Sabtu, 27 Jun 2015

06 Benih-benih Klon

Roland Sr mengulang rutin hariannya. Pada setiap pagi dia memberi makan puyuh belaan daripada klon baka terbaik yang diternak di dalam reban di belakang rumahnya. Usai kerja itu, dia mengumpul najis puyuh di bawah reban dan menggaulnya dengan tanah bakar untuk dijadikan baja. Sesudah itu, dia membaja dan menyiram batas-batas kobis dan sawi yang ditanam di sebelah rumahnya. Hari itu ialah hari terakhir dia mengulang rutin hidupnya.

Anaknya, Roland Jr, selesai mandi di perigi dan bersiap untuk memulakan kerja. Selesai sarapan, tanpa disuruh, dia mengambil raga-raga plastik dan mengutip telur-telur puyuh di reban. Apabila kerja mengutip dan membasuh telur selesai, dia mengatur semua raga telur puyuh di dalam sebuah van. Kemudian dia memandu van ke pekan untuk menjual telur puyuh di pasar borong.

Roland Sr masuk ke dalam rumah apabila kerjanya selesai. Selepas bersalin pakaian, dia memasak dan menghidangkan makanan di atas meja. Tanpa menunggu Roland Jr, dia terus makan seorang diri penuh selera. Alangkah nikmatnya makanan yang dimasak hasil daripada titik peluh sendiri. Dia bersyukur kerana Tuhan masih mengizinkannya untuk menikmati baki sisa-sisa hidup.

Selesai makan tengah hari, Roland Sr mengemas meja makan dan mencuci pinggan mangkuk. Baki makanan dibiarkan hangat di atas dapur. Sistem pemanas dapur dihidupkan agar apabila pulang dari kerja, Roland Jr boleh menikmati makanan hangat.

Roland Sr duduk di beranda menikmati hembusan angin tengah hari. Dia membuka komputer mobil dan memeriksa e-mel. Dia mendapati ada satu mesej daripada Dr Ramzan yang bekerja di Fakulti Reproduksi dan Regenerasi sebuah IPT tempatan. Dia membuka e-mel itu dan membaca isinya. Dr Ramzan bertanya keadaan mereka dua beranak. Dr Ramzan amat mengambil berat terhadap mereka dan rajin bertandang ke rumah Roland Sr. Roland Sr membuka ruang bual interaktif dan menghubungi Dr Ramzan seperti yang diminta oleh sahabatnya itu.

Ramzan, apa khabar awak?

Oh, Roland! Saya baik saja di sini. Bagaimanakah kesihatan awak sekarang?

Hai, beginilah hidup sebagai orang tua. Tenaga dah tak kuat lagi macam masa muda dulu.

Jagalah kesihatan diri. Makanlah perskripsi yang saya bekalkan. Sekurang-kurangnya dapat menstabilkan tekanan darah dan mengelakkan strok. Bagaimanakah keadaan Roland Jr awak?

Oh, dia seorang zuriat yang baik. Dia rajin menolong saya.

Apakah dia dah tau siapa dirinya yang sebenar?

Saya rasa belum. Saya percaya, dia akan tau juga nanti. Baru-baru ni, dia ada bertanya tentang ibunya.

Apakah yang awak beritau dia?

Saya beritau yang ibunya dah lama meninggal dunia. Saya bercadang nak bawa dia menziarah kubur Margaret minggu depan selepas khutbah Ahad di chapel pekan. Selepas tu, barulah kami akan ke fakulti awak untuk memeriksa sampel darah kami seperti biasa.

Saya rasa itulah tindakan yang betul. Roland, saya ada penemuan baru di sini.

Penemuan apakah itu, Ramzan?

Semasa membuat proses baikpulih kromosom dulu, saya telah membetulkan jujukan DNA yang menjadi manifestasi kecacatan genetik yang ada pada kromosom yang saya ambil dari sel tisu awak. Saya sangka, semua kecacatan itu telah dibaiki. Rupa-rupanya ada lokus yang telah mengalami mutasi pada beberapa titik yang mengawal penghasilan hormon neurotransmiter hipofisis. Keputusan ujian perbandingan profil asal dan profil sampel terkini menunjukkan bahawa produk ujikaji mungkin sedang mengalami degenerasi gen hormon neurotransmiter hipofisis yang mengawal epilepsi akut.

Roland Sr terpegun mendengar penerangan Dr Ramzan.

Ramzan, saya mengerti akibat yang akan saya tanggung nanti. Tapi, Roland Jr adalah satu-satunya baka lelaki saya di dunia ini. Walaupun saya dan Margie tak sempat berkahwin, tapi sekurang-kurangnya kami telah memperolehi zuriat dengan bantuan pengetahuan dan kepakaran awak.

Sabarlah, Roland. Hidup ini memang singkat. Namun, Tuhan memberi kita hak dan peluang untuk menikmati hidup ini. Hanya kuasa kasih sayang yang akan mengukuhkan hubungan awak dan zuriat awak.

Terima kasih, Ramzan. Kami akan ke tempat awak minggu depan.

Sama-sama, Roland. Jagalah diri awak baik-baik.

Komunikasi ditamatkan. Roland Sr membuka fail mengandungi gambar-gambar kenangan dirinya bersama Margaret. Saat-saat indah kenangan percintaan mereka terakam dalam bentuk digital yang sering meresap di dalam ingatan.

Margaret adalah wanita sempurna idamannya. Margaret turut berasa yang dia telah bertemu dengan lelaki impiannya. Mereka saling mencintai dan bercadang untuk berkahwin. Namun, belum sempat rencana mereka menjadi kenyataan, Margaret terbunuh di dalam suatu kemalangan jalan raya yang ngeri. Kereta yang dipandu oleh Margaret terhumban ke dalam gaung ketika cuba mengelak pertembungan dengan sebuah lori kontena yang datang dari arah hadapan apabila lori kontena itu cuba memotong sebuah lori tangki minyak. Kereta Margaret menghempas tebing beberapa kali sebelum meletup dan terbakar lalu menghanguskan tubuhnya yang terperangkap di kerusi pemandu.

Rasa cinta yang amat mendalam telah mendorong Tan Sri Roland Chua mempengaruhi Prof Dr Ramzan Al-Janjalani untuk mengambil cebisan tisu mendiang Margaret dan mengusulkan agar Dr Ramzan mengklonkan dirinya dan Margaret.

Pada mulanya Dr Ramzan keberatan kerana mereka seolah-olah ingin mencabar kekuasaan Tuhan dengan ‘mencipta’ suatu individu baru yang bakal ada nyawa sendiri. Namun usulan Roland itu tidak dapat diabaikan kerana itulah satu-satunya peluang untuk dia membuktikan Teorem Al-Janjalani yang dipeloporinya kerana undang-undang pengklonan yang sedia ada mensyaratkan kerja-kerja pengklonan manusia wajib mendapatkan kerelaan daripada individu yang menjadi sumber klon. Kegagalan berbuat begitu akan membolehkan juruklon, iaitu pekerja pengklonan, daripada peringkat juruteknik hingga pengarah institusi, dihukum penjara mandatori 20 tahun dan denda 2 juta kredit.

“Ramzan, mungkin agama awak mengekang perbuatan seperti itu kerana melibatkan pasangan yang belum bernikah. Tapi saya bukan penganut agama awak. Saya berpendirian bahawa kita manusia hendaklah cuba sedaya upaya melahirkan zuriat selagi terdaya, sama ada secara semulajadi, atau simulasi, termasuk mengklon individu normal. Kita ada ramai pakar dalam bidang pengklonan, termasuk awak. Inilah peluang untuk awak membuktikan teorem genetik yang awak asaskan. Saya percaya, dengan kepakaran dan kelengkapan yang awak ada, usaha ini akan berhasil.”

“Saya tahu hal ini tak mustahil, Roland. Tapi public akan memprotes ujikaji ini. Lagi pun, Margaret dah mati. Kita tak boleh dapatkan surat izin daripada orang mati.”

“Jangan hebohkan kepada public dan komuniti akademik, apa-apa saja berkaitan ujikaji ini. Jadikan ia sebagai rahsia kita berdua. Jangan risau pasal surat izin Margaret. Margaret telah tulis satu surat wasiat membenarkan dirinya diklonkan. Saya pun ada surat yang serupa. Itu janji kami berdua. Kami telah berikrar untuk hidup bersama, sama ada di dalam kehidupan ini, atau kehidupan selepas mati, atau melalui kehidupan klon-klon kami di dalam kehidupan ini apabila kami mati nanti.”

Dr Ramzan berdiam diri memikirkan sesuatu.

“Saya akan meletakkan jawatan politik dan kedudukan di dalam syarikat-syarikat korporat. Saya akan menyalurkan semua kekayaan saya untuk membiayai ujikaji tersebut. Tolong jangan hampakan harapan saya.”

“Baiklah, saya akan cuba. Tapi, apakah yang awak akan buat selepas bersara?”

“Saya akan mengasingkan diri daripada politik dan dunia korporat. Saya ingin menjalani kehidupan sebagai orang biasa.”

Sebenarnya Dr Ramzan tidak risau pasal biaya. Dia tahu bahawa Roland akan membiayainya walaupun dia tidak minta. Dia hanya risaukan perjalanan ujikaji dan akibat-akibat yang mungkin timbul daripada ujikaji itu.

Teorem Genetik Al-Janjalani yang dipeloporinya bertunjangkan tauhid yang mutlak kepada Tuhan Yang Satu, berteraskan prinsip-prinsip fiqah untuk memudahkan amali dalam ruang lingkup syariat Islami dan berkonsepkan prinsip ihsan dan ikhtiar untuk melanjutkan zuriat melalui teknik-teknik pengklonan termaju yang boleh dicuba agar pasangan suami isteri tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat sendiri.

Dr Ramzan telah menjalankan penyelidikan dan ujikaji sendiri untuk menyokong teoremnya. Dia telah menulis tiga jilid buku yang menceritakan panjang lebar dan perincian teorem tersebut. Namun dia tidak pernah menerbitkan buku tersebut untuk mengelak implikasi bio-etika yang akan memudaratkan dirinya sendiri. Jilid-jilid buku tulisannya dalam bentuk manuskrip mentah lengkap dengan data-data kajian, formula kimia, formula matematik, gambarajah, gambarfoto, jadual, carta alir proses dan teknik-teknik kejuruteraan genetik termaju  disimpan kedap di suatu tempat yang hanya dia seorang sahaja yang tahu. Beberapa teknik kejuruteraan genetik termaju yang menggunakan aplikasi nanoteknologi dan fermiteknologi yang menjadi sebahagian daripada isi bukunya itu telah diterapkan di dalam sukatan pelajaran fakulti yang diterajuinya.

Dr Ramzan mengambil sampel tisu Roland. Setelah mengkulturkannya di dalam piring petri, dia memencilkan satu sel tunggal hidup daripada tisu itu. Dia menyedut keluar nukleus sel Roland dengan pipet mikro dan memeliharanya di dalam larutan salin.

Di dalam apa jua kaedah reproduktif manusia, prinsip berpasangan lelaki-perempuan sentiasa menjadi pegangan Dr Ramzan. Kromosom diploid (2n) sel Roland tidak boleh menjana pembentukan lembaga baru kecuali setelah dibenam dan dirawat di dalam persekitaran sel diploid (2n) pasangan pilihannya, iaitu sel tisu Margaret. Setelah lembaga baru terbentuk, ia mesti ditanam di dalam persekitaran alat reproduksi perempuan atau yang menyerupainya.

Dr Ramzan pernah cuba membenam dan merawat kromosom diploid (2n) dari satu sumber, di dalam sel diploid (2n) dari sumber lain yang sama jantina. Percubaannya itu tidak pernah berhasil. Sekaligus mengukuhkan teori berpasangan berlainan jantina yang menjadi hukum alam yang dicipta oleh Tuhan Pencipta Alam Semesta, dan menolak idea sesat golongan homoseksual yang beriman bahawa homoseksualiti merupakan sebahagian daripada lumrah alam.

Cebisan tisu Margaret telah dikulturkan terlebih dahulu di dalam piring petri lain. Sebaik sahaja mendapati bahawa tisu itu boleh mengalami regenerasi, satu sel tunggal telah dipencilkan. Nukleus sel Margaret telah dikeluarkan dan dipelihara di dalam larutan salin.

Dr Ramzan memasukkan nukleus sel Roland ke dalam sel Margaret yang telah dikosongkan. Sel Margaret yang berisi nukleus sel Roland dikultur di dalam piring petri berisi nutrien tertentu yang berbeza daripada piring petri sebelumnya.

Dia mendapati bahawa sel tunggal hibrid itu boleh menjalani proses regenerasi untuk mencambahkan sel-sel baru. Satu sel tunggal telah dipencilkan ke dalam piring petri berisi nutrien dengan ramuan yang baru. Ia kemudian diaruhkan dengan teknik kejutan SPARK – singkatan bagi teknik Sel terPropagasi ARuhan Kelalang.

Teknik kejutan SPARK dibuat berdasarkan postulasi Oparin-Haldane yang menyatakan bahawa persekitaran zaman primitif Bumi membolehkan berlakunya tindakbalas kimia yang dapat mensintesis sebatian organik yang berpunca daripada pra-karsa inorganik yang wujud di dalam atmosfera dan laut arkaik. Postulasi itu kemudian dibuktikan oleh hipotesis Miller-Urey di dalam eksperimen mereka yang berjaya mewujudkan atmosfera Bumi zaman purba pada skala kelalang di dalam makmal dan berjaya menghasilkan sebatian-sebatian organik tertentu yang akhirnya membentuk pra-karsa sel-sel primitif tanpa nukleus.

Piring petri mengandungi sel hibrid tunggal itu dimasukkan ke dalam ruang kelalang diperkaya dengan air, hidrogen, metana dan ammonia, dilalukan cas elektrik untuk menghasilkan ribut taufan tiruan dan petir sintetik pada skala kelalang, manakala perkembangan sel hibrid itu pula diteropong menggunakan mikroskop fermion. Mikroskop elektron tidak boleh digunakan kerana sinaran elektron daripada mikroskop elektron akan dineutralkan oleh cas positif petir tiruan.

Setelah beberapa kali disinggung petir sintetik, sel hibrid tunggal yang diperhatikan di dalam kelalang SPARK didapati telah bercambah membentuk segugus gumpalan tisu seolah-olah telah membahagi untuk menjadi satu lembaga baru.

Blastosista telah terbentuk! Dr Ramzan sujud syukur kepada Allah di atas penemuan sains yang julung-julung kali berlaku dalam sejarah sains reproduktif manusia. Dalam keadaan semulajadi, blastosista hanya akan terbentuk apabila sperma lelaki berjaya menusuk masuk ke dalam ovum perempuan untuk mengasilkan zigot yang akan membahagi menjadi segumpal lembaga.

Dia mengeluarkan sel hibrid yang telah berubah menjadi blastosista dari kelalang SPARK, menghentikan pembentukan blastosista dan memencilkan satu sel blastosista. Sel tunggal itu dipelihara di dalam larutan salin istimewa setelah nukleusnya dikeluarkan untuk dipakai di dalam proses baikpulih kromosom.

Di dalam proses baikpulih kromosom, Dr Ramzan berusaha membaiki kecacatan genetik yang dapat dikesannya. Ujian perbandingan profil DNA Roland dan sel blastosista dibuat setelah proses baikpulih selesai. Profil peta DNA Roland yang asal penuh dengan gen-gen yang boleh memacu ke arah penghasilan polipeptida yang boleh mengekang proses fisiologi tubuh manusia normal. Roland dijangka akan menghidap penyakit tertentu apabila mencapai usia tertentu.

Profil peta DNA sel blastosista yang telah dirawat itu pula didapati bersih daripada sebarang tanda yang memberikan gambaran kemungkinan timbulnya penyakit yang disebabkan oleh kecacatan genetik di dalam tubuh manusia baru yang akan terbentuk. Semua lokus operon di dalam rantai heliks ganda dua sel blastosista baru itu yang asalnya kaya dengan gen-gen cacat telah dipulihkan.

Dr Ramzan berpuas hati dengan keputusan ujikajinya. Nukleus mengandungi set 46 pasang kromosom yang telah dibaiki dimasukkan semula ke dalam sel blastosista tadi. Sel hibrid tunggal itu dikultur di atas medium baru di dalam piring petri baru. Sel itu didapati boleh bercambah menjadi satu lembaga blastosista biasa. Pada belahan pertama yang menghasilkan dua sel anak, Dr Ramzan menghentikan proses pembelahan sel. Kedua-dua sel anak itu diasing dan dikultur di atas medium baru di dalam dua piring petri berasingan. Setiap sel anak itu bercambah lagi untuk membentuk lembaga blastosista baru.

Dua lembaga individu klon baru akan terhasil daripada pengasingan itu. Satu individu klon akan ditunjukkannya kepada Roland, manakala individu klon yang satu lagi akan dirahsiakan kewujudannya. Dia bercadang untuk membuat rawatan lanjut bagi individu klon kedua.

Apabila lembaga 32 sel terbentuk, Dr Ramzan memasukkan lembaga itu ke dalam sebuah balang lutsinar. Balang berisi cecair amnion sintetik itu telah dikultur terlebih awal dengan cebisan tisu Margaret yang telah dirawat dengan satu proses rawatan kultur tisu yang khusus. Lembaga itu ditanam di dalam lipatan tisu tersebut. Lembaga itu terus berkembang menjadi janin baru. Janin itu membesar membentuk sesusuk tubuh bayi sempurna sifat dan akan lahir setelah genap sembilan bulan sepuluh hari.

Ketika melawat janin itu, Roland berterima kasih kepada Dr Ramzan kerana telah membantu mencapai impiannya.

“Lihatlah zuriat saya, Ramzan. Sekurang-kurangnya saya tahu yang saya akan mati dalam keadaan meninggalkan baka.”

Roland tersenyum puas melihat janin bernyawa berusia enam bulan yang terapung di dalam baling rahim tiruan berisi cecair amnion sintetik. Dia seolah-olah melihat cermin dirinya sendiri yang wujud sebagai janin. Dia memberi nama janin itu sebagai Roland Jr (Junior – Muda), manakala dia memanggil dirinya sendiri sebagai Roland Sr (Senior – Tua).

“Saya ingin awak melakukan perkara yang sama untuk menghasilkan klon Margie. Saya tak mau zuriat saya hidup tanpa ada pasangan yang sepadan.”

Tiga bulan kemudian, Roland Jr lahir ke dunia. Mereka menyambut kelahiran itu dengan penuh gembira. Roland Sr mengupah seorang wanita yang pernah menjadi orang gajinya bernama Halimah untuk menjadi ibu susu bayinya. Setahun kemudian, zuriat Margaret pula lahir. Roland Sr mengupah Halimah juga untuk menyusukan bayi klon Margaret.

“Saya akan pelihara Roland Jr, manakala Margie Jr, saya serahkan kepada Halimah. Mereka berdua tak akan saya temukan sebelum cukup dewasa untuk mengenal makna cinta dan kasih sayang.”

Kedua-dua anak itu terus membesar di bawah asuhan wali masing-masing selama hampir 20 tahun. Kedua-dua anak itu tidak tahu bahawa mereka mempunyai seorang lagi saudara lelaki klon yang sengaja Dr Ramzan tidak tunjukkan kepada Roland Sr. Kembar Roland Jr itu membesar di bawah jagaan Dr Ramzan tanpa pengetahuan Roland Sr.

Dr Ramzan telah menerangkan dengan terperinci kepada kembar Roland Jr yang diberikannya nama Roland Ketiga (III) tentang asal-usul kejadiannya. Roland III memahami kejadian dirinya. Dia patuh nasihat Dr Ramzan agar tidak berjumpa bapa asal dan adik-beradiknya yang lain. Ketika lawatan Roland Sr dan saudara kembarnya di fakulti Dr Ramzan, dia hanya memerhatikan mereka dari jauh dan tidak menampakkan dirinya kepada mereka. Begitu juga semasa lawatan Margaret Jr dan Halimah.

Pada suatu hari, Dr Ramzan memberitahu Roland III bahawa kembarnya akan mengalami epilepsi akut. Roland Jr jagaan Roland Sr akan diserang sawan dan bakal bertindak di luar batasan. Otaknya akan gagal mensintesiskan hormon neurotransmiter yang mengawal aktiviti sistem saraf tubuh. Roland III diberitahu oleh Dr Ramzan agar bersedia menghadapi keadaan itu.

“Apakah saya juga akan mengalami nasib seperti saudara saya?”

“Tidak. Kau telah menjalani proses penyaringan kromosom yang sempurna, anakku,” jawab Dr Ramzan.

Hari yang dinantikan oleh Dr Ramzan itu berlaku pada hari terakhir Roland Sr mengulang rutin harian sebagai penternak puyuh dan pekebun sayur.

Di pasar borong, Roland Jr diserang sawan. Imej-imej manusia di sekelilingnya telah menjelma menjadi imej-imej raksasa buas yang pada tanggapannya ingin meratah tubuhnya hidup-hidup. Didorong oleh naluri ingin mempertahankan diri sendiri, dia mencapai pisau pemotong daging kepunyaan seorang peniaga, lalu mengamuk, menetak dan mencincang raksasa-raksasa buas di sekelilingnya.

Satu pekan gempar dengan peristiwa amuk di pasar borong yang telah memakan ramai korban. Pasukan polis segera berkejar ke tempat kejadian. Roland Jr telah tiada. Seorang saksi memberitahu polis bahawa Roland Jr telah dilihat memandu vannya menuju ke arah rumah Roland Sr. Pasukan polis segera berkejar ke situ. Beberapa ambulan dari hospital daerah telah tiba untuk menguruskan mangsa-mangsa amuk.

Dr Ramzan berasa tidak sedap hati setelah berhubung dengan Roland Sr pada pagi tadi. Dia menghubungi Halimah dan memberitahu wanita itu bahawa dia ingin datang ke rumahnya bersama Roland III. Halimah mengalu-alukan kedatangan mereka. Apabila tiba di rumah wanita tersebut, Dr Ramzan memperkenalkan Margaret Jr kepada Roland III. Dr Ramzan kemudian menggesa agar mereka menziarahi Roland Sr. Mereka meninggalkan rumah Halimah menuju ke rumah Roland Sr dengan menaiki kereta Dr Ramzan.

Di rumah Roland Sr, Roland Jr telah amuk membunuh Roland Sr. Roland Jr melihat imej raksasa Roland Sr ingin membaham tubuhnya hidup-hidup, lalu dia terus menyerang, menetak dan mencincang tubuh Roland Sr bertalu-talu.

“Ooohhh…, Tuhanku…,” keluh Roland Sr lemah.

Pasukan polis yang tiba telah mengepung rumah Roland Sr. Mereka memerintahkan agar Roland Jr meletakkan senjata dan menyerah diri. Sebaliknya, Roland Jr mengingkari arahan pihak berkuasa dan menyerang salah seorang anggota polis. Satu das tembakan telah dilepaskan. Sebiji peluru menembus jantung dan saraf tunjang Roland Jr. Dia tersungkur ke bumi. Badannya menggelitik menahan bisa maut. Pisau di dalam genggaman terlepas.

Dr Ramzan yang baru tiba di rumah Roland Sr menyaksikan tragedi ngeri itu. Dia memberitahu penumpang-penumpang keretanya agar tinggal di dalam kereta dan jangan keluar menunjukkan diri. Dr Ramzan lantas keluar dari keretanya dan menghampiri Roland Jr yang terbaring. Tubuh Roland Jr berhenti menggelitik. Dr Ramzan mendapati bahawa Roland Jr mati dalam keadaan mata terbeliak. Dia menutup kelopak mata Roland Jr.

Dr Ramzan tidak tahu bahawa sejurus sebelum jiwa Roland Jr keluar dari jasadnya, Roland Jr telah berteriak di dalam hati kepada Dr Ramzan,

‘Dr Ramzan, tolong bebaskan saya dari dunia palsu ini!’

Dr Ramzan memandang Roland III, Margaret Jr dan Halimah di dalam keretanya. Dr Ramzan akan menyempurnakan perkahwinan zuriat-zuriat Roland dan Margaret. Mereka adalah pasangan yang secocok.

TAMAT.


Dewan Kosmik, Julai 2007
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2007


Nota kaki:
  1. Naskhah ini dengan judul “Benih-benih Klon” adalah versi asal naskhah “Pusaka Klon”. Tajuk “Pusaka Klon” (“The Clone Legacy”), saya tukar menjadi “Benih-benih Klon” (“The Clone Seeds”), kerana konteks kandungan cerpen lebih dekat kepada makna pembenihan suatu konsep pengklonan tertentu. Kata-kata “Pusaka Klon” kedengaran terlalu bombastik yang pada fikiran saya hanya orang berjiwa seni sastera yang halus yang boleh menghuraikan tajuk itu untuk dikaitkan dengan konteks kandungan cerpen.
  2. Setelah ubah tajuk naskhah, barulah saya berani menghantar naskhah ini ke majalah Dewan Kosmik terbitan DBP. Saya dapati, setelah disiarkan di dalam majalah tersebut, memang ada suntingan tertentu yang telah dibuat oleh editor untuk memuatkan keseluruhan teks di dalam ruang cerpen yang amat terhad. Saya bayangkan, apabila menghantar karya sepanjang ini, sewaktu dalam proses penerbitan majalah, mungkin editor boleh memilih ‘font’ tertentu yang halus, merapatkan jarak antara aksara dan mengecilkan saiz ‘font’ itu supaya boleh muat paling banyak pun 3 halaman. Inilah cerpen terakhir saya yang pernah terbit dalam bentuk bercetak di dada-dada akhbar dan majalah.
  3. Saya pernah terlintas di dalam hati untuk menulis sambungan cerpen ini menjadi 2 buah lagi sambungan cerpen dengan judul “Anak-anak Klon” (“The Clone Children”) dan “Orang-orang Klon” (“The Clone People”), yang akan menghasilkan trilogi 3 buah cerpen yang membawa idea serupa. Semua bahan rujukan telah ada di tangan. Saya perlu masa untuk menukang cerpen-cerpen baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan