Sabtu, 29 Ogos 2015

17 Gerak Gantri

Manaf menguatkan suara radio apabila lagu berjudul “Ranap” nyanyian Bandi dari kumpulan rock Amuk disiarkan oleh stesen radio. Sambil memandu kereta syarikat ke tempat kerja, dia menghayati maksud senikata lagu tulisan Sani Sudin yang diiringi irama muzik yang bingit dengan ritma tersusun gubahan Khadiz. Senikatanya sungguh menikam jantung hati Manaf manakala muzik yang pada mulanya berentak perlahan, sedikit demi sedikit meningkat laju dan semakin kencang penuh semangat seolah-olah ingin memulihkan sanubarinya yang luka apabila mengenangkan permintaan Rahayu yang ingin memutuskan pertunangan mereka berdua.


Segala harapannya gugur, terhempas memijar. Pada penglihatannya, pada pemikirannya, pada sanubarinya – menjadi rabun, penasaran, longlai – malah dibius lagi warna-warna kehidupan bertona kecewa, sedih, pilu dan haru.

Dia seolah-olah menjadi seorang perindu malang berpuing di awang-awangan, melayang pasrah ke mana sahaja dikehendaki Tuhan dan apabila dapat berdiri menjejak tanah, dia menggigil tersinis rindu – rindu yang hampa. Kasih yang dibina sejak zaman berzaman luput bagai debu, sirna bergentayangan dipuput angin lalu, sisa-sisanya tenggelam bersama pusar keringat arus songsang, lenyap entah ke mana.

Gema hentam dentum pukulan dram dan simbal, serta ngilu petikan gitar lead dan gitar bass menyentap jiwa raga agar bangkit daripada puing runtuhan rindu yang sendu.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau, Manaf menukar geligi neutral kepada geligi satu, menekan pedal minyak dengan perlahan dan meningkatkan revolusi enjin sebelum dia menukar kepada geligi yang lebih tinggi, memecut ke tempat kerja, memotong kereta-kereta di lorong perlahan dan meninggalkan asap yang meruap ke udara yang menghilang di angkasa.

Ada kerja di pelabuhan yang perlu dibereskan.

Malam tadi, Juti, juruteknik syarikat yang ambil giliran tunggusedia melaporkan kepadanya melalui radio perhubungan saluran empat bahawa RTG 04 tidak boleh gantri semasa operasi kapal “Maersk Orlando” pada pukul 2.20 pagi. Juti kata bila dia sentuh pelindung motor gantri pada sistem gantri Nombor 01, dia boleh rasa yang motor gantri sebelah dalam berpusing laju seolah-olah syaf tidak mengunci geligi untuk menarik rantai gantri. Manaf syak bahawa syaf sebelah dalam telah patah dan perlu dibukacerai seluruh komponen sistem gantri untuk memeriksa dengan teliti keadaan syaf tersebut. Kerja-kerja baikpulih tidak boleh dijalankan serta-merta. Perlu satu tim juruteknik untuk melakukannya. Juti, berserta Bakri, juruteknik pelabuhan yang turut tunggusedia tidak boleh membuat kerja-kerja baikpulih berdua kerana kerja itu jatuh kepada kategori kerja berat.

Juti telah mencadang kepada Bakri supaya menunda RTG 04 dengan RTG 02 yang bekerja sebelah-menyebelah dan memakirnya di blok kosong yang tiada kontena. Tim penyelenggaraan Dermaga Sanubari akan memeriksa dengan terperinci punca kerosakan sistem gantri Nombor 01 RTG 04 dan akan menunjukkan punca kerosakan kepada ketua Bakri yang bernama Suhaili, seorang Penyelia Teknikal, untuk mendapat izin sebelum boleh meneruskan kerja-kerja baikpulih.

Sebaik habis bicara dengan Rahayu sampai tengah malam, meminta agar dia mempertimbangkan semula keputusannya memutuskan pertunangan mereka yang sampai merobek-robek hatinya, Juti pula panggil seraya memberitahu kren rosak. Selesai melayan masalah hati, kena hadap pula masalah kerja.

‘Ah, siapkanlah dulu kerja yang ini sampai sempurna. Nanti baru fikir bagaimana nak sembuhkan hati yang telah luka ini,’ bisik hati Manaf.

*****

Manaf telah mengagih-agihkan tugasan kepada orang-orang bawahannya. Matnor mengetuai kerja-kerja baikpulih sistem gantri yang rosak, dibantu oleh Mawi dan Harry. Iskandar pula disuruh tunggusedia radio untuk menyokong operasi tiga buah kren RTG yang sedang beroperasi. Juti diberi cuti satu hari supaya cukup rehat dan ada masa menguruskan hal keluarga sebab dia sudah ambil giliran tunggusedia sebelah malam.

Setiap awal pagi, Suhaili akan memanggil semua wakil kontraktor di dalam mesyuarat kotak perkakas yang ringkas di Bengkel Kren Gantri. Segala maklumat yang diterima daripada pihak kontraktor akan dipanjangkannya kepada Penyelia Operasi di dalam Mesyuarat Pagi Antara Jabatan.

Terdapat empat kontraktor Jabatan Teknikal yang bekerja di bawah seliaan Suhaili yang menyelenggara empat jenis peralatan mekanikal pengendali kontena – tiga buah Quay Crane Impsa atau ringkasnya QC (kren bagan), empat buah Rubber Tyred Gantry Crane Hyundai atau ringkasnya RTG Crane (kren gantri bertayar getah atau kren RTG), sebuah Mobile Harbor Crane Gottwald atau ringkasnya MHC (kren dermaga bolehgerak) dan dua buah Container Reachstacker Kalmar (pencapaisusun kontena).

Manaf dan kumpulannya bekerja dengan syarikat kontraktor yang menyelenggara empat buah kren RTG. Aset-aset itu masih dalam tempoh penyelenggaraan waranti dua tahun. Riduan dan kumpulannya menjadi wakil syarikat yang menyelenggara kren bagan Impsa. Dorhat dan kumpulannya menjaga kren Gottwald. Manakala Gerard Yap dan kumpulannya menjaga pencapaisusun Kalmar.

Di dalam mesyuarat kotak perkakas kontraktor, Suhaili memberitahu bahawa Jabatan Teknikal telah didesak oleh Pengurus Besar Operasi agar mempercepatkan kerja-kerja baikpulih RTG 04 kerana operasi kapal Maersk memerlukan tiga buah kren RTG beroperasi sepenuhnya dan sebuah kren RTG tunggusedia. Jika kren RTG tunggusedia yang sebuah itu rosak, Jabatan Operasi khuatir kalau salah sebuah daripada tiga buah kren RTG yang sedang beroperasi penuh tiba-tiba rosak, akan mengakibatkan operasi kontena terpaksa menggunakan dua buah kren RTG dan sebuah kren RTG tunggusedia. Keadaan itu akan melambatkan operasi kapal Maersk dan kapal itu tidak akan sempat mengejar jadual singgah di Pelabuhan Kaohsiong, Taiwan, dalam masa tiga hari.

Untuk operasi kontena “Maersk Orlando” yang singgah di Pelabuhan Tanjung Langsat itu, memerlukan masa maksimum empat hari bagi operasi memunggah keluar 400 kontena dan memuat masuk 380 kontena. Hari itu ialah hari ketiga. Tekanan komersial memaksa pihak pelabuhan menyegerakan kerja-kerja baikpulih asetnya yang pincang untuk mengelakkan pelanggan mereka tersadai lama di pelabuhan mereka. Di pelabuhan-pelabuhan lain, jika berlaku kelewatan operasi pada pihak pelabuhan, operator pelabuhan kena bayar penalti kepada pelanggan mereka untuk setiap hari yang terlewat, atau pelanggan tidak perlu bayar apa-apa cas sepanjang kapal mereka tersadai hingga lajak di luar jadual dengan kos operasi ditanggung oleh pihak operator pelabuhan.

Dorhat memaklumkan bahawa krennya boleh dikerah untuk operasi “Maersk Orlando” jika perlu. Namun, menurut Suhaili, Jabatan Operasi telah menentukan yang kren Gottwald kena tunggusedia untuk operasi kontena sebuah kapal Johan Shipping, iaitu “Johan III”, yang akan tiba pada tengah hari nanti. “Johan III” akan memuat keluar 35 kontena dan memuat masuk 48 kontena. Kren Gottwald akan disokong oleh dua buah pencapaisusun Kalmar.

Jika kren Gottwald selesai kerja awal, barulah Jabatan Operasi akan mempertimbangkan untuk mengerah kren itu membantu operasi “Maersk Orlando”, bergantung kepada ketiadaan notis kapal singgah yang diterima oleh Jabatan Komersial. Kalau Jabatan Komersial ada terima notis kapal singgah, kren Gottwald akan tunggusedia untuk kapal itu.

Dorhat dan Gerard Yap akur dengan makluman yang disampaikan oleh Suhaili.

Manaf memberi perakuan yang kumpulannya akan berusaha mempercepatkan kerja-kerja baikpulih RTG 04 dengan menekankan bahawa mereka akan mematuhi segala langkah-langkah keselamatan bekerja di dalam kawasan pelabuhan dan akan mengikut prosedur baikpulih yang digariskan di dalam manual prinsipal. Manaf juga memberitahu, jika mereka memerlukan alatganti yang hanya boleh diambil dari Gudang Kren Gantri, dia akan memaklumkan Suhaili dan akan berhubung dengan pihak penjaga gudang itu untuk mengeluarkan alatganti yang diperlukan.

Riduan akan menghantar juruteknik-jurutekniknya tunggusedia di dalam Bilik Kawalan Elektrikal setiap kren Impsa supaya ada orang yang boleh mengulangtetap sistem elektrik dari bilik itu kalau berlaku pincangtugas yang perlu diulangtetap dari panel elektrik bilik kawalan.

Sebenarnya, apabila berlaku kerosakan aset-aset pelabuhan, segala tekanan komersial ditanggung seluruhnya oleh pihak kontraktor. Manaf dan wakil-wakil kontraktor lain sedia maklum bahawa mereka mesti berhempas pulas untuk mempercepatkan kerja-kerja baikpulih seberapa segera dengan mengerah segala sumber yang mereka ada, selagi mengikut prosedur kerja yang betul dan tidak menyimpang daripada garis panduan kerja-kerja baikpulih seperti yang terdapat di dalam manual pihak prinsipal atau pihak yang membuat komponen aset-aset pelabuhan itu.

Dia dan wakil-wakil kontraktor lain bersepakat tidak akan bertolak-ansur untuk melonggarkan peraturan keselamatan kerja-kerja pelabuhan dan tidak akan membuat kerja baikpulih di luar skop kerja penyelenggaraan yang tidak termaktub di dalam manual untuk menjaga keselamatan pekerja-pekerja mereka dan menjaga hayat aset-aset pelabuhan jagaan mereka.

*****

Kren RTG ialah sebuah jentera kendalian manusia, biasanya ditempatkan di terminal kontena pelabuhan-pelabuhan utama. Bentuknya seperti gerbang berkembar yang memiliki dua struktur gantri, dengan punca elektrik tempatan dijana oleh enjin diesel dan pergerakan fungsi-fungsinya dipacu oleh pemacu-pemacu sama ada jenis arus terus atau arus ulang-alik, bergantung kepada rekabentuk yang diinginkan oleh pelanggan atau yang disyorkan oleh pembuat. Pergerakan fungsinya dikawal oleh seorang pengendali atau operator dari dalam sebuah kabin operator yang tergantung di bawah bahagian himpunan troli supaya mudah memerhatikan keadaan kontena yang diangkat menggunakan penebar.

Biasanya terdapat tiga jenis pergerakan fungsi kren RTG – gerak gantri, gerak troli dan gerak angkat. Gantri ialah pergerakan untuk mengalih keseluruhan badan kren dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Gerak troli ialah pergerakan untuk mengalih kabin operator dari hadapan ke belakang yang bertujuan untuk memindahkan kontena dari suatu kedudukan ke kedudukan yang lain. Gerak angkat ialah pergerakan menaik atau menurun kontena yang dicengkam oleh penebar supaya mudah dialih menggunakan gerak troli ke hadapan atau belakang. Kren RTG 04 tidak boleh membuat gerak gantri untuk berpindah ke lokasi lain kerana mengalami pincangtugas tertentu yang perlu disiasat oleh tim penyelenggara diketuai Manaf.

Setelah membukacerai sistem gantri, barulah Matnor nampak keadaan pengganding yang menghubungkan komponen motor dan geligi rantai yang telah barai, manakala syaf motor didapati tidak patah. Sebab itulah Manaf berasa hairan bagaimana syaf gantri boleh patah sedangkan syaf itu pendek dan tebal, tidak seperti syaf motor sistem troli yang panjang dan berpengganding getah komposit yang sesuai dengan gerakan bergolek sistem troli.

Syaf motor sistem gantri direkabentuk dengan pendek dan tebal, sesuai dengan gerakan sistem gantri yang menarik rantai untuk membolehkan tayar berputar di atas trek dan membawa keseluruhan badan kren RTG ke tempat yang dituju oleh Operator Kren. Ketika gerakan gantri sedang berlaku, beban badan kren RTG ditanggung oleh sistem gantri. Oleh itu, jika semasa pergerakan gantri terdapat halangan di tengah jalan berupa trek yang berlubang atau ada sebatang kayu merentang trek, dan momentum gerakan gantri tidak berupaya menujah badan kren ke hadapan, akan ada bahagian tertentu dalam sistem gantri yang akan mengalami pincangtugas.

Manaf rasa ada faktor luaran yang menjadi punca kegagalan gerakan gantri, bukan faktor dalaman seperti material pengganding yang telah pecah kerana pengganding itu dibuat daripada acuan besi mengikut piawai kegunaan industri berat.

Manaf sedang memeriksa lokasi kren RTG 04 beroperasi semalam. Tiada trek yang berlekuk. Dia ternampak sebatang kayu berukuran dua meter panjang dan berdiameter lima inci yang terbaring kira-kira dua meter dari lokasi kren RTG 04 terhenti akibat kerosakan gantri. Dia mengambil kayu itu dan melihat kesan gelekan tayar gantri di atas badan kayu.

Dia yakin bahawa kayu itu telah tersadai merentang trek dan digolek oleh tayar RTG 04. Setelah menggolek kayu itu, seluruh badan kren seolah-olah telah terhempas, bergegar dan tidak boleh meneruskan gerakan gantri. Kayu itu pula terpelanting keluar trek.

Manaf teringat bahawa pada petang semalam ada operasi memindahkan kayu beruti di kawasan berdekatan RTG 04 beroperasi menggunakan foklif. Mungkin salah satu kayu telah jatuh ke atas trek kren RTG dan tidak disedari oleh Operator dan Penyelia Foklif. Manaf akan masukkan penemuan itu di dalam laporannya. Dia tidak akan menyebut perihal kecuaian petugas-petugas pelabuhan. Biar Pengurus Teknikal Pelabuhan yang membuat rumusan sendiri berdasarkan laporan yang akan dimajukannya.

“RTG 04, Maintenance. Manaf Dermaga, masuk!” tiba-tiba Matnor memanggilnya melalui radio perhubungan saluran 4.

“Manaf Dermaga, masuk, Matnor. Teruskan!” balas Manaf.

“Manaf, coupling bahagian female yang kita panaskan dah kembang. Coupling bahagian male yang baru, yang kita ambil dari gudang, kita dapat masukkan ke dalam bahagian female. Sambungannya betul-betul ikut yang asal. Aku dah enable litar brek gantri. Brek gantri tak ada yang rosak. Dalam monitor, sistem gantri dah tukar warna daripada merah kepada hijau. Isyarat ‘FAULT’ masih belum hilang. Bila aku buka drawing litar PLC, ada satu suis yang kita kena toggle untuk pulihkan semula litar PLC kepada asal. Untuk toggle litar PLC tu, kena masukkan password tahap tiga. Hanya manager yang boleh simpan password tu. Kau ada password tu?”

Matnor melapor dengan ringkas. PLC yang dimaksudkan Matnor ialah Programmable Logic Controller atau pengawalatur logik bolehprogram. Matnor telah berjaya memperbolehkan litar PLC untuk brek gantri.

Manaf faham bahawa Matnor telah ikut semua prosedur yang dia telah gariskan semasa mesyuarat kotak perkakas pagi tadi.

“Aku akan pergi ke RTG 04 sekarang,” balas Manaf tanpa menyebut kata laluan yang diminta oleh Matnor kerana enggan mendedahkannya di dalam saluran radio terbuka pelabuhan. Kata laluan itu adalah rahsia dagang yang tidak boleh dikongsi dengan pengguna akhir, iaitu pihak pelabuhan, selagi tempoh waranti belum tamat.

Bila tiba di RTG 04, sistem gantri Nombor 01 telah siap dihimpunpasang oleh tim selenggaranya dan keseluruhan sistem kren sedia untuk diuji. Manaf terus naik ke Bilik Elektrikal RTG 04. Matnor dan Mawi sedang menunggu di hadapan panel kawalan. Harry telah bersedia di dalam Kabin Operator yang tergantung pada sistem troli, menunggu arahan untuk menggerakkan kren.

Manaf menerangkan kepada Matnor dan Mawi cara-cara untuk nyahkekang litar PLC sistem gantri menggunakan kata laluan Tahap Tiga. Selama itu, dia hanya membenarkan kumpulannya memintas sistem kren menggunakan kata laluan Tahap Empat. Manakala kata laluan Tahap Dua disimpan oleh wakil servis pemasang kren yang berpejabat di Kuala Lumpur dan kata laluan Tahap Satu disimpan oleh ibu pejabat syarikat pemasang kren itu di Korea.

Matnor dan Mawi menekuni penerangan Manaf. Apabila Manaf menyuruh Matnor cuba melaksanakan apa yang diterangkannya, tiba-tiba isyarat ‘FAULT’ hilang dan isyarat ‘OK’ muncul. Satu baris ayat berbunyi ‘Gantry System 01 returns to original normal condition’ muncul di kolum notis senarai pincangtugas terkini. Notis itu bermaksud bahawa Sistem Gantri Nombor 01 telah kembali kepada keadaan bekerja biasa yang asal.

Harry yang duduk di Kabin Operator memanggil Matnor menggunakan interkom.

“Matnor, lampu panel gantri semua menyala. Lampu suis ‘ON’ dah tak berkelip lagi,” kata Harry.

“Harry, kau boleh gantri sekarang,” kata Matnor.

Serentak dengan itu, siren gantri melaung, motor gantri berpusing, rantai gantri ditarik oleh geligi tayar dan tayar gantri berputar. Seluruh badan kren bergerak ke arah darat sejauh 10 meter dengan kelajuan rendah. Wajah kusut ahli-ahli tim selenggara berubah ceria.

“Laju sikit lagi, Harry,” arah Matnor.

Gantri bergerak dengan kelajuan sederhana sejauh 10 meter lagi.

“Okay, full speed sampai hujung sebelah darat!”

Harry terus menolak tuas kawalan ke kedudukan kelajuan penuh menyebabkan seluruh badan kren RTG 04 bergerak dengan kelajuan tinggi ke arah darat blok selenggara sambil tangan kirinya memainkan suis sistem auto gantri supaya kren kekal bergerak di atas trek tidak terbabas keluar landasan.

*****

Hidup ini umpama gerak gantri. Ada kala lancar, tidak akan lancar selama-lamanya. Ada kala sangkut, tidak akan sangkut memanjang. Jika operasi gerak gantri tersangkut disebabkan oleh pincangtugas, kita boleh ulangtetap dengan menekan butang ulangtetap hingga keseluruhan sistem menjadi normal semula. Jika ada pincangtugas yang bila ditekan butang ulangtetap berkali-kali dan sistem tidak menjadi normal, bermaksud ada kerosakan yang perlu dibaiki. Tidak kira kerosakan itu kecil atau besar, pasti ada kaedah dan cara untuk memulihkan keadaan rosak kepada keadaan baik.

Pertunangan adalah sebahagian daripada proses hidup. Ia adalah proses untuk mengenal hati budi pasangan masing-masing. Semakin seseorang itu berusaha untuk mengenal hati budi pasangannya, akan semakin mendalamlah rasa sayang kepada bakal pasangan hidupnya itu. Jika semakin seseorang itu berusaha mengenal hati budi pasangannya, dan didapati dia semakin tidak mengenali pasangannya, lebih baik tidak meneruskan pertunangan dan jangan berkahwin dengannya.

Memanglah pertunangan yang diakhiri dengan pernikahan, bermaksud urusan perkahwinan itu telah sempurna. Manakala jika pertunangan yang putus di tengah jalan dan tidak diakhiri dengan sebuah perkahwinan, bukan bermaksud pertunangan itu telah gagal.

Pasangan itu mungkin tidak serasi untuk hidup bersama dan jika diteruskan juga dengan perkahwinan, dikhuatiri rumahtangga akan hambar, porak-peranda dan akhirnya bercerai jua kerana tidak mengenali diri pasangan hidup masing-masing luar dan dalam. Pasangan hidup sejati ialah pasangan hidup yang serasi, tiada misteri diri sendiri yang disembunyikan daripada pasangannya, boleh berlapang dada dan sering bersangka baik di atas segala urusan hidup pasangannya.

Kalau suatu pertunangan itu tidak menjadi, tidak perlu berdendam-dendaman sampai ke mahkamah menuntut ganti rugi teladan berjuta-juta ringgit atau sihir-menyihir atau berbunuh-bunuhan kerana itu perbuatan orang angkuh yang hilang akal yang enggan terima qadha dan qadar Allah. Allah hendak memberi pengajaran bahawa bukan semua urusan hidup itu, dikawal sepenuhnya oleh kita.

Bahkan kalau sesuatu rezeki yang sudah berada di dalam mulut kita yang telah dikunyah sempurna dan sedia untuk ditelan, jika itu bukan rezeki kita, Allah akan membatukkan atau mentersedakkan kita sehingga makanan itu terhambur keluar dan tidak masuk ke dalam perut untuk mengenyangkan kita. Mungkin Allah hendak menyelamatkan kita kerana di dalam makanan itu ada racun yang membahayakan kesihatan kita atau ada unsur tidak berkat yang Dia tidak ingin unsur itu menjadi darah daging kita.

Apabila suatu pertunangan itu tidak menjadi, bermakna Allah hendak menguji tahap iman seseorang, hendak melihat reaksinya, apa yang akan dilakukannya dan apa yang diharapkannya. Itu juga bermakna bahawa ada seseorang yang lebih baik yang Allah simpan di sebalik hijab jodoh yang memang telah ditaqdirkan untuk dirinya, yang dia sendiri tidak tahu siapakah jodoh dia yang sebenar dan bilakah hijab jodoh itu akan disingkap untuk ditatap dan dimiliki olehnya.

Apabila difikirkan dengan mendalam, Manaf mendapati bahawa pertunangannya dengan Rahayu tidak boleh diselamatkan lagi. Sesungguhnya, Rahayulah yang ingin memutuskan pertunangan mereka. Manaf sangka mungkin disebabkan oleh sikap dirinya sendiri yang lebih percaya kepada konsep cinta bisu sepanjang pertunangan. Dia jarang berhubung dengan Rahayu melalui telefon untuk berbicara soal cinta, hati dan perasaan. Sebaliknya hanya mengirim madah-madah cinta melalui khidmat pesanan ringkas atau e-mel. Manakala Rahayu pula suka kalau Manaf selalu menelefonnya untuk melepaskan rindu mendengar suara lelakinya sambil saling bertukar isi hati supaya dia yakin bahawa lelaki yang bakal ditaatinya sebagai seorang suami adalah sebaik-baik lelaki impiannya.

Rahayu seorang gadis yang mudah merajuk dan suka kalau dipujuk rayu, walhal Manaf pula seorang jejaka yang tetap pendirian dan tidak berapa suka memujuk rayu seorang wanita yang bukan isterinya kerana dia rasa itu perbuatan yang sia-sia. Lainlah kalau sudah bernikah. Oleh kerana mereka berdua jarang berbicara secara bersemuka (dia bekerja di Johor, sedangkan Rahayu mengajar di Perlis), menyebabkan wujud sisi misteri yang tidak diketahui oleh diri pasangan masing-masing. Manaf rasa hubungan cinta jarak jauhlah menjadi punca Rahayu ingin putus tunang, sedangkan dia ingin pegang kukuh tali pertunangan mereka. Apakah Rahayu tewas kepada pujuk rayu salah seorang lelaki yang dekat di sekelilingnya tempat dia mengajar?

Pertunangan itu diatur oleh ibu bapa mereka yang turut berasa kecewa di atas keputusan Rahayu. Ibu bapa Rahayu akur dengan kehendak anak mereka dan berharap agar Manaf memaafkan Rahayu. Manaf telah memaafkan Rahayu di dalam perbualan mereka semalam.

Allah mencipta hati Manaf. Dia juga mencipta hati Rahayu. Allah boleh membolak-balikkan hati Manaf. Dia juga boleh membolak-balikkan hati Rahayu. Manaf ingin berpegang kukuh kepada hubungan pertunangan mereka. Manakala Rahayu pula ingin melepaskan diri daripada hubungan itu, supaya dia boleh bebas menentukan dengan siapa yang ingin dikahwininya. Manaf berusaha untuk berlapang dada dan menyingkir buruk sangka di atas keputusan Rahayu.

Sebelum tidur, Manaf meneruskan kelaziman membaca Surah Al-Waqi’ah pada setiap malam. Orang-orang yang beramal dengan surah itu, insya Allah tidak akan papa kedana dan akan dicukupkan rezeki sepanjang hayat di dunia. Urusan jodoh termasuk di dalam perkara rezeki kurniaan Allah. Manaf berdoa, semoga Allah mendatangkan pengganti yang lebih baik daripada Rahayu. Semoga hidupnya yang pincangtugas sekejap boleh diulangtetap supaya kembali normal. Amin.

TAMAT.


Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2012


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di Bintulu menyelenggara aset-aset mudah alih pengendali kontena. Saya dedikasikan cerpen ini kepada rakan-rakan yang pernah bekerja di dalam tim penyelenggaraan saya. Segala kebaikan dan jasa mereka amat saya hargai, semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan.
  2. Saya pernah hantar teks ini untuk menyertai Sayembara Menulis Cerpen Negeri Johor 2012 anjuran DBP Wilayah Selatan, namun tidak menang sebarang hadiah. Kemudian saya memuatnaik di laman web www.eSastera.com versi lama tetapi laman web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting. E-Sastera telah mencipta laman web versi baru, tetapi saya belum menghantar sebarang cerpen baru saya ke sana walaupun sudah lebih dua tahun saya membuka akaun untuk berkarya di situ. E-Sastera kini sudah buka laman Facebook Bahagian Cerpen. Saya juga belum memuatnaik sebarang karya baru saya di situ.
  3. Kredit akaun Youtube 'Md Jaeez' untuk klip lagu "Ranap" oleh Amuk. Baru anda boleh rasa apa yang Manaf rasa bila tunangnya minta batalkan pertunangan mereka.


Jumaat, 28 Ogos 2015

16 Bisikan Pemuda Resah

Pada petang itu, saya pergi ke Pejabat Kastam yang terletak di dalam kawasan Jeti Kastam untuk bertanya Encik Saad, seorang pegawai kastam, tentang permohonan kerja pemunggahan dan kerja lembur yang diajukan oleh agensi-agensi yang menggunakan perkhidmatan betau atau tapak pendaratan, tempat saya bekerja.

Encik Saad memaklumkan bahawa Ah Tai, pemilik Liong Tai Agency sudah membayar duit jeti dan mencadangkan agar saya mendapatkan resit tersebut daripadanya. Permohonan kerja lembur atau lebih masa pula telah diluluskan sehingga pukul 7 malam.

Ada sebuah kapal dari Tanjung Balai, Riau, membawa kopra dan arang, dan sebuah kapal dari Dumai, Sumatera, membawa muatan bakau dan kayu bergergaji, telah bertambat ke jeti kami sejak awal pagi tadi. Nakhoda kedua-dua kapal itu menginginkan kerja-kerja punggah-memunggah disiapkan pada hari itu juga. Saya telah memberitahu dua orang Operator Kren betau tempat saya bekerja agar cuba siapkan kerja discharge dalam masa satu hari pada hari itu juga kerana saya lihat tidak banyak jumlah kargo yang kedua-dua kapal itu bawa. Kedua-dua buah kren mobil betau berada dalam keadaan baik dan sedia untuk dioperasikan. Pada keesokan hari, kedua-dua kapal itu dijangka akan dimuatkan dengan barang dagangan tertentu seperti makanan dan tekstil hasil keluaran kilang-kilang dari kawasan perindustrian daerah saya dan akan belayar pulang ke pelabuhan asal setelah kerja-kerja loading selesai.

Saya kembali ke motorsikal yang saya letak di tempat letak kenderaan. Saya terlihat Encik Saman, dengan seragam birunya, sedang berjalan dari arah tongkang. Dia tidak nampak saya. Sebagai orang awam yang bekerja di dalam bidang yang ada kaitan dengan Jabatan Laut, saya rasa perlu untuk menunjukkan rasa hormat kepada beliau. Lantas saya pun menegurnya,

“Encik Saman,” saya menyeru namanya sambil mengangkat tangan.

Dia terpandang saya lalu membalas lambaian saya. Dia datang menghampiri saya dan kami bersalaman.

“Buat apa?” Tanya saya. Kemudian saya faham sendiri yang dia mungkin sedang menjalankan tugasnya.

“Oh, tengah buat kerja, ya,” saya memberikan sendiri jawapan kepada soalan saya itu.

Dia tersenyum. Kemudian dia menyoal saya.

“Kau ada lima ringgit?”

Saya tergamam dengan soalan tersebut dan tidak tahu tujuan soalannya.

“Duit aku terjatuh ke dalam air masa aku berada di atas bot tadi,” dia menjelaskan maksud tujuan soalannya.

Saya membuat andaian bahawa mungkin dia sedang membuat kutipan di atas bot untuk kerja-kerja rasminya dan kemudian sejumlah RM5.00 daripada duit kutipan itu telah jatuh ke dalam air, mungkin semasa dia sedang melompat ke atas bot.

“Oh, Encik Saman nak gantikan duit cukai rumah api, ke? Saya boleh pinjamkan dulu.”

“Esok kalau dapat gaji, aku bayar balik.”

“Okey, Encik Saman, saya balik ofis dulu.”

Kami pun berpisah dan saya meninggalkan Jeti Kastam.

Saya pergi ke pejabat Liong Tai Agency yang terletak di seberang jalan bersetentang dengan Jeti Kastam untuk berjumpa Ah Tai. Setelah mendapat bayaran servis betau dan resit kastam daripada Ah Tai, saya kembali ke pejabat. Saya bercadang hendak ke rumah Haji Usop pada malam nanti untuk menyerahkan wang kutipan pada hari itu.

Tiba-tiba telefon berdering. Saya mengangkat gagang telefon.

“Hello,” kata saya.

“Hello,” suara itu perlahan sahaja bunyinya. “Kau boleh jumpa aku tak sekarang?”

“Siapa bercakap ni?”

“Akulah, Saman.”

“Ya, ada apa hal, Encik Saman?”

Apabila orang kerajaan berkata begitu, saya faham bahawa ada sesuatu perkara penting yang ingin dibincangkannya dengan saya. Dengan penuh rasa takzim dan rendah diri, saya terus bertanya lagi,

“Jumpa di mana, Encik Saman?”

“Jumpa aku di Jeti Kastam.”

“Jeti Kastam? Okey, okey, saya datang sekarang. Tapi ada hal apa, Encik Saman?”

“Datang sajalah. Nanti aku cerita.”

Tanpa berasa ragu, saya keluar pejabat dan datang semula ke Jeti Kastam. Saya yakin bahawa mungkin ada suatu perkara berkaitan betau yang dia hendak bincangkan dengan saya. Apabila tiba di situ, saya mendapati yang dia sedang berdiri menanti saya. Saya menyapanya dan terus meletakkan motorsikal di tempat letak kenderaan.

Tiba-tiba dia memegang hujung lengan baju saya dan menarik saya perlahan ke satu penjuru yang agak terlindung daripada pemerhatian orang ramai di belakang sebuah bangunan stor lama dalam kawasan Jeti Kastam. Dia duduk dahulu dan mengajak saya duduk di sisinya.

Saya berasa hairan kerana dia hendak membincangkan sesuatu perkara yang saya sangkakan penting di sudut tersorok. Kenapa tidak di dalam Pejabat Kastam, atau di Pejabat Jabatan Laut? Namun saya pendamkan rasa hairan saya.

Ada hal apa, Encik Saman?”

“Aku nak cakap dengan kau pun seganlah sebab taukeh kau tu seorang Haji. Tapi betau seberang sungai sana tempat kau tu memang ada masalah.”

Pada ketika itu rasa curiga saya mula memuncak. Saya mula mengesyaki yang dia ingin mengadakan suatu ‘permainan’ dengan saya. Saya tidak pasti apa ‘permainan’ tersebut. Namun saya terus menyampuk kata-katanya.

“Pasal masalah lesen ke, Encik Saman? Tapi betau kami ada lesen punggah-memunggah dari Jabatan Laut, jabatan Encik Saman sendiri.”

Saya cuba mengingati semula dokumen-dokumen Jabatan Laut yang pernah saya periksa sehelai demi sehelai di dalam fail di pejabat tempat kerja saya. Kemudian saya teringat bahawa betau itu tiada lesen jeti dari Jabatan Laut, tetapi hanya ada lesen jeti dari Jabatan Kastam.

Berdasarkan pemahaman saya, jeti persendirian di tempat saya bekerja itu bukanlah jeti dalam ertikata sebenar. Ia hanya sebuah tempat pendaratan, pemunggahan dan pemuatan barang-barang dagangan yang membantu melicinkan urusan perniagaan tukar barang atau barter trading di dalam daerah saya.

Jeti sebenar mempunyai struktur fizikal kekal yang mengunjur ke dalam gigi air. Betau saya itu pula tiada struktur sedemikian. Malah ia juga tidak boleh dipanggil dermaga kerana tiada struktur fizikal kekal yang dibina untuk menembok tebing sungai.

Jabatan Kastam ada mengeluarkan lesen jeti persendirian kepada syarikat tempat saya bekerja untuk memunggah dan memuat barang-barang dagangan tukar barang yang tertakluk di bawah Seksyen 33 Akta Kastam 1967. Pembinaan jeti itu pula telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri, tertakluk di bawah Akta Air yang saya tidak ingat di bawah syeksen berapa. Jabatan Laut pula mengeluarkan lesen kebenaran kerja punggah-memunggah barang-barang dari bot ke jeti dan jeti ke bot.

Ada surat dari ibu pejabat kepada Pejabat Tanah di sini meminta supaya semua jeti persendirian yang sedia ada dihentikan kegiatannya sebab akan mengecilkan sungai sebagai laluan jalan air. Jeti Kastam ini nanti nak dipanjangkan lagi. Tapi Pejabat Tanah di sini minta tangguhkan dulu arahan penutupan jeti-jeti persendirian. Jadi, sekarang ni perkara tu ditangguhkan dulu buat sementara waktu.”

“Ibu pejabat jabatan mana, Encik Saman? Jabatan Tanah dan Galian Negeri atau Jabatan Laut Wilayah Selatan?” Saya bertanya untuk menduga arah tuju perbualan.

“Jabatan mana, itu tak penting. Yang penting ada arahan daripada ibu pejabat yang mesti dipatuhi oleh pejabat-pejabat peringkat daerah dan pihak-pihak yang berurusan tentang hal betau, termasuk betau kau,” dia menjawab seakan-akan menyelindungkan fakta sebenar yang dia seolah-olah tidak ingin kongsikan dengan saya.

“Jadi, apa akibatnya kalau semua aktiviti jeti persendirian itu akan dihentikan? Kenapa pula ibu pejabat akur dengan permintaan Pejabat Tanah tu?” Saya bertanya lanjut.

Encik Saman terdiam tidak meneruskan kata-katanya. Saya dapat merasakan yang perasaannya mula gelisah bila saya soal bertalu-talu begitu. Sebagai seorang penjawat awam yang ada pangkat, saya tahu ada perkara yang sungguh pun dia boleh mendapat akses tentang sesuatu perkara, namun dia mempunyai pengetahuan yang terhad untuk memahami kenapa sesuatu perkara itu diperintahkan sedemikian rupa.

“Kau ni banyak soal pulak. Aku panggil kau bukannya nak jawab soalan kau. Tapi ada perkara yang aku nak bincang dengan kau.”

Saya pasti sekarang bahawa memang ada suatu ‘permainan’ yang ingin dia mainkan dengan saya. Saya cuba memahami arah tuju perbualan kami, namun masih tidak boleh menarik apa-apa kesimpulan lagi.

Tiba-tiba terlintas di dalam hati saya satu perkataan yang amat saya gerunkan.

Rasuah.

Apakah Encik Saman ingin mendapatkan rasuah daripada saya? Dengan serta-merta rasa takzim saya kepadanya sebagai seorang pegawai kerajaan terus lenyap. Saya mengawal raut wajah, berpura-pura tidak nampak arah tuju perbualan kami. Saya memandang tepat mukanya, cuba membaca makna tersirat di sebalik kerlingan matanya, seraya berkata,

“Apa sebenarnya yang Encik Saman nak bincang ni. Kalau pun penting, kenapa tidak kita bincang dalam Pejabat Syahbandar ke? Tak pun, boleh juga di dalam Pejabat Kastam, ada aircond lagi.”

“Benda ni mana boleh bincang dalam Pejabat Kastam. Bukan bawah bidang kuasa dia orang. Pejabat aku pun tak boleh. Bos aku tengah pakai bilik mesyuarat, ada meeting dengan kapten kapal. Macam nilah, yang sebenarnya betau kau tu ada masalah,” katanya sambil mengerling saya.

Rasa curiga saya semakin besar apabila dia enggan setuju dengan gesaan saya supaya berpindah tempat perbincangan. Apabila dia kata yang jeti tempat saya bekerja ada masalah, berbagai andaian liar semakin berleluasa di dalam benak saya. Apakah sebenarnya yang Encik Saman mahu daripada saya?

“Masalah apa Encik Saman? Pasal lesen ke? Setahu saya Jabatan Laut memang ada keluarkan lesen kebenaran punggah-memunggah kepada syarikat kami, dan masih sah lagi, lama lagi nak mati. Surat kebenaran pembinaan jeti pun kami ada terima daripada Pejabat Tanah Daerah. Lesen Jeti pun kami ada, Jabatan Kastam yang keluarkan. Setiap kali ada bot yang gunakan kemudahan jeti kami, ada bayaran yang ditetapkan oleh Kastam yang kami kena bayar dan Kastam kena isu resit rasmi kerajaan di atas setiap bayaran yang kami buat kepada mereka. Apakah kami perlu buat permohonan Lesen Jeti kepada Jabatan Laut?”

Saya mengujar panjang menjelaskan lesen dan permit yang syarikat majikan saya miliki untuk membolehkan suatu perniagaan jeti tukar barang dijalankan. Sebenarnya, saya memahami bidang kuasa setiap jabatan yang mengeluarkan lesen dan permit kepada betau tempat saya bekerja itu. Menurut Haji Usop, majikan saya, agihan bidang kuasa seperti itu diputuskan untuk mengelakkan sesuatu jabatan terlalu memonopoli kutipan hasil daripada rakyat jelata yang menjalankan atau terlibat dengan perniagaan jeti tukar barang, serta untuk mengelakkan salahguna kuasa jabatan-jabatan kerajaan terbabit.

Jabatan Tanah dan Galian Negeri diberi kuasa mengeluarkan permit kebenaran membina jeti. Jabatan Laut diberi kuasa mengeluarkan permit kerja punggah-memunggah kepada jeti yang menjadi tapak punggah-memunggah, di samping mengutip cukai rumah api dan cukai dermaga. Jabatan Kastam diberi kuasa mengeluarkan lesen jeti kepada tapak punggah-memunggah barang-barang dagangan. Setiap kapal yang membawa barang dagangan untuk diniagakan dengan cara tukar barang mesti membayar kepada Kastam sejumlah wang yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Jika barang dagangan itu melibatkan hasil kayu-kayan, peniaga yang menguruskan pengimportan atau pengeksportan kayu-kayan wajib mematuhi peraturan Jabatan Hutan. Pada masa yang sama, usahawan jeti atau betau, perlu mematuhi syarat-syarat Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran serta bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis jika diperlukan. Jeti persendirian seperti itu juga tidak terkecuali daripada pematuhan syarat-syarat kuarantin tumbuhan dan haiwan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Jabatan Perikanan.

Sebab itulah saya berasa sangat curiga apabila Encik Saman meninggikan suara dengan berkata,

“Siapa punya kuasa lebih besar? Aku boleh keluarkan surat arahan menutup betau kau dalam tempoh 24 jam pada bila-bila masa saja kalau aku nak. Tapi aku tak buat macam tu.”

Saya berkata dalam hati, dalam hal betau, kuasa yang lebih besar ialah kerajaan negeri. Kerajaan negerilah yang menjadi pemudahcara menyelaraskan organisasi perjalanan sesuatu aktiviti perekonomian. Tiada jabatan yang boleh mendakwa bidang kuasanya lebih besar daripada jabatan-jabatan lain.

“Encik Saman, maaf cakap. Saya tak bermaksud nak perkecilkan kuasa Encik Saman. Tapi jika Encik Saman ingin keluarkan arahan macam tu, silakan. Kami akan patuh. Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi pasti akan tertanya-tanya mengapa tidak banyak hasil yang Kastam boleh kutip daripada pemegang lesen betau berbanding masa lalu sedangkan menurut carta Jabatan Laut banyak kapal barter trading yang masuk ke daerah kita ini. Jabatan Encik Saman juga yang akan menjawab nanti dalam mesyuarat bulanan antara jabatan di Bukit Timbalan sana. Malah ketua Encik Saman di sini yang akan pening kepala sebab dia tidak pernah keluarkan surat arahan penutupan, tapi kami terpaksa tutup betau kerana menerima surat arahan tutup dari Jabatan Laut yang asal-usul surat itu tidak diketahui daripada siapa yang keluarkan.”

Encik Saman terkebil-kebil matanya bila saya berkata begitu. Tanpa tangguh, saya meneruskan kata-kata saya,

“Kalau isu yang Encik Saman nak bincangkan ialah pasal kami tidak ada lesen betau yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut, saya ingin beritau Encik Saman bahawa kami dah semak Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan-peraturan Perkapalan Saudagar dan Peraturan Pelabuhan Johor 1953. Tiada satu klausa pun yang boleh ditemui yang mewajibkan usahawan betau mesti dapatkan lesen jeti daripada Jabatan Laut. Macam mana kami nak buat permohonan lesen jeti dengan Pejabat Syahbandar?”

Encik Saman kelihatan gugup dan terpukul mendengar kata-kata saya itu. Bila saya sedar yang dia terdiam agak lama, saya pula menegurnya,

“Yang sebenarnya, apa hal yang penting sangat Encik Saman nak bincang ni?” Tanya saya dalam nada lembut.

Dia seakan tersedar bila saya bertanya begitu setelah terpukau mendengar kata-kata saya tentang hal ehwal pengurusan betau.

“Itulah, aku nak cakap pun segan sebab taukeh kau tu seorang Haji. Macam nilah, pinjamkan aku dua ratus ringgit, boleh?”

Saya tergamam. Banyaknya!

Saya nak bagi duit itu sebagai apa? Atas budi bicara saya ingin menolong dia? Apakah dia hendak pinjam duit saya untuk melunaskan bayaran tertentu? Apakah dia benar-benar terdesak dari segi kewangan?

“Tapi orang Ah Tai gentle. Dia sanggup bagi aku seribu sebulan. Aku ingat bisnes yang macam kau jalankan tu, mungkin boleh bagi aku banyak tu.”

Dengan tiba-tiba rasa benci di dalam hati saya terhadapnya meluap-luap. Dia boleh berkata seperti itu dengan air muka yang selamba, tanpa rasa malu. Saya selindungkan rasa benci itu dengan riak wajah yang terkawal dan turut berlagak selamba.

“Ah Tai boleh bagi direct kepada Encik Saman sebab dia sendiri taukeh. Saya pulak tak boleh nak pandai-pandai sendiri bagi duit kepada Encik Saman sebab saya bukan taukeh. Saya kena beritau taukeh saya dan minta izin dia untuk merasuah Encik Saman suatu jumlah yang tetap pada setiap bulan ikut kemampuan syarikat.”

Dia meletakkan jari telunjuk di bibirnya sambil menjegilkan mata dan berkata,

“Syyy… Jangan cakap terang-terang, nanti orang dengar, jatuh reputasi aku…”

Pada ketika itu barulah saya sedar bahawa Encik Saman sememangnya seorang kaki rasuah. Dia tahu bahawa rasuah itu haram. Namun, dia tetap ingin duit hasil rasuah, asalkan tiada orang lain tahu yang dia makan duit rasuah. Saya mengukir senyum di bibir. Bila melihat saya tersenyum, hatinya berasa senang, lalu mengajukan pertanyaan,

“Macam mana? Boleh bagi aku dua ratus?”

“Boleh. Saya boleh pinjamkan Encik Saman duit saya dulu. Tapi bila dapat gaji nanti, bayar balik dengan saya sebab saya nak bagi duit tu kepada adik saya yang masih belajar di UTM. Dia pun terdesak nak pakai duit. Katanya, dia keputusan duit belanja makan.”

“Habis, kalau kau bagi duit sekarang, adik kau tak ada duit makanlah. Dia tak ada biasiswa ke?”

Selahap-lahap Encik Saman, saya kagum dengannya kerana masih ada simpati dengan orang yang tiada kemampuan hendak beli makan minum. Biasanya pemakan rasuah bersifat rakus, haloba, pelahap dan tidak peduli nasib orang lain yang susah.

“Dia tak layak dapat biasiswa atau pinjaman pelajaran sebab dia ada waris yang boleh tanggung pelajarannya. Sayalah waris tunggalnya.”

“Berapa orang adik-beradik kau?”

“Kami berdua je. Orang tua kami, ibu dan ayah kami, dah lama meninggal dunia. Hanya dia saja harapan saya untuk mengubah nasib keluarga.”

Encik Saman menghela nafas. Apakah itu nafas insaf?

“Tak apalah. Lain kali saja kau bagi duit tu. Aku tak nak makan harta anak yatim. Tapi ingat, jangan beritau sesiapa tentang perjumpaan kita ini, terutamanya orang-orang di ofis aku.”

“Baiklah.”

Saya terus bangun dan menaiki motorsikal saya menuju ke pejabat. Setibanya saya di pejabat, saya terus menutup pintu dan duduk di atas sofa.

Buat sementara saya berasa lega kerana helah saya menjadi. Saya tahu bahawa orang seperti itu tidak akan meninggalkan saya sehingga dia dapat apa yang dia inginkan daripada saya. Ini kerja pemeras ugut! Bagaimanakah seorang penjawat awam seperti itu boleh menyalahgunakan kuasanya?

Nada suaranya semasa bertukar bicara dengan saya sepanjang pertemuan itu kedengaran seperti orang tengah high. Suaranya amat perlahan dan keluar dari dalam tenggorok.

Apakah dia berada dalam keadaan khayal. Apakah dia sedang berada di dalam pengaruh ketagihan sesuatu? Ganja, umpamanya, kerana saya mendapat tahu daripada orang-orang kapal bahawa bekalan daun ganja mentah yang siap dikeringkan boleh diperolehi dengan mudah daripada mereka. Haji Usop telah memberi amaran kepada saya agar berhati-hati dengan orang-orang kapal yang menawarkan ganja mentah. Malah seorang perisik Polis dari cawangan narkotik telah berjumpa saya di pejabat betau memohon jasa baik saya agar sudi menjadi informer berkaitan aktiviti pengedaran bahan dadah di betau.

Sungguh berani Encik Saman minta duit rasuah daripada saya.

Saya percaya bahawa perkara ini tidak akan selesai setakat ini. Bagaimanakah jika pada masa lain dia memanggil saya dan minta duit lagi daripada saya? Apakah alasan lain yang boleh saya beri? Saya pasti akan berurusan dengan dia lagi pada hari-hari seterusnya.

Sesungguhnya orang seperti itu telah menyusahkan hidup saya. Saya tidak halalkan dunia akhirat apa sahaja wang yang akan saya terpaksa beri kepadanya atas dasar rasuah, duit kopi, wang perlindungan, sagu hati dan seumpamanya. Saya hanya percaya bahawa BPR adalah perunding saya yang terbaik dalam masalah ini. Saya akan mengadukan hal ini kepada mereka selepas mendapatkan nasihat Haji Usop pada malam nanti.

Semoga Tuhan menunjukkan kepada saya jalan untuk membendung gejala rasuah dan salahguna kuasa. Semoga Tuhan memberikan saya keperkasaan untuk menghadapi kenyataan hidup. Semoga Tuhan melindungi orang yang baik-baik.


TAMAT.


www.eSasterawan.net, 17 Ogos 2007
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2006 & 2007


Nota kaki:
  1. Naskhah ini ditulis semasa saya bekerja di Bintulu berdasarkan pengalaman sebenar saya semasa bekerja di Batu Pahat sebagai seorang Tally Clerk di sebuah jeti persendirian yang menjadi lokasi barter trading barang-barang dagangan seperti kelapa, kopra, pinang, kayu bergergaji, kayu balak, kayu bakau, arang, makanan segera, tekstil, barangan kulit, permainan kanak-kanak dan barang-barang lain dari Tanjung Balai, Riau dan Dumai, Sumatera, untuk ditukar dengan barangan hasil bumi Batu Pahat/Muar yang akan dipasarkan di sana mengikut kontrak yang telah dipersetujui oleh para peniaga. Teks di atas disaring daripada laporan bertulis saya kepada BPR Batu Pahat terhadap salahlaku seorang anggota penguatkuasa penjawat awam yang hendak mendapatkan wang rasuah bulanan daripada saya. Oleh kerana terlalu panjang seperti sebuah cerpen (komen seorang pegawai), pegawai kanan yang telah membaca laporan itu meminta saya meringkaskan laporan dengan cara menjawab soalan spesifik daripadanya dengan ringkas dan tepat tetapi mencapai maksud laporan. Setelah selesai membuat laporan, saya nekad meninggalkan Batu Pahat mencari kerja di tempat lain.
  2. Semasa bekerja di Bintulu, saya menulis semula sebuah cerpen berdasarkan pengalaman anti rasuah saya dengan tidak memperincikan lokasi serta mengubah nama watak / entiti perniagaan. Namun saya terpaksa mengekalkan nama jabatan supaya para pembaca boleh memahami dengan mudah latar belakang cerita dan leraian daripada kekusutan yang saya bentangkan kepada para pembaca. Teks ini telah saya sunting banyak kali dengan membuang perenggan-perenggan tertentu yang tidak menyokong jalan cerita dan mengubah beberapa kali subjek dan prediket ayat-ayat tertentu.
  3. Setelah peram selama 4 tahun, pada tahun 2006, saya terbaca iklan Sayembara Menulis Cerpen Negeri Johor 2006 anjuran DBP Wilayah Selatan. Saya membuat keputusan untuk menghantar naskhah ini untuk masuk sayembara tersebut. Tidak lama selepas itu, saya terima surat makluman daripada penganjur bahawa cerpen itu menang hadiah saguhati dan saya dijemput untuk terima hadiah di dalam sebuah majlis yang diadakan di Johor Bahru. Oleh kerana sudah berkahwin, saya pergi bersama isteri yang menjadi pengiring saya. Berita tentang majlis tersebut telah dilaporkan oleh Rusdi Abd Rahman di dalam majalah Dewan Sastera edisi November 2006. Namun sehingga kini saya tidak melihat sebuah antologi pemenang sayembara itu sama ada yang diterbitkan oleh DBP. Saya meletak tahun 2006 pada tanda hakcipta kerana pada tahun itu, cerpen ini telah dibaca oleh panel hakim dan diperakui sebagai pemenang saguhati sebuah sayembara penulisan cerpen, dan tahun 2007 kerana pada tahun itu saya memuatnaik di laman web www.eSasterawan.net tetapi laman web itu sekarang sudah tidak boleh diakses kerana penganjur tidak berhasrat untuk mengekalkan kos penyelenggaraan domain name dan hosting.    
  4. Asas daripada cerpen ini telah menerbitkan dua lagi cerpen dengan tema industri sokongan marin iaitu “Gerak Gantri”, dengan latar kerja penyelenggaraan aset mudah alih pengendali kontena di pelabuhan, dan “Transisi” dengan latar kerja mengurus kapal-kapal pesisir pantai AHTS yang menyokong kerja carigali minyak dan gas di laut. Cerpen “Gerak Gantri” pernah saya siarkan secara online di laman web e-Sastera yang lama, manakala “Transisi” belum pernah tersiar di mana-mana.
  5. Saya benci rasuah kerana hukum haramnya telah jelas dalam agama Islam. Saya percaya anda turut membenci rasuah. Tetapi kalau anda ditaqdirkan berdepan dengan situasi rasuah, apakah pilihan anda dan apakah yang anda akan buat?
  6. Kredit akaun Youtube 'Md Jaeez' untuk lagu "Akar dan Bumi" dendangan Amuk. Lagu ini ditujukan kepada kita semua para pendosa, masih ada peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah.


Rabu, 26 Ogos 2015

15 Harum Seroja Yang Gugur


“Apa yang dimenungkan, tu,” Abu Bakar atau nama glamournya, Burn, menegurku. Dia baru pulang dari kuliah histologi.

Aku sedang duduk termenung, menghidu harum sekuntum seroja pemberian Juhana, sambil memerhatikan sepohon pokok ceri di tepi jalan yang sedang berbuah lebat. Anak-anak jiran keturunan Eropah dan Asia begitu girang memetik buah-buah ceri yang masak ranum.

“Aku tak faham melihat perubahan sikapnya, Burn,” kataku sambil memasukkan setangkai bunga seroja itu ke dalam vas di tepi tingkap.

“Siapa yang kau maksudkan?”

“Juhana.”

Burn merebahkan badan di atas katil setelah bersalin kain pelekat. Dia berlengging sahaja kerana cuaca musim panas Adelaide terlalu gagah untuk diimbangi oleh penghawa dingin bilik sewa kami.

“Apa masalahnya?”

“Sejak berkawan dengan student Algeria tu, dia jarang bercakap denganku.”

“Lelaki atau perempuan?”

“Lelaki.”

“Oh, ho. Kau cemburu!”

“Tak. Tapi curiga.”

“Curiga?” Burn bangkit seraya duduk di birai katil menghadapku. “Curiga apa?”

“Kau tak ikuti perkembangan dia?” Burn memandangku penuh persoalan. “Apa beza Ju dulu, semasa kita sama-sama belajar di tahun pertama dan kedua, dengan Ju sekarang, semasa kita sama-sama bertungkus-lumus di dalam peperiksaan tahun akhir?” Burn terdiam.

“Betul juga kata kau. Dulu dia rajin bercampur dengan kita, ambil tahu hal kita. Sekarang dia tak macam tu. Kau ada penjelasan? Apa kaitan Ju dengan budak Algeria tu? Siapa namanya?”

“Namanya Abdul Rashad. Student psikologi. Ju ada berjumpa aku supaya tidak lagi bersusah-payah mencari dia kalau aku ada masalah dalam subject yang aku study. Sebaliknya, dia minta aku supaya rujuk dengan Rashad kerana Rashad mampu beri penerangan jelas.”

“Itu tak menjelaskan kenapa dia semakin renggang dengan kita!”

“Aku sudah jumpa Rashad. Dia memang bijak pengaruh orang supaya percaya cakapnya. Dia memang ada karisma sebagai psikiatris. Tapi, taukah kau siapa Rashad?”

“Tak tau. Kenapa kau tanya begitu?”

“Dia seorang pemimpin belia sebuah pertubuhan Islam radikal yang berpusat di sini. Aku curiga dengan gagasan pertubuhannya. Bagaimana sebuah pertubuhan Islam seperti itu boleh menggalakkan orang-orang Islam supaya tidak payah rajin berusaha merebut rezeki yang dianugerahkan Tuhan di dunia dan menumpukan hidup beribadat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Tuhan? Kita di sini, datang untuk belajar, memajukan diri kita dan memperbaiki keadaan hidup kita. Tapi si Rashad tu, bila berkawan dengan Ju, dipujuknya Ju supaya meninggalkan pelajaran dan masuk pertubuhannya. Kononnya kedudukan wanita di dalam agama semata-mata berbakti untuk rumahtangga dan keluarga.”

“Juhana ada cakap dengan kau macam tu?”

“Dia ada tulis nota untukku. Dalam nota tu, dia mempersoalkan pula tentang masa depannya dan bagaimana dia boleh berbakti kepada agama kalau tiada ilmu dan kemahiran. Rashad bertegas bahawa tugas wanita hanya mentaati keluarga dan suami. Tak payah susah-susah nak bekerja menyara hidup. Ju tak setuju dengan Rashad. Dia menjauhkan diri dari Rashad.”

“Tentang dia menjauhkan diri dari Rashad tu, aku rasa betul. Tapi tentang dia menjauhkan diri dari kita, aku rasa ada penjelasan lain. Sekarang aku nampak logik rasa curiga kau.”

Aku memasang earplug di telinga semula dan memainkan lagi sambungan lagu “Seroja” sambil mencium kuntum-kuntum seroja di dalam vas di tepi tingkap.

Mari menyusun seroja, bunga seroja,
Hiasan sanggul remaja, puteri remaja.

Menurut cerita Shasha yang menjadi teman serumah Juhana, aku mendapat tahu yang Juhana telah kematian bapanya akibat barah hati sebulan sebelum peperiksaan akhir bermula. Berita kematian telah diterimanya seminggu kemudian. Mungkinkah itu punca Juhana cuba menjauhi kami?

Aku telah berusaha untuk berjumpa dengan Juhana. Akhirnya aku berjaya setelah terserempak dengannya di perpustakaan. Aku terus mengucapkan takziah di atas kematian bapanya sambil memberi perangsang supaya dia menumpukan sepenuh perhatian untuk peperiksaan akhir.

“Taqdir Tuhan. Kita yang hidup hendaklah terima dengan redha,” katanya tabah.

Kemudian kami ke kantin untuk bersarapan sambil bersembang-sembang.

“Kau ada character tersendiri yang tak mudah terikut-ikut dengan trend orang-orang di sekeliling kau,” ucap Juhana apabila kami duduk setelah mengambil makanan di kaunter. Kami menikmati hidangan sambil meneruskan perbualan.

“Aku lebih percaya kepada flexibility dalam berkawan. Aku percaya, dalam berkawan, kita tidak boleh membuatkan kawan kita berasa oblige dengan kita. Yang penting, kita mesti setia dan tidak khianat terhadap kawan kita itu.”

“Apa rancangan kau bila kembali ke tanahair?”

“Berkhidmat kepada masyarakat, berjasa kepada negara. Itulah cita-citaku.”

“Sungguh murni cita-citamu.”

“Ju, …,” aku ingin menyatakan sesuatu yang aku rasa amat sukar untuk dilafazkan.

Kami saling berpandangan mata. Saat-saat itu terus berlalu bersama pengertian tersendiri yang mengalir di antara kami. Dia menanti kata-kata yang akan kuluahkan. Tiba-tiba aku berasa malu sendiri. Kurasakan kedua-dua pipiku kemerah-merahan kerana menahan sipu.

Aku terus meneguk air kopi yang semakin sejuk.

“Tak ada apa-apa, Ju. Aku dah terlambat. Aku pergi dulu.”

Selepas pertemuan itu aku terus ke dewan pembedahan untuk menghadiri peperiksaan akhir.

*****

Aku baru pulang dari sessi disertasi di dewan pembedahan. Tiba-tiba Burn menerpa keluar dari rumah sambil memberitahu sesuatu.

“Apa? Bila?” Hatiku bergetar.

“Pagi tadi. Shasha baru saja telefon aku.”

“Bagaimana keadaannya sekarang?”

“Tak tahu. Mari kita ke hospital. Kawan-kawan kita dan pegawai-pegawai JPM dah ada di sana.”

Rupa yang elok, dimanja, jangan dimanja,
Pujalah ia, oh saja, sekadar saja.

Aku rasa hidup ini benar-benar kosong. Kenangan bersama Juhana telah menyemarakkan zaman remajaku. Hati ini berasa meriah bila berada di sisinya. Adakah dia rasa seperti yang aku rasa?

Aku tidak dapat lagi menikmati keharuman kuntum-kuntum bunga seroja yang selalu dikirimnya kepadaku pada setiap hujung minggu dalam musim bunga. Bila aku bertanya tentang logik di sebalik pemberian bunga seroja itu, dia menjawab bahawa dia ingin aku menganggapnya seperti bunga seroja itu. Alangkah syahdunya.

Kini dia sudah tiada. Tuhan lebih menyayanginya. Dia telah meninggal dunia di dalam satu kemalangan jalan raya yang dikelaskan oleh polis Adelaide sebagai kes langgar lari semasa berjalan pulang dari membeli-belah bersama teman serumah setelah menduduki peperiksaan terakhir.

Tiba-tiba pintu rumah sewaku diketuk bertalu-talu. Aku membuka pintu. Seorang lelaki yang aku kenal tercegat di ambang pintu.

“Assalamualaikum. Boleh saya masuk?”

“Waalaikumussalam. Silakan.”

Setelah berada di dalam, dia lekas-lekas menutup pintu. Kemudian dia menjenguk ke luar tingkap seperti memerhati seseorang. Kenapa Rashad berkelakuan seperti melarikan diri dari sesuatu?

“Saudara tiada usrah pada hari minggu ini?” Soalku sambil mempelawanya duduk di sofa.

“Persetan dengan usrah dan kuliah. Saudara harus menolong saya. Nyawa saya dalam bahaya, tapi saya tak takut mati.”

Kata-katanya mengejutkan aku.

“Saya ada satu rahsia besar yang hendak disampaikan kepada saudara. Harap saudara dapat simpan rahsia ini dengan baik. Jangan sampai orang lain tahu yang saudara tahu rahsia ini kerana akan membahayakan nyawa saudara.”

Kecurigaanku terhadap Rashad sejak sekian lama memang berasas. Kecurigaanku kepadanya semakin besar kini bila dia berbicara denganku tentang rahsia dan maut. Siapa sebenarnya Rashad?

“Untuk membasmi green menace setelah komunis berkubur, pertubuhan kami telah menggunakan agama Islam itu sendiri untuk melemahkan kekuatan umat Islam. Ajaran Islam itu benar, tetapi umat Islam boleh dipengaruhi dengan dakyah sesat ajaran Islam yang diselewengkan, khususnya oleh tokoh-tokoh agama yang kami latih secara profesional.”

Tuhan, aku harap dia berkata benar bila dia menceritakan tentang identiti dirinya yang sebenar.

“Saya telah cuba mempengaruhi Juhana, tapi dia menolak ajaran saya, berbanding kawan-kawannya yang lain. Lama-kelamaan, saya sedar yang saya telah mula mencintainya. Rasa cinta saya kepada Juhana telah meneguhkan kepercayaan saya terhadap Islam. Saya mula membenci pekerjaan asasi saya. Saya ingin lari dari dunia pura-pura ini.”

“Kenapa saudara mencari saya?”

“Kerana dia pernah memberitahu saya bahawa saudara adalah teman karibnya yang boleh dipercayai. Kenapa tidak saya letakkan kepercayaan saya kepada saudara, sebagaimana Juhana meletakkan kepercayaannya kepada saudara?”

“Apa kaitan semua ini dengan Juhana dan saya?”

“Kemalangan Juhana memang telah dirancang oleh pertubuhan kami. Orang atasan saya di Sydney mula mengesyaki kegagalan saya mempengaruhi Juhana. Mereka sangka saya telah memberitahu Juhana tentang rahsia pertubuhan kami. Saya sangat menyesal Juhana mati kerana berkawan dengan saya. Saya ingin membela kematiannya. Tapi saya tahu, saya tidak boleh berbuat begitu. Saya percaya, hanya saudara yang boleh. Mungkin barang ini boleh membantu saudara.”

Rashad mengeluarkan sebuah envelop berwarna oren yang kelihatan lusuh dari dalam jaketnya. Envelop itu terpateri kemas.

“Di dalamnya terkandung rahsia pergerakan pertubuhan kami. Saya sertakan pita rakaman yang mengandungi minit mesyuarat orang atasan kami yang merumuskan bahawa Juhana dan saya mesti dibunuh kerana kami telah dianggap sebagai ancaman kepada mereka.”

Aku mengambil envelop itu dengan rasa hairan.

“Saya kesuntukan masa. Saya minta diri. Jika keadaan terdesak, nyawa saya menjadi galang ganti keselamatan saudara. Assalamualaikum.”

Belum sempat aku bangkit untuk mengiringinya ke pintu, dia telah keluar melesapkan diri di celah-celah orang ramai yang lalu-lalang di kaki lima.

“Waalaikumussalam,” ucapku dengan perasaan berbaur.

Dua hari kemudian, mayat Rashad dengan kesan tembakan di antara dua keningnya, telah ditemui oleh seorang pengemis tua di dalam longgokan sampah-sarap di belakang sebuah kondominium lama di pinggir bandar.

Aku mengetahui berita itu melalui berita televisyen waktu perdana. Rakan-rakan serumahku tidak menghiraukan berita tersebut kerana mereka sedang sibuk berkemas untuk pulang ke tanahair.

Mereka telah menjadi korban sebuah konspirasi antarabangsa untuk melemahkan Islam dan umat Islam. Aku tidak berkongsi rahsia itu dengan Burn, rakan-rakan lain atau JPM.

Akibatnya, aku telah menjadi seorang yang sangat curiga terhadap orang-orang di sekelilingku. Wajah-wajah di negeri asing itu, boleh jadi sahabat yang mengambil berat tentang diri kita, atau musuh yang ingin menamatkan nyawa kita.

Aku paranoid!

Aku tahu aku tidak boleh berasa curiga tanpa sebab. Aku juga tidak boleh berasa lemah.

Mengapa kau bermenung, oh adik berhati bingung,
Janganlah percaya asmara, dengan asmara.

Suara Sharifah Aini terus berkumandang di dalam telingaku menyanyikan lagu “Seroja” yang keluar dari walkman yang ada di dalam saku bajuku.

Seorang pramugari manis melintas di sebelah tempat dudukku sambil menyorong sebuah troli berisi hidangan makan malam. Sejambak bunga seroja kelihatan segar menghiasi sebuah vas.

Seorang penumpang lelaki berpakaian sut bisnes selang lima kerusi di hadapanku bangun dan berjalan ke belakang. Mungkin dia ingin melepaskan hajat di bilik kecil.

Dia tidak perasan bahawa pramugari tadi sedang menyorong sebuah troli hidangan makan malam. Dia terlanggar troli itu. Pramugari dan penumpang itu saling memohon maaf di atas kecuaian masing-masing.

Sejambak bunga seroja yang segar terjatuh di atas lantai kapal terbang. Kelopak-kelopaknya bertaburan. Namun, keharuman semulajadinya yang menusuk hidung terus menyegarkan azam dan semangatku untuk berbakti kepada agama dan tanahair tercinta setelah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di seberang laut.

Mereka yang terkorban tidak terkorban dengan sia-sia.

Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung,
Marilah kita bersama memetik bunga.


TAMAT.


Berita Harian, 11 Oktober 2000
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2000


Nota kaki:
  1. Cerpen ini ditulis semula daripada cerpen asal saya yang lain berjudul “Ayuwati Serojaku” yang merupakan sebuah naskhah kerja kursus bagi kursus Penulisan Kreatif HKP 331/4 yang saya ambil sebagai kertas elektif pada semester terakhir pengajian saya di USM. Semua sekali ada lima tugasan yang wajib diserahkan kepada pensyarah. Cerpen itu adalah cerpen keempat yang telah diserahkan kepada SN Shahnon Ahmad, pensyarah yang mengajar pada masa itu, sebagai Tugasan Keempat menulis sebuah cerpen dan dua buah sajak untuk dinilai dalam sistem pemarkahan. Malangnya, semasa hendak mengambil transkrip yang telah disemak dan diberi markah di loker hadapan pejabat Shahnon Ahmad, saya tak jumpa transkrip saya dan berasa hairan siapa yang telah ambil kerja kursus saya itu. Saya tanya pensyarah, beliau kata semua telah diletakkan di loker untuk diambil kembali oleh para pelajar. Hingga hari terakhir di kampus, saya masih tidak tahu siapa yang ambil transkrip kerja kursus saya itu.
  2. Cerpen “Ayuwati Serojaku” sangat sentimental bagi saya. Ia diinspirasikan daripada novel Shaari Isa berjudul “Projek PL5”. Oleh kerana saya tidak buat salinan cerpen itu dan disket yang simpan cerpen itu telah punah, saya tidak dapat siarkan cerpen “Ayuwati Serojaku” di blog ini. Tema, plot, jalan cerita, struktur, latar masa dan peristiwa kedua-dua cerpen “Ayuwati Serojaku” dan “Harum Seroja Yang Gugur” adalah serupa kecuali “Harum Seroja Yang Gugur” adalah kependekan kepada cerpen “Ayuwati Serojaku”. Menulis semula naskhah yang hilang adalah pengalaman yang sakit. Kita hanya dapat coret balik setakat yang kita mampu ingat saja sebab kita memang tidak akan mampu untuk ingat semua setiap perkataan dan tanda baca yang telah kita coret dalam tulisan asal.  
  3. Asas daripada cerpen ini telah menerbitkan dua lagi cerpen sambungan iaitu “Kemboja Wangi di Kali” dan “Aroma Anggerik Rimba Dara” yang saya belum pernah hantar ke mana-mana untuk diterbitkan.
  4. Diselitkan video foto pegun lagu "Seroja" dendangan Allahyarhamah Sharifah Aini yang dirakam daripada siaran Radio Klasik.