Isnin, 6 Julai 2015

08 Pada Suatu Ketika di Ujong Madini II


Jementah telah diserang.

Daerah yang kaya dengan hasil padi dan buah-buahan itu telah digempur oleh pasukan Raja Berambut Panjang. Banyak rumah yang dibakar, harta benda yang dirampas dan tidak sedikit penduduk yang menjadi korban gerombolan penyerang itu.

Apabila serangan itu berakhir, Panglima Besar Sanchu segera mengumpulkan semua penduduk di rumah Penghulu Jementah.

Tengku Nong, Wan Daud, Penghulu Abdul Ghaffur dan pemimpin-pemimpin kanan gerombolan penyerang sedang duduk berkumpul di ambin rumah Penghulu Jementah. Dari atas ambin itu, Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda Kesang dan melantik Wan Daud sebagai Temenggung Paduka Tuan Kesang. Tengku Nong turut mengumumkan bahawa kerajaan baru Kesang itu terpisah dari kerajaan Johor yang berpusat di Johor Bahru.

Penghulu Abdul Ghaffur berasa bahawa perbuatan Tengku Nong itu salah. Penghulu Abdul Ghaffur yang menjadi Penghulu Jementah semenjak zaman Sultan Ali dan Temenggung Daeng Ibrahim tahu bahawa Kesang telah diserahkan oleh Sultan Ali kepada Maharaja Abu Bakar setelah Sultan Ali gagal memajukan Kesang dan memakmurkan ekonomi rakyat jelatanya di situ.

Dia sendiri mendengar ucapan perakuan Sultan Ali kepada Maharaja Abu Bakar yang menyatakan bahawa kerajaan Johor dan penduduk Kesang menjadi milik Maharaja Abu Bakar dan keturunannya, di dalam satu istiadat serah kuasa kerajaan yang diatur oleh Lord Carnavorn di Pejabat Gabenor Singapura.

Kini Tengku Nong, sepupu Tengku Alam putera Sultan Ali pula, mengisytiharkan bahawa Kesang keluar dari Johor. Kalau Tengku Nong melantik dirinya sebagai Raja Muda Kesang, apakah nanti akan ada jawatan Sultan Kesang? Siapa yanag akan merajai Kesang? Tengku Alam yang sedang menetap di Istana Kampung Gelam, Singapura?

Penghulu Abdul Ghaffur tahu bahawa selepas kemangkatan Sultan Ali tidak lama selepas penyerahan Kesang, Tengku Alam cuba mendapatkan bantuan Gabenor Negeri-negeri Selat, Gabenor Robinson, supaya melantik dirinya sebagai Sultan Johor. Gabenor Robinson tidak dapat berbuat demikian kerana penyerahan Kesang dan kuasa memerintah Johor kepada Maharaja Abu Bakar adalah muktamad atas kehendak Sultan Ali dan disokong oleh waris-waris kuat Sultan Husain.

Adakah perbuatan Tengku Nong di Jementah mempunyai kaitan dengan percubaan Tengku Alam?

Selang beberapa hari setelah keadaan kembali aman, Penghulu Jementah berperahu ke Kuala Muar untuk melaporkan hal Jementah kepada Engku Ahmad, wakil Maharaja Abu Bakar, yang mentadbir Muar dan Batu Pahat.

*****

“Pemberontakan di Jementah diketuai saudara-mara kita juga. Engku Ahmad, kita melantik Engku memimpin kempen menghapuskan pemberontakan ini kerana kita percaya Tengku Nong yang menjadi kawan sepermainan Engku semasa kecil dulu boleh berunding dengan Engku. Pujuklah dia,” kata Maharaja Abu Bakar.

“Kalau dia berkeras?” Soal Engku Ahmad pula. Engku Ahmad segera menghadap Maharaja Abu Bakar di Johor Bahru setelah menerima laporan Penghulu Abdul Ghaffur. Balkoni Istana Besar yang menghadap Selat Tebrau menjadi tempat perbincangan mereka.

Maharaja Abu Bakar terdiam sambil menikmati panorama senja. Pulau Singapura di seberang sana kelihatan berbalam di remang senja. Nelayan-nelayan pantai sudah kembali ke pantai membawa hasil tangkapan pada hari itu.

Tongkang-tongkang barang dagangan kelihatan bersauh di muara Sungai Air Putih, menanti giliran merapat ke Jeti Kastam.

Sesungguhnya Sistem Kangcu yang diperkenalkan di dalam perusahaan perladangan lada hitam, gambir dan kopi amat berjaya. Perusahaan pembalakan pula semakin berkembang maju apabila mesin-mesin pemotong kayu dibawa masuk dari England. Hasil cukai ke atas komoditi-komoditi itu lebih daripada cukup untuk menampung perbelanjaan mentadbir sebuah negeri.

Negeri Johor semakin kaya dan makmur, bukan disebabkan oleh usaha baginda berseorangan, bahkan baginda turut dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan anak-anak Melayu yang gigih dan cekap seperti Engku Ahmad.

“Kita tiada pilihan melainkan menggempur kubu mereka dan menangkap semuanya.”

“Saya akan cuba mengurangkan bilangan korban dan tidak bertindak kejam untuk menarik sokongan rakyat jelata.”

“Kita merestui Engku dan kita bertanggungjawab di atas tindakan perang yang Engku akan lakukan.”

“Terima kasih, Tuanku Maharaja.”

“Sama-sama.”

*****

Engku Ahmad kembali ke Kuala Muar, membawa kelengkapan senjata dan sepasukan askar dari Johor Bahru. Setelah tiba di Muar, dia merangka strategi dan menyediakan kelengkapan perang. Golongan peniaga di Muar menyumbang bekalan makanan untuk pasukan askar maharaja.

Tidak berapa lama kemudian, Engku Ahmad memimpin pasukannya berperahu ke Segamat memudik ke ulu Sungai Muar. Di pertengahan jalan, seorang perisik yang telah dihantar lebih awal melaporkan bahawa pasukan musuh sedang mengumpul kekuatan di Lubuk Bandan.

Engku Ahmad bercadang hendak menyerang tempat itu.

Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia.
Seperti yang telah dirancang bersama panglima-panglima kanannya, Lubuk Bandan digempur di dalam satu serangan mengejut. Pasukan pemberontak yang diketuai Raja Berambut Panjang telah terdesak dan berundur sejauh enam batu dari Lubuk Bandan. Mereka bertahan di kaki Gunung Ledang dan menghantar utusan meminta bantuan Tengku Nong yang bersemayam di Jementah.

Bila mendapati bekalan peluru dan makanan berkurangan, Engku Ahmad memohon bantuan tambahan daripada Maharaja Abu Bakar. Dia sendiri telah mengatur kawalan di sepanjang sempadan Muar-Segamat dan menghantar perisik-perisik untuk meninjau kekuatan musuh di dalam kawasan Kesang.

*****

“Datuk,” kata Maharaja Abu Bakar setelah Datuk Bentara Luar Muhammad Salleh selesai membentangkan laporan keselamatan tentang ancaman perompak dan kongsi gelap di dalam bandar Johor Bahru.

Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia.
Muhammad Salleh memandang Maharaja Abu Bakar.

“Kita ingin meminta tolong Datuk berkenaan perkara Kesang.”

“Bagaimana faqir boleh menolong, Tuanku.”

“Kita ingin Datuk membantu Engku Ahmad yang sekarang sedang berjuang menghapuskan pemberontakan di sana. Sebagai Ketua Polis, Datuk berkuasa menangkap dan memasung mereka setelah mereka ditumpaskan. Bawa mereka kepada kita untuk dibicarakan di Istana Besar ini.”

“Faqir akan membuat persediaan yang sewajarnya.”

“Kita sudah menyiapkan sepasukan askar sebagai bantuan tambahan yang telah diminta oleh Engku Ahmad. Datuk akan membawa pasukan ini dan kelengkapan senjata ke Kuala Muar pada pagi esok. Untuk kerja ini, Datuk akan dibantu oleh empat orang panglima yang telah kita pilih. Mereka akan menerima perintah dari Datuk. Di Muar, Datuk akan bekerjasama dengan Engku Ahmad.”

Muhammad Salleh mendengar dengan teliti perintah Maharaja Abu Bakar.

“Mari, Datuk. Ambil watikah ini.”

Muhammad Salleh menghampiri Maharaja Abu Bakar dan menerima watikah itu.

“Ini watikah yang menjelaskan tentang kuasa Datuk dalam hal Kesang. Kita percaya, Datuk boleh sempurnakan kerja ini dengan bantuan Engku Ahmad.”

“Faqir menghargai kepercayaan Tuanku terhadap faqir. Faqir akan melaksanakan perintah Tuanku dengan baik.”

“Pergilah.”

“Mohon izin, Tuanku Maharaja.”

Datuk Bentara Luar Muhammad Salleh meninggalkan Dewan menghadap Istana Besar itu.

*****

Muhammad Salleh melihat jam sakunya. Jarum saat berlari deras melangkah angka-angka bertulisan roman. 4.25 pagi. Lima minit sebelum masa bertindak.

“Bagaimana, Datuk?” Tanya Engku Ahmad di dalam keheningan subuh.

“Semua orang kita sudah bersedia. Dalam masa lima minit lagi, mereka akan ditewaskan.”

“Bagus, Datuk.”

Dusun Dedap bakal menjadi benteng terakhir di dalam krisis Kesang. Tengku Nong dan panglima-panglima kanannya telah membuat pertahanan di situ setelah kubu mereka di Lubuk Bandan musnah digempur pasukan Engku Ahmad.

Berdasarkan laporan perisikan, Muhammad Salleh tahu bahawa orang-orang Tengku Nong semakin lemah. Bekalan makanan dan peluru mereka semakin berkurangan. Penduduk kampung tempat mereka berkubu telah berpindah buat sementara waktu supaya askar kerajaan boleh menjalankan tindakan ketenteraan dengan berkesan. Pasukan Tengku Nong telah dipencilkan.

Muhammad Salleh mengambil kesempatan menyusun pasukannya. Kubu batang buluh setebal empat lapis telah dibina di tempat-tempat strategik. Sebanyak empat buah meriam tarik telah dihalakan ke arah kedudukan pemberontak. Setiap meriam dikendalikan oleh sekumpulan sepuluh orang askar.

Seratus kedudukan penembak akan dijaga oleh sekumpulan dua orang yang akan mengendalikan empat pucuk senapang. Orang pertama akan mengisi peluru ke dalam setiap senapang, manakala orang kedua akan menembak sasaran.

Seramai dua ratus orang lagi askar yang diketuai Engku Ahmad dan Panglima Awang akan menunggu arahan Muhammad Salleh untuk menyerbu kubu musuh.

Persiapan mereka sempurna tepat pukul 6.00 petang. Pasukannya dibenarkan berehat setelah Muhammad Salleh menyampaikan taklimat medan yang terakhir. Pada jam 4.00 pagi, mereka telah berada di kedudukan masing-masing.

Saat yang ditunggu telah tiba.

“Tembak!” Jerit Muhammad Salleh.

Sebanyak empat buah meriam dan lima puluh pucuk senapang pasukan askar Maharaja Abu Bakar serempak menembak. Bunyi tembakan itu memecah hening subuh yang masih gelap.

Pemberontak yang sedang tidur gempar terjaga. Panglima Besar Sanchu memalu gendang perang. Orang-orang Tengku Nong terus mencapai senapang dan mengambil kedudukan membalas tembakan.

Apabila hari semakin cerah, bunyi berbalas tembakan semakin kurang kedengaran. Muhammad Salleh memberi isyarat menghentikan tembakan.

Pasukan Tengku Nong telah kehabisan peluru. Mereka menghunus senjata tajam yang dapat dicapai.

“Serbu!” Perintah Muhammad Salleh kepada pasukannya yang sedang menunggu.

Seramai dua ratus orang askar kerajaan bersenjata parang dan sundang menyerbu kubu musuh.

“Amuk!” Jerit Tengku Nong.

Kredit ilustrasi kepada Mingguan Malaysia.
Panglima Besar Sanchu, Raja Berambut Panjang dan saki-baki perajurit mereka yang masih tinggal terus mengamuk dan menyerang askar-askar kerajaan.

Kemudian Tengku Nong sedar bahawa kedudukan pasukannya sedang dikepung oleh seramai tiga ratus orang askar maharaja yang sedang menghunuskan senapang ke arah mereka dari lereng bukit.

“Berhenti!” Perintah Tengku Nong. “Orang-orang Tengku Nong berhenti! Buang senjata kamu! Kita sudah kalah!”

Senjata-senjata pemberontak jatuh ke atas tanah satu demi satu.

*****

Maharaja Abu Bakar, Tengku Nong dan Tengku Alam duduk di balkoni Istana Besar yang menghadap Pulau Singapura.

Kempen Kesang telah berjaya. Penduduk Kesang kini hidup aman. Semua anggota pemberontak telah ditangkap, dipasung dan dibawa ke Johor Bahru untuk diadili sendiri oleh Maharaja Abu Bakar. Engku Ahmad dan Muhammad Salleh telah berjaya melaksanakan tugas mereka.

Setelah dibicarakan, Maharaja Abu Bakar memutuskan bahawa mereka bersalah dan layak dihukum mati mengikut perlembagaan negeri Johor. Namun, atas dasar ihsan, Maharaja Abu Bakar telah mengampunkan mereka.

Semua anggota pemberontak dibebaskan. Tengku Nong telah dipanggil menghadap Maharaja Abu Bakar dan Tengku Alam di Bilik Peraduan Maharaja.

Angin selat pada petang itu sungguh nyaman.

“Kita menjadi raja bukan untuk bermegah atau tamakkan tanah jajahan, tetapi kerana kita memegang amanah rakyat jelata. Rakyat berharap agar kita menjadi benteng tanah air daripada pencerobohan kuasa-kuasa asing. Sebagai raja, kita mesti kuat dan bijaksana. Raja yang kuat akan berpengaruh di kalangan rakyat. Raja yang bijaksana akan beroleh kesetiaan rakyat. Raja berdaulat kerana didaulatkan oleh rakyat. Raja hilang daulat kerana rakyat enggan mendaulatkannya. Jangan salahkan rakyat yang enggan mendaulatkan seseorang raja kalau raja itu lemah dan berperibadi keji.”

Angin semilir dari selat semakin deras menyapu tubuh-tubuh mereka.

“Tengku Alam, kita mengampunkan Tengku Nong kerana kita dan tengku berdua bukan orang lain. Nenek moyang kita bersaudara. Kita sebagai zuriat mereka tetap bersaudara. Kita tidak ingin melanjutkan sengketa sesama bangsa kerana orang asing sentiasa mengintai peluang untuk merampas kuasa dan tanah air kita. Lihatlah pulau di depan sana. Bapa kita memutuskan untuk berpindah dari Teluk Belanga di sana ke Tanjung Puteri di sini kerana almarhum telah nampak kesudahan perjanjian di antara mendiang Raffles dan almarhum Sultan Husain. Kita memang tiada kekuatan untuk menghalau kuasa asing dari situ kerana terikat kepada janji. Almarhum bapa kita pernah berkata kepada kita, biarlah Temasik terlepas, biarlah hak ke atas Bulang hilang, biarlah Lingga ghaib di depan mata, asalkan negeri di tanah hujung ini tidak terusik. Sebaik sahaja menggantikan almarhum bapa, kita telah berazam, kita ingin menjadikan tanah hujung ini sebagai sebuah negeri yang maju, kuat, memiliki rakyat yang bersatu, disegani bangsa asing dan kekal merdeka.”

Tengku Alam dan Tengku Nong memandang Maharaja Abu Bakar.

“Itulah azam kita,” kata Maharaja Abu Bakar. “Kita ingin menjadi sebuah negeri yang termasyhur, terhormat dan bebas merdeka!”

TAMAT.


Mingguan Malaysia, 14 Januari 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001


Nota kaki:
  1. Ini ialah cerpen sambungan kepada cerpen “Pada Suatu Ketika di Ujong Madini”. Latar cerita yang saya pilih ialah latar masa sewaktu berlakunya Perang Jementah pada zaman Maharaja Abu Bakar. Daeng Abu Bakar yang memerintah Johor pada ketika itu, telah membuang gelaran Temenggung Seri Maharaja dan digantikan dengan gelaran Maharaja, manakala gelaran Sultan belum dipakai.
  2. Hati saya sedih dan pilu bila mengingatkan sengketa sesama saudara – adik-beradik, sepupu sepapat, saudara mara – yang pernah berlaku di dalam lipatan sejarah, menyebabkan saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri untuk maksud yang sempit dan mengutamakan kepentingan peribadi.
  3. Naskhah ini memenangi Hadiah Penghargaan Kategori Cerpen Hadiah Sastera Utusan 2001 – dimuat dalam Antologi Nasi Ayam Laut Sepinggan terbitan Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd, 2002.
Antologi Nasi Ayam Laut Sepinggan.
  1. Pada masa menerima hadiah itu saya bekerja di Bintulu dan saya telah mohon cuti daripada majikan untuk terima hadiah di Kuala Lumpur. Saya telah meminta bekas Guru Besar sekolah rendah saya, Allahyarham Mohd Said Jamhari atau nama penanya, Said Johor, untuk mengiring saya dan beliau dengan senang hati memenuhi permintaan saya. Semasa berada di dalam majlis, dia sungguh gembira kerana telah berjumpa dengan kawan-kawan lamanya – di antaranya A Samad Said, Firdaus Abdullah, Johan Jaafar, Allahyarham Aziz Jahpin dan Allahyarham Othman Puteh. Sebelah malam ketika makan di Bukit Bintang, beliau terserempak pula dengan kawan baiknya Zam Ismail dari Yayasan Warisan Johor dan membincangkan secara ringkas projek penulisan yang sedang mereka usahakan. Sebelum saya berpisah dengan beliau untuk kembali ke Bintulu, beliau berpesan “Sekali menulis, terus menulis”. Sebenarnya itu ialah motto Persatuan Penulis Johor dan kata-kata itu termeteri kuat di dalam hati saya yang saya anggap sebagai wasiat beliau.   

Buku jemputan Hadiah Sastera 2001 Kumpulan Utusan (muka tengah).
  1. Kalau ada pembikin filem hendak menjadikan Perang Jementah sebagai produk layar perak, mungkin baris tanda (tagline) yang sesuai untuk ditulis pada poster filem dan untuk diungkap dalam klip video trailer promosi - "Bila raja telah berjaya, rakyat wajib menumpahkan taat dan setia" atau dalam Bahasa Inggeris "When the king succeeds, the commoner shall oblige to the cause".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan