhidmat di negeri Johor. Walau bagaimana pun, beliau tidak menolak akibat daripada keputusan Sultan itu, akan lebih memodenkan lagi sistem pentadbiran kerajaan dan meningkatkan kecekapan urustadbir.

Selepas dibersarakan daripada jawatan kerajaan, beliau telah memohon kepada Sultan untuk membenarkannya menghabiskan sisa usia di England bersama keluarganya. Sultan Ibrahim terkilan sedikit dengan permintaan beliau kerana akan kehilangan seorang mentor berpengalaman yang akan berjauhan daripada baginda. Sultan Ibrahim memperkenankan hasrat beliau tetapi meminta beliau kekal sebagai wakil peribadi baginda di England untuk memantau urusniaga bon-bon kerajaan, mengekalkan hubungan baik dengan pihak-pihak tertentu di dalam kerajaan Inggeris dan menilik perancangan Inggeris untuk negeri Johor sebelum mereka mengorak langkah supaya baginda boleh mengambil tindakan awal sebelum Inggeris memulakan langkah.

“Campbell tidak sama seperti Buckley, Tuanku,” kata Datuk Jaafar. “Dia memang bijak. Buah fikirannya bernas dan munasabah.”

Semenjak kehadiran Campbell, berbagai nasihat dan saranan telah dikemukakan oleh beliau kepada Sultan dan kerajaan Johor, yang hampir kebanyakannya telah diikuti. Keadaan urustadbir kerajaan turut berubah. Inggeris tidak lagi menganggap pegawai-pegawainya yang bertugas di Johor sebagai pegawai-pegawai yang dipinjamkan. Mereka telah dianggap sebagai pegawai yang melaksanakan kerja mengikut aturan dan ukuran Kerajaan Baginda King. Urustadbir kerajaan Johor telah diterapkan dengan cara urustadbir kerajaan England. Kesannya, pentadbiran kerajaan semakin cekap, urusan kewangan semakin teratur, keselamatan dalam negeri semakin baik, taraf pendidikan semakin meningkat dan Johor semakin maju.

Bahasa pentadbiran telah mula menggunakan Bahasa Inggeris di samping Bahasa Melayu. Semakin ramai anak-anak Johor yang boleh bertutur Bahasa Inggeris. Pandangan mereka terhadap dunia semakin terbuka luas. Generasi baru dilihat telah menjadi semakin cerdik. Perkembangan itu amat membanggakan Datuk Jaafar dan Datuk Munshi Ibrahim.

Campbell telah mengubah wajah Johor. Akan tetapi haruskah Campbell mengubah segala-galanya, termasuk Undang-undang Tubuh Kerajaan yang telah menjadi tunggak negeri Johor semenjak zaman almarhum Sultan Abu Bakar lagi?

“Datuk Munshi,” kata Datuk Jaafar sambil memandang Datuk Munshi Ibrahim. “Apa pandangan Datuk Munshi?”

“Saya tidak fikir Campbell bermaksud untuk mengubah initipati perlembagaan negeri kita, Datuk,” ujar Datuk Munshi Ibrahim. Kemudian Datuk Munshi Ibrahim memandang Sultan Ibrahim sambil berkata,

“Tuanku, patik fikir Campbell akan merundingkan isi-isi Perjanjian Persetiaan 1885. Mungkin beliau ingin kita pertimbangkan untuk meminda beberapa isi perjanjian itu yang mereka rasa tidak sesuai lagi untuk dilaksanakan pada masa ini. Jika timbul usul untuk meminda, atau menghapus Undang-undang Tubuh Kerajaan, kita hendaklah mengambil pendirian tegas untuk tidak melayan usul itu. Sultan tidak boleh wujud tanpa Undang-undang Tubuh Kerajaan, manakala kerajaan tidak boleh menjalankan kerja tanpa mesyuarat di antara Sultan dan ahli-ahli kerajaan. Jika kehormatan perlembagaan negeri kita diganggu, kami ahli-ahli kerajaan akan mempertahankannya, dengan Sultan, atau tanpa Sultan.”

Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia.
“Tuanku,” kata Datuk Jaafar. Sultan Ibrahim memandang Datuk Jaafar.

“Patik semakin uzur. Untunglah negeri kita kerana memiliki anak-anak negeri yang semakin bijak seperti Datuk Munshi. Satu permintaan patik agar Tuanku pertimbangkan ialah mengekalkan jawatan Menteri Besar dalam kerajaan Tuanku. Dalam adat istiadat Melayu, seorang Sultan berkehendakkan wazir atau menteri untuk melaksanakan titah perintah baginda. Patik berkata ini, bukan untuk keuntungan diri patik, tetapi untuk anak-anak negeri yang akan menjawat jawatan Menteri Besar selepas patik.”

“Benar, Datuk Jaafar. Kita tidak boleh melupuskan jawatan Menteri Besar. Bahkan kita akan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan kita sendiri. Apa pun yang akan berlaku kepada negeri ini, hendaklah kita sentiasa rujuk kepada perlembagaan yang sedang berkuatkuasa. Hanya kepada Allah kita berserah,” kata Sultan Ibrahim.


Kredit Bendera Johor kepada Portal RasmiKerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim.

*****

“Johor mesti jadi Johor!” Tegas Sultan Ibrahim di dalam mesyuarat kerajaan.

Ahli-ahli kerajaan yang hadir diam mendengar titah Sultan.

“Johor tidak boleh menjadi England, tidak boleh menjadi Eropah. Johor mungkin boleh  mengambil tamadun Eropah untuk memajukan isi negeri, tetapi Johor tidak boleh mengubah Undang-undang Tubuh Kerajaan yang telah berkuatkuasa semenjak diwartakan lagi. Apa guna perlembagaan kalau tidak dipatuhi? Encik Campbell, bagaimana kalau kami mencadangkan agar Great Britain meminda Magna Carta dan Common Law terlebih dahulu sebelum London boleh mencadangkan Johor Bahru mengubah perlembagaannya? Kita yakin Encik Campbell tidak akan setuju, bahkan Parlimen England akan mempertahankan perlembagaannya.”

Suasana sepi menyahut hujung bicara Sultan Ibrahim.


Douglas Campbell terdiam mendengar hujah balas Sultan Ibrahim. Dia sudah menduga akan menghadapi keadaan yang serumit itu. Dia melihat Menteri Besar Datuk Jaafar mengangguk beberapa kali bersetuju dengan pendapat Sultannya.

Arthur Young, Charles Buckley dan James Cerr telah berkali-kali memberitahunya bahawa Sultan Ibrahim memiliki karisma tersendiri berbanding Sultan-sultan Melayu lain yang pernah ditemuinya. Baginda bijak, tegas, berterus-terang dan rajin melaksanakan kerja-kerja kerajaan. Sikap baginda dicontohi ahli-ahli majlis mesyuarat negeri dan pegawai-pegawai kerajaan. Campbell percaya tanpa sikap ingin maju seperti itu, mustahil dia akan dapat memperkenalkan perubahan di dalam urustadbir kerajaan Johor.

“Benar, Tuanku,” kata Campbell. “Tiada kerajaan di dunia ini yang suka kerajaan negeri lain mencabar kewibawaan perlembagaan negerinya. England akan menghormati pendirian kerajaan Tuanku.”

“Bukan kerajaan kita, Campbell. Kerajaan Johor. Sebab itu kita menegaskan bahawa Johor mesti sentiasa jadi Johor. Kita tidak tahu bagaimana masa depan Johor nanti. Masa depan Johor bergantung kepada masa depan dunia. Kita sedar bahawa rakyat kita semakin cerdik kerana mutu pendidikan mereka semakin tinggi. Kita berharap agar mereka dapat meneruskan kerajaan Johor seperti yang hari ini.”

Setelah mesyuarat selesai, ahli-ahli majlis mesyuarat negeri bersurai.

Sultan Ibrahim dan Datuk Jaafar masih duduk diam di kerusi masing-masing. Sultan Ibrahim memandang Datuk Jaafar.

“Campbell tidak akan berhenti setakat ini, Tuanku.”

“Kepada Allah kita berserah,” kata Sultan Ibrahim sambil memandang ke luar tingkap Bilik Mesyuarat yang menghadap ke arah Bukit Timbalan yang menempatkan Markas Pasukan Tentera Timbalan Setia Johor.

Kredit Jata Johor kepada Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim.

Sayup kedengaran pasukan pancaragam Timbalan Setia sedang berlatih memainkan instrumental ‘Lagu Bangsa Johor’, lagu kebangsaan negeri Johor.


TAMAT.


Mingguan Malaysia, 7 April 2002
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2002


Nota kaki:
  1. Ini ialah cerpen sambungan kepada cerpen “Pada Suatu Ketika di Ujong Madini II”. Latar cerita yang saya pilih ialah latar masa setelah Datuk Seri Amar DiRaja Abdul Rahman Andak dikeluarkan daripada sistem kerajaan Johor dan kedatangan Douglas Campbell yang dihantar oleh Inggeris sebagai wakil Inggeris dalam kerajaan Johor. Pada ketika itu sistem pentadbiran kerajaan Johor telah kukuh di bawah pimpinan Sultan Ibrahim dan disokong serta dilaksana oleh pegawai-pegawai kerajaan anak-anak tempatan. Inggeris menghantar wakilnya untuk mengkaji bagaimana sistem urustadbir Johor boleh menjadi sangat cekap berbanding negeri-negeri Melayu lain hingga sanggup tidak menerima pinjaman daripada Inggeris untuk membuat jalan kereta api yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur bagi landasan yang dibina di bahagian negeri Johor sahaja.
  2. Ini ialah cerpen trilogi ketiga dan terakhir dalam siri Kesultanan Johor Moden. Saya ada selonggok buku-buku rujukan yang menjadi asas kepada cerpen trilogi ini. Tidak sedikit masa dan fikiran yang diguna untuk membaca, menghadam, menganalisa, mencerakin dan menyimpulkan semua maklumat dan dapatan daripada buku-buku kajian zaman sekarang dan rekod bertulis yang terbit pada zaman watak-watak cerpen trilogi itu hidup pada suatu ketika dahulu.
  3. Kalau ada pembikin filem hendak menjadikan cerpen ini sebagai produk layar perak, mungkin baris tanda (tagline) yang sesuai untuk ditulis pada poster filem dan untuk diungkap dalam klip video trailer promosi - "Bila kerajaan telah teguh, anak negeri wajib mempertahankan kedaulatannya" atau dalam Bahasa Inggeris "When the government has established, the subjects shall defence its sovereignty".
  4. Kredit “Lagu Bangsa Johor” kepada akaun Youtube ‘msyariah’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan