Rabu, 24 Jun 2015

04 Luka

Pada usia tujuh tahun, Along bersekolah di dalam darjah satu di sebuah sekolah rendah kebangsaan. Dalam dunia persekolahan, perkara yang paling menggembirakan hati Along ialah cuti penggal. Manakala perkara yang paling memberatkan hati Along pula ialah pada hari-hari persekolahan biasa.

Kalau pada hari persekolahan, Along berasa amat berat untuk bangun awal, seawal tok bilal membaca tarhim subuh yang suaranya berkumandang melalui corong pembesar suara yang disangkut di hujung bumbung surau berek majlis daerah itu. Dalam kedinginan subuh, Along kena bersiap-siap juga sebelum pergi ke sekolah. Biasanya, emak yang berasa kasihan dengan Along akan menyediakan air panas suam kuku sebesen khas untuk Along mandi seorang. Along akan berasa segar apabila menyiram tubuh kerdilnya dengan air panas yang emak sediakan. Selepas memakai baju seragam sekolah kemeja putih berlengan pendek dan seluar pendek biru tua, dan selesai bersarapan, Along akan berbasikal ke sekolah bersama kawan-kawan seberek yang bersekolah di sekolah yang sama.

Balik dari sekolah, emak akan menyuruh Along menukar pakaian seragam sekolah dengan baju basahan sebelum memanggil untuk makan nasi. Biasanya, Along akan makan nasi dengan abah yang juga baru balik dari kerja di tombot. Along tidak tahu apa itu tombot. Tetapi, itulah yang abah kata. Abah kerja di tombot. Mungkin bila Along semakin dewasa dan mula rajin membaca, Along akan tahu bahawa perkataan tombot itu sebenarnya menjadi sebutan Melayu golongan marhaen untuk perkataan Inggeris 'town board', iaitu majlis perbandaran.

Along bangga kerana ada seorang bapa seperti abah. Abah rajin bekerja. Kerajinan abah bekerja tidak menghalangnya untuk makan nasi dengan Along pada waktu makan tengah hari. Abah selalu bertanya kepada Along tentang persekolahan Along. Along akan cuba menceritakan sedaya upayanya apa yang berlaku di sekolah kepada Abah sambil mengunyah nasi. Sekali-sekala, emak yang sedang sibuk membuat kuih jualan akan menyampuk untuk menerangkan maksud butir percakapan Along sebab biasanya, sebaik sahaja sampai di rumah dari sekolah, emaklah orang pertama yang akan Along beritahu tentang apa yang berlaku di sekolah. Abah akan mengangguk tanda faham, terutama kalau perkara itu melibatkan duit yuran persekolahan.

Setelah makan tengah hari dan sembahyang zuhur, abah akan bersiap-siap untuk bekerja lagi. Abah kata, kerja obetaim. Along tidak tahu apa itu kerja obetaim. Tetapi, abah kata, abah kerja lebih masa untuk mengumpul duit buat membayar yuran persekolahan Along. Along akan mengiringi pemergian abah ke tempat kerja dengan pandangan mata yang bersinar.

Selepas makan tengah hari, Along berasa amat mengantuk. Biasanya, Along akan tidur petang. Emak pula, setelah melipat baju yang diangkat dari jemuran, akan membuaikan Angah sambil menyanyi dodoi. Di samping menidurkan Angah di dalam buaian, suara emak juga boleh menidurkan Along.

Along akan terjaga pada lewat petang. Biasanya, bila Along terjaga, Along akan melihat abah membawa bakul-bakul berisi kuih jualan dengan menaiki basikal tuanya. Kuih jualan itu hendak diletakkan di warung Pak Lang yang terletak di hadapan hospital. Kemudian Along akan mandi dan membuka televisyen hitam putih untuk menonton cerita kartun seperti 'Captain Future' atau rancangan kanak-kanak seperti 'Cumi dan Ciki'. Kalau tiada cerita yang sesuai, Along akan keluar bermain dengan kawan-kawan seberek.

Pada waktu maghrib, Along akan sembahyang maghrib di surau bersama kawan-kawan. Balik dari surau, Along akan mengaji Al-Quran dengan bergurukan abah atau emak. Selepas mengaji, Along akan makan malam beramai-ramai bersama keluarga. Setelah kenyang, Along akan beransur untuk membuat kerja sekolah. Kalau televisyen ada cerita bagus seperti 'The Incredible Hulk', 'Buck Rogers in 25th Century' atau 'The Battle Star of Galactica', Along akan menonton televisyen dahulu sebelum membuat kerja sekolah atau Along akan menyiapkan semua kerja sekolah pada sebelah petang supaya Along boleh menonton televisyen pada sebelah malam. Lebih kurang pada pukul 9.30 malam, Along akan masuk tidur sambil membimbangkan dirinya tentang apa yang akan berlaku di sekolah pada hari esok.

Demikian rutin Along pada hari persekolahan.

Kini cuti penggal datang lagi. Along berasa lega kerana setiap kali masuk tidur pada waktu malam, Along tidak perlu membimbangkan dirinya tentang persekolahan pada hari esok. Apa yang Along tahu, pada hari esok, Along boleh bermain dengan sepuas-puasnya dengan kawan-kawan seberek.

Cuti penggal pada kali itu datang pada bulan puasa. Pada bulan puasa, orang semua letih. Kawan-kawan seberek yang mula belajar puasa semuanya tidak mahu bermain kerana letih lesu. Kawan-kawan yang tidak berpuasa pula bermain seperti biasa tanpa sepenuh hati kerana suasana bermain yang tidak meriah setiap kali bulan puasa datang.

Along sendiri tidak tahu apa yang hendak dibuat pada hari itu. Hendak bermain, tiada ‘mood’. Hendak tidur, tidak mengantuk. Hendak makan, Along sudah berniat hendak berpuasa. Kalau makan, Along takut nanti emak marah. Cikgu agama kata, kalau emak marah kita, bermakna Allah pun marah kita. Hii, Along berasa gerun kalau Allah sendiri marah kepada Along yang Along rasa ditunjukkan melalui kemarahan emak.

Dalam keadaan termangu-mangu itu, tangan Along mencapai sebatang besi payung yang abah campak di tepi pasu bunga selepas menolong emak mengemas rumah sehabis banjir kilat semalam. Tangan Along mengetukkan besi itu berulang kali kepada pasu bunga. Perbuatan mengetuk pasu itu tidak memberangsangkan Along untuk mengubati kebosanan.

Angin pagi bertiup sepoi bahasa, menggeletek pokok-pokok mempelam yang ditanam di tepi parit. Banyak kerengga yang mengerumuni pokok-pokok mempelam itu untuk membuat sarang-sarang baru.

Semalam, hujan turun dengan lebat selama beberapa jam sehingga menenggelamkan seluruh kawasan berek itu dengan air banjir. Rumah-rumah berek itu dimasuki air banjir yang membawa lumpur selut dan sampah sarap. Bila hujan berhenti dan banjir surut, abah dan emak sibuk mencuci lantai yang dicemari selut banjir. Jiran-jiran di sekeliling pun sibuk mencuci rumah masing-masing sambal merungut tentang sistem perparitan yang tidak cekap di kawasan bandar itu.

Pada masa yang sama, sarang-sarang kerengga di atas pokok-pokok mempelam itu turut rosak atau pecah akibat dipukul oleh hujan rebut. Beribu-ribu warga kerengga tercampak keluar dari sarang masing-masing. Yang bernasib malang, jatuh ke dalam air banjir dan mati lemas ditenggelami arus banjir yang pada ukuran mereka maha deras. Yang bernasib baik, tercampak di atas dahan-dahan dan batang-batang pokok mempelam dan segera mencari perlindungan di rekahan-rekahan kulit batang pokok. Ada yang tercampak di atas bumbung rumah berek itu dan segera mencari perlindungan di celah alang-alang bumbung.

Kini, pada hari itu, apabila cuaca cerah, warga kerengga di pokok mempelam kelihatan bertungkus-lumus membina semula sarang baru mereka. Warga kerengga yang berlindung di celah alang-alang bumbung rumah berusaha mencari jalan pulang. Mereka mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membina semula sarang tempat tinggal mereka yang rosak atau musnah. Along tidak perasan bahawa kerengga-kerengga itu berjalan berbuntut-buntutan menuruni dinding dan jenang pintu.

Ada seekor kerengga yang mengalami kecederaan akibat terhempas di bumbung rumah Along. Satu kakinya telah patah. Kerengga itu berjalan menuruni jenang pintu dengan lima kaki sahaja. Badannya pula lemah setelah beberapa jam tidak makan. Namun, jiwa kembaranya amat gagah. Ia berazam untuk bersama warga kerengga lain membina semula sarang yang telah musnah.

Tiba-tiba angin sepoi bahasa bertiup ke arah deretan kerengga itu. Kerengga-kerengga yang masih sihat dan kuat terus mencengkam tiang jenang pintu kuat-kuat supaya badan mereka tidak diterbangkan oleh angin. Nasib malang menimpa kerengga yang lemah itu. Dia tidak sempat mencengkam tiang jenang pintu, lalu badannya diterbangkan oleh angin.

Kerengga itu jatuh di atas rambut Along. Ia berasa cemas kerana kehilangan jejak kawan-kawannya. Ia merayau-rayau di atas rambut Along untuk mencari jejak yang ditinggalkan oleh kawan-kawannya. Apabila usahanya gagal, ia pun menyelinap di bawah kolar baju Along dan merayap di atas kulit tengkuk Along.

Tiba-tiba Along berasa ada sesuatu yang sedang merayap di tengkuknya. Along berasa geli dan menggerakkan sedikit badannya.

Pergerakan badan Along menyebabkan kerengga itu berasa seperti ada pergerakan gegaran di sekitar tempatnya berdiri. Lantas, ia mencengkamkan kakinya di atas kulit tengkuk Along.

Tiba-tiba Along berasa ada sesuatu yang menggigit kulit tengkuknya. Along berasa sakit dan gatal, lalu menyuakan tangan kirinya ke bawah kolar baju yang tidak berlipat. Dengan serta-merta, Along memicit benda itu dan membalingkannya ke lantai kaki lima. Along terus menggaru bekas gigitan kerengga itu sehingga hilang rasa gatal.

Along mendapati bahawa ada seekor kerengga yang sedang menggeliat kesakitan di atas kaki lima. Tiba-tiba timbul perasaan marah di dalam hati Along terhadap kerengga itu. Tanpa berfikir panjang, Along terus memukul kerengga itu dengan batang payung beberapa kali. Kerengga yang sedang nazak itu akhirnya mati dibunuh oleh Along. Along berasa hairan bagaimana kerengga itu boleh berada di atas tengkuknya.

Kemudian Along mendapati bahawa ada sederetan kerengga yang sedang berjalan berbuntut-buntutan dari jenang pintu rumahnya sehingga ke pangkal pokok mempelam di hadapan rumah. Perasaan geram dan dendam timbul di dalam hati Along. Along berazam hendak membunuh kerengga-kerengga itu. Along fikir kalau membunuh kerengga di jenang pintu akan menyebabkan emak bertanya tentang perbuatan Along. Along tidak mahu perbuatan Along mengundang perasaan ingin tahu emak yang sedang memasak makanan untuk Angah di dapur.

Lalu Along memakai selipar dan berjalan mendapatkan pokok mempelam yang dikunjungi oleh warga kerengga. Dengan penuh geram dan dendam, Along memukul kerengga-kerengga yang merayap di atas kulit pokok mempelam itu dengan besi batang payung. Banyak kerengga yang terbunuh dan cedera parah akibat menerima pukulan Along.

Kasihan kerengga-kerengga itu!

Mereka segera berlari naik ke bahagian atas pokok mempelam untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Along. Ketua kerengga segera diberitahu tentang serangan yang dilakukan oleh Along. Ia segera menjenguk keluar dari tempat ia mengawasi pembinaan sarang baru dan mendapati bahawa ada seorang kanak-kanak sedang membantai pekerja-pekerjanya yang baru kembali dari kawasan di sekitar pokok mempelam itu. Sebagai ketua, ia diwakilkan kuasa oleh ratunya untuk menyelia pekerja-pekerjanya. Segala kebajikan pekerja-pekerjanya adalah tanggungjawabnya. Akan tetapi, apakan daya. Ia tidak mampu hendak menghalang perbuatan kejam kanak-kanak itu. Ia tidak mahu menjadi wira dengan melompat di atas badan kanak-kanak itu dan memberikan satu gigitan berbisa di atas kulit halusnya. Nanti ia akan mati sia-sia dipicit.

Ia pasrah dan berdoa kepada Tuhan semoga memberi satu pengajaran kepada kanak-kanak itu.

Along mendapati bahawa tiada lagi kerengga yang tinggal di bahagian bawah pokok mempelam itu. Kebanyakan kerengga itu berlari menyelamatkan diri ke bahagian atas pokok. Dendam Along semakin menyala. Dulu, sebelum ada sarang kerengga, pokok mempelam itu menjadi tempat kesukaan Along bermain. Along suka memanjat pokok mempelam itu untuk memetik buah-buah mempelam  dengan tangannya sendiri. Along berasa gembira apabila dapat mencapai buah-buah mempelam itu dan membelek buah-buah itu di atas pokok. Along suka memetik buah mempelam muda untuk emak kerana emak suka membuat jeruk mempelam muda. Bila kerengga mula membuat sarang, Along berasa kehadiran kerengga itu mengancam kegemaran Along. Setiap kali Along memanjat pokok mempelam itu, Along sering diserang oleh beribu-ribu warga kerengga dan amat kerap mendapat gigitan-gigitan yang berbisa. Along tidak tahan bila mencium air busuk yang dikeluarkan oleh badan kerengga yang menyerangnya. Dan Along mula menyimpan dendam terhadap warga kerengga yang berkampung di atas pokok mempelam.

Along tidak berpuas hati dengan kerengga-kerengga yang berlari menyelamatkan diri ke bahagian atas pokok. Lalu, Along memanjat pokok mempelam itu sambil membantai kerengga-kerengga yang bernasib malang menjadi mangsa kekejaman Along. Ketika sedang leka memukul kerengga-kerengga itu, Along tidak menyedari bahawa kakinya sedang memijak dahan rapuh.

Beban badan Along tidak dapat ditampung oleh dahan rapuh itu. Dahan rapuh itu patah. Along hilang keseimbangan badan, lalu jatuh. Along cuba hendak memeluk batang pokok. Akan tetapi, sudah terlambat. Along jatuh menggelungsuri batang pokok, terduduk di pangkal dan terbaring di atas tanah.

Buat beberapa detik, Along terpinga-pinga. Along seolah-olah tidak percaya yang Along boleh jatuh dari atas pokok. Along tidak sempat hendak menyumpah mencelakakan kerengga-kerengga itu, apabila Along berasa sakit di seluruh badan. Setelah menahan sakit selama beberapa detik, sakit itu hilang. Along memperolehi tenaga untuk duduk. Mata Along terkebil-kebil.

Along mendapati bahawa lutut kanannya luka. Luka itu jenis luka terkoyak. Mendedahkan daging putih yang dengan serta-merta bertukar menjadi merah apabila titik-titik darah mula terbit di permukaan daging. Semakin banyak darah yang memenuhi permukaan daging dan bergenang di pinggir luka. Darah itu akhirnya mengalir menuruni kaki kecil Along.

Tiba-tiba saraf sakit mengirim satu perasaan sensasi ke otak Along. Along berasa amat pedih di bahagian tubuhnya yang luka. Kedua-dua tangan Along mencengkam hujung peha dan pangkal betis. Dahi Along berkerut. Along memejamkan mata. Along mendongak ke langit sambil menyeringaikan mulutnya. Along tidak menjerit kesakitan atau menangis mengaduh kesakitan. Along berusaha menahan pedih luka.

Ketua kerengga yang melihat keadaan Along itu berpuas hati dengan balasan yang Tuhan timpakan ke atas Along. Namun, ia berasa belas melihat keadaan Along sedemikian rupa kerana Along hanyalah seorang kanak-kanak yang masih belum cukup akalnya. Ia berdoa kepada Tuhan semoga Tuhan segera menyembuhkan luka Along supaya ibu bapa Along tidak berasa risau di atas kecederaan yang Along alami.

Beberapa detik kemudian, pedih luka pun hilang. Along bangun dan berjalan terdengkut-dengkut memasuki rumah. Along mendapati bahawa emak sedang mengangkat kain di jemuran. Along tidak mahu emak tahu yang Along luka. Diam-diam Along mencuci darah luka dengan cucuran air paip. Kemudian Along menuang air panas dari sebuah termos ke dalam sebiji mangkuk. Along membawa mangkuk air panas itu ke ruang hadapan. Along mengeluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya. Along mencelupkan hujung sapu tangan itu ke dalam air panas. Kemudian Along menekap bahagian sapu tangan yang dibasahi air panas di sekeliling kawasan luka. Dahi Along berkerut menahan pedih.

Along teringat yang guru kesihatan ada mengatakan bahawa kalau kita luka, ada kuman yang akan masuk ke dalam badan melalui luka.

Hii, Along tidak mahu ada kuman yang hinggap di atas luka Along seperti burung dan kemudian masuk ke dalam luka seperti cacing tanah masuk ke dalam lubang sarangnya. Along takut nanti luka Along semakin teruk. Kata guru kesihatan lagi, kuman boleh dibunuh dengan air panas. Terlintas di dalam fikiran Along untuk membunuh kuman di atas luka itu dengan air panas.

Tapi, bagaimana caranya? Takkan nak curah tempat luka dengan air panas. Nanti melecurlah luka Along.

Along mendapat satu ilham. Along merendam sebahagian sapu tangan di dalam air panas. Bila bahagian sapu tangan itu dibasahkan dengan sempurna, Along mengeluarkan sapu tangan itu dari mangkuk dan membawanya ke atas luka. Along memerah sapu tangan itu supaya titisan air panas jatuh di atas luka dan mengalir ke bawah kaki.

Sekali lagi kepedihan menyentak saraf sakit Along apabila beberapa titis air panas mengalir di atas luka Along. Bila kepedihan itu hilang, Along berehat seketika untuk mengumpul kekuatan dan keberanian baru.

Along terus mencuci luka itu dengan menekapkan sapu tangan yang dilembapkan dengan air panas di atas luka yang mula mengering. Darah tidak lagi mengalir keluar. Kepedihan luka sudah berkurangan. Luka Along kini bersih dari darah dan kekotoran. Namun, permukaan luka masih diwarnai dengan merah darah yang mula membeku. Kemudian Along bangkit untuk mencuci sapu tangan itu.

Along teringat lagi bahawa guru kesihatan ada mengatakan yang luka terdedah mudah diserang kuman. Along berasa luka itu mesti ditutup. Untuk menutup luka itu, Along mengambil sehelai sapu tangan bersih dari gerobok baju. Sapu tangan itu Along lipat kecil-kecil membentuk segi empat sama dengan keluasan yang boleh menutup permukaan luka. Along menekap sapu tangan itu di atas luka dan mengikatnya kepada kepala lututnya dengan sehelai tali kain.

Kemudian Along berbaring di sebelah katil. Oleh kerana telah banyak kehabisan tenaga untuk melawan kesakitan, Along berasa letih. Along pun tertidur kerana keletihan.

Along masih perlu menahan pedih luka selama beberapa hari lagi sebelum luka Along benar-benar sembuh dengan sempurna.

Along ialah seorang kanak-kanak yang sihat. Tubuh badan Along yang normal wujud dalam keadaan harmoni dengan persekitaran luaran, di samping adanya peraturan jasadiah yang berfungsi dengan sempurna di dalam persekitaran dalamannya. Malangnya, apabila Along luka setelah terjatuh dari pokok mempelam beberapa ketika yang lalu, Along berasa sakit. Tubuh badannya tidak lagi berada dalam keadaan harmoni dengan persekitaran luaran. Manakala peraturan jasadiah yang berfungsi di dalam persekitaran dalaman tubuh badan Along terganggu. Along berasa tidak selesa secara fizikal dan mental.

Oleh kerana Along ialah seorang kanak-kanak yang sihat, tubuh badan Along dengan pantas mempamerkan interaksi yang kompleks untuk mencapai semula keadaan normal seperti keadaan sebelum Along mengalami luka. Usaha untuk mencapai keadaan normal itu melibatkan mekanisme yang rumit yang berlaku secara semula jadi untuk mengatasi gangguan yang menggagalkan keadaan normal tubuh badan Along.

Persekitaran dalaman tubuh Along mengandungi cecair badan yang membasahi setiap sel individu yang membina tisu dan organ dalaman. Cecair badan ditemui dalam tiga pangsa, iaitu di dalam sistem kardiovaskular yang terdiri daripada jantung, vena, arteri dan kapilari; sistem limfatik yang mengandungi nodus limfa dan sistem terusan bak vena; dan cecair antara sel yang termasuk semua cecair luar sel yang tidak ditemui di dalam kedua-dua sistem tertutup itu. Melalui persekitaran cecair, sel-sel individu membentuk berbagai kaedah komunikasi di antara mereka.

Sistem kardiovaskular memainkan peranan yang mustahak sebagai satu saluran untuk mengirimkan oksigen dan nutrien kepada cecair antara sel sebelum boleh diterima oleh sel-sel individu. Segala bahan kumuh daripada sel-sel itu dikeluarkan melalui sistem yang sama. Fungsi itu disempurnakan oleh tisu penghubung dalam bentuk cecair yang terkandung di dalam sistem kardiovaskular, iaitu darah.

Darah yang memberikan lebih kurang lapan peratus daripada berat badan, terdiri daripada sel-sel darah dan plasma darah. Sel-sel darah terdiri daripada sel darah merah atau eritrosit, sel darah putih atau leukosit dan platelet. Plasma darah pula kaya dengan berbagai jenis protein, sebatian-sebatian kimia dan gas-gas pernafasan oksigen dan karbon dioksida yang setiap satunya mempunyai fungsi yang tertentu. Darah bertanggungjawab untuk mengangkut nutrien, bahan kumuh dan molekul-molekul bermaklumat yang dilepaskan oleh sel-sel tertentu sebagai isyarat-isyarat di antara sel. Plasma darah boleh berperanan sebagai bahan pemekat kerana ia mengandungi sebilangan molekul yang membolehkan cecair plasma bertukar menjadi gumpalan darah beku. Pertukaran itu sebenarnya merupakan satu bentuk pertahanan badan untuk menghalang kehilangan darah yang banyak apabila berlaku sesuatu kecederaan.

Pembentukan gumpalan darah beku amat mustahak untuk memelihara persekitaran dalaman tubuh badan Along. Jika tidak diberhentikan, pendarahan yang banyak daripada luka Along menyebabkan isipadu dan tekanan darah menurun dan boleh mengakibatkan kematian. Along bernasib baik kerana Along seorang kamak-kanak riang yang sihat. Jadi, apabila Along mengalami luka, beberapa kejadian berlaku di permukaan luka Along yang berusaha untuk menghalang kehilangan darah yang banyak.

Luka ialah keadaan salur darah yang rosak dan terkoyak sehingga membocorkan darah ke persekitaran luaran. Sebaik sahaja kulit kepala lutut Along terkoyak setelah bergeser dengan kulit pokok mempelam semasa Along jatuh, denyutan saraf dari sistem saraf autonomik mencetuskan gerakbalas kilasan dan mengirimkan perutusan kepada salur darah itu. Pada masa yang sama, beberapa sel platelet di sekitar kawasan luka yang berjaya mengesan denyutan saraf itu segera membebaskan bahan-bahan kimia tertentu, iaitu tromboksen dan serotonin untuk merangsang pengecutan otot licin salur darah yang terkoyak. Apabila salur darah yang terkoyak menerima perutusan dari sistem saraf autonomik, otot licin yang berada di dalam dinding salur darah itu segera mengecut. Pengecutan otot licin menyebabkan salur darah yang koyak, menegang dan menjerut permukaan salur darah yang bocor. Darah yang berebut-rebut hendak keluar dari salur darah akibat perbezaan tekanan yang dialami oleh persekitaran luaran dan persekitaran dalaman, tertahan di pintu kebocoran yang sempit. Proses kekejangan vaskular itu berlaku dengan serta-merta dalam tempoh dua puluh saat selepas salur darah mengalami kebocoran.

Berturutan selepas itu, hujung saraf sakit yang terdedah kepada persekitaran luaran mengalami tekanan yang hebat. Ia terus mengirim perutusan kepada sistem saraf pusat. Perutusan itu diterjemahkan sebagai rasa sakit dan pedih. Lalu, perutusan balas segera dihantar ke otot-otot di sekeliling kawasan luka supaya meningkatkan lagi kadar pengecutan untuk menutup kawasan luka. Itulah sebabnya mengapa Along mencengkam hujung peha dan pangkal betis. Otot-otot rangka di kedua-dua bahagian itu ingin menutup luka yang Along perolehi. Dalam keadaan sebenar, hajat otot-otot rangka di kedua-dua bahagian tubuh Along itu tidak tercapai kerana fungsi menutup kawasan luka kemudiannya diambil alih oleh satu mekanisme yang lebih rumit.

Sel-sel platelet di kawasan luka menjadi aktif dengan tiba-tiba apabila mengesan kewujudan proses kekejangan vaskular. Sel-sel platelet itu difahamkan bahawa ada salur darah yang terkoyak dan tisu kulit yang rosak. Lantas ia mengirimkan perutusan ke hati. Di hati, perutusan itu diterjemahkan oleh sel-sel hati sebagai isyarat untuk memerlukan lebih banyak vitamin K di dalam darah. Sel-sel hati tahu bahawa vitamin K tidak boleh disintesiskan oleh mana-mana sel individu yang membentuk tubuh badan Along. Jadi, bantuan daripada sel-sel asing yang menumpang berteduh di dalam tubuh badan Along amat diperlukan. Satu-satunya tempat yang kaya dengan sel-sel asing di dalam tubuh Along ialah usus. Hati segera menghantar perutusan ke usus dan pada masa yang sama merembeskan hempedu ke dalam usus. Usus yang mendapat isyarat dari hati segera memahami kehendak hati. Dengan bantuan hempedu, usus menyesuaikan sel-selnya supaya boleh menyerap segala vitamin K yang mungkin ada disintesiskan oleh berjuta-juta warga bakteria dan mikroorganisma lain yang membentuk mikroflora dan mikrofauna di permukaan sebelah dalam dinding usus. Sel-sel usus yang bejaya mengesan vitamin K dengan pantas menyerap sebatian itu dan memasukkannya ke dalam sistem kardiovaskular. Akibatnya, kepekatan vitamin K meningkat di dalam salur darah. Kehadiran vitamin K membolehkan hati mensintesiskan faktor-faktor pembekuan. Platelet-platelet yang berjaya mengesan vitamin K di dalam salur darah turut terdorong untuk mensintesiskan faktor-faktor pembekuan.

Selepas mengirim perutusan ke hati, sel-sel platelet segera melekat kepada gentian kolagen. Bersama gentian kolagen, mereka menyumbat permukaan bocor. Perlekatan platelet kepada kolagen menyebabkan berlakunya pembebasan adenosina difosfat. Tromboksen, serotonin dan faktor-faktor pembekuan dikeluarkan oleh platelet dengan lebih giat apabila kehadiran vitamin K di dalam darah berjaya dikesan. Adenosina difosfat membuatkan keadaan permukaan sel-sel platelet menjadi melekit supaya sel-sel platelet yang lain boleh berlekatan dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada kolagen. Tromboksen yang berlebihan segera mengarahkan sel-sel platelet lain agar segera berhimpun di tapak luka untuk melekatkan diri mereka dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada sel-sel platelet yang telah bersedia untuk membentuk darah beku di tapak luka itu. Sel-sel platelet yang terlibat di dalam proses pembekuan darah membebaskan lagi lebih banyak tromboksen, adenosina difosfat dan faktor-faktor pembekuan ke dalam salur darah. Proses penyembuhan luka bermula.

Pada masa yang sama, hujung saraf sakit yang terdedah tidak putus-putus mengirimkan perutusan sakit kepada sistem saraf pusat.

Along mengerang menahan kesakitan setelah terjaga pada sebelah malam. Along berasa yang luka di lutut kanannya semakin bisa dan gatal. Along ingin menggaru permukaan luka. Kemudian satu lintasan tiba di fikiran Along.

Hii, gelinya permukaan luka kalau digaru. Lagipun, kalau disentuh sahaja sudah tentu rasanya ngilu.

Along tidak yakin yang Along boleh bertahan terhadap rasa ngilu semata-mata untuk mengurangkan rasa gatal. Along tidak jadi hendak menggaru permukaan luka.

Tapi, kenapa gatal?

Along tertidur lagi.

Bakteria ialah sejenis mikroorganisma yang boleh hidup di atas apa sahaja permukaan asalkan dibekalkan dengan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhannya. Permukaan kulit boleh menjadi tempat bakteria untuk mencambahkan bilangannya secara eksponential supaya koloni-koloni baru dapat dibentuk. Bakteria yang hidup di atas permukaan kulit lutut Along sebelum terkoyak ialah bakteria oportunis. Ia hidup di atas permukaan kulit lutut Along tanpa mengalami proses pembiakan kerana ketiadaan nutrien yang sesuai untuk menyokong pertumbuhannya. Apabila kulit lutut Along terkoyak, sebahagian daripada persekitaran dalaman tubuh Along terdedah kepada persekitaran luaran. Keadaan seperti itu boleh mengundang berbagai benda asing untuk cuba memasuki persekitaran dalaman tubuh Along melalui bukaan luka. Ini termasuklah bakteria oportunis dan mikroorganisma lain yang berminat. Apabila bakteria itu berada di atas permukaan luka Along, ia terus bertemasya. Permukaan luka yang basah memberikan peluang kepada bakteria itu untuk menyerap nutrien daripada sisa-sisa tisu kulit yang musnah dan lelehan plasma darah yang berjaya membolosi bukaan salur darah. Kekejangan vaskular pula tidak menjamin plasma darah daripada dapat ditahan keluar melalui bahagian salur darah yang terkoyak.

Bakteria itu yang berjaya mendapatkan nutrien di atas permukaan luka mula membiak. Sel-sel anak yang terbentuk melalui belahan binar mula menyelinap di lapisan tisu yang lebih dalam untuk mendapatkan lebih banyak nutrien. Mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk hidup. Apabila Along mencurah titisan air panas ke atas permukaan luka, bakteria induk yang masih berada di situ mati dengan serta-merta. Selnya pecah dan membocorkan cecair selnya di atas permukaan luka Along.

Sel-sel anak bakteria yang berjaya menyelinap di dalam lapisan tisu tidak mati. Sel-sel itulah yang memberikan masalah kepada sistem imun tubuh Along. Dengan serta-merta, seluruh sistem kardiovaskular dan sistem limfatik berada dalam keadaan berjaga-jaga. Ada penceroboh yang telah berjaya memasuki ke dalam persekitaran dalaman tubuh Along. Kehadiran penceroboh itu tidak dikehendaki kerana ia boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan Along.

Seluruh sistem limfatik di dalam tubuh Along mulai aktif. Nodus limfa yang paling dekat dengan kawasan yang diceroboh terletak di pangkal peha kanan. Sel-sel fagosit yang berada di dalam nodus itu bersiap-siaga menunggu kedatangan penceroboh yang mungkin akan melalui nodus itu setelah berjaya memecah masuk ke dalam sistem limfatik. Pada masa yang sama, sel-sel makrofaj yang biasanya meronda di dalam cecair antara sel selain daripada cecair sistem vaskular dan sistem limfatik, segera berkejar ke kawasan luka. Sel-sel makrofaj menyelinap di celah-celah sel, merentasi tisu-tisu otot, dinding salur darah, dinding salur limfatik dan akhirnya bertumpu di sekeliling kawasan luka.

Bakteria-bakteria penceroboh menyedari bahawa kehadiran mereka tidak dikehendaki oleh persekitaran dalaman tubuh Along. Mereka tidak peduli. Mereka ingin terus hidup. Plasma darah Along kaya dengan nutrien dan oksigen. Mereka sangat memerlukan nutrien dan oksigen untuk terus hidup. Tanpa mempedulikan reaksi tubuh Along, mereka terus menyelinap di celah-celah sel dan tisu.

Akhirnya seluruh kekuatan makrofaj di kawasan kaki kanan Along telah dikerah untuk mengepung kawasan luka. Mereka menanti di sekeliling kawasan luka. Penantian mereka tidak lama kerana bakteria-bakteria penceroboh segera menunjukkan diri dan mara keluar dari kawasan luka dengan penuh keangkuhan. Makrofaj-makrofaj berasa marah dan tidak berpuas hati melihat keangkuhan bakteria-bakteria itu. Makrofaj-makrofaj segera meningkatkan sintesis enzim lisozom di dalam diri mereka. Kumpulan bakteria pertama semakin hampir. Makrofaj-makrofaj segera mendapatkan kumpulan bakteria tersebut. Mereka menghulurkan kaki-kaki palsu dari badan masing-masing. Kaki-kaki palsu itu terus memanjang, mengembang, membentuk mangkuk, mengepung, melingkungi dan terus menenggelamkan bakteria-bakteria itu di dalam diri mereka.

Kumpulan bakteria itu terperangkap di dalam gelembung-gelembung di dalam sel-sel makrofaj. Mereka cuba melawan dengan merembeskan eksotoksin ke persekitaran dalaman gelembung. Makrofaj-makrofaj terus memberikan reaksi serta-merta. Bakteria-bakteria itu berasa gembira apabila selaput gelembung-gelembung itu mulai bocor. Namun, kegembiraan mereka hanya sementara kerana sedetik kemudian enzim lisozom masuk mencurah-curah bagai air terjun ke dalam gelembung itu melalui bukaan-bukaan gelembung. Bakteria-bakteria itu tidak dapat bertoleransi terhadap kepekatan lisozom yang tinggi. Molekul-molekul enzim lisozom terus menguraikan molekul-molekul protein yang membentuk dinding sel bakteria. Dinding sel bakteria-bakteria pecah dan cecair sel bakteria pun bocor memenuhi persekitaran dalaman gelembung. Semua bakteria yang masuk ke dalam perangkap gelembung itu mati dengan serta-merta.

Pertempuran hebat berlaku di antara bakteria-bakteria penceroboh dan makrofaj-makrofaj di kawasan pinggir luka. Banyak bakteria yang mati dan tidak sedikit pula makrofaj yang terbunuh. Makrofaj yang terbunuh bukan disebabkan oleh angkara bakteria. Mereka terbunuh kerana telah mencapai kapasiti maksimum jumlah bakteria yang boleh dihadamkan. Makrofaj-makrofaj yang terbunuh dengan segera digantikan oleh makrofaj-makrofaj yang baru tiba di kawasan pertempuran. Plasma darah mengumpulkan semua makrofaj yang mati dan mengeluarkan lelehan kuning melalui bukaan salur darah yang terkoyak yang sempit yang masih belum diperbaiki dengan sempurna. Lelehan itu ialah nanah. Nanah itu dengan serta-merta menyerap kepada sapu tangan yang digunakan oleh Along untuk menutup luka.

Pertempuran di antara kedua-dua sel itulah yang telah mengirimkan sensasi gatal kepada sistem saraf pinggir Along.

Semasa kulit lutut Along terkoyak, sebahagian kecil tisu kardiovaskular, tisu kulit dan sedikit tisu otot mengalami kerosakan. Sel-sel individu yang membentuk tisu-tisu itu pecah dan membebaskan sebilangan bahan kimia tertentu ke dalam darah. Bahan-bahan kimia itu dengan segera mengaktifkan faktor-faktor pembekuan yang biasanya pasif. Di antara bahan kimia itu ialah tromboplastin tisu, sejenis lipoprotein yang mempunyai struktur molekul yang kompleks. Dengan kehadiran dan bantuan ion kalsium yang sedia ada di dalam darah, tromboplastin tisu membentuk satu kompleks baru apabila bercantum dengan faktor pembekuan VII. Kompleks protein itu akan mengaktifkan faktor pembekuan X. Faktor pembekuan X yang menjadi aktif dengan segera bergabung dengan lebihan tromboplastin tisu, ion kalsium dan faktor pembekuan V untuk membentuk kompleks pengaktif protrombin. Kompleks pengaktif protrombin yang terbentuk akan menukarkan protrombin menjadi trombin. Dengan kehadiran ion kalsium, trombin dengan pantas menukarkan fibrinogen yang bersifat larut di dalam darah menjadi fibrin yang tidak larut. Fibrin akan wujud dalam bentuk jalinan. Fibrin yang terbentuk distabilkan oleh faktor pembekuan XIII. Jalinan fibrin masuk di celah-celah platelet yang berhimpun di permukaan luka. Gumpalan platelet dimantapkan lagi oleh fibrin supaya bekuan darah di permukaan luka benar-benar padat.

Selain daripada tromboplastin tisu, bahan kimia lain yang dibebaskan oleh tisu-tisu yang rosak ialah enzim-enzim berlisozom. Enzim-enzim berlisozom itu bersama-sama trombin, faktor pembekuan XII dan pengaktif plasminogen tisu boleh mengubah plasminogen yang tidak aktif menjadi plasmin yang aktif. Plasmin akan digunakan di dalam tindak balas yang akan diterangkan kemudian.

Jika tidak dikawal, proses pembekuan darah di permukaan luka akan merebak di dalam seluruh sistem kardiovaskular. Darah yang membeku di dalam salur darah boleh mengakibatkan maut. Untuk memanjangkan usia Along, sel-sel tertentu telah mula mensintesiskan bahan anti beku secara berterusan sebaik sahaja mendapat isyarat bahawa luka telah berlaku di lutut kanan Along. Dalam keadaan biasa, anti beku wujud di dalam darah untuk melicinkan perjalanan darah ke seluruh sistem kardiovaskular. Peristiwa luka menyebabkan proses pembekuan berlaku dengan aktif dan pantas. Proses pembekuan itu mesti dikawal dan diseimbangkan melalui peningkatan kadar pensintesisan anti beku.

Sel-sel utama yang mensintesiskan anti beku ialah sel-sel hati. Sel-sel hati mensintesiskan anti beku yang bernama anti trombin. Anti trombin yang disintesiskan itu dihantar ke dalam sistem kardiovaskular. Di dalam sistem kardiovaskular, anti trombin mengembara di dalam salur darah sehingga tiba di kawasan luka. Ketika ia tiba di situ, ia mendapati bahawa proses pembekuan darah sedang berlaku dengan giat. Sel-sel platelet yang baru tiba, terus bergabung dengan sel-sel platelet yang telah melekat kepada gumpalan darah beku. Jalinan-jalinan fibrin terus menganyam di celah-celah sel platelet untuk mengukuhkan struktur bekuan darah yang terbina. Kawasan pembekuan darah semakin merebak sehingga menjauhi kawasan luka.

Anti trombin tidak dapat membenarkan keadaan itu berlaku. Ia mencari trombin. Setelah menjumpai trombin, ia pun menyinggul trombin. Trombin yang sedang aktif menukarkan fibrinogen kepada fibrin, dengan serta-merta terkulai layu menjadi pasif. Ia lumpuh dan tidak mampu lagi merangsang fibrinogen untuk menjadi fibrin. Penghasilan fibrin terhenti dengan serta-merta. Sel-sel basofil dan sel-sel endotelium di sekeliling kawasan luka yang memerhatikan proses pembekuan darah turut merembeskan anti beku apabila mendapat isyarat yang menyatakan bahawa anti trombin telah tiba di kawasan luka. Anti beku yang dirembeskan oleh kedua-dua jenis sel itu ialah heparin dan prostaksiklin. Heparin membantu meningkatkan kecekapan anti trombin dalam usaha untuk melumpuhkan trombin. Prostasiklin bergerakbalas terhadap kesan yang diakibatkan oleh thrombin. Ia menyebabkan vasodilasi di sekitar kawasan luka dan merencat pembebasan faktor-faktor pembekuan dari sel-sel platelet. Sel-sel platelet tidak lagi mampu untuk mensintesiskan faktor-faktor pembekuan. Apabila sel-sel hati mendapat isyarat bahawa sel-sel platelet tidak lagi mensintesiskan faktor pembekuan, hati pun menghentikan pensintesisan anti beku dan meningkatkan pensintesisan anti trombin. Pada ketika itulah plasmin yang telah disintesiskan dahulu memainkan peranannya. Bekuan darah yang berlebihan yang jauh dari kawasan luka dilarutkan melalui proses fibrinolisis. Di dalam proses itu, jalinan fibrin yang tidak larut itu terus diuraikan oleh plasmin. Setelah jalinan fibrin terurai, fibrin-fibrin individu ditukarkan semula oleh plasmin menjadi fibrinogen yang larut di dalam plasma darah. Jadi, bekuan darah di kawasan itu tidak kukuh. Sel-sel platelet pula berpisah di antara satu sama lain kerana tiada lagi faktor-faktor pembekuan yang boleh menyebabkan permukaan sel-sel mereka menjadi melekit lagi.

Jalinan fibrin yang teranyam di dalam gumpalan darah beku, melekatkan bekuan darah itu kepada dinding salur darah yang terkoyak. Sel-sel platelet yang ada di dalam bekuan darah mempunyai protein aktomiosin di dalam cecair sel masing-masing. Protein aktomiosin mengecut di dalam sel-sel platelet untuk menarik fibrin di dalam bekuan darah supaya struktur bekuan darah dapat diperbaiki. Semasa proses pembaikan bekuan darah itu berlaku, darah beku akan memampat dan serum darah tanpa faktor-faktor pembekuan terperah keluar dari bekuan darah.

Pengukuhan bekuan darah menarik pinggir-pinggir luka serentak yang menolong menghentikan pengaliran keluar cecair darah, mengurangkan jangkitan dan meningkatkan kadar penyembuhan luka. Salur darah yang rosak diperbaiki melalui pergerakan fibroblas ke dalam kawasan penyembuhan luka. Ia mensintesiskan sel-sel darah yang baru untuk menggantikan sel-sel darah yang telah digunakan, terutamanya sel-sel platelet yang telah digunakan dengan berkesan di dalam proses penyembuhan luka. Bakteria penceroboh telah habis dibunuh oleh makrofaj. Nanah tidak lagi dilelehkan keluar. Sel-sel epitelium di sekeliling kawasan luka membiak dengan giatnya sehingga permukaan luka berjaya ditutupi oleh tisu kulit yang baru.

Selama beberapa hari, Along berjalan terdengkut-dengkut. Abah dan emak tidak risau melihat keadaan Along kerana Along tidak pernah mengadu kesakitan. Angah yang sudah pandai meniarap dan bergolek, dan ingin mencapai itu dan ini, ingin mencapai sapu tangan yang membungkus luka Along yang semakin kering. Along menepis tangan Angah, lalu mencekak kedua-dua bahagian bawah ketiak Angah dan ingin mendukungnya. Angah pula, apabila Along memegang dirinya begitu, dia berkeletah kegembiraan kerana Alongnya ingin mendukungnya. Dia sangat gembira apabila ada orang yang ingin mendukungnya. Along segera mendukung Angah. Along mencium kedua-dua pipi Angah yang montel, comel dan gebu puas-puas. Angah kegelian dan mendakap Along. Along mendakap Angah erat. Kepala Angah terlentuk di atas bahu Along. Angah berasa santai apabila belakangnya ditepuk manja oleh tangan Along.

Pada pagi raya, luka Along telah kering dan benar-benar sembuh. Along membuka balutan kain yang menutupi luka. Bopeng-bopeng luka merekah, mendedahkan kulit baru di bawahnya. Apabila beraya ke rumah jiran-jiran dengan kawan-kawannya, Along tidak lagi berjalan terdengkut-dengkut. Bopeng-bopeng yang retak itu terus tertanggal dengan sendirinya.

Persekitaran dalaman tubuh Along kembali seimbang. Kini Along berasa selesa secara mental dan fizikal.

Ketua kerengga memerhatikan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bergembira pada pagi raya dari atas sarang baru yang telah siap dibina di bawah penyeliaannya. Salah seorang kanak-kanak itu ialah Along.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 1998


Nota kaki:
1.                Ini ialah naskhah kerja kursus bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen di atas adalah versi asal cerpen “Luka” yang telah tersiar di dalam laman web www.melayu.com pada 27 Ogos 2001. Ini adalah cerpen pertama yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Pertama menulis sebuah cerpen dan dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan. Saya meletakkan tahun 1998 pada tanda hakcipta kerana cerpen ini telah ditulis pada tahun itu.
2.                Cerpen ini adalah sebuah penghargaan saya terhadap kenangan-kenangan zaman bocah semasa menjadi salah seorang anak-anak tombot di berek kuarters kerajaan Kg Merdeka, Jalan Bakau Condong, Batu Pahat. Kini sebahagian anak cucu warga kuarters itu ada yang telah berkumpul menubuhkan sebuah komuniti yang dipanggil ABC, iaitu Ahli Bakau Condong. Kuarters itu sedang dalam proses perobohan untuk dimajukan semula oleh Kerajaan Negeri Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan