Jiwa perwira mendorong rasa sedar dan gagah
berani untuk mempertahankan hak diri, bangsa, negara dan agama. Setiap orang
yang berjiwa perwira rela berjuang dan bekerja keras untuk memperolehi hak-hak
tersebut. Jiwa perwira di dalam diri seseorang tidak semestinya muncul apabila
menyertai pasukan tentera. Menyertai kumpulan-kumpulan politik, sosial, agama, ekonomi,
budaya dan apa sahaja yang berkait dengan ruang lingkup kehidupan manusia boleh
menyuburkan jiwa perwira dan perjuangan individu.
Dengan hidup sebagai seorang pejuang di dalam
lapangan kehidupan tertentu, seseorang akan berusaha mencapai segala apa yang
dicita-citakan dengan cara membuat persiapan dan mendisiplinkan diri sendiri
supaya hasil yang bakal diperolehi nanti akan memuaskan hati, menggembirakan
rasa dan membijaksanakan akal.
Kumpulan Cerpen Mohamas menerangkan bahawa
perjuangan untuk mencapai keadaan kehidupan yang lebih baik akan sentiasa
menerima cabaran dalam berbagai bentuk daripada segala sudut. Tema
cerpen-cerpen yang dihidangkan adalah berbagai – sejarah, sains, fantasi, kemanusiaan
– semuanya berbaur, yang bertujuan untuk mencelikkan mata hati dan mencerdikkan
mata minda.
Ada di antara cerpen yang disiarkan seolah-olah
telah disiarkan lebih daripada sekali. Itu bermaksud telah ada proses
penyuntingan naskhah daripada yang asal kepada naskhah yang boleh diterima oleh
editor sastera. Suntingan terpaksa dilakukan kerana ruang siaran di dalam
medium cetak tertentu adalah terhad dan para editor sastera sesuatu majalah
atau akhbar sering dituntut oleh pengurusan atasan mereka agar menjimatkan
ruang dan kos ruangan sastera yang mereka kendalikan. Oleh itu, melalui blog
ini, dengan menyiarkan naskhah asal, anda para pembaca sekalian dapat menikmati
versi asal sesuatu cerpen kerana medium blog sifatnya tidak membataskan
kepanjangan sesebuah cerpen yang boleh disiarkan.
Karya sastera itu bersifat membicarakan hal
ehwal manusia yang sentiasa mewujudkan konflik di antara dua nilai: nilai baik
dan nilai jahat. Jiwa pejuang yang berusaha mencapai tahap yang lebih baik
ialah suatu contoh nilai baik. Perjuangan itu pula akan dihambat oleh nilai
bertentangan (nilai jahat) yang muncul dalam berbagai bentuk. Natijah setiap
perjuangan akan dijadikan pengajaran oleh orang-orang yang tahu berfikir.
Kepada rakan-rakan yang tidak berbahasa Melayu,
saya mohon maaf kerana semua cerpen disiarkan dalam Bahasa Melayu dan tulisan
rumi. Anda mungkin perlu belajar Bahasa Melayu untuk menikmati hasil sastera
cerpen yang saya tulis. Anda mungkin boleh cuba guna Google Translator Bahasa
Melayu-English, namun terjemahan yang menggunakan perisian itu, mungkin membawa
maksud di luar konteks bagi sesuatu mesej di dalam cerpen yang ingin saya
sampaikan kepada para pembaca.
Mungkin ada di kalangan anda para pembaca telah
terjumpa beberapa buah blog yang turut memuatkan beberapa buah cerpen saya daripada kumpulan cerpen ini. Saya ingin memaklumkan bahawa semua blog itu telah menjadi blog
yang mati kerana saya tidak ingat nama pengguna dan kata kunci untuk masuk ke
dalamnya. Dengan terciptanya blog ini, saya berharap dapat memuatkan semua
karya cerpen saya di dalam sebuah blog secara tersusun yang telah diasosiasikan
dengan aplikasi Google yang boleh dicapai oleh semua pembaca.
Terima kasih kepada semua penerbit yang pernah
menerbitkan cerpen-cerpen daripada kumpulan cerpen ini di dalam medium penerbitan
mereka.
Hidup Mulia, Mati Mulia.
Tiada sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan