Selasa, 23 Jun 2015

03 Luka


Setelah balik dari sekolah Tadika, Along ingin terus bermain memanjat pokok mempelam di hadapan rumahnya. Selesai makan tengah hari dan bersalin baju basahan, Along terus keluar dari rumah dan memanjat pokok mempelam itu. Ketika sedang leka memanjat, Along tidak menyedari bahawa kakinya sedang memijak dahan rapuh.

Beban badan Along tidak dapat ditampung oleh dahan rapuh itu. Dahan rapuh itu patah. Along hilang keseimbangan badan, lalu jatuh. Along cuba hendak memeluk batang pokok. Akan tetapi, sudah terlambat. Along jatuh menggelungsuri batang pokok, terduduk di pangkal dan terbaring di atas tanah.

Buat beberapa detik, Along terpinga-pinga. Along seolah-olah tidak percaya yang Along boleh jatuh dari atas pokok. Along berasa sakit di seluruh badan. Setelah menahan sakit selama beberapa detik, sakit itu hilang. Along memperolehi tenaga untuk duduk. Mata Along terkebil-kebil.

Along mendapati bahawa lutut kanannya luka. Luka itu jenis luka terkoyak. Mendedahkan daging putih yang dengan serta-merta bertukar menjadi merah apabila titik-titik darah mula terbit di permukaan daging. Semakin banyak darah yang memenuhi permukaan daging dan bergenang di pinggir luka. Darah itu akhirnya mengalir menuruni kaki kecil Along.

Tiba-tiba saraf sakit mengirim satu perasaan sensasi ke otak Along. Along berasa amat pedih di bahagian tubuhnya yang luka. Kedua-dua tangan Along mencengkam hujung peha dan pangkal betis. Dahi Along berkerut. Along memejamkan mata. Along mendongak ke langit sambil menyeringaikan mulutnya. Along tidak menjerit kesakitan atau menangis mengaduh keperitan. Along berusaha menahan pedih luka.

Beberapa detik kemudian, pedih luka pun hilang. Along berjalan terdengkut-dengkut memasuki rumah. Mulut Along berdesit menahan pedih luka. Diam-diam Along mencuci darah luka dengan cucuran air pili. Kemudian Along menuang air panas dari sebuah termos ke dalam sebiji mangkuk.

Along membawa mangkuk air panas itu ke ruang hadapan. Along mengeluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya. Along mencelupkan hujung sapu tangan itu ke dalam air panas. Kemudian Along menekap bahagian sapu tangan yang dibasahi air panas di sekeliling kawasan luka. Dahi Along berkerut menahan pedih luka.

Along merendam sebahagian sapu tangan di dalam air panas. Bila bahagian sapu tangan itu dibasahkan dengan sempurna, Along mengeluarkan sapu tangan itu dari mangkuk dan membawanya ke atas luka. Along memerah sapu tangan itu supaya titisan air panas jatuh di atas luka dan mengalir ke bawah kaki.

Sekali lagi kepedihan menyentak saraf sakit Along apabila beberapa titis air panas jatuh dan mengalir di atas luka Along. Bila kepedihan itu hilang, Along berehat seketika untuk mengumpul kekuatan dan keberanian baru.

Along terus mencuci luka itu dengan menekapkan sapu tangan yang dilembapkan dengan air panas di atas luka yang mula mengering. Darah tidak lagi mengalir keluar. Kepedihan luka mula berkurangan. Luka Along kini bersih daripada darah dan kekotoran. Namun, permukaan luka masih diwarnai dengan merah darah yang mula membeku. Along bangkit untuk mencuci sapu tangan itu.

Kemudian Along berbaring di atas katil. Oleh kerana telah banyak kehabisan tenaga untuk melawan kesakitan, Along berasa letih. Along pun tertidur kerana keletihan. Along masih perlu menahan pedih luka selama beberapa hari lagi sebelum luka Along benar-benar sembuh dengan sempurna.

Persekitaran dalaman tubuh Along mengandungi cecair badan yang membasahi setiap sel individu yang membina tisu dan organ dalaman. Cecair badan ditemui dalam tiga ruang, iaitu di dalam sistem kardiovaskular yang terdiri daripada jantung, vena, arteri dan kapilari; sistem limfatik yang mengandungi nodus limfa dan sistem terusan bak vena; dan cecair antara sel yang termasuk semua cecair luar sel yang tidak ditemui di dalam kedua-dua sistem tertutup itu.

Melalui persekitaran cecair, sel-sel individu menjalin berbagai kaedah komunikasi di antara mereka.

Darah ialah sejenis tisu penghubung dalam bentuk cecair yang terkandung di dalam sistem kardiovaskular. Darah yang menyumbang lebih kurang 8 % daripada berat badan Along terdiri daripada sel-sel darah dan plasma darah.

Sel-sel darah terdiri daripada sel darah merah atau eritrosit, sel darah putih atau leukosit dan platelet. Plasma darah pula kaya dengan berbagai jenis protein, sebatian-sebatian kimia dan gas-gas pernafasan oksigen dan karbon dioksida yang setiap satu mempunyai fungsi tertentu.

Darah bertanggungjawab untuk mengangkut nutrien, bahan kumuh dan molekul-molekul bermaklumat yang dilepaskan oleh sel-sel tertentu sebagai isyarat-isyarat di antara sel. Plasma darah boleh berperanan sebagai bahan pemekat kerana ia mengandungi sebilangan molekul yang membolehkan cecair plasma bertukar menjadi gumpalan darah beku. Pertukaran itu sebenarnya merupakan satu bentuk pertahanan badan untuk menghalang kehilangan darah yang banyak apabila berlaku sesuatu kecederaan.

Pembentukan gumpalan darah beku amat mustahak untuk memelihara persekitaran dalaman tubuh badan Along. Jika tidak diberhentikan, pendarahan yang banyak daripada luka Along menyebabkan isipadu dan tekanan darah menurun dan boleh mengakibatkan kematian. Apabila Along mengalami luka, beberapa kejadian berlaku di permukaan luka yang berusaha menghalang kehilangan darah yang banyak.

Luka ialah keadaan salur darah yang rosak dan terkoyak sehingga membocorkan darah ke persekitaran luar tubuh. Sebaik sahaja kulit kepala lutut Along terkoyak setelah bergeser dengan kulit pokok mempelam semasa Along jatuh, denyutan saraf dari sistem saraf autonomik mencetuskan gerakbalas kilasan dan mengirim perutusan ‘luka’ kepada salur darah itu.

Pada masa yang sama, beberapa sel platelet di sekitar kawasan luka yang berjaya mengesan denyutan saraf itu segera membebaskan bahan-bahan kimia tertentu, iaitu tromboksen dan serotonin untuk merangsang pengecutan otot licin salur darah yang terkoyak.

Apabila salur darah yang terkoyak menerima perutusan ‘luka’ dari sistem saraf autonomik, otot licin yang berada di dalam dinding salur darah itu segera mengecut. Pengecutan otot licin menyebabkan salur darah yang koyak, menegang dan menjerut permukaan salur darah yang bocor. Darah yang berebut-rebut hendak keluar dari salur darah akibat perbezaan tekanan yang dialami oleh persekitaran luar dan dalam tubuh, tertahan di pintu kebocoran yang sempit.

Proses kekejangan vaskular itu berlaku dengan serta-merta dalam tempoh dua puluh saat selepas salur darah mengalami kebocoran.

Berturutan selepas itu, hujung saraf sakit yang terdedah kepada persekitaran luar mengalami tekanan yang hebat. Ia terus mengirim perutusan kepada sistem saraf pusat. Perutusan itu diterjemahkan sebagai rasa sakit dan pedih. Lalu, perutusan balas segera dikirim ke otot-otot di sekeliling kawasan luka untuk meningkatkan kadar pengecutan supaya kawasan luka dapat ditutup.

Itulah sebabnya kenapa Along mencengkam hujung peha dan pangkal betis. Otot-otot rangka di kedua-dua bahagian badan itu ingin menutup luka Along. Dalam keadaan sebenar, keinginan otot-otot rangka itu tidak tercapai kerana fungsi menutup kawasan luka kemudiannya diambilalih oleh satu mekanisme yang lebih rumit.

Sel-sel platelet yang berada di kawasan luka menjadi aktif dengan tiba-tiba apabila mengesan kewujudan proses kekejangan vaskular. Sel-sel platelet itu difahamkan oleh proses tersebut bahawa ada salur darah yang terkoyak dan tisu kulit yang rosak. Lantas ia mengirim perutusan ‘pulih luka’ ke hati.

Di hati, perutusan ‘pulih luka’ itu diterjemahkan oleh sel-sel hati sebagai isyarat untuk memerlukan lebih banyak vitamin K di dalam darah. Vitamin K diperlukan sebagai pemangkin pensintesisan faktor-faktor pembekuan di dalam darah yang dilakukan oleh sel-sel hati dan platelet.

Sel-sel hati tahu bahawa vitamin K tidak boleh disintesiskan oleh mana-mana sel individu yang membentuk tubuh badan Along. Jadi, bantuan daripada sel-sel asing yang menumpang berteduh di dalam tubuh badan Along amat diperlukan. Satu-satunya tempat yang kaya dengan sel-sel asing di dalam tubuh Along ialah usus.

Hati segera mengirim perutusan ‘perlu vitamin K’ ke usus dan pada masa yang sama merembeskan hempedu ke dalam usus. Usus yang mendapat isyarat dari hati segera memahami kehendak hati. Dengan bantuan hempedu, usus menyesuaikan sel-selnya supaya boleh menyerap segala vitamin K yang mungkin ada disintesiskan oleh berjuta-juta warga mikroflora dan mikrofauna yang hidup di atas permukaan sebelah dalam dinding usus.

Sel-sel usus yang bejaya mengesan vitamin K dengan pantas menyerap sebatian itu dan memasukkannya ke dalam sistem kardiovaskular. Akibatnya, kepekatan vitamin K meningkat di dalam salur darah. Kehadiran vitamin K membolehkan hati mensintesiskan faktor-faktor pembekuan. Platelet-platelet yang berjaya mengesan vitamin K di dalam salur darah turut terdorong untuk mensintesiskan lebih banyak lagi tromboksen, serotonin dan faktor-faktor pembekuan.

Setelah mengirim perutusan ‘pulih luka’ ke hati, sel-sel platelet segera melekat kepada gentian kolagen. Bersama gentian kolagen, mereka menyumbat permukaan salur darah yang bocor. Perlekatan platelet kepada kolagen menyebabkan berlakunya pembebasan adenosina difosfat. Adenosina difosfat membuatkan keadaan permukaan sel-sel platelet menjadi melekit supaya sel-sel platelet lain boleh berlekatan dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada kolagen.

Tromboksen berlebihan mengarahkan sel-sel platelet lain agar segera berhimpun di tapak luka untuk melekatkan diri mereka dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada sel-sel platelet yang telah bersedia untuk membentuk darah beku di tapak luka itu. Sel-sel platelet yang terlibat di dalam proses pembekuan darah membebaskan lagi lebih banyak tromboksen, adenosina difosfat dan faktor-faktor pembekuan ke dalam salur darah.

Proses penyembuhan luka bermula.

Pada masa yang sama, hujung saraf sakit yang terdedah tidak putus-putus mengirim perutusan ‘sakit’ kepada sistem saraf pusat.

Semasa kulit lutut Along terkoyak, sebahagian kecil tisu kardiovaskular, tisu kulit dan sedikit tisu otot mengalami kerosakan. Sel-sel individu yang membentuk tisu-tisu itu pecah dan membebaskan sebilangan bahan kimia tertentu ke dalam darah. Bahan-bahan kimia itu dengan segera mengaktifkan faktor-faktor pembekuan yang biasanya pasif.

Di antara bahan kimia itu ialah tromboplastin tisu, sejenis lipoprotein yang mempunyai struktur molekul yang kompleks. Dengan kehadiran dan bantuan ion kalsium yang sedia ada di dalam darah, tromboplastin tisu membentuk satu kompleks baru apabila bercantum dengan faktor pembekuan VII.

Kompleks protein itu akan mengaktifkan faktor pembekuan X. Faktor pembekuan X yang menjadi aktif dengan segera bergabung dengan lebihan tromboplastin tisu, ion kalsium dan faktor pembekuan V untuk membentuk kompleks pengaktif protrombin. Kompleks pengaktif protrombin yang terbentuk akan menukarkan protrombin menjadi trombin.

Dengan kehadiran ion kalsium, trombin dengan pantas menukarkan fibrinogen yang bersifat larut di dalam darah menjadi fibrin yang tidak larut. Fibrin akan wujud dalam bentuk jalinan. Fibrin yang terbentuk distabilkan oleh faktor pembekuan XIII.

Jalinan fibrin masuk di celah-celah platelet yang berhimpun di permukaan luka. Gumpalan platelet dimantapkan lagi oleh fibrin supaya bekuan darah di permukaan luka benar-benar padat.

Selain daripada tromboplastin tisu, bahan kimia lain yang dibebaskan oleh tisu-tisu yang rosak ialah enzim-enzim berlisozom. Enzim-enzim berlisozom itu bersama-sama trombin, faktor pembekuan XII dan pengaktif plasminogen tisu boleh mengubah plasminogen yang tidak aktif menjadi plasmin yang aktif. Nanti, plasmin berguna di dalam proses anti pembekuan darah.

Jika tidak dikawal, proses pembekuan darah di permukaan luka akan merebak di dalam seluruh sistem kardiovaskular. Darah yang membeku di dalam salur darah boleh mengakibatkan maut.

Untuk memanjangkan usia Along, sel-sel tertentu telah mula mensintesiskan faktor anti pembekuan secara berterusan sebaik sahaja mendapat isyarat bahawa peristiwa luka telah berlaku di lutut kanan Along.

Dalam keadaan biasa, faktor anti pembekuan wujud di dalam darah untuk melicinkan perjalanan darah ke seluruh sistem kardiovaskular. Peristiwa luka menyebabkan proses pembekuan berlaku dengan aktif dan pantas. Proses pembekuan itu mesti dikawal dan diseimbangkan melalui peningkatan kadar pensintesisan faktor anti pembekuan.

Sel-sel utama yang mensintesiskan faktor anti pembekuan ialah sel-sel hati. Sel-sel hati mensintesiskan faktor anti pembekuan yang bernama anti trombin. Anti trombin yang disintesiskan itu dihantar ke dalam sistem kardiovaskular. Di dalam sistem kardiovaskular, anti trombin mengembara di dalam salur darah sehingga tiba di kawasan luka.

Ketika tiba di situ, ia mendapati bahawa proses pembekuan darah sedang berlaku dengan giat. Sel-sel platelet yang baru tiba, terus bergabung dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada gumpalan darah beku. Jalinan-jalinan fibrin terus menganyam di celah-celah sel platelet untuk mengukuhkan struktur bekuan darah yang terbina. Kawasan pembekuan darah semakin merebak sehingga menjauhi kawasan luka.

Anti trombin tidak dapat membenarkan keadaan itu berlaku. Ia mencari trombin. Setelah menjumpai trombin, ia pun menyinggul trombin. Trombin yang sedang aktif menukarkan fibrinogen kepada fibrin, dengan serta-merta terkulai layu menjadi pasif. Ia lumpuh dan tidak mampu lagi merangsang fibrinogen untuk menjadi fibrin.

Penghasilan fibrin terhenti dengan serta-merta. Sel-sel basofil dan sel-sel endotelium di sekeliling kawasan luka yang memerhatikan proses pembekuan darah turut merembeskan faktor anti pembekuan apabila mendapat isyarat yang menyatakan bahawa anti trombin telah tiba di kawasan luka.

Faktor anti pembekuan yang dirembeskan oleh kedua-dua jenis sel itu ialah heparin dan prostaksiklin. Heparin membantu meningkatkan kecekapan anti trombin dalam usaha untuk melumpuhkan trombin. Prostasiklin bergerakbalas terhadap kesan yang diakibatkan oleh trombin, menyebabkan vasodilasi di sekitar kawasan luka dan merencat pembebasan faktor-faktor pembekuan dari sel-sel platelet. Sel-sel platelet tidak lagi mampu untuk mensintesiskan faktor-faktor pembekuan.

Apabila sel-sel hati mendapat isyarat bahawa sel-sel platelet tidak lagi mensintesiskan faktor pembekuan, hati pun menghentikan pensintesisan faktor pembekuan dan meningkatkan pensintesisan anti trombin. Pada ketika inilah plasmin yang telah disintesiskan dahulu memainkan peranannya.

Bekuan darah berlebihan yang jauh dari kawasan luka dilarutkan melalui proses fibrinolisis. Di dalam proses itu, jalinan fibrin yang tidak larut terus diuraikan oleh plasmin. Setelah jalinan fibrin terurai, fibrin-fibrin individu ditukarkan semula oleh plasmin menjadi fibrinogen yang larut di dalam plasma darah. Jadi, bekuan darah di kawasan itu tidak kukuh. Sel-sel platelet pula berpisah di antara satu sama lain kerana tiada lagi faktor-faktor pembekuan yang boleh menyebabkan permukaan sel-sel mereka menjadi melekit lagi.

Jalinan fibrin yang teranyam di dalam gumpalan darah beku melekatkan bekuan darah kepada dinding salur darah yang terkoyak. Sel-sel platelet yang ada di dalam bekuan darah mempunyai protein aktomiosin di dalam cecair sel masing-masing. Protein aktomiosin mengecut di dalam sel-sel platelet untuk menarik fibrin di dalam bekuan darah supaya struktur bekuan darah dapat diperbaiki. Semasa proses pembaikan bekuan darah itu berlaku, darah beku akan memampat dan serum darah tanpa faktor-faktor pembekuan terperah keluar dari bekuan darah.

Pengukuhan bekuan darah menarik pinggir-pinggir luka serentak yang menolong menghentikan pengaliran keluar cecair darah, mengurangkan jangkitan dan meningkatkan kadar penyembuhan luka. Salur darah yang rosak diperbaiki melalui pergerakan fibroblas ke dalam kawasan penyembuhan luka.

Fibroblas mensintesiskan sel-sel darah yang baru untuk menggantikan sel-sel darah yang telah digunakan, terutamanya sel-sel platelet yang telah digunakan dengan berkesan di dalam proses penyembuhan luka. Sel-sel epitelium di sekeliling kawasan luka membiak dengan giatnya sehingga permukaan luka berjaya ditutupi oleh tisu kulit yang baru.

Selama beberapa hari, Along berjalan terdengkut-dengkut. Abah dan emak tidak risau melihat keadaan Along kerana Along tidak pernah mengadu kesakitan.

Seminggu telah berlalu.

Luka Along telah kering dan benar-benar sembuh. Sel-sel mati telah membentuk bopeng luka. Bopeng luka merekah, mendedahkan kulit baru di bawahnya. Along tidak lagi berjalan terdengkut-dengkut. Apabila Along berjalan, tanpa disedari, bopeng yang retak itu terus tertanggal dengan sendirinya.

Kini Along berasa sihat dan selesa secara mental dan fizikal.

TAMAT.


www.melayu.com, 27 Ogos 2001
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2001


Nota kaki: Ini ialah naskhah yang telah dikontotkan untuk disiar buat pertama kalinya di laman web www.melayu.com, setelah mengambil kira majoriti para pembaca laman itu terdiri daripada orang-orang muda seperti saya (pada masa itu) yang lebih suka membaca naskhah ringkas dan tiada perenggan-perenggan panjang. Orang-orang moden dan pasca-moden tidak gemar baca naskhah yang ada perenggan-perenggan panjang berbanding orang lama-lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan