Roland Tua menghampiri reban puyuh yang dibina di dalam kawasan
kebun tidak jauh dari rumahnya. Bunyi cicip puyuh-puyuh belaannya pada waktu
pagi menyambut pendengaran yang sekaligus menggembirakan hati. Puyuh-puyuh itu
lapar. Dia bersedia untuk memberi makan ternakan itu.
Roland Tua membuka pintu
reban dan masuk ke dalam bilik simpanan dedak. Dia mengambil seguni dedak dan
memasukkan dedak itu ke dalam mesin pengisar. Dedak itu dikisar sehingga
menjadi butiran-butiran halus. Selepas mengisar, barulah dia masuk ke dalam
sangkar belaan.
Ketika sedang mengisi
bekas-bekas makanan yang hampir kosong, ratusan ekor puyuh menyerbu kakinya
mohon diberi makan. Puyuh-puyuh itu kemudian beralih ke bekas-bekas makanan dan
memagut dedak halus penuh rakus. Roland Tua turut menukar air minuman.
Sebelum keluar dari reban,
Roland Tua mengelek beberapa ekor puyuh untuk mengesan tanda-tanda jangkitan
penyakit. Kesihatan unggas-unggas klon baka terbaik itu mesti dijaga untuk
menjamin mutu daging dan telur. Dia gembira kerana ternakan puyuhnya
sihat-sihat belaka.
Saiz badan puyuh-puyuh itu
semakin bertambah. Dalam masa dua atau tiga minggu lagi, dia boleh menjual
daging puyuhnya ke pusat-pusat peranginan dan percutian di sekitar pantai timur
daerahnya. Permintaan daging puyuhnya amat tinggi sehingga dia terpaksa
menternak puyuh dalam beberapa kumpulan peringkat umur.
Setelah memberi makan dan
menukar air, Roland Tua mengumpul najis yang terkumpul di bawah pangkin reban.
Bau tengik dan busuk tidak dihiraukan. Dia mengaut najis puyuh dengan sudip dan
memasukkannya ke dalam tong najis. Dia mencuci dan mengeringkan bekas najis
sebelum meletakkannya semula di bawah pangkin reban.
Roland Tua menjinjing tong
najis dan berjalan ke arah selonggok tanah bakar. Dia mencampurkan tanah bakar
dengan najis puyuh dan menggaulkannya sehingga sebati. Kemudian dia pergi ke
kebun sayur untuk membaja dan menyiram batas-batas kobis dan sawi.
Anaknya, Roland Muda,
selesai mandi di perigi dan bersiap untuk memulakan kerja. Selesai bersarapan,
tanpa disuruh, dia mengambil beberapa raga plastik dan mengutip telur-telur
puyuh di reban. Apabila kerja mengutip telur selesai, dia mengatur semua raga
dengan berhati-hati di dalam sebuah van. Kemudian dia memandu van ke pekan
untuk menjual telur puyuh di pasar borong.
Roland Tua berjalan pulang
setelah kerja di kebun sayur selesai. Selepas menyalin pakaian bersih, dia
menanak nasi dan memasak sedikit lauk-pauk. Selesai memasak, dia terus
menghidangkan makanan di atas meja. Tanpa menunggu kepulangan Roland Muda, dia
terus makan menjamu seleranya seorang diri.
Roland Tua mengunyah makanan
lambat-lambat. Wajahnya kelihatan puas setiap kali lidahnya bergulat dengan makanan
di dalam mulut. Alangkah nikmatnya makanan yang dimasak sendiri hasil daripada
titik peluh sendiri. Dia bersyukur kerana Tuhan masih mengizinkannya menikmati
sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki.
Selesai makan tengah hari,
Roland Tua mengemas meja makan dan mencuci pinggan mangkuk kotor. Baki makanan
yang dimasak dibiarkan di dalam periuk. Dia membiarkan sistem pemanasnya hidup
untuk menghangatkan masakan. Bila Roland Muda balik nanti, dia boleh menikmati
masakannya panas-panas.
Kemudian Roland Tua duduk di
beranda menikmati hembusan angin petang. Dia membuka komputer buku nota dan
memeriksa mel-mel elektronik. Dia mendapati ada satu mesej daripada Dr Ramzan
yang bekerja di Fakulti Reproduksi dan Regenerasi sebuah IPT tempatan. Dia
membuka mel itu dan membaca kandungannya.
Dr Ramzan bertanyakan
keadaan mereka dua beranak. Dr Ramzan amat mengambil berat terhadap mereka dan
rajin bertandang ke rumah tua itu. Roland Tua membuka ruang bual interaktif dan
menghubungi Dr Ramzan sebagaimana yang di minta oleh sahabatnya itu.
‘Ramzan,
apa khabar awak?’
‘Oh,
Roland. Saya baik saja di sini. Bagaimana kesihatan awak sekarang?’
‘Hai,
beginilah hidup sebagai orang tua. Tenaga sudah tak kuat lagi seperti masa muda
dulu.’
‘Jagalah
kesihatan diri. Makanlah perskripsi yang saya bekalkan. Sekurang-kurangnya
dapat menstabilkan tekanan darah dan mengelakkan strok. Bagaimana keadaan
Roland Muda awak?’
‘Oh,
dia seorang zuriat yang baik. Dia rajin menolong saya.’
‘Apakah
dia sudah tahu siapa dirinya yang sebenar?’
‘Saya
rasa belum. Saya percaya dia akan tau juga pada suatu hari nanti. Baru-baru ni,
dia ada bertanya tentang ibunya.’
‘Apa
yang awak beritau dia?’
‘Saya
beritahu yang ibunya telah lama meninggal dunia. Saya bercadang untuk membawa
dia menziarahi kubur Margaret minggu depan selepas khutbah Ahad di chapel
pekan. Selepas itu, barulah kami akan ke fakulti awak untuk memeriksa sampel
darah kami seperti biasa.’
‘Ya,
saya rasa itulah tindakan yang betul. Roland, saya ada penemuan baru di sini.’
‘Apa
dia, Ramzan?’
‘Semasa
menjalankan proses pembaikan kromosom dulu, saya telah membetulkan jujukan DNA
yang menjadi manifestasi kecacatan genetik yang ada pada kromosom yang saya
ambil dari sel tisu awak. Saya sangka, semua kecacatan itu telah dibaiki.
Rupa-rupanya ada lokus yang telah mengalami mutasi pada beberapa titik yang
mengawal penghasilan hormon neuropemancar hipofisis. Keputusan ujian
perbandingan profil asal dan profil sampel terkini menunjukkan bahawa produk
ujikaji mungkin sedang mengalami degenerasi gen hormon neuropemancar hipofisis
yang mengawal epilepsi akut.’
Roland Tua terpegun
mendengar penerangan Dr Ramzan.
‘Ramzan,
saya mengerti akibat yang akan saya tanggung nanti. Tapi, Roland Muda adalah
satu-satunya baka lelaki saya di dunia ini. Walaupun saya dan Margie tidak
sempat berkahwin, tetapi sekurang-kurangnya, kami telah memperolehi zuriat
dengan berkat bantuan pengetahuan dan kepakaran awak.’
‘Sabarlah,
Roland. Hidup ini memang singkat. Namun, Tuhan memberi kita hak dan peluang
untuk menikmati hidup ini. Hanya kuasa kasih sayang yang akan mengukuhkan lagi
hubungan awak dan zuriat awak.’
‘Terima
kasih, Ramzan. Kami akan ke tempat awak minggu depan.’
‘Sama-sama,
Roland. Jagalah diri awak baik-baik.’
Perhubungan di dalam ruang bual interaktif ditamatkan. Roland Tua
membuka fail mengandungi gambar-gambar kenangan dirinya bersama Margaret.
Saat-saat indah kenangan percintaan mereka terakam dalam bentuk digital yang
sering meresap di dalam ingatan.
Margaret adalah wanita
sempurna yang menjadi idamannya. Margaret turut berasa yang dia telah menemui
lelaki impiannya. Mereka saling mencintai dan bercadang untuk berkahwin. Namun,
belum sempat rancangan mereka menjadi kenyataan, Margaret telah terbunuh di
dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri.
Kereta yang dipandu oleh
Margaret telah terhumban ke dalam gaung ketika cuba mengelakkan pertembungan
dengan sebuah trailer yang datang dari arah hadapan apabila trailer itu cuba
memotong sebuah lori. Kereta Margaret meletup dan terbakar lalu menghanguskan tubuhnya
yang terperangkap.
Rasa cinta yang amat
mendalam telah mendorong Roland Tua mempengaruhi Dr Ramzan untuk mendapatkan
cebisan tisu Margaret daripada Jabatan Forensik Hospital supaya disimpan di
fakulti sahabatnya itu. Dia telah mengusulkan agar Dr Ramzan mengklonkan
dirinya dan Margaret.
Pada mulanya Dr Ramzan
keberatan kerana mereka seolah-olah ingin mencabar kekuasaan Tuhan.
“Ramzan, mungkin agama awak
mengekang perbuatan seperti itu kerana melibatkan pasangan yang belum bernikah.
Malah, belum ada akta di negara kita yang menghalang perbuatan mengklon
manusia. Kita mempunyai ramai pakar tempatan dalam bidang pengklonan termasuk
awak. Saya percaya, dengan kepakaran dan kelengkapan yang awak miliki, usaha
ini akan berhasil.”
“Saya tahu, hal ini tidak
mustahil, Roland. Tapi public akan
menjerit memprotes ujikaji seperti ini.”
“Jangan hebohkan kepada public. Saya akan meletakkan jawatan
sebagai wakil rakyat dan melepaskan semua ekuiti di dalam syarikat-syarikat
saya. Saya akan menyalurkan semua kekayaan saya untuk membiayai ujikaji
tersebut. Tolong jangan hampakan harapan saya.”
“Baiklah, saya akan cuba.
Tapi, apa yang awak akan buat selepas bersara nanti?”
“Saya ingin mengasingkan
diri daripada dunia politik dan perniagaan. Saya ingin menjalani kehidupan
sebagai orang biasa.”
Dr Ramzan mengambil sampel
tisu Roland Tua. Setelah mengkulturkannya di dalam piring petri, dia
memencilkan satu sel tunggal hidup daripada tisu tubuh itu. Dia menyedut keluar
nukleus sel Roland Tua dengan pipet mikro dan memeliharanya di dalam larutan
salin.
Di dalam apa jua kaedah
reproduktif manusia, prinsip berpasangan lelaki-perempuan sentiasa menjadi
pegangan Dr Ramzan. Kromosom diploid (2n) sel Roland Tua tidak boleh menjana
pembentukan lembaga baru kecuali setelah dibenam dan dirawat di dalam
persekitaran sel diploid (2n) pasangan pilihannya, sel tisu Margaret. Setelah
lembaga baru terbentuk, ia mesti ditanam di dalam persekitaran alat reproduksi
perempuan atau yang menyerupainya.
Dr Ramzan pernah cuba
membenam dan merawat kromosom diploid (2n) dari satu sumber di dalam sel diploid
(2n) dari sumber lain yang sama jantina. Percubaannya itu tidak pernah
membuahkan hasil dan sekaligus mengukuhkan lagi teori berpasangan berlainan
jantina yang menjadi hukum alam yang dicipta oleh Tuhan penguasa langit dan
bumi.
Cebisan tisu Margaret telah
dikulturkan terlebih dahulu di dalam piring petri berasingan. Apabila mendapati
yang tisu itu boleh mengalami regenerasi, satu sel tunggal telah dipencilkan.
Nukleus sel Margaret telah dikeluarkan dan dipelihara di dalam larutan salin.
Dr Ramzan memasukkan nukleus
sel Roland Tua ke dalam sel Margaret yang telah dikosongkan. Sel Margaret yang
berisi nukleus sel Roland Tua dikultur di dalam piring petri berisi nutrien
yang berbeza daripada piring petri sebelumnya.
Dia mendapati bahawa sel
tunggal hibrid itu boleh menjalani proses regenerasi untuk membiakkan sel-sel
baru. Satu sel tunggal telah dipencilkan dan diaruhkan dengan teknik kejutan ‘spark’. Sel itu dipindahkan ke dalam
piring petri berisi nutrien dengan ramuan yang baru.
Sel tunggal yang telah
dikejutkan dengan teknik kejutan ‘spark’
didapati telah membiak membentuk segugus gumpalan tisu. Gumpalan sel-sel hibrid
itu seolah-olah telah mengalami proses blastosis sebagaimana proses yang
dialami zigot apabila sperma berjaya menyatu dengan ovum.
Dia menghentikan proses
blastosis teruja dan memencilkan satu sel blastosis. Sel tunggal itu dipelihara
di dalam larutan salin istimewa setelah nukleusnya dikeluarkan untuk dipakai di
dalam proses pembaikan kromosom.
Di dalam proses pembaikan
kromosom, Dr Ramzan telah berjaya membetulkan kecacatan genetik yang berjaya
dikesannya. Ujian perbandingan profil DNA kromosom Roland Tua dan sel blastosis
teruja dibuat setelah proses pembaikan kromosom selesai.
Profil peta DNA kromosom
Roland Tua penuh dengan gen-gen yang boleh memacu ke arah penghasilan
polipeptida yang boleh mengekang proses fisiologi normal tubuh badan. Roland
Tua dijangka akan menghidap penyakit tertentu apabila mencapai usia tertentu.
Profil peta DNA kromosom sel
blastosis teruja yang telah dirawat itu didapati bersih daripada sebarang tanda
yang memberikan gambaran kemungkinan timbulnya penyakit yang disebabkan oleh
kecacatan genetik di dalam tubuh jasad baru yang akan terbentuk.
Dr Ramzan berpuas hati
dengan keputusan ujikajinya. Nukleus mengandungi set 46 pasang kromosom yang
telah dibaiki dimasukkan semula ke dalam sel blastosis teruja.
Sel hibrid tunggal itu
dikultur di atas medium baru di dalam piring petri baru. Sel itu didapati boleh
membiak dengan menjalani proses blastosis biasa. Pada belahan pertama yang
menghasilkan dua sel anak, Dr Ramzan menghentikan proses blastosis.
Kedua-dua sel anak itu
diasing dan dikultur di atas medium baru di dalam dua piring petri berasingan.
Setiap sel anak itu menjalani proses blastosis biasa dan setiap proses
blastosis membentuk satu jasad baru.
Apabila jasad 32 sel
terbentuk, Dr Ramzan memasukkan setiap jasad ke dalam sebuah balang lutsinar
yang berasingan. Balang berisi cecair amnion sintetik itu telah dikultur
terlebih awal dengan cebisan tisu Margaret.
Jasad itu ditanam di dalam
lipatan cebisan tisu tersebut yang telah dirawat terlebih dahulu melalui satu
proses rawatan kultur tisu yang khusus. Ia akan terus berkembang membentuk janin
baru. Janin itu akan membesar membentuk sesusuk tubuh bayi sempurna dan akan
lahir setelah genap sembilan bulan sepuluh hari.
Ketika melawat janin
tersebut, Roland Tua berterima kasih kepada Dr Ramzan kerana telah membantu
mencapai impiannya.
“Lihatlah zuriat saya,
Ramzan. Sekurang-kurangnya saya tahu yang saya tak akan mati tanpa meninggalkan
baka.”
Roland Tua tersenyum puas
melihat janin bernyawa berusia enam bulan yang terapung di dalam balang rahim
tiruan berisi cecair amnion sintetik. Dia seolah-olah melihat cermin dirinya
sendiri yang wujud sebagai janin.
“Saya ingin awak melakukan
perkara yang sama untuk menghasilkan Margie. Saya tak mahu zuriat saya hidup
tanpa ada pasangan yang secocok.”
Tiga bulan kemudian, zuriat
Roland Tua lahir ke dunia. Dia menyambut kelahiran itu dengan penuh gembira.
Dia telah mengupah seorang wanita untuk menjadi ibu susu bayinya. Setahun
kemudian, zuriat Margaret pula lahir. Roland Tua mengupah wanita yang sama
untuk menyusukan bayi tersebut.
“Saya akan membela Roland
Muda, manakala Margie Muda, saya serahkan kepada ibu susunya. Mereka berdua
tidak akan saya temukan sebelum cukup dewasa untuk mengenal makna cinta dan
kasih sayang.”
Kedua-dua anak itu terus
membesar di bawah asuhan wali masing-masing. Kedua-dua anak itu tidak tahu
bahawa mereka mempunyai seorang lagi saudara lelaki yang sengaja Dr Ramzan
tidak tunjukkan kepada Roland Tua. Kembar Roland Muda itu membesar di bawah
jagaan Dr Ramzan tanpa pengetahuan Roland Tua.
Dr Ramzan telah menerangkan
dengan terperinci kepada kembar Roland Muda tentang asal-usul kejadiannya.
Kembar Roland Muda memahami kejadian dirinya sendiri. Dia mematuhi nasihat Dr
Ramzan supaya tidak mengambil tindakan untuk berjumpa bapa asal dan
adik-beradiknya yang lain.
Ketika lawatan Roland Tua
dan saudara kembarnya di fakulti Dr Ramzan, dia hanya memerhatikan mereka dari
jauh dan tidak menampakkan dirinya kepada mereka. Begitu juga semasa lawatan
Margaret Muda dan ibu susunya.
Pada suatu hari, Dr Ramzan
memberitahu bahawa saudara kembarnya akan mengalami epilepsi akut. Roland Muda
jagaan Roland Tua berkemungkinan akan diserang sawan dan bertindak di luar
batasan. Otaknya akan gagal mensintesiskan hormon neuropemancar normal yang
mengawal aktiviti sistem saraf tubuhnya. Kembar Roland Muda itu diberitahu oleh
Dr Ramzan supaya bersedia menghadapi keadaan itu.
“Apakah saya juga akan
mengalami nasib seperti saudara saya?” Tanya kembar Roland Muda.
“Tidak. Kau telah menjalani
proses penyaringan kromosom yang sempurna,” jawab Dr Ramzan.
Di pasar borong, Roland Muda
mengalami gangguan mental. Imej-imej manusia di sekelilingnya seolah-olah telah
menjelma menjadi raksasa buas yang ingin meratah tubuhnya hidup-hidup. Hormon
neuropemancar di dalam hipofisis otaknya tidak disintesiskan seperti biasa.
Imej-imej manusia yang tersimpan di dalam ingatan yang lazimnya berperawakan
baik, didapatinya telah mengherot menjadi satu ilusi berperawakan ganas dan
buas.
Ketika sedang berurusan
dengan seorang pembeli, tiba-tiba dia berasa cemas dan takut. Dia mencangkung
dan menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangannya sambil menjerit menghalau
pembeli itu. Pembeli itu terkejut dan meletakkan tangan di atas bahu Roland
Muda untuk menenangkannya.
“Kenapa Roland?”
Roland Muda menepis tangan
pelanggannya.
“Pergi! Pergi dari sini! Aku
bunuh kau nanti!”
Orang ramai di pasar borong
itu gempar. Mereka mengerumuni gerai Roland Muda sambil tertanya-tanya sesama
sendiri.
“Entah, aku tak tau.
Tiba-tiba dia jadi begini,” kata pelanggan gerai Roland Muda tadi.
Roland Muda terbaring sambil
mengejang-ngejangkan tubuhnya. Buih putih meleleh keluar dari mulut. Mata
putihnya tersembul keluar. Dia tercungap-cungap seperti tidak cukup nafas.
“Eh, dia macam kena sawan.
Mari kita tolong dia,” kata seorang peniaga sayur yang gerainya berjiran dengan
gerai Roland Muda.
Belum sempat peniaga itu
menghulurkan bantuan, Roland Muda tiba-tiba bangkit dan menghunus sebilah
pisau. Dia merodok perut peniaga sayur itu. Peniaga sayur itu terperanjat dan
mengeluh sebelum rebah tidak sedarkan diri. Darahnya tumpah di atas lantai
pasar borong.
Orang ramai lari
bertempiaran menyelamatkan diri kerana Roland Muda mengamuk di dalam pasar
borong. Dia mengacu dan melibas pisaunya ke arah orang ramai. Dia mengejar
mereka sehingga ke halaman pasar borong. Orang-orang yang tidak sempat lari
telah menjadi mangsa amuknya. Mereka ditikam berkali-kali sehingga lembik tidak
bermaya.
Setelah berasa penat, Roland
Muda berhenti rehat. Kawasan halaman pasar menjadi lengang. Beberapa batang
tubuh yang tewas bergelimpangan dengan darah merah pekat masih mengalir.
Roland Muda ternampak
vannya. Dia menaiki van itu dan memandunya ke satu arah. Dia ingin balik ke
rumah dan meminta pertolongan Roland Tua agar melindunginya daripada ancaman
serangan raksasa-raksasa buas dan ganas.
Orang ramai yang berjaya
menyelamatkan diri telah membuat laporan kepada polis tentang kejadian amuk di
pasar borong. Mereka turut memberitahu polis bahawa Roland Muda sedang memandu
vannya sendiri dan mungkin ingin balik ke rumah. Sepasukan polis telah dihantar
ke rumah Roland Tua untuk menghalang Roland Muda daripada terus mengamuk.
Dr Ramzan menghubungi ibu
susu Margaret Muda. Dia memberitahu wanita itu yang dia ingin datang ke
rumahnya bersama kembar Roland Muda. Wanita itu mengalu-alukan kedatangan
mereka. Apabila tiba di rumah wanita tersebut, Dr Ramzan memperkenalkan kembar
Roland Muda kepada Margaret Muda.
Dr Ramzan berasa tidak sedap
hati. Dia menggesa mereka menziarahi Roland Tua. Mereka meninggalkan rumah
wanita itu menuju ke rumah Roland Tua dengan menaiki kereta Dr Ramzan.
Roland Tua sedang duduk di
beranda. Tiba-tiba van Roland Muda memasuki halaman rumah. Setelah
memberhentikan vannya, Roland Muda keluar dengan menggenggam sebilah pisau
berlumuran darah, lalu berlari ke arah rumahnya sambil menangis teresak-esak.
“Bapak, tolong saya bapak! Ada raksasa ganas nak
bunuh saya. Tolong saya bapak!”
Roland Tua bangun dari
kerusi dan berdiri di kepala tangga. Dia terkejut melihat keadaan Roland Muda.
“Roland, apa yang telah
terjadi kepada kau?” Tanya Roland Tua.
Tiba-tiba esakan tangis
Roland Muda terhenti. Wajahnya yang sayu hiba berubah menjadi garang. Pada
pandangan matanya, dia melihat imej sifat baik Roland Tua telah mengherot dan
berubah menjadi satu ilusi bersifat ganas dan buas yang bersedia menerkamnya.
“Kau, kau..., rupa-rupanya
selama ini kau juga raksasa seperti mereka. Aku bunuh kau! Aku bunuh kau!”
Teriak Roland Muda sambil melompat memanjat tangga menaiki rumahnya. Setelah
berada di beranda, dia menolak Roland Tua sehingga orang tua itu jatuh
tersungkur di atas lantai.
Roland Tua yang
terpinga-pinga berasa terkejut di atas tindakan Roland Muda. Jantungnya
tiba-tiba menjadi lemah. Dia mula berasa seperti hendak pitam.
“Roland, apa yang kau buat
ni. Ini bapak kau, Roland,” kata Roland Tua.
“Tidak. Kau bukan bapak aku.
Kau raksasa seperti mereka. Kau mesti mati!”
Roland Muda terus menikam
tubuh Roland Tua bertalu-talu sehingga tubuh tua itu lembik tidak bermaya.
“Ooohhh..., Tuhanku,” keluh
Roland Tua yang nyawa-nyawa ikan.
Pada ketika itu, tiga buah
kereta polis yang membunyikan siren memasuki halaman rumah dan diekori kereta
Dr Ramzan. Sepasukan anggota polis keluar dari dalam kereta-kereta itu dan
mengepung rumah Roland Tua sambil mengacukan muncung senjata ke arah Roland
Muda yang sedang menghunus sebilah pisau berlumuran darah.
Seorang pegawai polis
menyeru Roland Muda supaya menyerah diri dan meletakkan senjata. Roland Muda
tidak menghiraukan arahan pegawai polis itu. Dia melompat ke atas tanah dan
mengamuk. Dia cuba
menikam seorang anggota polis yang paling hampir.
Tiba-tiba satu das tembakan
telah dilepaskan. Pelurunya menembusi jantung dan saraf tunjang Roland Muda.
Dia jatuh tersungkur ke bumi. Badannya menggelitik menahan bisa maut. Pisau di
dalam genggaman telah terlepas.
Dr Ramzan yang menyaksikan
tragedi itu segera menghampiri Roland Muda. Tubuh Roland Muda berhenti
menggelitik. Dr Ramzan mendapati yang Roland Muda mati dalam keadaan mata
terbeliak. Dia menutup kelopak mata Roland Muda.
Dr Ramzan tidak tahu bahawa
sejurus sebelum jiwa Roland Muda keluar dari raganya, Roland Muda telah
berteriak kepada Dr Ramzan di dalam hati,
‘Dr Ramzan, tolong bebaskan
saya dari dunia palsu ini.’
Roland Tua juga telah
ditemui mati. Tubuhnya penuh dengan liang-liang tikaman.
Apa yang pasti, Dr Ramzan
akan menunaikan janji Roland Tua untuk menyempurnakan perkahwinan
zuriat-zuriatnya. Margaret Muda dan kembar Roland Muda adalah pasangan yang
secocok.
TAMAT.
www.melayu.com, 11 April 2003
Hakcipta
Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2003
Tiada ulasan:
Catat Ulasan