Khamis, 4 Jun 2015

01 Baka



Malaysia, 2016.

“Betul juga kata Watson,” kata Hamid dalam hati apabila mengingati kata-kata Prof Dr James Watson kira-kira 20 tahun lalu sewaktu saintis itu menyampaikan syarahan umum di Pulau Pinang.

Prof Watson telah diundang oleh Badan Amanah Fellowship Tan Sri Augustine Goh untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘DNA dan Hayat’ kepada rakyat Malaysia yang berminat.

Itulah penampilan pertama beliau di Malaysia sejak memenangi Anugerah Nobel dalam bidang Biologi Molekul dan Perubatan pada tahun 1962 di atas usahanya bersama dua lagi rakan sekerja, Dr Francis Crick dan Dr Maurice Wilkins, yang telah berjaya menemui struktur asid deoksiribonukleik (DNA) pada tahun 1953.

Penemuan itu juga telah turut menjelaskan bagaimana DNA berfungsi sebagai sebuah gedung yang menyimpan semua maklumat pewarisan dan mengakibatkan sebuah revolusi besar dalam sains hayat yang terus berkembang dengan pesat.

Ketika mengunjungi Malaysia, Prof Watson sedang bertugas sebagai Pengarah Bersekutu Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan sedang mengetuai satu penyelidikan untuk memetakan kira-kira 50,000 hingga 100,000 gen manusia yang diketahui serta mendapatkan jujukan keseluruhan kira-kira 3 bilion pasangan nukleotida di dalam genom yang unik untuk spesies Homo sapiens.

Penyelidikan tentang genom manusia pada ketika itu merupakan sebuah penyelidikan genetik teragung dalam abad ke 20 yang dijangka akan memberi faedah yang amat besar kepada zuriat manusia masa hadapan. Tempias daripada usaha itu sedang dinikmati oleh Hamid yang sedang bertugas sebagai Penyelidik Kanan Unit Genetik di Jabatan Forensik PDRM.

Di dalam syarahan umum itu, salah satu isi utama yang telah difahami oleh Hamid ialah berkaitan baik buruk seseorang manusia yang tidak ditentukan oleh maklumat genetik yang terkandung di dalam genomnya.

Hamid faham bahawa baka yang baik, jika dididik dalam persekitaran yang baik, akan menghasilkan individu yang baik. Jika baka yang baik itu dididik dalam persekitaran yang tidak baik pula, akan menghasilkan individu yang tidak baik.

Begitu juga sebaliknya. Baka yang tidak baik, jika dididik dalam persekitaran yang baik, lama-lama akan menjadi baik akibat tekanan persekitaran. Jika baka yang tidak baik itu dididik dalam persekitaran yang tidak baik, memanglah akan menjadi individu yang tidak akan baik.

Persoalan tentang manusia baik dan manusia jahat memang sukar untuk dihuraikan melalui perspektif sains. Akan tetapi, persoalan tentang manusia sihat dan manusia cacat mungkin boleh dibincangkan melalui perspektif tersebut, khususnya melalui ilmu sains genetik.

Sebab itulah perajurit-perajurit terbaik dari seluruh dunia dipilih daripada kalangan manusia yang memiliki keadaan biologi yang sihat dan sempurna. Kemudian mereka dilatih dengan ilmu peperangan sehingga mampu mengendalikan sesuatu operasi ketenteraan yang boleh mencapai kejayaan gemilang.

Hamid memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat apabila warna merah menyala. Pada waktu pagi, jalan raya memang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bertali arus.

Kalau keadaan biologi perajurit-perajurit itu tidak sempurna akibat kecacatan genetik, katalah kecacatan itu dipamerkan sebagai penyakit buta warna yang tidak boleh membezakan warna hijau dan merah, sudah tentu mereka tidak layak dipilih untuk menjadi perajurit.

Malah mereka akan membahayakan operasi tentera yang akan menentukan masa hadapan negara mereka.

Individu yang ada penyakit buta warna, sampai mati pun memang tidak akan dapat membezakan warna hijau dan merah.

Jadi, dalam kes buta warna, baka yang tidak baik, sungguh pun dipaksa untuk menjadi baik, tetap tidak akan menjadi baik.

Di dalam kuliah genetik semasa menuntut di universiti dahulu, Hamid teringat bahawa bagi orang yang buta warna, gennya cacat dan tidak mampu menghasilkan protein fotopsin yang boleh bergabung dengan pigmen retinal untuk membentuk sebatian rodopsin yang sensitif kepada warna hijau dan merah. Sebatian rodopsin di dalam mata manusia terbenam di dalam lipatan cakera di hujung sel kon retina.

Bagi manusia yang sihat, gennya mampu menghasilkan fotopsin, Oleh itu, dia mampu menikmati warna hijau dan merah. Di dalam nukleus sel manusia, gen yang menentukan buta warna terletak di dalam kromosom X.

Lampu isyarat merah bertukar hijau. Hamid membelokkan keretanya ke kiri.

Timbul rasa belas di hati Hamid apabila mengenangkan nasib orang-orang yang dilahirkan buta warna.

Apakah dunia ini tidak adil?

Atau apakah Tuhan dengan sengaja ingin menunjukkan kekuasaanNya melalui berbagai variasi genetik yang menghasilkan bermacam rupa, sifat dan ciri manusia?

*****

Hamid sedang tenggelam di dalam dunia realiti maya.

Kedua-dua tangannya bergerak tidak tentu arah, seolah-olah sedang membuat sesuatu pekerjaan.

Di dalam imej retinanya, Hamid mendapati bahawa dia sedang mengendalikan sebuah eksperimen simulasi.

Dia sedang membancuh campuran tindak balas rantaian polimerase (di dalam Bahasa Inggeris disebut ‘polymerase chain reaction’ dan lebih popular dengan singkatannya – PCR) untuk menggandakan bilangan jujukan sasaran DNA yang dipencilkan daripada satu sampel darah khayalan.

Tiub appendorf mengandungi campuran PCR itu dimasukkan ke dalam sebuah mesin termal khayalan. Setelah menetapkan masa dan suhu tindak balas, Hamid membiarkan PCR berlaku secara in silicio.

Hamid meningkatkan kadar tindak balas. Beberapa saat kemudian, dia mengeluarkan tiub PCR dan membuat larian hasil PCR di atas gel agarosa melalui proses elektroforesis khayalan.

Dengan serta-merta, jalur-jalur mengandungi fragmen-fragmen DNA sasaran tertera di atas gel. Kemudian Hamid membuat pengiraan untuk menentukan kebarangkalian mendapatkan hasil eksperimen simulasi. Nilai itu terpapar di dada skrin.

Dia bertanya kepada program perisian itu tentang sebab-sebab dia memperolehi nilai tersebut. Setelah membaca alasan-alasan yang diberikan oleh program itu, Hamid menamatkan sessi eksperimen in silicio.

Dia membuka visor helmet realiti maya.

Alam nyata menguasai semula seluruh ruang imej retinanya. Suasana bilik pejabatnya masih seperti pagi tadi. Hamid bercadang hendak meneruskan eksperimennya secara in vitro pula selepas itu.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk bertalu-talu.

“Masuk!” Jeritnya sambil menanggalkan program realiti maya dari kepala dan meletakkan helmet tersebut di atas meja.

Pintu terbuka dan Razak masuk ke dalam. Setelah menutup pintu, dia menghempaskan sebuah fail di atas meja Hamid. Hamid berasa hairan melihat perlakuan Razak.

“Duduklah, Jak,” pelawa Hamid.

Setelah duduk, Razak terus bersuara.

“Kau pasti yang sampel DNA daripada rambut yang orang aku ambil di tempat kejadian itu tidak sama dengan sampel DNA daripada darah orang yang aku syak?”

“Pasti. Aku sudah hantar salinan laporan bersama filem radioautograf kepada Jabatan Genetik Kementerian Sains untuk mengesahkan hasil kerjaku. Mereka kata 100 % tepat.”

“Jadi, tiada bukti yang boleh mensabitkan lelaki itu dalam kes aku?”

“Sudah tentu. Kalau tiada bukti, bagaimana nak sabitkan kesalahannya?”

Razak menghela nafas panjang. Dia membuka fail yang dibawa dan membelek laporan-laporan yang mengandungi hasil siasatannya dalam kes pembunuhan seorang tokoh korporat ternama.

“Bermakna bukan lelaki itu yang berada di bilik penginapan hotel tempat mayat Tan Sri Wan Hasmi ditemui.”

“Aku nak ingatkan kau. Rambut yang Sarjan Chew jumpa di atas katil itu memang bukan rambut allahyarham. Memang ada orang lain yang menyelinap masuk ke dalam biliknya.”

“Ya. Itu aku tahu. Laporan pemeriksaan patologi forensik oleh Dr Maran mengesahkan yang Tan Sri Wan Hasmi mati kerana lemas. Pembunuh itu menggunakan bantal dan menyerkup muka mangsa sehingga mati. Kalaulah aku dapat pembunuh itu…”

“Bagaimana dengan kesan cap jari?”

“Tiada sebarang kesan cap jari di bilik mangsa yang boleh dicurigai selain daripada kesan cap jari mangsa dan isterinya. Isterinya yang menjadi saksi utama memang terbukti tidak berada di bilik mereka sewaktu kejadian itu berlaku kerana sedang menunggu suaminya di lobi hotel.”

“Mungkin pekerja hotel …”

“Mereka telah pun dibuktikan bersih, termasuk lelaki terakhir yang aku syak yang baru saja kau selamatkan.”

“Pembunuhan allahyarham memang dilakukan dengan sengaja dan telah pun dirancangkan dari awal. Tiada jejak nyata yang ditinggalkan oleh pembunuh.”

“Sudah tentu. Itulah yang menyulitkan penyiasatan aku pada kali ini.”

“Jak, pembunuh itu mungkin seorang yang cekap kerana tidak meninggalkan sebarang jejak yang nyata. Malangnya, dia ada kelemahan. Dia tidak sedar bahawa beberapa helai rambutnya gugur semasa bergelut dengan si mati kerana mungkin dia tidak memakai penutup kepala. Hanya itu yang akan menjadi pedoman kita.”

Razak merenung mata Hamid. Dia memicingkan matanya.

“Apa yang kau nak beritahu aku, Mid?”

“Dalam kes ini saja, aku telah menjalankan proses pengecapjarian DNA untuk lebih daripada dua dozen sampel yang diambil daripada dua puluh tujuh orang yang disyaki. Itu tidak cukup.”

“Jadi?”

“Berikan aku lebih banyak sampel. Lima puluh sampel, seratus, seribu atau sepuluh ribu sekalipun. Aku juga tidak berpuas hati di atas kematian Tan Sri Wan Hasmi. Kenapa orang yang baik macam dia, yang berfikiran jauh, yang berwawasan tinggi, yang berjuang untuk membela nasib anak bangsa melalui jalan perniagaan, dan seorang tokoh korporat terhormat dalam bidangnya, harus mati dalam keadaan begitu? Kenapa orang korporat yang berniaga dengan air liur, yang menghisap tenaga dan keringat anak bangsa sendiri, yang hidup penuh kepura-puraan, tidak mati? Allahyarham terlalu baik, Jak. Dia pemurah, lurus dan tidak sombong. Malangnya, ada orang yang tidak suka dia hidup. Kita mesti cari pembunuhnya sampai dapat!”

Tiba-tiba Razak tersenyum ceria.

“Kenapa aku tidak terfikir kata-kata itu? Ada orang yang tidak suka Tan Sri Wan Hasmi hidup. Ada orang yang tidak mahu kalah dengan si mati. Allahyarham memang ada ramai pesaing yang hebat.”

Razak bangkit dari kerusi dan mengepit fail penyiasatannya di sisi.

“Hamid, aku akan membawa lebih banyak sampel DNA untuk kau. Kita mesti cari orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Tan Sri Wan Hasmi.”

Kemudian Razak meninggalkan bilik Hamid.

Hamid terpaku di kerusinya. Begitulah rutinnya setiap hari. Bersama rakan-rakan sepasukan, mereka berganding bahu dan berusaha menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat setiap hari.

Hamid mengeluh. Bilakah manusia akan berhenti melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi?

Kemudian dia bangun. Dia memakai jubah makmal dan berjalan masuk ke dalam Makmal DNA yang terletak di sebelah pejabatnya. Dia bercadang hendak menggunakan kaedah yang telah diperbaiki melalui eksperimen simulasi sebentar tadi terhadap sampel DNA yang telah diterima semalam.

Ada kes rogol dan bunuh yang mesti diselesaikan.

Hamid menghampiri meja kerjanya. Dia membuat sedikit catatan di dalam buku log makmal. Kemudian dia mencapai segala radas dan bahan yang diperlukan untuk eksperimen in vitro.

Hamid yakin bahawa kalau semua orang dalam dunia ini hidup dalam persekitaran yang baik, nescaya dunia akan dipenuhi dengan orang-orang baik.

Masalahnya, masyarakat kurang sedar tentang perlunya mereka rasa bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang baik. Mereka membiarkan pintu yang menjadi punca kepada segala masalah sosial dibuka luas-luas.

Unsur-unsur yang membawa kerosakan masuk dengan tidak tertahan-tahan di celah-celah saraf kehidupan yang membentuk kehidupan bertamadun dan beradab. Akhirnya tamadun runtuh dan peradaban lumpuh.

Siapa yang hendak dipersalahkan?

Adakah semua itu berpunca daripada hati yang lemah untuk berjuang melawan kerosakan dan tidak berdaya menutup pintu kejahatan?

Dunia ini gila!

Kalau mahu semua orang jadi baik, tutuplah segala pintu yang mengundang kejahatan rapat-rapat. Kemudian kuncilah ketat-ketat.

Sehari suntuk Hamid tenggelam dalam keasyikan bekerja.

TAMAT.


Berita Harian, 11 Disember 1999
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1999


Nota kaki: Terima kasih kepada penulis veteran Sutung Umar RS, Editor Sastera di Berita Harian pada masa itu,  yang menelefon saya meminta pengesahan bahawa cerpen di atas benar-benar karya asli ciptaan saya, pada tahun 1999 dahulu, semasa saya bekerja di Pasir Gudang. Beliau ingin menyiarkan cerpen di atas di dalam Ruang Medan Kreatif Riong Berita Harian untuk siaran minggu berikutnya. Inilah karya cerpen saya yang sulung yang mendapat tempat di dalam media cetak utama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan