Ini ialah weblog yang akan menyimpan karya-karya sastera saya dalam bentuk prosa kreatif. Peringatan: Karya-karya di dalam blog ini adalah ciptaan asal saya kecuali yang saya maklumkan sumber ambilan sesuatu frasa. Saya memegang hakcipta karya. Anda para pembaca boleh mengambil dapatan daripada blog ini untuk disiar di dalam media lain asalkan meletak kredit sumber ambilan dapatan itu. Mohd Hamin Mastor, Mohamas dan mohdhamin adalah insan yang sama.
Arius telah
meletakkan raksasa jalanan itu di atas sebuah tebing tinggi yang menganjur ke
gigi pantai. Dari situ, dia boleh melihat setiap objek yang perlu diawasinya
sepanjang penantian tersebut.
Dari sebalik
kaca tebal, dia boleh melihat dengan jelas pemandangan sebuah kota pelabuhan di bawah sana. Pandangan matanya menafsirkan bahawa
suasana kota
itu amat lengang. Tiada sebuah pun kapal laut yang berlabuh dan berurusan
dengan pihak berkuasa pelabuhan. Tidak kelihatan cahaya lampu yang keluar dari
jendela menara-menara pencakar langit. Gelap dan sepi.
Keadaan seperti
itu amat menghairankannya kerana daripada maklumat perisikan yang telah
disampaikan kepada Pengurusan Japtan (Jawatankuasa Pertahanan Tiga Negara) menyatakan
bahawa Ballasan merupakan sebuah kota
pelabuhan yang terbesar dan tersibuk di kawasan Laut Kazaristan itu.
Kemasyhurannya telah digambarkan melalui sebuah mercu tanda yang telah dibina
oleh pemerintahnya di tepi pantai sebuah teluk yang terletak berhampiran
pelabuhan. Mercu tanda itu merupakan sebuah ukiran menara ombak yang menjulang
sebuah kapal perdagangan terbesar di Misteroid seratus tahun yang lalu. Arius
boleh melihat mercu tanda Ballasan dari tempatnya menunggu.
Seratus tahun
kemudian, iaitu pada masa kini, Ballasan telah berubah menjadi sebuah pangkalan
tentera utama bagi android-android Saibatirran.
Dan pada senja
itu, Arius berasa curiga melihat keadaan kota
itu kerana tidak menepati laporan perisik-perisik Japtan.
Objek lain yang
perlu Arius awasi ialah kemunculan Blushiannoah di permukaan perairan Laut
Kazaristan. Blushiannoah ialah sebuah kapal selam mega dwifungsi buatan bangsa
Aggnar yang telah dibina di Pulau Navigor, sebuah pulau yang terletak di negara
kepulauan Nusantara.
Kemunculannya di
perairan Ballasan menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara
Qomulian dan Empayar Galaktos.
Malam
menghadirkan dirinya setelah siang bersemadi di ufuk barat. Arius meninjau
perairan Ballasan dengan menggunakan teropong sinar lembayung. Tiada tanda yang
menunjukkan bahawa Blushiannoah telah muncul.
Tiba-tiba
videofon yang dipasang di atas kaca tebal membunyikan isyarat.
Arius menyentuh
beberapa butang yang ada di atas konsul kawalan di hadapannya.
Layar perak
memaparkan wajah Katta, Panglima Ketumbukan Republik Traulum, yang memimpin
angkatan dari negara Traulum. Panglima Katta sedang menunggu bersama bala
tenteranya di Lembah Izkurai yang terletak di sebalik Banjaran Startika, tidak
jauh dari Kota Ballasan.
“Salam sejahtera
ke atas Arius,” Panglima Katta memberi salam.
“Salam sejahtera
kembali, Panglima Katta.”
“Saya menunggu
laporan Arius seperti yang telah diatur,” kata Panglima Katta.
Arius memeriksa
frekuensi komunikasi yang sedang digunakan oleh Panglima Katta. Dia berpuas
hati kerana frekuensi itu tidak dipintas oleh frekuensi komunikasi musuh.
“Blushiannoah
belum timbul. Akan tetapi, saya amat yakin bahawa Nakhoda Armada Nusantara akan
menepati janjinya. Laksamana Nuhh telah melepasi Selat Tabruz. Punca
perhubungan kita di Pulau Sparro mengesahkan bahawa angkatan Blushiannoah akan
tiba, menurut jangkaan mereka, beberapa minit lagi. Cuma, mereka mungkin tidak
akan timbul di titik koordinat yang telah ditentukan.”
“Saya terasa
seperti ada halangan yang akan menghambat Blushiannoah, Arius.”
“Memang benar,
Panglima. Melalui teleskop ultra, saya telah mengesan dua puluh ribu periuk api
di seluruh permukaan Teluk Saddiq'.”
Air muka
Panglima Katta kelihatan berkocak sedikit.
“Ini adalah
ancaman terhadap armada Nusantara. Mereka tidak akan dapat menghantar Paskhal
mereka.”
Arius tahu
bahawa Paskhal ialah Pasukan Khas Laut, unit komando Tentera Laut Republik
Nusantara.
“Panglima, saya
mencurigai sesuatu.”
“Apa yang Arius
curigakan?”
“Barangkali
Batara telah mengetahui rencana ini.”
“Mustahil. Kami
Qomulian telah meletakkan sepenuh kesetiaan terhadap Arius dan Kaus Aurian.
Kami percaya bahawa Kaus Aurian akan memimpin kami ke arah kemenangan. Kami
tidak akan mengkhianati perjuangan suci ini kerana kami telah lama menunggu ketibaan
Kaus Aurian di kalangan kami.”
“Panglima,
sebagai Perdana Aurian, saya tidak melemparkan tuduhan terhadap orang-orang
yang saya pimpin. Kesetiaan dan kepercayaan Qomulian terhadap saya, adalah sama
dengan kesetiaan dan kepercayaan saya terhadap Qomulian. Tetapi inilah yang
boleh saya laporkan tentang keadaan Kota Ballasan sekarang. Aktiviti di
pelabuhan tidak berjalan seperti biasa. Seluruh kota gelap-gelita. Apa yang ingin Batara
gambarkan kepada kita, jika dia telah tahu rancangan ini, selain daripada
memberitahu kita bahwa mereka telah bersiap-sedia menerima kunjungan
askar-askar kita?”
“Sepanjang
pengetahuan kami, Armada Timur Empayar Galaktos belum menerima bekalan dan
bantuan ketenteraan tambahan dari Saibatirran.”
“Kita perlu
berwaspada. Saya khuatir tentang skuadron bionikoid Batara yang mungkin sedang
berlegar-legar di angkasa Ballasan sekarang. Radar saya belum dapat mengesan
kehadiran mereka.”
Panglima Katta
terdiam.
“Apa pandangan
Arius?”
“Apa yang ada di
dalam fikiran Panglima sekarang?”
“Saya
mencadangkan penyisihan misi.”
“Cadangan itu
amat bahaya. Bagaimana Panglima ingin membuat penyisihan misi?”
“Begini cadangan
saya. Arius mengekalkan tugas sebagai penghancur reaktor tenaga Ballasan, yang
tidak dijadikan sebagai pukulan pertama. Skuadron pertama Traulum akan menyerbu
ke tengah kota
untuk menerjunkan Pahndura kami. Sebelum kembali ke markas, skuadron kedua akan
menyerbu dan membinasakan pertahanan udara. Ini pukulan pertama. Semasa perang
sedang berkecamuk, Arius menyerbu dan mendapatkan sasaran. Skuadron ketiga akan
menyusul setelah skuadron kedua kami berjaya bergabung dengan skuadron dari
Blushiannoah. Misi seterusnya, berjalan seperti yang telah dirancang.”
Menerjunkan
Pahndura atau Pasukan Handalan Udara adalah tindakan yang amat merbahaya. Namun,
mereka tiada pilihan lain.
“Cadangan
Panglima bernas tetapi bahaya. Nusantara akan terkejut melihat perubahan yang
berlaku.”
“Arius, saya
mencadangkan supaya kita mengelirukan perhatian musuh.”
“Saya faham
cadangan dan akibatnya yang diajukan Panglima. Saya faham bahawa ada banyak
pintu peluang kemenangan yang kita boleh cuba masuk. Kita boleh cuba
pintu-pintu lain jika pintu yang ingin kita masuk tertutup untuk kita.”
Tiba-tiba
isyarat teleskop sinar lembayung mengeluarkan bunyi.
“Blushiannoah
sedang timbul.”
Kelegaan meraup
wajah Panglima Katta.
“Titik koordinat
yang dipilihnya terlalu jauh daripada titik koordinat yang telah ditentukan.
Saya yakin bahawa Laksamana Nuhh akan mengubah kapal selamnya menjadi sebuah
kapal pengangkut pesawat udara sebentar lagi.”
“Arius, perang
tidak dapat dielakkan lagi. Sama ada Batara sudah bersedia atau belum, izinkan
saya bertindak mengikut intuisi saya. Saya berdoa semoga Tuhan memimpin kita ke
arah kemenangan.”
“Panglima Katta,
saya turut berharap agar Laksamana Nuhh mempunyai pendirian yang sama seperti
Panglima. Saya turut berdoa, semoga Tuhan memimpin kita ke jalan kemenangan.”
Perhubungan
mereka putus. Wajah Panglima Katta lenyap di dalam skrin.
Arius menumpukan
perhatian kepada teleskop sinar lembayung.
Di dalam skrin
teleskop itu, sebuah kapal selam sedang timbul di permukaan air. Kemunculan
Blushiannoah ibarat ribut taufan yang melanda pesisiran pantai kawasan
Kazaristan. Gemuruh bunyi Blushiannoah ketika mengosongkan tangki-tangki
balastnya telah mengejutkan penghuni laut malam yang segera bertempiaran lari
menjauhi struktur mekanikal raksasa air tersebut. Penghuni-penghuni laut malam
dapat merasakan ancaman yang dibawa oleh Blushiannoah terhadap kerajaan yang
memerintah Ballasan pimpinan Batara.
Pelepasan air
laut dari tangki-tangki balast Blushiannoah telah menghasilkan alun gelombang
yang besar di sekelilingnya. Alun gelombang itu terus melanda pantai Ballasan
membawa bersama cabaran perang terhadap bala tentera Saibatirran. Pergerakan
ombak yang maha dahsyat telah menghidupkan suis unit-unit periuk api yang
ditabur di perairan Ballasan dan mengakibatkan berlakunya letupan demi letupan
di tengah laut.
Perairan Teluk
Saddiq' terbakar.
Laut Kazaristan
telah terbakar!
Hati Arius turut
dibakar oleh api perang.
Arius
memerhatikan proses perubahan Blushiannoah daripada sebuah kapal selam kepada
sebuah kapal pengangkut pesawat pejuang. Transformasi Blushiannoah telah
mendedahkan taring dan segala kekuatan yang telah dibungkus sekian lama
sepanjang perjalanannya di bawah permukaan air dari Nusantara ke Ballasan.
Laksamana Nuhh
tidak bertangguh lagi melancarkan beberapa buah skuadron pesawat pejuang untuk
menggempur Ballasan.
Arius tersentak.
Laksamana Nuhh
telah melancarkan pukulan pertama bagi pihak Qomulian. Dia telah melakukan
penyisihan misi yang pertama. Mungkin intuisinya telah memimpin tindakan
tersebut. Mungkin unit perisikan di Pulau Sparro yang diperintah oleh Traulum
telah menyampaikan maklumat periuk api Ballasan.
Ballasan segera
membalas serangan Blushiannoah dengan muntahan peluru-peluru dari meriam-meriam
darat ke laut yang paling hebat yang dimilikinya. Perairan di sekeliling
Blushiannoah berkocak hebat akibat hujan peluru meriam Ballasan. Blushiannoah
melancarkan serangan meriamnya ke atas Ballasan.
Arius dapat
melihat beberapa buah skuadron pesawat pejuang menyerbu keluar dari Ballasan
untuk menyambut serangan pesawat-pesawat pejuang Nusantara.
Arius terkejut
apabila radarnya mengeluarkan beberapa isyarat.
Bionikoid!
Arius dapat
melihat berpuluh-puluh buah bionikoid sedang terbang berlegar-legar di atas
udara Ballasan. Kemunculan skuadron tersebut bagaikan halimunan. Bahagian
belakang tubuh bionikoid-bionikoid tersebut terlukis jata Batalion Naga Hitam.
Batalion Naga Hitam ialah sebuah ketumbukan terkuat di dalam angkatan tentera
Empayar Galaktos. Perisik-perisik Qomulian di Saibatirran telah menyampaikan
maklumat kepada Japtan bahawa Maharaja Galaktos telah mengerahkan ketumbukannya
yang terkuat itu untuk memimpin peperangan terhadap Qomulian yang diketuai oleh
Kaus Aurian.
Itulah kejutan
yang sangat tidak diingini oleh Arius. Kini dia percaya bahawa Batara telah
mengetahui rencana perang Qomulian. Seseorang telah membisikkan berita tersebut
ke telinga Batara.
Tiba-tiba
beberapa buah skuadron pesawat pejuang bala tentera Traulum muncul dari sebalik
Banjaran Startika dan menyerbu ke arah Ballasan. Mereka segera menerjunkan
anggota-anggota Pahndura. Bionikoid-bionikoid yang berlegar-legar di udara
sedar tentang serangan tersebut. Mereka segera terbang ke arah Pahndura dan
menangkap tubuh-tubuh komando udara itu lalu mengoyakkan tubuh-tubuh tersebut
seperti helang mengoyak tubuh mangsanya. Bionikoid-bionikoid lain terus menghentam
angkatan udara Traulum.
Kebinasaan untuk
bala tentera Traulum jika Arius lambat bertindak.
Arius tidak
dapat bersabar melihat peristiwa perang yang sedang berlaku di hadapan matanya.
Qomulian telah berjanji setia untuk menerima kepimpinan Kaus Aurian dengan
darah dan air mata. Dengan darah dan air mata juga akan dia menggalang
pembantaian askar-askar Empayar Galaktos ke atas Qomulian.
‘Giliranku,’
bisik hati Arius.
Arius menyentuh
butang-butang yang ada di atas konsul kawalan dan mencapai suis-suis yang
melekat di dinding dan siling ruang pemandu. Tubuhnya dibelit oleh
talian-talian keselamatan yang keluar secara automatik dari dalam sofa pemandu.
Bermula proses
metamorfosis trailer raksasa yang dipandunya.
Beberapa
komponen di kepala trailer berubah secara mekanikal, mendedahkan wajah sebuah
aerobish. Komponen-komponen lain di beberapa bahagian tubuh trailer turut
berubah. Beberapa ketika yang berlalu, telah mengizinkan trailer raksasa itu
berubah sepenuhnya dan memiliki sesusuk tubuh sempurna sebuah aerobish.
Selama beberapa
saat, Arius dapat merasai gegaran di seluruh tubuh aerobish perkasa.
Dengan satu
pergerakan yang perlahan, aerobish itu bangkit dari pembaringan, penuh
bertenaga. Ia berdiri tegak untuk menghadapi serangan yang bakal tiba. Matanya
bersinar, memancarkan cahaya kuning yang menyuluh jalan.
Buat beberapa
detik, ia mengenali alam sekeliling dan mengetahui siapa dirinya. Ia memahami
tujuan wujud dirinya.
Arius cuba menyatukan
jiwanya dengan denyutan memori aerobish itu. Bermeditasi di dalam suasana yang
hening, Arius membayangkan bahawa setiap tindakannya adalah tindakan aerobish
itu, setiap keputusannya adalah keputusan aerobish itu. Arius dapat merasai
satu semangat baru yang meresap ke dalam jiwanya.
Akulah Habrul Prisma!
Habrul Prisma
berlari ke pintu Ballasan. Beberapa buah bionikoid sedang menantinya dengan
senjata yang terhunus. Ia menujahkan tumit ke udara. Roket pengimbang yang
dipasang di pinggang dan buku lali membenarkannya berada di udara. Tanpa
memberi peluang bertindak, Habrul Prisma menyerang musuh-musuhnya. Beberapa
buah peluru berpandu keluar dari pelancar yang diletakkan di atas kedua-dua bahunya.
Jasad mereka berkecai.
Pertempuran di
langit Ballasan semakin sengit. Bom demi bom digugurkan dan banyak peluru
berpandu yang mengena sasaran. Menara-menara pencakar langit mula runtuh.
Semakin banyak pesawat pejuang Saibatirran muncul di langit Ballasan. Mercu
tanda kemasyhuran Ballasan runtuh terkena bedilan Blushiannoah.
Langit malam
Ballasan diterangi bunga api peperangan.
Habrul Prisma
segera mencari reaktor tenaga binaan android-android Saibatirran. Beberapa buah
tangki besar seolah-olah sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman kemusnahan.
Setelah mendarat
di kawasan itu, ia bersedia memusnahkan tangki-tangki tersebut. Habrul Prisma
mengeluarkan sepucuk senjata yang tersimpan di dalam peha kanan, lalu menembak
tangki-tangki berisi bahan organik. Letupan besar demi letupan besar meraung
dan bergema apabila tembakan-tembakan Habrul Prisma mengena sasaran.
Tiba-tiba sebuah
pukulan yang kuat menghentam belakangnya. Habrul Prisma kehilangan imbangan
badan. Tubuhnya jatuh di atas tanah. Ia cuba menggagahkan diri untuk
bangkit, dan berjaya.
Ia sangat
terkejut. Sebuah aerobish berdiri di hadapannya.
Siapakah dia yang berani menghalang tugasku yang belum
selesai?
Aerobish itu
menyerang Habrul Prisma. Sebuah buku lima
nyaris hinggap di wajahnya, sebelum dia mengelak dengan pantas ke bawah.
Peluang telah terbuka. Habrul Prisma menghentak rusuk kiri aerobish itu dengan
siku kanannya. Aerobish itu pula menghentak belakang Habrul Prisma dengan
pancungan kedua-dua tangannya. Habrul Prisma jatuh tersungkur di hujung kaki
aerobish itu.
Aerobish itu
menyepak wajah Habrul Prisma dengan kaki kanannya. Habrul Prisma berguling di
atas tanah dan tertiarap berhampiran sebuah kerangka yang sedang marak
terbakar. Ia menongkat bahu dengan kedua belah tangan. Aerobish itu
menghampirinya dan bersedia untuk melakukan serangan lanjut. Perasaan marah
Habrul Prisma meruap kerana ditewaskan dengan begitu mudah sekali.
Aku harapan Qomulian. Aku tidak boleh tewas!
Aerobish itu
menyentuh bahu Habrul Prisma.
Habrul Prisma
mengumpul tenaga seraya merempuh tubuh musuhnya. Percubaannya berhasil.
Aerobish itu terdorong beberapa langkah ke belakang.
Habrul Prisma
berdiri tegak untuk menyusun serangan baru. Aerobish itu turut berdiri tegak
dengan tujuan yang sama seperti Habrul Prisma. Ia menghunus pedang bercahaya
berat.
Habrul Prisma
menyahut cabaran musuhnya. Tangan kanannya mencabut hulu pedang dari pinggang
kiri. Ia menghunus hulu pedang ke arah lawannya. Sebilah mata pedang cahaya
berat berwarna putih keluar dari hulu pedang yang digenggam erat.
Aerobish itu
melancarkan serangan. Pedangnya dihayun ke udara dan bersedia menetak Habrul
Prisma. Habrul Prisma menepis serangan tersebut. Kemudian Habrul Prisma pula
yang melancarkan serangan. Aerobish itu menahan tetakan pedang musuhnya.
Pertarungan pedang telah membawa mereka ke pinggir kawasan reaktor. Sebuah
bangunan janakuasa terletak di situ. Habrul Prisma ingin membinasakan bangunan
itu kerana ia menjadi lokasi punca tenaga kepada bionikoid-bionikoid Batalion
Naga Hitam Empayar Galaktos.
Kemudian mereka
bersilang pedang. Pertarungan terhenti buat beberapa ketika.
Mereka saling
bertentang mata. Cahaya merah mata aerobish musuh tidak menyembunyikan
kebenciannya terhadap Habrul Prisma.
Engkaukah Habrul Prisma?
Akulah Habrul Prisma.
Akulah Batara.
Dengan penuh
rasa benci dan marah, Batara melepaskan silangan pedang dan cuba memutuskan
leher Habrul Prisma. Habrul Prisma segera merendahkan badan. Pedang Batara
memotong angin di atas kepala Habrul Prisma.
Habrul Prisma
menerjahkan tumit dan menolak tubuhnya ke belakang untuk menyusun serangan
baru. Ia tersilap langkah. Kakinya tersangkut di celah-celah talian kabel
voltan tinggi yang menghubungkan pencawang-pencawang elektrik. Tubuhnya jatuh
di atas tanah. Pedangnya terlepas dari genggaman.
Dua buah menara
pencawang elektrik yang dihubungkan dengan kabel-kabel voltan tinggi itu
tumbang. Habrul Prisma merasai kebocoran arus elektrik. Ia mengalami kesulitan
kerana arus elektrik yang bocor itu telah melumpuhkan sistem elektrosarafnya.
Tubuhnya terbaring kaku di atas bumi Ballasan. Ia semakin lemah untuk
meneruskan perjuangan. Habrul Prisma hanya mampu melihat Batara menghambur ke
arahnya. Batara menghayunkan pedangnya ke udara, bersedia untuk membelah dua
tubuh Habrul Prisma.
Akan tetapi,
Habrul Prisma tidak akan dapat melupakan detik-detik percubaan Batara untuk
melenyapkan kewujudannya dari bumi Misteroid apabila dengan tiba-tiba sahaja,
bahunya bergegar. Peluru-peluru berpandu keluar dari meriam-meriam yang
dipasang di bahunya dan berebut-rebut mencari sasaran masing-masing.
Saat-saat
terakhir Habrul Prisma tidak sedarkan diri, ia dapat melihat wajah Batara yang
terkejut. Tubuh Batara merempuh peluru-peluru berpandu tersebut.
Setelah selesai
menukarkan Habrul Prisma kepada bentuk asal, Arius segera memandu trailer
raksasa itu keluar dari kawasan reaktor tenaga. Semasa memandu trailernya,
Arius seolah-olah dapat menyaksikan tubuh gergasi aerobish Batara yang
menghempas talian-talian kabel voltan tinggi yang telah ditindih oleh Habrul
Prisma.
Arius
memberhentikan Habrul Prisma di tepi sebuah pantai. Ombak memukul pasir pantai
yang hitam. Perairan Teluk Saddiq' masih terbakar.
*****
“Tiun…! Tiun,
tiun, tiun, tiun…!”
Permainan
realiti maya interaktif itu telah tamat. Rafiq menanggalkan helmet permainan
itu.
“Yeah, aku
menang kali ini!” Teriak Rafiq sambil menuruni pentas permainan dan memulangkan
peralatan itu kepada kakitangan yang menjaga seksyen permainan tersebut.
“Tahniah. Aku
kalah bertaruh dengan kau. Mari aku belanja kau Happy Meal,” kata Shaman sambil menepuk bahu Rafiq.
Mereka berdua
keluar dari kedai permainan realiti maya interaktif itu untuk menjamu selera di
Restoran McDonald. TAMAT.
Naskhah ini saya sunting daripada cerpen yang berjudul “Ballasan”
yang telah disiarkan di dalam majalah Mutiara Generasi Bilangan 5 terbitan Matrikulasi USM Sessi
92/93.
Saya telah hantar cerpen ini ke Dewan Siswa untuk disiarkan di
dalam ruangan ‘Cerpen Untuk Siswa’ dan telah tersiar di dalam Dewan Siswa
edisi Jun 2000.
Setelah habis peperiksaan SRP dahulu, dan sementara tunggu masuk
Tingkatan 4, saya habiskan masa cuti dengan mengarang sebuah cerita
panjang yang saya beri judul “Habrul Prisma”. Teks itu bertulis tangan
menggunakan pen dakwat biru Kilometrico di atas kertas kajang 40 baris
yang ditulis depan belakang dan bila siap, saya dapati ia telah menjadi
sebuah manuskrip setebal satu per tiga inci terdiri daripada 24 bab. Saya
masukkan elemen-elemen siri kartun “Transformers”, “G.I. Joe”, “Voltron”,
“Tosho Daimos” dan “Blue Noah: Thundersub”, siri marionet “Star Fleet X
Bomber”, “Stingray”, “Captain Scarlet” dan “Thunderbirds”, dan siri drama sains fiksyen "Captain Power". Namun manuskrip
itu telah lunyai, kertas warna putihnya berubah jadi kuning, bertebuk di
sana sini dimakan bubuk kertas dan akhirnya hilang apabila semasa kerap
berpindah-randah tempat kerja dan tempat tinggal, saya tidak dapat kesan
di mana kali terakhir manuskrip itu telah tertinggal. Saya gunakan semula
tajuk “Habrul Prisma” untuk naskhah “Ballasan” yang saya sunting semula
yang telah dihantar ke Dewan Siswa.
Kredit akaun Youtube 'Temenes' untuk klip video "Space Carrier Blue Noah OP" inspirasi kapal selam Blushiannoah, akaun Youtube 'SaintJaycee' untuk klip video "Captain Power Intro" inspirasi android dan bionikoid, akaun Youtube 'salim abd' untuk klip video "Daimos Japanese Opening" inspirasi aerobish Habrul Prisma dan akaun Youtube 'superrobttoOP&EDch' untuk klip video "X Bomber OP (Stereo)" inspirasi pertarungan dua buah robot gergasi.
Aku telah
meletakkan raksasa jalanan ini di atas puncak sebuah tebing tinggi yang
menganjur ke gigi pantai. Dari sini, aku boleh melihat setiap objek yang perlu
aku awasi sepanjang penantian ini.
Dari sebalik
kaca tebal, aku boleh melihat dengan jelas pemandangan sebuah kota pelabuhan di
bawah sana. Pandangan mataku menafsirkan suasana kota itu amat lengang. Tiada
sebuah pun kapal laut yang berlabuh dan berurusan dengan pihak berkuasa
pelabuhan. Tidak kelihatan cahaya lampu yang keluar dari jendela menara-menara
pencakar langit. Gelap dan sepi.
Keadaan seperti
itu amat menghairankan aku kerana daripada maklumat yang disampaikan kepadaku, Ballasan
merupakan sebuah kota pelabuhan yang terbesar dan tersibuk di rantau timur jauh
ini. Kemasyhurannya telah digambarkan melalui sebuah mercu tanda yang dibina di
tepi pantai sebuah teluk yang terletak berhampiran pelabuhan. Mercu tanda tersebut
merupakan sebuah ukiran menara ombak yang menjulang sebuah kapal perdagangan
terbesar di Misteroid ketika itu. Aku boleh melihatnya dari sini.
Kini Ballasan
telah berubah menjadi sebuah pangkalan tentera utama bagi android-android
Saibatirran semenjak seratus kurun yang lalu. Aku berasa curiga terhadap
perkembangan terbaru kota itu.
Objek lain yang
perlu aku awasi ialah kehadiran Blushiannoah di Laut Kazaristan. Blushiannoah
ialah sebuah kapal selam mega dwifungsi buatan bangsa Aggnar yang telah dibina
di Pulau Navigor, sebuah pulau yang terletak di kepulauan Nusa Tenggara. Kemunculannya
di perairan Ballasan menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara
Qomulian dan Empayar Galaktos.
Malam
menghadirkan dirinya setelah siang bersemadi di ufuk barat. Aku cuba meninjau
perairan Ballasan dengan menggunakan teropong sinar lembayung. Tiada tanda yang
ia telah muncul.
Tiba-tiba
videofon yang dipasang di atas kaca tebal membunyikan isyarat. Aku menyentuh
beberapa butang yang ada di situ. Kemudian layarnya memaparkan wajah Diktorian Katta,
pemerintah angkatan bersenjata Torosorium. Dia sedang memimpin tenteranya di
Lembah Izkurai yang terletak di sebalik Banjaran Startika, tidak jauh dari
Ballasan.
“Salam sejahtera
ke atas Tarius!” Wajah itu mengeluarkan suara.
“Salam sejahtera
ke atasmu kembali, Paduka Katta.”
Aku membahasakan
dirinya Paduka Katta kerana dia bakal menggantikan Jaka Irwana, pemerintah
Torosorium ketika ini.
“Apakah
Blushiannoah sudah tiba? Sepatutnya ia sudah muncul sekarang.”
“Saya rasa ia
tidak akan muncul sekarang disebabkan oleh bahaya yang sedang menanti di
hadapannya.”
“Apakah bahaya
itu?”
“Melalui kamera ultra,
saya telah mengesan beberapa objek yang diletakkan di permukaan laut.
Objek-objek itu adalah periuk api. Analisa yang telah saya lakukan menyatakan
bahawa seribu buah periuk api telah diletakkan di perairan Ballasan.”
Aku melihat air
muka Diktorian Katta berkocak sedikit.
“Ini adalah
ancaman terhadap Armada Navigorus. Mereka tidak akan dapat menghantar konvoi
rahsia di tempat-tempat yang telah ditentukan.”
“Saya mencurigai
sesuatu.”
“Apa yang Tarius
curigakan?”
“Besar
kemungkinan Batara telah mengetahui rencana ini.”
“Mustahil. Apa
alasan Tarius?”
“Aktiviti di pelabuhan
tidak berjalan seperti biasa. Keadaan kota gelap-gelita. Mungkin suasana itu
menggambarkan sesuatu?”
“Adakah Armada Laut
Timur dari Saibatirran dikirim ke Ballasan?”
“Tidak. Akan
tetapi, kita perlu berwaspada. Bukankah bionikoid yang tidak kenal ampun
dihasilkan di Ballasan? Bukan perkara ganjil jika Batara telah meletakkan
mereka sebagai benteng pertama.”
Diktorian Katta
terdiam. Amat lama dia memikirkan sesuatu sebelum menyambung bicara.
“Kita harus
meminda sedikit rencana ini.”
“Pada saat-saat
genting begini?”
“Ya. Tarius tetap
berfungsi menghancurkan reaktor tenaga mereka, tetapi bukan sebagai pukulan
pertama. Skuadron pertama Torosorium akan menyerbu ke tengah kota untuk
menerjunkan askar-askar apabila Blushiannoah muncul. Skuadron kedua akan
menyusul. Sewaktu perang sedang berkecamuk, Tarius akan memusnahkan reaktor
tersebut. Skuadron ketiga akan bergabung dengan skuadron pertama dari
Blushiannoah yang berhasil bergabung dengan kedua-dua skuadron terawal.
Rancangan seterusnya berjalan seperti biasa.”
“Sudah
tentu Navigorus akan terkejut melihat tindakan ini.”
“Untuk
memperoleh kemenangan, kita mesti menggunakan semua peluang yang ada. Jika
pintu peluang yang pertama telah tertutup, pintu peluang yang kedua masih
terbuka untuk kita. Ini akan mengelirukan musuh.”
Tiba-tiba
isyarat dari teleskop sinar lembayung berbunyi.
“Sesuatu telah
muncul di perairan Ballasan.”
Aku meminta izin
untuk memastikan objek tersebut. Kemudian aku menghadap videofon semula.
“Blushiannoah
telah muncul. Jaraknya terlalu jauh dari kedudukan yang telah ditentukan. Ia
belum mengubahkan bentuknya kepada armada perang. Mereka wajar diberitahu
tentang pindaan ini.”
“Pada saat
genting, perhubungan dengan setiap kapal nelayan di laut akan dapat dikesan
oleh musuh. Salam sejahtera ke atasmu, Tarius. Pastikan kemenangan menjadi
milik kita.”
“Salam sejahtera
kembali, Paduka Katta. Dengan izin Tuhan, kemenangan akan menjadi milik kita.”
Wajah Diktorian
Katta lenyap di sebalik skrin kelabu. Setelah mematikan fungsi teropong sinar
lembayung, aku menghadap skrin kamera ultra. Sebuah kapal selam terapung-apung
di permukaan air. Objek itu terlalu kecil. Aku menekan beberapa butang di bawah
skrin. Saiznya dibesarkan perlahan-lahan. Kini aku dapat melihat Blushiannoah
dalam jarak yang hampir.
Aku menghidupkan
semua sistem trailer dan menanti detik-detik yang mendebarkan. Siasah perang
yang telah diubah oleh Diktorian Katta akan menyebabkan kekeliruan di pihak
Panglima Thaqafik yang memimpin Armada Navigorus. Menurut rencana asal, Habrul
Prisma akan membuat pukulan pertama setelah Blushiannoah muncul di Laut
Kazaristan. Kemudian Torosorium akan menyerbu dari sebelah darat, manakalan
Navigorus akan menyerang dari sebelah laut. Blushiannoah akan membedil Ballasan
sehingga Panglima Batara yang memerintah Ballasan bertindak mengibarkan bendera
putih.
Tiba-tiba satu
skuadron musuh keluar dari dalam kota menuju ke Laut Kazaristan. Aku tidak
menduga sama sekali bahawa pihak Ballasanlah yang melancarkan pukulan pertama.
Di atas layar kamera ultra, Blushiannoah baru selesai mengubahkan bentuknya
kepada sebuah armada laut. Ia belum melancarkan sebarang pesawat pejuang. Arus
fikiranku dikejutkan oleh pandangan yang dijangkau mata. Perairan Ballasan
telah terbakar. Periuk-periuk api telah dibedil oleh kapal selam mega itu. Ternyata
Panglima Thaqafik telah pun menjangkakan sesuatu yang di luar dugaan yang
sedang berlaku.
Kemudian sebuah
skuadron muncul dari sebalik Banjaran Startika dan menyerbu ke arah Ballasan.
Aku sangat terkejut kerana beberapa buah bionikoid sedang menanti serangan
pejuang Torosorium. Mereka berlegar-legar di langit Ballasan. Pasti Qomulian
sedang memasuki perangkap maut Batara! Aku akan mencari pengkhianat yang
menyampaikan rencana perang ini kepada panglima durjana itu. Masa untukku
bertindak telah tiba.
Aku menyentuh
butang-butang yang ada di atas konsul kawalan dan mencapai suis-suis yang
melekat di dinding dan siling ruang pemandu. Tubuhku dibelit oleh talian-talian
keselamatan yang keluar secara automatik dari dalam sofa pemandu. Peringkat
demi peringkat telah berlalu. Beberapa komponen di kepala peninjau berubah
secara mekanikal, mempamerkan wajah sebuah aerobish. Komponen-komponen di
beberapa bahagian tubuh peninjau turut berubah. Beberapa ketika yang berlalu,
mengizinkan peninjau ini berubah sepenuhnya dan memiliki sesusuk tubuh sebuah
aerobish.
Selama beberapa
saat, aku dapat merasai gegaran di dalam trailer. Kini raksasa jalanan ini
telah berubah menjadi sebuah aerobish gergasi yang perkasa.
Dengan satu
pergerakan yang perlahan, Habrul Prisma bangkit dari pembaringannya secara
elektrikal dan energetik. Ia berdiri tegak untuk menghadapi serangan yang bakal
tiba. Matanya bersinar, memancarkan cahaya kuning yang menyuluh jalan.
Buat beberapa
detik, ia mengenali alam sekeliling dan mengetahui siapakah dirinya. Ia mengerti
tujuan wujud dirinya. Aku cuba menyatukan jiwaku dengan arus memorinya. Aku bermeditasi
di dalam suasana yang bening. Aku membayangkan bahawa setiap aksinya adalah aksiku,
setiap keputusannya adalah keputusanku. Aku dapat merasakan satu semangat baru
yang meresap ke dalam jiwa. Kini aku adalah Habrul Prisma!
Aku adalah
harapan Misteroid. Namun aku perlu memusnahkan musuhnya iaitu Empayar Galaktos.
Kini aku sedang berhadapan dengan soldadu mereka. Aku tidak gentar menghadapi
android-android dan bionikoid-bionikoid Maharaja Galaktos.
Aku berlari ke
pintu Ballasan. Beberapa buah bionikoid sedang menantiku dengan senjata yang
terhunus. Aku menujahkan tumit ke atas. Roket pengimbang yang dipasang di
pinggang dan buku lali membenarkan aku berada di udara. Tanpa memberi peluang untuk
bertindak, aku menyerang mereka. Beberapa buah peluru berpandu keluar dari
pelancarnya yang diletakkan di atas kedua-dua bahuku. Jasad mereka berkecai.
Pertempuran di
langit Ballasan semakin sengit. Bom demi bom digugurkan dan peluru berpandu mengenai
sasaran. Menara-menara pencakar langit mulai runtuh. Semakin banyak pesawat
pejuang Saibatirran muncul di langit Ballasan. Mercu tanda kemasyhuran Ballasan
runtuh terkena bedilan Blushiannoah.
Aku segera
mencari reaktor tenaga binaan android-android Saibatirran. Beberapa buah tangki
besar seolah-olah sedang menanti diriku untuk membinasakannya. Setelah mendarat
di kawasan itu, aku memusnahkan tangki-tangki tersebut. Aku mengeluarkan
senjata yang tersimpan di dalam peha kanan, lalu menembak beberapa buah tangki
berisi bahan organik. Letupan-letupan besar bergema apabila tembakan-tembakanku
mengenai sasaran.
Tiba-tiba satu pukulan
yang kuat menghentam belakangku. Aku kehilangan imbangan badan dan tubuhku
jatuh di atas tanah. Aku sangat terkejut. Sebuah aerobish berdiri di hadapanku.
Siapakah dia yang berani menghalang tugasku yang belum selesai?
Dia menyerangku.
Sebuah buku lima nyaris hinggap di wajahku, apabila aku mengelak pukulan
keduanya dengan pantas. Peluang telah terbuka dan aku menghentak rusuk kirinya dengan
siku kananku. Dia menetak belakangku dengan kedua-dua tangannya. Aku jatuh
tersungkur di hujung kakinya. Dia menyepak wajahku dengan kaki kanannya dan aku
berguling di atas tanah.
Aku tertiarap
berhampiran sebuah kerangka yang sedang terbakar. Aku menongkat bahu dengan
kedua belah tangan. Aerobish itu menghampiriku. Dia bersedia untuk melakukan
serangan ketiga. Perasaan marahku meruap kerana dihina sedemikian rupa. Aku adalah
harapan Misteroid. Aku tidak boleh tewas!
Dia menyentuh
bahuku. Aku merempuh tubuh itu untuk menjatuhkannya. Percubaanku tidak berjaya.
Dia terdorong beberapa langkah ke belakang. Aku berdiri tegak untuk menyusun
serangan baru. Dia juga berdiri tegak dengan tujuan yang sama sepertiku. Aerobish
ini cukup gagah kerana aku tidak berhasil menumbangkannya.
Dia menghunus
pedang. Aku menyahut cabarannya. Tangan kananku mencabut hulu pedang dari
pinggang kiriku. Kemudian mata pedang yang berwarna putih keluar dari hulu
pedang yang kugenggam.
Dia melancarkan
serangan keempat. Aku menepis serangannya. Kemudian aku melancarkan serangan
dan dia menahan tetakan pedangku.
Pertarungan
pedang telah membawa kami ke pinggir kawasan reaktor. Sebuah bangunan janakuasa
terletak di situ. Aku mesti memusnahkannya kerana di situlah tenaga kepada
bionikoid yang telah siap direka disalurkan. Aerobish di hadapanku cuba
menghalang usahaku. Kami terus beradu pedang untuk mempertahankan diri dan
membinasakan lawan.
Kemudian kami bersilang
pedang. Pertarungan terhenti buat beberapa lama. Kami saling bertentang mata.
Cahaya merah menyala terpancar dari mata musuhku, mempamerkan perasaan bencinya
terhadapku. Wajahnya kaku tanpa emosi.
Dia cuba
berbicara denganku. Aku menyedari bahawa arus fikiranku sedang cuba menafsirkan
butir-butir bicaranya. Engkaukah Habrul
Prisma yang disebut oleh mereka?
Aku berasa
hairan bagaimanakah dia boleh mengenaliku kerana sebelum ini aku tidak pernah
bertembung mata dengannya. Inilah kali pertama dan mungkin yang terakhir aku
melihat kewujudannya di Misteroid. Aku cuba berbicara dengannya. Pengertian
mengalir di antara kami melalui mata yang menafsirkan butir-butir bicara.
Akulah Habrul Prisma!
Engkau harus tunduk kepada Globator, Aurtitanikus
Agung yang memerintah seluruh Misteroid dan isinya.
Engkau adalah pengikut kepada Kaus Aurtitanikus!
Kewujudanku adalah ilham daripada pemikiran mereka.
Jika demikian, aku tunduk kepada Al-Malik, Tuhan Yang
Maha Agung, dan pencipta segala kaus, dan aku tidak akan tunduk kepada Globator
Penzalim. Akulah Tarius, Wira Putih Kaus Aurian. Jangan cuba menghina martabat
seorang Kaus!
Ternyata Habrul Prisma adalah jelmaan Kaus Aurian.
Kehadiran Kaus Aurian menggugat kekuasaan Kaus Aurtitanikus di bumi Misteroid.
Tunduklah kepada Globator atau kau akan menyesal bila berhadapan dengannya!
Kaus Aurian tidak pernah gentar menghadapi siasah
Globator dan kuncu-kuncunya. Aku tidak mengenalimu.
Akulah Batara, utusan Globator untuk umat Misteroid di
wilayah timur.
Jangan mengangkat martabatmu setinggi itu, Batara.
Al-Malik akan murka kerana engkau menyekutukannya!
Engkau akan menerima padah bila berhadapan dengan
Globator, Tarius. Puaka Globator akan memakanmu!
Kaus Aurian tidak pernah gentar menghadapi Kaus
Aurtitanikus. Batara, kembalilah kepada tuanmu. Umat Misteroid tidak dapat
menerima ajaranmu. Tinggalkan mereka di sini. Biarkan mereka membangunkan semula
aqidah mereka.
Tidak! Aku tidak akan kembali melainkan umat Misteroid
menerima ajaranku, dan selagi engkau tidak tumpas di tanganku, Batara yang
bergelar Pemusnah Qomulian.
Akulah Tarius, lagenda hidup yang diramalkan oleh
Kitab Qomul. Kini aku menjelma sebagai Habrul Prisma, Pendekar Qomulian. Jangan
cuba memesongkan kebenaran di hadapan Qomulian. Kau pasti menyesal!
Tarius, mengaku kalah atau Habrul Prisma binasa!
Jangan cuba menggugat hati seorang kaus, Batara.
Tarafmu tidak akan sama dengan tarafku. Lihatlah pengikut-pengikut setiamu.
Mereka sedang menghadapi kesulitan.
Android Galaktos tidak pernah kenal erti kalah.
Bionikoidmu telah hancur!
Bionikoid Galaktos tidak pernah kenal erti kecewa!
Dia melepaskan
silangan pedang dan cuba memutuskan leherku. Aku merendahkan badan. Pedangnya memotong
angin di atas kepalaku. Aku menerjahkan tumit dan menolak tubuhku ke belakang
untuk menyusun serangan baru. Aku tersilap langkah. Kakiku tersangkut di
celah-celah talian kabel yang menghubungkan pencawang-pencawang elektrik. Tubuhku
jatuh di atas tanah.
Dua buah menara
pencawang elektrik yang dihubungkan dengan talia-talian kabel telah tumbang. Aku
merasai kebocoran arus elektrik. Aku mengalami kesulitan kerana arus elektrik
yang bocor itu telah melumpuhkan sistem sarafku. Tubuhku terbaring di atas bumi
Ballasan. Aku semakin lemah untuk meneruskan perjuangan. Pedangku terlepas dari
genggaman.
Aku hanya mampu
melihat Batara menghambur ke arahku. Dia menghayunkan pedangnya ke udara dan bersedia
untuk membelah dua tubuhku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku tidak akan
dapat melupakan detik-detik bagaimana Batara cuba melenyapkan kewujudanku apabila
dengan tiba-tiba sahaja bahuku bergegar. Peluru-peluru berpandu keluar dari pelancarnya
dan berebut-rebut mencari sasaran. Saat-saat terakhir aku tidak sedarkan diri, aku
dapat melihat wajah Batara yang terkejut.
Tubuhnya merempuh
peluru-peluru berpandu yang liar mencari sasaran. Seterusnya aku tidak
mengetahui nasib yang menimpa dirinya.
Setelah selesai
menukarkan Habrul Prisma kepada bentuk asalnya, aku segera memandunya keluar
dari kawasan reaktor tenaga. Saat-saat keruntuhan kerajaan tentera Ballasan
semakin hampir. Semasa memandu trailer, aku seolah-olah dapat menyaksikan tubuh
gergasi aerobish Batara menghempas talian-talian kabel yang telah ditindih oleh
Habrul Prisma tadi.
Aku memberhentikan
Habrul Prisma di tepi sebuah pantai. Ombak memukul pasir pantai yang hitam. Aku
dapat merasakan suatu kedamaian yang luar biasa di dalam perang yang semakin
berkecamuk. Di belakangku reaktor tenaga Ballasan masih dijilat api.
Tugasku telah
selesai. Namun aku perlu membantu Qomulian lagi. TAMAT.
Mutiara Generasi,
Bilangan 5, Matrikulasi USM Sessi 92/93
Naskhah ini ditulis semula daripada naskhah asal cerita panjang
yang saya tulis berjudul “Pertarungan di Lembangan Kazaristan” menggunakan
pensil 2B di dalam buku tulis ‘fullscap’ berkulit tebal yang turut
memuatkan lagi 4 cerita panjang – “Kisah di Hutan Darat”, “Bermulanya
Sebuah Prolog”, “Tragedi Bukit Soga” dan “Penaklukan Belalang Raksasa”.
Idea cerita panjang itu ialah usaha sekumpulan pejuang pembebasan
yang berusaha menawan semula sebuah ibu kota kerajaan baik yang telah
dijajah oleh suatu kuasa jahat. Dalam masa yang sama, mereka telah
menghantar sebuah robot gergasi untuk bertarung dengan sebuah robot
gergasi kuasa jahat yang menjaga ibu kota tersebut. Asalnya, kata nama
Kazaristan ialah nama bagi sebuah sungai yang membentuk Lembangan
Kazaristan di bahagian timur Misteroid. Apabila semakin meningkat remaja dan
semakin banyak buku cerita fantasi dan sains fiksyen yang saya baca, dan
semakin banyak siri kartun animasi dan siri marionet yang saya tonton,
saya mendapat inspirasi-inspirasi baru dan saya perbaharui naskhah ini
berulangkali hingga jadi seperti sekarang ini. Lembangan Sungai Kazaristan
telah saya ubah jadi Rantau Laut Kazaristan. Anda akan berfikiran kusut
setelah habis baca cerita ini sebab banyak idea yang saya ingin kongsi
dalam satu cerita. Sila tunggu versi yang telah saya sunting dalam
terbitan blog yang seterusnya.
Ini ialah cerpen peringatan atau
komemoratif yang saya sumbangkan untuk penerbitan majalah Mutiara Generasi
Bilangan 5 terbitan Matrikulasi USM Sessi 92/93.
Arkpenjurit Muda
Faqrak memerhati pergerakan kumpulan peluncur-peluncur aqua yang sedang
mengharung laut bergelora di dalam perairan Traulum melalui peta oseonografik
tiga dimensi.
Peluncur aqua
ialah kelengkapan pakai-pandu-sendiri yang digunakan untuk meluncur di bawah
permukaan air tanpa batas kedalaman dan tekanan. Peluncur-peluncur aqua yang
sedang diperhatikan oleh Arkpenjurit Muda Faqrak itu dipakaipandu oleh
sekumpulan batalion android perintis penaklukan.
Satu rejimen 100
android telah dilancarkan oleh Arkpenjurit Muda Faqrak yang memimpin operasi
perintis dari dalam bilik kawalan kecerdikan tiruan kapal induk ‘Kurita Hijau’
setelah mendapat restu Laksamana Norist. Misi setiap android telah diprogramkan
untuk mencapai matlamat misi penaklukan. Askar-askar android tidak berasa
gentar untuk melaksanakan misi berbahaya seperti berenang di bawah permukaan
laut dalam keadaan ribut taufan itu.
Perajurit-perajurit
sintetik itu telah diprogramkan untuk membunuh askar-askar musuh serta-merta
pada pandangan mata pertama. Dengan membunuh semua askar musuh, Pulau Sparro
akan bebas daripada kawalan kebijaksanaan elemen manusia murni. Setelah itu,
barulah ketumbukan infantri empayar boleh mendarat dengan selesa dan mengatur
kedudukan pertahanan pulau.
Imej maya tiga
dimensi yang membentuk permukaan geografi dan lanskap kepulauan Sparro
dikelilingi laut bergelora di dalam cuaca ribut taufan kelihatan terawang-awang
di atas meja peta oseonografik tiga dimensi.
Imej-imej tiga
dimensi yang membentuk kumpulan peluncur aqua kelihatan meluncur bebas di dalam
imej tiga dimensi laut perairan Pulau Sparro. Kedudukan pasukan tentera
sintetik Arkpenjurit Muda Faqrak semakin hampir dengan gigi air Pulau Sparro.
Imej tiga dimensi rumah api tersergam gagah di puncak bukit memancarkan imej
tiga dimensi cahaya berkeamatan tinggi ke arah sekeliling pulau.
Arkpenjurit Muda
Faqrak menyaksikan beberapa imej tiga dimensi unit peluncur aqua gugur ke atas
imej tiga dimensi dasar laut pentas benua. Beberapa buah askar android telah
mengalami litar pintas di dalam sirkit elektronik apabila sistem mereka
dimasuki air laut.
Beberapa
personel yang bertugas di bilik itu melaporkan tentang unit-unit android yang
gagal apabila isyarat di atas konsul masing-masing lenyap.
Setelah beberapa
lama meluncur di dalam air, rejimen perintis telah tiba di gigi air. Sebuah
demi sebuah android kelihatan muncul dari dalam laut dan berjalan menuju ke
arah pantai. Peluncur aqua yang dipakai telah bertukar sendiri menjadi baju
perisai tempur untuk menahan tembakan musuh supaya tidak merosakkan sistem
mereka.
Rejimen android
itu berjaya mendarat di Pulau Sparro di dalam keadaan cuaca ribut taufan.
Mereka terus mengatur formasi mengepung kedudukan pangkalan kecil Tentera Laut
Traulum. Perajurit-perajurit sintetik itu terus berjalan meredah semak belukar,
mendaki tebing-tebing batu dan mengharung paya tanah jerlus. Kedudukan mereka
semakin rapat dengan pagar parameter pangkalan.
Penderia-penderia
hadapan pangkalan telah mengesan kehadiran pasukan penceroboh tersebut apabila
beberapa suis automatik pagar cahaya berat yang dipasang di celah-celah
belukar, terpetik sendiri akibat pergerakan mekanikal pohon-pohon rendang yang
bergoncang hebat dirempuh kaki-kaki jasad sintetik. Sebaik sahaja suis itu
terpetik sendiri, satu pancaran cahaya berat keluar dari unit-unit pagar dan
menembak kaki-kaki penceroboh.
Tembakan cahaya
berat berkeamatan rendah itu tidak menyebabkan kerosakan kepada sistem android.
Sebaliknya, isyarat pergerakan yang dapat dikesan, terus dipancarkan kepada
penerima sistem pagar maya yang kemudiannya menjana isyarat pencerobohan di
dalam sistem kawalan parameter pangkalan.
Android-android
itu tahu bahawa kehadiran mereka telah disedari oleh musuh. Mereka tidak
menghiraukan hal itu kerana misi utama mereka ialah untuk menawan pangkalan dan
menghapuskan setiap elemen manusia.
*****
Pusat kawalan
parameter pangkalan menerima banyak isyarat pencerobohan.
Penjurit Muda
Larkhan yang bertugas di situ tersentak. Dia terus memfokuskan pandangan
unit-unit video kamera litar tertutup yang dipasang di seluruh pelusuk pulau.
Dia dapat melihat pergerakan beberapa kumpulan infantri yang sedang meredah
hujan lebat ribut taufan di seluruh bahagian pulau.
Penjurit Muda
Larkhan menganalisa sistem peta geografik tiga dimensi Pulau Sparro. Sebaik
sahaja selesai menganalisa peta itu, benaknya menjerit.
Satu rejimen
infantri android sedang mengepung pangkalan mereka di dalam formasi halimunan!
Penjurit Muda
Larkhan terus menghubungi pegawai memerintahnya yang sedang berada di bilik
kawalan taktikal dengan menggunakan interkom.
“Tuan, Penjurit
Muda Larkhan bercakap dari pusat kawalan parameter pangkalan. Satu rejimen 83
infantri android sedang mengepung pangkalan dengan formasi halimunan. Mohon
status kawalan pertahanan penuh seluruh pangkalan.”
Penjurit Madya
Shiraq terpempan bila mendengar laporan pegawainya.
Wilayah Traulum
telah diceroboh oleh askar-askar robot Empayar Galaktos!
Penjurit Muda
Shiraq menghidupkan siren kecemasan sambil membuat pengumuman.
“Di sini Pegawai
Memerintah Penjurit Madya Shiraq. Semua anggota merapat ke stesyen tempur
masing-masing sekarang. Satu rejimen 83 android sedang menghampiri pangkalan di
dalam formasi halimunan.”
Perwira-perwira
Traulum yang mendengar pengumuman tersebut segera mencapai senjata
masing-masing. Mereka terus merapat ke tempat tugasan. Setiap anggota membidik
senjata dan meninjau pergerakan musuh di luar kawasan pangkalan.
Penjurit Madya
Shiraq bergegas ke bilik komunikasi. Dia memerintah operator radio supaya
mengirim isyarat yang menjelaskan bahawa Pulau Sparro telah diceroboh dan
bantuan diminta untuk menguatkan pertahanan pulau. Dalam keadaan cuaca begitu,
dia tahu bahawa bantuan yang dimintanya tidak akan tiba dalam masa singkat.
Markas Besar perlu menunggu sehingga ribut reda sebelum boleh mengirim bantuan
tambahan.
Ribut taufan
hanya akan reda dalam masa enam jam lagi apabila waktu subuh menjelang.
Bermakna pasukan pengawalnya terpaksa berjuang bermati-matian untuk mempertahankan
Pulau Sparro dalam tempoh itu. Dengan kelengkapan dan bekalan persenjataan yang
ada, dia tahu bahawa mereka tidak boleh menang. Kekalahan mereka seperti sudah
ditaqdirkan. Namun mereka mesti berjuang sehingga ke titisan darah yang
terakhir.
“Operator radio,
jangan pergi ke mana-mana. Hantar isyarat yang sama berterusan walau apa pun
yang terjadi selagi radio masih boleh dipakai,” perintahnya kepada operator
radio lalu kembali ke bilik kawalan taktikal.
Pegawai-pegawai
lain telah berkumpul di situ untuk melaporkan kedudukan unit masing-masing.
“Musnahkan semua
musuh. Kita mesti memenangi pertempuran ini!” Perintahnya kepada
pegawai-pegawai tersebut setelah mereka selesai menyampaikan laporan. Kemudian
mereka keluar dari bilik kawalan taktikal untuk bersama unit-unit kawalan yang
mereka pimpin.
Penjurit Madya
Shiraq dan tiga nakhoda kapal saling berpandangan apabila pegawai-pegawai
mereka meninggalkan bilik kawalan taktikal. Salah seorang daripada mereka
berkata kepada pegawai memerintah itu,
“Kita memang
tidak boleh menang, Shiraq. Pelan kontinjensi mesti dilaksanakan sekarang
sebelum terlambat.”
*****
Laskar Kanan
Chawi sedang memantau sudut-sudut strategik kawasan jeti limbungan tertutup.
Pengawasan di kawasan itu telah dipertingkatkan kepada kekuatan penuh satu
platun dua belas anggota. Platun pengawal itu menunggu di lokasi
stesyen-stesyen tempur yang telah ditetapkan.
Pangkalan itu
dan tiga buah kapal peronda mesti dipertahankan daripada jatuh ke tangan musuh.
Tiba-tiba pintu
konkrit yang menutup mulut gua itu meletup. Serpihan konkrit dan puing letupan
melayang ke bahagian dalam kawasan jeti, menghentam struktur-struktur yang ada.
Ketiga-tiga buah kapal peronda rosak teruk. Satu puing konkrit telah menghentam
bilik kawalan dan menghentak tubuh Laskar Kanan Chawi. Perajurit itu mati
serta-merta di bawah tindihan puing konkrit.
Bahana letupan
telah merosakkan kelengkapan elektronik yang sensitif dengan kehadiran arus
denyut yang muncul secara tiba-tiba di dalam litar-litar elektrik. Kabel-kabel
bekalan elektrik putus. Hujung yang putus itu terbuai bebas memuntahkan tenaga
elektrik ke seluruh ruang bilik kawalan. Asap berkepul-kepul memenuhi bilik
kawalan yang berpunca daripada kebakaran kelengkapan elektrik.
Platun pengawal
yang berlindung di stesyen masing-masing mengalami trauma fizikal sejenak.
Mereka segera menenangkan diri dan menyelaraskan fokus fikiran sambil membidik
ke arah mulut gua yang ternganga. Musuh telah membuat pukulan pertama secara
mengejut dengan menyerang jeti limbungan tertutup.
Tempias angin
ribut menyerbu masuk ke dalam ruang jeti, mengiringi pencerobohan sepasukan
askar android yang memakai kelengkapan peluncur aqua.
Anggota-anggota
pangkalan yang terus melepaskan tembakan cahaya berat ke arah askar-askar
android yang masih berada di dalam air. Sistem android-android itu lumpuh
serta-merta dan jasad mereka tenggelam ke dasar air.
Kegagalan
tentera penceroboh lapis pertama itu tidak menghalang pasukan lapis kedua untuk
merapat ke jeti. Semasa lapis pertama diserang, lapis kedua membalas serangan.
Lapis ketiga, keempat dan kelima mengikut rapat dari belakang untuk memberi
sokongan tembakan.
Beberapa buah
android berjaya menaiki bot-bot peronda dan tebing jeti. Sebaik sahaja keluar
dari permukaan air, peluncur aqua terus bertukar menjadi baju perisai tempur.
Mereka membalas tembakan cahaya berat platun pengawal.
Tiga buah
android melancarkan serangan bom motar cahaya berat ke arah kedudukan
stesyen-stesyen tempur platun pengawal. Tiga buah stesyen tempur telah disimbahi
bom-bom motar cahaya. Silau cahaya membutakan penglihatan anggota-anggota
platun pengawal. Ketika mereka teraba-raba membidik sasaran, mereka dimamah
peluru-peluru cahaya berat yang menghancurkan anggota tubuh badan. Mereka mati
serta-merta.
Sebuah stesyen
tempur platun pengawal masih mampu bertahan. Tiga anggota platun yang masih
tinggal melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kedudukan musuh. Salah seorang
daripada mereka memberi arahan berundur. Kemudian mereka menghilangkan diri ke
dalam sebuah terowong gua semulajadi.
Jeti limbungan
tertutup berjaya ditawan oleh musuh.
*****
Satu platun
android yang mengepung rumah api sedang berbalas tembakan dengan platun
pengawal rumah api. Pintu besar rumah api telah berjaya diletupkan. Platun
android itu menyerbu masuk ke dalam rumah api dan menaiki tangga mengejar
anggota-anggota platun pengawal yang berundur untuk berlindung di bilik lampu
rumah api di tingkat teratas.
Pasukan pengawal
rumah api gagal mempertahankan aset negara mereka apabila bilik lampu rumah api
tempat mereka berlindung diserbu askar-askar android. Mereka dibunuh
serta-merta dengan tembakan-tembakan peluru cahaya berat yang muntah dari
muncung senjata penceroboh.
Pasukan
penceroboh berjaya mengambil alih kawalan rumah api.
*****
Bangunan utama
pangkalan yang menempatkan bilik kawalan taktikal, bilik komunikasi, bilik
radar dan berek penginapan telah dikepung dan diserang oleh satu rejimen
pasukan penceroboh.
Menara
komunikasi dan radar telah dimusnahkan oleh bom-bom elektron yang meranapkan
kad-kad kawalan elektronik dengan arus denyut yang menerjah aliran arus
elektrik di dalam kabel-kabel bekalan dan isyarat. Menara telekomunikasi
tumbang dipukul ribut taufan apabila asasnya terbungkas akibat letupan bom
penceroboh.
Menyedari perhubungan
elektronik telah gagal, operator radio beralih menggunakan kemudahan kod binari
sebagai komunikasi alternatif untuk mengirim perutusan melalui kabel kod binari
dasar laut yang menyambungkan Pulau Sparro dan Markas Besar.
Platun-platun
pasukan pengawal pangkalan memberi tentangan sengit terhadap serangan pasukan
penceroboh.
Bintara Kazin
yang sedang berbalas tembakan di sebuah kubu pertahanan telah dipanggil oleh
Penjurit Madya Shiraq melalui radio frekuensi rendah yang dipasang pada helmet
supaya datang ke bilik kawalan taktikal. Dia meninggalkan kubu sambil menepuk
bahu rakan seperjuangan di sebelah dan mendoakan keselamatannya.
“Pergilah, aku
boleh bertahan di sini,” kata rakannya.
“Kazin!” Rakan
Bintara Kazin itu memanggil namanya.
Bintara Kazin
menoleh ke arah rakannya. Rakannya itu menanggalkan kalung pengenalan perajurit
dari lehernya dan meletakkan kalung itu di dalam tangan Bintara Kazin.
“Kalau kau masih
hidup nanti, tolong hadiahkan kalung ini kepada anak tunggalku yang masih
menyusu ibu. Sampaikan salam kepada isteriku dan beritahu dia yang aku sangat
mencintai mereka berdua.”
Bintara Kazin
terharu dengan perbuatan rakannya.
“Pergilah, Tuan
Shiraq perlukan kau.”
Bintara Kazin
meninggalkan rakannya. Tanpa menoleh ke belakang, dia bergegas menuju ke bilik
kawalan taktikal.
*****
“Bintara Kazin
melapor diri, Tuan,” kata Bintara Kazin sambil memberi tabik hormat.
Penjurit Madya
Shiraq dan nakhoda-nakhoda kapal peronda sedang menilai kedudukan pasukan mereka
di dalam pertempuran itu.
“Masuk, Kazin.
Duduk di sini,” kata Penjurit Madya Shiraq.
Bintara Kazin
meletakkan senjata di tepi pintu dan duduk di kerusi yang ditunjukkan oleh
pegawai memerintahnya.
“Berapa lama
masa yang diambil untuk berenang dari Pulau Sparro ke tanah besar, Kazin?”
Tanya Shiraq.
Bintara Kazin
terkebil-kebil mendengar soalan pegawainya. Dia tidak faham maksud soalan itu
yang diajukan kepadanya dalam suasana perang yang sedang memuncak.
“28 jam gaya
renang biasa atau lima jam menggunakan peluncur bawah air. Lebih cepat kalau
menunggang julung-julung kerana mereka lebih pantas berenang. Julung-julung
mengambil masa kurang dua jam untuk renangan sejauh itu.”
“Bagaimana
keadaan julung-julung peliharaan kau di gua bawah air?” Tanya seorang nakhoda.
“Sepasang dalam
keadaan sihat, manakala seekor lagi sedang dirawat kerana menghidap penyakit
kulat teritip.”
“Baiklah, Kazin.
Ini perintah saya,” kata Penjurit Madya Shiraq.
Bintara Kazin
duduk sedia untuk mendengar arahan ketuanya.
“Lepaskan semua
binatang itu. Tapi, lengkapkan binatang yang sihat dengan pelana dan tali. Kau
pun mesti pakai kelengkapan pelana air. Pergi ke tanah besar untuk mendapatkan
bantuan. Ini buku Log Nakhoda yang saya tulis tentang keadaan Sparro semasa di
bawah perintah saya sehingga pada saat ini. Kau mesti mengelakkan diri daripada
pengesanan radar dan sonar supaya kau boleh melaporkan diri terus kepada
Presiden Abidi dan menyerahkan buku ini kepadanya.”
Bintara Kazin
terkejut setelah mendengar arahan pegawainya.
“Tuan, bagaimana
dengan pangkalan ini? Kita akan kekurangan anggota nanti.”
“Kami sudah
fikirkan masalah itu. Kita sudah pohon bantuan dari Markas Besar. Malangnya,
bantuan tak akan tiba dengan serta-merta kecuali setelah ribut taufan di luar sana reda dalam masa lima
jam dari sekarang. Dalam tempoh itu, kita akan kehabisan peluru dan bekalan.
Seseorang mesti pergi ke tanah besar untuk menyampaikan berita penaklukan
Sparro. Orang itu ialah kau kerana hanya kau seorang yang arif dengan
biodiversiti dan lanskap bawah air perairan kita.”
“Bagaimana pula
dengan Tuan?”
“Kami berpegang
kepada Ikrar Nakhoda. Apabila kapalnya karam, dia harus karam bersama kapalnya
yang akan menjadi kerandanya di dasar laut.”
“Tapi saya yakin
kita boleh menang!”
“Keyakinan kau
tak boleh menenggelamkan flotilla musuh yang sedang menunggu di luar perairan
kita.”
“Tuan….”
“Cukuplah
Bintara Kazin. Kami yang tinggal akan bertahan di sini. Pergilah dapatkan
bantuan untuk kami. Berikan kerjasama kepada unit yang akan datang untuk
mengambil semula pulau ini,” kata seorang nakhoda.
“Baiklah, Tuan!”
“Mari,” kata
nakhoda itu. “Bawakan saya ke tempat julung-julung awak.”
Bintara Kazin
terus bangun memimpin jalan nakhoda tersebut. Penjurit Madya Shiraq dan
nakhoda-nakhoda yang tinggal mengiringi pemergian Bintara Kazin dengan perasaan
berbaur.
*****
Pasukan android
terus mengasak pangkalan kecil Tentera Laut Traulum Pulau Sparro. Hujan lebat
dan ribut taufan tidak menghalang mereka untuk mengekalkan objektif misi yang
telah diprogramkan dari awal.
Hujan bom dari kedua-dua
pihak disambut bunyi letupan yang cuba melawan bunyi guruh dan dentuman petir.
Letupan-letupan itu memusnahkan sasaran yang dibidik.
Kubu-kubu
stesyen tempur di luar bangunan telah ditawan. Perajurit-perajurit handalan
Traulum telah dibunuh. Pasukan android maju ke arah pintu masuk bangunan
pangkalan. Anggota-anggota pengawal yang masih hidup berundur masuk ke dalam
bangunan sambil membalas tembakan cahaya berat musuh. Setelah berada di dalam,
mereka cuba
berlindung di sela-sela tembok.
Android-android
terus maju dan menembak mati musuh-musuh yang dilihat di hadapan mata mereka.
Operator radio
terkejut apabila bilik komunikasi diserbu oleh satu platun android. Tanpa
bicara, mereka menembak bertubi-tubi ruang bilik komunikasi, memusnahkan
sekaligus kelengkapan perhubungan dan elemen manusia yang mengendalikannya.
Di dalam bilik
kawalan taktikal, nakhoda yang mengiring Bintara Kazin muncul di pintu.
“Dia sudah pergi
dari sini,” kata rakan mereka buat kali terakhir.
Tiba-tiba satu
jalur cahaya berat menembus dada dan mengoyak jantungnya. Penjurit Madya Shiraq
dan rakan-rakannya mencapai senjata dan membalas tembakan android-android
penceroboh.
Satu platun
android menyerbu bilik kawalan taktikal dan menembak bertalu-talu musuh yang
menjadi sasaran misi mereka. Setelah pasti elemen manusia di dalam bilik itu
lenyap, barulah mereka keluar dan mencari bilik lain yang mungkin masih
meninggalkan sisa-sisa elemen manusia yang masih hidup.
*****
Bintara Kazin
mengawal sepasang julung-julung yang sedang berenang di dalam terowong bawah
air. Seekor julung-julung mengekori mereka dari belakang. Apabila keluar dari
pintu terowong yang terletak di dasar laut, julung-julung itu terus berenang
berlegar-legar terlebih dahulu meraikan pembebasan mereka dari kurungan.
Bintara Kazin
mengawal pergerakan julung-julung dengan konsul pelana air. Dia memberi isyarat
kepada pasangan julung-julung tunggangan supaya membawanya berenang di bawah
permukaan air menuju ke tanah besar.
Seketika
kemudian, sekumpulan julung-julung bergerak meninggalkan dasar laut kepulauan
terumbu karang Sparro menuju ke arah timur. Kumpulan julung-julung itu dikawal
oleh Bintara Kazin yang mengenakan kelengkapan pelana air. TAMAT.