Arius telah
meletakkan raksasa jalanan itu di atas sebuah tebing tinggi yang menganjur ke
gigi pantai. Dari situ, dia boleh melihat setiap objek yang perlu diawasinya
sepanjang penantian tersebut.
Dari sebalik
kaca tebal, dia boleh melihat dengan jelas pemandangan sebuah kota pelabuhan di bawah sana . Pandangan matanya menafsirkan bahawa
suasana kota
itu amat lengang. Tiada sebuah pun kapal laut yang berlabuh dan berurusan
dengan pihak berkuasa pelabuhan. Tidak kelihatan cahaya lampu yang keluar dari
jendela menara-menara pencakar langit. Gelap dan sepi.
Keadaan seperti
itu amat menghairankannya kerana daripada maklumat perisikan yang telah
disampaikan kepada Pengurusan Japtan (Jawatankuasa Pertahanan Tiga Negara) menyatakan
bahawa Ballasan merupakan sebuah kota
pelabuhan yang terbesar dan tersibuk di kawasan Laut Kazaristan itu.
Kemasyhurannya telah digambarkan melalui sebuah mercu tanda yang telah dibina
oleh pemerintahnya di tepi pantai sebuah teluk yang terletak berhampiran
pelabuhan. Mercu tanda itu merupakan sebuah ukiran menara ombak yang menjulang
sebuah kapal perdagangan terbesar di Misteroid seratus tahun yang lalu. Arius
boleh melihat mercu tanda Ballasan dari tempatnya menunggu.
Seratus tahun
kemudian, iaitu pada masa kini, Ballasan telah berubah menjadi sebuah pangkalan
tentera utama bagi android-android Saibatirran.
Dan pada senja
itu, Arius berasa curiga melihat keadaan kota
itu kerana tidak menepati laporan perisik-perisik Japtan.
Objek lain yang
perlu Arius awasi ialah kemunculan Blushiannoah di permukaan perairan Laut
Kazaristan. Blushiannoah ialah sebuah kapal selam mega dwifungsi buatan bangsa
Aggnar yang telah dibina di Pulau Navigor, sebuah pulau yang terletak di negara
kepulauan Nusantara.
Kemunculannya di
perairan Ballasan menandakan permulaan sebuah siri peperangan di antara
Qomulian dan Empayar Galaktos.
Malam
menghadirkan dirinya setelah siang bersemadi di ufuk barat. Arius meninjau
perairan Ballasan dengan menggunakan teropong sinar lembayung. Tiada tanda yang
menunjukkan bahawa Blushiannoah telah muncul.
Tiba-tiba
videofon yang dipasang di atas kaca tebal membunyikan isyarat.
Arius menyentuh
beberapa butang yang ada di atas konsul kawalan di hadapannya.
Layar perak
memaparkan wajah Katta, Panglima Ketumbukan Republik Traulum, yang memimpin
angkatan dari negara Traulum. Panglima Katta sedang menunggu bersama bala
tenteranya di Lembah Izkurai yang terletak di sebalik Banjaran Startika, tidak
jauh dari Kota Ballasan.
“Salam sejahtera
ke atas Arius,” Panglima Katta memberi salam.
“Salam sejahtera
kembali, Panglima Katta.”
“Saya menunggu
laporan Arius seperti yang telah diatur,” kata Panglima Katta.
Arius memeriksa
frekuensi komunikasi yang sedang digunakan oleh Panglima Katta. Dia berpuas
hati kerana frekuensi itu tidak dipintas oleh frekuensi komunikasi musuh.
“Blushiannoah
belum timbul. Akan tetapi, saya amat yakin bahawa Nakhoda Armada Nusantara akan
menepati janjinya. Laksamana Nuhh telah melepasi Selat Tabruz. Punca
perhubungan kita di Pulau Sparro mengesahkan bahawa angkatan Blushiannoah akan
tiba, menurut jangkaan mereka, beberapa minit lagi. Cuma, mereka mungkin tidak
akan timbul di titik koordinat yang telah ditentukan.”
“Saya terasa
seperti ada halangan yang akan menghambat Blushiannoah, Arius.”
“Memang benar,
Panglima. Melalui teleskop ultra, saya telah mengesan dua puluh ribu periuk api
di seluruh permukaan Teluk Saddiq'.”
Air muka
Panglima Katta kelihatan berkocak sedikit.
“Ini adalah
ancaman terhadap armada Nusantara. Mereka tidak akan dapat menghantar Paskhal
mereka.”
Arius tahu
bahawa Paskhal ialah Pasukan Khas Laut, unit komando Tentera Laut Republik
Nusantara.
“Panglima, saya
mencurigai sesuatu.”
“Apa yang Arius
curigakan?”
“Barangkali
Batara telah mengetahui rencana ini.”
“Mustahil. Kami
Qomulian telah meletakkan sepenuh kesetiaan terhadap Arius dan Kaus Aurian.
Kami percaya bahawa Kaus Aurian akan memimpin kami ke arah kemenangan. Kami
tidak akan mengkhianati perjuangan suci ini kerana kami telah lama menunggu ketibaan
Kaus Aurian di kalangan kami.”
“Panglima,
sebagai Perdana Aurian, saya tidak melemparkan tuduhan terhadap orang-orang
yang saya pimpin. Kesetiaan dan kepercayaan Qomulian terhadap saya, adalah sama
dengan kesetiaan dan kepercayaan saya terhadap Qomulian. Tetapi inilah yang
boleh saya laporkan tentang keadaan Kota Ballasan sekarang. Aktiviti di
pelabuhan tidak berjalan seperti biasa. Seluruh kota gelap-gelita. Apa yang ingin Batara
gambarkan kepada kita, jika dia telah tahu rancangan ini, selain daripada
memberitahu kita bahwa mereka telah bersiap-sedia menerima kunjungan
askar-askar kita?”
“Sepanjang
pengetahuan kami, Armada Timur Empayar Galaktos belum menerima bekalan dan
bantuan ketenteraan tambahan dari Saibatirran.”
“Kita perlu
berwaspada. Saya khuatir tentang skuadron bionikoid Batara yang mungkin sedang
berlegar-legar di angkasa Ballasan sekarang. Radar saya belum dapat mengesan
kehadiran mereka.”
Panglima Katta
terdiam.
“Apa pandangan
Arius?”
“Apa yang ada di
dalam fikiran Panglima sekarang?”
“Saya
mencadangkan penyisihan misi.”
“Cadangan itu
amat bahaya. Bagaimana Panglima ingin membuat penyisihan misi?”
“Begini cadangan
saya. Arius mengekalkan tugas sebagai penghancur reaktor tenaga Ballasan, yang
tidak dijadikan sebagai pukulan pertama. Skuadron pertama Traulum akan menyerbu
ke tengah kota
untuk menerjunkan Pahndura kami. Sebelum kembali ke markas, skuadron kedua akan
menyerbu dan membinasakan pertahanan udara. Ini pukulan pertama. Semasa perang
sedang berkecamuk, Arius menyerbu dan mendapatkan sasaran. Skuadron ketiga akan
menyusul setelah skuadron kedua kami berjaya bergabung dengan skuadron dari
Blushiannoah. Misi seterusnya, berjalan seperti yang telah dirancang.”
Menerjunkan
Pahndura atau Pasukan Handalan Udara adalah tindakan yang amat merbahaya. Namun,
mereka tiada pilihan lain.
“Cadangan
Panglima bernas tetapi bahaya. Nusantara akan terkejut melihat perubahan yang
berlaku.”
“Arius, saya
mencadangkan supaya kita mengelirukan perhatian musuh.”
“Saya faham
cadangan dan akibatnya yang diajukan Panglima. Saya faham bahawa ada banyak
pintu peluang kemenangan yang kita boleh cuba masuk. Kita boleh cuba
pintu-pintu lain jika pintu yang ingin kita masuk tertutup untuk kita.”
Tiba-tiba
isyarat teleskop sinar lembayung mengeluarkan bunyi.
“Blushiannoah
sedang timbul.”
Kelegaan meraup
wajah Panglima Katta.
“Titik koordinat
yang dipilihnya terlalu jauh daripada titik koordinat yang telah ditentukan.
Saya yakin bahawa Laksamana Nuhh akan mengubah kapal selamnya menjadi sebuah
kapal pengangkut pesawat udara sebentar lagi.”
“Arius, perang
tidak dapat dielakkan lagi. Sama ada Batara sudah bersedia atau belum, izinkan
saya bertindak mengikut intuisi saya. Saya berdoa semoga Tuhan memimpin kita ke
arah kemenangan.”
“Panglima Katta,
saya turut berharap agar Laksamana Nuhh mempunyai pendirian yang sama seperti
Panglima. Saya turut berdoa, semoga Tuhan memimpin kita ke jalan kemenangan.”
Perhubungan
mereka putus. Wajah Panglima Katta lenyap di dalam skrin.
Arius menumpukan
perhatian kepada teleskop sinar lembayung.
Di dalam skrin
teleskop itu, sebuah kapal selam sedang timbul di permukaan air. Kemunculan
Blushiannoah ibarat ribut taufan yang melanda pesisiran pantai kawasan
Kazaristan. Gemuruh bunyi Blushiannoah ketika mengosongkan tangki-tangki
balastnya telah mengejutkan penghuni laut malam yang segera bertempiaran lari
menjauhi struktur mekanikal raksasa air tersebut. Penghuni-penghuni laut malam
dapat merasakan ancaman yang dibawa oleh Blushiannoah terhadap kerajaan yang
memerintah Ballasan pimpinan Batara.
Pelepasan air
laut dari tangki-tangki balast Blushiannoah telah menghasilkan alun gelombang
yang besar di sekelilingnya. Alun gelombang itu terus melanda pantai Ballasan
membawa bersama cabaran perang terhadap bala tentera Saibatirran. Pergerakan
ombak yang maha dahsyat telah menghidupkan suis unit-unit periuk api yang
ditabur di perairan Ballasan dan mengakibatkan berlakunya letupan demi letupan
di tengah laut.
Perairan Teluk
Saddiq' terbakar.
Laut Kazaristan
telah terbakar!
Hati Arius turut
dibakar oleh api perang.
Arius
memerhatikan proses perubahan Blushiannoah daripada sebuah kapal selam kepada
sebuah kapal pengangkut pesawat pejuang. Transformasi Blushiannoah telah
mendedahkan taring dan segala kekuatan yang telah dibungkus sekian lama
sepanjang perjalanannya di bawah permukaan air dari Nusantara ke Ballasan.
Laksamana Nuhh
tidak bertangguh lagi melancarkan beberapa buah skuadron pesawat pejuang untuk
menggempur Ballasan.
Arius tersentak.
Laksamana Nuhh
telah melancarkan pukulan pertama bagi pihak Qomulian. Dia telah melakukan
penyisihan misi yang pertama. Mungkin intuisinya telah memimpin tindakan
tersebut. Mungkin unit perisikan di Pulau Sparro yang diperintah oleh Traulum
telah menyampaikan maklumat periuk api Ballasan.
Ballasan segera
membalas serangan Blushiannoah dengan muntahan peluru-peluru dari meriam-meriam
darat ke laut yang paling hebat yang dimilikinya. Perairan di sekeliling
Blushiannoah berkocak hebat akibat hujan peluru meriam Ballasan. Blushiannoah
melancarkan serangan meriamnya ke atas Ballasan.
Arius dapat
melihat beberapa buah skuadron pesawat pejuang menyerbu keluar dari Ballasan
untuk menyambut serangan pesawat-pesawat pejuang Nusantara.
Arius terkejut
apabila radarnya mengeluarkan beberapa isyarat.
Bionikoid!
Arius dapat
melihat berpuluh-puluh buah bionikoid sedang terbang berlegar-legar di atas
udara Ballasan. Kemunculan skuadron tersebut bagaikan halimunan. Bahagian
belakang tubuh bionikoid-bionikoid tersebut terlukis jata Batalion Naga Hitam.
Batalion Naga Hitam ialah sebuah ketumbukan terkuat di dalam angkatan tentera
Empayar Galaktos. Perisik-perisik Qomulian di Saibatirran telah menyampaikan
maklumat kepada Japtan bahawa Maharaja Galaktos telah mengerahkan ketumbukannya
yang terkuat itu untuk memimpin peperangan terhadap Qomulian yang diketuai oleh
Kaus Aurian.
Itulah kejutan
yang sangat tidak diingini oleh Arius. Kini dia percaya bahawa Batara telah
mengetahui rencana perang Qomulian. Seseorang telah membisikkan berita tersebut
ke telinga Batara.
Tiba-tiba
beberapa buah skuadron pesawat pejuang bala tentera Traulum muncul dari sebalik
Banjaran Startika dan menyerbu ke arah Ballasan. Mereka segera menerjunkan
anggota-anggota Pahndura. Bionikoid-bionikoid yang berlegar-legar di udara
sedar tentang serangan tersebut. Mereka segera terbang ke arah Pahndura dan
menangkap tubuh-tubuh komando udara itu lalu mengoyakkan tubuh-tubuh tersebut
seperti helang mengoyak tubuh mangsanya. Bionikoid-bionikoid lain terus menghentam
angkatan udara Traulum.
Kebinasaan untuk
bala tentera Traulum jika Arius lambat bertindak.
Arius tidak
dapat bersabar melihat peristiwa perang yang sedang berlaku di hadapan matanya.
Qomulian telah berjanji setia untuk menerima kepimpinan Kaus Aurian dengan
darah dan air mata. Dengan darah dan air mata juga akan dia menggalang
pembantaian askar-askar Empayar Galaktos ke atas Qomulian.
‘Giliranku,’
bisik hati Arius.
Arius menyentuh
butang-butang yang ada di atas konsul kawalan dan mencapai suis-suis yang
melekat di dinding dan siling ruang pemandu. Tubuhnya dibelit oleh
talian-talian keselamatan yang keluar secara automatik dari dalam sofa pemandu.
Bermula proses
metamorfosis trailer raksasa yang dipandunya.
Beberapa
komponen di kepala trailer berubah secara mekanikal, mendedahkan wajah sebuah
aerobish. Komponen-komponen lain di beberapa bahagian tubuh trailer turut
berubah. Beberapa ketika yang berlalu, telah mengizinkan trailer raksasa itu
berubah sepenuhnya dan memiliki sesusuk tubuh sempurna sebuah aerobish.
Selama beberapa
saat, Arius dapat merasai gegaran di seluruh tubuh aerobish perkasa.
Dengan satu
pergerakan yang perlahan, aerobish itu bangkit dari pembaringan, penuh
bertenaga. Ia berdiri tegak untuk menghadapi serangan yang bakal tiba. Matanya
bersinar, memancarkan cahaya kuning yang menyuluh jalan.
Buat beberapa
detik, ia mengenali alam sekeliling dan mengetahui siapa dirinya. Ia memahami
tujuan wujud dirinya.
Arius cuba menyatukan
jiwanya dengan denyutan memori aerobish itu. Bermeditasi di dalam suasana yang
hening, Arius membayangkan bahawa setiap tindakannya adalah tindakan aerobish
itu, setiap keputusannya adalah keputusan aerobish itu. Arius dapat merasai
satu semangat baru yang meresap ke dalam jiwanya.
Akulah Habrul Prisma!
Habrul Prisma
berlari ke pintu Ballasan. Beberapa buah bionikoid sedang menantinya dengan
senjata yang terhunus. Ia menujahkan tumit ke udara. Roket pengimbang yang
dipasang di pinggang dan buku lali membenarkannya berada di udara. Tanpa
memberi peluang bertindak, Habrul Prisma menyerang musuh-musuhnya. Beberapa
buah peluru berpandu keluar dari pelancar yang diletakkan di atas kedua-dua bahunya.
Jasad mereka berkecai.
Pertempuran di
langit Ballasan semakin sengit. Bom demi bom digugurkan dan banyak peluru
berpandu yang mengena sasaran. Menara-menara pencakar langit mula runtuh.
Semakin banyak pesawat pejuang Saibatirran muncul di langit Ballasan. Mercu
tanda kemasyhuran Ballasan runtuh terkena bedilan Blushiannoah.
Langit malam
Ballasan diterangi bunga api peperangan.
Habrul Prisma
segera mencari reaktor tenaga binaan android-android Saibatirran. Beberapa buah
tangki besar seolah-olah sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman kemusnahan.
Setelah mendarat
di kawasan itu, ia bersedia memusnahkan tangki-tangki tersebut. Habrul Prisma
mengeluarkan sepucuk senjata yang tersimpan di dalam peha kanan, lalu menembak
tangki-tangki berisi bahan organik. Letupan besar demi letupan besar meraung
dan bergema apabila tembakan-tembakan Habrul Prisma mengena sasaran.
Tiba-tiba sebuah
pukulan yang kuat menghentam belakangnya. Habrul Prisma kehilangan imbangan
badan. Tubuhnya jatuh di atas tanah. Ia cuba menggagahkan diri untuk
bangkit, dan berjaya.
Ia sangat
terkejut. Sebuah aerobish berdiri di hadapannya.
Siapakah dia yang berani menghalang tugasku yang belum
selesai?
Aerobish itu
menyerang Habrul Prisma. Sebuah buku lima
nyaris hinggap di wajahnya, sebelum dia mengelak dengan pantas ke bawah.
Peluang telah terbuka. Habrul Prisma menghentak rusuk kiri aerobish itu dengan
siku kanannya. Aerobish itu pula menghentak belakang Habrul Prisma dengan
pancungan kedua-dua tangannya. Habrul Prisma jatuh tersungkur di hujung kaki
aerobish itu.
Aerobish itu
menyepak wajah Habrul Prisma dengan kaki kanannya. Habrul Prisma berguling di
atas tanah dan tertiarap berhampiran sebuah kerangka yang sedang marak
terbakar. Ia menongkat bahu dengan kedua belah tangan. Aerobish itu
menghampirinya dan bersedia untuk melakukan serangan lanjut. Perasaan marah
Habrul Prisma meruap kerana ditewaskan dengan begitu mudah sekali.
Aku harapan Qomulian. Aku tidak boleh tewas!
Aerobish itu
menyentuh bahu Habrul Prisma.
Habrul Prisma
mengumpul tenaga seraya merempuh tubuh musuhnya. Percubaannya berhasil.
Aerobish itu terdorong beberapa langkah ke belakang.
Habrul Prisma
berdiri tegak untuk menyusun serangan baru. Aerobish itu turut berdiri tegak
dengan tujuan yang sama seperti Habrul Prisma. Ia menghunus pedang bercahaya
berat.
Habrul Prisma
menyahut cabaran musuhnya. Tangan kanannya mencabut hulu pedang dari pinggang
kiri. Ia menghunus hulu pedang ke arah lawannya. Sebilah mata pedang cahaya
berat berwarna putih keluar dari hulu pedang yang digenggam erat.
Aerobish itu
melancarkan serangan. Pedangnya dihayun ke udara dan bersedia menetak Habrul
Prisma. Habrul Prisma menepis serangan tersebut. Kemudian Habrul Prisma pula
yang melancarkan serangan. Aerobish itu menahan tetakan pedang musuhnya.
Pertarungan pedang telah membawa mereka ke pinggir kawasan reaktor. Sebuah
bangunan janakuasa terletak di situ. Habrul Prisma ingin membinasakan bangunan
itu kerana ia menjadi lokasi punca tenaga kepada bionikoid-bionikoid Batalion
Naga Hitam Empayar Galaktos.
Kemudian mereka
bersilang pedang. Pertarungan terhenti buat beberapa ketika.
Mereka saling
bertentang mata. Cahaya merah mata aerobish musuh tidak menyembunyikan
kebenciannya terhadap Habrul Prisma.
Engkaukah Habrul Prisma?
Akulah Habrul Prisma.
Akulah Batara.
Dengan penuh
rasa benci dan marah, Batara melepaskan silangan pedang dan cuba memutuskan
leher Habrul Prisma. Habrul Prisma segera merendahkan badan. Pedang Batara
memotong angin di atas kepala Habrul Prisma.
Habrul Prisma
menerjahkan tumit dan menolak tubuhnya ke belakang untuk menyusun serangan
baru. Ia tersilap langkah. Kakinya tersangkut di celah-celah talian kabel
voltan tinggi yang menghubungkan pencawang-pencawang elektrik. Tubuhnya jatuh
di atas tanah. Pedangnya terlepas dari genggaman.
Dua buah menara
pencawang elektrik yang dihubungkan dengan kabel-kabel voltan tinggi itu
tumbang. Habrul Prisma merasai kebocoran arus elektrik. Ia mengalami kesulitan
kerana arus elektrik yang bocor itu telah melumpuhkan sistem elektrosarafnya.
Tubuhnya terbaring kaku di atas bumi Ballasan. Ia semakin lemah untuk
meneruskan perjuangan. Habrul Prisma hanya mampu melihat Batara menghambur ke
arahnya. Batara menghayunkan pedangnya ke udara, bersedia untuk membelah dua
tubuh Habrul Prisma.
Akan tetapi,
Habrul Prisma tidak akan dapat melupakan detik-detik percubaan Batara untuk
melenyapkan kewujudannya dari bumi Misteroid apabila dengan tiba-tiba sahaja,
bahunya bergegar. Peluru-peluru berpandu keluar dari meriam-meriam yang
dipasang di bahunya dan berebut-rebut mencari sasaran masing-masing.
Saat-saat
terakhir Habrul Prisma tidak sedarkan diri, ia dapat melihat wajah Batara yang
terkejut. Tubuh Batara merempuh peluru-peluru berpandu tersebut.
Setelah selesai
menukarkan Habrul Prisma kepada bentuk asal, Arius segera memandu trailer
raksasa itu keluar dari kawasan reaktor tenaga. Semasa memandu trailernya,
Arius seolah-olah dapat menyaksikan tubuh gergasi aerobish Batara yang
menghempas talian-talian kabel voltan tinggi yang telah ditindih oleh Habrul
Prisma.
Arius
memberhentikan Habrul Prisma di tepi sebuah pantai. Ombak memukul pasir pantai
yang hitam. Perairan Teluk Saddiq' masih terbakar.
*****
“Tiun…! Tiun,
tiun, tiun, tiun…!”
Permainan
realiti maya interaktif itu telah tamat. Rafiq menanggalkan helmet permainan
itu.
“Yeah, aku
menang kali ini!” Teriak Rafiq sambil menuruni pentas permainan dan memulangkan
peralatan itu kepada kakitangan yang menjaga seksyen permainan tersebut.
“Tahniah. Aku
kalah bertaruh dengan kau. Mari aku belanja kau Happy Meal,” kata Shaman sambil menepuk bahu Rafiq.
Mereka berdua
keluar dari kedai permainan realiti maya interaktif itu untuk menjamu selera di
Restoran McDonald.
TAMAT.
TAMAT.
Dewan Siswa, Jun 2000
Hakcipta Terpelihara © Mohd Hamin Mastor 2000
Nota kaki:
- Naskhah ini saya sunting daripada cerpen yang berjudul “Ballasan”
yang telah disiarkan di dalam majalah Mutiara Generasi Bilangan 5 terbitan Matrikulasi USM Sessi
92/93.
- Saya telah hantar cerpen ini ke Dewan Siswa untuk disiarkan di
dalam ruangan ‘Cerpen Untuk Siswa’ dan telah tersiar di dalam Dewan Siswa
edisi Jun 2000.
- Setelah habis peperiksaan SRP dahulu, dan sementara tunggu masuk Tingkatan 4, saya habiskan masa cuti dengan mengarang sebuah cerita panjang yang saya beri judul “Habrul Prisma”. Teks itu bertulis tangan menggunakan pen dakwat biru Kilometrico di atas kertas kajang 40 baris yang ditulis depan belakang dan bila siap, saya dapati ia telah menjadi sebuah manuskrip setebal satu per tiga inci terdiri daripada 24 bab. Saya masukkan elemen-elemen siri kartun “Transformers”, “G.I. Joe”, “Voltron”, “Tosho Daimos” dan “Blue Noah: Thundersub”, siri marionet “Star Fleet X Bomber”, “Stingray”, “Captain Scarlet” dan “Thunderbirds”, dan siri drama sains fiksyen "Captain Power". Namun manuskrip itu telah lunyai, kertas warna putihnya berubah jadi kuning, bertebuk di sana sini dimakan bubuk kertas dan akhirnya hilang apabila semasa kerap berpindah-randah tempat kerja dan tempat tinggal, saya tidak dapat kesan di mana kali terakhir manuskrip itu telah tertinggal. Saya gunakan semula tajuk “Habrul Prisma” untuk naskhah “Ballasan” yang saya sunting semula yang telah dihantar ke Dewan Siswa.
- Kredit akaun Youtube 'Temenes' untuk klip video "Space Carrier Blue Noah OP" inspirasi kapal selam Blushiannoah, akaun Youtube 'SaintJaycee' untuk klip video "Captain Power Intro" inspirasi android dan bionikoid, akaun Youtube 'salim abd' untuk klip video "Daimos Japanese Opening" inspirasi aerobish Habrul Prisma dan akaun Youtube 'superrobttoOP&EDch' untuk klip video "X Bomber OP (Stereo)" inspirasi pertarungan dua buah robot gergasi.