Roland Sr mengulang rutin hariannya. Pada
setiap pagi dia memberi makan puyuh belaan daripada klon baka terbaik yang
diternak di dalam reban di belakang rumahnya. Usai kerja itu, dia mengumpul
najis puyuh di bawah reban dan menggaulnya dengan tanah bakar untuk dijadikan
baja. Sesudah itu, dia membaja dan menyiram batas-batas kobis dan sawi yang
ditanam di sebelah rumahnya. Hari itu ialah hari terakhir dia mengulang rutin
hidupnya.
Anaknya, Roland Jr, selesai mandi di perigi dan
bersiap untuk memulakan kerja. Selesai sarapan, tanpa disuruh, dia mengambil
raga-raga plastik dan mengutip telur-telur puyuh di reban. Apabila kerja
mengutip dan membasuh telur selesai, dia mengatur semua raga telur puyuh di
dalam sebuah van. Kemudian dia memandu van ke pekan untuk menjual telur puyuh
di pasar borong.
Roland Sr masuk ke dalam rumah apabila kerjanya
selesai. Selepas bersalin pakaian, dia memasak dan menghidangkan makanan di
atas meja. Tanpa menunggu Roland Jr, dia terus makan seorang diri penuh selera.
Alangkah nikmatnya makanan yang dimasak hasil daripada titik peluh sendiri. Dia
bersyukur kerana Tuhan masih mengizinkannya untuk menikmati baki sisa-sisa
hidup.
Selesai makan tengah hari, Roland Sr mengemas
meja makan dan mencuci pinggan mangkuk. Baki makanan dibiarkan hangat di atas
dapur. Sistem pemanas dapur dihidupkan agar apabila pulang dari kerja, Roland Jr
boleh menikmati makanan hangat.
Roland Sr duduk di beranda menikmati hembusan
angin tengah hari. Dia membuka komputer mobil dan memeriksa e-mel. Dia
mendapati ada satu mesej daripada Dr Ramzan yang bekerja di Fakulti Reproduksi
dan Regenerasi sebuah IPT tempatan. Dia membuka e-mel itu dan membaca isinya.
Dr Ramzan bertanya keadaan mereka dua beranak. Dr Ramzan amat mengambil berat
terhadap mereka dan rajin bertandang ke rumah Roland Sr. Roland Sr membuka
ruang bual interaktif dan menghubungi Dr Ramzan seperti yang diminta oleh
sahabatnya itu.
Ramzan, apa khabar
awak?
Oh, Roland! Saya baik
saja di sini. Bagaimanakah kesihatan awak sekarang?
Hai, beginilah hidup
sebagai orang tua. Tenaga dah tak kuat lagi macam masa muda dulu.
Jagalah kesihatan
diri. Makanlah perskripsi yang saya bekalkan. Sekurang-kurangnya dapat
menstabilkan tekanan darah dan mengelakkan strok. Bagaimanakah keadaan Roland Jr
awak?
Oh, dia seorang zuriat
yang baik. Dia rajin menolong saya.
Apakah dia dah tau
siapa dirinya yang sebenar?
Saya rasa belum. Saya
percaya, dia akan tau juga nanti. Baru-baru ni, dia ada bertanya tentang
ibunya.
Apakah yang awak
beritau dia?
Saya beritau yang
ibunya dah lama meninggal dunia. Saya bercadang nak bawa dia menziarah kubur
Margaret minggu depan selepas khutbah Ahad di chapel pekan. Selepas tu, barulah
kami akan ke fakulti awak untuk memeriksa sampel darah kami seperti biasa.
Saya rasa itulah
tindakan yang betul. Roland, saya ada penemuan baru di sini.
Penemuan apakah itu,
Ramzan?
Semasa membuat proses
baikpulih kromosom dulu, saya telah membetulkan jujukan DNA yang menjadi
manifestasi kecacatan genetik yang ada pada kromosom yang saya ambil dari sel
tisu awak. Saya sangka, semua kecacatan itu telah dibaiki. Rupa-rupanya ada
lokus yang telah mengalami mutasi pada beberapa titik yang mengawal penghasilan
hormon neurotransmiter hipofisis. Keputusan ujian perbandingan profil asal dan
profil sampel terkini menunjukkan bahawa produk ujikaji mungkin sedang
mengalami degenerasi gen hormon neurotransmiter hipofisis yang mengawal
epilepsi akut.
Roland Sr terpegun mendengar penerangan Dr
Ramzan.
Ramzan, saya mengerti
akibat yang akan saya tanggung nanti. Tapi, Roland Jr adalah satu-satunya baka
lelaki saya di dunia ini. Walaupun saya dan Margie tak sempat berkahwin, tapi
sekurang-kurangnya kami telah memperolehi zuriat dengan bantuan pengetahuan dan
kepakaran awak.
Sabarlah, Roland.
Hidup ini memang singkat. Namun, Tuhan memberi kita hak dan peluang untuk
menikmati hidup ini. Hanya kuasa kasih sayang yang akan mengukuhkan hubungan
awak dan zuriat awak.
Terima kasih, Ramzan.
Kami akan ke tempat awak minggu depan.
Sama-sama, Roland.
Jagalah diri awak baik-baik.
Komunikasi ditamatkan. Roland Sr membuka fail
mengandungi gambar-gambar kenangan dirinya bersama Margaret. Saat-saat indah
kenangan percintaan mereka terakam dalam bentuk digital yang sering meresap di
dalam ingatan.
Margaret adalah wanita sempurna idamannya.
Margaret turut berasa yang dia telah bertemu dengan lelaki impiannya. Mereka
saling mencintai dan bercadang untuk berkahwin. Namun, belum sempat rencana
mereka menjadi kenyataan, Margaret terbunuh di dalam suatu kemalangan jalan
raya yang ngeri. Kereta yang dipandu oleh Margaret terhumban ke dalam gaung
ketika cuba
mengelak pertembungan dengan sebuah lori kontena yang datang dari arah hadapan
apabila lori kontena itu cuba
memotong sebuah lori tangki minyak. Kereta Margaret menghempas tebing beberapa
kali sebelum meletup dan terbakar lalu menghanguskan tubuhnya yang terperangkap
di kerusi pemandu.
Rasa cinta yang amat mendalam telah mendorong
Tan Sri Roland Chua mempengaruhi Prof Dr Ramzan Al-Janjalani untuk mengambil
cebisan tisu mendiang Margaret dan mengusulkan agar Dr Ramzan mengklonkan dirinya
dan Margaret.
Pada mulanya Dr Ramzan keberatan kerana mereka
seolah-olah ingin mencabar kekuasaan Tuhan dengan ‘mencipta’ suatu individu baru
yang bakal ada nyawa sendiri. Namun usulan Roland itu tidak dapat diabaikan
kerana itulah satu-satunya peluang untuk dia membuktikan Teorem Al-Janjalani
yang dipeloporinya kerana undang-undang pengklonan yang sedia ada mensyaratkan
kerja-kerja pengklonan manusia wajib mendapatkan kerelaan daripada individu
yang menjadi sumber klon. Kegagalan berbuat begitu akan membolehkan juruklon,
iaitu pekerja pengklonan, daripada peringkat juruteknik hingga pengarah
institusi, dihukum penjara mandatori 20 tahun dan denda 2 juta kredit.
“Ramzan, mungkin agama awak mengekang perbuatan
seperti itu kerana melibatkan pasangan yang belum bernikah. Tapi saya bukan
penganut agama awak. Saya berpendirian bahawa kita manusia hendaklah cuba sedaya
upaya melahirkan zuriat selagi terdaya, sama ada secara semulajadi, atau simulasi,
termasuk mengklon individu normal. Kita ada ramai pakar dalam bidang
pengklonan, termasuk awak. Inilah peluang untuk awak membuktikan teorem genetik
yang awak asaskan. Saya percaya, dengan kepakaran dan kelengkapan yang awak
ada, usaha ini akan berhasil.”
“Saya tahu hal ini tak mustahil, Roland. Tapi public akan memprotes ujikaji ini. Lagi
pun, Margaret dah mati. Kita tak boleh dapatkan surat izin daripada orang mati.”
“Jangan hebohkan kepada public dan komuniti akademik, apa-apa saja berkaitan ujikaji ini.
Jadikan ia sebagai rahsia kita berdua. Jangan risau pasal surat izin Margaret. Margaret telah tulis
satu surat
wasiat membenarkan dirinya diklonkan. Saya pun ada surat yang serupa. Itu janji kami berdua.
Kami telah berikrar untuk hidup bersama, sama ada di dalam kehidupan ini, atau
kehidupan selepas mati, atau melalui kehidupan klon-klon kami di dalam
kehidupan ini apabila kami mati nanti.”
Dr Ramzan berdiam diri memikirkan sesuatu.
“Saya akan meletakkan jawatan politik dan kedudukan
di dalam syarikat-syarikat korporat. Saya akan menyalurkan semua kekayaan saya
untuk membiayai ujikaji tersebut. Tolong jangan hampakan harapan saya.”
“Baiklah, saya akan cuba . Tapi, apakah yang awak akan
buat selepas bersara?”
“Saya akan mengasingkan diri daripada politik
dan dunia korporat. Saya ingin menjalani kehidupan sebagai orang biasa.”
Sebenarnya Dr Ramzan tidak risau pasal biaya.
Dia tahu bahawa Roland akan membiayainya walaupun dia tidak minta. Dia hanya
risaukan perjalanan ujikaji dan akibat-akibat yang mungkin timbul daripada
ujikaji itu.
Teorem Genetik Al-Janjalani yang dipeloporinya
bertunjangkan tauhid yang mutlak kepada Tuhan Yang Satu, berteraskan
prinsip-prinsip fiqah untuk memudahkan amali dalam ruang lingkup syariat Islami
dan berkonsepkan prinsip ihsan dan ikhtiar untuk melanjutkan zuriat melalui
teknik-teknik pengklonan termaju yang boleh dicuba agar pasangan suami isteri
tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat sendiri.
Dr Ramzan telah menjalankan penyelidikan dan
ujikaji sendiri untuk menyokong teoremnya. Dia telah menulis tiga jilid buku
yang menceritakan panjang lebar dan perincian teorem tersebut. Namun dia tidak
pernah menerbitkan buku tersebut untuk mengelak implikasi bio-etika yang akan
memudaratkan dirinya sendiri. Jilid-jilid buku tulisannya dalam bentuk
manuskrip mentah lengkap dengan data-data kajian, formula kimia, formula
matematik, gambarajah, gambarfoto, jadual, carta alir proses dan teknik-teknik
kejuruteraan genetik termaju disimpan
kedap di suatu tempat yang hanya dia seorang sahaja yang tahu. Beberapa teknik kejuruteraan
genetik termaju yang menggunakan aplikasi nanoteknologi dan fermiteknologi yang
menjadi sebahagian daripada isi bukunya itu telah diterapkan di dalam sukatan
pelajaran fakulti yang diterajuinya.
Dr Ramzan mengambil sampel tisu Roland. Setelah
mengkulturkannya di dalam piring petri, dia memencilkan satu sel tunggal hidup
daripada tisu itu. Dia menyedut keluar nukleus sel Roland dengan pipet mikro
dan memeliharanya di dalam larutan salin.
Di dalam apa jua kaedah reproduktif manusia,
prinsip berpasangan lelaki-perempuan sentiasa menjadi pegangan Dr Ramzan.
Kromosom diploid (2n) sel Roland tidak boleh menjana pembentukan lembaga baru
kecuali setelah dibenam dan dirawat di dalam persekitaran sel diploid (2n)
pasangan pilihannya, iaitu sel tisu Margaret. Setelah lembaga baru terbentuk,
ia mesti ditanam di dalam persekitaran alat reproduksi perempuan atau yang
menyerupainya.
Dr Ramzan pernah cuba membenam dan merawat kromosom
diploid (2n) dari satu sumber, di dalam sel diploid (2n) dari sumber lain yang
sama jantina. Percubaannya itu tidak pernah berhasil. Sekaligus mengukuhkan
teori berpasangan berlainan jantina yang menjadi hukum alam yang dicipta oleh
Tuhan Pencipta Alam Semesta, dan menolak idea sesat golongan homoseksual yang beriman
bahawa homoseksualiti merupakan sebahagian daripada lumrah alam.
Cebisan tisu Margaret telah dikulturkan
terlebih dahulu di dalam piring petri lain. Sebaik sahaja mendapati bahawa tisu
itu boleh mengalami regenerasi, satu sel tunggal telah dipencilkan. Nukleus sel
Margaret telah dikeluarkan dan dipelihara di dalam larutan salin.
Dr Ramzan memasukkan nukleus sel Roland ke
dalam sel Margaret yang telah dikosongkan. Sel Margaret yang berisi nukleus sel
Roland dikultur di dalam piring petri berisi nutrien tertentu yang berbeza
daripada piring petri sebelumnya.
Dia mendapati bahawa sel tunggal hibrid itu
boleh menjalani proses regenerasi untuk mencambahkan sel-sel baru. Satu sel
tunggal telah dipencilkan ke dalam piring petri berisi nutrien dengan ramuan
yang baru. Ia kemudian diaruhkan dengan teknik kejutan SPARK – singkatan bagi
teknik Sel terPropagasi ARuhan Kelalang.
Teknik kejutan SPARK dibuat berdasarkan
postulasi Oparin-Haldane yang menyatakan bahawa persekitaran zaman primitif
Bumi membolehkan berlakunya tindakbalas kimia yang dapat mensintesis sebatian
organik yang berpunca daripada pra-karsa inorganik yang wujud di dalam
atmosfera dan laut arkaik. Postulasi itu kemudian dibuktikan oleh hipotesis
Miller-Urey di dalam eksperimen mereka yang berjaya mewujudkan atmosfera Bumi
zaman purba pada skala kelalang di dalam makmal dan berjaya menghasilkan
sebatian-sebatian organik tertentu yang akhirnya membentuk pra-karsa sel-sel
primitif tanpa nukleus.
Piring petri mengandungi sel hibrid tunggal itu
dimasukkan ke dalam ruang kelalang diperkaya dengan air, hidrogen, metana dan
ammonia, dilalukan cas elektrik untuk menghasilkan ribut taufan tiruan dan
petir sintetik pada skala kelalang, manakala perkembangan sel hibrid itu pula
diteropong menggunakan mikroskop fermion. Mikroskop elektron tidak boleh
digunakan kerana sinaran elektron daripada mikroskop elektron akan dineutralkan
oleh cas positif petir tiruan.
Setelah beberapa kali disinggung petir
sintetik, sel hibrid tunggal yang diperhatikan di dalam kelalang SPARK didapati
telah bercambah membentuk segugus gumpalan tisu seolah-olah telah membahagi
untuk menjadi satu lembaga baru.
Blastosista telah terbentuk! Dr Ramzan sujud
syukur kepada Allah di atas penemuan sains yang julung-julung kali berlaku
dalam sejarah sains reproduktif manusia. Dalam keadaan semulajadi, blastosista
hanya akan terbentuk apabila sperma lelaki berjaya menusuk masuk ke dalam ovum
perempuan untuk mengasilkan zigot yang akan membahagi menjadi segumpal lembaga.
Dia mengeluarkan sel hibrid yang telah berubah
menjadi blastosista dari kelalang SPARK, menghentikan pembentukan blastosista
dan memencilkan satu sel blastosista. Sel tunggal itu dipelihara di dalam
larutan salin istimewa setelah nukleusnya dikeluarkan untuk dipakai di dalam proses
baikpulih kromosom.
Di dalam proses baikpulih kromosom, Dr Ramzan berusaha
membaiki kecacatan genetik yang dapat dikesannya. Ujian perbandingan profil DNA
Roland dan sel blastosista dibuat setelah proses baikpulih selesai. Profil peta
DNA Roland yang asal penuh dengan gen-gen yang boleh memacu ke arah penghasilan
polipeptida yang boleh mengekang proses fisiologi tubuh manusia normal. Roland
dijangka akan menghidap penyakit tertentu apabila mencapai usia tertentu.
Profil peta DNA sel blastosista yang telah
dirawat itu pula didapati bersih daripada sebarang tanda yang memberikan
gambaran kemungkinan timbulnya penyakit yang disebabkan oleh kecacatan genetik
di dalam tubuh manusia baru yang akan terbentuk. Semua lokus operon di dalam
rantai heliks ganda dua sel blastosista baru itu yang asalnya kaya dengan
gen-gen cacat telah dipulihkan.
Dr Ramzan berpuas hati dengan keputusan
ujikajinya. Nukleus mengandungi set 46 pasang kromosom yang telah dibaiki
dimasukkan semula ke dalam sel blastosista tadi. Sel hibrid tunggal itu
dikultur di atas medium baru di dalam piring petri baru. Sel itu didapati boleh
bercambah menjadi satu lembaga blastosista biasa. Pada belahan pertama yang
menghasilkan dua sel anak, Dr Ramzan menghentikan proses pembelahan sel.
Kedua-dua sel anak itu diasing dan dikultur di atas medium baru di dalam dua
piring petri berasingan. Setiap sel anak itu bercambah lagi untuk membentuk
lembaga blastosista baru.
Dua lembaga individu klon baru akan terhasil
daripada pengasingan itu. Satu individu klon akan ditunjukkannya kepada Roland,
manakala individu klon yang satu lagi akan dirahsiakan kewujudannya. Dia
bercadang untuk membuat rawatan lanjut bagi individu klon kedua.
Apabila lembaga 32 sel terbentuk, Dr Ramzan
memasukkan lembaga itu ke dalam sebuah balang lutsinar. Balang berisi cecair
amnion sintetik itu telah dikultur terlebih awal dengan cebisan tisu Margaret
yang telah dirawat dengan satu proses rawatan kultur tisu yang khusus. Lembaga
itu ditanam di dalam lipatan tisu tersebut. Lembaga itu terus berkembang
menjadi janin baru. Janin itu membesar membentuk sesusuk tubuh bayi sempurna
sifat dan akan lahir setelah genap sembilan bulan sepuluh hari.
Ketika melawat janin itu, Roland berterima
kasih kepada Dr Ramzan kerana telah membantu mencapai impiannya.
“Lihatlah zuriat saya, Ramzan.
Sekurang-kurangnya saya tahu yang saya akan mati dalam keadaan meninggalkan
baka.”
Roland tersenyum puas melihat janin bernyawa
berusia enam bulan yang terapung di dalam baling rahim tiruan berisi cecair
amnion sintetik. Dia seolah-olah melihat cermin dirinya sendiri yang wujud
sebagai janin. Dia memberi nama janin itu sebagai Roland Jr (Junior – Muda),
manakala dia memanggil dirinya sendiri sebagai Roland Sr (Senior – Tua).
“Saya ingin awak melakukan perkara yang sama
untuk menghasilkan klon Margie. Saya tak mau zuriat saya hidup tanpa ada
pasangan yang sepadan.”
Tiga bulan kemudian, Roland Jr lahir ke dunia.
Mereka menyambut kelahiran itu dengan penuh gembira. Roland Sr mengupah seorang
wanita yang pernah menjadi orang gajinya bernama Halimah untuk menjadi ibu susu
bayinya. Setahun kemudian, zuriat Margaret pula lahir. Roland Sr mengupah Halimah
juga untuk menyusukan bayi klon Margaret.
“Saya akan pelihara Roland Jr, manakala Margie Jr,
saya serahkan kepada Halimah. Mereka berdua tak akan saya temukan sebelum cukup
dewasa untuk mengenal makna cinta dan kasih sayang.”
Kedua-dua anak itu terus membesar di bawah
asuhan wali masing-masing selama hampir 20 tahun. Kedua-dua anak itu tidak tahu
bahawa mereka mempunyai seorang lagi saudara lelaki klon yang sengaja Dr Ramzan
tidak tunjukkan kepada Roland Sr. Kembar Roland Jr itu membesar di bawah jagaan
Dr Ramzan tanpa pengetahuan Roland Sr.
Dr Ramzan telah menerangkan dengan terperinci
kepada kembar Roland Jr yang diberikannya nama Roland Ketiga (III) tentang
asal-usul kejadiannya. Roland III memahami kejadian dirinya. Dia patuh nasihat
Dr Ramzan agar tidak berjumpa bapa asal dan adik-beradiknya yang lain. Ketika
lawatan Roland Sr dan saudara kembarnya di fakulti Dr Ramzan, dia hanya
memerhatikan mereka dari jauh dan tidak menampakkan dirinya kepada mereka.
Begitu juga semasa lawatan Margaret Jr dan Halimah.
Pada suatu hari, Dr Ramzan memberitahu Roland III
bahawa kembarnya akan mengalami epilepsi akut. Roland Jr jagaan Roland Sr akan
diserang sawan dan bakal bertindak di luar batasan. Otaknya akan gagal
mensintesiskan hormon neurotransmiter yang mengawal aktiviti sistem saraf
tubuh. Roland III diberitahu oleh Dr Ramzan agar bersedia menghadapi keadaan
itu.
“Apakah saya juga akan mengalami nasib seperti
saudara saya?”
“Tidak. Kau telah menjalani proses penyaringan
kromosom yang sempurna, anakku,” jawab Dr Ramzan.
Hari yang dinantikan oleh Dr Ramzan itu berlaku
pada hari terakhir Roland Sr mengulang rutin harian sebagai penternak puyuh dan
pekebun sayur.
Di pasar borong, Roland Jr diserang sawan.
Imej-imej manusia di sekelilingnya telah menjelma menjadi imej-imej raksasa
buas yang pada tanggapannya ingin meratah tubuhnya hidup-hidup. Didorong oleh
naluri ingin mempertahankan diri sendiri, dia mencapai pisau pemotong daging
kepunyaan seorang peniaga, lalu mengamuk, menetak dan mencincang
raksasa-raksasa buas di sekelilingnya.
Satu pekan gempar dengan peristiwa amuk di
pasar borong yang telah memakan ramai korban. Pasukan polis segera berkejar ke
tempat kejadian. Roland Jr telah tiada. Seorang saksi memberitahu polis bahawa
Roland Jr telah dilihat memandu vannya menuju ke arah rumah Roland Sr. Pasukan
polis segera berkejar ke situ. Beberapa ambulan dari hospital daerah telah tiba
untuk menguruskan mangsa-mangsa amuk.
Dr Ramzan berasa tidak sedap hati setelah
berhubung dengan Roland Sr pada pagi tadi. Dia menghubungi Halimah dan memberitahu
wanita itu bahawa dia ingin datang ke rumahnya bersama Roland III. Halimah
mengalu-alukan kedatangan mereka. Apabila tiba di rumah wanita tersebut, Dr
Ramzan memperkenalkan Margaret Jr kepada Roland III. Dr Ramzan kemudian
menggesa agar mereka menziarahi Roland Sr. Mereka meninggalkan rumah Halimah menuju
ke rumah Roland Sr dengan menaiki kereta Dr Ramzan.
Di rumah Roland Sr, Roland Jr telah amuk
membunuh Roland Sr. Roland Jr melihat imej raksasa Roland Sr ingin membaham
tubuhnya hidup-hidup, lalu dia terus menyerang, menetak dan mencincang tubuh Roland
Sr bertalu-talu.
“Ooohhh…, Tuhanku…,” keluh Roland Sr lemah.
Pasukan polis yang tiba telah mengepung rumah
Roland Sr. Mereka memerintahkan agar Roland Jr meletakkan senjata dan menyerah
diri. Sebaliknya, Roland Jr mengingkari arahan pihak berkuasa dan menyerang
salah seorang anggota polis. Satu das tembakan telah dilepaskan. Sebiji peluru
menembus jantung dan saraf tunjang Roland Jr. Dia tersungkur ke bumi. Badannya
menggelitik menahan bisa maut. Pisau di dalam genggaman terlepas.
Dr Ramzan yang baru tiba di rumah Roland Sr
menyaksikan tragedi ngeri itu. Dia memberitahu penumpang-penumpang keretanya
agar tinggal di dalam kereta dan jangan keluar menunjukkan diri. Dr Ramzan lantas
keluar dari keretanya dan menghampiri Roland Jr yang terbaring. Tubuh Roland Jr
berhenti menggelitik. Dr Ramzan mendapati bahawa Roland Jr mati dalam keadaan
mata terbeliak. Dia menutup kelopak mata Roland Jr.
Dr Ramzan tidak tahu bahawa sejurus sebelum
jiwa Roland Jr keluar dari jasadnya, Roland Jr telah berteriak di dalam hati
kepada Dr Ramzan,
‘Dr Ramzan, tolong bebaskan saya dari dunia
palsu ini!’
Dr Ramzan memandang Roland III, Margaret Jr dan
Halimah di dalam keretanya. Dr Ramzan akan menyempurnakan perkahwinan
zuriat-zuriat Roland dan Margaret. Mereka adalah pasangan yang secocok.
TAMAT.
TAMAT.
Dewan Kosmik, Julai
2007
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2007
Nota kaki:
- Naskhah ini dengan judul “Benih-benih Klon” adalah versi asal
naskhah “Pusaka Klon”. Tajuk “Pusaka Klon” (“The Clone Legacy”), saya
tukar menjadi “Benih-benih Klon” (“The Clone Seeds”), kerana konteks
kandungan cerpen lebih dekat kepada makna pembenihan suatu konsep
pengklonan tertentu. Kata-kata “Pusaka Klon” kedengaran terlalu bombastik
yang pada fikiran saya hanya orang berjiwa seni sastera yang halus yang boleh
menghuraikan tajuk itu untuk dikaitkan dengan konteks kandungan cerpen.
- Setelah ubah tajuk naskhah, barulah saya berani menghantar
naskhah ini ke majalah Dewan Kosmik terbitan DBP. Saya dapati, setelah
disiarkan di dalam majalah tersebut, memang ada suntingan tertentu yang
telah dibuat oleh editor untuk memuatkan keseluruhan teks di dalam ruang
cerpen yang amat terhad. Saya bayangkan, apabila menghantar karya
sepanjang ini, sewaktu dalam proses penerbitan majalah, mungkin editor
boleh memilih ‘font’ tertentu yang halus, merapatkan jarak antara aksara
dan mengecilkan saiz ‘font’ itu supaya boleh muat paling banyak pun 3
halaman. Inilah cerpen terakhir saya yang pernah terbit dalam bentuk
bercetak di dada-dada akhbar dan majalah.
- Saya pernah terlintas di dalam hati untuk menulis sambungan
cerpen ini menjadi 2 buah lagi sambungan cerpen dengan judul “Anak-anak
Klon” (“The Clone Children”) dan “Orang-orang Klon” (“The Clone People”),
yang akan menghasilkan trilogi 3 buah cerpen yang membawa idea serupa. Semua
bahan rujukan telah ada di tangan. Saya perlu masa untuk menukang
cerpen-cerpen baru.