Selasa, 9 Jun 2015

02 Baka

Malaysia, 2016.

“Betul juga kata Watson,” kata hati Hamid apabila mengingati kata-kata Prof. Dr. James Watson, seorang pemenang Anugerah Nobel 1962 dalam bidang biologi perubatan kerana penemuannya dalam menentukan struktur DNA bersama Francis Crick, sewaktu saintis itu menyampaikan syarahan umum di Pulau Pinang kira-kira 20 tahun yang lalu.

Hamid terpukul dengan hujah Katan apabila Katan berkeras mempertahankan pendapatnya yang menyatakan bahawa penjenayah melakukan kesalahan bukan disebabkan oleh faktor genetik. Katan menggunakan pendapat saintis tersebut sebagai sandaran hujahnya sewaktu mereka sedang membincangkan cadangan mahkamah untuk menerimapakai kenyataan para peguam yang ingin menggunakan faktor genetik sebagai penguat hujah yang boleh mensabitkan bersalah tidaknya seseorang yang didakwa sebagai penjenayah. Maksudnya, seseorang yang disabitkan kesalahannya mestilah dikuatkan lagi dengan hujah bahawa perbuatannya itu turut disebabkan oleh gen ‘penjenayah’ yang terkandung di dalam kromosomnya.

Pada mulanya, Hamid menyangka bahawa semua perbuatan manusia dalam dunia ini disebabkan oleh adanya gen di dalam kromosomnya yang mendorongnya berbuat demikian. Manusia melakukan sesuatu perbuatan disebabkan oleh adanya kecenderungan untuk melakukan perbuatan tersebut dan kecenderungan itu sebenarnya adalah hasil gerak balas perubahan hormon di dalam fisiologi tubuhnya dengan gen tertentu bertanggungjawab mensintesiskan hormon tertentu.

Contohnya perbuatan membunuh yang dikategorikan sebagai membunuh tanpa niat. Dalam kes seperti itu, seperti yang dilaporkan dalam kes amuk seorang anggota pasukan keselamatan, seorang pakar psikiatri yang berpengalaman dalam bidang neuroendokrinologi telah merumuskan bahawa perbuatan perajurit itu disebabkan oleh kegagalan sel-sel otaknya merembeskan protein neuropemindah tertentu yang lazim dirembeskan oleh individu normal. Kegagalan tersebut mengakibatkan imej-imej tertentu terbentuk di dalam layar fikirannya yang mendorongnya supaya membunuh yang difikirkannya pada ketika itu sebagai satu perbuatan yang wajar dilakukan. Pakar psikiatri itu menguatkan lagi hujahnya bahawa kegagalan sel-sel otaknya adalah disebabkan oleh kecacatan gen penghasil protein neuropemindah itu yang mungkin disebabkan oleh faktor pewarisan.

Kesimpulan itu dikuatkan lagi apabila beliau membuat kajian tentang salasilah keturunan perajurit tersebut sehingga lima keturunan sebelumnya. Daripada kajian tersebut, beliau mendapati bahawa di dalam setiap generasi keluarga perajurit itu, sekurang-kurangnya seorang ahli keluarganya mengalami simptom yang sama. Dan setiap kali simptom itu ditunjukkan, anggota keluarga yang berkenaan akan mengamuk dan berkecenderungan untuk membunuh. Namun, mereka dapat dikawal sama ada melalui rawatan kejiwaan di tangan seorang alim atau suntikan ubat penenang oleh seorang doktor.

Sedangkan dalam kes amuk perajurit itu, simptom amuk tidak ditunjukkan oleh penghidapnya melainkan setelah beliau menyertai pasukan keselamatan. Setelah senjata berada di dalam tangannya dan ditambah lagi dengan kecekapan menggunakan senjata yang diperolehi melalui latihan yang kerap, dengan tiba-tiba beliau mengamuk di sebuah pekan dan tiga belas orang awam yang tidak berdosa telah menjadi mangsa pembunuhannya. Apabila beliau ditangkap, ditahan dan dibicarakan, mahkamah tetap memutuskan bahawa beliau bersalah walau apa pun hujah peguam belanya kerana mengambil kira kepentingan awam. Sebagai balasan, penjenayah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Mengimbas kata-kata Prof. Dr. Watson, kata Katan lagi, bahawa baka yang baik, jika dididik dalam persekitaran yang baik, akan menghasilkan individu yang baik. Jika baka yang baik itu dididik dalam persekitaran yang tidak baik pula, akan menghasilkan individu yang tidak baik. Begitu juga sebaliknya. Baka yang tidak baik, jika dididik dalam persekitaran yang baik, lama-kelamaan akan menjadi baik akibat tekanan persekitaran. Jika baka yang tidak baik itu dididik dalam persekitaran yang tidak baik, memanglah akan menjadi individu yang tidak akan baik. Sebenarnya pendidikan dan persekitaran yang mempengaruhi seseorang manusia sama ada menjadi orang baik atau orang jahat.

Sebab itu Katan tidak bersetuju dengan cadangan mahkamah itu. Kontroversi akan terundang di tengah-tengah masyarakat untuk menentukan baik tidaknya seseorang yang terbukti melakukan sesuatu perbuatan jenayah. Hamid yang pada mulanya menyokong cadangan tersebut mulai berpendirian goyah. Dia mula merasakan kebenaran di sebalik logik pendirian Katan. Implikasinya amat besar jika kerajaan dan parlimen turut menyokong cadangan mahkamah. Masyarakat amat khuatir, jika cadangan itu dilaksanakan, akan ramai penjenayah besar yang akan terlepas daripada menerima hukuman yang setimpal.

Penjenayah zaman sekarang cukup bijak. Mereka boleh menyelindungkan perbuatan jenayah mereka di sebalik perbuatan amal yang mereka pertontonkan kepada umum. Orang ramai memandang mereka dengan penuh hormat disebabkan oleh amalan baik mereka. Wahai orang ramai, jangan terkejut kalau pihak berkuasa mendedahkan perbuatan jenayah mereka kepada anda sekalian. Tahukah anda bahawa tokoh-tokoh terbilang itu boleh membunuh seseorang yang mereka tidak suka sewaktu mereka sedang menyampaikan replika cek sumbangan derma mereka untuk tujuan kebajikan? Sudah tentu bukan mereka yang membunuh dengan tangan mereka sendiri. Akan tetapi, mereka merencanakan waktu kejadian pembunuhan dengan teliti dan orang-orang kanan merekalah yang melaksanakan segala perancangan yang keji itu. Bunyinya seperti dalam cerita mafia dan yakuza. Tetapi itulah yang berlaku dalam dunia ini yang penuh dengan persaingan sengit.

Manusia ingin menang dan tidak ingin dimenangi oleh manusia lain. Sungguh hasad hati manusia ini.

Sesungguhnya, persoalan tentang manusia baik dan manusia jahat amat sukar untuk dihuraikan dari segi genetik. Akan tetapi, persoalan tentang manusia sihat dan manusia cacat mungkin boleh dihuraikan dari segi genetik.

Sebab itulah perajurit-perajurit terbaik dari seluruh dunia dipilih daripada kalangan mereka yang memiliki keadaan biologi yang sempurna dan sihat. Kemudian mereka dilatih dengan ilmu peperangan sehingga mampu mengendalikan sesuatu operasi yang boleh mencapai kejayaan gilang-gemilang.

Hamid menghentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat apabila warna merah menyala. Pada waktu pagi, jalan raya memang sentiasa sesak dengan kenderaan yang bertali arus.

Kalau keadaan biologi perajurit-perajurit itu tidak sempurna akibat kecacatan genetik, katalah kecacatan itu dipamerkan sebagai penyakit buta warna, yang tidak boleh membezakan warna hijau dan merah, sudah tentu mereka tidak layak untuk dipilih menjadi perajurit. Malah mereka akan membahayakan operasi tentera yang akan menentukan masa hadapan negara mereka. Individu yang ada penyakit buta warna, sampai mati pun tidak akan dapat membezakan warna hijau dan warna merah.

Jadi, dalam kes buta warna, baka yang tidak baik, sungguh pun dipaksa untuk menjadi baik, tetap tidak akan menjadi baik. Sungguh pun mereka dipaksa untuk membezakan warna hijau dan warna merah, mereka tetap tidak akan dapat membezakan kedua-dua warna itu.

Bagi orang yang buta warna, gennya cacat dan gagal menghasilkan protein fotopsin yang boleh bergabung dengan pigmen retinal, iaitu sejenis terbitan vitamin A, untuk membentuk sebatian rodopsin yang sensitif kepada warna hijau dan merah. Dalam mata manusia, sebatian rodopsin terbenam dalam lipatan cakera di hujung sel-sel kon retina.

Bagi manusia sihat, gennya mampu menghasilkan protein fotopsin melalui proses transkripsi-translasi. Transkripsi ialah proses mengkodkan suatu unit genetik melalui pembentukan suatu rantai RNA pengutus daripada DNA acuannya. Transalsi pula ialah proses menterjemahkan kod-kod mengandungi maklumat genetik yang ada di atas rantai RNA pengutus kepada suatu rantai polipeptida yang terdiri daripada gabungan berbagai jenis asid amino tertentu dengan bantuan RNA pemindah dan RNA ribosom. Banyak rantai polipeptida yang dihasilkan dan rantai-rantai itu boleh bergabung untuk membentuk beberapa jenis protein yang akan diarah oleh sesuatu sel untuk menjalankan berbagai fungsi biologi tertentu.

Salah satu fungsi itu ialah penghasilan protein fotopsin yang amat penting untuk membolehkan seseorang individu itu menikmati berbagai jenis warna yang ada di dalam persekitarannya. Dalam nukleus sel manusia, gen yang menentukan buta warna terletak di atas kromosom X.

Lampu isyarat merah bertukar hijau. Hamid membelokkan keretanya ke kiri.

Timbul rasa belas di hati Hamid apabila mengenangkan nasib orang-orang yang dilahirkan buta warna. Apakah dunia ini tidak adil? Atau apakah Tuhan dengan sengaja ingin menunjukkan kekuasaanNya melalui berbagai variasi genetik yang menghasilkan bermacam rupa, sifat dan ciri manusia?

*****

Hamid sedang tenggelam di dalam dunia realiti maya. Di dalam imej retinanya, Hamid mendapati bahawa dia sedang mengendalikan suatu eksperimen simulasi. Dia sedang membancuh campuran tindak balas rantaian polimerase untuk menggandakan bilangan jujukan DNA sasaran yang diambil daripada suatu sampel darah khayalan. Tiub mengandungi campuran tindak balas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah mesin kitar termal khayalan. Setelah menetapkan suhu dan tempoh tindak balas, Hamid membiarkan tindak balas rantaian polimerase berlaku secara in silicio.

Hamid melajukan kadar tindak balas. Beberapa saat kemudian, tindak balas rantaian polymerase itu selesai dan dia mengeluarkan tiub campuran tindak balas dari mesin kitar termal khayalan tersebut. Selepas itu, dia melarikan hasil tindak balas di atas gel agarosa khayalan melalui proses elektroforesis khayalan. Dengan serta-merta, jalur-jalur mengandungi fragmen-fragmen DNA sasaran tertera di atas gel agarosa.

Setelah berjaya mendapatkan keputusan tindak balas rantaian polimerase khayalan itu, Hamid membuat pengiraan untuk menentukan kebarangkalian mendapatkan hasil eksperimen simulasi. Nilai itu terpapar di dada skrin. Kemudian dia bertanya kepada program perisian eksperimen simulasi itu tentang sebab-sebab dia memperolehi nilai tersebut. Setelah membaca alasan-alasan yang diberikan oleh program itu, Hamid menamatkan sessi eksperimen in silicio.

Dia membuka visor topi keselamatan.

Alam nyata menguasai semula seluruh ruang imej retinanya.

Hamid mendapati bahawa program yang terdiri daripada beberapa perisian yang mengandungi berbagai jenis eksperimen simulasi itu semakin maju. Keputusan eksperimen yang diperolehinya semakin persis dan jitu. Hamid percaya bahawa sahabatnya, Fatinah, yang bekerja di Syarikat Fatinah Bersaudara, telah berjaya menemui kaedah untuk memajukan program perisian eksperimen simulasi yang telah direka oleh syarikatnya itu.

Selain daripada program perisian eksperimen simulasi, syarikat Fatinah turut mengeluarkan perisian novel realiti maya. Syarikat Fatinahlah satu-satunya pengeluar perisian novel realiti maya di dunia pada ketika itu. Perkembangan kerajaan elektronik yang amat pesat terutamanya Malaysia yang terkenal dengan MSC, telah mendorong gergasi-gergasi syarikat pengeluar perisian komputer untuk mengeluarkan produk-produk perisian baru. Bermula dengan modul-modul pembelajaran untuk berbagai matapelajaran dan ilmu pengetahuan am yang dimuatkan di dalam cakera-cakera padat yang boleh dipaparkan di atas skrin komputer dalam bentuk dua atau tiga dimensi, kini modul-modul itu boleh dinikmati dalam bentuk empat dimensi melalui program perisian realiti maya.

Pada mulanya, program realiti maya digunakan dengan meluas di dalam latihan simulasi untuk bidang ketenteraan, penerbangan angkasa lepas, penerokaan dasar laut dan pertahanan awam seperti bomba. Kemudian ia menarik minat syarikat-syarikat permainan dan rekreasi untuk memperdagangkan produk mereka dengan menerapkan konsep realiti maya. Syarikat-syarikat pemborongan dan peruncitan antarabangsa pula terpanggil untuk menyebatikan konsep realiti maya di dalam konsep membeli-belah pada zaman teknologi maklumat. Perkembangan teknologi digital dan optoelektronik yang semakin pesat telah memperhaluskan lagi produk-produk yang berkonsepkan realiti maya.

Daripada pemerhatian yang dibuat ke atas perkembangan konsep realiti maya itulah Fatinah telah tergerak untuk mencipta dan mengeluarkan novel-novel realiti maya. Fatinah berpendapat bahawa sudah tiba masanya hasil kesusasteraan boleh dinikmati melalui teknologi bersilikon kerana hasil kreatif penulis-penulis terkemuka amat digemari oleh golongan yang masih gemar menghabiskan masanya dengan membaca novel dan buku cerita. Sehubungan dengan itu, individu yang membaca novel melalui perisian realiti maya, bukan sahaja dapat menghayati novel tersebut dengan menggambarkan apa yang dibacanya di dalam layar fikiran, malah mereka boleh juga menghayatinya dengan melihat sendiri babak-babak peristiwa yang hendak digambarkan oleh penulis seolah-olah dia sedang berada di dalam situasi yang sedang dihadapi oleh watak-watak di dalam novel. Tambahan lagi, penggemar-penggemar novel boleh memilih watak-watak yang ingin mereka guna apabila memasuki alam novel realiti maya dengan jalan cerita yang tidak berubah walau apa pun watak yang ingin mereka mainkan.

Sebagai permulaan, syarikat Fatinah telah mengeluarkan novel-novel realiti maya karangan penulis-penulis tempatan seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Arenawati, Abdullah Hussein, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi dan beberapa orang novelis lain. Di rumah, Hamid ada beberapa buah novel realiti maya yang menjadi kegemarannya. Pada waktu senggang, Hamid amat gemar memainkan watak Kazman yang dicipta oleh Shaari Isa di dalam triloginya yang berjudul “Lepaskan Kembali Aku Ke Laut”.

Memandangkan kemajuan konsep realiti maya itu, terlintas di hati Hamid untuk memberi cadangan kepada Fatinah supaya menghasilkan produk perisian yang mengandungi eksperimen simulasi pula. Cadangan itu timbul berikutan kegagalan yang sering dihadapi oleh Hamid setiap kali dia membuat eksperimen untuk mendapatkan keadaan optimum bagi hasil percubaannya yang boleh dijadikan sandaran kukuh apabila dikemukakan sebagai bukti forensik di dalam setiap perbicaraan di mahkamah untuk menguatkan hujah pihak pendakwa atau pembela. Fatinah yang tertarik dengan cadangan itu bersetuju untuk memulakan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan untuk mengembangkan ilham Hamid. Hasilnya, syarikatnya sekali lagi menjadi perintis pengeluar eksperimen simulasi untuk membantu para penyelidik seluruh dunia di dalam program penyelidikan mereka. Produk tersebut telah diperhaluskan lagi melalui perkembangan teknologi yang menerapkan konsep realiti maya yang semakin pesat.

Semenjak menggunakan produk syarikat Fatinah, Hamid telah berjaya mengurangkan kadar kegagalan dan meningkatkan peluang untuk mencapai keadaan eksperimen yang optimum. Hamid amat berpuas hati dengan hasil kerja Fatinah.

Suasana bilik pejabatnya masih seperti awal pagi tadi. Hamid bercadang hendak meneruskan eksperimennya secara in vitro pula selepas itu.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk bertalu-talu.

“Masuk!” Jeritnya sambil mencabut topi keselamatan realiti maya dari kepala dan meletakkannya di atas meja.

Pintu terbuka dan Razak masuk ke dalam. Setelah menutup pintu, dia menghempaskan sebuah fail di atas meja Hamid. Hamid berasa hairan di atas perlakuan Razak.

“Duduklah, Jak,” pelawa Hamid.

Setelah duduk, Razak terus bersuara.

“Kau pasti bahawa sampel DNA daripada rambut yang orang aku ambil di tempat kejadian itu tidak sama dengan sampel DNA daripada darah orang yang aku syak?”

“Pasti. Aku sudah hantar salinan laporan bersama salinan filem radioautograf kepada Jabatan Kimia untuk mengesahkan hasil kerjaku. Mereka kata 100% tepat.”

“Jadi, tiada bukti yang boleh mensabitkan kesalahan lelaki itu dalam kes aku.”

“Sudah tentu. Kalau tiada bukti, bagaimana hendak mensabitkan kesalahannya?”

Razak menghela nafas panjang. Dia membuka fail yang dibawa dan membelek laporan-laporan yang mengandungi hasil siasatannya dalam kes pembunuhan seorang jutawan hartanah.

“Bermakna lelaki itu memang tidak berada di dalam bilik penginapan hotel tempat mayat jutawan itu ditemui.”

“Aku nak ingatkan kau. Rambut yang Sarjan Chew jumpa di atas katil itu memang bukan rambut Datuk Yahya. Memang ada orang lain yang menyelinap masuk ke dalam biliknya.”

“Ya. Itu aku tahu. Laporan perubatan oleh Dr Maran mengesahkan bahawa Datuk Yahya mati kerana lemas. Pembunuh itu mungkin menggunakan bantal dan menyerkup muka mangsa sehingga mati. Kemungkinan besar pembunuh itu ialah lelaki kerana untuk menang di dalam pergelutan dengan mangsa memerlukan tenaga yang amat kuat. Kalaulah aku dapat pembunuh itu…”

Razak tidak dapat menghabiskan kata-katanya seolah-olah hampir putus asa.

“Bagaimana dengan kesan cap jari?”

“Tiada sebarang kesan cap jari di bilik mangsa yang boleh dicurigai selain daripada kesan cap jari mangsa dan isterinya. Isterinya yang menjadi saksi pertama memang terbukti tidak berada di bilik mereka sewaktu kejadian itu berlaku kerana sedang menunggu suaminya di lobi hotel.”

“Mungkin pekerja hotel…”

“Mereka telah pun dibuktikan bersih. Termasuk lelaki terakhir yang aku syak yang baru saja kau selamatkan.”

“Jadi pembunuhan itu memang dilakukan dengan sengaja dan telah pun dirancang dari awal. Tiada kesan yang ditinggalkan oleh pembunuh.”

“Sudah tentu. Itulah yang menyulitkan penyiasatan aku pada kali ini.”

“Jak, pembunuh itu mungkin seorang yang cekap kerana tidak meninggalkan sebarang kesan yang nyata. Malangnya, dia ada kelemahan. Dia tidak sedar bahawa beberapa helai rambutnya gugur sewaktu bergelut dengan mangsa kerana mungkin dia tidak memakai penutup kepala. Hanya itu yang akan menjadi pedoman kita.”

Razak merenung mata Hamid. Dia memicingkan matanya.

“Apa yang kau nak beritahu aku, Mid?”

“Dalam kes ini saja, aku telah menjalankan proses pencapjarian DNA untuk lebih daripada dua dozen sampel yang diambil daripada 27 orang yang disyaki. Itu tidak cukup.”

“Jadi?”

“Berikan aku lebih banyak sampel. 50 sampel, 100, 1000 atau 10,000 sekalipun. Aku juga tidak berpuas hati di atas kematian Datuk Yahya. Kenapa orang yang baik dan terhormat seperti dia harus mati dalam keadaan tragis? Kaum keluarga dia, sahabat handai dia, malah seluruh masyarakat pun akan mengenang dia sebagai orang kaya pemurah yang jujur dan tidak sombong. Dia terlalu baik. Malangnya, ada orang yang tak suka dia hidup. Kita mesti cari pembunuhnya sampai dapat!”

Razak mengecilkan lagi picingan matanya. Tiba-tiba dia tersenyum ceria.

“Kenapa aku tidak terfikir kata kunci itu?” Tanya Razak kepada dirinya sendiri. “Ada orang yang tidak rela si mati hidup. Ada orang yang tidak mahu kalah dengan si mati. Datuk Yahya memang ada ramai pesaing yang hebat.”

Razak bangkit dari kerusi dan mengepit fail penyiasatannya di sisi.

“Hamid, aku akan bawa lebih banyak sampel untuk kau.”

Kemudian Razak meninggalkan bilik Hamid.

Hamid tidak bergerak di kerusinya. Begitulah rutinnya setiap hari. Bersama rakan-rakan sepasukan, mereka berganding bahu berusaha menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat setiap hari.

Hamid mengeluh. Bilakah manusia akan berhenti melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi?

Kemudian dia bangun. Dia memakai jubah makmal dan berjalan masuk ke dalam makmal DNA yang terletak bersebelahan biliknya. Dia berhajat hendak menggunakan kaedah yang telah diperbaikinya melalui eksperimen simulasi sebentar tadi terhadap sampel DNA yang telah diterima semalam.

Ada kes rompakan sebuah bank di ibu kota yang mesti diselesaikan.

Di dalam makmal, beberapa orang rakan sejawatnya sedang menekuni kerja masing-masing.

“Ada kes baru?” Tanya Goh.

“Tak ada. Razak cuma nak cari ilham,” jawab Hamid.

“Hari yang sukar untuk Razak,” ulas Goh.

“Tak juga, Goh,” kata David yang sedang menulis sesuatu di dalam buku log makmalnya. “Dia tu keras hati dan tahan cabar. Dia tak peduli kalau terpaksa bergelut dengan jerung besar,” sambung David.

“Polis macam dia, bukan setakat jerung, David. Moyang paus pun dia berani cabar,” sampuk Katan. “Aku belum minum pagi lagi ni. Ada sesiapa yang nak aku buatkan kopi?” Tanya Katan menawarkan khidmatnya.

“Buatkan untuk aku, Katan. Kejap lagi aku nak pergi ke bilik rehat,” sahut David.

“Okey,” balas Katan seraya keluar dari makmal itu.

“Baguslah kalau pasukan kita ada ramai orang macam Razak,” kata Goh.

Hamid mendapatkan meja kerjanya. Dia mencapai segala radas dan bahan yang diperlukan untuk prosedur kerjanya.

Hamid yakin bahawa kalau semua orang dalam dunia ini hidup dalam persekitaran yang baik, nescaya dunia akan dipenuhi dengan orang-orang baik. Tidak akan wujud masalah jenayah. Masalahnya, masyarakat kurang sedar tentang perlunya mereka rasa bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang baik. Apa tidaknya? Pintu yang menjadi punca segala masalah sosial dibuka dengan luas untuk dimasuki oleh setiap manusia yang tujuan hidupnya semata-mata inginkan kepuasan dalam mencari keseronokan hidup.

Tidak salah untuk bersosial, bercampur-gaul dengan masyarakat. Akan tetapi, mestilah mengikut lunas-lunas tatasusila yang dipandu oleh kepercayaan agama. Bukan mengikut kehendak hawa nafsu yang memang tidak kenal batas-batas pergaulan. Malangnya, majoriti manusia tidak suka bersosial di dalam lingkungan lunas-lunas tatasusila itu. Mereka lebih suka melampaui batas-batas pergaulan yang ditetapkan oleh kepercayaan agama. Lebih malang lagi, ada golongan yang sudah berani mengaku tidak beragama dan menafikan yang agama wujud untuk memandu kehidupan manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan. Sebab itulah wujud masalah sosial di dalam masyarakat zaman pasca moden ini.

Mungkinkah masalah sosial itu sebenarnya suatu yang wajib dan mesti menjadi kelaziman yang seharusnya menjadi identiti untuk masyarakat era teknologi maklumat?

Dunia ini gila.

Apakah kejahatan dan kemungkaran itu sebenarnya ialah suatu kebiasaan yang harus menjadi ciri masyarakat siber?

Dunia ini semakin gila.

Sehari suntuk Hamid tenggelam dalam keasyikan bekerja.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1998


Nota kaki: Ini ialah naskhah kerja kursus bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen di atas adalah versi asal bagi cerpen “Baka” yang telah tersiar di dalam Berita Harian pada 11 Disember 1999. Ini adalah cerpen kedua yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Kedua, iaitu menulis sebuah cerpen dan dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan kursus. Saya meletakkan tahun 1998 pada tanda hakcipta kerana cerpen ini telah ditulis pada tahun itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan